Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 89

 

Pekan Saikawa ialah pekan yang terletak di tengah-tengah jalan yang menghubungkan pesisir pantai di selatan Honshu dengan Nakasendo. Jalan itu merentang dari selatan ke utara dan merupakan sempadan timur Wilayah Jooryoku. Jalan ini didirikan di celah dua jajaran pergunungan di tengah-tengah Honshu.

 

“Ryouji, Tsuneki, Hisamiko, tujuan misi kali ini ialah mengesan orang-orang Hamada yang cuba mendekati gadis-gadis di Saikawa, berdasarkan lakaran wajah yang aku telah paparkan kepada kalian semalam. Kita akan berkawal di sana. Pastikan kalian sembunyikan wajah dengan pembalut muka dan topi kon kalian.

 

Kalian perlu berhati-hati kerana mereka barangkali menggunakan senjata api, terutama engkau, Tsuneki.” Goryuuin memfokus kepada Tsuneki kerana dia hanya tahu bertarung kaminari sehingga jurus keempat maka dia tidak terlalu mahir mengelak peluru. Namun dia paling mahir memanah.

 

Goryuuin sebenarnya tidak bersetuju Tsuneki menyertai mereka, namun atas desakannya yang mahu mengikut Hisamiko, Goryuuin mengalah. Lagi pula Tsuneki mampu memanah dengan tepat, maka dia boleh dijadikan aset penting pasukan. Tambah mengejutkan dia menerima arahan dari Kotobuki agar membawa sekali Tsuneki. Entah apa perancangan sami tua itu, dia tidak mengerti.

 

Fungsi Tsuneki ialah sentiasa mengekori mereka bertiga secara sembunyi dan akan memanah sasaran selepas mendapat isyarat arahan dari Goryuuin. Anak panah Tsuneki ialah anak panah pelali yang akan memabukkan sasaran, agar mudah ditangkap untuk disoal siasat.

 

Mereka menambat kuda di belakang sebuah kuil Shinto di atas bukit dan turun perlahan-lahan ke sebuah lorong panjang merentangi pekan itu. Hisamiko sedari tadi asyik melihat loket yang bergantungan di dada Goryuuin. Goryuuin perasan, seraya bertanya.

 

“Mengapa Hisamiko? Engkau berminat dengan loket ini?”

 

“Ya, cantik. Aku fikir ia ada pasangannya?”

 

“Benar. Pasangan loket ini pada adikku.”

 

“Di mana dia sekarang?”

 

“Aku tidak tahu, Hisamiko. Dia diculik sebelas tahun lepas.”

 

“Maafkan aku Goryuuin nee-san.”

 

Goryuuin hanya tersenyum tawar, cuba menyembunyikan kesakitan dan kekecewaan yang dialaminya.

 

“Tidak mengapa, Hisamiko. Aku sudah biasa memberi jawapan sebegitu. Hisamine adalah sebab utama mengapa aku menyertai Kogen.”

 

Nariko nee-san yang memberitahuku tentang loket itu ketika dia menceritakan kisah latar Tsushiko nee-san, disebabkan itu aku mengambil kesempatan menelitinya sekarang. Aku seperti pernah melihat loket itu sebelum ini tetapi aku tidak dapat mengingatinya di mana. Sebentar, bukankah loket ini sama seperti sebutir loket di penyepit rambut Shizuo? Ia terlindung sebahagian besarnya oleh lilitan kain di kepalanya namun aku dapat mengesannya ketika dia cuba menyerangku di hutan Hidagawa.

 

Mereka menunggu di lorong utama pekan itu, kerana selalunya sasaran Hamada ialah gadis-gadis pengemis yang duduk di tepi lorong-lorong itu, menagih derma dari orang ramai yang lalu-lalang dan juga dari para pedagang yang kaya-kaya.

 

Ini ialah misi pertama Hisamiko. Oleh itu, dia ditempatkan bersama Ryouji. Goryuuin menunggu di bahagian lain di atas bumbung sementara Tsuneki menunggu di atas bumbung di seberang lorong yang memisahkan Goryuuin dengannya.

 

Onii-san, aku fikir lelaki kurus itu Sonzaemon.” Hisamiko menunjuk ke arah lelaki itu secara berselindung kepada Ryouji.

 

“Lelaki kurus itu? Biar betul.” Ryouji cuba merenung wajahnya dari celah orang ramai di pekan itu. Sah, memang Sonzaemon! Dia sudah kurus sekarang. Lain benar rupanya sejak kali terakhir kami bertemu. Di belakangnya ada dua orang pengikut sedang berjalan di tengah-tengah khalayak ramai.

 

Sebentar, apa yang dibuatnya di sini? Apakah dia menyertai Hamada? Jika diikutkan wajahnya memang hampir sama dengan lakaran yang ditunjukkan Goryuuin semalam. Lebih-lebih lagi dua pengikutnya itu. Namun dari lakaran itu tidak pula aku syak persamaan dengan Sonzaemon. Hanya dengan mengamati wajah sebenarnya sekarang barulah kutemui persamaan itu.

 

Sonzaemon belum meminta maaf dariku. Aku tidak sempat berbicara lanjut selepas insiden di dalam bangunan usang di Furukawa itu kerana kakiku tercedera dan aku bergegas mencari tempat untuk merawatnya. Aku pasti akan menangkapnya dan mengarahkan dia meminta maaf dan memberi penghormatan kepada otou-san, dan akan membawa dia kepada bugyou dengan meminta hukuman ke atasnya diringankan. Jika dia tidak meminta maaf, aku akan pastikan hukuman mati dikenakan ke atasnya.

 

Ryouji membuat isyarat kepada Goryuuin tidak jauh dari situ, memberitahu mereka sudah menemui samurai yang disyaki berkhidmat kepada Hamada.

 

“Ootoshi, Satoshi, mereka sudah di sini. Berhati-hati.” Sonzaemon berkata perlahan kepada pengikutnya, menyedari Ryouji berada di situ. Ryouji, aku tahu engkau di sini. Engkau menutup wajahmu, namun aku mengingat ketinggianmu dan adik perempuan yang selalu mengikutmu itu. Ikatan rambutnya masih sama. Pakaian kalian masih sama.

 

Gadis-gadis pengemis adalah yang paling mudah diculik kerana mereka patuh demi meneruskan hidup. Bahkan mereka menanti agar diculik kerana itu bermakna mereka cukup cantik untuk dijual di rumah pelacuran. Jika tidak, sebelah matapun mereka tidak akan dipandang oleh orang-orang Hamada.

 

“Goryuuin-san, mengapa kita tidak mengambil sahaja mereka yang mengemis itu menyertai rumah perlindungan kita tanpa perlu bertindak hanya ketika Hamada melakukan penculikan sahaja?” Tanya Ryouji suatu hari.

 

“Kami melakukannya. Terutama sejak Maharaja mula membiaya kami. Namun kami tidak boleh terus mengambil mereka dalam bilangan yang ramai sekaligus, dikhuatiri kami tidak cukup sumber. Kami akan mengutamakan pekan-pekan dan kampung-kampung yang menjadi sasaran Hamada dahulu, dari maklumat yang diberikan pengintip kami.”

 

Sumber. Ya. Mereka mendapat pembiayaan Maharaja namun sumber masih terhad. Bagaimana mereka menguruskannya?

 

Ryouji memandang ke kiri dan kanan. Terdapat beberapa orang wanita, ada yang muda, ada yang berada di pertengahan umur, sedang menadah bekas meminta wang. Sebahagian mereka ada yang bersama kanak-kanak. Barangkali mereka bekas petani seperti bapaku juga. Namun ditimpa nasib malang, orang tua mereka, atau suami mereka terbunuh, atau mati akibat penyakit.

 

Masalah ini bukan hanya masalah Kogen. Ia masalah negara ini. Namun hanya Kogen yang benar-benar berusaha menyelesaikannya, dengan sumber yang terhad. Ia masalah yang membarah dalam daging bangsa ini. Kemiskinan, dan ketidakterbelaan. Tiada sistem yang benar-benar melindungi masyarakat ini apabila mereka ditimpa musibah. Tiada sistem yang melindungi mereka dari jenayah. Hamada hanya mengambil kesempatan dari kehuru-haraan ini demi kepentingan dirinya.

 

Aku dan Hisamiko benar-benar bernasib baik. Disebabkan otou-san punya hubungan dengan Kogen, kami dipindahkan sejurus dia meninggal. Bagaimana dengan yang lainnya yang kurang bernasib baik di sini, dan di luar sana? Bagaimana mereka meneruskan hidup? Mungkin mereka salah seorang yang sedang duduk di bahu lorong-lorong ini.

 

Mata Ryouji masih tidak lekang dari Sonzaemon. Sampai di sebuah lorong, dia terus menghilang, bersama dua pengikutnya.

 

“Hisamiko, aku fikir kita patut ke lorong itu.”

 

“Sebentar onii-san. Siapa lelaki-lelaki berkimono perang itu?”

 

Ryouji memerhati. Beberapa orang wanita pengemis yang sempat dicamnya sudah lesap dari bahu lorong besar tersebut. Dua buah kereta kuda melalui lorong itu pantas, menggesa orang ramai meminggir ke tepi memberi laluan. Kemudian ia memecut.

 

Ryouji melihat di belakang kereta kuda kedua yang turut memecut, mendapati lelaki-lelaki berkimono perang sudah berada di dalam kereta tersebut, ada yang sedang memaut pada pintu belakang untuk masuk ke dalamnya.

 

Ryouji memandang Goryuuin. Goryuuin menggeleng kepala, memberitahu mereka tidak perlu mengejar kereta kuda itu. Dia mengarahkan Ryouji dan yang lainnya menjejaki Sonzaemon. Matlamat mereka ialah menumpaskan Sonzaemon dan pengikutnya dan menahan mereka di Kogen.

 

“Ayuh, Hisamiko!” Ryouji berlari menuju ke lorong di mana Sonzaemon menghilang.

 

Tsuneki mengekori mereka di atas bumbung.

 

Sekian lama mencari, mereka tidak berjaya menemukan Sonzaemon. Mereka berkumpul di sebuah bangunan kosong.

 

“Ryouji, di mana Hisamiko?” Goryuuin bertanya sebaik menyedari Hisamiko hilang dari pandangannya.

 

Mendengarkan soalan tersebut, baru Ryouji sedar Hisamiko sudah hilang dari pandangan. Tsuneki pula mula menapak ke pintu untuk menjejaki Hisamiko, namun langkahnya terhenti sebaik mendengar bunyi.

 

Ppprak! Bunyi pintu kayu dipecahkan.

 

Sonzaemon muncul dengan dua pengikutnya.

 

Ohisashiburi, Ryouji. Panjang umurmu.”

 

Goryuuin memberi isyarat kepada Tsuneki agar memanah Sonzaemon mengikut perancangan mereka, iaitu pada tempat yang tidak berbahaya agar Sonzaemon tidak sedarkan diri akibat pelalian Kogen dan kemudian dapat diberkas dengan mudah untuk dibawa ke Kogen.

 

Tsuneki melepaskan panah, namun pantas panahnya ditepis oleh pedang Sonzaemon.

 

“Ootoshi, tembak pemanah kecil itu. Satoshi, bunuh remaja kurus dengan pedang itu. Aku akan menangkap perempuan itu.”

 

Aku perlu fokus. Ryouji, fokus! Aku yakin Hisamiko selamat selagimana dia tidak bersama dengan orang-orang Sonzaemon. Aku yakin dia sedang berjalan berseorangan di pekan itu dalam kesesatan. Aku akan mengejarnya kemudian. Aku perlu fokus kepada Tsuneki. Mereka akan menembak Tsuneki sedang dia tidak mahir mengelak gaya kaminari.

 

Ryouji memandang Ootoshi tajam, sambil merapat dengan lokasi Tsuneki. Muncung pistol Ootoshi mengekor ke mana Tsuneki bergerak. Tsuneki pula bergerak mengekori Ryouji. Satoshi pula sedang bergerak ke arah Ryouji dan bersedia menyerang dengan pedangnya.

 

“Tsuneki, engkau tahu jurus keempat bukan?” Jurus keempat dicapai oleh Tsuneki hanya dengan badannya yang ringan. Ia untuk melarikan diri. Tsuneki mengangguk.

 

“Tsuneki, aku akan membuka laluan untukmu. Panah lelaki yang cuba melibasku dengan pedangnya itu.”

 

Tsuneki menyahut arahan Ryouji. Ryouji berjaya membuka laluan. Sejurus itu kedengaran bunyi tembakan, dan Ryouji pantas melibas pedangnya ke peluru itu, memecahkannya kepada dua bahagian. Tsuneki menghilang sekelip mata. Ootoshi melilau matanya. Di mana budak itu? Dia menghilang dengan pantas sekali.

 

Satoshi, yang tadinya mengelak dari terkena libasan pedang Ryouji yang menyasar ke peluru Ootoshi, mula menumpu ke arahnya. Ootoshi mengeluarkan pedangnya dan bersama-sama Satoshi, merancang menumpaskan Ryouji.

 

Tsuneki memanah dari persembunyiannya namun semuanya ditepis oleh Ootoshi.

 

Goryuuin masih bertarung dengan Sonzaemon, kini jauh dari mereka semua, di luar bangunan terbiar itu.

 

“Siapa engkau wahai gadis? Engkau terlalu cantik untuk kerja begini.” Soal Sonzaemon.

 

Goryuuin tidak menjawab, terus bertarung dan naik ke jurus kesembilan. Dia terkejut kerana Sonzaemon juga mampu melakukan jurus tersebut. Siapa gurunya?

 

**

 

Selingan tambahan mengenai jurus kesembilan dan bagaimana Sonzaemon menguasainya.

 

Tatsuya menggeledah rumah Takasaki selepas peristiwa kebakaran rumah Takasaki dan kematian Tsugiyama. Dia menemui surat yang pernah dihantar Saki kepada Kobato, di dalam pakaian Kobato yang disimpan di bilik asrama lelaki oleh Ryouji. Mujur pakaian itu masih terlindung dari kebakaran tersebut. Di dalam surat Saki itu tertulis rahsia jurus kesembilan termasuk kaedah pembuatan pedang Saishi-tou. Tatsuya menyampaikan berita tersebut kepada Hagiura dan Hagiura memberikan surat tersebut kepada Hamada.

 

Hamada tidak dapat memahaminya lalu memberikan kepada Shizuo.

 

Shizuo pada ketika itu sedang melatih Sonzaemon. Disebabkan Shizuo pernah berguru kaminari dengan Miura, maka had tampungan tenaganya telah ditingkatkan dan dia melatih pula Sonzaemon, membolehkan Sonzaemon mempelajari kaminari sehingga jurus kelapan. Ketika mereka bingung bagaimana meningkatkan diri ke jurus kesembilan, Hamada memberikan surat dari Tatsuya kepada Shizuo. Shizuo dan Sonzaemon bersama-sama mempelajarinya, namun hanya Sonzaemon yang berjaya meningkat ke jurus kesembilan kerana dia berjaya mensifarkan beban emosi, sedang Shizuo punya keluarga yang ramai yang tidak membolehkan dia mensifarkan beban emosi.

 

Imbas kembali setakat ini, jurus kesembilan ditemui oleh beberapa orang: Miura, Ayame, Ryouji, Takasaki, Shinji, Kobato dan Sonzaemon. Miura menemui konsep beban emosi namun tidak menerangkan secara lanjut di dalam bukunya. Ryouji dan Takasaki mengembangkan konsep tersebut sehingga ia berjaya dipraktikkan. Kobato juga mengembangkan konsep yang sama namun dia punya kelebihan sendiri kerana dia tidak punya beban emosi. Dia bagaimanapun tewas kerana gagal mengawal rusuhan tenaga kerana tidak dilatih oleh mereka yang telah tinggi had tampungan tenaga bagi meningkatkan had tampungan tenaganya (latihan dengan Takasaki hanya meningkatkan had tampungan tenaganya ke jurus keenam sahaja). Sonzaemon juga mengembangkan konsep beban emosi, namun tidak seperti Kobato, dia mampu mengawal rusuhan tenaga kerana telah dilatih oleh Shizuo meningkatkan had tampungan tenaganya (Shizuo memiliki had tampungan tenaga sehingga mampu meningkat ke jurus kelapan hasil ajaran Miura).

 

Shinji menemui Saishi-tou, pedang ringan khas yang boleh mengelak rusuhan tenaga pada petarung jurus kesembilan yang bukan dari puak yang dua itu. Ayame pula menemui jurus kesembilan dengan menggunakan konsep had tampungan tenaga dalam jurus kedua dalam tulisan Miura kerana dia tidak faham konsep beban emosi. Konsep had tampungan tenaga ialah konsep paling asas bagi membolehkan seorang manusia biasa yang bukan dari puak yang dua itu belajar kaminari dan bertarung pantas, namun telah dimanipulasi Ayame bagi membolehkan Goryuuin mencapai jurus kesembilan tanpa dijejaskan oleh rusuhan tenaga. Selain Goryuuin, Ayame juga melatih Seijuro dan Takajiro, dua ahli pasukan pengintipnya di Furukawa, dan juga melatih Nariko.

 

Secara rumusannya, jurus kesembilan boleh dicapai oleh manusia yang bukan dari puak yang dua itu tanpa dijejaskan oleh rusuhan tenaga, dengan meningkatkan had tampungan tenaga ke tahap yang lebih tinggi melalui latihan dengan petarung yang sudah tinggi had tampungan tenaganya (seperti puak yang dua itu, atau mereka yang sudah belajar kaminari sehingga jurus kelapan), atau dengan menggunakan Saishi-tou. Pensifaran beban emosi tidak terlalu membantu ketika rusuhan tenaga berlaku, kecuali jika digabungkan dengan salah satu dari dua syarat itu.

 

**

 

Goryuuin masih bertarung dengan Sonzaemon.

 

“Aku lihat engkau tahu jurus kesembilan. Engkau tidak takut rusuhan tenaga?”

 

“Yang sepatutnya takut adalah engkau, bijin (perempuan cantik). Mengalah sahajalah.”

 

Mengapa wanita ini hanya menepis dan mengelak, dan tidak menyerangku betul-betul? Bahkan dia membawaku keluar dari bangunan itu menuju ke dalam hutan ini.

 

“Engkau tidak pernah berubah, Hatakemaru. Engkau mudah lupa setiap apa yang engkau lihat. Penglihatan dan memorimu masih sama, lemah.” Goryuuin bersuara.

 

Sonzaemon tersentak. Bagaimana perempuan ini tahu namaku?

 

“Engkau tidak ingat aku Hatakemaru?” Goryuuin berhenti, tercegat memandangnya.

 

“Engkau...engkau Saaya-chan bukan?”

 

Goryuuin mengangguk, sambil tersenyum lalu mengalirkan air mata.

 

Bodohnya aku! Bagaimana aku boleh tidak mengenalinya?

 

Sonzaemon tiba-tiba membisikkan sesuatu.

 

“Saaya, dengar sini. Teruskan bertarung denganku sehingga orang-orangku tiba. Aku akan memberi isyarat dengan mengenyitkan mata jika mereka tiba. Saat itu, bersedia. Engkau akan mengalahkan aku dan aku akan melarikan diri.”

 

Goryuuin mengangguk. Sambil berlakon bertarung, mereka berbual. Banyak soalan yang bermain di fikiran Sonzaemon diluahkan.

 

“Goryuuin, ke mana engkau melarikan diri?”

 

“Maaf, Hisamine diculik dan aku mencarinya di serata Honshu.”

 

“Mengapa engkau tidak memberitahuku?!”

 

“Kehilangan Hisamine adalah salahku. Aku tidak mahu membebankanmu.”

 

“Saaya, kuil Furukawa, sebulan dari sekarang.” Sonzaemon memberitahu Goryuuin tempat dan masa pertemuan mereka akan datang. Kemudian dia mengenyitkan mata, melihatkan kelibat Ootoshi dan Satoshi.

 

Goryuuin pantas menetak belakang pedangnya ke arah Sonzaemon, dan Sonzaemon berpura-pura menerima tetakan itu dan rebah. Dia bangun perlahan-lahan sambil memegang bahu kanannya seolah-olah sudah patah. Goryuuin mengacukan pedangnya ke arah Satoshi dan Ootoshi.

 

“Ootoshi yamero! (hentikan)” Pekik Sonzaemon. Ootoshi tergamam, pantas dia menyimpan pistolnya. Tidak pernah Sonzaemon menengking sebegitu kuat sepanjang dia bekerja bersama Sonzaemon.

 

Ootoshi bingung.

 

“Mengapa Sonzaemon? Kami mampu menangkapnya.”

 

“Dia akan menumpaskan dan membawa kita ke Kogen. Bahkan dia telah mengalahkan aku tadi, aku yang tahu jurus kesembilan ini. Apatah lagi kalian. Ayuh, lari sekarang!”

 

“Baiklah.” Sahut Ootoshi dalam keengganan. Dia hanya menurut arahan Sonzaemon. Namun jika Sonzaemon tidak berada di situ, barangkali dia akan terus bertarung dengan Goryuuin. Dia tidak akan menyerah kepada petarung wanita, demi maruah.

 

Sial, aku terpaksa menipu seperti ini, getus Sonzaemon. Harap mereka berdua ini menelannya bulat-bulat. Saaya, aku akan tinggalkan dunia ini, tidak, kita akan tinggalkan dunia kelam ini dan hidup bersama sehingga ke akhir hayat. Aku pasti akan membantumu mencari Hisamine. Pasti!

 

**

 

Imbas kembali – sekitar waktu Shinji menghasilkan pedang Hisamiko.

 

Shinji masih memendam rasa ingin tahunya. Ia bermula sejak dia menyertai misi pertama Ryouji di awal tahun 1871. Bagaimana Ryouji mendapat kuasa tersebut?

 

Aku ada bertanya Takasaki sewaktu dia masih hidup. Dia memberitahuku bahawa ia berkaitan dengan perjanjian antara nenek moyang mereka dengan hayabusa-no-kami. “Kami, seperti dalam kepercayaan Shinto itu?” tanyaku. Takasaki mengiyakan.

 

Sejak itu, aku berasa aneh. Apakah kami ini benar-benar wujud? Aku ada membaca buku dari Barat. Di sana, mereka punya ahli sihir yang melakukan pelbagai perkara magis, seperti bertukar rupa menjadi binatang dan kembali menjadi manusia, dan bertutur dengan burung raven. Apakah kebolehan Ryouji dan Hisamiko ini sebuah kemagisan? Apakah kami yang mereka maksudkan itu sama dengan kami dalam kepercayaan Shinto? Atau sesuatu yang lain, namun mereka menggelarkannya kami, yang mana sesuatu itu telah memberikan mereka kuasa magis?

 

Aku hairan, bagaimana batu resin dari pokok di lembah mereka mampu menghasilkan bilah Saishi-tou. Aku akui, penemuanku itu hanyalah serendipiti. Sebuah penemuan yang tidak tersangkakan, hasil dari ribuan cubajaya yang telah aku lakukan. Ia merumitkan pemahamanku. Apakah bahan yang terkandung dalam resin itu sebenarnya?

 

Memang aku akui, ia tidak bercanggah dengan sains yang aku pelajari. Namun permulaannya tidak sama sekali sains. Permulaannya, lembah mereka, dan pokok aomomiji yang diberitahukan Takasaki, sukar untuk aku katakan ia sains. Tidak, ia magis. Aku mengolah magis dengan sains dan dengan itu, bilah tersebut terhasil. Tidak, ia sains. Tidak, ia magis.

 

Ah, rumitnya! Apakah ada perkara dalam alam ini yang tidak boleh dijelaskan oleh sains yang aku pelajari?

 

Shinji mengelamun sendirian di bangku di taman zen, sambil menyandarkan kepalanya dan mendongak ke langit. Siapa yang boleh aku tanyakan? Takasaki sudah tiada. Uchiha nee-san? Atau Ayame nee-san? Atau Kotobuki-san?

 

Dia berjumpa Kotobuki suatu hari, ketika membantunya dalam ujikaji penawar aotsuyu.

 

“Kotobuki-san, apakah ada fenomena yang tidak boleh dijelaskan dengan sains?”

 

Kotobuki memandangnya hairan, kemudian tersenyum dengan wajah tenangnya yang selalu dipamerkan. Kotobuki, adalah manifestasi zen di zaman ini, getus Shinji. Atau mungkin Jesus? Tetapi Kotobuki tidak menyimpan rambut panjang seperti Jesus. Kepalanya gondol seperti Socrates.

 

“Shinji, mengapa engkau bertanya?” Soalan Kotobuki menerjah lamunan Shinji.

 

E tookashi da ne? (aneh bukan?). Engkau tahu apa-apa berkenaan pokok aomomiji?”

 

“Ia muncul di lembah-lembah yang dijaga hayabusa-no-kami sejak purbakala.”

 

“Dari mana ia bermula? Aku aneh, bagaimana resin dari pokok itu boleh menguatkan bilah.”

 

“Aku pun tidak pasti. Soalanmu itu bukan hanya terpakai pada aomomiji, Shinji. Ia juga terpakai kepada kita. Engkau tahu dari mana kita berasal?”

 

“Dari perut ibu kita. Dari benih ibu bapa kita. Kemudian ibu bapa kita pula, dari benih ibu bapa mereka. Dan seterusnya. Sehinggalah kepada yang paling atas sekali di rantaian itu. Selepas itu aku tidak pasti dari mana mereka berasal.”

 

“Bagus Shinji. Aku tahu engkau budak bijak. Sekarang soalanku yang seterusnya, engkau tahu bila kita akan mati? Dengan siapa kita akan berkahwin? Apa yang akan berlaku di masa akan datang?”

 

Shinji menggelengkan kepala.

 

“Shinji, di dalam dunia ini, ada perkara yang sains tidak mampu menjelaskannya. Sains hanya sebuah seni. Seni agar kita boleh mengolah apa yang telah wujud di sekeliling kita, untuk kebaikan kita. Sains mengajar kita bagaimana mengolah resin dari aomomiji itu sebagai penguat bilah. Namun sains tidak akan dapat menjelaskan dari mana pokok itu bermula. Maksudku, dari mana moyang asal pokok tersebut bermula. Kita boleh mencari dan terus mencari, namun akhirnya kita hanya akan dibawa kepada pengakuan bahawa ia diciptakan sesuatu.”

 

“Aku tidak faham. Bukankah itu satu keputusasaan?”

 

“Shinji, seorang yang bijaksana tahu di mana dia harus berputus asa. Namun, engkau tidak semestinya akan merendah diri meskipun sudah berputus asa. Dengan merendah diri, kita akan mengakui kewujudan satu pencipta tunggal.”

 

Shinji teringat buku-buku Katolik yang dibacanya sewaktu kecil ketika tinggal di gereja Katolik di Kyoto. Dia mahu bertanyakan Kotobuki berkenaannya, namun Kotobuki bukanlah seorang Katolik. Dia menyimpan. Mungkinkah Tuhan Bapa itu tuhanku?

 

“Jadi, apakah para kami itu pencipta kita?”

 

“Mulanya aku fikirkan begitu, namun kemudian aku berfikir aku sendiri tidak pasti kami yang mana satu. Setiap kami dalam alam ini punya peranan masing-masing. Kami yang menjaga hayabusa memberikan kuasa kepada kami. Satu perkara masih menimbulkan ragu dalam benakku.”

 

“Apakah ia?”

 

“Keteraturan. Bagaimana setiap kami-kami ini tidak bertelagah sesama sendiri. Yang menjaga hayabusa, tetap dengan tugasnya. Yang menjaga gunung-ganang, lautan, pokok-pokok, binatang.... Pasti ada satu kami yang paling kuat yang memimpin mereka... . Apapun, jika engkau berminat, engkau mungkin boleh mencari jawapannya sendiri, Shinji. Namun aku, aku percaya, ada satu kami yang paling kuat yang memimpin semua kami-kami yang aku perkatakan tadi. Dan aku fikir kami ini bukanlah kami (semangat) bahkan ia pencipta mereka dan kita dan seluruh alam ini, iaitu satu maha pencipta tunggal yang layak dipanggil Tuhan. Sekurang-kurangnya itulah yang aku percayai.”

 

Apakah yang Kotobuki maksudkan? Ia mirip Tuhan Bapa dalam agama Katolik. Apakah agama Katolik itu mampu merungkaikan kekusutan di dalam benakku ini? Sebentar. Kepercayaan Kotobuki itu langsung tiada kena-mengena dengan agama Shinto mahupun Katolik. Ia seperti sebuah kepercayaan asing.

 

Sebentar. Aku pernah membaca tentang sebuah agama yang mirip dengan penerangan Kotobuki itu, yang telah berkembang pesat di Timur Tengah, iaitu sebuah kawasan padang pasir di antara negara kami dengan England dan Belanda. Bahkan agama itu berkembang sehingga menjadi sebuah empayar yang menguasai dua pertiga dunia, lebih besar dari Qing.

 

Penganut agama itu hanya berpegang bahawa Tuhan itu satu dan tiada langsung sekutu-Nya, dan tidak langsung sama dengan Katolik. Kepercayaan mereka terlalu murni, dan aku tidak pernah membaca tentang agama yang begitu tegas sekali pemahamannya tentang Tuhan selain agama tersebut. Dari sejarah awalnya yang kubaca, agama itu dibawa oleh seorang utusan Tuhan – sepertimana yang diperkatakan oleh penganutnya - dan di awal penyebarannya, mereka berperang dengan kaum mereka sendiri yang percaya kepada banyak tuhan. Sampai begitu sekali tegasnya mereka. Bahkan, mereka hanya percaya utusan Tuhan itu hanyalah seorang manusia biasa yang diamanahkan untuk menyampaikan agama tersebut dan dia bukanlah anak Tuhan, seperti orang-orang Katolik mempercayai Jesus.

 

Namun aku tidak dapat memahaminya. Bagaimana berselisih pendapat antara mempercayai tuhan yang tunggal dengan tuhan yang banyak, boleh melarat kepada peperangan? Apa dorongan orang-orang yang menganut agama tersebut sehingga mereka begitu tegar membawa agama mereka dan sanggup berperang dengan bangsa mereka sendiri? Padaku, ia sebuah agama yang sungguh aneh, dan aku benar-benar ingin mengkajinya lebih dalam. England dan Belanda juga pernah berperang dengan Sepanyol dan Portugal pada abad ke-16 lalu disebabkan perbezaan pendapat tentang agama mereka juga iaitu antara Protestan dan Katolik, namun ia bukan disebabkan perbezaan bilangan tuhan yang mereka percaya.

 

Jauh juga aku mengelamun. Berbalik kepada penerangan Kotobuki tadi, apakah itu bermakna Kotobuki sudah murtad dari kepercayaan Shinto? Jika begitu dia tidak sepatutnya menjadi sami.

 

Jawapan Kotobuki juga samar. Bagaimana mungkin aku merendah diri jika masih banyak yang boleh kufikirkan? Apakah jika buntu memikirkan sesuatu permasalahan, aku hanya perlu mengatakan ‘ah, sudah memang tuhan menjadikannya begitu, terima sahajalah’ dan berhenti dari memikirkannya? Sehingga sejauh manakah aku perlu menari dengan seni sains baru kutemukan jawapan? Atau aku perlu memerah otakku sehingga tiada lagi jawapan yang boleh kukeluarkan? Lantas aku merendah diri?

 

“Engkau faham kata-kataku Shinji? Engkau mengelamun...”

 

“Sehingga ke tahap manakah harus aku menggunakan akal?”

 

“Sehingga engkau bingung dan datang bertanyakan aku, seperti sekarang.” Kotobuki senyum, menonjolkan kata-katanya itu sebagai sebuah sindiran. Shinji menepuk kepalanya. Dia tidak sedar, dia datang dalam kebingungan bertemu Kotobuki.

 

Aku faham, Kotobuki. Aku faham maksudmu. Merendah diri itu ketika engkau memutus sama ada mahu menerima kelemahan dirimu atau menolaknya dengan ego.

 

Namun aku masih tidak yakin dengan teori kami dari ajaran Shinto, mahupun teori triniti dari agama Katolik. Aku yakin, pada saat ini, bahawa kuasa tunggal itu wujud. Namun aku tidak tahu lebih dari itu. Aku mahu mengetahuinya lebih. Aku mahu sandarkan semua kebingungan ini kepadanya, kepada satu kesimpulan tunggal yang tidak bercabang-cabang.

 

Maka mengapa tidak sahaja aku meminta kepada kuasa tunggal itu agar mengurniakan kepada kami penawar aotsuyu? Shinji bertanyakan Kotobuki.

 

“Shinji, jika begitu mudah engkau meminta kepada kuasa tunggal yang menciptakan kita, maka apa gunanya akal yang dia berikan kepada kita?”

 

Betul juga. Apakah itu bermakna, aku harus menggunakan akalku sehingga tiada apa lagi yang dapat aku keluarkan darinya, seraya mengakui kelemahanku dan berserah kepadanya? Apakah itu yang engkau maksudkan, Kotobuki?

 

“Shinji, kita berusaha, melakukan yang terbaik. Selebihnya kita serahkan kepadanya. Kepada pencipta kita yang tunggal itu yang tiada sekutu.”

 

Jawapan emas diberikan kepada Shinji.

 

Shinji mencatit kesemua dapatan dari perbincangan dengan Kotobuki pada sebuah kertas. Namun, malangnya dia terhilangkan catitan itu sewaktu menempa pedang Saishi-tou untuk Hisamiko.

Previous: Bab 88
Next: Bab 90

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov