Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 20

“Shinji, bolehkah engkau boleh menciptakan penembak edamame yang lebih pantas?” Ryouji bertanya tiba-tiba pada suatu hari.

 

“Aku sedang cuba. Aku masih memperbaharui kaedahku. Mujur aku menggunakan besi sama untuk bilah katana untuk menghasilkan springnya maka aku tidak perlu membeli bahan-bahan lain selain yang ada di dalam bengkel.”

 

“Spring?”

 

“Ya. Alat utama dalam penembak itu. Ia menyimpan tenaga yang kau bekalkan ketika memulas tombol, dan melepaskan kesemuanya sekaligus pada peluru edamame selepas engkau menarik picu.”

 

“Menarik.” Ryouji mengakuinya. Ilmu Shinji amat mempesonakan. Dia teringin mempelajarinya lebih dalam, namun dia fikir lebih baik dia mengharapkan Shinji sahaja. Kerana fikirnya dia lebih betah dalam hal-hal lain.

 

“Shinji, hasilkan satu untuk setiap seorang dari kita. Aku mahu berlatih. Aku mahu mereka beramai-ramai menembakku.”

 

Nani??! Kau sudah gilakah?”

 

“Ya.”

 

Engkau memang gilapun, Ryouji. Sampai sekarang aku masih tidak tahu bagaimana engkau menarik hayabusa. Dan cara engkau bertarungpun aneh. Separa kami. Aku tidak pernah melihat kepantasan sebegitu, hatta Takasaki sekalipun.

 

“Aku terima permintaanmu sebagai cabaran!” Shinji bersetuju. Ya, aku akan menambahbaik senjataku, agar penembak itu lebih pantas menembak dari gerakan hayabusa.

 

Sejak itu dia banyak menghabiskan masa di perpustakaan dan bengkel relau. Takasaki bimbang akannya kerana dia kerap melangkau waktu makan. Sampaikan Mariko sendiri datang ke bengkel dan membawa makanannya.

 

“Ryouji, apakah engkau telah meracuni fikiran Shinji?” tanya Takasaki separa berseloroh.

 

“Aku cuma memberikannya galakan. Secara tidak langsung, aku juga dapat berlatih dengan peralatan yang lebih canggih.”

 

Tsuneki gemar betul menggunakan penembak kotak itu. Dia amat gembira sekiranya tembakannya mengena Ryouji. Selalunya tembakannya akan mengena Ryouji lima puluh peratus, bakinya menyasar ke lain. Dan semakin hari, peratusan mengena semakin berkurang. Ryouji semakin arif. Dia belajar dan menambahbaik. Namun selain Ryouji dan Hisamiko, tiada sesiapa yang akan dapat mengelak dari tembakan Tsuneki. 

 

Tembakan Tsuneki amat jitu. Bahkan, Takasaki menyedari perkara tersebut dalam satu sesi latihan dan amat kagum dengannya. Dia penembak paling tepat pernah Takasaki lihat. Justeru, dia melatih Tsuneki memanah.

 

Ryouji fikir dia harus lekas. Meningkatkan kemahirannya ke tahap tertinggi, dan melatih Hisamiko. Dia tidak boleh hanya menunggu Takasaki. Dia tidak lagi punya banyak masa.

 

Masih segar kata-kata Kotobuki, sami di kuil beberapa bulan lalu selepas dia diserang Sonzaemon dekat Furukawa.

 

“Ryouji, aku ingin perkatakan sesuatu kepadamu, sesuatu yang belum pernah aku beritahu berkenaan perjanjian moyangmu Zenzaburo dengan hayabusa-no-kami.

 

Harapku engkau bertenang mendengarnya. Pernahkah engkau mendengar sumpah hayabusa?

 

“Tidak pernah, Kotobuki-san.

 

“Bahawa kurniaan kepantasan hayabusa kepada puakmu adalah di atas suatu pembayaran. Setiap seratus tahun, salah seorang dari puakmu akan mati sebelum umurnya mencecah dua puluh tahun.”

 

“Jadi?” Ryouji tidak sabar mendengar siapakah yang dimaksudkan Kotobuki.

 

“Engkaulah orang itu, yang akan mati sebelum umurnya menginjak dua puluh tahun.” Beritahu sami itu selamba. Adakah sami ini bergurau?

 

“Apakah ada sebarang tanda yang engkau kesani?”

 

“Tunjukkan semula lenganmu.”

 

Sami itu menekan nadi Ryouji sekali lagi dan menyuruhnya bertenang. Kemudian dia melurut lengan Ryouji ke pangkal pergelangan tangannya, dan menunjukkan tanda hitam pada pergelangan tangan yang timbul dari tekanan tersebut

 

“Tanda hitam ini  akan semakin jelas tanpa ditekan semakin menjelang tahun kedua puluhmu.”

 

“Kemudian engkau tidak lagi boleh menggunakan tanganmu yang ini, beransur-ansur, sehingga hari kematianmu.”

 

“Aku tidak boleh meramal tepat bila engkau mati. Namun jika engkau bernasib baik dan melepasi tahun itu, engkau akan mencapai usia tuamu seperti manusia biasa.”

 

Ryouji tenang mendengarnya. Dia tidaklah terlalu mempercayai sami meskipun kata-kata mereka kadangkala berguna. Dia juga tidak takut mati. Cuma yang paling dia takuti, Hisamiko akan berseorangan. Dia risau, amat. Bagaimana Hisamiko akan hidup berseorangan tanpaku? Bagaimana dia akan melindungi dirinya? Umurku kini empat belas. Jika kata-kata sami itu benar, bererti jangka hayatku cuma berbaki lagi enam tahun. Dan pada tahun kedua puluhku, Hisamiko akan berumur enam belas tahun dan sudah menjadi seorang anak gadis.

 

Aku harus lekas dalam segala-galanya.

 

Sugoi, zenbuu meichuushita (Semua mengena)!” teriak Tsuneki menerjah Ryouji, mengembalikan dirinya ke alam nyata. Semua kacang-kacangnya mengena Ryouji.

 

Mou ichido (sekali lagi), Tsuneki!” Ryouji lebih bersemangat kali ini. Dia tiada masa untuk berlengah!

 

**

 

Awal musim bunga, 1870.

 

Cuaca cerah pagi itu, suhu suam dan nyaman sekali. Bau sakura mulai harum. Pepohon shirakabamomiji dan sasa di taman bonsai masih lagi gondol, hanya kelihatan daun-daun muda baru berputik. Musim bunga 1870 membuka tirai. 

 

Hari ini semua penghuni di rumah itu berkumpul di keliling gelanggang. Ada aktiviti menarik yang akan dilakukan mereka semua.

 

Shinji telah menghabiskan dua bulan musim sejuknya bertungkus lumus di dalam bengkel untuk menghasilkan penembak kacang edamame, dan juga alatan lain seperti katana khas untuk kaminari-no-kaze. Setiap seorang dari mereka, termasuk Takasaki dan Mariko, mendapat satu penembak. Mereka akan menembak Ryouji beramai-ramai hari ini, di gelanggang itu.

 

“Aku menggunakan spring paling kuat untuk penembak kali ini, Ryouji. Engkau perlu berusaha keras untuk mengelaknya.”

 

“Serahkan kepadaku, Shinji.” Ryouji menyeringai sahaja.

 

Ryouji membuka pencaknya seperti yang dipelajari.

 

Kaminari-no-kaze terbahagi kepada sepuluh jurus, semakin tinggi jurus tersebut semakin meningkat kepantasannya.

 

Jurus pertama ialah jurus menyerang berseorangan yang paling asas menggunakan apa sahaja jenis pedang. Jurus kedua ialah jurus mengelak dengan regu dan merupakan jurus pengelakan paling berkesan untuk lari dari pertarungan, namun menghabiskan banyak tenaga. Jurus kedua ialah jurus asal seni ini. Jurus-jurus lain dicipta berdasarkan jurus kedua.


Jurus ketiga dan keempat ialah jurus menyerang berseorangan dengan kepantasan lebih, menggunakan katana khas yang lebih kuat dan ringan beserta berat badan yang lebih ringan. Jurus kelima dan keenam ialah jurus mengelak berseorangan. Ryouji akan menggunakan jurus kelima dan keenam pada hari ini, setelah mempelajarinya dari Takasaki sejak mula menetap di situ. Jurus keenam membolehkan dia mengelak peluru. Jika dia benar-benar mahir menggunakan jurus keenam, dia mampu mengelak peluru tanegashima dan fukiya. Untuk mahir jurus keenam, dia harus bermula dengan jurus kelima terlebih dahulu.

 

Hajimemasu (Mula)!”

 

Tsuneki menembak dahulu. Ryouji pantas menangkap edamame itu kemudian mengunyahnya dengan wajah angkuh, sambil tersengih kepada Tsuneki. Tsuneki menembak lagi, masih belum mengena. Kemudian Chisato, Chinami, dan Chiho menembak serentak dari sebuah arah. Yabai! (Bahaya!) Ryouji hampir terbang, agak tinggi juga dia melompat dari dataran. Masih, semuanya tidak mengenai sasarannya. Subarashii! Takasaki takjub.

 

Aku mahu mereka melihat Hisamiko pula, getus Mariko. “Hisamiko, pamerkan kebolehanmu juga.” Hisamiko hanya mengangguk. Kecederaannya sudah pulih sepenuhnya sejak insiden di hutan pinggir Furukawa.

 

Ryouji tidak pernah melatih atau melihat Hisamiko bertarung meskipun dia amat ingin melihatnya selepas laporan Mariko pada hari pertama mereka di situ. Dia hampir terlupa akan Hisamiko. Dia sangat ingin melatih Hisamiko sendiri namun dikekang oleh peraturan yang menghalang pertarungan rentas jantina. Hanya dia senyap-senyap melatih Chisato di hutan buluh dalam beberapa malam bagi memulihkan keyakinannya, dan juga terdorong oleh cinta terhadapnya yang semakin mekar. Sambil menyelam, minumlah air!

 

Ryouji mahu mencari peluang melatih Hisamiko, namun bagaimana? Bertarung di hutan buluh seperti Chisato di tengah malam amatlah tidak kena gayanya. Disebabkan itu, dia tidak tahu bagaimana untuk membawa Hisamiko bertarung dengannya di pinggir Furukawa, kerana dia tidak arif sejauh mana kebolehan Hisamiko bertarung, dan tidak betah bertarung bersama regu wanita.

 

Aku akan bertegas dengan Takasaki, selepas ini! Aku akan meminta kebenaran bertarung bersama penghuni wanita, sebelum aku terlambat!

 

Hisamiko masuk ke gelanggang dengan yukata bercorak bunga sakura, yukata yang dijahit oleh Chisato khas buatnya dan memakai seluar umanori berwarna merah jambu, beserta tabi putih dengan but hitam. Rambutnya hitam panjang disanggul kemas ke belakang, dengan sedikit melepasi pipinya. Hisamiko memiliki sepasang mata yang cantik, ruyup ke sisi seperti Chisato dan ibunya Ritsuko dan sedikit sepet. Kulitnya cerah kekuningan. Wajahnya masih bujur. Dia berumur sebelas tahun ketika itu. Dia pasti akan membesar menjadi seorang gadis yang cantik suatu hari nanti.

 

Hisamiko membuka pencak. Tsuneki adalah yang pertama menembak. Dia menyasarkan edamame itu ke kepala Hisamiko. Tidak mengena. Kemudian, Funazuki menyusul dengan tembakan menghala ke depan dan belakang Hisamiko. Hisamiko melompat seperti sudah tahu akan ada edamame meluncur dari belakangnya. Kemudian, beradik Ogasawara pula menembaknya dari kiri, kanan dan depan. Juga tidak mengena.

 

Mariko melopong sahaja, takjub dengan rentak Hisamiko. Dia amat terhibur dengan apa yang dilihatnya, seperti putik bunga sakura yang menari-nari ditiup angin. Mengkhayalkan!

 

Gerakan Hisamiko ialah gerakan kaminari-no-kaze yang dipelajari dengan pengamatan. Dia seringkali melihat Ryouji bertarung dengan Kobato. Disebabkan dia belum mahir menggunakan senjata, maka gerakannya hanya terhad kepada gerakan mengelak, iaitu jurus kelima dan keenam. Amat mengagumkan pada umur begitu dia sudah menguasainya dan kepantasannya setanding Ryouji.  

 

Tsuneki pun mulalah dirasuk pemikiran nakalnya.

 

“Shinji, aku akan membaling onigiri ini masuk ke dalam mulut Mariko-san yang tenganga itu. Jika masuk, engkau akan menunjukkan padaku di mana letaknya rak ‘rahsia’ di dalam perpustakaan itu.” Tsuneki mengajak Shinji bertaruh dengannya. Dari mana pula dia mencuri onigiri itu?

 

Rak ‘rahsia’ ialah rak di mana letaknya ‘karya’ dewasa Takasaki. Ia tidak dapat dikesan dengan mudah kerana ia dilipat ke dalam dinding. Hanya Takasaki, Shinji dan Ryouji sahaja yang tahu lokasi rak tersebut.

 

Tsuneki bersedia. Dia membilang, satu, dua, tiga! Onigiri itu pantas melayang dan pap! Ia mendarat, namun bukan di mulut Mariko.

 

Ia mendarat di bawah kaki Hisamiko. Hisamiko menyedari onigiri itu menghala ke Mariko dan dia pantas menghentam kakinya ke atas onigiri itu. Dia tahu ia angkara Tsuneki.

 

Hisamiko masih berdiri, dan memandang Tsuneki tajam. Kemudian Tsuneki menembak kakinya. Dia mengelak dan hampir serentak menyepak sisa onigiri itu tepat mengenai pipi Tsuneki. Semua yang berada di situ termasuk Shinji ketawa. Padan muka engkau Tsuneki, nakal sangat! Takasaki juga ketawa. Ryouji terkejut, pertama kali dia melihat Takasaki ketawa begitu. Wajah Takasaki padanya amat serius sepanjang masa.

 

“Jangan haraplah, Tsuneki. Tunggu umur matangmu sampai, baru aku dedahkan di mana lokasi rak rahsia.” Shinji membisik halus ke telinga Tsuneki. Tsuneki memuncungkan mulutnya.

 

Melihatkan kedua-dua beradik Okuhida itu lincah di gelanggang, Takasaki menjadi teruja untuk mencuba kemahirannya juga. Dia masuk ke gelanggang. Semua di situ bersedia dengan penembak masing-masing.

 

“Tap! Tap! Tap!.” Semua mereka menembak hampir serentak. Dari sepuluh tembakan, Takasaki tidak dapat mengelak dua tembakan, satu dari Tsuneki dan satu lagi Shinji.

 

Funazuki juga mahu mencuba kemahirannya. Azusa masuk dahulu. Yang mula-mula menembaknya Ryouji. Tidak mengena. Kemudian Tsuneki. Mengena. Kemudian Ogasawara bersaudara, serentak. Tidak mengena.

 

Keseluruhannya, tembakan Tsuneki adalah yang paling banyak mengena. Ryouji dan Hisamiko pula satu-satunya yang tiada sebarang edamame pun mengenai mereka.

 

“Aku tidak pernah rasa teruja sebegini, sepanjang hidup di sini. Tidak pernah aku dapati rumah ini sebegini meriah. Bahkan, aku tidak pernah terfikirkan idea sebegini mudah mampu memecah suasana, mencairkan hubungan yang dingin. Sungguh engkau Ryouji, budak bertuah!

 

Terima kasih Ryouji, terima kasih Hisamiko, kerana hadir dalam hidup kami. Hontou ni, arigatou!” Takasaki membisik di dalam hati.


Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov