Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 8

“Okuhida-san.”

 

“Hanya Ryouji. Boleh aku memanggilmu Kobato?”

 

Haidouzo. (Ya, silakan)”

 

Otou-san memberitahu kami engkau dari utara Hidagawa. Apa telah terjadi pada ibubapamu?” Kobato menyoal langsung, tanpa mempedulikan sama ada perkara itu pahit buat orang yang disoalnya.

 

“Ibuku sudah lama meninggal akibat sakit. Bapaku pula mati dibunuh beberapa hari lepas.” Ryouji menjawab, nadanya mendatar, seperti sudah mulai belajar menerimanya.

 

Kobato terdiam, agak lama.

 

“Aku tidak tahu siapa yang melakukannya. Dia disumpit fukiya.”

 

“Maafkanku bertanyakan soalan begitu.”

 

“Tidak mengapa Kobato.”

 

“Kedua ibubapaku juga mati dibunuh. Rumah kami dibakar,” Kobato bercerita tanpa disoal, selamba dan mendatar. Air matanya seolah-olah sudah lama kering.

 

Dibakar? Mengapa sebegitu kejam?

 

Dia menyambung, “Rumahku terletak di Shinagawa. Keluargaku pesawah. Kami tidak membayar cukai kepada Hamada-sama. Bukan kami tidak mahu tetapi  hasil kami sedikit. Kami tidak mampu membeli baja berkualiti atau membina tali air yang cukup kerana wang kami banyak dihabiskan pada cukai.”

 

“Suatu malam aku bangun dan menyedari rumahku sudah marak. Ibu dan bapaku mati kelemasan asapnya. Aku tidak tahu angkara siapa, namun firasatku kuat mengatakan ia angkara Hamada-sama. Tempoh hari sebelumnya dia telah menghantar wakil mengingatkan kami untuk membayar cukai. Aku berusia tiga tahun pada waktu itu namun aku sudah faham erti cukai, kerana setiap hari ibu dan bapaku bertengkar berkenaannya. Ia soal hidup dan mati kami.”

 

Hamada si bangsat itu lagi! Ryouji menggetap bibirnya menahan marah. Dia bertanya bila serangan itu berlaku?

 

“Lama dahulu, lebih kurang empat belas tahun lepas. Aku diselamatkan oleh seseorang yang membawa aku berjumpa Takasaki. Aku tinggal dengannya sejak saat itu. Tidak beberapa lama, Takasaki berpindah ke sini dan aku mengikutinya. Pada mulanya hanya kami yang tinggal di sini. Kemudian sedikit demi sedikit penghuninya bertambah. Ramai yang masuk dan keluar sepanjang tempoh itu kerana umur mereka lebih tua dariku. Jika umurmu menginjak lapan belas tahun, engkau perlu meninggalkan tempat ini dan membawa haluanmu.”

 

Ryouji menyedari Kobato lebih tua darinya, dalam empat tahun. Mungkin fizikalnya yang kecil, atau fizikal Ryouji yang jauh melepasi umurnya.

 

“Bapaku juga diserang orang-orang Hamada dahulu sebelum tiba-tiba disumpit fukiya,” Ryouji membuka kisahnya.

 

“Aku bilang fukiya itu juga angkara Hamada. Dia amat bijak. Perlukan siasatan terperinci untuk membuktikannya.” Kobato memberikan pandangannya, dia menyambung “Tahun hadapan aku akan meninggalkan tempat ini. Aku mahu mencari bukti. Sehingga sekarang, aku masih ragu-ragu sama ada kebakaran itu angkara Hamada selagi tidak ada buktinya.”

 

Ryouji merenung kesakitan di dalam mata Kobato. Dia faham amat. Sakit yang sama, mungkin lebih lagi dirasai Kobato yang lebih lama kehilangan orang tuanya berbanding dirinya. Dia juga ingin mencari bukti yang boleh mensabitkan Hamada dengan pembunuhan-pembunuhan itu.

 

Di dalam bilik itu ada dua katil dua tingkat. Ya, katil dua tingkat, di Jepun pada zaman itu. Seperti banyak peralatan di rumah perlindungan itu, kebanyakannya dipelajari atau dibeli dari pedagang Barat. Takasaki dan Miura cuba bereksperimentasi dengan pelbagai peralatan dari Barat di rumah itu. Ryouji ditempatkan di katil atas Kobato. Sementara itu di sebuah lagi katil dua tingkat, di bahagian bawahnya, seorang budak lelaki sebaya Ryouji yang lebih rendah fizikalnya dari Kobato, sedang membaca buku yang kecil. Ryouji mendekati remaja itu dan bertanyakan namanya.

 

“Takeuchi Shinji-desu. Bukankah telah aku beritahu di bilik makan tadi?” Balas budak itu, berterus-terang. Namanya Shinji. Dia langsung menyambung pembacaannya.

 

Ryouji cuba membuka perbualan dengan bertanyakan tentang buku yang dibacanya, namun dibalas pendek “Nani mo, (tiada apa-apa)”. Dia nampak terganggu. Ryouji sempat mengerling ke buku itu dan melihat tulisan-tulisan aneh yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Ryouji membiarkan Shinji begitu dan dia keluar dari bilik asrama untuk melihat kawasan luar.

 

“Ryouji, matte, doko iku no? (Ryouji tunggu, kau mahu ke mana?)” Kobato menyoal selepas melihat Ryouji bergerak keluar.

 

“Chotto sampo shitai to omou (Aku fikir mahu mengambil angin di luar sekejap).”

 

Kobato mengikut Ryouji keluar. Dia menelusuri koridor dan menuju ke dataran luas. Sebaik melepasi kaki lima sebelah dataran, Kobato mengambil dua kayu kendo yang disandarkan pada sebatang tiang, memanggil Ryouji lantas mencampakkan satu kepadanya. Ryouji menangkap pantas persis refleks burung hayabusa.

 

“Ryouji, mari bertarung,” Ryouji terkejut dengan pelawaan Kobato yang tiba-tiba.

 

“Jika aku menang, semua makan malammu akan menjadi hakku.”

 

“Aku pasti menang,” balas Ryouji sambil menghunus kayu kendonya sambil tersenyum yakin, bersedia untuk berlawan.

 

**

 

Ketiga-tiga beradik itu melihat Hisamiko seperti tiga ekor burung hantu yang sarangnya diceroboh dengan masing-masing membulatkan mata. Hisamiko hampir menangis melihat pandangan mereka yang menusuk. Kemudian yang paling tinggi dari mereka itu menerpa Hisamiko lalu memeluknya.

 

Hisamiko tergamam. Sekian lama dia tidak merasa kemesraan sebegitu. Kemudian yang paling tinggi itu memandang Hisamiko yang rendah darinya, sedang masih memeluknya, dan dia tersenyum.

 

Okaerinasai, Miko-chan!” wajahnya lembut, dengan kedua-dua matanya ruyup ke sisi. Rambutnya hitam pekat disepit kemas dengan sepit berbentuk rama-rama. Dia nampak seperti orang yang baik, getus hati kecil Hisamiko. Dan sangat cantik, persis okaa-san (ibu). Gadis yang paling tinggi itu seraya menyambung “Kami Ogasawara bersaudara. Jika engkau lupa perkenalan di bilik makan tadi, namaku Chisato.”

 

Kemudian dia melihat di belakang Chisato, di atas katil itu ada seorang budak perempuan sedang duduk bersandar ke dinding dan di atas lantai seorang lagi bersandar di tepi tiang katil, sambil melihatnya seperti dalam ketakjuban. Kedua-duanya berwajah serupa. Chisato memperkenalkan mereka “Yang di atas katil itu Chiho, kembar yang sulung. Yang duduk di atas lantai itu Chinami, kembar yang bongsu.” Chisato menerangkan sambil senyuman tidak lekang dari bibir.

 

Kedua-duanya kemudian menyerbu Hisamiko. Hisamiko agak lemas namun dia mulai hilang takutnya dengan kemesraan mereka. Mereka mula berbual-bual, perbualan perempuan. Ini adalah pertama kali Hisamiko berkomunikasi dengan wanita selain ibunya. Terasa memori bersama mendiang ibunya kembali segar. Rindu yang terbuku sekian lama terhadap ibunya terlerai.

 

“Chi-na-mi?” Hisamiko cuba meneka.

 

“Iye, iye. Chi-ho. Chi-ho.” Kembar yang lebih tinggi itu menyebut namanya sepatah-sepatah. Dia berdiri bersama kembarnya sebelah-menyebelah. Maka fahamlah Hisamiko yang Chinami lebih rendah dari kembarnya.

 

Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan laungan seorang budak lelaki kecil, mungkin sebaya Hisamiko “Pertarungan, ada pertarungan, ayuh semua!”.

 

Ogasawara bersaudara bergegas keluar. Hisamiko pun menuruti mereka.

 

**

 

Budak-budak yang lain mulai ramai mengerumuni dataran luas itu, padahal awalnya hanya seorang yang mencuri dengar duo itu mahu bertarung. Laju benar berita bergerak di sini. Yang ramai bersorak menyebut nama Kobato. Hisamiko juga turut serta dan duduk di belakang kembar tiga itu. Wajahnya adalah yang paling tidak mengerti apa-apa. Hanya dia seorang yang berteriak “Ryouji, Ryouji!” selepas mendengar sorakan yang lainnya. Mendengarkan nama Ryouji disebut Hisamiko, kembar tiga itu berpandangan, aneh. Kemudian mereka pun ikut sama berteriak nama Ryouji. Rupanya mereka tidak ingat nama Ryouji, patutlah mereka hanya menyebut Kobato sahaja!

 

Urusai na (bisinglah),” Shinji masih tidak keluar dari bilik asramanya. Bising di dataran itu yang hanya terletak di sebelah tingkap di biliknya benar-benar mengganggu pembacaannya. Dia membawa buku kecil yang bertulisan aneh itu ke luar. Pada kulit hadapan buku itu tertulis tajuk dalam bahasa Inggeris “Map of the World”. Dia menuju ke bilik perpustakaan.

 

Dua orang remaja itu saling menghunus kayu kendo masing-masing, sambil bergerak berpusingan menanti serangan siapa yang dahulu. Ryouji memusing-musingkan kayunya, kemudian memulakan serangan. Kobato menahan, mengilas dan melibas. Ryouji mengelak. Selang beberapa gerakan, dia menghunus hujung kayu itu ke bawah dagu Kobato.

 

“Kau sudah tewas.” Ryouji memutuskan. Ryouji -1, Kobato – 0.

 

Ryouji berbisik sendirian, mudahnya. Apa yg dia pelajari di sini?

 

Pusingan kedua. Kali ini Kobato mula menyerang. Ryouji hanya mengelak. Dan mengelak. Dan mengelak. Sedar-sedar sahaja, sekali lagi kayu Ryouji di bawah dagu Kobato. Ryouji – 2, Kobato – 0.

 

Berlangsung lagi empat pusingan. Keseluruhannya seri, Ryouji menang tiga pusingan, Kobato tiga. Sebenarnya Ryouji sengaja membiarkan Kobato menang tiga dari keseluruhan enam pusingan itu. Dia tidak mahu Kobato menaruh dendam. Kobato lebih tua darinya. Egonya pasti tinggi. Dia berbaki lagi setahun di sini dan Ryouji fikir, masih banyak yang perlu Kobato pelajari. Adakah Kobato sendiri kurang berlatih, atau Takasaki tidak mengajarnya?

 

Kobato sedar Ryouji mengalah dengannya. Malam itu, Kobato bertanyakan Ryouji dari mana dia mempelajarinya. Ryouji memberitahu daripada bapanya.

 

Kobato tidak berpuas hati dengan penerangan Ryouji. Seni seperti itu masih boleh dipelajari oleh sesiapapun jika diajar. Namun aku tidak pernah melihat kepantasan seperti itu. Ia kepantasan luar biasa, seolah-olah Ryouji dapat mengagak dahulu setiap gerakanku. Dia dua tiga langkah lebih hadapan dariku. Kepantasannya seolah-olah hanya dia yang mampu mencapainya. Eksklusif. Mungkin kerana badannya yang lebih kurus?

 

“Ryouji, sejujurnya aku tidak pernah melihat kepantasan sebegitu.”

 

“Kepantasan? Aku hanya bertarung normal, sungguh.”

 

Kobato tidak menyambung perbualan. Dia tertidur dalam kebingungan.

 

Esok adalah kelas membuat senjata. Iaitu kelas pertama Ryouji di rumah perlindungan itu. Kelas-kelas di sini dijalankan secara tidak formal. Tidak ada silibus, tidak ada peperiksaan. Dan guru di situ hanyalah Takasaki dan Mariko, dibantu oleh setiap pelajar yang paling mahir dalam satu-satu kemahiran. Suatu kemahiran boleh diajar berkali-kali. Matlamat pengajaran di sini adalah bagi membekalkan setiap penghuninya kemahiran. Jepun bukanlah berada di zaman revolusi perindustrian pada waktu itu. Cukup sekadar memiliki kemahiran bercucuk tanam dan menangkap ikan, atau bertarung dan membuat pedang, engkau mampu hidup.

 

Tamahagane. Iaitu keluli yang kandungan arangnya tujuh perseribu dari bijih besi.” demikian penerangan Takasaki. “Nisbah campuran sebegitu menghasilkan keluli terkuat untuk katana. Namun suhu mesti dikawal. Selepas suhu, ambil kira tempoh rendaman di dalam air. Itu juga faktor penentu. Kemudian bilangan kali kalian melipatnya.”

 

Ryouji memahami kepentingan mempelajari seni pembuatan senjata. Mengetahui adunan dan nisbah ramuan yang betul, suhu relau yang betul, mampu menghasilkan senjata yang kuat tetapi ringan. Dia mencatit setiap butir perkara yang disampaikan Takasaki. Semua penerangannya mengingatkan dia dengan kata-kata bapanya itu. Namun hanya sekarang baru dia berpeluang menghasilkan bilah katana dengan tangannya sendiri kerana Takasaki memiliki bilik relau di situ.

 

Di antara para pelajar di situ, Shinji adalah yang paling pandai menghasilkan bilah. Takasaki menguji setiap bilahan yang dihasilkan mereka dengan tetakannya, dan hanya bilahan Shinji yang tidak pecah.

 

Ryouji menyedari selain dia, Shinji dan Kobato, terdapat seorang lagi pelajar lelaki di situ. Dia nampak sebaya Hisamiko. Disebabkan dia paling muda, dia banyak mendiamkan diri. Di asrama, dia menghuni katil di atas Shinji dan tidak banyak bercakap. Jika Shinji pendiam, dia lebih mahir dalam perkara-perkara artisan dan kerap dilihat membaca. Namun budak ini tidak melakukan banyak perkara dan lebih suka memerhati.

 

Ryouji mendekati budak itu dan bertanya namanya kerana dia sudah lupa namanya ketika sesi perkenalan semalam.

 

“Kitsune Tsuneki, desu .” Namanya Kitsune Tsuneki. Berumur lapan tahun. Ryouji hampir tergelak mendengarkan nama itu, bunyinya seperti pembelit lidah. Tsuneki melihat Ryouji dan mengesan riak wajahnya menahan ketawa, dia terus mengalihkan pandangannya.

 

Gomen-ne, Tsuneki-san. Kau mengingatkan kepada kawanku di kampung halaman. Namanya serupa.” Ryouji berbohong demi menjaga hati Tsuneki. “Engkau dari mana?”

 

“Dari Yozehama.”

 

“Bagaimana engkau boleh menyertai sekolah ini? Apa telah berlaku kepada keluargamu?”

 

“Ibu dan bapaku mati akibat taun.”

 

Ryouji mulai faham. Rupanya tidak semua berakhir di pusat itu angkara Hamada.

 

Kelas-kelas lain adalah di dalam bangunan. Terdapat kelas membaca, sesuai untuk Ryouji yang hanya tahu membaca dua ratus kanji sahaja, dan Hisamiko yang masih buta huruf. Terdapat kelas bahasa Inggeris dan Belanda. Disebabkan tenaga pengajar di situ hanya Takasaki dan Mariko, maka kadangkala mereka terpaksa meminta Kobato dan Shinji mengambil alih mengajar. Kobato mahir dalam kaligrafi kanji dan melukis. Dia tahu melakar kaligrafi kanji. Shinji pula mampu mengajar bahasa Inggeris dan Belanda.

 

Selebihnya masa mereka dihabiskan dengan aktiviti bebas. Shinji kerapkali menghabiskan masa di perpustakaan  dan gemar membaca bahan bacaan berbahasa Inggeris dan Belanda. Kobato gemar seni mempertahankan diri dan Tsuneki seringkali melihat sahaja tanpa berbicara. Jika Ryouji tiada kelebihan luar biasa, mungkin Kobato dan Ryouji mahir setara.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov