“Matte, Sonzaemon!” Laung Ryouji. Dia dan Hisamiko baru sahaja keluar dari kubu Hamada.
Sonzaemon dan Goryuuin berhenti.
“Apa yang kalian buat di sini?!”
“Membantumu.”
“Membantu kami?”
“Engkau tidak nampak orang-orang yang mahu menyerangmu di luar? Engkau ingat Hamada semudah itu dikalahkan? Tidak, Ryouji. Jikapun Hamada berjaya ditumpaskanmu, dia punya pasukan simpanan di atas bukit, di balik belukar di luar kawasan tenshu ini. Engkau tidak akan dapat lari sepantas manapun engkau bergerak. Engkau pasti akan mati jua dibunuh mereka.” Sonzaemon menjelaskan.
“Sonzaemon...”
“Hanya itu yang dapat kulakukan demi menebus dosa-dosaku terhadapmu. Maafkan aku, Ryouji. Maafkan aku!” Sonzaemon melutut di hadapan Ryouji.
Ryouji datang mendekati Sonzaemon, seraya memeluknya.
“Sonzaemon, aku memaafkanmu, meski sejujurnya, hatiku amat perit. Namun peristiwa kematian otou-san sudah lama berlalu. Aku dan adikku sudah mampu berdikari.”
“Namun Sonzaemon, engkau harus berjanji denganku, jangan sekali-kali engkau ulangi apa yang telah engkau lakukan terhadap bapaku pada insan yang lain.”
Sonzaemon mengesat air mata. “Aku berjanji, Ryouji. Jika aku ulanginya sekali lagi, aku akan datang kepadamu. Saat itu, engkau pancunglah kepalaku.”
Tiba-tiba, Sonzaemon pantas memeluk Ryouji dan memusingkan tubuhnya ke bawah, ketika itu juga bunyi tembakan kedengaran di udara. Sejurus kemudian, darah mengalir deras dari tubuh Sonzaemon. Sebutir peluru dari tembakan itu telah menembusi belakang badannya menerobos jantung. Dia terkulai sedang Ryouji masih ditindihnya.
“Hatakemaru!” Goryuuin menjerit nama kanak-kanak Sonzaemon.
Seketika kemudian datang orang-orang Hamada yang masih berbaki, keluar dari celah-celah lubang di dalam belukar. Bila pula mereka mengorek terowong di bawah belukar itu?
“Uragirimono! Uragirimono! (Pembelot! Pembelot!)” Jerit mereka, bersedia tembakan sekali lagi.
“Sial! Mereka punya pasukan simpanan! Hisamiko!” Ryouji menolak tubuh Sonzaemon dan bangkit deras, seraya berlari, menolak Goryuuin ke arah Sonzaemon yang sedang pitam. Ketikamana tembakan-tembakan seterusnya dilepaskan, Ryouji pantas menangkis peluru-peluru itu menggunakan pedangnya.
Ryouji dan Hisamiko berlari mengelilingi Goryuuin dan Sonzaemon deras. Melihatkan begitu ramai orang-orang Hamada mula mendekati mereka, Ryouji dan Hisamiko berlari mengelilingi pasangan itu dengan kepantasan meningkat, memulakan jurus kedua dan membina benteng bagi menghalang peluru-peluru dari menyasar kepada mereka berempat. Ribut tiruan yang terhasil menebarkan orang-orang Hamada kembali ke dalam belukar. Goryuuin dan Sonzaemon dibawa pusaran angin halilintar Ryouji dan Hisamiko ke sebuah kawasan terpencil tidak jauh dari menara tenshuu itu.
“Hatakemaru! Hatakemaru!” Goryuuin menggoncang-goncang tubuh Sonzaemon.
“Goryuuin-san, Sonzaemon sudah tiada.” Ryouji menyimpulkan melihatkan mata Sonzaemon memutih. Dia meletakkan tangan di hidung Sonzaemon bagi mengesahkannya. Tiada lagi hembusan nafas. Dia menutup mata Sonzaemon.
Mayat Sonzaemon dikebumikan di kawasan itu. Goryuuin tidak henti-henti menangis.
Malam itu sebelum tidur, Ryouji berbual panjang dengan Goryuuin.
“Goryuuin-san, apa perancanganmu selepas ini? Mahu kembali ke Kogen?”
“Aku fikir tidak mungkin akan kembali lagi ke sana. Aku mahu mencari adikku Hisamine.”
“Engkau punya petunjuk?”
“Dari maklumat yang kuterima dari Shizuo, dia dihantar ke sebuah pelabuhan tidak jauh dari sini, di Kanazawa. Mungkin dibawa ke Joseon di tanah besar. Aku mahu mencarinya di sana.”
“Engkau yakin dia sudah tiada di tanah Yamato?”
“Ya. Aku sudah mencarinya di serata Honshu sejak aku tinggal di rumah Takasaki-san. Aku sudah berputus asa. Aku yakin dia masih hidup, namun berada di luar tanah Yamato ini.”
Kemudian Goryuuin perlahan-lahan membuka kisah Sonzaemon dan bagaimana dia akhirnya menetap di Hidagawa. Ryouji sudah memaafkan Sonzaemon namun keperitan akibat kehilangan orang tuanya tidak mudah untuk dihilangkan. Mungkin seratus tahun lagi, mungkin seribu tahun lagi. Kehilangan itulah yang membawanya kepada kehidupan begini. Jika tidak, dia mungkin masih seorang petani atau pedagang di Furukawa sahaja, dan tidak langsung mengenali Kogen, mahupun Hamada.
“Aneh bukan, Goryuuin-san?”
“Apa maksudmu, Ryouji?”
“Bagaimana cinta mengubah manusia seperti Sonzaemon.”
“Manusia seperti Sonzaemon? Apa maksudmu?”
“Maafkan aku Goryuuin-san. Namun sepanjang pengetahuanku Sonzaemon ini raksasa. Dia meratah segala di hadapannya. Dia tamak, dan membunuh bapaku. Namun selepas dia berjaya menemuimu kembali, dia berubah. Bahkan dia meminta maaf sambil menangis di hadapanku. Sedangkan sebelum itu dia benar-benar ego dan tidak langsung tunduk mahu meminta maaf dariku, bahkan mencabar aku membunuhnya demi melunaskan dendamku.”
“Engkau pernah bertemunya sebelum ini?”
“Ketika dendamku masih membara. Ketika dia masih menjadi perompak di Furukawa. Tidak kusangka permainan Tuhan membawaku kembali bertemunya di sini, di saat ini.”
“Namun aku kagum denganmu, Ryouji. Engkau lelaki teraneh pernah kutemui.” Goryuuin ketawa kecil. Tidak, jika aku menemuimu dahulu Ryouji di kehidupan yang lain, mungkin aku sudah mencintaimu dahulu.
“Mengapa pula aneh? Hisamiko juga kerap mengatakan aku begitu.”
“Bagaimana engkau mampu memaafkan seorang yang telah membunuh bapamu? Aku masih tidak faham.”
Dan bagaimana kata-katamu terhadap seorang pelaku onar di rumah perlindungan kita di bawah Kogen itu, menggerakkan hati mereka sendiri untuk mengakui kesalahannya bahkan mereka sendiri melakukan seppuku dengan rela hati, seperti yang dikisahkan Ayame kepadaku. Aku benar-benar tidak faham engkau, Ryouji. Tidak, bukan aku seorang. Nariko pun. Ayame pun.
“Jika aku tidak memaafkannya, apakah aku boleh menghidupkan bapaku kembali?”
Goryuuin merenung wajah Ryouji menanti penerangan lanjutnya. Jelas wanita ini bingung.
“Goryuuin-san, aku percaya, manusia boleh berubah jika mereka memilih untuk berubah dan diberi peluang untuk berubah. Sebagaimana Sonzaemon berubah menjadi raksasa selepas kehilanganmu, tidak mustahil dia akan memilih untuk berubah jika diberi peluang bertemumu sekali lagi, di mana ia menjadi kenyataan sekarang.”
“Aku melihat sebahagian mereka yang memilih untuk tidak berubah. Mereka bukan tidak mahu, hati mereka sakit. Jiwa mereka sakit. Mereka tidak berupaya. Sepertinya mereka berputus asa dengan dunia. Mereka menyalahkan dunia. Aku fikir aku temui penyebabnya. Mereka semua berseorangan. Kala ditimpa musibah, mereka tiada pembimbing. Mereka tiada rakan pendengar. Kala itulah, mereka mula menyalahkan dunia.”
Seperti Kobato, yang menghukum dan membenci dunia ini, dan menyandarkan kebenciannya pada nyawa Takasaki. Seperti Hamada yang juga membenci dunia ini, yang membunuh sewenang-wenangnya untuk menghukum dunia. Namun dalam kes Hamada, dia telah jauh terpesong. Dia seperti satu versi Kobato, namun diberi peluang melakukan onar sewenang-wenangnya dengan kekuatan yang dimiliki. Jiwa insan begitu telah jauh pincang. Memperbetulkannya hampir mustahil. Mereka mengisi kekosongan dengan onar-onar mereka. Beruntung engkau Kobato, dihantar pergi sebelum engkau menjadi seperti Hamada.
Aku dan Sonzaemon sungguh bernasib baik. Kala aku ditimpa musibah, Hisamiko di sisiku. Juga Takasaki, dan rakan-rakan di rumah perlindungan. Sonzaemon pula, akhirnya bertemu kembali cinta hatinya. Semua ini, membezakan kami dengan mereka yang malang itu, Kobato, dan Hamada. Sungguh kami beruntung.
“Engkau tahu, Ryouji. Betapa kemaafanmu itu menenangkan Sonzaemon. Aku sedih atas pemergiannya, namun aku gembira pemergiannya itu ditenangkan oleh kemaafanmu. Terima kasih Ryouji, hontou ni.”
Goryuuin tersenyum memandang Ryouji, air matanya berlinangan. Aku tidak pernah melihat Goryuuin tersenyum dan menangis dalam masa yang sama. Senyumannya manis. Orangnya sungguh cantik, dengan matanya yang runcing ke dalam dan membentuk segaris lengkungan ke tepi tatkala dia memejam sedikit matanya ketika menangis. Cantik, bertuah engkau Sonzaemon dicintai gadis begini. Aku terpana seketika.
“Doumo...”
Ryouji tertidur di atas tanah sehingga pagi. Jurus kedua memakan banyak tenaga dan mereka perlu berehat lama sebelum kembali meneruskan perjalanan esoknya. Hisamiko sudah lama berdengkur di sisi Ryouji.
“Goryuuin-san, semoga engkau berjaya. Sayonara.”
“Sayonara, Ryouji, Hisamiko. Semoga kalian bahagia selalu.”
“Engkau pun.”
Goryuuin meninggalkan mereka tanpa menoleh lagi ke belakang, dengan menunggang kudanya.
Semoga engkau berjaya menemukan Hisamine-mu!
Setelah Goryuuin hilang dari pandangan mereka, Hisamiko menarik yukata abangnya.
“Onii-san, sumpahmu telah terangkat. Apakah engkau mahu kembali kepada nee-chan?”
“Entahlah, Hisamiko. Aku tidak pernah berasa sebegini hidup. Aku mahu melupakan kenangan pahit itu sejenak. Chisato mungkin sudah bertemu cinta barunya. Aku tidak akan berundur kembali kepadanya setelah memilih jalan ini.”
Meskipun hatiku perit terpaksa melepaskannya. Namun itu semua sudah berlalu. Aku telah memilih jalan ini.
Ketika itu, aku fikir aku tidak akan hidup lagi. Namun tidak sekali-kali kusangka, aku salah seorang dari mereka yang beruntung, ditimpa sumpahan itu namun berjaya melepasinya. Aku mahu memulakan hidup yang baru. Cinta yang lalu bersama Chisato, biarlah berlalu menjadi kenangan terindah dalam hidupku. Aku yang mengambil jalan ini. Aku tidak mahu mengelirukannya lagi.
“Sedang aku mahu menikmati hidup ini sepuasnya.” Ryouji tersenyum memandang adiknya, sedang memegang kepalanya, menepuknya lembut.
Hisamiko turut tersenyum. Namun kulihat senyumannya itu telah pudar sedikit serinya. Hisamiko bukan lagi anak-anak. Senyumannya menyerlahkan sebuah kematangan, kedewasaan, jauh melangkaui umurnya yang baru menginjak lima belas tahun. Senyuman itu mengandung seribu satu cerita, seribu satu keperitan yang tidak tertanggung. Otou-san, okaa-san, Tsuneki, Takasaki, Mariko, Azusa dan Saki... luka di hati yang dihiris oleh kematian mereka belum benar-benar kering.
Aku tekad, meski sepicis mana sekalipun senyuman yang masih mampu Hisamiko ukirkan di bibirnya, aku akan pertahankannya. Aku akan bahagiakannya. Dan sepertimana terlerainya sumpahan hayabusa ke atasku pada hari ini, aku yakin akan harapan bahawa ramalan Amaguri ke atasnya akan turut terlerai suatu hari nanti.
Pasti!
*****Tamat****
TAMAT
BUKU 1: HAYABUSA
ARKA 2: KOGEN
SETERUSNYA
BUKU 2: YORU-NO-KAZE (BAYU MALAM)
ARKA 1: KIKU