Pagi esoknya, selepas mereka bersarapan, Takasaki dan Ryouji duduk di depan taman bonsai.
“Takasaki-san, adakah samurai dibenarkan membunuh seseorang kerana dia menipu?”
“Benar, mereka menuruti apa yang tertulis dalam kod Bushidou.”
“Kod Bushidou?”
“Kod yang perlu engkau patuhi sebagai seorang samurai. Ia tidak tertulis di mana-mana, hanya sebuah pegangan yang diperturunkan secara lisan. Sebarang penghinaan dikira jenayah dan akan dihukum bunuh. Maruah dipentingkan lebih dari nyawa.”
“Lebih penting dari nyawa? Maruah samurai lebih penting dari nyawa seorang lelaki tua yang tidak berdosa, yang cuma bekerja menjaga kuil itu?”
Ryouji tidak dapat memahaminya. Dia dibesarkan dalam suasana di sawah padi dan hanya kadangkala ke pekan bersama bapanya melihat masyarakat luar. Dia tidak tahu menahu tentang Bushidou, bapanya amat sedikit sekali bercerita perihal sejarah kerjaya samurainya kepadanya. Dia sendiri tidak dibesarkan dan diasuh untuk menjadi seorang samurai. Bagaimana menghina seseorang samurai boleh dihukum bunuh? Tidak masuk akal!
“Ya.” Takasaki mengiyakan, tanpa sebarang perasaan terlukis di wajahnya. Seperti dia sudah menerima kenyataan begitu lama dahulu.
“Takasaki-san, apakah engkau bersetuju dengan perbuatan mereka?”
“Ya, tetapi lama dahulu. Aku sudah melepaskan status samuraiku. Sekarang aku ronin, sama seperti bapamu.”
Ryouji termenung panjang. Baginya, dunia sebegini seperti tiada undang-undang. Yang kuat dan memiliki dan tahu menggunakan senjata akan mengawal yang lainnya. Ia tidak ubah seperti peraturan rimba.
“Apakah memang begini sejak purbakala lagi?”
“Sejak lebih kurang seribu tahun lepas.”
“Apakah negara ini tidak akan berubah? Mahu kekal dalam keadaan begini?”
“Ryouji, jika engkau tidak tahu, tidak lama lagi semuanya akan berubah. Maharaja sedang memerangi pakatan Shogun di Hakodate di pulau Ezo di utara. Aku yakin mereka semua akan dikalahkan, kerana mereka semua, pakatan Shogun yang mempertahankan sistem samurai itu, sudah kekurangan sumber manusia. Senjata mereka juga kurang ampuh berbanding tentera Maharaja.”
“Ryouji, sertai pertubuhanku. Kita ubah negara ini. Fukoku kyohei!”
“Fukoku kyohei?” Ryouji bertanya kehairanan. “Ya, kayakan negara dan kuatkan pertahanan. Pertubuhan ini mendukung prinsip sedemikian. Setiap nyawa yang bangsa ini miliki, kita hargai dan asah kemahiran mereka, hanya untuk itu.”
“Sebentar, Takasaki-san. Menyertai pertubuhanmu? Untuk apa Takasaki-san?” Ryouji bertanya dalam keterpingaan.
“E to, tidak apa-apa. Nanti akan kujelaskan lagi.” Takasaki menyedari dia terlalu teruja menerangkan sejarah sehingga tidak sedar mempelawa Ryouji menyertai pertubuhannya pula. Sabar, sabar. Budak ini baru sahaja kematian bapanya, Takasaki. Berilah dia ruang bernafas dahulu.
“Buat pengetahuanmu, Ryouji, rumahku yang akan engkau sertai ini ialah rumah perlindungan yang didirikan pertubuhanku. Engkau akan belajar pelbagai perkara bagi meneruskan kehidupan, termasuk seni kaminari-no-kaze yang diciptakan bapamu itu. Aku fikir hanya dengan pendidikan sahaja dapat mengubah nasib bangsa ini. Engkau belum pandai membaca bukan?”
“Selain hiragana dan katakana, aku tahu membaca dua ratus kanji sahaja.”
“Kau patut tahu lebih dari itu. Bukan setakat itu, kau akan belajar bahasa asing seperti Belanda dan Inggeris. Aku punya perpustakaan yang menempatkan buku-buku dari England dan Belanda.”
“England? Belanda?” asing benar bunyinya pada Ryouji.
“Negara yang terletak jauh di hujung dunia di tempat matahari terbenam. Rasanya bapamu ada membawamu berjumpa orang-orang dari negara ini di pekan Furukawa. Kebanyakan dari mereka berbadan besar dan tinggi, berambut perang dan bermata biru.”
“Aku pernah melihat mereka di pekan, seperti angsa dalam kalangan itik, tinggi. Otou-san kerapkali berurusan dengan mereka namun aku tidak tahu menahu perihal urusan itu.”
“Dua negara ini sedang mengalami revolusi perindustrian dan memiliki tanah jajahan terbesar di dunia sekarang. Ilmu perkapalan mereka adalah yang terbaik di dunia. Mereka juga mahir membuat senjata api, dan berdagang. Banyak barangan yang tidak dapat kita hasilkan di sini di Jepun, dapat kita perolehi dengan membuat hubungan dagang dengan bangsa ini. Ryouji, dunia ini lebih besar dari yang kau sangkakan.”
“Otou-san pernah menceritakan kepadaku perkara yang sama. Aku tidak sangka akan bertemu seseorang yang sama pemikiran dengan otou-san sepertimu.”
Takasaki tidak membalas dan hanya tersenyum simpul. Dia dipengaruhi oleh Miura dengan cara yang sama dahulu.
“Berkenaan Hisamiko, kau tidak perlu bimbang. Kami akan mengajarkannya membaca dan menulis. Bukan itu sahaja, jika kau benarkan, dia juga akan belajar seni mempertahankan diri dan juga kemahiran menggunakan senjata api.”
“Aku bersetuju, baik untuknya juga jika aku tidak dapat melindunginya dalam keadaan tertentu. Tetapi aku perlukan sedikit masa untuk berkeputusan sama ada untuk menyertai pertubuhanmu itu atau tidak. Aku juga akan melatih Hisamiko apabila masanya tiba.”
Takasaki mengangguk, faham dengan permintaan Ryouji.
“Selain itu Ryouji, masih ada bahagian kaminari-no-kaze yang belum sempat diperturunkan bapamu dari apa yang aku amati sewaktu pertarungan di kuil Furukawa. Engkau akan mempelajari selebihnya di rumah perlindunganku seperti yang telah diwasiatkan bapamu.”
Kata-kata Miura masih terngiang-ngiang di benak Ryouji berkenaan kaminari-no-kaze.
“Ryouji. Puak kita istimewa. Meskipun aku mengajarkan semua manusia di muka bumi ini akan seni tersebut, puak kita sahaja yang mampu mencapai kepantasan tertinggi. Namun, itu semua tertakluk kepada beberapa perkara lain yang harus dicapai terlebih dahulu.
Pertama: berat. Berat senjatamu dan badanmu. Senjatamu katana itu harus ditempa dengan bahan dan nisbahnya yang betul agar ia dibina seringan mungkin dan sesuai dengan keupayaanmu. Kau juga harus menjaga berat badanmu agar kekal ringan.
Kedua: kekuatan. Senjatamu, katana itu harus ditempa dari bahan bijih yang betul jenis dan nisbahnya agar tidak mudah pecah, dan badanmu harus kuat dan tahan pukulan agar tidak mudah patah.
Untuk mencapai perkara pertama dan kedua pada senjatamu, aku akan ajari seni membuat katana. Untuk mencapai kedua-dua pada tubuhmu, aku akan kerap memukulmu sehingga tubuhmu lali dan menjaga pemakanan dan corak latihanmu.
Ketiga, dan yang paling utama: Tumpuan. Ke bahagian badan manakah engkau akan menumpukan aliran tenagamu. Untuk mencapainya, engkau akan dilatih bertapa. Dengan tumpuan, engkau mampu mengelak jika tidak mampu menyerang atau tidak mampu menerima serangan. Dengan mengelak, engkau dapat memulihara tenaga dan menjimatkannya di saat genting.
Keempat, dan yang terakhir, adalah darahmu. Keturunan kita, Okuhida, dikurniakan kepantasan hayabusa. Itu kelebihan kita. Namun kelebihan ini tidak akan dapat dimanfaatkan sekiranya ketiga-tiga syarat di atas tidak dipenuhi.”
**
Shinagawa adalah sebuah wilayah bergunung ganang yang meliputi sebahagian besar bahagian timur dan timur laut Hidagawa, iaitu wilayah letaknya kampung Ryouji. Yoshitsugu Hamada mewarisi jawatan daimyo wilayah tersebut dari bapanya.
Suatu ketika dahulu, Miura dan Takasaki adalah samurai terpercaya Hamada. Mereka ditugaskan dengan pelbagai tugasan yang kadangkala memerlukan mereka membunuh manusia.
Kerapkali, alasan yang diberikan Hamada amat tidak munasabah. Nyawa pada zaman itu terlalu murah. Kesannya, ramai anak-anak yatim yang kehilangan bapa. Selain dari perbuatan Hamada, anak-anak yatim ini juga lahir dari bencana alam seperti gempa bumi dan wabak, dan amalan seppuku.
Anak-anak yatim ini mendapat simpati Miura. Dia meletak jawatan. Dia mempengaruhi Takasaki dan dia kemudiannya turut meletak jawatan.
Miura ketika menjadi samurai kepada Hamada pernah ditugaskan mengawal laluan Nakasendo, laluan utama para pedagang merentas gunung-ganang di tengah Jepun untuk menuju ke kawasan timurnya. Di sepanjang melakukan tugasan itu dia banyak bergaul dengan para pedagang yang datang dari luar Jepun dan mendapat pelbagai pengetahuan termasuk pedagang dari Belanda.
Pedagang dari Belanda menceritakan pelbagai perkembangan dunia luar, termasuk senjata aneh yang memuntahkan logam-logam tajam yang lebih pantas dari anak panah, dan khabar kedatangan rombongan kapal-kapal hitam Laksamana Marcus Palgraves dari Amerika.
Miura berideologi bahawa sistem feudalisme adalah batu penghalang kepada Jepun. Sistem ini akan mengekalkan Jepun di takuk lama, pembangunan menjadi sukar kerana sistem yang kaku ini menyandarkan kemahiran kepada status kelahiran. Ia bermakna seorang anak samurai akan kekal samurai dan seorang anak petani akan kekal petani, meskipun seseorang itu mungkin dilahirkan dengan bakat yang membolehkan dia mengubah nasibnya dan memberi khidmat bakti yang lebih berkesan kepada negara.
Sistem feudalisme diperketatkan sejak berkuasanya puak Tetsugawa. Pada tahun 1600, selepas Pertempuran Sekigahama, Tetsugawa Hayashi yang merupakan pengasas kerajaan Tetsugawa dan shogun pertama dari keturunan itu, memperketatkan lagi dasar tersebut.
Sistem feudalisme diamalkan sejak lebih dari seribu tahun lamanya, namun sebelum tahun 1600 perubahan status tidak menjadi masalah besar dan lebih dilonggarkan; petani masih boleh menjadi askar dan samurai.
Miura melepaskan jawatan turun-temurun samurainya, kerana tidak lagi mahu menghukum manusia dengan pedang sewenang-wenangnya. Dia tahu akibatnya kepada Jepun amat buruk. Dia sedar yang jika sistem sebegini berleluasa, banyak nyawa disia-siakan. Jepun memerlukan ramai tenaga kerja untuk bercucuk tanam menghasilkan makanan dan melindungi negara dari serangan musuh. Pembaharuan mesti dilakukan. Berapa ramai anak-anak kehilangan bapa akibat seppuku dan berapa ramai wanita kehilangan suami.
Pembunuhan sewenang-wenang adalah satu pembaziran. Nyawa yang melayang hanya kerana maruah yang tercalar tidak boleh diterima akalnya. Manusia pasti melakukan kesilapan namun kadangkala kesilapan tersebut tidak boleh dielakkan. Tidak ada manusia yang sempurna. Daimyo juga melakukan kesilapan. Hatta Maharaja yang mereka anggap suci itu pun.
Dia mengambil risiko membincangkan ideologinya dengan Takasaki, yang pada masa itu orang kanan kepada Hamada. Pada mulanya Takasaki enggan menerimanya namun setelah berkali-kali diterangkan oleh Miura dengan kemahiran komunikasinya, dia perlahan-lahan mula menyerap ideologi itu. Miura mula berpakat dengan pedagang Belanda menyeludup senjata api.
Miura mengetahui terdapat sebuah pertubuhan yang lebih besar yang juga memperjuangkan ideologi yang sama dengannya. Sebuah pertubuhan bernama Kogen, yang diasaskan oleh seorang ronin sepertinya bernama Shirasaka Omi. Melihatkan persamaan ideologinya dengan pertubuhan itu, dia lantas mengambil keputusan menyertainya, kerana memikirkan mutu perjuangannya mampu bertambah dengan bersekutu. Dengan cara ini, dia boleh membekalkan barangan dari Barat yang diperolehi dari pedagang Belanda. Kogen mendirikan rumah-rumah perlindungan di dalam kawasan pergunungan di serata Honshu, dan Miura bercadang menjadi sebahagian dari pembiayanya, baik dari segi kewangan mahupun pertahanan.
Tujuan rumah-rumah perlindungan itu dibina di celah gunung di serata Jepun adalah agar ia tersembunyi dari pengetahuan Hamada dan daimyo-daimyo lain yang anti-Barat. Rumah-rumah perlindungan ini juga dimanfaatkan Kogen untuk melatih tenaga pelapis bagi perisikan dan tugas-tugas khas mereka dari kalangan anak yatim.
Adakah minda mereka diracuni sebagaimana kata-kata Hamada dan mereka merancang untuk memberontak menggulingkan Maharaja? Sebenarnya tidak. Senjata yang diseludup itu adalah untuk dikaji dan tidak sama sekali digunakan untuk menentang Maharaja. Mereka mahu menambahbaik kekuatan negara bagi menghadapi ancaman Barat. Mereka sedar sejak kedatangan kapal hitam Marcus Palgraves, Jepun jauh ketinggalan. Mereka mahu negara ini menerima dan belajar dari Barat. Mereka juga mahu sistem feudalisme bertunjangkan samurai dihapuskan. Mereka tidak menentang Maharaja. Malah mereka memerlukan sokongan baginda. Disebabkan itu, ahli-ahli pertubuhan tersebut tidak henti-henti berulang-alik ke Kyoto bagi melobi Maharaja.
Sepatah kata yang keluar dari mulut baginda, adalah segala-galanya yang diperlukan bagi memulakan pembaharuan. Hanya itu.
**
Mereka berkemas. Pada hari itu mereka akan meneruskan perjalanan ke kuil Shinto ketiga yang ada dua patung gangsa berbentuk singa dan patung Buddha.
Pagi itu, Ryouji mengejutkan Hisamiko namun dia tidak bangun-bangun. Ryouji meletakkan tapak tangannya ke atas dahi Hisamiko.
Hisamiko demam panas!
Segala memori mendiang ibunya menerjah fikiran. Ibunya meninggal dunia selepas menghidap demam panas setelah beberapa tahun menderita akibat komplikasi susulan yang diakibatkannya. Ryouji cuba menenangkan diri. Dia tidak ada ubat yang dibawa, hanya makanan dan senjata. Dia lantas memanggil penjaga kuil itu dan memanjangkannya kepada seorang sami Shinto.
Sami itu datang membawa sebuah bekas berisi jarum.
Ryouji tidak berhenti berdoa kepada para kami. Hanya itu ikhtiar yang dia mampu lakukan. Sami itu tahu bagaimana merawat menggunakan akupunktur. Selepas selesai, Hisamiko sedang baring dengan badan meniarap, ada empat jarum dibiarkan dicucuk di belakang badannya.
Kemudian sami itu mengajak Ryouji keluar berjalan bersamanya sebentar di teratak di depan penginapan itu, dia memberi isyarat mahu membincangkan sesuatu. Takasaki berada tidak jauh di hadapan mereka sedang mengawasi kawasan persekitaran takut-takut mereka masih diekori. Matanya tidak lepas dari memerhati seekor burung hayabusa tidak henti-henti terbang berlegar di udara, entah apa yang sedang dicarinya.
“Engkau anak Okuhida Miura bukan? Apa nama peribadimu?”
“Ryouji. Panggil sahaja Ryouji.” Ryouji tunduk penuh hormat.
“Namaku Kotobuki.” Sami itu memperkenalkan dirinya, dan membalas tunduk. “Miura rakan lamaku. Dia sering datang ke kuil ini namun tidak pernah membawa kalian ke sini. Aku tumpang bersedih di atas kematian Miura-san. Aku baru sahaja pulang dari Shirasaka semalam. Di mana dia dikebumikan?”
“Berhampiran rumah kami, di tepi Sungai Miya.”
“Aku pasti akan melawat kuburnya kelak. Semoga rohnya bertemu nirwana.” Mulut Kotobuki kemudian mengumat-kamit membacakan sesuatu. Matanya separa terkatup. Kepala botaknya mendongak ke atas seketika. Kemudian dia membuka matanya perlahan-lahan dan menyambung bicara.
“Hanya satu sahaja puak Okuhida yang wujud di dunia ini. Satu puak yang bersusur galur dari puak Fujiwara yang berdarah gahara itu, dari Maharaja di Kyoto. Kemudian turun-temurun berkhidmat sebagai samurai. Puak yang handal bermain pedang dan terkenal dengan kepantasan bertarung. Sepantas burung hayabusa.”
Ryouji mendiamkan diri dan memasang telinga mendengar gumam sami itu. Adakah dia sedang memuji keturunanku atau sedang mengarut setelah mabuk meminum sake?
“Puakmu dikurniakan kepantasan burung hayabusa dalam pertarungan. Dan selain itu, setiap seratus tahun, dari keturunan Okuhida juga akan lahir seorang yang mampu menarik hayabusa bahkan menjinakkan mereka tanpa perlu sebarang latihan. Siapa nama adikmu itu?”
“Hisamiko.”
“Hisamiko adikmu, adalah orang yang aku maksudkan itu. Aku menemui tanda di belakang bahunya semasa mencucuk jarum-jarum itu. Kau lihat di atas sana? Hayabusa itu tidak berhenti berlegar-legar seolah-olah mencari sesuatu.”
Ryouji memerhati ke atas, Takasaki sedari tadi masih melihat ke arah yang sama. Ryouji teringat ketika dia meninggalkan rumahnya, seekor burung hayabusa berteriak dan terbang di atasnya.
“Ryouji, satu lagi yang aku ingin sampaikan padamu, Hisamiko akan menjadi seorang pemedang yang handal namun hidupnya akan menderita. Bahagiakan dia sementara dia masih bersamamu. Apa yang dilihat pada dirimu, adalah contoh buatnya. Jika permulaannya baik, dia tidak akan membunuh sesiapapun. Namun jika permulaannya buruk, banyak nyawa akan diragutnya, Hisamiko akan menjadi penumpah darah yang amat digeruni dan amat sukar ditumpaskan, hatta dengan peluru tanegashima sekalipun.”
Ryouji tersentak mendengar kata-kata sami itu. Hisamiko yang berwajah naif itu akan menjadi penumpah darah jika tidak diasuh dengan betul? Hisamiko adikku itu? Adakah sami ini waras? Ryouji cuba mendekatkan hidungnya dengan sami itu takut-takut dia sedang mabuk sake. Namun tiada pula bau sake di mulutnya.
Sami itu kelihatan agak terkejut dengan perlakuan Ryouji seraya berkata sambil tersenyum “Ryouji, aku bukanlah pemabuk. Aku tidak minum sake. Aku hanya meneguk cha hijau (teh hijau Jepun) dan makan sayuran sahaja, shoji ryouri. Semua yang kuperkatakan tadi hanyalah apa yang aku nampak berdasarkan ilmuku.” Muka Ryouji merah padam, malu ditangkap siang-siang oleh sami yang tajam itu.
Jika benar apa yang diperkatakan, aku perlu risau dan tidak risau. Tidak risau kerana Hisamiko mampu melindungi dirinya sendiri. Namun aku perlu risau, jika dia menjadi penumpah darah yang membunuh sewenang-wenangnya. Yang membunuh seperti Hamada dan Saitou.
Namun tiada siapa yang boleh meramalkan dengan tepat apa yang akan berlaku di masa hadapan. Sami itu hanya berkata-kata berdasarkan ilmunya. Namun aku, aku tidak percaya akan ramalan, lebih-lebih lagi sami. Ilmu manusia terhad. Dan aku hanya percaya bukti empirikal. Otou-san sering menolak karutan dan mengasuh cara fikir empirikal dalam diriku.
Ryouji merenung ke langit, menyoroti pergerakan hayabusa yang sedang berlegar dari tadi, cuba memahami apa yang cuba dicapainya dengan terbang berlegar-legar di atas itu.
Mereka terpaksa menangguhkan perjalanan dan menginap di kuil itu untuk satu malam lagi sementara menanti sembuhnya Hisamiko dari demam. Malam itu, Hisamiko terjaga dan mendapati jarum-jarum di badannya. Sami yang datang siang tadi kembali untuk memeriksa Hisamiko.
“Onii-san, bukankah ini jarum yang sama yang mencucuk leher otou-san?” Hisamiko melihat jarum-jarum yang satu persatu dicabut dan diletakkan di dalam piring di depannya sambil baring meniarap.
“Bertenang Miko. Ojii-san sedang merawatmu. Selepas jarum-jarum ini dicabut, kau akan sembuh. Berehatlah.” Kemudian dia membantu Hisamiko membalikkan tubuhnya agar menelentang dan Ryouji mengambil kain basah lalu diletakkan ke atas dahi Hisamiko. Fikiran Hisamiko pula masih menerawang bimbang jarum itu akan membunuhnya. Itu sahaja yang difikirkannya! Kemudian dia tertidur lagi. Demamnya sudah mulai reda namun dia masih perlu berehat jika tidak, ia akan kembali semula. Hisamiko belakangan ini dirundung ketakutan yang tidak pernah dia alami seumur hidupnya, mungkin disebabkan itu dia demam, fikir Ryouji. Tambahan pula suhu di luar semakin sejuk dengan angin musim luruh kerapkali menderu di celah-celah hutan itu.
Ryouji tidur di sebelah Hisamiko pada malam itu, bersedia sekiranya Hisamiko memintanya mengambil air atau menemaninya ke tandas. Dia cuba untuk melelapkan mata namun fikirannya yang sarat menghalang. Semacam satu perasaan bimbang yang amat kuat menguasai jiwanya selepas mendapat tahu Hisamiko demam. Baru hari ini, dia mulai menyedari dia tidak boleh kehilangan Hisamiko, satu-satunya ahli keluarganya yang tinggal. Sebelum ini dia hanya memikir untuk patuh kepada orang tuanya sahaja agar melindungi Hisamiko, tanpa banyak soal. Otou-san (bapa) selalu berpesan agar mengutamakan Hisamiko dan meletakkan nyawanya lebih nyawanya sendiri, okaa-san (ibu) sebelum meninggal dunia juga berpesan perkara yang sama. Namun otou-san sudah pergi. Okaa-san pun. Yang tinggal, hanya dia dan Hisamiko sahaja.
Dia memegang tangan Hisamiko yang sedang lena itu, lalu menggenggamnya dan merenung ke siling. Tanpa disedari air matanya mengalir. Namun bunyi esakannya cuba direncatkan agar tidak mengganggu tidur Hisamiko.