“Apa yang kalian buat di sini? Bagaimana kalian tahu tempat ini?!”
“Chisato, jika engkau menjadi gundikku, engkau akan selamat dari Hagiura dan Hamada. Aku akan memaafkan perbuatanmu membunuh rakanku.”
“Aku tidak akan sekali-kali mengikutmu. Tempatku di sini. Nyah kalian segera!” Chisato bangun sambil menghunus kayu kendo yang digunakan untuk berlatih selalu dengan Ryouji.
“Apakah itu? Jangan-jangan engkau fikir mahu menewaskan kami dengan kayu ini?” Mereka ketawa lagi.
Chisato cemas. Dahulu dia ada Azusa. Kini dia berseorangan. Ayame tiada untuk membantunya. Seorang gadis berhadapan dengan empat orang lelaki, disaksikan cahaya rembulan dan hutan buluh. Situasi begini seperti telur di hujung tanduk. Ryouji, di mana engkau?
“Kalian, biar aku dan Tatsuya yang menangkapnya. Tsugaru dan Tetsugi, kamu berdua teruskan mengikut Goro dan cari rumah Takasaki itu.” Tsugiyama berpesan kepada para pengikutnya. Tsugaru dan Tetsugi bergegas mengikut Goro.
“Tatsuya, aku tidak mahu mencederakannya. Tangkap dia mengikut rancangan pertama. Jika dia melawan, mulakan rancangan kedua.”
“Baik, Tsugiyama-san.”
Tsugiyama meluru ke arah Chisato. Chisato pantas mengelak. Tsugiyama menggunakan pedangnya. Dia tidak mahu mencederakan Chisato, sekadar menakut-nakutkannya. Chisato pula gentar kerana hanya kayu kendo sahaja yang dia miliki pada waktu itu. Dia harus berhati-hati agar kayu itu tidak dipotong oleh Tsugiyama.
Aku tidak boleh lari ke rumah itu sekarang, aku perlu menahan mereka di sini sehingga Ryouji tiba. Adik-adikku dan yang lainnya masih di situ. Harapnya burung sial itu tidak akan dapat menjejakinya.
Chisato mengelak dengan menggunakan jurus kelima. Dia sedar dia tiada kelebihan menyerang dalam situasi itu. Tsugiyama menggunakan belakang katananya sahaja, dan menyedari itu, Chisato tahu dia boleh menahan tetakan Tsugiyama menggunakan kayu kendonya. Tsugiyama adalah petarung yang bijak memanfaatkan keadaan. Sebagaimana ketika dia bertarung dengan Kobato di Shizen, dia tahu bagaimana mengalihkan posisi mereka. Dia menggunakan kemahiran itu agar cahaya bulan mengambang menyinari Chisato namun melindungi dia dari pandangan Chisato.
Ini membuatkan Chisato mula menyerang dari sekadar mengelak, bagi mengeluarkan Tsugiyama dari bayangan malam dan menganjaknya ke bawah cahaya bulan agar dapat dilihat. Tsugiyama, pantas mengelak, dan sebaik melihat peluang, menerkam Chisato dari belakang dan mengunci lengannya. Chisato meronta-ronta. Melihatkan keagresifannya, Tsugiyama mengisyaratkan Tatsuya melakukan rancangan kedua.
Tatsuya mengeluarkan sejenis jarum berpicagari berisi cecair biru digelar aotsuyu, jarum yang sama yang dilihatnya ketika dia dan Azusa diserang dahulu. Chisato tahu cecair itu hampir menghilangkan kewarasan Azusa.
Dia cemas, hilang ikhtiar. Tanpa disedari, dia menggigit tangan Tsugiyama dan melepaskan diri. Kemudian dia menendang muka Tatsuya dengan tendangan tinggi. Tatsuya jatuh terjelepok, dek kepantasan tendangan Chisato. Jarum aotsuyu itu melambung dan terpacak betul-betul di perut Tatsuya. Chisato cuba mengambil jarum aotsuyu itu dari perut Tatsuya, dengan isinya sudah separuh memasuki salur darahnya, dan telah membawa Tatsuya ke alam separa sedar. Chisato ditolak dan ditindih Tsugiyama ketika cuba mengambilnya.
Bahu Chisato dicucuk jarum tersebut oleh Tsugiyama. Dia menolak omboh suntikan itu, menghabiskan isinya sambil tersenyum sinis memandang Chisato yang kian pucat wajahnya, yang memikirkan apakah nasibnya selepas ini.
“Engkau akan menjadi gundikku selepas ini.” Tsugiyama berkata selepas menghabiskan isi picagari itu. Chisato mulai mabuk.
“Tsugiyama!!!” Ryouji datang menyerbu ke arah Tsugiyama tiba-tiba dan menendangnya, dengan kemarahan berapi. Lelaki lima puluhan itu terpelanting mengenai hutan buluh.
Tsugiyama bangkit. Dia mencapai katana-nya yang entah bila terbaring di atas tanah berdebu, seraya perlahan-lahan menongkat dirinya bangun menggunakannya.
“Chisato, maafkan aku lambat, dua orang penyangak cuba menceroboh rumah kita. Aku telah menewaskan mereka dengan bantuan mata-mata Kogen. Tunggu aku halau lelaki ini dari sini.” Ryouji mengendong dan meletakkan Chisato di tepi dataran hutan buluh. Chisato hanya mengangguk dalam separa sedar. Racun itu belum benar-benar mendatangkan kesan lagi.
Mujur disebabkan dia bertarung tadi, dia sudah bersedia dengan membawa pedangnya, Saishi-tou. Tsugiyama dan Ryouji bersedia untuk bertarung. Ini adalah pertemuan kedua mereka sejak kali pertama bersua di Kisennuma.
“Engkau tidak banyak berubah, Ryouji. Masih seperti kali pertama aku melihatmu.”
“Apa yang engkau fikir Tsugiyama, apabila engkau menyuntik racun itu ke dalam tubuh wanita-wanita di tanah Yamato ini?”
“Kepatuhan membuta tuli. Karayuki atau mana-mana wanita yang disuntik akan menurut apa sahaja kemahuanku dan pelanggan-pelangganku tanpa melawan.”
Ryouji melihat rakan Tsugiyama yang terbaring. Dia tidak tercedera namun matanya separa terkatup seperti Chisato. Apakah dia juga disuntik?
“Apa yang akan engkau lakukan terhadap rakanmu itu? Menjadikan dia patuh padamu seperti wanita-wanita yang kau suntik itu?”
“Itu bukan masalahmu.”
Ryouji meluru dengan pedang terhunus ke hadapan. Tsugiyama mengelak. Ryouji berada dalam jurus ketujuh sedang Tsugiyama mengelak dengan jurus keenam. Pedang Saishi-tou memudahkan Ryouji meningkat terus ke jurus ketujuh. Jika ada penonton yang melihat, mereka tidak akan dapat mengikuti pergerakan mereka yang pantas itu. Mungkin, Shinji mampu mengamatinya dengan mata sepet yang kecil tetapi tajam seperti burung hayabusa itu.
“Kemahiran engkau meningkat sudah, Ryouji. Kepantasanmu, bahkan pedang itu aku lihat aneh sekali ringannya. Baru sahaja bertarung dan engkau sudah di jurus ketujuh” Tsugiyama berkata sambil mengingat perbualan dia dengan Shizuo berkenaan pedang Ryouji.
“Aku tidak punya banyak masa untuk berbual. Bertarung denganku, atau beredar dari sini!”
Mereka bertarung dan dentingan pedang memecah keheningan hutan buluh di tengah-tengah pergunungan Hidagawa itu.
“Aku mahu menangkap Takasaki, dan mengambil Chisato menjadi gundikku dan kemudian menjualnya. Jika engkau tidak menghalangku, engkau akan selamat dari pedangku.”
“Takasaki-san sudah tiada. Dan aku tidak akan sekali-kali melepaskan Chisato kepadamu. Tidak sekali-kali.”
“Sebentar, apa yang berlaku kepada Takasaki?” Tsugiyama ditebak rasa ingin tahu tiba-tiba akan keadaan bekas guru dan ketuanya itu.
“Dia dibunuh oleh bekas penghuni rumah perlindungannya beberapa minggu yang lalu. Kozue Kobato anak muridnya itu.”
Kobato? Patutlah dia melarikan diri dari bengkel pedang itu.
“Bagaimana dengan Kobato?”
“Dia mati akibat menyalahgunakan kaminari-no-kaze. Tenaga yang dibina tidak mampu ditampung tubuhnya.”
Tsugiyama menyeluk saku yukatanya dan mengambil keluar tali rambut Kobato.
“Aku temui tali ini ketika ke sini tadi.” Tsugiyama mencampakkan tali ke ke arah Ryouji. Ia jatuh di atas tanah berdebu itu.
“Ya, ini tali pengikat rambutnya. Tsugiyama, aku benar-benar tidak punya banyak masa. Berambus dari sini segera.”
“Tidak, aku perlukan Chisato.” Tsugiyama kecewa. Dia mahu menangkap Takasaki dengan menggunakan suntikan aotsuyu dan menghantarnya menghadap Hamada, kemudian mendapatkan imbuhan lumayan darinya. Namun Takasaki sudah tiada. Bangsat engkau Kobato! Aku akan menjual Chisato bagi mengubat kekecewaan ini!
Mereka menyambung pertarungan. Ketika itu, Goro terbang mencari-cari Tsugiyama. Pada ketika Goro mengibas-ngibas sayapnya, pada ketika itulah Ryouji, yang sedang meningkat di jurus kelapan, dirasuk sumpah hayabusa.
Ryouji dalam keadaan tidak sedar, bergerak pantas, bahkan sekali sekala terbang mengejar Tsugiyama di sekitar dataran itu, seperti ketika dia bertarung dengan Shizuo. Gerakan demi gerakan, dan Tsugiyama mula lebih banyak mengelak dan menepis. Pukulan pedang Saishi-tou mulai mengenanya beberapa kali.
Tsugiyama kesakitan, ketakutan dan kepenatan. Dia lekas mengambil kesempatan yang ada mengangkut Tatsuya dan melarikan diri, sedang Ryouji mengejarnya dari belakang. Goro terbang menghalang Ryouji, dan mengeluarkan teriakan yang amat membingitkan, sehingga Ryouji sedar dari rasukan itu. Goro terbang beredar mengejar Tsugiyama di hadapan.
“Syaitan! Kepantasan syaitan apakah itu? Tidak pernah aku melihatnya. Ryouji, siapakah engkau sebenarnya?” Tsugiyama tidak dapat menerima apa yang baru dilihatnya. Dia telah dikalahkan oleh Ryouji dan melarikan diri seperti seorang pengecut. Dia berasa maruahnya telah dicabar malam itu. Bukan, maruahnya telah sama sekali dimusnahkan. Dia adalah petarung kaminari terbaik selepas Saitou, yang juga belajar dari Takasaki. Timbul di dalam dirinya keinginan menebus maruah yang telah dimusnahkan, dengan melakukan seppuku. Sebentar, bukankah ini yang dirasai Shizuo? Apakah karma telah menimpaku?
Ryouji terpinga-pinga dan cuba mengingat apa yang telah berlaku. Chisato, di mana Chisato?
Dia berlari ke arah dataran dan menemui Chisato masih di situ. Dia dalam separa sedar. Racun itu telah mula bertindak ke atas tubuhnya.
Ryouji tiada masa untuk berlengah. Dia terus mengendong Chisato ke rumah.
“Ryouji...aku disuntik aotsuyu. Bawa... aku... jumpa... Kotobuki-san.” Chisato memberitahu dalam lemah.
Ryouji tahu dari Chisato yang aotsuyu menghilangkan kewarasan, selepas mereka mengumpulkan semua maklumat sejak peristiwa serangan Tsugiyama setahun lalu. Dia perlu berjumpa Kotobuki segera malam itu, jika tidak, Chisato akan hilang kewarasan selama-lamanya.
Dia meninggalkan nota kepada Hisamiko. Dia juga meninggalkan nota kepada Mariko agar berhati-hati dan memberitahu mata-mata Kogen supaya menjadikan orang-orang Tsugiyama yang telah ditangkap itu sebagai tebusan, dan memerhati rumah tersebut kerana orang-orang Tsugiyama pasti akan kembali kerana mereka sudah tahu lokasi rumah itu. Dia juga meminta Mariko agar menghubungi Kogen meminta pasukan tambahan bagi persediaan menghadapi serangan kedua Tsugiyama.