Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 96

“Ryouji, jauh lagikah lembah Okuhida itu?”

 

“Kita akan sampai selepas tengahari.”

 

Jauh lagilah! Sekarang masih dinihari. Bulan sabit masih terang di dada langit.

 

Tsuneki menunggang kuda menuruti Hisamiko yang juga menunggang Kaname, kuda kecil itu sedang Ryouji berada di hadapan memimpin mereka, juga menunggang kuda, meredah laluan ke Hidagawa  - atau sekarang dinamakan Jooryoku - di selatan.

 

Selepas sejam lebih turun dari Shirasaka, mereka merentas denai yang panjang dibarisi hutan-hutan renek. Di sebelah kanan mereka ialah Laut Jepun.

 

Mereka tiba di sebuah perkampungan nelayan bernama Onuma.

 

“Ryouji, boleh kita berhenti sebentar di simpang itu? Aku mahu bertemu seseorang.”

 

“Baiklah Tsuneki.”

 

Mereka berhenti di simpang dan membiarkan kuda masing-masing meragut rumput di bawah sebatang pokok.

 

Tsuneki berjalan terus diikuti Hisamiko dan Ryouji, menelusuri sebuah teratak kerikil. Teratak itu merentas belukar. Ada pokok shirakaba yang tumbuh jarang-jarang di serata belukar itu. Tidak jauh di hadapan mereka ada sebuah torii kecil berwarna perang. Di atasnya terpampang papan tanda kayu bertulis “Onuma Jinjya (Kuil Shinto Onuma)”. Semakin mereka mendekatinya semakin jelas di telinga bunyi sungai mengalir. Itu Sungai Jinzu, yang menjadi sumber air kepada penduduk di perkampungan tersebut. Mereka berjalan merentas sebuah jambatan merentangi sungai tersebut sehingga tiba di hadapan torii perang.

 

“Sungai inilah yang telah menyebarkan kuman taun kepada penduduk kampungku dan otou-san (bapaku).” Tutur Tsuneki sambil tangannya menuding ke bawah jambatan. “Ladang ternakan Hagiura terletak di hulu sana.” Dia menunjuk jauh ke arah timur laut. “Rumah kami terletak di balik pokok ume itu.” Dia menunjuk pula ke arah barat laut, pada sebatang pokok ume yang sekelilingnya penuh dengan semak samun, namun dapat dilihat sebuah denai yang kini terbiar dipenuhi pucuk-pucuk renek yang berselirat. Perkampungan ini kelihatan seperti sebuah perkampungan yang mati. Mereka tidak bertemu seorangpun yang lalu-lalang di situ. Namun yang anehnya teratak yang mereka lalui tadi bersih. Siapa yang membersihkannya?

 

Sefahamku, tragedi wabak taun itu berlaku sembilan tahun lepas pada tahun 1865. Dua ratus penduduknya mati. Ke manakah perginya mereka yang terselamat? Berapa ramaikah mereka?

 

“Apa yang berlaku kepada mereka yang terselamat?”

 

“Aku tidak pasti. Mungkin aku boleh bertanyakan seseorang yang kukenal bila kita sampai ke sana nanti.”

 

“Di mana maksudmu?”

 

“Pusara bapaku.”

 

Sebaik melepasi torii, mereka sampai ke perkarangan kuil Shinto. Tsuneki memberitahu mereka harus melepasi kuil ini untuk ke kubur bapanya. Selepas Takasaki menemuinya berjalan tanpa hala tuju, dia membawa Tsuneki makan kemudian membantu Tsuneki mengebumikan mayat bapanya. Kata Takasaki, dengan pengebumian, engkau akan dapat melawat bapamu kelak.

 

“Itulah yang Takasaki katakan padaku. Kemudian aku menumpang kereta kuda bersamanya menuju Hidagawa.” Mereka semua sudah berada di sekeliling pusara bapa Tsuneki. Tsuneki mula mendiamkan diri seraya bertafakur di tepi pusara bapanya itu.

 

Otou-sankiite no (engkau mendengarku)? Tadaima, aku telah kembali. Aku sihat dan aku harap engkau di sana tenang bersama okaa-san. Aku bersama rakanku, Ryouji dan Hisamiko. Hari ini, pertama kali aku pulang melihatmu. Aku rindukan engkau otou-san. Aku ingin melihat sekali lagi wajahmu jika dapat kuundurkan masa. Sekarang wajahmu hampir-hampir kulupa. Tentang rahsia keluarga kita itu, aku masih mengunci mulutku. Namun aku masih tertanya-tanya mengapa ia amat berbahaya jika didedahkan? Aku berharap engkau datang di dalam mimpiku menerangkannya lanjut.

 

Otou-san, pada hari kematianmu seorang lelaki bernama Takasaki telah datang ke sini menyelamatkanku. Terima kasih mempertemukan aku dengannya. Dialah yang menjagaku sejak engkau tiada, dan dia amat baik terhadapku dan rakan-rakanku. Dia, dan juga isterinya bernama Mariko. Namun malangnya, umur mereka tidak panjang. Mereka telah menyertaimu ke alam kekal. Mungkin engkau boleh berbual panjang dengan mereka di sana? Aku rindukan kalian. Aku ingin sekali bertemu kalian. Namun aku perlu teruskan hidup ini. Dan rakan-rakanku, Hisamiko dan Ryouji menjadi penemanku.

 

Tsuneki menyeka matanya yang berair. Hisamiko mengambil tangan Tsuneki seraya menggenggamnya, sementara Ryouji memegang kedua-dua belah bahunya.

 

Sebaik melangkah pulang, mereka menemui seorang sami Shinto, baru sahaja keluar dari kuilnya.

 

“Tuan, boleh saya tumpang bertanya?”

 

“Silakan, anak.”

 

“Ke manakah perginya mereka yang terselamat dari wabak sembilan tahun lepas?”

 

“Wabak taun itu? Semua mereka telah berpindah ke Semenanjung Noto. Di sana bebas dari Sungai Jinzu yang telah tercemar ini. Aku yang membantu perpindahan mereka.”

 

“Apa telah terjadi kepada ladang Hagiura? Apakah ia sudah ditutup?”

 

“Ya. Maharaja mengarahkan ladang tersebut dipindahkan ke kawasan lain, dan Hagiura telah diarahkan melakukan pembersihan bersepadu air Sungai Jinzu dari hulu ke hilirnya. Sekarang sungai tersebut sudahpun dibersihkan. Namun parut di hati mereka yang kematian orang tersayang tidak akan mudah dihilangkan.”

 

Benar, tuan sami. Parut itu masih berbekas di jiwaku.

 

“Apakah mereka mendapat pampasan?”

 

“Aku tidak maklum akan perkara itu.”

 

“Baiklah tuan sami, terima kasih.”

 

Doumo.”

 

Sebaik mereka jauh meninggalkan kuil itu, Ryouji bertanya.

 

“Engkau kenal sami itu Tsuneki?”

 

“Aku tidak pernah melihatnya. Pasti sami yang baru dari luar.”

 

Sou desuka.”

 

Mereka meneruskan perjalanan ke Hidagawa.

 

**

 

Kawasan yang dilalui mereka kini mulai dikelilingi tumbuhan-tumbuhan gunung. Mereka menyusur di sepanjang tebing Sungai Miya yang panjang itu, yang mengalir dari hulunya di muara di Yozehama, iaitu dari Laut Jepun menghala ke selatan Honshu mengairi celahan banjaran Hidagawa. Hari mulai beransur cerah, kerana siang lebih awal di musim panas ini.

 

Ketika melalui sebuah kawasan di tepi sungai itu, Tsuneki menegur Hisamiko.

 

“Hisamiko, engkau tidak apa-apa?” Tsuneki memanggil nama peribadi Hisamiko.

 

“Aku tidak apa-apa, Tsuneki.” Hisamiko membalas. Tsuneki tahu, Hisamiko cuba menyembunyikan perasaan takutnya. Di situlah dia bergelut dengan beberapa orang lelaki yang cuba menodainya, sebelum diselamatkan oleh Tsuneki dan Azuchi. Tsuneki dapat melihat Hisamiko pantas memalingkan mukanya ke hadapan, cuba melupakan peristiwa pahit itu.

 

Ketika matahari naik separa, mereka tiba berhampiran Furukawa.

 

“Aku fikir kita berehat dahulu di sini, Tsuneki, Hisamiko.” Ryouji mengajak mereka berehat sebentar di kuil Furukawa beronsen. Sebenarnya Kotobuki yang  meminta Ryouji singgah sebenar di kuil tersebut. Ada sesuatu yang perlu diserahkan kepada mereka.

 

“Pagi, Ryouji, Hisamiko.” Penjaga kuil itu keluar dan menegur mereka. “Dan kamu?” Dia memaling muka ke arah Tsuneki.

 

“Tsuneki-desu.”

 

“Tsuneki-san desukaJya, minna hairimashou (mari masuk ke dalam).”

 

Mereka berjalan mengikut lelaki itu masuk ke dalam bilik tamu kuil itu yang terletak bersebelahan dengan penginapan beronsen yang pernah dihuni Ryouji dan Hisamiko.

 

“Kotobuki menghantar khabar tentang kalian dari Kogen. Lama benar dia tidak ke sini sejak mangsa aotsuyu semakin ramai dirawat di sana sejak dua tahun lepas. Bagaimana, sudahkah penawarnya ditemui?”

 

“Ya. Penawarnya sudah ditemui, dalam akhir tahun lepas. Hisamiko juga pernah menjadi mangsanya dan sembuh. Noguchi tabib gila itu sudah menyerah diri. Dia menyerahkan formula penawarnya kepada Kogen dan sekarang menjadi tabib kami.”

 

“Benarkah begitu? Syukurlah. Tuhan telah memakbulkan doa kami. Dan bagaimana dia menyerah diri?”

 

“Anaknya telah dibunuh penyamun di dalam hutan. Dia berubah sejak itu, ikrarnya mahu menyelamatkan anak-anak gadis lain.”

 

“Kasihan mereka. Mungkin karma buat Noguchi yang mencipta racun itu dan telah memangsakan ramai anak gadis kita. Semoga Tuhan mengampuninya.”

 

“Terauchi-san, barangkali Kotobuki tidak akan bertugas sebagai sami di sini lagi.”

 

Sou desuka? Mengapa begitu pula? Tidak pula dia khabarkan apa-apa kepadaku.”

 

“Omi-san tidak berapa sihat dan sudah terlalu tua. Kotobuki akan menyambung tugasnya memimpin Kogen.”

 

Sou-desuka? Sejujurnya aku tidak berapa yakin akan Kotobuki jika dia menggalas tugas berat itu. Aku kenal benar dia.”

 

“Mengapa ojii-san kata begitu?”

 

“Dia bijak dan tahu bertarung serta berpedang sepertimu, namun tidak tegas dalam memimpin. Memimpin, Ryouji memerlukan ketegasan. Kotobuki padaku mudah berlembut. Aku fikir mendiang bapamu Miura lebih sesuai. Oh ya, maafkan aku membangkitkan perihal bapamu.”

 

“Tidak mengapa, Terauchi-san. Aku tidak sangka engkau kenal bapaku.”

 

“Aku seringkali melihat bapamu bertemu Kotobuki di sini, berbicara perihal Hamada ketuanya. Kotobukilah satu-satu rakan yang sering menjadi rakan pendengarnya. Namun malangnya ketika hari dia dibunuh, Kotobuki tiada di Furukawa. Jika dia berada di sini sudah pasti dia akan membantu bapamu.”

 

Lelaki itu mengeluarkan sampul kain kecil seraya menyuguhnya kepada Ryouji.

 

“Ryouji, ambil ini.”

 

“Apakah ini, Terauchi-san?”

 

“Ayame-san menerima dari Mariko sampul ini sebelum dia meninggal, dan dia kecicirannya di sini. Aku tidak tahu apa isinya.”

 

Ryouji membuka sampul kain itu dan mengeluarkan isinya. Ia surat bertuliskan tulisan tangan Takasaki. Ia berbunyi begini “Tsuneki ialah pewaris Higashihara.

 

Tsuneki? Pewaris Higashihara? Ryouji cuba menoleh untuk memandang Tsuneki, namun cepat-cepat menahan diri. Dia tidak mahu menimbulkan curiga Tsuneki.

 

Ryouji cepat-cepat menyimpan sampul itu ke dalam sakunya. Dia perlu membincangkan sesuatu dengan Tsuneki nanti.

 

“Ada apa Ryouji?”

 

E to, tiada apa-apa. Ia hanya pesan Takasaki.”

 

“Pesan?”

 

“Ya. Rahsia kami berdua.”

 

Sou desuka? Aku tidak akan bertanya lanjut. Apa-apapun, Ryouji, Hisamiko, Tsuneki, semoga kalian berjaya dalam hidup kalian selepas meninggalkan Kogen. Sayounara!”

 

Sayounara, Terauchi-san!”

 

Mereka bertiga bergegas dengan kuda meneruskan perjalanan ke lembah Okuhida.

 

Sementara itu, Terauchi menghantar surat melalui merpati pengutus kepada Kotobuki. Surat itu berbunyi begini: “Kotobuki, aku telah memberikan surat yang Takasaki hantar kepadamu itu kepada Ryouji.

 

Kotobuki tersenyum mendapat tahu perkara tersebut. Rancangannya berjaya. Dia sebenarnya tidak mahu membincangkan perkara tersebut di Kogen kerana dikhuatiri akan didengari mana-mana mata-mata atau pencuri dengar yang setia kepada Omi, atau Ayame. Kotobuki tidak mempercayai kedua-dua ahli keluarganya itu. Kedua-dua mereka sedang merancang menguasai Kogen dan menentang Maharaja, dan merancang mendapatkan baki dua persepuluh kuasa hayabusa dari Tsuneki. Melihatkan Tsuneki masih kanak-kanak, Kotobuki memilih untuk berwaspada dahulu. Pengembalian kuasa hayabusa hanya berkesan pada ketika umur Tsuneki mencapai sekurang-kurangnya tiga belas tahun iaitu pada tahun 1873.

 

Ryouji, aku telah memberikan petunjuk. Selebihnya engkau tanyalah Tsuneki sendiri, dan fikirkan sendiri jalanmu menghapuskan kuasa Hamada. Aku tahu doronganmu lebih kuat, kerana engkau mangsanya, dan aku tahu engkau bijak. Aku tahu engkau pasti akan menemuinya. Sekarang adalah masanya, kerana Tsuneki sudah masuk umur dewasa untuk memastikan pengembalian kuasanya berlaku dengan berkesan. Masa yang sekian lama aku tunggu.

 

Dan kami akan menyelesaikan selebihnya selepas kuasa Hamada dihapuskan. Aku percayakan engkau, Ryouji. Jangan hampakan kami.

 

Gambarimasu!

 

**

 

“Kalian, kita akan memasuki Okuhida-no-hara sebaik melintasi belukar ini. Hisamiko, engkau masuk dulu.”

 

“Baik, onii-san!”

 

Hisamiko melintas belukar itu di atas kudanya dan sekelip mata hilang dari pandangan mereka.

 

“Tsuneki, engkau mungkin belum dibenarkan masuk disebabkan engkau bukan Okuhida atau sami Shinto, maka aku akan cuba kaedah ini. Hulurkan tanganmu.”

 

Mereka berdua masih di atas kuda masing-masing. Tsuneki membawa kudanya di sebelah kuda Ryouji, dan Ryouji memegang tangannya. Mereka melintas belukar itu bersama-sama.

 

Sebaik Ryouji sampai ke dalam lembah itu, dia terperanjat. Tangannya yang memegang tangan Tsuneki tadi sekarang ini memegang ranting kayu hidup! Tsuneki, aku tahu tanganmu keding seperti ranting kayu, namun janganlah pula engkau bergurau begini denganku!

 

Ryouji mengundur kembali masuk ke dalam belukar itu untuk bertemu Tsuneki.

 

“Tsuneki, engkau memang tidak bergurau denganku bukan?” Ryouji bertanya begitu kerana Tsuneki gemar bergurau.

 

“Tidak, Ryouji. Aku pun tidak tahu apa yang telah berlaku. Aku memanggil namamu tetapi engkau seolah-olah langsung tidak mendengar suaraku.”

 

“Beginilah, engkau tunggu di sini. Aku akan pergi ke dalam sebentar dan kembali. Tunggu di sini dan jangan ke mana-mana!”

 

“Baik, Ryouji.”

 

Ryouji pergi ke tama-no-iwa di pusat lembah itu, membaca beberapa rangkap mantera yang pernah diajar Kotobuki dan menyebut nama Kitsune Tsuneki. Dia kembali ke tempat Tsuneki dan memimpin tangannya masuk ke lembah itu sekali lagi, namun masih tidak membuahkan hasil.

 

“Tsuneki, aku harap engkau berterus-terang denganku. Apa nama sebenarmu? Nama keluargamu.”

 

“Bukankah telah aku katakan Kitsune?”

 

“Jika benar, sudah pasti engkau telah dibenarkan memasuki. Tsuneki, percayai aku. Apa nama sebenar keluargamu?” Ryouji terus-terusan mendesak.

 

Tsuneki gugup. Dia mengikut mereka demi Hisamiko. Dia mahu melihat Hisamiko setiap hari. Aku tidak boleh untuk tidak memasuki lembah ini. Aku mencintai Hisamiko, dan Hisamiko juga mencintaiku.

 

“Higashihara...”

 

“Baiklah, Tsuneki. Engkau tunggu di sini. Aku akan ke dalam sekali lagi. Aku harap engkau berkata benar.” Ryouji memendam rasa terkejutnya dengan nama keluarga Tsuneki itu, namun dia akan membincangkannya kemudian. Mungkin ada hubungan dengan mesej Takasaki itu.

 

Ryouji mengulang sekali lagi dan kali ketiga ini, Tsuneki berjaya masuk ke dalam lembah itu.

 

Mereka duduk-duduk berhampiran tama-no-iwa lembah itu. Hari sudah semakin senja. Hisamiko sedang mengejar kunang-kunang yang banyak berterbangan di lembah bungaan liar itu.

 

“Higashihara? Apakah engkau bersusur galur dari Higashihara Hiiragiko, pemanah handal Heian itu?”

 

“Benar.” Pengakuan Tsuneki membenarkan surat dari Takasaki yang diterima dari Terauchi itu.

 

“Habis itu, apa pula kaitannya dengan nama keluarga Kitsune?”

 

“Itu hanya rekaanku kerana aku benar-benar tidak ingat nama sebenar keluargaku.”

 

“Tidak ingat? Tsuneki, engkau sakitkah?” Ryouji sedikit hairan kerana Tsuneki tidak pernah menceritakan hal berkenaan meskipun mereka sudah lama kenal satu sama lain.

 

“Aku hilang sebahagian dari ingatanku selepas otou-san meninggal dunia, terutama perbualan-perbualan dengannya. Selepas Takasaki-san membawa aku ke rumah itu, aku menggunakan nama Kitsune, dengan memutarkan namaku sendiri. Lebih mudah diingati. Takasaki menerimanya namun wajahnya penuh curiga.”

 

Patutlah aneh benar bunyinya. Ya, aneh. Siapa yang tergamak meletakkan ‘musang’ (kitsune) sebagai nama keluarganya?

 

“Jujurnya, bunyi Kitsune itu kelakar. Aku masih teringat aku pernah ketawa mendengarnya. Maafkan aku.”

 

Iikara (tidak mengapa), Ryouji.”

 

Ryouji memegang bahu Tsuneki. “Ceritakanlah, Tsuneki. Hanya kita bertiga di sini.”

 

“Moyangku bernama Higashihara Hiromatsu, daimyo ke-72 Wilayah Yozehama yang sekarang ini dimasukkan ke dalam Kodama. Datukku, pewaris tunggalnya, melarikan diri ke dalam hutan dan memutuskan hubungan keluarga dengannya. Anaknya iaitu bapaku kemudian menjadi nelayan di Onuma.”

 

Otou-san pernah memberitahuku sejarahnya, namun dia berkata mahu bebas dan kekal hidup sebagai rakyat biasa, jauh dari lingkungan politik. Maka kami kekal hidup sebagai nelayan di Onuma.”

 

“Sejak kecil bapaku mengingatkan bahawa kami memiliki nama keluarga iaitu Higashihara, namun menegaskan agar tidak membongkarkan rahsia itu. Disebabkan kami nelayan, maka kami tidak perlu menggunakan nama keluarga dalam banyak perkara, maka rahsia itu kekal rahsia.”

 

“Bagaimana engkau berjaya mengingat semula semua ini?” Ryouji ditebak rasa ingin tahu.

 

“Selepas Takasaki membincangkannya denganku suatu hari ketika kalian keluar pada tahun 1871. Saat itu aku diserang sakit kepala yang amat sangat. Engkau ingat bukan?”

 

Ryouji teringat. Pada ketika itu, dia keluar untuk misi pertamanya, pada 1871. Selepas pulang dia mendapati Tsuneki hanya berbaring di bilik tidak keluar-keluar. Takasaki memberitahunya yang Tsuneki sakit dan meminta dia tidak mengganggunya. Takasaki tidak memberitahu lebih dari itu maka ia kekal rahsia dari pengetahuannya.

 

“Aku masih tidak faham, Tsuneki. Adakah Takasaki-san sudah tahu nama sebenarmu ketika engkau masuk ke rumah perlindungan kita?”

 

“Tidak.”

 

“Tsuneki, engkau tahu bukan rumah Takasaki-san dilindungi tama-no-iwa?”

 

“Ya, Shinji ada memberitahuku.”

 

“Habis itu bagaimana pula engkau boleh masuk jika Takasaki-san belum tahu nama sebenarmu?”

 

“Kuasa tama-no-iwa tidak berkesan ke atas aku kerana ketika itu aku berumur di bawah tiga belas tahun.”

 

Patutlah. Bererti dia juga dapat memasuki Shirasaka-no-kogen kerana sebab yang sama. Sekarang tidak lagi. Umurnya sudah mencecah empat belas.

 

**

 

Musim bunga, 1871 (Ryouji, Shinji dan Hisamiko baru pulang dari misi mereka)

 

Takasaki duduk termenung di dalam pejabat yang sengaja dibiarkan gelap malam itu. Dia termenung panjang memikirkan penemuan barunya berkenaan Tsuneki.

 

Tidak aku sangka-sangka. Kekerapan aku merayau-rayau mencari penghuni baru rumah ini akhirnya menemukan aku dengan pewaris kuasa Higashihara. Patutlah Tsuneki mahir benar memanah!

 

Takasaki teringat pesan Miura. Pada ketika itu Miura sudah menyertai Kogen, sedang Takasaki masih berkhidmat kepada Hamada dan pada masa yang sama sudah menyertai Kogen senyap-senyap. Ia tahun 1853, lebih kurang dua tahun sebelum Takasaki meninggalkan Hamada dan membuka rumah perlindungan di Hidagawa di bawah Kogen.

 

“Takasaki, Hamada punya kuasa hayabusa sepertiku.”

 

“Engkau bergurau Miura?” Takasaki tidak mempercayainya.

 

“Engkau pun tahu bukan, yang dia halimunan kecuali pada orang-orang tertentu, seperti kita? Sekarang aku sudah tidak dapat melihatnya, sejak aku meletak jawatan dan menyertai Kogen. Tidak syak lagi, dia telah menyingkirkan namaku dari senarai orang-orang yang dapat melihatnya.”

 

Takasaki mengangguk kecil. Dia sudah maklum lama akan kuasa Hamada itu namun tidak pula dia fikir ia ada kaitan dengan kuasa hayabusa.

 

“Maka apa kaitannya dengan kuasa hayabusa?”

 

“Hamada ada menyimpan tama-no-iwa yang diwarisi dari daimyo Yozehama terakhir yang juga dari keturunan Hiiragiko pemanah handal Heian itu, Higashihara Hiromatsu. Dari batu itu dia mendapat kuasa halimunan dari hayabusa-no-kami.”

 

“Bagaimana pula dia memperolehinya dari daimyo Higashihara?”

 

“Dari bapanya. Bapanya rakan baik Higashihara. Higashihara tidak dapat menjejaki anak tunggalnya yang melarikan diri, lantas mewariskan kuasa dan juga wilayah Yozehama kepada bapa Hamada.”

 

“Atau sebenarnya, dia telah diugut? Yoshitsugu Hoshi, bapa Hamada yang merupakan daimyo Shinagawa itu punya populasi terbesar berbanding wilayah-wilayah lain di Jepun Tengah seperti Hidagawa dan Yozehama, maka dia mampu menghasilkan kekuatan tentera yang besar. Samurai-samurainya juga antara yang terbaik di Jepun. Bahkan, dia memiliki Shizen, pekan tempat katana berkualiti kita ditempa. Mana mungkin Higashihara mampu mengalahkannya.”

 

“Aku tidak menafikan sejarah itu, Takasaki. Namun, memberikan kuasa yang diwarisi nenek moyang, adalah kerelaan, bukan dari ketakutan. Dengan adanya kuasa sebegitu engkau tidak perlu takut dengan sesiapapun.”

 

“Untuk apa engkau memberitahuku semua ini, Miura?”

 

“Kunci bagi menghapuskan kuasa Hamada ada di tangan pewaris Higashihara. Jika kita dapat menemui mereka, kita boleh memujuk mereka pergi ke Higashi-no-Yane di Yokuma dan meminta kepada hayabusa-no-kami agar dikembalikan kuasa mereka. Kuasa Hamada akan lesap dan dikembalikan kepada pewaris Higashihara.”

 

“Di mana anak Higashihara Hiromatsu itu melarikan diri? Engkau ada petunjuk?”

 

“Aku tidak tahu. Aku juga sedang mencarinya.”

 

“Mengapa baru sekarang engkau memberitahu perkara ini kepadaku? Hamada gila itu sudah membunuh ramai orang.”

 

“Aku juga baru mengetahui perkara ini. Datukku Sobue merupakan pemedang handal. Dia mencatit sesuatu berkenaan maklumat yang diperoleh dari hayabusa pengiringnya Azuchi. Aku baru sahaja menemui catitannya di rumah bapaku ketika aku berkemas untuk pindah ke Hidagawa.”

 

“Apa butirannya?”

 

“Dalam catitan itu dia hanya menulis yang tiga puak memegang kuasa hayabusa; Higashihara, Okuhida dan Shirasaka. Juga berkenaan siapa mereka dan pecahan kuasa mereka. Sedang bagaimana Hamada mendapatkan kuasa tersebut dan bagaimana untuk mendapatkan kembali darinya, aku tahu dari Kotobuki.”

 

“Kotobuki?” Takasaki belum mengenali Kotobuki pada masa ini.

 

“Shirasaka Kotobuki, anak kepada Shirasaka Omi, pengasas pertubuhan kita.”

 

“Shirasaka? Miura, apakah mereka Shirasaka yang sama yang engkau sebut tadi...”

 

“Benar. Aku sendiri tidak mempercayai tulisan datukku lantas aku bertemu Kotobuki. Akhirnya dia membongkarkan rahsianya.”

 

“Kemudian dia menceritakan bagaimana menghapuskan kuasa Hamada. Dia mendapat tahu dari hayabusa pengiring Ayame anaknya. Namun kaedah itu akan membatalkan kuasa perlindungan rumah-rumah perlindungan Kogen.” Miura meneruskan memberitahu kaedah yang sama yang diberitahukan Kotobuki kepada Ryouji.

 

“Namun Kotobuki punya kaedah lain. Dia memberitahuku berkenaan pewaris Higashihara, seperti yang kukatakan tadi.

 

“Aku memutus untuk bertanya kepada hayabusa-no-kami di tama-no-iwa di lembah kami tentang di mana pewaris itu. Namun dia tidak mahu memberitahuku, bahkan meminta aku mencarinya sendiri.”

 

“Aku masih mencari pewaris Higashihara itu di serata pelusuk Jepun. Amat sukar menemukan mereka. Aku amat berharap dapat bertemu mereka suatu hari ini. Dari desas-desus orang ramai, aku yakin mereka berada di Yozehama, barangkali sudah lama keluar dari hutan persembunyian moyang mereka.”

Previous: Bab 95
Next: Bab 97

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov