Hisamiko terjaga tiba-tiba dari tidurnya. Peluh memercik di dahi meski malam itu sungguh dingin. Tangan kanannya ditindih tangan Ryouji yang sedang terlelap di sisi katilnya, yang terletak dalam sebuah bilik terasing dari deretan katil mangsa-mangsa aotsuyu yang lain. Ryouji meminta kepada Megumi agar Hisamiko dipindahkan ke bilik itu kerana dia mahu menunggu di sisi katilnya dan tidak mahu mencurigakan sesiapa kerana memasuki bilik yang dipenuhi wanita.
Di manakah aku? Aku sakitkah? Sebentar. Memori terakhirku ialah ketika di Saikawa. Azuchi dipanah. Azuchi dipanah!
Azuchi sudah mati!
Hisamiko menekup wajahnya. Apa yang telah berlaku? Sudah berapa lamakah aku di sini sejak kejadian itu?
Hisamiko mula mengingat pecahan-pecahan memori yang samar-samar muncul bersilih ganti dalam benaknya. Tidak semua pemerhatian ketika dia dikuasai sasau aotsuyu itu tidak dapat ditangkapnya. Ada yang jelas dan ada yang samar. Dan untuk yang jelas, ototnya dan derianya seperti kekejangan dan tidak dapat memberikan respons pada ketika ia muncul. Hatta otot mata untuk menangis sekalipun mahupun untuk mengerutkan wajah.
Tidak silap aku, Tsuneki datang menyelamatkanku dalam kereta kuda itu. Kemudian dia membawaku pulang ke sini. Hari demi hari, aku hanya melihat deretan katil dan seorang wanita separuh abad sering ke hulu dan ke hilir di dalam bilik rawatan itu. Dia juga yang memapahku ke tandas. Dan aku lihat Kotobuki mengawasi di luar sekali-sekala. Chisato nee-chan juga di situ. Dia selalu duduk termenung di kepala katil.
Namun bagaimana aku boleh sembuh? Apakah penawarnya sudah ditemui?
“Hisamiko...” kedengaran suara Ryouji baru sahaja terbangun dari tidur. “Hisamiko?”
“Onii-san...” Hisamiko tersenyum.
“Hisamiko! Engkau sudah sembuh?! Hisamiko!” Pantas Ryouji memeluk Hisamiko. Hisamiko menyambut pelukan abangnya dengan tangisan. Ryouji menitiskan air mata juga.
“Onii-san, apakah penawarnya sudah ditemui?”
“Belum, namun Shinji ada memberitahuku, lambat laun kalian akan sembuh juga. Penawar aotsuyu lama Kotobuki telah melambatkan serapannya dan mengelakkan saraf kalian dari mengalami kerosakan kekal.”
“Benarkah begitu? Bererti Chiho dan Chinami juga akan dapat bertemu nee-chan kembali?”
“Benar Hisamiko. Namun selepas ini engkau jangan lagi melakukan perkara seperti itu.” Ryouji memegang kepala Hisamiko, masih mengalirkan air mata. Dia terlalu gembira, Hisamiko jantung hatinya telah kembali mampu berbicara.
Esoknya, kesembuhan Hisamiko dilaporkan kepada Kotobuki. Ramai rakan-rakannya naik ke pusat rawatan tersebut untuk menziarahi Hisamiko.
Selepas semuanya beredar, yang tinggal hanya Tsuneki, Ryouji dan Hisamiko.
“Arigatou, Tsuneki. Engkau datang menyelamatkan aku lagi.”
“Doumo...” Tsuneki malu seraya memandang ke arah lain. Ryouji memandangnya sambil tersengih.
“Jadi Tsuneki, bila engkau bercadang melamar adikku?”
“Onii-san!” Hisamiko berbunyi.
Terbeliak biji mata Tsuneki mendengarnya. Dia melarikan diri seperti tikus yang menyedari kehadiran kucing. Terkejut Megumi yang sedang lalu di situ.
Ryouji ketawa. Tsuneki masih lagi budak. Cuma aku tidak faham mengapa dia begitu cekap memanah dan menunggang kuda seperti seorang samurai yang sudah berpengalaman berpuluh tahun. Tsuneki seperti seorang pahlawan yang sudah ditakdirkan. Seperti salah seorang dari mereka yang mewarisi tama-no-iwa.
Mungkinkah dia bersusur galur dari puak misteri itu? Yang kuasanya dipindahkan kepada Hamada?
“Onii-san, berikan aku mangkuk...” Hisamiko tiba-tiba memegang hidungnya. Ada apa pula kali ini, Hisamiko?
**
Kotobuki mengambil kesempatan bertemu bekas gurunya di lokap Kogen.
“Sensei. Kita bertemu lagi.” Kotobuki berdiri sambil memegang jeriji kayu sel, memandang Noguchi di dalamnya yang sedang duduk di atas lantai. Shizuo sedang duduk di sebelahnya. Noguchi masih tunduk sugul.
“Mari, ikuti aku ke bilik soalsiasat. Kita boleh berbual panjang di situ.”
Seijuro dan Takajiro yang mengiringi Kotobuki membawa Noguchi keluar menuju ke bilik soalsiasat.
“Aku tumpang bersedih atas nasib malang menimpa anak-anakmu.”
“Terima kasih Kotobuki. Mereka sudahpun menerima pembalasannya.”
“Maksudmu?”
“Shizuo membunuh mereka demi mempertahankan kami.”
“Jadi, ke mana arah haluanmu yang seterusnya, Sensei? Masih mahu mencipta racun begitu?”
“Aku tidak akan sekali-kali menciptakan racun begitu lagi. Aku mahu menyertai kalian.”
Kotobuki tersenyum. Tuhan telah membantu kami. Namun pertolongan-Nya itu datang dengan satu pengorbanan, iaitu nyawa tidak berdosa anak-anak Noguchi.
“Sensei, ada sesiapa yang tahu formula aotsuyu baru engkau? Yang tahu menghasilkannya benar-benar sepertimu?”
“Hanya aku seorang. Dibantu oleh anak-anakku. Dos yang diperlukan tidak banyak untuk satu-satu mangsa, maka aku tidak memerlukan pekerja yang ramai.”
Aku mahu memanfaatkan Noguchi-sensei. Disebabkan tiada sesiapa yang boleh meniru kaedah penghasilan aotsuyu baru itu, maka kini anggaran bilangan bakal-bakal mangsa akan dihadkan kepada seberapa ramai yang mampu diracun oleh bekalan aotsuyu yang masih ada di tangan orang-orang Hamada.
“Engkau fikir dengan bekalan aotsuyu baru di tangan Hamada, berapa ramai lagi mangsa yang akan muncul?”
“Dos pada Hamada cukup untuk seratus mangsa.”
“Baiklah, Sensei. Tugasan pertama engkau di sini ialah menghasilkan dos penawar yang cukup untuk dua ratus mangsa. Shinji!”
Shinji sudah lama menunggu di luar. Dia masuk selepas mendengar panggilan Kotobuki.
“Shinji adalah rekrut kami untuk bahagian penyelidikan. Dia akan membantumu.”
“Sila beri tunjuk ajar, Noguchi-sensei.” Shinji tunduk penuh hormat. Noguchi membalas dengan menundukkan sedikit kepalanya. Wajarkah aku menerima tunduk begitu dari budak ini? Aku lelaki yang telah merosakkan ramai gadis di bumi Yamato. Sehingga karmanya menimpa anakku sendiri. Layakkah aku dimaafkan? Tuhan, adakah Engkau akan mengampuni dosa-dosaku?
**
“Engkau temuinya Shinji?” Soal Kotobuki.
Shinji baru sahaja memeriksa darah dari hidung Hisamiko bagi mengenal pasti punca yang membawa kepada kesembuhan penuhnya. Kes Hisamiko sedikit berbeza berbanding kes Shiori dan wanita lainnya, yang berbunyi agak normal kerana racun itu sememangnya akan dikeluarkan dari badan melalui kumuhan. Namun dalam kes Hisamiko, racun itu berkumpul pada darah yang dihembuskan dari hidungnya pada siang selepas malam Ryouji menemui dia sembuh, iaitu tidak lama selepas rakan-rakan mereka datang melawat. Ryouji cepat-cepat mengambil bikar dan menadah darah itu dari hidung Hisamiko.
“Aku telah periksa kandungan racun dalam darah itu. Ia cukup untuk satu tolakan omboh. Bererti kesemua racun itu berkumpul di hidungnya dan keluar dalam darah ini.”
“Aneh.”
“Aku fikir mekanisme yang sama bagaimana Azuchi dapat mengesannya ke mana sahaja Hisamiko pergi.”
“Maksudmu, Shinji?”
“Engkau tahu bukan berkenaan batu Magnesia (magnet)?”
“Ya, batu yang digunakan bagi mengaruh jarum kompas.”
“Azuchi mengesan gelombang dari batu Magnesia lemah yang dihasilkan di belakang hidung Hisamiko.”
“Bagaimana engkau tahu?”
“Setiap kali Azuchi mendekatinya, aku mendengar bunyi bingit namun perlahan di telingaku. Aku perasan bunyi itu datang dari rongga pernafasan Azuchi dan belakang hidung Hisamiko. Ia seragam dan semakin Azuchi dekat dengannya, semakin kuat bunyi itu.”
“Apa kaitannya dengan batu Magnesia?”
“Belakang hidung Hisamiko menarik Azuchi seperti batu Magnesia menarik besi.”
“Dan apa kaitannya dengan kesembuhan Hisamiko?”
“Sukar untuk aku jelaskan. Batu ini aku ambil dari bangkai Azuchi yang dibawa balik Tsuneki. Ia terletak di belakang rongga pernafasannya. Lihat ini, Kotobuki-san. Aku akan tunjukkan sesuatu yang menarik.”
Shinji meletakkan sedikit dari darah hidung Hisamiko ke dalam bekas lain. Kemudian dia menggerak-gerakkan batu yang kecil dan hitam itu menyentuh lantai bekas tersebut. Titisan darah itu mengikut gerakan batu itu. Kotobuki teruja melihatnya.
“Batu ini hanyalah mendapan mineral, kandungan batu Magnesianya tinggi. Diperolehi dari diet Azuchi. Aku fikir ia bukan sekadar tertarik kepada sesuatu di belakang hidung Hisamiko, bahkan mungkin, ia menarik racun dari darah. Persis batu geliga ular yang mampu meresap bisa.”
“Dengan kata lain, mungkin Hisamiko punya batu sama di belakang hidungnya?”
“Barangkali. Batu sama yang menyerap racun, dan batu sama yang membolehkan dia dikesan Azuchi. Dan disebabkan kebolehan menyerap racunnya, aku fikir ia campuran antara batu Magnesia dan mendapan lain dari diet mereka.”
Mungkin juga Ayame punya cirian yang sama!
Namun aku masih hairan, getus Shinji. Apa yang dimakan Hisamiko? Aku tahu dia suka tanghulu selain nasi dan ikan saba bakar. Dia tidak banyak makan pun, disebabkan itu juga dia kurus. Mungkin aku boleh bertanya Ryouji.
Tentang kebolehan Azuchi mengesan Hisamiko, bukankah itu komunikasi jarak jauh? Menggunakan medan magnet? Apakah mungkin aku boleh memimiknya, bagi membantu para pengintip kami? Komunikasi menggunakan merpati agak berisiko di mana hayabusa Hamada akan sentiasa menyerangnya. Mereka juga sering menghantar pemanah memanah merpati kami.
Nampaknya aku perlu menghablurkan darah Hisamiko ini. Mungkin kuncinya adalah kandungan mineral aneh di dalamnya. Aku akan mengekstrak mineral tersebut dan menghablurkannya, kemudian menguji menggunakan batu dari belakang rongga pernafasan Azuchi. Aku yakin, dengan terbongkarnya rahsia ini, aku mungkin akan dapat memanfaatkannya bagi menggantikan merpati dalam komunikasi jarak jauh para pengintip kami.
Sebentar. Bukankah batu dari Azuchi ini di belakang rongga pernafasannya? Apakah ia ada kaitan dengan batu resin? Aku tahu semua hayabusa akan dimabukkan oleh bau dari resin itu. Namun jika benar ia berbau, sudah pastu jisimnya akan berkurangan kerana terlepas ke udara bagi menghasilkan bau.
Aku tidak percaya akan teori bau. Ia hanyalah kesimpulan mudah oleh Kotobuki. Aku fikir, batu resin itu juga punya unsur Magnesia, meskipun ia datang dari pokok. Pokok akan menyerap nutrien dari tanah dan ada sesetengah pokok menyerap zarah-zarah Magnesia dari tanah yang akhirnya tersimpan di dalam bahan kumuhnya, seperti resin itu. Kemudian unsur Magnesia itu akan mengeluarkan medan magnet sama seperti deria Hisamiko. Namun bagaimana medan itu boleh memabukkan hayabusa, aku tidak pasti. Mungkin medannya berlainan dari yang dikeluarkan Hisamiko? Aku tidak pasti. Terlalu banyak ‘bahu gergasi’ yang perlu aku daki untuk melihat jawapan-jawapan yang jauh di ufuk.
Mungkin, batu resin itu kuncinya. Mungkin, dari batu resin itu juga, aku boleh mencipta alat komunikasi baru, menggunakan medan magnet.
Mekanisme komunikasi Azuchi dengan Hisamiko lebih kurang sama dengan komunikasi merpati hitam Saki itu dengan rumahnya dan patung telur. Apakah Azuchi juga hasil pembakaan terpilih Hamada? Mustahil. Namun aku yakin, kaedah tersebut boleh dihasilkan secara tiruan. Mungkin ada penyelidik di luar sana telah memahami bagaimana menghasilkannya secara tiruan ke atas burung seperti merpati, kemudian menjualnya kepada Saki.
**
Goryuuin menemui Shizuo di lokap Kogen selepas kebah sedikit dari sakitnya, diperhatikan Ayame. Seijurou dan Takajiro seperti biasa menunggu di luar lokap bawah tanah itu. Dua wanita itu bertemu Shizuo di dalam bilik soalsiasat.
“Shizuo-san desuka? Engkau Shizuo bukan?!”
“Benar, ojou-san.”
Goryuuin tidak bertangguh menampar Shizuo. Shizuo memegang wajahnya, kesakitan.
“Di mana Hisamine, Shizuo? Engkau bersubahat menculiknya bukan? Di mana adikku, Shizuo?!” Goryuuin menempik.
“Apa yang engkau katakan ojou-san? Aku tak faham.”
“Jangan buat-buat tak faham, Shizuo! Loket pada penyepit rambutmu itu hanya ada dua!”
Shizuo mula teringat sesuatu. Lama dahulu, ketika dia masih berkhidmat kepada Hamada. Lebih sedekad yang lalu, pada tahun 1862.
Tugasnya pada ketika itu ialah membeli gadis-gadis yang dipukau oleh Emishi untuk dijual ke rumah-rumah pelacuran sebagai karayuki.
**
Sudah sebulan misi mereka di Saikawa berlalu pada musim bunga 1873 itu. Suhu semakin hangat. Musim panas semakin hampir.
Goryuuin meminta kebenaran keluar dan telah diperkenankan oleh Kotobuki.
Selepas mengetahui dari Shizuo di mana lokasi pelabuhan Hisamine dilepaskan, dia bercadang membawa Sonzaemon sekali mencarinya. Oleh itu dia perlu bertemu Sonzaemon dahulu di Furukawa.
Dia keluar awal pagi, tidak mahu berbicara panjang hal peribadinya dengan sesiapapun, dan tidak mahu dilihat sesiapapun. Dia mahu lekas bertemu Sonzaemon. Dia mahu merungkaikan segala persoalan dan kekusutan yang bersarang di dalam benaknya.
Berkuda ke Furukawa menuntut Goryuuin menelusuri tebing Sungai Miya yang panjang menganjur dari muara di pinggir Laut Jepun itu, menuju ke pergunungan Hidagawa di selatan yang terletak dalam Wilayah Jooryoku. Untuk itu, Goryuuin harus melalui pekan Inotani yang terletak di sempadan Wilayah Kodama – Jooryoku. Pekan ini agak padat dengan penduduk, namun pada hari ini ia lengang kerana cuti umum.
Pagi itu dingin meskipun di awal musim panas, maka Goryuuin melitup yukatanya dengan baju tenun kapas tebal yang mampu menebat sejuk. Di kepalanya juga bersarung topi tenun. Tersisip dua bilah pedang bersarung di pinggangnya. Kudanya berwarna perang, berlari pantas merentas lorong utama pekan Inotani yang lengang pagi itu.
Goryuuin kini menghampiri Furukawa, setelah matahari tegak di kepala. Dia arif akan laluan ini, kerana laluan ini jugalah yang dilaluinya ketika menyelamatkan ahli rumah Takasaki dahulu, dan juga laluan yang sama dia bertemu Ayame di Furukawa sejak menjadi ahli Kogen. Selepas menemui kuil Furukawa beronsen, dia membelok untuk keluar dari kawasan laluan hutan itu, menuju pekan Furukawa.
Seperti kebiasaan, orang ramai membanjiri pekan di celah gunung itu. Seorang lelaki berkuda lalu di sebelah Goryuuin.
“Saaya?” Lelaki itu bersuara perlahan tanpa menoleh, menundukkan wajah di bawah topi kon, berhenti jauh sedikit dari Goryuuin. Jelas dia Sonzaemon.
Goryuuin mengangguk kecil, tidak menoleh. Sonzaemon menjeling dari bawah topi kon.
“Aku tunggu di belakang kedai ramen Mafuyu. Ia di...”
“Aku tahu.” Goryuuin pernah makan di situ ketika mengikut Ayame yang berpangkalan di pekan ini sebagai ketua pengintip Kogen.
“Jya ne.” Lelaki itu berlalu pergi.
Di belakang kedai ramen Mafuyu...
“Mari!” Sonzaemon muncul tiba-tiba, menarik tangan Goryuuin menuju ke kaki bukit. Sonzaemon mendaki anak tangga berlapiskan kerikil pada lereng bukit itu sambil menarik Goryuuin. Goryuuin kebingungan, namun hanya menurut.
Setelah mendaki separuh dari keseluruhan tangga, terdapat satu simpang dengan denai rata menghala ke kiri, dan di bahu kiri denai itu ditanam pepohon renek sebagai sempadan bagi melindungi pejalan dari terjatuh ke bawah lereng di sebelah kiri denai itu. Sonzaemon masuk ke denai itu sambil masih menarik tangan Goryuuin.
“Hatakemaru, ke mana engkau mahu pergi?”
“Hanya sini.” Ada sebuah penginapan dari kayu di situ. Ia didirikan di atas tanah rata yang ditarah dari lereng di sebelah kanan mereka sehingga membentuk sebuah unjuran ke dalam perbukitan itu.
Sonzaemon terus memeluk Goryuuin. Goryuuin sedikit terkejut, namun menyambut pelukan itu. Kedengaran bunyi Sonzaemon menyedut hingus. Menangis nampaknya.
“Maafkan aku, biarkan aku seketika begini, Saaya.”
Mereka duduk di situ.
“Di sini tempat aku selalu bersembunyi sewaktu merompak di sini dahulu.”
“Dan sejak bila engkau terlibat menculik gadis?”
“Itu misi pertamaku dengan Hamada. Sebelumnya aku berlatih bertarung di rumahnya dan menguruskan badanku selama setahun.”
Goryuuin menampar Sonzaemon tiba-tiba.
“Baka!” Goryuuin menangis memandang Sonzaemon. Sonzaemon terkejut.
“Hanya kerana aku melarikan diri engkau jadi begini? Engkau menyedihkan, Hatakemaru!”
Sonzaemon tunduk, tidak berani memandang wajah marah Goryuuin.
“Engkau sama sahaja dengan mereka yang menculik Hisamine!” Goryuuin bangun, seraya beredar meninggalkan tempat itu.
“Matte, Saaya!”
“Aku berjanji untuk berubah!” Sonzaemon memegang lengan Goryuuin, dia melutut di belakang sedang Goryuuin masih berdiri.
Goryuuin tidak memaling muka. Masih marah dengan Sonzaemon.
“Adakah engkau akan kembali begini jika aku mati?”
“Tidak. Aku berjanji.”
“Hatakemaru, berubahlah kerana engkau ingin berubah. Jika engkau berubah kerana aku, aku akan mati.”
“Kita akan sama-sama mencari Hisamine! Aku akan mencarinya meskipun aku mungkin akan mati. Aku mahu menebus semua dosa-dosaku!”
Goryuuin pegun berdiri. Adakah Sonzaemon boleh dipercayai? Atau sekadar kata-kata kosong?
“Selepas itu apa perancanganmu?”
“Aku mahu mengahwinimu dan membawa Hisamine hidup dengan kita, di Yozehama.”
“Di sana untuk apa?”
“Menjadi nelayan. Aku punya kenalan di sana. Aku tidak akan kembali lagi ke Tsugaru.”
“Hatakemaru, aku akan ikut ke mana sahaja engkau pergi.”
“Bagaimana dengan pekerjaanmu di Kogen?”
“Pekerjaan itu tidak penting berbanding engkau! Namun engkau harus berjanji denganku, yang engkau akan meninggalkan pekerjaan begini selama-lamanya. Berhenti memberi masalah kepada Kogen dan Maharaja.”
“Aku berjanji!”
Goryuuin menoleh, memegang bahu Sonzaemon. Dia mengangkat wajah Sonzaemon dan menyeka air matanya. “Hontou baka da ne, anata... (Bodoh benar, engkau...).”
**
“Saaya, aku telah meninggalkan surat meletak jawatan kepada Hamada semalam.”
“Hah?”
“Hamada pasti akan membunuhku jika dia menemuiku. Dia bertungkus-lumus melatihku selama setahun dan aku meninggalkannya begini.”
Aku tidak boleh menyalahkan Hatakemaru juga. Ia sudah cukup bagus dia meletak jawatan segera dan membasuh tangannya dari kegiatan keji itu.
“Sekarang apa perancanganmu?” Goryuuin bertanya.
“Aku akan berdiam di sini dahulu.”
“Bagaimana dengan pengikutmu yang dua orang itu?”
“Mereka tidak setia dengan Hamada, hanya denganku. Mereka juga akan melarikan diri.”
“Mereka akan melarikan diri ke sini bukan??”
“Ya. Mereka berasal dari sini. Aku kenal mereka di sini.”
Goryuuin menepuk kepalanya.
“Mereka akan mengikut kita! Engkau mahu begitu?”
Sonzaemon tidak berkata apa.
“Engkau ni memang bodoh sejak dahulu lagi!”
Sonzaemon kelu. Memori lama bermain di benak. Dia keracunan kerana memakan herba yang dipetik di hutan, sehinggalah Goryuuin merawatnya. Memang dahulu begitulah bodohnya. Kemudian menjadi bijak sedikit ketika bergelandangan di Furukawa. Kemudian bodoh kembali sekarang.
“Ayuh, kita ke Ishikawa sekarang.”
“Sekarang? Untuk apa?”
“Lari dari pengikutmu itu. Dan aku mahu mencari Hisamine. Shizuo memberitahuku yang dia menghantar adikku ke pelabuhan sana selepas menculiknya.”
“Shizuo, yang menculiknya? Shizuo samurai Hamada itu?”
“Ya. Mengapa? Engkau mengenalinya?”
Sonzaemon tidak dapat meneruskan kata-kata. Lidahnya kelu. Bagaimana, dalam ramai-ramai yang mereka culik atau pukau untuk dijual, Shizuo memilih adik Goryuuin? Bagaimana?
“Dia bekas guruku. Nanti aku ceritakan. Ayuh.” Sonzaemon membalas pendek. “Sebentar, di mana dia bertemumu?”
“Dia menyerah diri kepada Kogen. Anak kepada Noguchi rakannya itu telah dinodai dan dibunuh kejam. Dia menyesal dengan dosa-dosa lamanya dan mahu menebusnya.”
Sonzaemon meraup wajah, cuba menghadam berita yang baru diterimanya. Patutlah dia tidak pulang-pulang sejak hari itu! Sejak dia keluar mengikut Noguchi yang datang ke rumahnya. Dan Hamada pula sedang merancang mengepung keluarga Shizuo yang ramai seperti keluarga arnab itu untuk memaksa dia kembali kepadanya. Shizuo, apa yang engkau fikirkan meninggalkan mereka begitu? Aku ingat engkau seorang yang bertanggungjawab.
Ah, terlalu banyak perkara pelik akhir-akhir ini!
“Bukankah adikmu telah diculik lama dahulu? Aku fikir dia mungkin sudah dijual ke luar negara.”
“Selagi aku belum memeriksanya selagi itu aku tidak akan mempercayai teori itu. Aku mahu memeriksa sendiri.”
Apapun, aku tinggalkan dahulu masalah Shizuo itu. Mulakan dengan selesaikan masalah kami dahulu. Iaitu kehilangan Hisamine. Ia adalah masalah kami yang telah ditimbulkan Shizuo. Jika Shizuo mahu aku membantu keluarganya, dia perlu memberikan aku masa untuk menyelesaikan masalah yang telah ditimbulkannya.