Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 87

Musim sejuk, 1872.

 

Musim beransur dingin. Tatkala angin musim luruh mulai memperlahan, dan daun-daun habis berguguran dari dahanan, salju mulai melitupi bumi membentuk hamparan putih murni di segenap penjuru Shirasaka-no-Kogen dan Kogen-no-shita. Azuchi masih tidak pernah lelah duduk bertenggek di atas pokok shirakaba yang sudah gondol, matanya melilau mengendap Hisamiko yang suka termenung di taman zen dan mundar-mandir di situ. Kali ini dia berkelubung dalam baju tebal menebat kesejukan yang mencengkam, duduk dengan kedua-dua kaki di atas bangku sedang tangannya memeluk tubuh. Dia tidak mahu mengganggu Ryouji yang hanya mahu bertemu Chisato berseorangan di atas. Maka berseoranganlah dia termenung di taman zen menanti abangnya. Sedang Chinami, Chiho dan yang lainnya sedang enak duduk di tepi unggun di dalam rumah.

 

Seperti biasa, Ryouji mengambil peluang melawat Chisato yang masih dirawat di pusat rawatan. Chisato sudah di situ hampir setengah tahun.

 

Pada waktu itu, makanan tengahari sedang diberikan kepada mangsa-mangsa aotsuyu. Pusat rawatan itu memiliki ramai jururawat, sehinggakan setiap katil di dalamnya yang berjumlah lima puluh katil dilayan oleh seorang jururawat, diketuai Megumi. Semua katil-katil itu dihuni penuh oleh mangsa-mangsa racun biru itu. Ryouji meminta jururawat yang sedang memberi Chisato makan agar menyerahkan tugas itu kepadanya. Jururawat itu mengangguk dan beredar.

 

Dia menyuap Chisato bubur itu. Chisato membuka mulut tanpa kerenah. Mangsa aotsuyu sedar dan tahu apa yang mereka lakukan. Mereka hanya sasau dan tidak dapat memproses berlebihan maklumat dan pemerhatian di hadapan mereka. Mereka juga memiliki memori yang rendah dan tidak akan berupaya mengingat wajah-wajah orang yang mereka temui. Kebolehan bertutur mereka juga terhad kepada beberapa patah perkataan sahaja. Dengan kata lain, mereka masih boleh memenuhi keperluan biologi, namun akal mereka telah direncatkan.

 

Selepas beberapa suap, Chisato menolak sudu yang dimasukkan ke mulut dengan lidahnya, menandakan yang dia sudah tidak mahu makan. Ryouji faham, seraya meletakkan mangkuk itu di meja sisinya.

 

“Ryou...ji...?” Suara Chisato tersekat-sekat, menatap wajah Ryouji lama. Tangannya meraba-raba wajah Ryouji. “Ryou... ji...?” Dia mengulang menyeru nama Ryouji.

 

“Ya, Chisato.” Ryouji membalas perlahan, dia memegang tangan Chisato dengan kedua-dua belah tangannya. Dia tidak dapat menahan sebak melihatkan Chisato masih mampu mengingati namanya. Air matanya meleleh tanpa disedari.

 

I-mou-to... (adik)” Tangannya diangkat sedikit, dia mahu tahu di mana adik-adiknya.

 

Ryouji mengisyaratkan dengan tangannya yang Chiho dan Chinami selamat. Chisato termenung sebentar, kemudian bersandar kembali di kepala katil. Dia terus termenung, tanpa menyedari apa-apa di sekelilingnya seperti selalunya.

 

Chisato, maafkan aku. Kerana aku culas malam itu, engkau jadi begini. Aku akan pastikan si celaka bernama Noguchi itu membayar harganya!

 

**

 

Selingan mengenai asal-usul kaminari-no-kaze.

 

Lama dahulu, sewaktu Miura dan Takasaki masih berkhidmat kepada Hamada.

 

“Takasaki, aku fikir kepantasan hayabusa yang puakku miliki boleh dicapai kalian. Aku fikir dengan cara ini samurai-samurai kita akan lebih kuat dan digeruni.”

 

“Bagaimana?”

 

“Orang-orang Belanda yang kutemui di Furukawa menjelaskan tentang pelbagai kaedah saintifik. Seperti jasad yang bergerak dengan jisim rendah mampu mencapai kelajuan tinggi.”

 

“Itu aku pun tahu. Tidak perlu Belanda memberitahu kita.”

 

“Ada lagi. Engkau tahu bagaimana jisim badan dikurangkan? Badan kita tujuh persepuluh air. Jika air dikurangkan, maka berat dapat dikurangkan secara mendadak, dengan latihan yang kerap bagi mengurangkan air dalam badan.”

 

Takasaki jadi tertarik. Pendengarannya mula tertumpu pada celoteh Miura.

 

“Selain itu, senjata kita. Bukankah ia berat? Namun, jisimnya boleh dikurangkan lagi jika kita mengubah proses penghasilannya. Namun yang ini, aku perlukan kajian lanjutan.”

 

“Selain itu, Takasaki, setiap manusia punya had menampung tenaga di dalam badannya. Namun, had ini dapat ditingkatkan jika seseorang itu dilatih.”

 

“Bagaimana?”

 

“Bermula denganku. Had tampungan tenagaku selaku puak Okuhida lebih tinggi dari manusia biasa. Aku akan melatih engkau sehingga had tampungan tenagamu meningkat. Kemudian selepas itu, engkau akan melatih orang lain. Dan orang lain itu melakukan perkara sama, sehinggalah ramai yang akan berjaya meningkatkan had tampungan tenaga di dalam badan mereka.”

 

“Bagaimana pula berlatih denganmu dapat meningkatkan had tampungan tenagaku?”

 

“Dengan mengalirkan tenagamu yang berlebihan, yang tidak dapat engkau tampung, kepadaku. Aku tahu bagaimana. Ketika engkau dilanda rusuhan tenaga, aku akan masuk campur dan memegang badanmu dan memusingkanmu. Kita akan sama-sama berpusing. Tenaga kita akan hilang akibat pergeseran dengan zarah-zarah udara di sekeliling kita.” Miura menyatakan apa di dalam fikirannya. Ini ialah jurus kedua, iaitu jurus yang pertama yang dicipta untuk kaminari-no-kaze sebelum jurus-jurus lain. Miura kemudiannya menyusun kesemua jurus-jurus tersebut sehingga jurus ini menjadi jurus kedua.

 

“Zarah-zarah? Karutan apakah itu?”

 

“Begini, zarah-zarah...” Miura mula mengisahkan apa yang dipelajarinya dari orang-orang Belanda, yang dipanggil ‘Rangaku’ atau ilmu Belanda. Takasaki mula berminat dengan ilmu Barat sejak perbualan itu. Dia juga mula mengikut Miura.

 

“Ketika musim dingin, zarah-zarah udara lebih padat dan suhu lebih sejuk. Maka lebih banyak tenaga dapat dilepaskan kerana pergeseran lebih kuat dengan zarah udara, dan juga kerana badanmu membebaskan lebih banyak haba bagi menghindar cuaca sejuk.”

 

Kaedah inilah yang digunakan Takasaki bagi melatih semua ahli rumah perlindungannya seni kaminari. Pendek kata, semua petarung yang tahu seni ini pasti akan belajar dari guru-guru yang akhirnya bertemu kepada Miura selaku guru asalnya. Takasaki telah melatih Mariko dan dari Mariko, seni itu dilatih kepada pelajar perempuan di sana. Manakala Takasaki pula akan melatih petarung lelaki. Seni kaminari dapat dicapai hingga jurus kelapan, sehinggalah Shinji berjaya mencipta Saishi-tou dan Ayame menemui kaedah tersebut secara sembunyi di Kogen selepas membaca buku Miura.

 

“Takasaki, tahniah!” Miura menepuk belakang Takasaki suatu hari, selepas dia berjaya meningkatkan had tampungan tenaganya.

 

“Miura, aku masih tidak mempercayainya... aku tidak pernah terfikirkan aku mampu mencapai sesuatu tanpa kebolehan mistik.”

 

“Takasaki, tidak ada apa yang mustahil. Orang-orang Barat itu, bagaimana mereka boleh sampai ke sejauh-jauh tempat seperti tanah yang kita diami ini? Suatu ketika, mereka pernah menceritakan padaku, bahawa dunia ini leper. Namun tidak, mereka beranikan diri, mengambil risiko, meredah samudera.”

 

“Tidak sedikit dari kalangan mereka yang mati sewaktu meneroka dunia ini, yang akhirnya mereka percayai berbentuk bola. Namun mereka percaya, dan yakin, suatu hari nanti mereka akan dapat menjejakkan kaki ke sini. Dan sekarang ini, ia menjadi kenyataan.”

 

“Takasaki, tidak ada apa yang mustahil. Seperti kata seorang penyelidik Inggeris, kita melihat lebih jauh di atas bahu gergasi. Aku mahu menjadi salah seorang dari gergasi itu. Dan engkau Takasaki, jadilah salah seorang dari gergasi itu, kita lahirkan lebih ramai gergasi dan jadikan bangsa ini bangsa yang agung.”

 

“Takasaki, aku ingin mengabadikan semua berkenaan seni pertarungan ini di dalam sebuah buku. Aku perlukan nama, untuk seni ini. Engkau namakanlah.”

 

“Aku?”

 

“Ya.”

 

“Bagaimana dengan kaminari-no-kaze?” Takasaki terilham dari gerakan jurus tersebut yang sebenarnya merupakan gerakan jurus kedua. Jurus kedua menghasilkan ribut dan angin bagi melepaskan tenaga, seperti halilintar.

 

“Nama yang bagus. Aku setuju.” Miura tersenyum.

 

Selepas buku berkenaan seni pertarungan tersebut disiapkan mereka berdua, Miura menyertai Kogen dan menghadiahkan kepada Ayame. Ketika dia melatih Goryuuin Tsushiko, dia menggunakan hasil kajian Miura dari buku itu yang menemui bahawa rusuhan tenaga boleh dialirkan kepada regu di jurus kedua, iaitu kaedah asas bagi membolehkan seseorang manusia biasa menguasai seni kaminari-no-kaze, seni pertarungan sepantas puak Okuhida dan Shirasaka. Ayame memanipulasi pengetahuan tersebut bagi membolehkan manusia biasa juga mampu mencapai jurus kesembilan, dan tidak membongkarkan kepada sesiapa selain mereka yang berada di Shirasaka-no-Kogen.

 

Selepas Ryouji berkongsi hasil penemuannya bersama Takasaki dan Shinji berkenaan beban emosi, dan pedang Shinji iaitu Saishi-tou, Ayame menggunakan penemuan baru ini bagi melatih seramai mungkin pasukan pengintip dan tugas khas Kogen jurus kesembilan. Kini, jurus tersebut bukan lagi misteri.

 

Kini, hanya jurus kesepuluh yang masih belum dapat dibongkarkan, bahkan Miura hanya dapat menjelaskan secara bayangan sahaja di dalam buku tulisannya bersama Takasaki.

 

**

 

Awal musim bunga, 1873.

 

Musim bersilih ganti. Sekali lagi alam diwarnai bunga-bunga yang mekar di segenap penjuru hutan, gunung, belukar, pinggiran tasik dan lembah-lembah. Sakuralah yang paling mula mekar. Ciapan beburung riuh meraikan kehadiran mentari yang sudah lama sinarnya dilitupi langit putih musim sejuk. Sungai-sungai glasier mengalirkan air jernih berkaca dari salji-salji yang mencair di puncak-puncak pergunungan yang menempati sebahagian besar Hidagawa, indahnya tidak terkata. Segala puji buat Maha Pencipta.


Dari puncak Yarigatake, iaitu salah sebuah puncak gunung-ganang dalam Banjaran Alps Jepun Utara, mengalirnya air sungai glasier yang jernih kehijauan merentas lembah bernama Kamikochi, sungai itu dinamakan Azusa, iaitu nama sejenis pokok yang kuat kayunya. Ikan trout dapat dilihat berenang-renang dari permukaan dek kejernihannya, menjadi sumber rezeki penduduk kawasan pergunungan Hidagawa yang terpencil itu. Sebuah jambatan kayu dibina merentangi sungai yang jernih bak kaca itu, dinamakan Jambatan Kappa, meskipun tiada seorang pun yang pernah terserempak dengan makhluk bertubuh kura-kura dan berwajah monyet itu. Namun Jambatan Kappa menjadi inspirasi kepada salah sebuah karya garapan tokoh kesusasteraan Jepun bernama Akutagawa Ryuunosuke yang lahir beberapa dekad kemudian.


Ada cabang dari Sungai Azusa itu mengalir ke sebuah paya cetek atau telopok yang dinamakan Kolam Tashiro, yang ditumbuhi pokok-pokok paya berwarna perang, dan turut memerangkan air paya tersebut dengan pigmen yang luntur dari reputannya. Cabang utama Sungai Azusa itu mengalir terus ke selatan Wilayah Gizen, mengairi sawah-sawah padi di situ, termasuklah sawah padi yang pernah menjadi milik keluarga Yoshitsugu. 


Pada waktu ini, Sonzaemon telah menjadi seorang petarung yang handal setelah setahun dilatih Hamada. Badannya telah kurus, setelah berbulan berlatih dan mengikut diet Hamada. Dia akan mengikut jejak Shizuo, memimpin pasukan samurai Hamada menculik anak-anak gadis untuk dijual, kini tanpa rela, selepas Hamada menukar modus operandinya ketika berbincang dengan Hagiura dahulu.

 

Terdapat lima pasukan bekas samurai utama yang masih setia bersama Hamada selepas dia dilantik menjadi gabenor oleh Maharaja, dari ratusan bekas samurai yang lainnya yang bertebaran di serata Gizen dan Kodama. Kumpulan lima bekas samurai itu ialah tiga bekas pengikut Tsugiyama bernama Tatsuya, Tsugaru dan Tetsugi, Shizuo dan dua pengikutnya bernama Suneo dan Takeo, Ryuzen dan para pengikutnya, Atsushi dan para pengikutnya dan terakhir Sonzaemon dan dua pengikutnya Ootoshi dan Satoshi, iaitu dua pengikutnya dari tiga orang yang pernah menyerang Ryouji bersamanya di Furukawa, kecuali si tempang yang melarikan diri ke Kyushu. Kumpulan lima samurai ini melapor terus kepada Hamada dan Hagiura.

 

“Sonzaemon, latihan engkau tamat dengan rasminya hari ini.” Hamada memaklumkan ketika Sonzaemon berdiri di hadapannya, di rumah besar di puncak bukit di pinggir pekan Kawamoto. Pemandangan hari itu indah, dengan mentari menyinari terang taman momiji di belakang mereka, dengan daun-daun muda momiji yang menghijau rimbun menghiasi dahan-dahan yang sekian lama gondol. Burung-burung berkicau riang seperti meraikan musim bunga yang hadir dan kejayaan Sonzaemon menamatkan latihannya dari musim luruh dan sepanjang musim sejuk yang lalu.

 

“Terima kasih, Hamada-san! Jika engkau tidak mengambil aku ke sini dan melatihku, sudah pasti aku masih gemuk dan lembab.” Sonzaemon menangis. Dia tidak menyangka dia akan sebegitu kurus dan perutnya berotot lapan. Dia hampir-hampir berputus asa dengan tubuhnya suatu ketika dahulu.

 

“Sonzaemon, jika engkau ingin mencapai sesuatu, perkara pertama yang engkau perlu lakukan ialah yakin dan percaya ia boleh dicapai. Aku yakin engkau mampu menguruskan berat badanmu. Dan aku juga yakin, engkau mampu menewaskan Kogen.”

 

Sonzaemon menangis lebih kuat, seraya meluru dan cuba memeluk Hamada. Hamada menolak dengan menggerakkan tangannya seperti menghalau sambil matanya pejam menghala ke langit. Dia tidak suka dipeluk-peluk, geli. Sonzaemon tunduk lebih rendah dan mengucapkan terima kasih berkali-kali.

 

“Sonzaemon, engkau akan dihantar melakukan misi pertama. Panggil dua orang pengikutmu ke sini.”

 

Sonzaemon menyedut hingusnya dan mengesat matanya, seraya memanggil dua rekrutnya yang juga dilatih selama dia di situ, bernama Ootoshi dan Satoshi.

 

“Kalian akan bergerak ke sebuah pekan bernama Nambashi yang terletak dalam Wilayah Jooryoku.

 

“Wilayah Jooryoku?”

 

“Wilayah baru selepas persempadanan semula. Ia merangkumi selatan Hidagawa, iaitu bahagian Hidagawa yang tidak termasuk dalam Gizen wilayah baruku itu. Ini petanya.”

 

Sonzaemon mengambil peta itu dan mengamatinya. Ootoshi dan Satoshi berdiri di belakang Sonzaemon memerhati peta itu.

 

Terdengar bunyi ranting patah dipijak. Sonzaemon pantas mengalih perhatian, cuba mengesan sebarang kelibat. Namun kelibat itu menghilang pantas.

 

“Maaf, Hamada-san, engkau mendengarnya juga, bukan?”

 

“Bangsat Kogen. Berapa ramai pengintip yang engkau ada?” Hamada memaki-maki. Dia tahu pengintip Kogen baru sahaja menyelinap masuk ke dalam belukar di pinggir halaman rumahnya yang terletak di pinggir pekan Kawamoto itu. Dia juga tahu, Kawamoto dipenuhi para pengintip Kogen yang cuba memerhati gerak-gerinya setiap saat.

 

“Hamada-san, biarkan aku mengejarnya.”

 

“Tidak perlu, Sonzaemon. Fokus pada misi kalian. Dari maklumat yang aku terima, banyak gadis yang cantik-cantik mengemis di pekan Nambashi yang terletak berhampiran kampung dengan nama sama. Kebanyakan bapa mereka terkorban dalam Perang Boshin, mereka kehilangan tempat bergantung. Kita akan mengambil mereka ‘bekerja’ di rumah-rumah pelacuran yang baru kubuka.”

 

“Sekurang-kurangnya mereka akan belajar memperoleh pendapatan lumayan bukan?” Sonzaemon menambah dan ketawa, diikuti Ootoshi dan Satoshi. Hamada masih dengan wajah ketat dengan solekan dan colek gincu tebal memerah seperti geisha. Atau mungkin, seperti angsa jika dilihat dari depan dengan paruhnya berwarna merah. Melihatkan wajah ketat Hamada, Sonzaemon dan rakannya berhenti ketawa mendadak. Kemudian Hamada pula ketawa, tetapi sinis. Mereka kejanggalan.

 

“Bijak engkau Sonzaemon! Disebabkan itu aku bangga denganmu. Lekas, kalian semua. Bergerak sekarang!” Puji Hamada dengan tidak ikhlas kemudian pantas menyuruh mereka beredar dengan menggerakkan tangannya seperti isyarat menghalau.

 

Ketiga-tiga mereka menutup separuh muka dengan kain dan menunggang kuda masing-masing bersama-sama senjata seperti pedang dan panah.

 

Dan juga senjata api.

 

Sementara itu, Hagiura lega Hamada menghantar mereka ke sana. Maklumat berkenaan Nambashi itu diperolehi Hamada dari mulutnya. Jika tidak, sudah pasti Hamada akan mengarahkan mereka menculik mana-mana gadis yang tidak berdosa, dan menambahkan lagi keserabutan di kepala Hagiura untuk menjelaskan jenayah tersebut kepada bugyou Maharaja jika ditangkap dan dibicarakan.

 

**

 

“Mujur! Nyaris-nyaris mereka mengejarku tadi. Itukah Sonzaemon? Dia sudah kurus sekarang! Berlainan amat, dari penampilan asalnya sewaktu di Furukawa. Aku harus beritahu Takehito-san secepat mungkin perancangan mereka.” Kazuhito bermonolog.

 

Takehito ialah ketua tugas-tugas khas Kogen yang berpangkalan di Nambashi, iaitu salah seorang dari seratus ketua kumpulan dalam bahagian tugas-tugas khas Kogen, sama seperti Goryuuin.

 

Kazuhito melompat dari pokok ke pokok menuruni bukit yang menempatkan rumah Hamada itu, sehingga sampai ke kudanya yang ditambat di sebuah tempat yang tersorok, di belakang bangunan bugyou atau majistret di dalam pekan Kawamoto.

 

Kazuhito memanjat tangga di belakang bangunan bugyou, menuju ke bahagian loteng. Di loteng itu terdapat sangkar merpati pengutus yang besar. Ini ialah markas pengutusan surat Kogen yang tersembunyi dari pandangan umum di tengah-tengah Kawamoto. Sangkar-sangkar itu disusun seperti kabinet dan dilabel dengan nama-nama destinasinya.

 

Dia menulis sesuatu di atas sekeping kertas, menggulungnya dan mengikatnya pada kaki seekor burung merpati yang diambil pada kabinet merpati yang bertulis ‘Nambashi’. Merpati itu kemudiannya dilepaskan.

 

Selesai tugasnya, Kazuhito laju turun dan memanjat pelana kudanya, seraya melarikan diri. Dia harus melalui pekan Kawamoto dahulu untuk keluar dari situ.

 

Matte! (Tunggu!)” Kedengaran suara seorang lelaki memanggil dari belakang sebaik dia menunggang kudanya di tengah-tengah pekan.

 

Dia menoleh belakang. Dua orang lelaki sedang berada di atas kuda masing-masing.

 

Dia menoleh depan pula. Seorang lelaki berlilit kepala, badan tinggi dan berkulit gelap keluar dari sebuah lorong dengan kudanya dan menunggu di hadapan Kazuhito.

 

“Kogen yang menghantarmu bukan?” Lelaki berlilit kepala itu, Shizuo berpura-pura bertanya kepada Kazuhito meskipun sudah tahu jawapannya.

 

Kazuhito melompat dari kudanya. Dia tidak mahu membuang tenaga bertarung. Kudanya pantas menerpa ke arah Shizuo namun dia sempat mengelak. Kazuhito berlari-lari di atas bumbung dan melompat dari bumbung ke bumbung seperti ninja. Orang ramai di pekan itu melopong melihatnya. Ninja di siang hari, pada zaman ini?

 

Namun Kazuhito tidak peduli. Dia terus-terusan berlari, sedang Shizuo mengekorinya di atas kuda. Pengikutnya pula menurut mengejar di belakang.

 

Tiba di satu persimpangan, Kazuhito terjun dan menghilangkan diri di balik rumah-rumah yang padat. Menyedari itu, Shizuo berhenti dan mengarahkan pengikutnya, Suneo dan Takeo perkara sama. Mereka bertiga menjejaki Kazuhito.

 

Mereka kembali dengan hampa, seraya beredar.

 

Sementara itu, Kazuhito berada di dalam sebuah rumah.

 

“Sagaya!” Kazuhito teruja melihat gadis dua puluhan itu di hadapannya. Dia rakan pengintip Kogen.

 

“Kazuhito, panjang umurmu. Merpatimu sudah ditembak oleh Sonzaemon. Mizuhito memberitahuku dari rantaian pengintip kita di hutan timur pekan ini.”

 

Komunikasi antara pengintip Kogen ialah dari mulut ke mulut, dan mesej bertulis dari tangan ke tangan. Untuk komunikasi dua titik dua hala, mereka memasang corong buluh yang salur penghantar bunyinya ditanam di bawah tanah, dari rumah ke rumah bagi menyampaikan mesej suara, jika lokasi mereka berdekatan dengan lokasi tempat berlakunya peristiwa yang dilapor, agar tidak nampak ketara pada mata-mata Hamada. Kawamoto memiliki ramai pengintip Kogen untuk memerhati Hamada dan pengintip Kogen di situ banyak melakukan inovasi bagi melindungi dari dibongkar oleh mata-mata Hamada. Kemungkinan Shinji bakal menyumbang kepada inovasi ini dengan penglibatannya dalam Kogen.

 

“Benarkah begitu?”

 

“Ya. Aku fikir mereka sudah tahu rancangan kita. Aku bimbang rumah merpati itu...”

 

“Sagaya, aku akan memerhati rumah merpati itu. Engkau tolong aku sampaikan mesej baru menggunakan merpatimu kepada wakil kita di Nambashi berbunyi begini: Hamada menghantar orangnya mengambil anak gadis gelandangan di pekan dalam masa terdekat. Kalian harus bersedia. Gunakan bahasa kod kita.”

 

“Baiklah. Kazuhito, semoga berjaya.” Sagaya akan mengkodkan mesej itu sebagaimana mesej asal menggunakan bahasa kod mereka. Oleh itu, meskipun Sonzaemon berjaya mendapatkan mesej itu dari merpati yang ditembak, dia tidak akan faham, sebagaimana manusia selain Hisamiko dan Ayame tidak faham bahasa hayabusa.

 

Kazuhito berpatah balik dengan berjalan kaki menggunakan laluan di celah-celah perumahan padat itu untuk ke bangunan majistret bagi memerhati kalau-kalau orang-orang Hamada sudah mengetahui pangkalan merpati pengutus di situ.

 

Di Nambashi...

 

Takehito sedang duduk bersila di dalam pejabat Kogen di pinggir pekan Nambashi sambil menghirup teh hijau. Pembantunya datang mengetuk pintu.

 

“Takehito-san, mesej terbaru dari Kawamoto.”

 

Takehito mengambil surat itu, dan kemudian menyahkodkannya.

 

“Siap sedia orang-orang kita. Kita akan menangkap samurai-samurai kanan Hamada. Utamakan penangkapan Sonzaemon.”

 

Sebaik pembantunya beredar, Takehito tersenyum. Taktiknya meletakkan pengintip-pengintip wanita Kogen di situ menyamar sebagai pengemis membuahkan hasil. Hamada, engkau terlalu terdesak. Aku tahu engkau pasti memerlukan wanita untuk rumah-rumah pelacuran yang baru engkau buka, sebagai ganti kepada karayuki yang telah engkau jual ke luar negara.

 

Sementara itu, di Kawamoto...

 

Kazuhito duduk di atas loteng bangunan majistret itu, memerhati keadaan di bawah. Tiada kelibat mereka. Barangkali Shizuo sudah beredar.

 

Aku harus berhati-hati. Ini tugas pertamaku sebagai pengintip sejak berpindah dari unit tugas-tugas khas. Selaku pengintip, aku tidak boleh meninggalkan kesan, sepertimana ninja tidak meninggalkan kesan mereka. Menyertai tugas-tugas khas mudah, kerana engkau hanya perlu menyerang meskipun merisikokan nyawamu sendiri. Namun sebagai pengintip, infrastruktur intipanmu di mana-mana. Jika aku meninggalkan kesan, dan ditangkap, mereka akan memusnahkan infrastruktur kami. Rumah merpati, jaringan corong buluh penghantar suara, terowong bawah tanah, kuda-kuda kami, gudang senjata kami, jaringan orang-orang kami di Kawamoto ini yang sudah bertahun dibina sejak Kogen diasaskan, masih utuh sehingga ke saat ini. Dan aku mahu ia kekal utuh sehingga saat ini, di mana aku ditugaskan menjaga rumah merpati ini.

 

Tiba-tiba kedengaran bunyi detakan kaki kuda di luar bangunan.

 

Celaka! Mereka berpatah balik ke sini!

Previous: Bab 86
Next: Bab 88

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov