Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 23

“Tatsuya, dapatkan berita dari orang-orangmu di Kisennuma. Aku yakin perempuan itu sedang ke sana.” Lelaki berhappi sagi itu mengarahkan salah seorang pengikutnya.

 

“Baik, Tsugiyama-san!” Balas Tatsuya.

 

**

 

“Nakatsu, apa perancanganmu sebenarnya?” Mariko bertanya malam itu.

 

“Aku hanya mahu melihat mereka berjaya mengharungi cabaran sebenar berdua. Bertarung bersama jantina lawan. Menghadapi musuh sebenar. Aku maklum pemburu Chisato masih berada di pekan pedagang berdekatan kampungnya.”

 

“Bukankah itu bahaya?” Mariko sedikit meninggikan suara, tidak bersetuju dengan tindakan Takasaki.

 

“Sabar. Bukankah telah aku katakan pengintipku di mana-mana? Komunikasi aku dan pengintipku menggunakan merpati. Mereka ada di mana-mana; sebagai pekerja kedai ramen, sebagai pembawa kereta jerami, dan sebagai sami di kuil Shinto. Mereka pasti selamat.”

 

“Tempoh hari Azusa melaporkan padaku yang mereka berdua senyap-senyap bertemu di malam hari di hutan buluh. Katanya mereka berlatih bertarung tanpa pengetahuan kita sejak sekian lama.” Mariko melangkau ke topik lain pula.

 

“Aku sudah tahu, Mariko. Aku sukar tidur malam, engkaupun tahu. Sejak Ryouji datang ke sini, dia mengambil tempatku di taman bonsai, maka aku mengalih tempat berdiamku di pondok merpati di atas pokok shirakaba yang di pinggir hutan buluh itu. Suatu malam, aku ternampak mereka lalu terus memerhati dari atas. Azusa seringkali mengintai dan Ryouji nampak seperti maklum akan Azusa. Dia sekali sekala melihat ke arah belukar di mana Azusa bersembunyi."

 

Mariko terpegun. Begitu cekap Takasaki memerhati penghuni-penghuni di rumah itu.

 

“Nakatsu, mengapa engkau menghalang pertarungan antara jantina? Adakah disebabkan pergaduhan Azusa dengan Kobato dahulu?”

 

“Aku tidak pernah menghalang. Aku ada menetapkan beberapa peraturan tetapi tidak bermakna ia tidak boleh disanggah atau didebatkan oleh mereka. Mereka perlu patuh akan tetapi sekiranya keadaan memerlukan sebaliknya, mereka boleh berbincang denganku."


"Bukankah itu akan memanjakan mereka? Melatih mereka agar mudah memberontak sekiranya keinginan tidak dipenuhi? Bagaimana mendisiplinkan mereka jika peraturan dilonggarkan dan boleh didebatkan?"


"Kelonggaran itu tidak memanjakan mereka, Mariko. Aku mahu mereka belajar mempersoal, bukan menurut membuta tuli. Ryouji adalah pelajar pertama di sini yang berani mengadapku meminta ‘membenarkan’ pertarungan antara jantina. Dia memberikanku alasan yang amat wajar. Aku perlukan keberanian sebegitu."


"Mengapa bukan Funazuki, sedangkan aku tahu benar Funazuki amat ingin bertarung dengan Kobato? Sehinggakan Kobato telah meninggalkan kita pun, Funazuki masih belum membuka mulut."


"Kerana pergaduhan dengan Kobato dahulu? Mungkin mereka masih gentar dengan Kobato dalam diam."


"Mariko, mereka sudahpun dewasa. Pergaduhan sewaktu kecil itu berlaku lama dahulu. Azusa dan Saki masing-masing sudah kuat setelah bekerja melombong belerang. Aku yakin mereka tidak lagi gentar dengan Kobato."


"Aku fikir Mariko,  Azusa dan Saki kurang dorongan bagi mempersoalkan peraturanku. Kerana mereka tidak pernah merasa kesusahan di dalam dunia kembara. Mereka hanya hidup di sini dan melombong belerang. Mereka tidak tahu kepentingannya lantas tidak terdorong. Mereka mahu mencabar diri dengan bertarung dengan Kobato, namun mereka tiada dorongan yang kuat.”

 

“Mariko, jika kita tandus golongan yang berani seperti Ryouji, pembaharuan yang dilakukan Maharaja ketika ini tidak akan menjadi realiti, atau mungkin berkubur dalam satu dua tahun sahaja.”

 

Mariko mengiyakan kata-kata Takasaki di dalam hati. Takasaki seorang yang demokratik. Pemikirannya seperti orang-orang Inggeris dan Belanda yang pernah aku temui, sewaktu belajar di England dahulu.

 

“Aku menyaksikan mereka berdua sekian lama. Mariko, apa kau fikir berkenaan mereka?” Takasaki melangkau ke topik lain pula.

 

“Seperti pinang dibelah dua. Sangat cocok.”

 

“Bukan, maksudku, perwatakan. Apakah engkau fikir penghuni di rumah ini telah banyak berubah sejak kedatangan beradik Okuhida itu?” Takasaki mahu mendengar pendapat Mariko.

 

“Ryouji berbakat pemimpin. Sejak dia sampai ke sini setahun lebih lalu, banyak yang berubah. Penghuni rumah yang dingin kini saling berinteraksi. Tsuneki dan Shinji sebelumnya payah benar membuka mulut kini ringan benar mulutnya membuka bicara. Kobato pun. Mungkin kerana jurang umur mereka. Ryouji seorang yang berumur muda tetapi berkematangan sebaya Kobato. Malah, sejak Ryouji tiba, Chisato sudah mula mempamerkan kemahiran sebenarnya ketika bertarung.”

 

“Chisato juga begitu. Namun aku melihat peranannya lebih kepada ibu kepada semua penghuni wanita di sini. Mungkin kerana fizikalnya yang paling tinggi. Sehinggakan Funazuki yang kelelakian itu pun tergerak olehnya, bahkan menghormati Chisato.”

 

“Apa perancanganmu sekiranya aku tiada, Mariko?”

 

Mariko terdiam sebentar. Mengapa engkau bertanyakan soalan ini?

 

“Aku cuma bertanya sahaja. Ajal maut di tangan kami, bila-bila masa sahaja kami akan mencabutnya.”

 

“Mungkin aku mewariskan kepada mereka berdua, Ryouji dan Chisato untuk menguruskan rumah ini dan penghuninya. Kita tiada anak. Merekalah anak-anak kita. Aku akan khabarkan kepada Kogen agar mereka diserap masuk ke dalamnya.”

 

“Aku pun fikir begitu. Chisato dan Ryouji yang paling sesuai.”

 

“Sebentar, Nakatsu. Bagaimana pula dengan Funazuki bersaudara? Bukankah tapak rumah ini asalnya tapak kuil di bawah seliaan keluarga mereka?”

 

“Sebetulnya mereka tiada apa-apa hak lagi ke atas tanah ini. Keluarga mereka sendiri berpindah ke seberang Sungai Miya, kerana mahu memudahkan pelawat mengunjungi kuil mereka. Sebelum ini, pelawat perlu menyeberang sungai tersebut untuk ke tapak kuil lama di sini. Jika air pasang, mereka tidak dapat menyeberang.”

 

“Namun itu keputusan yang sukar untuk keluarga Funazuki, kerana pelawat-pelawat tidak lagi dapat ke onsen. Namun akhir-akhir ini, permintaan terhadap belerang semakin meningkat, mungkin sedikit melegakan mereka.”

 

Takasaki masih risau. Dia memiliki ramai musuh yang sedang menanti untuk memenggal kepalanya. Dia tahu, rumah perlindungan itu dilindungi tama-no-iwa (monolith of the spirits / batu semangat) yang diletakkan di puing kuil Shinto lama di kawasan hadapan rumah itu. Namun, tama-no-iwa akan runtuh jua apabila dia meninggal dunia, dan para penghuni rumah tersebut harus melindungi diri mereka sendiri.

 

Jika aku merancang meninggalkan rumah ini kepada mereka semua, aku harus melatih mereka sehingga jurus kesembilan. Atau, aku mungkin terpaksa meminta Kogen memindahkan mereka ke tanah tinggi Shirasaka di utara. 

 

**

 

Mereka sampai ke sebuah kuil Shinto ketika hari hampir malam. Kuil itu terletak di atas bukit dan mereka harus mendaki anak tangga. Tangan kanan Ryouji masih kaku, dan kaki kiri Chisato masih tercedera. Namun dia tetap memapah Chisato mendaki anak tangga yang tinggi itu menuju ke puncaknya.

 

Tidak seperti kuil-kuil Shinto lain, kuil itu besar, seperti kawasan rumah perlindungan mereka. Bahagian kuil menempati satu pertiga dari keseluruhan kawasan. Selebihnya adalah rumah tumpangan dan kawasan onsen. Namun, tidak ramai yang menginap di kuil tersebut pada malam itu. Persekitarannya amat bersih menunjukkan ia dijaga rapi.

 

Ryouji bertemu penjaga kuil itu, seorang wanita berusia lima puluhan yang memakai kimono berwarna biru, diiringi pembantu-pembantunya, wanita-wanita belasan tahun yang memakai yukata putih dan hakama berwarna merah. Tidak seperti kuil lain, kuil ini dijaga oleh wanita sahaja. Wanita tua itu menerangkan dia hanya menjaga rumah tumpangan dan onsen, kuil ini dijaga oleh seorang sami wanita Shinto bersama pembantu berhakama merah itu. Ryouji dan Chisato diberikan sebuah bilik yang luas.

 

Sami wanita itu tiba kemudian dan merawat kaki Chisato. 


Jika bukan kerana sumpah hayabusa, mungkin aku sudah berjaya melakukan jurus kedua tanpa mencederakan Chisato. Mungkin ini pengajaran besar buatku. Bisik hati Ryouji.

 

“Anak dari mana?"

 

“Kami dari Hidagawa."

 

“Kamu berdua pasangan suami isteri?"

 

Kedua-dua mereka merah padam mukanya, sambil menjawab hampir serentak “Iye, fuufu jya arimasen. Koibito dake desu.(kami bukan pasangan suami isteri).”

 

Sami wanita itu tersenyum simpul.

 

“Jadi, tidak mengapakah bagi kami berdua bermalam di bilik yang sama? Atau kamu, Okuhida-san, mahukan bilik berasingan?”

 

“Tidak mengapa. Hanya satu bilik mencukupi.” Ryouji memberitahu penuh yakin. Chisato malu seraya memalingkan muka.

 

“Ogasawara-san, aku sudah selesai mencuci dan mengubati lukamu. Lukamu agak dalam juga. Berehatlah.”

 

“Terima kasih, obaa-san (mak cik).” 


Doumo. (sama-sama).”

 

Setelah kelibat sami perempuan itu benar-benar hilang dari pandangan, Chisato mula bertanya soalan-soalan yang masih bermain di fikirannya.

 

“Ryouji, apa yang berlaku siang tadi sebenarnya?”

 

“Aku tidak tahu Chisato. Tanganku tiba-tiba kaku, lantas aku tidak sempat menggerakkan pedangku ketika engkau bergerak.” Ryouji berpura-pura tidak tahu.

 

“Engkau tidak mahu memeriksa keadaanmu dengan obaa-san?

 

“Tidak mengapa. Tanganku mungkin kekejangan sahaja.” Sekali lagi, Ryouji cuba menyembunyikan perkara sebenar.

 

Chisato dapat menghidu Ryouji sedang menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya melihatkan matanya mengelak pandangannya ketika dia menafikan. Dia nampak Ryouji keletihan dan tidak mahu mendesaknya bercerita.

 

“Ryouji, engkau nampak amat lesu. Pergilah berehat.” “Engkau pun, Chisato.”

 

Oyasuminasai, Chisato.” “Oyasuminasai, Ryouji.”

 

Ryouji tidak menafikan. Memang benar. Jurus kedua mengeluarkan banyak tenaga sepertimana yang telah dinasihatkan oleh Takasaki. Percubaannya untuk menguji keberkesanan jurus itu memakan diri. Mujur sahaja tiada aral melintang selepas kejadian di pekan tadi. Jika tidak, mungkin dia dan Chisato dengan mudah dikalahkan oleh sesiapa sahaja yang bertarung dengan mereka selepas kejadian itu.

 

Aku akan menggunakan jurus ini di masa akan datang hanya ketika tiada lagi cara lain untuk menumpaskan musuhku, fikirnya. Namun itu juga bergantung sekiranya aku ada regu dan regu itu telah dilatih seperti Chisato. Lupakan saja jika aku berseorangan.

 

Dia melihat Chisato. Chisato di sebelahnya, bagaikan mimpi! 


Dia dan Chisato berbaring bersebelahan namun dipisahkan dengan jarak sedepa, dan mereka berbaring di atas tatami berasingan. Bilik itu mengadap sebuah taman, dipisahkan dari mereka oleh sebuah pintu gelangsar, dan sebuah lagi pintu gelangsar memisahkan mereka dari koridor. Memikirkan Chisato di sebelahnya, hatinya berdebar-debar. Mereka saling mencintai, namun masih belum bersedia. Lagipun, aku dan dia amat lesu hari ini. Mungkin di hari lain...

 

Aku sebenarnya ingin sekali menggembirakan Chisato dalam tempoh ini. Kerana mungkin ini kembara terakhir kami berdua. Aku tidak tahu bila aku akan mati sebelum umur kedua puluhku. Kerana tanda-tanda sumpahan itu sudah mula muncul. Aku amat tidak menyangka kejadian hari ini menjadikan kembara kami sebuah kembara yang menyakitkan.

 

Mungkin aku harus cuba lagi esok...


Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov