Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 42

Bilik hidang itu menjadi bilik mesyuarat mereka pada pagi itu. Ryouji, Shinji, Chisato, Azusa, Hisamiko dan Takasaki sedang duduk mengelilingi meja makan yang besar itu.

 

Ohayou (Pagi), kalian. Tujuan aku memanggil kalian semua adalah untuk membincangkan penemuan-penemuan ketika keluarnya kalian dari rumah ini mengganggu urusan Ryouji dan Shinji.” Takasaki memulakan kata, sambil menjeling sinis ke arah Chisato, Hisamiko dan Azusa. Muka mereka bertiga merah padam sambil tunduk malu, sementara Shinji ketawa kecil. Ryouji pula hanya tersenyum.

 

Sa, hajime yo (Mari mulakan). Ogasawara-san, kami teringin benar untuk tahu apa yang telah berlaku kepadamu. Ceritakan semuanya.”

 

“Selepas Hisamiko keluar dari sini mencari Ryouji, aku mengejarnya. Azusa bertemuku di depan kuil patung Buddha dan dua patung singa dan mengikutku. Seekor hayabusa mendekati kami, dan Azusa mencadangkan kami mengekorinya kerana dia ada melihat Hisamiko dengan seekor hayabusa sebelumnya. Kami mengekori burung itu, namun ia membawa kami kepada Tsugiyama dan orang-orangnya. Hagiura juga ada di situ. Hayabusa itu besar, dan bertenggek di atas lengannya.”

 

“Jika Hagiura berada di situ, dan dengan saiz hayabusa itu yang besar, maka itu Goro, hayabusa mereka. Burung yang sama yang engkau temui di Kisennuma. Teruskan, Ogasawara-san.” Takasaki menyampuk. Ryouji teruja mendengarnya. Apa Hagiura dan orang-orangnya buat di sini?

 

“Mereka mengepung kami. Azusa bertarung menggunakan kaminari-no-kaze jurus pertama tanpa senjata, tiga orang ditumpaskan." Shinji melopong mendengarnya. Hebat! 


"Sementara itu seekor hayabusa yang kecil sedikit datang menyerang hayabusa milik Hagiura. Keadaan ketika itu senjakala dan Azusa meminta aku melarikan diri dahulu. Dia menyusul kemudian. Kami terpisah seketika dan bertemu kembali di bawah bukit.”

 

“Kami menemui sebuah pondok dan bermalam di situ. Mereka tidak lagi mengejar kami. Barangkali hayabusa mereka sudah tercedera diserang hayabusa yang lebih kecil itu.”

 

Takasaki teruja mendengarkan kemunculan hayabusa yang kecil ini. Siapa yang menghantarnya? Adakah hayabusa Hisamiko, atau hayabusa Ayame? Ini kerana hanya hayabusa di bawah perjanjian dengan hayabusa-no-kami sahaja yang akan menyerang hayabusa lain, atas arahan pemedang handal yang diiringinya. Mereka tidak akan meninggalkan pemedang handal kecuali atas arahannya.

 

Pada petang Chisato dan Azusa keluar, salah seorang rakan pengintip Takasaki dari Kogen yang dalam perjalanan ke Furukawa telah memberitahu dia ternampak Hagiura dan orang-orangnya sedang berada di dalam hutan di selatan agak jauh dari rumahnya, sedang berburu. Dia juga ternampak dua orang gadis mengekori seekor burung hayabusa yang agak besar sedang bergerak menuju ke arah mereka. Takasaki mengagak dua orang gadis itu Chisato dan Azusa dan mereka mungkin telah terserempak dengan Tsugiyama dan telah ditangkapnya.


Ketika Takasaki bersiap sedia untuk menjejaki mereka, dia telah terserempak dengan Ayame yang kebetulan melintas di tepi Sungai Miya tidak lama selepas pengintip itu berlalu. Takasaki memberikan cebisan pakaian mereka kepada Ayame untuk dihidu hayabusanya, ketika senja hampir berlabuh. Tidak lama kemudian pada malamnya, dia mendapat surat dari Ayame mengatakan Chisato dan Azusa selamat di sebuah pondok.


Namun esoknya, hayabusa Ayame kembali ke lokasi Chisato dan Azusa dan mendapati Tsugiyama dan rakannya sedang menghala ke situ, lantas Ayame menghantar surat kedua di awal pagi kepada Takasaki menyampaikan berita buruk itu. Dalam surat yang sama Ayame juga memberitahu akan ke lokasi tersebut sendiri menyelamatkan mereka. Takasaki yang melihat Saki tergesa-gesa hendak keluar telah memberikan surat palsu bagi menyedapkan hatinya, berjudi dengan kejayaan bantuan Ayame bagi membawa pulang Azusa dan Chisato ke kuil Furukawa.


Jika hayabusa Ayame yang menyerang Goro, nampak tidak logik. Aku meminta pertolongan Ayame ketika senja hampir berlabuh, sekitar masa yang sama orang-orang Hagiura menyerang mereka berdua. Amat mustahil hayabusa Ayame dapat mengesan mereka sepantas itu sejurus aku meminta pertolongannya, bahkan hayabusa Ayame juga seperti hayabusa Hisamiko yang merupakan hayabusa normal yang memiliki deria hidu yang lemah, tidak seperti Goro yang merupakan hayabusa hasil dari pembakaan terpilih.  

 

**

 

Selingan mengenai Goro.

 

Goro, hayabusa milik Hagiura, adalah hayabusa hasil dari projek pembakaan terpilih di mana deria baunya ditajamkan. Deria baunya setanding burung nasar, iaitu burung pebangkai yang memiliki deria penghiduan paling tajam dalam keluarga burung. Kelajuan penerbangannya ditambah dengan ketajaman deria penghiduan adalah kelebihan perisikan utama Hagiura. Keluarga Yoshitsugu melabur dalam penyelidikan baka bagi menambahbaik keupayaan risikan mereka.

 

Ketika Ryouji pulang dari Kisennuma bersama Chisato, dia telah membeli sejenis kalungan berloket yang di dalamnya mengandungi sejenis batu resin. Batu ini menghindar mereka dari hayabusa. Semua hayabusa tidak boleh mendekati batu itu atau mereka akan dimabukkan oleh baunya yang tidak dapat dihidu manusia. Kebetulan ketika Ryouji membuka loket itu, Goro hampir sahaja menjejaki mereka, kemudian terjatuh kerana mabuk di udara tiba-tiba. Kesan batu itu kepada Goro adalah lebih kuat berbanding hayabusa lain kerana deria Goro lebih tajam.

 

**

 

Berbalik kepada mesyuarat di rumah perlindungan Takasaki...

 

“Tunggu sebentar, Ogasawara-san. Okuhida-san, ada apa-apa yang engkau ingin tambah?” Takasaki bertanya kepada Hisamiko, setelah melihat dia mahu membuka mulut namun teragak-agak.

 

“Ya. Aku yang menghantar Azuchi. Pada petang itu, Azuchi bertemu aku di kuil tempat kami bertiga bermalam bersama-sama Hatsuki dan Natsuki-nii san dari Shinagawa. Azuchi bertanya tentang wanita yang mengekoriku dan memakai yukata bercorak sakura beserta seorang wanita yang berbadan besar, ‘apakah mereka rakanmu?’. Aku memberitahu Azuchi agar mengekori dan menyelamatkan kamu berdua jika dalam bahaya.”

 

Chisato hampir tidak dapat mempercayai apa yang didengari dari mulut Hisamiko. Hisamiko hanya tersenyum memandang Chisato. Engkau telah menyelamatkan kami, Hisamiko!

 

“Oh, burung itu memiliki nama rupanya. Azuchi, nama yang indah. Seperti nama sebuah kubu seorang daimyo terkenal. Azuchi dan Momoyama. Hmm...” Shinji menggumam, Ryouji mendengarnya.

 

“Ogasawara-san, sekarang engkau sudah mendengarnya. Inilah kebolehan Okuhida-san. Engkau boleh menyambung ceritamu.” Takasaki meminta Chisato menyambung ceritanya. Harapnya Chisato tidak jadi menempik padaku lagi kerana melepaskan Hisamiko setelah aku memberitahu perkara ini kepadanya.

 

E to, baiklah.” Chisato teragak-agak, masih cuba menghadam fakta bahawa Hisamiko boleh bertutur dengan burung. Benarlah kata-kata Azusa dan apa yang dilihatnya.

 

Azusa juga berfikiran begitu. “Benarlah apa yang aku lihat petang itu. Memang benarlah Hisamiko ini bukan manusia.”

 

“Esoknya kami diserang lagi, kali ini Tsugiyama bersama tiga orang pengikutnya dengan membawa Goro yang sudah tercedera. Azusa menewaskan dua orang pengikutnya namun Tsugiyama menewaskan dia dan menyuntik cecair biru yang dipanggil aotsuyu. Shirasaka Ayame datang tiba-tiba dan menewaskan seorang lagi pengikut Tsugiyama, dan mengarahkan aku membawa Azusa kembali ke pondok. Dia menumpaskan Tsugiyama dan kemudian membawa kami menunggang kuda ke kuil Furukawa, untuk merawat Azusa.”

 

“Nampaknya mereka masih menggunakan aotsuyu lama melihatkan Kotobuki dapat menyembuhkan Azusa.” Ujar Takasaki.

 

Hisamiko tiba-tiba menangis, dan tunduk sambil berkata “Maafkan aku Chisato-nee chan, Azusa-nee chan. Maafkan aku kerana menyebabkan kalian diserang. Semua ini tidak akan berlaku jika aku tidak keluar.”

 

Chisato berganjak ke sebelah Hisamiko.

 

“Miko-chan, kami sudah memaafkanmu.” Dia mengambil kepala Hisamiko dan mengesat air mata dengan lengan yukatanya, kemudian menyandarkan Hisamiko di bahunya. "Semua ini bukan salahmu, tetapi salah abangmu itu." Chisato menjeling tajam ke arah Ryouji. Ryouji keterpingaan, sengaja buat-buat tidak faham. Dia menoleh memandang ke arah lain cuba mengelak mata Chisato, dan terlihat Shinji di sebelahnya yang tersengih-sengih sambil mengenyitkan mata.

 

“Aku sudah memaafkanmu Hisamiko. Jika aku tidak pulih, aku akan menyalahkan engkau dan keturunanmu. Huh!” kata Azusa lalu memalingkan muka dari Hisamiko sambil membuat wajah meluat. Dia mengambil keputusan mengikut Chisato bagi menjejaki Ryouji cinta hatinya itu, namun masih tidak dapat menerima hakikat Hisamiko telah menyelamatkan dia malam itu.

 

Hah, aku sudah agak apa reaksi Azusa! Perempuan ego, Shinji menggerutu.

 

“Kalian bertiga boleh keluar dahulu. Aku mahu berbincang dengan Shinji dan Ryouji.” Takasaki berkata kepada Hisamiko, Azusa dan Chisato. Mereka pun keluar dari bilik hidang tanpa banyak soal.

 

Ryouji menghembus nafas lega. Dua orang yang mengetahui rahsia sumpah hayabusanya, Hisamiko dan Chisato, telah beredar. Aku hampir mati tadi takut-takut mereka membongkarnya kepada Takasaki, Shinji dan Azusa. Tak guna sami tua itu, dan juga Azuchi si burung pengendap! Kalian telah merosakkan rancanganku!


Dan engkau Azuchi, engkau memberitahu Hisamiko, sedangkan Hisamikolah orang yang paling akhir jika aku mahu bongkarkannya! Engkau mengendap kami dari pokok shirakaba itu sahaja sehari-hari. Siap engkau, aku akan panggang engkau! 


Marah benar Ryouji. Kemudian kepalanya mula mengelamun mengingati kenangan bersama bapanya yang pernah mengajarnya memanggang ayam.


Otou-san pernah mengajarku memanggang ayam. Kami beragama Shinto, namun sekali-sekala kami akan memakan daging kerana kata Otou-san keseimbangan gizi penting untuk kesihatan, sepertimana yang dinasihatkan kepadanya oleh rakan-rakan Belandanya. Otou-san akan menangkap ayam hutan dan mengajar aku menyembelih dan memanggangnya. Hanya sekali-sekala kami akan memakan daging, kerana katanya lagi memakan daging terlalu kerap boleh mendatangkan penyakit.


Namun hayabusa panggang? Bagaimanakah rasanya? Bukankah hayabusa ini memakan daging binatang lain mentah-mentah seperti tikus contohnya, tidak seperti ayam hutan yang hanya memakan serangga dan tumbuhan kecil?


Bluwek! Ryouji loya memikirkannya.


"Ryouji, engkau mengandungkah?" Tanya Shinji perlahan, separa membisik, setelah melihat Ryouji loya tiba-tiba. "Bukankah sepatutnya Chisato yang mengandung?" Dia menyambung, kemudian ketawa kecil.


"Diamlah Shinji!" Ryouji menjawab keras tetapi perlahan, juga separa membisik.


"Ryouji, engkau mengandung?" Takasaki pula bertanya. Ah, sudah, ini lagi seorang. Aku tidak jangka langsung soalan itu yang ditanyanya. Telinga orang tua ini masih berfungsi dengan baik rupanya!


"Ryouji, engkau sudah melakukannya dengan Chisato?" pantas pula Takasaki mengubah topik. "Aku bilang Shinji sudah mengajarkan teknik yang betul." 


Kemudian Takasaki memperlahankan suaranya sedikit." Ryouji boleh engkau kongsikan sedikit, kami berdua teringin mendengarnya. Apa posisi kegemaran kalian?" Takasaki dan Shinji menyeringai memandang Ryouji. 


Muka Ryouji merah.


Mereka berdua ketawa terbahak-bahak melihatkan Ryouji diam dengan muka merah. Tak guna, dua ekor makhluk tidak senonoh ini mengenakanku!


Kemudian Takasaki kembali pada topik mesyuarat pagi itu.

 

“Shinji, apa yang engkau tahu berkenaan aotsuyu dari pembacaanmu?”

 

“Ia dicipta oleh seorang pakar ubat dan racun bernama Noguchi Takamine. Ia dihasilkan daripada sejenis pokok herba renek yang hanya terdapat di kawasan pergunungan yang dipanggil torikabuto (wolf's bane). Sepatutnya racun itu membunuh, namun telah diolah oleh Noguchi agar ia hanya memabukkan mangsanya.”

 

“Rawatan segera ialah menggunakan teknik akupunktur dan mesti dilakukan dalam masa dua hari selepas mangsa diserang. Jika rawatan ditangguh, selepas hari kedua, satu-satunya rawatan yang berkesan ialah dengan penawar khas.”

 

“Kotobuki mencipta penawar itu, dan meletakkannya di tanah tinggi Shirasaka, ibu pejabat Kogen. Jika Azusa terlambat menerima rawatan, mereka perlu membawanya ke Shirasaka.” Takasaki menambah di atas penjelasan Shinji.

 

Takasaki menyambung, “Kotobuki ialah bekas pelajar Noguchi. Sebelum dia meninggalkan Noguchi, dia mendapat tahu yang Noguchi menjual racun tersebut kepada pemerdagang wanita. Dia sempat mencuri ramuan racun aotsuyu dan mengkaji penawarnya.”

 

“Noguchi sedang mencipta racun baru yang lebih kuat dari aotsuyu. Aku bimbang jika ia digunakan ke atas gadis-gadis yang akan dijual sebagai karayuki.”

 

“Takasaki-san, tahukah engkau di mana Noguchi? Aku ingin bertemunya.” Ryouji menyampuk.

 

“Aku tidak pasti. Noguchi melarikan diri ke dalam hutan tidak lama selepas Kotobuki meninggalkannya.”

 

“Selain itu, Shinji, bagaimana dengan pemeriksaanmu ke atas Saishi-tou?

 

“Tiada calar dan sumbing. Nampaknya ramuan Saishi-tou yang aku cipta itu berkesan untuk semua jurus kaminari-no-kaze. Kecuali jurus kesepuluh. Kerana aku belum pernah melihatnya.”

 

“Jurus kesepuluh masih misteri. Miura hanya memberi bayangan di dalam buku yang kami tulis, namun aku tidak pasti apa yang dia maksudkan. Aku jangka ia mungkin dicapai oleh pemedang handal seperti Hisamiko. Apapun, aku biarkan perkara ini menjadi misteri sahaja.” Takasaki menghuraikan. Dia beralih kepada Ryouji.

 

“Ryouji, misi pertama ini telah membuktikan teori bapamu bahawa jurus kesembilan boleh dilakukan di bawah sedar."


"Jadi? Apakah manfaatnya kepadaku dan Kogen?"


"Sesiapa yang mampu mencapainya di bawah sedar akan mampu mencapainya dalam sedar juga. Kebolehan melakukan jurus tersebut di bawah sedar adalah jaminan bahawa engkau akan selamat dari rusuhan tenaga meskipun melakukan jurus tersebut sebelum umur dewasamu dan dalam sedar. Aku mahu memastikan jaminan itu wujud padamu. Meskipun engkau Okuhida, rusuhan tenaga juga berbahaya sekiranya engkau masih muda ketika melakukan jurus kesembilan." 


"Ryouji, belajar mencapai jurus kesembilan tanpa bantuan hayabusa pula. Aku mahu engkau melakukannya dalam sedar.”


Jaminan? Hanya kerana mahu memastikan jaminan itu wujud padaku maka engkau sanggup mempertaruhkan keselamatan adikku, Chisato dan Azusa? Tidak, bahkan nyawa aku dan Shinji juga dipertaruhkan. Takasaki, engkau memang bermati-matian mahu merealisasikan jurus kesembilan padaku. Apa motifmu Takasaki-san? Sebentar. Aku faham ini juga sekadar latihan demi membiasakan kami dengan misi Kogen. Namun aku masih tidak dapat menerimanya. Kerana ia juga melibatkan tiga orang wanita itu.

 

“Engkau tahu bagaimana?” Ryouji bertanya selepas termenung seketika.

 

“Kita akan menyelidiknya sama-sama. Aku pun tidak pasti bagaimana. Miura memberitahuku engkau harus menenangkan dirimu dan mengosongkan fikiranmu sekosong mungkin, mengasingkan dirimu jauh dari tuntutan dunia. Seperti zen. Aku masih tidak pasti bagaimana mencapai zen.”

 

Takasaki, engkau terlalu risau. Risaukan dendam Kobato terhadapmu. Risaukan bagaimana ahli-ahli rumah perlindunganmu meneruskan hidup jika engkau meninggalkan dunia ini tiba-tiba. Mana mungkin engkau mampu mencapai zen, sedang tidur malampun engkau tidak mampu?

 

**

 

Awal musim panas, 1871

 

Kobato datang bertemu Takasaki di rumah perlindungan untuk menuntut bela kematian ibu bapanya. Dia menyelinap melalui laluan hutan buluh tempat Chisato selalu bersendirian. Kebetulan Takasaki baru sahaja turun dari pondok merpati di atas pohon shirakaba.

 

“Takasaki-san, aku sudah tahu semuanya.” Kobato memulakan kata tanpa mengumumkan ketibaannya dahulu.

 

Takasaki sedikit terkejut dan menoleh. Dia baru sahaja turun dari rumah merpatinya yang terletak di atas pohon shirakaba di pinggir hutan buluh. Di hadapannya Kobato.

 

“Kobato! Apa khabar engkau?” Takasaki tidak menangkap kata-kata pertama Kobato.

 

“Usah lagi berpura-pura Takasaki-san! Mengapa? Mengapa engkau menyembunyikan dariku?!”

 

“Nampaknya engkau telah diberitahu. Aku bimbang engkau tidak dapat memahamiku. Maafkan aku Kobato. Aku perlu hidup bagi melindungi anak-anak yatim sepertimu yang lain.”

 

“Lima belas tahun, Takasaki-san. Aku menjejaki pembunuh ibu bapaku. Lima belas tahun! Dan dia di depanku selama ini!” Kobato menggigil menahan marah. Perlahan-lahan tangannya merayap mencari hulu katana. Takasaki dapat mengesannya.

 

“Aku akan menuntut bela kematian mereka hari ini. Takasaki-san, jika engkau masih memiliki maruah, lakukan seppuku.” Seppuku sememangnya diamalkan para samurai. Namun dalam kalangan masyarakat yang bukan samurai seperti mereka, ia masih dilihat sebagai hukuman adat bagi menebus malu.

 

“Tidak. Aku masih diperlukan penghuni di sini.” Takasaki menjawab tanpa berselindung.

 

“Maka bersedialah menerima hukuman di atas dosamu.” Kobato melibas katananya seperti dirasuk, Takasaki sempat mengelak. Sepatutnya libasan sebegitu dekat dan pantas boleh mengena Takasaki dengan mudah, namun kepantasan kaminari-no-kazenya telah menyelamatkannya.

 

“Maaf Kobato, aku perlu terus hidup, sehingga mereka boleh berdikari.”

 

“Kobato! Mengapa tidak beritahu aku yang engkau ke mari? Apa yang engkau dan Takasaki...” Ryouji melihat Kobato dan Takasaki dalam posisi bertarung.

 

“Kobato...”

 

“Ryouji, ini hal antara kami berdua. Aku minta engkau ke tepi.” Kobato meminta daripada Ryouji, nadanya dingin.

 

“Ryouji...” Takasaki memandang Ryouji. Ryouji, melihat Kobato, faham mengapa Takasaki diancam begini. Ryouji tahu sejarah Kobato, dia juga tahu sejarah Takasaki. Dan dia pantas menghubungkait keduanya dengan apa yang sedang berlaku di hadapan matanya.


Takasaki telah membunuh ibu bapa Kobato atas arahan Hamada, putus Ryouji. Ryouji berundur. Hisamiko memerhati dari jauh, dia baru pulang dari onsen. Semua penghuni wanita sedang berada di onsen pada ketika itu. Shinji dan Tsuneki pula sedang berada di bilik perpustakaan.

 

“Takasaki-san, aku tidak akan memaafkanmu.”

 

“Kobato, aku sentiasa mengharap agar engkau memaafkanku.”

 

Mereka bertarung pedang. Kedua-duanya menggunakan gerakan kaminari-no-kaze, naik dari jurus ke jurus sehingga jurus kelapan. Ryouji dan Hisamiko hanya memerhati dari jauh. Mereka berempat berada di kawasan yang terlindung dari rumah perlindungan itu, di sebuah tanah lapang berhampiran hutan buluh.

 

Kobato menggunakan gerakan membunuh. Dia sememangnya nekad untuk membunuh Takasaki. Namun Takasaki tetap menangkis dan menangkis, dan mengelak di mana perlu. Sekali sekala, dia dilemahkan oleh imbasan Kobato ketika kecil menangis di sisi mayat ibu bapanya dan dirasakan tetakan Kobato patut sahaja diterimanya untuk menghapus sesal di dada. Namun melihat imbasan Tsuneki, Shinji, Saki, Chiho dan Chinami yang perlu dijaganya di rumah itu, dia perlu teruskan hidup. Pantas dia mengelak dari tetakan Kobato.

 

Pertarungan ditamatkan setelah Takasaki berjaya menyungkurkan Kobato dan menghunus pedangnya. Namun dia tidak akan membunuh Kobato. Kobato dilepaskan begitu sahaja.


"Kobato, tinggalkan tempat ini. Engkau bukan tandinganku. Engkau boleh datang ke sini membunuhku ketika semua anak-anak di sini telah mampu berdikari."

 

“Aku tidak mampu menewaskanmu hari ini. Takasaki-san, aku pasti akan mengambil nyawamu suatu hari nanti. Engkau tunggulah.” Dia pantas bangkit dan beredar, tanpa menoleh sedikitpun.

 

Ryouji tercengang. Kobato bukan lagi Kobato yang aku kenali dahulu. 


"Kobato!" Ryouji memanggil sambil mengekorinya laju merentas hutan buluh.


"Kobato, tunggu!" Ryouji menghampiri Kobato dan menarik lengannya.


Kobato menoleh, merentap lengannya dari pegangan Ryouji. Kemarahan masih jelas terlukis di wajahnya.


"Kobato, apa yang telah berlaku sebenarnya? Kita sudah lama tak berjumpa."


"Ryouji, engkau tidak akan faham."


"Kobato, apa telah berlaku sepanjang engkau di luar? Ceritakan padaku, mari, kita duduk sebentar. Ataupun engkau mahu bertarung denganku?" Ryouji masih ingat ketika dia mengajak Kobato bertarung dengannya di hutan buluh itu sewaktu dia mahu keluar menjejaki Sonzaemon, hampir dua tahun lepas. 


"Ryouji, engkau tidak perlu campur tangan hal antara aku dan Takasaki-sanSayonara." Kobato membalas dingin seraya berlalu.


Ryouji memanggil Kobato sekali lagi. Namun Kobato tidak langsung mengendahkannya, semakin jauh meninggalkan hutan buluh itu. Ryouji berdiri tercengang. Setakat ini sahajakah keupayaanku memujuknya? Tidak, aku tidak suka mendesak. Sepertimana gadis yang memarahiku sewaktu aku 'menyelamatkan' mereka pada hari itu, aku tidak mendesaknya mengikutku. Dia mungkin punya kepentingan yang perlu dijaga, iaitu orang tuanya. Namun Kobato telah lama kukenali. Aku fikir, aku perlu menjejakinya. Aku fikir aku perlu keluar dari rumah itu sekali lagi. Apakah Takasaki akan membenarkan?

 

Takasaki hanya mendiamkan diri, memandang Kobato dari kejauhan penuh simpati. Mengapa dia berubah sebegini drastik? Siapa yang meracuni fikirannya?


Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov