Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 69

Penerangan Cincin Penampan dan Gaung Maut

Shirasaka-no-Kogen dan Kogen-no-Shita terletak di salah sebuah gunung dalam banjaran Tateyama, digelar Gunung Kogen. Gunung ini dikelilingi sebuah kawasan penampan berbentuk cincin jika dilihat dari atas, digelar Cincin Penampan (Kanshouwa (緩衝輪Buffering Annulus) yang lebarnya sekitar lima ratus langkah. Meskipun digelar Cincin, ia tidak berbentuk bulat sempurna kerana keadaan muka bumi yang tidak sekata di situ. Lilitan dalaman Cincin Penampan – juga lilitan sempadan gunung tersebut – ialah sempadan di mana kuasa tama-no-iwa Shirasaka mula mendatangkan kesan fatamorgana yang mengelirukan kepada penceroboh. Manakala lilitan luar Cincin Penampan ialah sempadan di mana para pengakap Kogen berkawal dan menghalang para penceroboh. Di luar lilitan luar Cincin Penampan, hanyalah hutan-hutan sugi yang biasa ditemui di kawasan pergunungan.

Hanya satu pertiga daripada kawasan Cincin Penampan punya daratan yang menghubungkan lilitan luar Cincin tersebut dengan lilitan dalamannya – juga ‘pintu masuk’ ke gunung Kogen – di mana pelawat dan penceroboh akan masuk, dan ia digelar Daratan Titian. Dua pertiga lagi dari kawasan Cincin Penampan ialah gaung yang amat dalam, dan dilitup kabus. Pendek kata, ia seperti parit yang melindungi Gunung Kogen.  Gaung ini digelar Gaung Maut. Struktur begini memudahkan para pengakap Kogen mengawal penceroboh dan menumpukan sumber manusia mereka pada kawasan daratan titian itu. Gaung tersebut juga amat berguna kepada merpati pengutus. Sekiranya merpati pengutus Kogen dikejar, para pengejar tidak akan dapat meneruskan pengejaran mereka disebabkan gaung ini. Mereka juga tidak akan dapat memanah merpati tersebut disebabkan kabus tebal yang memenuhi dasar dan permukaan gaung. Disebabkan binatang tidak dibenarkan memasuki kawasan yang dilindungi tama-no-iwa tanpa pengiring, maka rumah merpati diletakkan di tebing Gunung Kogen berhampiran gaung itu, sedikit berhampiran sempadan kuasa tama-no-iwa. Ia juga dilindungi kabus dari gaung, menyukarkan pemanah dari kalangan musuh menyerangnya.

Tempat di mana Tsuneki pernah keluar dahulu sebenarnya masih di Gunung Kogen, maka disebabkan itu dia tidak menemui laluan yang pernah ditelusuri bersama pasukan Goryuuin.

Terdapat lapan pintu masuk utama di sekeliling kaki pergunungan Tateyama yang merupakan laluan masuk kargo bahan makanan, ubat-ubatan dan bahan-bahan mentah. Kogen mengawal logistik mereka dari punca sehingga ke pintu-pintu masuk ini, dan dari pintu masuk ini sehingga ke lilitan dalam Cincin Penampan, di mana sebaik mereka melepasi garisan lilitan ini, mereka akan dilindungi tama-no-iwa Shirasaka. Empat dari lapan pintu masuk ialah terowong di bawah tanah merentas hutan pergunungan Tateyama dan bahagian dalam – atau terowong bawah tanah – daratan titian, menghala ke lilitan dalam Cincin Penampan. Sebahagian lagi pintu masuk ialah laluan di atas tanah mendaki hutan sugi pergunungan Tateyama sehingga bertemu bahagian atas daratan titian, juga menghala ke lilitan dalam Cincin Penampan.

Semua penceroboh yang berjaya melepasi pasukan pengakap Kogen dan memasuki daratan titian ini, tidak kira sama ada merentasinya (di dalam terowong) atau di atas permukaannya, akan dikelirukan oleh hutan sugi yang berulang-ulang kesan dari kuasa tama-no-iwa Shirasaka, sebaik mereka menghampiri lilitan dalam Cincin Penampan. Mereka akan merayau-rayau, tidak akan dapat menemui sesiapapun hatta penyelamat Kogen sekalipun, sehinggalah tergelincir ke dalam gaung di tepinya, iaitu Gaung Maut. Jika mereka di dalam terowong, mereka akan sesat sehingga keluar dari terowong dan turun sendiri memasuki Gaung Maut.

Gaung yang menempati dua pertiga kawasan Cincin Penampan digelar Gaung Maut atau Gaung Satu Hala (Death One-Way Ravine). Dasarnya berkilometer lebih rendah dari permukaan laut. Sesiapa yang terjatuh ke dalam gaung ini tidak akan dapat keluar. Di dasarnya tiada cahaya matahari, dan dikelilingi tebing tanah tinggi, juga dipenuhi mayat-mayat dan berbau amat busuk. Jika seseorang yang jatuh ke dalam gaung ini tidak mati akibat impak, dia akan mati dilemaskan dalam masa hanya beberapa saat oleh gas karbon dioksida yang mendap di dasarnya dan juga gas metana yang dibebaskan mayat yang mereput. Gas karbon dioksida dilepaskan oleh rekahan-rekahan bumi akibat tindakan seismik di sekitar pergunungan Tateyama dan memenuhi segenap pelusuk gaung. Gas-gas ini jugalah yang bertanggungjawab menghasilkan kabus tebal sehingga ke bahagian atas gaung.

Tujuan Kogen bermati-matian menghambat penceroboh meskipun dilindungi tama-no-iwa ialah demi memastikan bekalan-bekalan dari luar dapat masuk ke gunung Kogen. Jika kawalan begini tidak dilakukan, orang-orang Hamada akan sewenang-wenangnya merampas bekalan-bekalan dari luar dan akhirnya memaksa penghuni di gunung Kogen keluar, kemudian terpaksa bertarung bermati-matian demi mempertahankan diri. Ia seperti taktik mengumpan tikus keluar dari lubangnya dengan meletakkan makanan di luar, dan ‘tikus-tikus’ ini akan dibunuh ‘seekor demi seekor’ jika tidak mampu bertarung, terutama para petani, saintis dan anak-anak Kogen. Realiti mengerikan inilah yang cuba dihindar Kogen.

Disebabkan itu, mereka hidup saling bantu-membantu antara satu sama lain. Para pengakap melindungi penghuni dari serangan dan membantu logistik bekalan ubatan, makanan dan bahan mentah, manakala penghuni membantu dari segi penyediaan makanan, pakaian dan peralatan, serta merawat pengakap yang tercedera. Ia tiada lainnya dari kehidupan feudal era samurai, di mana dalam kes Kogen, Omi adalah ‘tuan tanah’ atau daimyo-nya.

**

Di mana engkau Shinji?

Ryouji tidak mahu membuang masa. Dia bergegas mengambil kudanya.

Sewaktu menunggang kuda keluar, dia ditahan Hisamiko. Dia pantas menghentikan kudanya mengejut.

“Hisamiko...”

Onii-san, engkau mahu ke mana?” Hisamiko berdiri di hadapan kuda Ryouji, mendepangkan tangannya.

Ryouji membisu, tunduk.

“Engkau akan digantung, onii-san, jika engkau keluar tanpa kebenaran. Mereka akan menggantung engkau terbalik. Kemudian engkau akan sakit dada. Aku melihat Tsuneki dan Shinji sakit begitu selepas dihukum.”

“Hisamiko...”

Onii-sanikanaide (tolong jangan pergi).” Hisamiko pantas meluru ke sisi kuda Ryouji dan menarik-narik tangan abangnya, dia menangis.

Ryouji mengalah, dia turun.

Sekali lagi aku dihalang. Sekali lagi. Dan sekali lagi aku tidak berupaya menanganinya!

Nariko berjalan dan berhenti di belakang mereka.

“Ryouji, mereka telah menghantar orang Kogen menjejaki Shinji. Engkau tidak perlu risau. Aku mohon, Ryouji, usah membuat masalah padaku lagi. Cukuplah dengan mereka. Onegai!” Nariko menundukkan tubuhnya.

Melihatkan Nariko tunduk begitu, Ryouji tidak sampai hati. Namun hatinya masih gundah-gulana. Shinji, mengapa engkau keluar seorang diri begini?

**

Ryouji berlari mendaki tangga yang tinggi menuju ke Shirasaka-no-Kogen.

Petani yang sedang duduk-duduk di tepi batas bendang yang penuh padi yang baru ditanam dan masih hijau, sambil berbual, terpinga-pinga melihat Ryouji berlari pantas seperti dikejar lembu.

“Kotobuki-san, Kotobuki-san.” Ryouji melaung memanggil Kotobuki di luar pejabatnya.

“Ryouji...mengapa denganmu?”

“Engkau tahu ke mana Shinji?”

“Mengapa dengannya?”

“Engkau tidak tahu? Dia hilang sedari pagi tadi!”

“Apakah orang-orang kita sudah menghantar pegawai mengejarnya?”

“Nariko-san mengatakan dia sudah meminta bantuan pegawai Kogen.”

“Begitukah... baguslah begitu.”

“Kotobuki-san, aku mahu keluar mengejarnya.”

“Ryouji, tidak perlu.”

“Hah?”

“Aku tidak akan benarkan engkau keluar ke Kawamoto.”

“Bagaimana engkau tahu dia ke Kawamoto?”

“Aku menjangkakannya. Aku tidak menyangka pula dia akan ke sana seawal hari ini.”

“Kotobuki-san... apa yang kau tahu sebenarnya?”

“Ryouji, ini urusan kami. Aku harap engkau memahamiku. Aku harap engkau tidak masuk campur urusan kami. Aku yang akan menguruskan Shinji.”

“Shinji sahabatku! Dan dia tidak pandai bertarung! Jika apa-apa terjadi padanya aku tidak akan memaafkanmu Kotobuki-san!”

“Ryouji! Aku tahu apa yang aku lakukan. Dia pasti selamat. Tenangkan dirimu, Ryouji. Shinji ke sana sebagai sebahagian dari latihan kami.”

“Latihan? Dengan membiarkan dia dibunuh Hamada?”

“Seperti kukatakan, orang-orangku sedang berkawal di sana. Ryouji, engkau di Kogen sekarang dan aku berharap engkau tidak membuat perangai begini apabila berhadapan denganku.”

Ryouji tunduk menenangkan dirinya. Dia tidak seharusnya berkata-kata begitu dengan Kotobuki. Jika dikirakan pangkatnya di situ, dia di lapisan ketiga di bawah Kotobuki yang memangku tugas Omi. Kotobuki memangku tugas Omi pada masa-masa tertentu sahaja, iaitu ketika dia sakit atau tiada di Kogen. Pada waktu sekarang, Omi sedang sakit dan hanya terlantar di rumahnya.

“Ryouji, aku pemangku ketua Kogen sekarang. Namun aku masih belum bercadang meletakkan pegawai mengawal pertemuan kalian denganku. Aku harap engkau belajar menghormati orang atasanmu di sini.” Kotobuki menunduk sedikit badannya, kemudian sambung menulis sesuatu. Dia sedang duduk bersila di belakang meja teh. Dia tidak menghiraukan Ryouji yang masih tunduk sambil berdiri. Tidak menghiraukan, bererti dia tidak senang Ryouji menyerbu pejabatnya begitu dan mahu dia keluar segera.

Ryouji membalas tunduk, dan berlalu keluar tanpa sebarang kata. Dia menyambung menung di taman zen di hadapan rumah.

Kotobuki berhenti sejenak dan merenung kembali drama sebentar tadi. Takasaki-san, Miura-san, aku kagum dengan didikan kalian ke atas Ryouji. Namun pernahkah kalian mengajarnya adab? Menghormati mereka yang lebih tua darinya?

**

Kuso (sial)!” Ryouji menumbuk-numbuk permukaan bangku batu itu.

Kotobuki pasti telah mengarahkan orang-orangnya berkawal di luar menantiku keluar. Bagaimana Shinji melepasi mereka? Aneh. Shinji setahuku tidak tahu berkuda. Dengan bantuan Tsunekikah? Aku dengar mereka digantung kerana Tsuneki keluar dengan kuda Kogen sebelumnya. Tidak. Tsuneki masih di perbaringan sewaktu aku bangun.

Ryouji bertanya kepada penjaga bangsal kuda sama ada berlaku kecurian. Tiada.

Aneh. Shinji, bagaimana engkau keluar?

Ryouji kembali ke katil Shinji, menggeledah barangannya. Mungkin dia ada meninggalkan nota.

“Apa yang kau buat di katil Shinji, Ryouji?” Kedengaran suara Tsuneki.

“Tsuneki, engkau tahu ke manakah Shinji?”

“Entah. Mungkin di perpustakaan.” Wajah Tsuneki jujur. Nampaknya dia tidak terlibat membantu Shinji.

“Tidak mungkin. Aku mendengar dia keluar dari Kogen. Engkau tahu bagaimana dia keluar?”

“Keluar dari Kogen? Maksudmu?”

“Kotobuki memberitahu dia keluar senyap-senyap ke Kawamoto. Dia ada memberitahumu sebelumnya?”

“Tidak ada. Bila dia keluar?”

“Mungkin dinihari tadi.”

Tak guna Shinji! Mengapa engkau tidak mengajakku sekali? Bukankah kita telah berjanji?

“Ryouji, aku fikir barangkali dia melalui terowong.” Aku fikir begitu. Shinji tidak pandai menunggang kuda. Jika dia hilang, barangkali dia akan keluar melalui terowong. Berjalan kaki keluar dari sini tanpa melalui terowong, hanya akan mendedahkan dirinya kepada penghuni lain. Lagipun, sudah beberapa kali dia berusaha untuk keluar melalui terowong itu dengan ujikaji-ujikajinya.

“Tsuneki, apa maksudmu?”

“Dia ada membawaku ke sebuah terowong.”

“Tsuneki, bawa aku ke sana sekarang!”

“Baiklah...” Tsuneki terpinga-pinga dengan gesaan tiba-tiba Ryouji.

Mereka berdua ke tingkat empat perpustakaan di bawah tanah.

“Ini pintunya.”

“Nampak seperti dinding biasa.”

“Tidak, ia pintu.” Tsuneki menolak pintu itu perlahan-lahan. Ryouji ternganga melihatnya. Terpampanglah di hadapan mereka bilik unjuran.

Buku-buku apakah ini, getus Ryouji sebaik memandang dua buah rak di kiri dan kanannya yang bermula dari lantai sehingga ke bumbung.

Tsuneki menekan-nekan lantai sepertimana yang diajarkan Shinji. Ryouji melopong melihat sebuah terowong mengunjur ke dalam tanah.

“Tsuneki, apakah ini?”

“Inilah terowong yang aku maksudkan.” Tsuneki mengeluarkan sepotong tama-no-iwa demi menerangi terowong tersebut. Dia turun perlahan-lahan, diikuti Ryouji.

Ryouji hanya menurut, dalam kebingungan. Bagaimana mereka tahu tentang terowong aneh ini? Dibina di dalam perpustakaan? Kotobuki-san, nampaknya terlalu banyak perkara yang masih belum engkau beritahu kepadaku.

Tsuneki membuka penutup terowong dan keluar, dituruti Ryouji.

Nasib baik! Aku bertemu kembali tempat di mana pokok kaede itu berada, getus Tsuneki.

“Ryouji, terowong itu mampu membawa kita ke luar Kogen. Namun aku tidak pasti bagaimana. Yang aku pasti, kita masih di Gunung Kogen.”

“Jadi engkau fikir Shinji keluar melalui terowong ini?”

“Ya. Dia mungkin berada di sekitar sini sekarang jika belum tiba di Kawamoto.”

“Ayuh!”

Shinji, aku harap engkau tidak dimakan binatang buas. Engkau kadang-kadang bodoh juga meskipun engkau punya banyak idea bernas.

Binatang sememangnya tidak boleh memasuki kawasan yang dilindungi tama-no-iwa, akan tetapi binatang yang sudah sedia ada dalam sesuatu kawasan sebelum tama-no-iwa dipacak akan terus kekal di situ.

Mereka berjalan di sekitar kawasan padang rumput gunung yang ditumbuhi jarang-jarang pokok-pokok daun luruh dan konifer sehingga ke tebing.

Tsuneki dan Ryouji ternganga melihat panorama di sekeliling mereka. Gunung-ganang kelabu Tateyama yang diselaputi salji di lereng-lerengnya, mengelilingi Gunung Kogen, gunung tempat mereka berdiri yang menempatkan Shirasaka-no-kogen dan Kogen-no-shita. Baru mereka tahu, Gunung Kogen rumah mereka ini hanyalah salah sebuah dari puluhan gunung-ganang dalam sistem pergunungan sama, iaitu Tateyama. Jauh dari lereng tempat mereka berdiri ialah daratan titian yang menghubungkan Gunung Kogen dengan dataran tinggi yang dilitupi hutan sugi, iaitu dataran yang mereka pernah lalui untuk masuk ke Kogen beberapa bulan lepas. Laut Jepun dapat dilihat dari lereng tersebut, berbalam-balam di kejauhan.

Tsuneki merenung ke hadapan pula, mendapati di hadapannya gaung yang dilitupi kabus tebal.

Tatkala angin bertiup, bau busuk yang amat tajam menusuk hidung. Tsuneki dan Ryouji masing-masing menutup hidung.

“Bau apakah ini?”

“Ia datang dari bawah sana, dasar gaung itu.” Ryouji menunjuk ke arah gaung yang dilitupi kabus tebal.

“Gaung apakah ini?” Tsuneki bertanya sedang masih menekup hidung.

“Aku tidak tahu. Bau ini seperti bau bangkai, tidak, ia lebih busuk. Barangkali bau mayat.”

“Kalian jangan berdiri terlalu dekat dengan situ atau akan tergelincir jatuh.” Kedengaran suara asing dari belakang tiba-tiba menasihati mereka. Tsuneki menoleh, dan tatkala dia mula menggerakkan kakinya, dia tergelincir. Ryouji sempat menyambut tangannya.

Arigatou, Ryouji.”

Ryouji menarik tangan Tsuneki, pantas hampir melambung tubuh ringan itu kembali ke tebing, sedang matanya beralih memandang punca suara yang menasihati mereka tadi.

Kelihatan seorang lelaki tua dalam lingkungan lima puluhan, berkepala botak dan berpakaian seperti shugenja serba putih, sedang duduk bersila di atas tunggul kayu. Matanya terkatup, mulutnya terkumat-kamit berzikir entah apa.

“Siapa engkau?”

“Apa kalian buat di sini? Kembalilah segera ke rumah kalian.”

“Aku mencari rakanku yang hilang. Apakah engkau ada melihatnya di sini?”

“Aku tidak menemui sesiapapun selain kalian pada hari ini.”

“Apa kau buat di atas tunggul ini?”

“Mencari ketenangan.”

“Atau menjaga kawasan ini?” Ryouji cuba menggerudi.

“Kedua-duanya.”

“Engkau ahli Kogen bukan?” Ryouji meneka.

“Jika engkau fikir begitu.”

Angin gunung kembali bertiup. Bau busuk yang tajam kembali menusuk hidung-hidung mereka. Namun shugenja itu masih tetap tenang duduk di atas tunggul tanpa sedikitpun menggerakkan tangannya menutup hidung.

“Bagaimana engkau mencapai ketenangan dengan bau busuk dari gaung ini?”

“Dengan mengabaikannya. Okuhida Ryouji, ketenangan sebenar tiada makna jika tiada gangguan yang mengujimu.”

“Hah? Bagaimana engkau tahu namaku?”

“Siapa tidak kenal engkau di sini?”

Maka benarlah engkau dari Kogen, bisik Ryouji. Namaku hanya diketahui dalam kalangan ahli Kogen sahaja di sini. Jika engkau petapa yang tiada kena-mengena dengan Kogen, mustahil. Kerana engkau hanya duduk di luar kawasan Shirasaka-no-kogen dan jauh dari mendengar ura-ura.

“Wahai orang tua, aku ingin keluar mencari rakanku.”

“Engkau tidak dibenarkan keluar atas arahan Kogen. Kembalilah ke rumahmu segera.”

Aneh. Dia mengatakan tidak melihat Shinji. Habis, bagaimana Shinji keluar dari sini? Tambah menghairankan, tanpa menunggang seekor kudapun?

“Orang tua, apakah ada jalan keluar lain di sini?”

“Engkau carilah sendiri. Namun ingin aku ulangi, kalian tidak dibenarkan keluar tanpa kebenaran.”

Tsuneki menarik lengan yukata Ryouji. Ryouji merendahkan badan. Tsuneki kemudian membisikkan sesuatu.

“Abaikan mereka. Engkau nampak dataran itu?” Tsuneki memuncungkan mulutnya ke arah dataran tinggi merentangi gaung berkabus tebal, menghubungkan gunung Kogen dengan satu lagi dataran tinggi dengan hutan sugi tebal. Itulah daratan titian, satu-satunya kawasan dalam Cincin Penampan yang bukan Gaung Maut.

“Itu satu-satunya jalan keluar masuk gunung ini.”

“Benar katamu. Namun aku tidak fikir Shinji melaluinya, bak kata shugenja itu. Shugenja tidak akan menipu. Ne, Tsuneki, Shinji ada berperlakuan anehkah belakangan ini?”

Tsuneki menarik Ryouji jauh-jauh dari shugenja yang masih sedang duduk bersila dengan wajah mengadap mereka berdua seakan-akan cuba mencuri mendengar perbualan mereka dari atas tunggul kayu, sedang matanya kembali terkatup.

“Dia ada membawaku ke suatu tempat aneh. Di sana dia mengatakan ‘aku mahu ke Kawamoto menggunakan batu-batu ini dari sini.’ ”

“Batu apa?”

“Batu yang aku gunakan untuk menerangi terowong tadi.”

“Di mana tempat aneh itu?”

“Aku dan Shinji ada ke sana melalui terowong tadi. Aku fikir terowong itu boleh mengubah destinasinya. Aku tidak pasti bagaimana. Mungkin hanya Shinji yang tahu.”

Ryouji berbaring di atas batu-batu dengan rumput yang tumbuh jarang-jarang di situ. Fikirannya buntu. Bau dari gaung itu kembali menerpa benak tatkala menerobos hidungnya dibawa angin gunung yang bertiup tanpa dijangka. Gaung apakah ini?

Ryouji bangun, memerhati shugenja yang masih bertapa. Dia mendekati shugenja itu. Tsuneki yang berbaring di sisinya sedari tadi telah terlena. Mungkin akibat terlalu mengantuk kerana dia bersama Shinji keluar senyap-senyap malam tadi. Atau selesa diulit rumput-rumput di lereng yang empuk seperti tilam jerami.

“Orang tua, gaung apakah itu sebenarnya?”

“Gaung Maut.”

“Sudi engkau terangkan lanjut?”

“Semua penceroboh akan disesatkan oleh kuasa Shirasaka, dan akan jatuh ke dalamnya. Sekali jatuh, engkau tidak akan dapat kembali ke permukaan.”

“Dan mereka akan mati di dalamnya?”

“Ya. Di dalam gaung itu nafas mereka akan disesakkan udara di dalamnya dan mati sekelip mata, jika mereka tidak mati akibat kejatuhan itu.”

“Bau busuk ini...bererti ada yang baru sahaja mati di dalamnya?”

“Ada yang sudah mati lama, namun dek kedalaman gaung ini, baunya baru sahaja sampai ke permukaan bilamana angin bertiup.”

“Apakah yang mati itu semua penceroboh? Atau orang-orang kita sekali?”

“Kedua-duanya. Keluarga Yoshitsugu tidak akan pernah berputus asa menjejaki kita. Mereka bahkan cuba menggunakan peralatan khas untuk terbang merentas gaung itu, namun mereka sesat di pertengahan dan jatuh ke dalamnya. Ada yang bodoh, cuba turun terus ke dalam gaung dengan harapan dapat kembali mendakinya dan sampai ke sini.”

“Dan bagaimana pula orang-orang kita turut menjadi mangsa gaung itu?”

“Kemalangan. Tergelincir ke dalamnya. Ada juga banduan kami yang mati di dalamnya. Mereka mengorek terowong keluar dari penjara kami, namun jalan keluarnya ialah gaung ini. Mereka terjatuh ke dalamnya.”

“Di mana orang-orang kita berkawal?”

“Kogen hanya menumpu kawalan di daratan titian itu.” Shugenja menuding jari ke arah daratan yang telah ditunjuk Tsuneki tadi. Shugenja menyambung, “Mana-mana penceroboh yang berjaya melepasi kawalan Kogen akan disesatkan kuasa Shirasaka di situ dan jatuh ke dalam gaung ini.”

“Bahkan orang-orang Kogen yang mempertaruhkan nyawa melindungi kita di dataran itu ada yang terjatuh ke dalam gaung sewaktu bertarung dengan penceroboh.”

Begitu bahayanya gaung ini. Mujur aku sempat menyambut tanganmu Tsuneki! Jika tidak berkuburlah engkau di dalam gaung itu.

“Maaf, seperkara lagi orang tua...”

“Panggil aku Saionji.”

“Saionji-san, seperkara lagi. Apakah ada dalam kalangan penceroboh itu ditangkap kita?”

“Ya. Mereka akan ditangkap jika mereka cedera dan diabaikan rakan mereka, untuk dirawat di sini, kemudian akan disumbat ke dalam penjara kami.”

“Boleh aku tahu di mana penjara itu?”

“Di sekitar sini. Namun engkau tidak akan dapat menemuinya kecuali jika namamu dibenarkan keluarga Shirasaka memasukinya.”

“Maka, tidak semua yang dibenarkan memasuki kawasan ini akan dibenarkan melihat penjara tersebut?”

“Ya, hanya orang-orang tertentu sahaja yang dibenarkan keluarga Shirasaka melihatnya. Mengapa engkau mahu ke sana?”

“Aku mahu melawat seseorang. Saionji-san, apakah ada kawasan tersembunyi lain di sini?”

“Maksudmu?”

“Tempat simpanan senjata, atau perkampungan lain seperti Kogen-no-shita.”

“Ya.” Saionji menjawab ringkas tanpa teragak-agak. Seolah-olah itu bukan langsung maklumat sulit Kogen.

Ryouji tersentak mendengarkannya. Benarlah telahan Shinji.

“Namun sepertimana penjara itu, hanya orang-orang tertentu dibenarkan memasukinya.”

Ryouji geram mendengarkannya.

“Apakah ada cara lain bagi menghindar kuasa Shirasaka?”

“Mengapa? Engkau mahu melawat tempat-tempat itu jugakah?”

“Aku hanya ingin tahu. Aku mahu mengenali Kogen lebih dalam.” Kerana aku mahu mempercayai mereka. Memahami sumber-sumber mereka, kemudian memahami cara kerja mereka, bagaimana mereka merekrut ahli dan penjaga rumah perlindungan, dan bagaimana mereka menguruskan dana, dan harta peninggalan ibu bapa kepada anak-anak di bawah jagaan kami. Dan juga, apakah ada pasukan renegad sedang disemai di dalam Kogen. Jika disimpulkan, aku hanya mahu satu perkara; aku mahu mempercayai Kogen. Hanya Kogen harapanku yang tinggal, demi menumpaskan Hamada dan orang-orangnya.

“Aku tidak pasti jika ada cara bagi menghindar kuasa Shirasaka. Setahu aku belum pernah ia ditemui. Jika ada sekalipun pencerobohan, ia hanya berlaku kepada rumah-rumah perlindungan kami kerana penjaga yang membuat perjanjian tambatan membelot. Sedang di sini, hanya keluarga Shirasaka yang berkuasa membatalkan dan mendaftarkan nama di kawasan-kawasan yang dilindungi tama-no-iwa.”

Nampaknya aku perlukan Tsuneki. Dia nampaknya tahu banyak perkara berkenaan terowong itu.

“Tsuneki, Tsuneki, bangun!” Ryouji mengejutkan rakannya itu. Matahari sudah turun sedikit dari dada langit.

Tsuneki terpisat-pisat. “Sudah berapa lamakah aku tidur?”

“Lebih kurang lima belas minit. Tak sangka engkau masih boleh tidur nyenyak dengan bau busuk gaung itu. Ayuh kita pulang.”

“Aku terlalu mengantuk dan pening. Aku tidak tahu mengapa. Sering berlaku bilamana aku memandang ke bawah dari tempat tinggi.”

“Engkau mabuk gunung lagikah?”

“Mungkin aku cuma gayat.” Tsuneki menahan diri dari mengatakan yang dia mengantuk akibat keluar malam tadi bersama Shinji.

“Ryouji, sebelum aku tidur tadi aku ada terhidu bau pelik dari gaung itu. Bukan bau busuk, tetapi bau aneh. Engkau ada hidu bau anehkah Ryouji?”

“Aku cuma bau mayat sahaja.” Jawab Ryouji pendek. “Ayuh!”

Arigatou, Saionji-san.” Ucap Ryouji pada shugenja itu sebelum melangkah pulang.

Doumo.”

Mereka kembali ke terowong.

Previous: Bab 68
Next: Bab 70

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov