Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 3
Seekor burung gagak menjatuhkan sebatang kayu kecil berwarna di halaman sebuah rumah di kota Kawamoto di dalam Wilayah Shinagawa, seraya berteriak nyaring memanggil seseorang.

 

Seorang lelaki berbadan tinggi dan kurus berjalan keluar dari rumah itu. Dia mengenakan haori berwarna kirmizi bercorak di atas kimono berwarna biru gelap yang dipakainya, dua bilah pedang samurai tersisip kemas di pinggang sedang rambut hitamnya panjang diikat kemas ke belakang. Dia memakai gincu dan bersolek tebal seperti seorang geisha. Wajahnya seperti seorang wanita yang hodoh, dengan muka cengkungnya dan rahang yang petak, tetapi dengan badan tinggi sebegitu amatlah mustahil untuk dikesilapkan dengan seorang wanita.

 

Dia menguis-nguis kayu itu dengan kakinya. Melihat warna batang kayu itu yang merah tanpa jalur, dia maklum bahawa misinya telah berjaya, dengan sekurang-kurangnya satu korban dari kalangan orang-orang yang dihantarnya, sama ada Sairenji atau Genji. Sasarannya telah berjaya dihapuskan. Sama ada sasarannya dihapuskan secara kebetulan atau orang-orang yang dihantarnya, itu tidak penting dan tidak boleh dinyahkodkan dari sebatang kayu sebegitu. 

 

Gagak peliharaannya itu tidak boleh mengajuk bahasa manusia maka komunikasi adalah menggunakan kod warna kayu: warna merah bermakna misi berjaya namun ada orangnya yang mati, warna hijau berjalur merah bermakna misinya berjaya dan tiada orangnya yang mati, manakala warna hijau bermakna misinya gagal dan tiada orangnya yang mati.

 

Dia mendepangkan tangan kirinya, gagak itu terbang rendah lalu hinggap di atasnya. Dia mengusap-usap jemala gagak itu. “Bagus Kurobi, aku akan menghadiahkan daging lembu untuk santapanmu hari ini.” Gagak bernama Kurobi itu berteriak keriangan.

 

"Saitou!" lelaki itu memanggil pembantunya, seorang samurai.

 

"Hamada-sama!" pembantunya yang bernama Saitou itu segera datang dan melutut di hadapannya.

 

“Miura sudah mati. Aku tidak tahu apa nasib Sairenji dan Genji.”

 

Saitou gusar mendengarnya, namun dia mendiamkan diri. Dia tidak mahu Hamada mengesan riak wajahnya. Dia sudah menyangka rakannya itu bukanlah tandingan Miura. Nyawa mereka telah disia-siakan. Dia kesal Hamada mengambil keputusan sedemikian.

 

“Saitou, sama ada kedua-dua mereka mati atau melarikan diri, aku tidak mahu tahu. Aku mahukan engkau menangkap anak-anak Miura dan membawanya ke sini. Dan juga siasat bagaimana Miura mati. Pergi sekarang!” Hamada mengarah.

 

“Baik, Hamada-sama. Akan kami uruskan.”

 

Saitou mengeluh sendirian. Malang kamu, Sairenji dan Genji! Jika aku yang dihantar dahulu oleh Hamada-sama, mungkin kamu berdua masih hidup. Dia memejam mata, bertafakur seketika di atas kematian rakan samurainya itu. Barangkali, salah seorang dari mereka masih hidup? Harapnya begitu.

 

Sebentar, yang jelas adalah kematian Miura. Kematian Genji dan Sairenji masih boleh dipersoalkan selagi aku belum menemukan buktinya. Boleh jadi salah seorang dari mereka masih hidup, namun memilih untuk melarikan diri. Terutama Genji itu, yang masih muda dan amat sayangkan nyawanya dan berkali-kali mengadu yang dia tidak gemar menyabung nyawa untuk pekerjaan sebegini. Aku perlu mencari bukti.

 

Hamada menunggu sehingga Saitou beredar dan hilang dari pandangan. Dia berjalan menelusuri sebuah taman bonsai di hadapan rumahnya, dan mengenang kembali kisah lama. Miura adalah samurai yang pernah berkhidmat dengannya suatu ketika dahulu. Dia berkhidmat hampir tiga dekad dengannya sejak berusia lima belas tahun sebelum mengambil keputusan meletak jawatan secara tiba-tiba enam belas tahun lepas. Dua tahun selepas itu, samurainya yang bernama Takasaki juga turut meletak jawatan. Dia amat buntu memikirkan siapakah yang boleh menggantikan mereka.

 

Nama Saitou dicadangkan oleh Takasaki. Hamada tidak punya pilihan lain lantas mengambil Saitou sebagai samurainya. Saitou adalah anak murid Takasaki yang paling mahir dan tua dan mewarisi seni berpedang rahsia Kaminari-no-kaze. Sesiapa yang menguasai seni berpedang itu amat Hamada hargai. Ia seni berpedang yang menekankan kepantasan pergerakan. Ia amat penting pada zaman ini untuk membolehkan pahlawan-pahlawan samurai mengelak dari serangan senjata api yang dibawa oleh bangsa gasar dan tidak bertamadun dari tempat matahari terbenam sana, yang memuntahkan butir-butir logam lebih pantas dari mata panah. Senjata yang dinamakan tanegashima itu amatlah digeruni Shogun Tetsugawa sehingga mendorongnya menguatkuasakan dasar Sakoku yang menghalang Barat dari memasuki Jepun kecuali melalui Dejima dan hanya untuk berdagang sahaja. Seni Kaminari-no-kaze dicipta oleh Miura dan Takasaki dan hanya diperturunkan kepada murid-murid mereka sahaja, dan Saitou adalah satu-satunya murid Takasaki yang benar-benar menguasai seni berpedang itu.

 

**

 

Titik terdekat Sungai Miya berada di arah barat daya dari rumah keluarga Okuhida. Ia juga boleh dikunjungi dari gua kecil tempat beradik Okuhida bersembunyi dengan berjalan mengikut denai di tebing sungai tersebut menghala ke hilir.

 

Disebabkan mereka bermula dari rumah maka untuk ke situ, Ryouji dan Hisamiko perlu berjalan merentas bendang milik keluarga mereka mengikut sebatang tali air. Keluarga Okuhida telah membina sebuah tali air bagi mengairi bendang mereka maka di kala kemarau, bendang mereka tidaklah terlalu terkesan dengan kurangnya air hujan yang turun sepertimana bendang-bendang lain.

 

Dia melintas tempat di mana dia selalu mengail ikan di kawasan bendang itu. Ia adalah tempat di sepanjang tali air itu yang banyak didiami ikan. Dia merenung tempat itu dan teringat, baru semalam dia mengail di sini.

 

Mereka tiba di penghujung bendang, di mana tali air bertemu sungai. Terdapat sebuah titian kecil merentasi tali air itu. Ryouji meniti dengan berhati-hati sambil memimpin Hisamiko. Sampai di seberang, Ryouji berhenti dan melihat Sungai Miya yang berada di sebelah kanannya. Melihat arah arus sungai itu, dia berjalan terus ke hadapan, menuruti catitan bapanya yang menyuruh mereka mudik ke hilir.

 

Pagi itu cerah, dan higurashi masih menyanyi rancak meskipun musim luruh sudah tiba. Wilayah Hidagawa ialah wilayah yang bergunung ganang, maka suhunya agak dingin meskipun cuaca cerah. Daun-daun pepohon sugi dan karamatsu yang berselang-seli dan paling banyak memenuhi hutan itu telah mula bertukar perang selepas semalaman. Malam yang semakin panjang telah mematikan daun-daun itu kerana kurangnya sumber tenaga dari matahari untuk proses membuat makanan. Sungai Miya mengalir tenang dan jernih kehijauan, sehingga dasarnya dapat dilihat. Ia sungai yang bersih dan memiliki ikan yang banyak. Sebahagian ikan-ikan ini berenang masuk ke sawah milik keluarga Okuhida melalui tali air, dan dari situlah Ryouji menangkap ikan untuk dijual atau untuk santapan ahli keluarganya. Ryouji berhenti sejenak di tebingnya untuk mengisi bekas air yang telah kosong. Air yang jernih dan bersih itu meyakinkan Ryouji untuk meminumnya.

 

Ketika matahari tegak berada di langit, mereka sudah melepasi pinggir pekan Furukawa, dan berhenti berteduh di sebuah kuil Shinto, iaitu kuil pertama dalam siri kuil yang perlu mereka lepasi. Ryouji tunduk hormat kepada penjaga kuil itu yang sedang sibuk menyapu daun-daun kering, Hisamiko tunduk mengikut abangnya. Penjaga kuil itu berhenti sebentar, berdiri tegak sambil tangannya masih memegang penyapu, dan tunduk membalas.

 

Mereka menuju ke tempat persembahyangan. Ryouji mencampaknya beberapa keping syiling ke dalam satu lubang di tempat sembahyang itu, Hisamiko turut melakukannya. Mereka berdua kemudian menyusun jari sepuluh dan bertafakur, memohon keselamatan dan perlindungan dari para kami.

 

Kemudian mereka ke sebuah taman di dalam kuil itu. Ryouji membuka sebuah kotak bambu yang diikat dengan kain dan memberikan onigiri dari kotak itu kepada Hisamiko. Kemudian dia makan separuh sahaja bahagiannya. Dia berasa tidak selera dan tidak sedap hati.

 

Sedari tadi Ryouji mengesyaki bahawa mereka sedang diekori, selepas mereka baru sahaja melintasi pinggir pekan Furukawa dan satu rombongan peniaga sutera yang sedang dalam perjalanan ke lebuh Nakasendo untuk ke kota Edo. Dia melihat di celah-celah rombongan itu kelibat hitam sedang bergegas dan apabila dia cuba mengikutnya, ia hilang. Disebabkan itu dia masuk ke kuil Shinto itu dan menunggu seketika sehingga pengekor itu memunculkan diri.

 

Sedang mereka makan, dia ternampak seorang lelaki berpakaian hitam dan bertutup mukanya tiba di kuil itu dan menemui penjaganya yang masih sedang membersihkan halaman. Dia bertanyakan sesuatu, namun penjaga itu menggelengkan kepala. Dia tunduk hormat lalu beredar. Ryouji menyembunyikan sedikit dirinya takut-takut jika dia dilihat. Mungkinkah kelibat lelaki itu yang dilihatnya sewaktu melintas pinggir pekan Furukawa?

 

Sebelum mereka beredar, penjaga itu menemui mereka. Dia mendekati Ryouji dan berbisik ke telinganya,

 

"Aku nasihatkan kalian berhati-hati. Tadi ada seseorang datang bertanyakan kepadaku perihal seorang remaja lelaki dengan seorang budak perempuan. Aku bilang dia maksudkan kamu berdua, kerana amat jarang remaja datang ke kuil ini. Lelaki itu nampak mencurigakan. Demi keselamatanmu aku menipu dia. Kalian boleh tinggal dahulu di sini sementara waktu,” pelawa penjaga kuil itu.

 

“Tidak mengapa, ojii-san (pak cik). Kami harus bergegas. Seseorang sedang menunggu kami,” benar sangkaan Ryouji, rupanya memang dia sedang diekori. Adakah orang-orang Hamada? Atau penyumpit fukiya yang membunuh bapanya? Atau kedua-duanya adalah dari pihak yang sama?

 

Tiba-tiba lelaki berpakaian hitam tadi kembali. Dia dengan marah menerpa ke arah penjaga kuil lalu membentaknya dan bertanya mengapa dia menipu. Penjaga kuil itu terketar-ketar dan mendiamkan diri. Lelaki itu kemudian mencapai pedangnya seraya melibas ke perut penjaga kuil itu. Dia rebah serta merta sambil menekup perutnya, darah mengalir membasahi bumi.

 

Ryouji terperanjat besar, ia berlaku terlalu pantas dan dia tidak sempat menghalangnya. Hisamiko ketakutan dan segera berlari ke belakang Ryouji.

 

“Siapa kamu? Mengapa kau membunuh dia?!” Ryouji memberanikan diri bertanya.

 

Lelaki itu menghayun pedangnya yang berlumuran darah, dan memasukkan kembali ke dalam sarung.

 

“Dia telah menghinaku sebagai seorang samurai dengan menipu keberadaan kalian di sini. Sebarang penghinaan harus dibayar dengan darah.”

 

Ryouji perlahan mencari hulu pedang pendek yang masih di pinggangnya. Dia harus bersedia sekiranya sebarang perkara buruk berlaku ke atas Hisamiko dan dirinya.

 

Lelaki itu membuka penutup muka yang dipakainya.

 

"Namaku Saitou. Aku diarahkan oleh Daimyo Shinagawa, Yoshitsugu Hamada untuk menangkap kalian."

 

“Apakah engkau yang mengekori kami dari Furukawa?”

 

“Benar.”

 

“Dan kalian juga yang menghantar orang-orang untuk membunuh bapaku?”

 

“Benar.”

 

“Apa salah bapaku? Mengapa kalian mahu membunuhnya?”

 

“Dia berbahaya kepada Hamada. Pertubuhan yang dia sertai itu, yang cuba menentang Maharaja, dikaitkan dengan Hamada dan memburukkan namanya di hadapan daimyo-daimyo lain. Ini kerana Miura bapamu itu pernah berkhidmat kepada Hamada-sama.”

 

Otou-san pernah berkhidmat kepada Hamada? Dia tidak pernah menceritakan kepadaku.

 

“Dia meninggal dunia semalam kerana disumpit fukiya ketika sedang bertarung dengan orang yang dihantar kalian. Kami masih berkabung di atas pemergiannya.”

 

Fukiya? Apakah yang sedang diperkatakan budak ini? Siapa dari kalangan kami yang sebegitu pengecut membunuh seperti seorang ninja?

 

“Ini.” Ryouji mencampakkan jarum fukiya yang telah ditarik dari leher mayat bapanya kepada lelaki itu, dia tidak merasakannya sebegitu penting. Lelaki itu menyambutnya. Dia membelek-belek jarum itu. Tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

 

Otou-san sudah mati. Puaskah hati kamu semua? Semalam kami masih memiliki otou-san, sekarang otou-san sudah tiada angkara kalian!” Ryouji menempik.

 

“Bertenang.” Lelaki itu mendepangkan tangannya memberi isyarat berhenti kepada Ryouji.

 

“Aku tidak tahu siapa yang membunuh bapamu menggunakan fukiya. Barangkali musuhnya yang lain? Kami tidak menggunakan cara pengecut itu. Bapa kamu akan diarahkan melakukan seppuku, dan jika dia enggan, kami akan melakukan seppuku untuknya.”

 

Apakah yang lelaki ini perkatakan? Otou-san memiliki musuh lain? Kebarangkalian itu ada, jika aku mengambilkira hubungannya yang semakin buruk dengan petani lain di sekitar bendang itu. Atau mungkin, musuh-musuh dari kalangan penduduk di pekan Furukawa? Setahu aku hanya di situ sahaja bapaku bertemu masyarakat luar. Mungkin ada benarnya apa yang lelaki ini perkatakan. Aku juga telah melihat sendiri bagaimana orang-orang Hamada bertarung pedang dengan bapaku.

 

“Okuhida Ryouji dan Okuhida Hisamiko, aku hanya menurut perintah dari Hamada. Tarou, Buntarou!” Sejurus Saitou menghabiskan kata-katanya, dua orang pengikutnya keluar dan mengepung mereka.

 

"Aku tidak akan menuruti permintaan kalian. Otou-san telah menghantar kami kepada seseorang. Aku tidak mempercayai kalian, beredar sekarang!" tegas Ryouji, sambil melibas katananya memberi amaran.

 

Dia berpesan kepada Hisamiko separa berbisik, “Hisamiko, jangan lari sehingga aku beritahu dan tunggu di belakangku.” Ryouji meraba-raba simpulan tali di pinggangnya, menarik simpulan itu, ia langsung terlerai, membebaskan Hisamiko dan memudahkannya berlari.

 

Saitou ketawa, kemudian mengarahkan pengikutnya, “Tarou, Buntarou, tangkap mereka!”

 

Mata Ryouji meliar mencari bukaan di sekitar kepungan itu. Pantas dia berkata kepada Hisamiko “lari ke sana!” apabila menyedari terdapat bukaan. Hisamiko lari, namun kolar yukatanya ditarik oleh Tarou.

 

Ryouji pantas melibas pedangnya ke lengan Tarou, cukup sekadar mencederakan dengan satu hirisan. Jangan kau berani sentuh Hisamiko! Tarou mengerang kesakitan. Ryouji menyedari Buntarou, penyerang kedua sedang berada di belakangnya. Dia memusing pedangnya ke belakang dan Buntarou bernasib baik kerana sempat mengelak. Hampir-hampir sahaja perut Buntarou dirobek oleh libasan pantas pedang Ryouji. Buntarou tercengang kerana dia tidak menyangka sedang berhadapan dengan seorang yang mahir berpedang.

 

Saitou juga terkejut dengan kemahiran berpedang Ryouji yang jauh lebih baik dari sangkaannya.

 

“Seperti yang kusangkakan. Miura masih sempat mengajar anaknya berpedang. Bukan sembarang orang tua itu,” Saitou berbisik sendirian. “Kaminari-no-kaze, darou ne. Seni berpedang Miura yang aku kagumi. Namun bukan kau seorang sahaja Ryouji, aku juga tahu seni itu.”

 

Buntarou tidak berputus asa, dan bangkit. Hisamiko sudah jauh meninggalkan mereka, manakala Tarou dengan lengan yang masih berdarah, mengejar Hisamiko dalam keadaan kesakitan. Ryouji yakin Hisamiko dapat menyelamatkan diri kerana si pengejar sudah tercedera. Dia tahu Hisamiko akan melakukan seperti apa yang telah diajarkan kepadanya.

 

Saitou mengeluarkan pedangnya. Dia teringat arahan Hamada agar tidak membunuh mereka tetapi pengecualian diberikan jika mereka terlalu berbahaya.

 

Saitou dan Ryouji mula bertarung. Ryouji adalah seorang remaja berusia tiga belas tahun namun tingginya persis remaja yang lebih tua, iaitu lebih kurang lima kaki dan tujuh inci. Meskipun agak tinggi, badannya kurus dan kecil dan memudahkan pergerakannya ketika bertarung. Dia belajar seni berpedang sejak berusia tujuh tahun dari bapanya Miura. Saitou pula samurai berumur dalam empat puluhan dan sudah berlatih berpedang sejak berusia sepuluh tahun, berkhidmat kepada Hamada sejak berumur lima belas tahun. Tingginya lebih kurang sama dengan Ryouji, namun fizikalnya lebih besar dan berotot.

 

Saitou tidak mensia-siakan kelebihan badannya yang lebih tumpat, menggunakannya untuk menolak Ryouji sekiranya ada peluang. Ryouji berjaya ditolak dan dia tersungkur. Dia bangkit pantas dan menahan tetakan Saitou dengan pedangnya. Mereka beradu kekuatan. Ryouji mengilas pedang Saitou dan mengacu kembali pedangnya ke hadapan, kekuda dikemaskan. Saitou akan menolak badannya seperti lembu melanggar jerami jika dia membiarkan dirinya terbuka.

 

Tanpa disangka muncul seorang lelaki bertutup muka dan bertopi kon, memakai kimono berwarna kelabu dengan haori hitam di tengah-tengah ketegangan itu. Dia langsung campur tangan, dan menyerang Saitou. Saitou terperanjat. Siapa dan mengapa dia bertarung denganku? Mengapa dia menyelamatkan budak ini, apakah hubungan mereka?

 

Sedang Saitou menangkis serangan demi serangan dari lelaki itu, dia terperanjat mendapati luka di betisnya. Sial! Siapa gerangan lelaki ini, pergerakannya sangat pantas, aku langsung tidak sedar libasan pedangnya.

 

"Berhenti!" Saitou menarik nafas sedang pedangnya menahan pedang lelaki berhaori hitam. "Siapa kau?"

 

Lelaki itu menarik pedangnya perlahan-lahan, Saitou juga melepaskan tepisan pedangnya. Lelaki itu kemudian membuka penutup mukanya.

 

Ohisashiburi (lama tidak berjumpa), Saitou-san,” ujar lelaki itu. “Kau masih berkhidmat kepada daimyo pondan itu rupanya.”

 

“Takasaki-san!,” Saitou terkejut. Dia amat mengenali lelaki itu. Dia pernah berkhidmat kepada Hamada juga. “Hamada-san bukanlah pondan cuma gemar bersolek seperti geisha,” Saitou cuba menahan ketawa, bimbang dilihat derhaka kepada tuannya, sambil berkata, “Kemahiran berpedangmu tampak lebih baik sekarang, cuma mulutmu lebih celupar. Mahu lidahmu kupotong?”

 

“Sekurang-kurangnya hormatilah aku selaku bekas ketuamu.”

 

Saitou ketawa terbahak-bahak. “Aku tidak menghormati ketua yang lari seperti pengecut.”

 

Takasaki tidak membalas. Dia mahu mendengar Saitou meneruskan kata-kata. Dia tahu bekas anak muridnya itu masih kecewa di atas pemergiannya.

 

“Takasaki-san, mengapa lari dari kami? Setelah beribu nyawa kita korbankan bersama, di bawah telunjuk Hamada? Engkau mahu bertaubatkah?”

 

“Setiap orang pasti akan berubah, Saitou. Hanya masa yang akan menentukan.”

 

“Engkau yakin Tuhan akan mengampuni dosa-dosamu? Takasaki, usah mengarut.”

 

“Engkau tahu, Saitou. Selepas aku meletak jawatan aku telah melatih ramai anak-anak yatim yang telah kau bunuh bapa-bapa mereka.”

 

“Jadi untuk apa engkau memberitahuku?”

 

“Dengan harapan Tuhan akan mengampunkan dosaku, dan dosamu. Juga bagus untuk aku mengekalkan kemahiranku dari luput ditelan usia tanpa mengorbankan nyawa seperti kau.”

 

“Engkau sudah lupakah, aku yang engkau lihat ini adalah hasil dari didikanmu? Sekarang engkau berkata-kata seolah-olah engkau tidak pernah mengotorkan tanganmu?”

 

“Saitou, aku tidak mahu bercakap banyak. Beredar dari sini, atau engkau akan menerima padahnya.”

 

“Tidak sekali-kali, Takasaki-san. Hamada telah mengarahkan aku menangkap dua orang budak ini. Jika engkau menghalangku, bersedialah menerima nasibmu.”

 

Kedua-duanya memegang katana masing-masing seperti ular tedung yang tegak bersedia untuk mematuk bila-bila masa sahaja. Pertarungan masih lagi panas.

 

Ryouji pula sedang bersedia meneruskan pertarungan dengan Buntarou. Keadaan di halaman kuil itu kini seperti sebuah dojo, dengan empat orang pemedang sedang masing-masing mengadap satu sama lain dengan gerakan berpusingan, menanti siapa dahulu yang menggerakkan katananya.

 

“Takasaki-san, Hamada-sama dikaitkan dengan pertubuhan yang kau dan Miura sertai.”

 

Ryouji memasang telinga. Sekali lagi, pertubuhan itu. Apa pertubuhan yang otou-san sertai itu? Takasaki juga menyertainya?

 

“Untuk apa engkau memberitahuku?”

 

“Sekarang daimyo-daimyo yang menyokong Maharaja dan berseteru dengan Shogun Tetsugawa mula bercakap-cakap di belakang. Mereka memberitahu Maharaja, Hamada-sama membina kekuatan melawan baginda dan memihak kepada Tetsugawa, dengan menghantar orangnya iaitu engkau dan Miura ke dalam Kogen!” Kogen ialah nama pertubuhan Takasaki dan Miura.

 

“Kogen tidak memihak kepada sesiapa, Saitou. Hatta Tetsugawa sekalipun.”

 

“Engkau ingat mereka akan percaya kata-katamu? Takasaki, kedudukan Hamada sekarang dalam bahaya angkara engkau dan Miura.”

 

“Bahaya mengapa pula? Kerana pertubuhanku cuba mencari bukti jenayah-jenayah Hamada? Saitou, zaman samurai bermaharajalela sudah berakhir. Kuasa kalian akan ditarik balik oleh Maharaja. Kalian tidak akan lagi boleh membunuh sewenang-wenangnya sesiapa yang kalian mahu.”

 

“Tidak, samurai tidak akan berakhir. Takasaki-san, engkau mengarut. Engkau telah dibasuh oleh pertubuhanmu.”

 

“Engkau tidak sedar keputusan perang baru-baru ini memihak kepada Maharaja? Engkau tahu Maharaja bakal menghapuskan kesamuraian dan Tetsugawa?”

 

“Jangan terlalu yakin, Takasaki-san. Engkau tidak tahu pakatan baru sedang dibentuk pengikut Tetsugawa di utara? Mereka masih berperang. Keputusannya belum muktamad. Aku yakin, kesamuraian akan berkesinambung selama-lamanya.”

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov