Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 21

“Takasaki, benarkan pertarungan rentas jantina di sini. Onegai!” Ryouji meminta kepada Takasaki sambil tunduk, masih dalam berdiri. Mereka berdua di dalam bilik pejabat, dipisahkan oleh sebuah meja. Takasaki sedang duduk bersila.

 

“Ryouji, bertenang. Duduk dahulu.”

 

“Sebelum itu, aku ingin mendengar alasanmu. Jangan bimbang aku seorang yang demokratik. Bukankah bapamu juga begitu? Beritahu aku alasanmu Ryouji.”

 

“Aku mahu melatih Hisamiko."

 

“Tidak cukupkah dengan Mariko?

 

“Bukan begitu Takasaki-san. Hisamiko tidak gentar bertarung dengan lawan wanita. Namun dia bersikap berbeza dengan lawan lelaki. Dia benar-benar gentar. Aku mahu menghilangkan kegentaran itu.”

 

“Selepas keluar dari sini nanti aku akan berkelana bersamanya sepanjang masa. Aku perlu membiasakan dia bertarung denganku sebagai regu. Aku mahu dia memahami rentakku dan aku juga mahu memahami rentaknya. Lelaki dan perempuan berbeza, Takasaki-san. Amat berbeza.” Ryouji mengakui kebenaran kata-kata sami tempoh hari, kerana dia telah lama curi-curi bertarung dengan Chisato.

 

“Aku boleh benarkan. Tapi dengan satu syarat. Buktikan padaku ia lebih baik ada dari tiada. Mengembaralah dengan Chisato.” Sebaik  menghabiskan kata-katanya, Takasaki tersenyum lebar.

 

Ryouji merenung senyuman Takasaki, cuba mencari maksud di sebaliknya. Jarang benar orang tua itu tersenyum seperti itu. Oh, baiklah Takasaki, aku sudah faham!

 

Hontou ni arigatougozaimashita, Takasaki-san!” Ryouji berterima kasih kepadanya, tunduk hampir menghantuk kepalanya pada sisi meja di depannya.

 

**

 

Takasaki meminta Chisato bertemunya di bilik pejabat.

 

“Ogasawara-san, engkau sudah lama tinggal di sini. Tahun depan engkau akan meninggalkan tempat ini. Namun aku hairan, belum pernah sekalipun engkau meminta keluar melawat kubur ibu bapamu. Aku tidak menghalangmu sekiranya engkau mahu keluar."

 

"Namun engkau harus berhati-hati. Engkau juga sedang diburu. Dan engkau perempuan. Aku risaukan keselamatanmu. Aku cadangkan engkau ditemani Ryouji."

 

“Takasaki-san, sebenarnya bapaku masih hidup sewaktu engkau menemuiku di pekan itu.” Chisato membongkarkan rahsianya. Dia sememangnya mahu memberitahu Takasaki, namun tiada masa yang sesuai.

 

Takasaki sudah tahu namun berpura-pura terkejut dan berkata “Sou desuka? (benarkah begitu?)”. Dia hanya mahu mendengarnya sendiri dari Chisato. Dia telah mengorek rahsia dari adik kembarnya kerana budak-budak lebih senang membongkar rahsia.

 

“Aku tidak sedikitpun memarahimu. Engkau bernasib baik kerana aku masih memiliki kewangan yang kukuh pada ketika itu, dan juga kekosongan di rumah ini kerana pelajar-pelajar tua pada tahun itu baru sahaja meninggalkan tempat ini. Tindakan engkau amat tepat demi keselamatan adik-adikmu.”

 

“Takasaki-san, benarkan aku tinggal di sini lebih lama. Chiho dan Chinami masih kecil. Aku mohon sehingga mereka cukup umur. Sementara aku akan membantumu melombong belerang di belakang onsen bersama Funazuki.”

 

Takasaki agak keberatan. Namun melihatkan Chisato menjaga dua orang sekaligus, membuatkan dia bertimbang rasa. Tambahan pula pertubuhannya sedang menambah kapasiti rumah-rumah perlindungan lain maka dia berasa sedikit lapang kerana tidak perlu menerima pelajar baru. Sumber kewangan pertubuhan kian memulih setelah mendapat perkenan dan bantuan dana dari Maharaja baru-baru ini.

 

Sejak Miura tiada, Takasaki pening kepala memikirkan bagaimana untuk mendapat sumber kewangan tambahan bagi menambah pelajar di sekolah itu. Miura adalah pembiaya utama kepada Kogen sejak padinya mencatat jualan tinggi. Namun tanpa Miura, dan dengan hanya bergantung kepada sumber padi huma dan jualan belerang, Takasaki hanya mampu menanggung penghuni sedia ada sahaja. Namun dengan dana dan sokongan dari Maharaja, dia sudah boleh menarik nafas lega.

 

Baru-baru ini Maharaja memperkenan pertubuhan Takasaki dan Miura. Dia amat berminat dengan khazanah karya-karya Barat yang dimiliki perpustakaan di rumah-rumah perlindungan di bawah Kogen. Usaha Takasaki dan rakan-rakan sekerjanya selama bertahun-tahun melobi istana di Kyoto dan kemudiannya di Tokyo kini membuahkan hasil. Malah, Maharaja ingin menjadikan rumah perlindungan mereka sebagai model atau contoh untuk semua rumah perlindungan yang akan atau telah didirikan di serata Jepun.

 

Baginda juga mengarahkan agar kilang-kilang percetakan menggembleng sumber mereka untuk menyalin karya-karya terjemahan dan membekalkan buku-buku tersebut ke perpustakaan-perpustakaan di rumah-rumah perlindungan Takasaki dan intelektual tempatan untuk bekerjasama dengan intelektual Barat bagi menterjemah karya-karya dari Barat ke dalam bahasa Jepun.

 

“Ogasawara-san, boleh engkau ceritakan serba sedikit berkenaan ibu bapamu?” Takasaki cuba menggerudi kisah latar Chisato. Dia hanya mahu mendengar kisah itu dari sudut pandang Chisato pula. 

 

Chisato terdiam. Lama, kelu lidahnya, tidak tahu bagaimana memulakan kata.

 

“Aku tidak tahu, ibuku telah lama meninggal. Hanya bapaku yang masih hidup ketika aku lari dari rumahku. Aku amat marah dengannya. Atas perbuatannya mahu menjual Chinami dan Chiho.”

 

“Aku fikir engkau patut pulang menziarahinya. Chinami dan Chiho juga mungkin merindui mereka. Engkau pun sudah agak lama meninggalkan kampungmu.”

 

Benar. Chiho dan Chinami kerapkali memujuk aku pulang. Namun aku masih berat hati. Tambahan kami semua perempuan dan sedang diburu. Aku masih risau keselamatan mereka berdua.

 

 **

 

Malam itu seperti biasa Chisato curi-curi keluar berlatih dengan Ryouji di hutan bambu. Azusa mengendap mereka, seperti biasa. Namun Azusa sedikit cemburu. Dia banyak kali mencuri lihat latihan mereka namun dia masih belum berkesempatan bertarung dengan Ryouji. Dan semakin lama dirasakan perasaannya terhadap Ryouji mulai berputik.

 

“Ryouji. Temani aku ke kampungku.”

 

Ryouji terkejut. Kampung? Azusa menutup mulutnya, dia tersentak mendengarkannya.

 

“Aku mahu melihat bapaku.” Bertambah terbeliak mata Azusa. Chisato bukan anak yatim!

 

“Chisato, bagaimana engkau...”

 

“Ya. Aku berbohong kepada Takasaki, dan telah memberitahunya. Namun dia tidak memarahiku bahkan membenarkan aku tinggal di sini. Aku menipunya kerana ingin melindungi Chiho dan Chinami. Berlindung di sini, jauh dari tamadun, aku rasakan lebih baik dari berada di luar. Jika tidak kerana Takasaki menyelamatkanku tempoh hari, kami tiga beradik mungkin sudah dijual.”

 

Ryouji mulai teringat Chisato masih belum menjelaskan kepadanya sejarah hidupnya. Dia juga telah banyak melatih Chisato. “Chisato, boleh aku tahu kisahmu sebelum engkau datang ke sini?”

 

“Ibuku sudah lama meninggal dunia. Sejak itu bapaku tertekan dan kerap berjudi dan mabuk-mabuk. Dia dibebani hutang bertimbun. Gajiku sebagai pengawal sebuah keluarga pedagang tidak cukup untuk menjelaskannya. Aku bertengkar dengan bapaku yang mahu menjual Chinami dan Chiho sebagai karayuki bagi menjelaskan hutangnya.

 

Suatu hari dia senyap-senyap menjual Chinami dan Chiho kepada satu kumpulan pemerdagang karayuki. Aku berjaya menyelamatkan mereka, kemudian aku lari dari rumah, dalam keadaan marah pada bapaku. Dalam proses itu aku syak seorang atau dua dari mereka terbunuh dengan pedangku. Sejak itu aku takut, Ryouji. Aku amat takut bertarung bersungguh-sungguh.”

 

Ryouji diam. Aku tidak pernah tahu Chisato melalui perkara sepahit itu. Mahu sahaja aku memeluknya sekarang. Namun tidak! Aku sedang diperhatikan Azusa. 


Azusa pula bertambah terkejut. Patutlah Chisato tidak pernah mengeluarkan sepenuh kemahirannya ketika bertarung.

 

Ryouji memandang Chisato tepat, mendengar penuh tumpuan dan empati. 


Chisato menambah “Mereka hampir menangkap kami di sebuah pekan, dan Takasaki telah menyelamatkan kami. Kumpulan pemerdagang sudah tahu lokasiku, justeru aku risau akan keselamatan kami bertiga. Maka disebabkan itu aku telah menipu Takasaki.”

 

“Aku amat mempercayai engkau, Ryouji, dan semua yang berada di sini terutama Takasaki-san. Aku yakin Hisamiko dan adik kembarku selamat di sini. Aku hanya ingin mendapatkan khabar dari bapaku. Aku perlu meninggalkan Chinami dan Chiho di sini demi keselamatan mereka.”

 

“Baiklah. Aku akan menyertaimu.” Ryouji sudahpun tahu rancangan Takasaki maka dia hanya bersetuju. Terima kasih Takasaki-san membantuku!

 

Mendengarkannya, Azusa berasa hatinya seperti dicucuk-cucuk. Bunga-bunga sakura yang memutik dalam sanubari kembali layu. Mereka akan bersama berdua untuk beberapa ketika. Saat itu, dia menyedari, dia memiliki perasaan terhadap Ryouji.

 

Cemburu Azusa terhadap hubungan Chisato dan Ryouji menggesanya melapor kepada Takasaki. Namun Takasaki hanya berpura-pura terkejut kerana dia sudahpun tahu.

 

**

 

Awal musim bunga, 1870.

 

Hari ini, Chisato akan pulang ke kampungnya dengan ditemani Ryouji. Hisamiko, Chiho dan Chinami akan ditinggalkan di rumah tersebut. 

 

“Hisamiko, aku tidak akan pergi lama. Jaga dirimu dan Chinami dan Chiho.” Ryouji menepuk lembut kepala Hisamiko sambil memandang tepat matanya. Hisamiko hanya mengangguk. Dia sudah biasa dengan kawan-kawan baru dan selesa bersama mereka, lagi pula umurnya sudah menginjak sebelas, maka dia tidak risau lagi berjauhan dengan Ryouji. Kemudian dia berbisik sesuatu kepada Ryouji. Ryouji mengangguk sambil tersenyum.

 

“Tsuneki, omae mo (engkau juga). Jaga dirimu dan wanita-wanita ini.” Ryouji berkata kepada Tsuneki. Dia memuncungkan mulut seraya membalas “Ryouji, aku ingin mengikutmu!”

 

Hisamiko, Chinami dan Chiho menjeling tajam Tsuneki. Menyibuk engkau musang! Biarkan mereka berdua sahajalah. Tsuneki tersengih seperti kerang busuk. “Ma...ma... ii kara.(tidak mengapalah)” Dia cuba menenangkan mereka sambil melambai-lambai tangannya. “Aku bergurau sahaja.”

 

Chisato dan Ryouji meninggalkan rumah itu selepas melambai tangan dan mengucapkan ‘Ittekimasu’. Semua berada di situ. Azusa masih cemburu melihat mereka berdua. Mengapa bukan aku yang bertemunya dahulu? Mengapa Chisato?

 

Perkampungan Chisato ialah sebuah perkampungan sawah padi yang terletak berhampiran kota Osaka. Untuk ke sana, mereka harus menelusuri Sungai Miya dan terus mudik ke hilirnya, kemudian meneruskan perjalanan ke arah barat daya, menghala ke Wakayama di selatan Wilayah Hidagawa atau sekarang dipanggil Jooryoku.

 

Ryouji hanya mengikut di belakang dan melihat sekeliling, jika ada pengekor. Selepas melintasi sebuah kuil Shinto lama, Chisato menelusuri sebuah denai yang mengelilingi kuil tersebut dan terus ke belakangnya. Ia adalah laluan ke barat Honshu, menghala ke Wakayama dan juga dataran Kansai di mana terletaknya Kyoto dan Osaka.

 

Setibanya mereka di sebuah belukar yang agak tinggi, setinggi Ryouji, yang terletak di antara dua batang pokok sugi, Chisato menyelak belukar tersebut, dan terpampanglah di hadapan mereka sebuah denai tersembunyi.

 

“Laluan ini lebih selamat untuk ke barat. Aku dan Takasaki berjalan ke rumah perlindungan itu melalui denai ini dari pekan di mana kami bertemu, di selatan kota Osaka.” Chisato menerangkan. Dia menyambung bahawa denai itu dibina oleh pertubuhan Takasaki bagi memudahkan perjalanan ulang-alik mereka ke Kyoto, yang juga terletak di sebelah barat, dalam usaha melobi Maharaja. Mereka tidak mahu diekori oleh pengintip, lebih-lebih lagi yang dihantar oleh Hamada.

 

Denai itu dilapisi dengan kepingan batu-batu besar sepertimana laluan pedagang di Nakasendo atau Tokaido, dan di kiri dan kanan dipenuhi dengan pokok-pokok sugi yang tinggi dan pepohon renek lain yang biasa ditemui di dalam hutan pergunungan Hidagawa. Suhu sekeliling tidak terlalu sejuk dan terlalu panas ketika di pertengahan musim bunga ini. Tupai-tupai dan arnab hutan berkeliaran dan bercempera lari sebaik kawasan mereka dilalui. Daun-daun hijau berselang seli dengan cahaya matahari yang menerjah masuk seperti jarum-jarum.

 

Chisato mengenakan yukata berwana biru muda, dengan corak-corak putik sakura berwarna putih, dan haori berwarna biru gelap di atasnya. Dia juga memakai seluar hakama atau umanori biru gelap ke paras bawah dadanya, dan hujungnya dicekam pada betis oleh tabi hitam yang panjang, bagi memudahkan pergerakan sekiranya mereka diserang musuh. Bagi menyembunyikan wajahnya, dia memakai topi kon ronin sedang rambutnya yang panjang disanggul rapi agar tidak mengganggunya ketika bertarung apabila perlu. 


Ryouji juga memakai topi ronin, dan haori berwarna hitam membaluti kimono berwarna kelabunya dan dia juga memakai umanori berwarna biru pekat. Ada sedikit jambang nipis menuruni bauknya. Dia tidak langsung nampak seperti seseorang yang berumur lima belas tahun, lebih kepada seorang pemuda berumur awal dua puluhan.

 

Chisato menerangkan perjalanan tersebut akan mengambil masa dua hari. Setelah hampir tengahari, mereka tiba di luar hutan ke laluan di tengah-tengah bendang yang luas. Beberapa orang petani melambai-lambai ke arah mereka. Semakin jauh mereka berjalan, semakin ramai manusia melintasi mereka bersimpang siur. Mereka kini menghampiri sebuah pekan.


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov