Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 6

Kurobi sampai dahulu di rumah Hamada sebelum Saitou. Badan gagak itu luka-luka seperti diserang atau dicakar oleh burung rajawali. Sesampai di halaman rumah Hamada, dia langsung terjelepok ke atas tanah yang berdebu itu. Dia berteriak lemah, badannya amat tercedera.

 

Kayu berwarna hijau ditindih oleh jasad gagak itu. Hamada mengalihkan tubuh gagak itu dengan tangannya, mengusap-usap kepala gagak itu dan membawanya ke dalam rumah untuk dirawat oleh pembantunya.

 

“Hamada-sama, berdasarkan pemeriksaanku ia telah diserang hayabusa.” Pembantunya menerangkan keadaan Kurobi.

 

Hayabusa? Memang di pergunungan Shinagawa ini banyak hayabusaHayabusa liar atau peliharaan? Jika peliharaan, siapa yang membelanya?

 

“Selalunya hayabusa akan menyerang untuk memakan mangsanya. Tetapi ini tidak. Lebih kepada bertujuan untuk mencederakan sahaja. Jika serangan dilakukan lebih awal berkemungkinan Kurobi akan rebah sebelum sempat sampai ke sini. Namun  aku fikir hayabusa ini mengekor Kurobi dan menyerangnya ketika dia hampir sampai ke sini.” Perincian diberikan oleh pembantunya.

 

Bererti hayabusa tersebut telah sampai ke rumah Hamada. Malah mungkin sedang memerhatikannya dari udara. Dari penerangan pembantunya itu, nampak seperti hayabusa terlatih, kerana ia tidak menyerang untuk makan. Siapa yang melatihnya?

 

Hamada membelek-belek kayu hijau yang digugurkan Kurobi. Keputusan misinya jelas, arahannya kepada Saitou gagal dan tiada dari kalangan mereka yang mati. Hamada tidak menunjukkan sebarang reaksi, dia hanya mahu mendengar alasan Saitou. Dia tahu Saitou tidak pernah menggagalkan rancangannya selama ini. Jika berlaku kegagalan, pasti ada alasannya yang munasabah. Jika alasan yang diberikan tidak munasabah, dia mungkin akan mengarahkan mereka melakukan seppuku. Namun sanggupkah dia kehilangan satu-satunya samurai yang paling setia dan arif selok-belok kaminari-no-kaze?

 

"Hamada-sama, benarkan kami melakukan seppuku!" Saitou meminta kebenaran mencabut nyawa sendiri dari Hamada sambil mewakili Tarou dan Buntarou. Tarou melutut dengan tangannya masih berbalut. Buntarou berbisik sendirian, “Matilah aku, aku belum berkahwin lagi!” Tarou terdengar lalu tumpang semangkuk, “Aku pun!”

 

Hamada sedang berdiri di hadapan mereka dengan tangannya mendekap, wajahnya masih ada mekap tebal dan gincu seperti geisha.

 

“Sebelum itu, aku ingin tahu siapa yang membunuh Miura?”

 

“Dia dibunuh oleh jarum beracun fukiya. Ini jarumnya, Hamada-sama.

 

Hamada mengambil jarum itu. Dia tersenyum, gincu yang dipakainya memberi ilusi seolah-olah seorang geisha tua yang hodoh sedang tersenyum di hadapan mereka. Terbeliak seketika biji mata Tarou dan Buntarou ketika mengangkat muka sebentar, namun tunduk kembali mengadap bumi setelah dijeling Hamada.

 

“Saitou, Tarou, Buntarou, kalian semua tahu berapa nilai kalian padaku?”

 

“Tidak, Hamada-sama.”

 

"Seluruh Shinagawa ini. Aku tidak akan benarkan kamu melakukan seppuku." dia membelek-belek jarum fukiya, “Jarum ini bukti yang amat berguna padaku.”

 

Hontou ni arigatougozaimashita, Hamada-sama, (kami sangat berterimakasih padamu Tuan Hamada),” mereka tunduk menyembah bumi, kali ini lebih rendah. Laju benar Saitou berterima kasih. Dia tidak mahu mati awal dan sia-sia. Ini bukan lagi era Sengoku atau Sekigahama. Bushidou sepatutnya harus dikemaskini!

 

Sebelum mereka beredar, Hamada menahan Saitou.

 

“Saitou, tunggu sebentar.” Dia menunggu Tarou dan Buntarou benar-benar hilang dari pandangan, lalu menyambung “Miura memiliki musuh lainkah?”

 

“Aku tidak tahu akan hal itu. Mungkin. Aku tidak maklum kehidupan petani di sana.”

 

Hamada hanya tersenyum mendengarnya. Seolah-olah dia sudah tahu jawapannya, dan hanya menduga Saitou atas alasan yang hanya dia tahu.

 

Hamada kemudian menyambung. “Aku masih belum memiliki bukti penglibatan Takasaki dalam pertubuhan Miura itu meskipun aku tahu dia menyertainya selepas meninggalkanku. Aku yakin mereka juga saling bekerjasama demi pertubuhan itu. Persahabatan mereka tidak pernah tergugat, melihatkan Miura mewasiatkan anaknya kepada Takasaki.”

 

“Namun aku masih hairan mengapa sukar benar menemukan Takasaki. Tsugiyama, samurai kepada anakku Hagiura itupun masih gagal menemukannya. Kemunculannya di kuil itu memang tidak disangka-sangka. Saitou, siasat di mana Takasaki bersembunyi. Aku mahu memujuknya kembali kepadaku.” Hamada mengarah lagi. Saitou menerima arahan Hamada tanpa soal. Hagiura adalah anak Hamada, juga seorang daimyo yang menguasai wilayah lain di utara.

 

Sayang, Takasaki seorang pemedang yang baik, pencipta bersama Miura seni kaminari-no-kaze walaupun kepantasan berpedangnya tidak mampu menyaingi Miura. Aku fikir mahu menariknya kembali berkhidmat kepadaku. Miura kini sudah tiada. Tanpa Miura, pertubuhan mereka tidak mungkin dapat bertahan. Miura adalah antara sumber kewangan utama mereka, dari padinya yang berkualiti dan banyak permintaan itu pertubuhan mereka boleh maju lagi ke hadapan dengan membawa masuk lebih banyak pelatih dan membeli lebih banyak buku-buku dari Barat. Bahkan membina kekuatan menentang Maharaja.

 

Saitou berasa sedikit tidak selesa dengan kata-kata Hamada itu namun dipendamkan. Dia sedikit bimbang sekiranya kedudukan dan kepercayaan yang dibina untuk Hamada bakal berkurang atau mungkin dianaktirikan selepas Takasaki diambil semula menjadi samurainya. Dahulu memang dia benar-benar kehilangan Takasaki, namun masa telah mengubah dirinya. Dia telah membina kepercayaan Hamada. Dia tidak mahu Takasaki menggugat kedudukannya yang telah dibina bertahun itu. Namun dia masih gusar memikirkan nasib Sairenji dan Genji. Di mana mereka? Aku tidak kisah Hamada sekejam mana sekalipun, aku akan patuh pada arahannya. Namun, aku tidak boleh memaafkan Hamada-sama sekiranya Sairenji atau Genji terkorban.

 

“Aku fikir Takasaki tidak akan mengubah fikirannya. Tuan pun kenal perangainya bukan? Orang-orang Belanda dan Miura telah meracuni fikirannya.”

 

Hamada merenung Saitou, cuba mencari maksud di sebalik kata-katanya itu.

 

Dia berjalan menelusuri sebuah taman di halaman rumahnya, sambil Saitou menurutinya. Taman itu dipenuhi bonsai-bonsai dan pokok momiji yang ditanam melata di serata taman itu, dengan daunnya sudah mulai merah disumpah angin musim luruh. Hamada gemarkan warna merah dan jingga, disebabkan itu dia amat menyukai pokok tersebut. Semacam satu perasaan yang membakar jiwanya timbul saat menatapi warna-warna api itu.

 

“Saitou, apakah yang kau fikir dengan masyarakat sebegini.” Hamada mengubah topik, cuba mencungkil apa di sebalik fikiran Saitou. Hamada sedar, Saitou gusar akan nasib Sairenji dan Genji, dua rakan baiknya itu.

 

“Maksudmu Tuan?”

 

“Tentang sistem samurai, daimyo, petani, penternak dan pedagang. Masyarakat feudal yang diamalkan sejak purbakala.”

 

Soalan yang besar. Mengapa Hamada-sama bertanyakan soalan sebegini kepadaku? Mungkin mahu menguji peganganku? Apa dia mengesyaki aku belot?

 

“Aku lahir sebagai samurai dan akan mati sebagai samurai. Maaf Hamada-sama, aku bukan penguasa. Aku cuma seorang yang ringkas hidupku.” Saitou menjawab dengan tegas, tanpa menunjukkan sebarang riak wajah.

 

“Bagus. Aku suka engkau berpendirian sebegitu. Teruskan berpendirian begitu Saitou,” dia mengeluh kecil. Jawapan yang telah disangkakan. Buat apa aku bertanyakan soalan begini kepada samurai? Sudah tentu mereka setuju kerana mereka berada di atas. Bagaimana pula jawapan yang akan diterima dari golongan bawah seperti petani dan nelayan? Namun satu soalan yang lebih besar, mengapa aku tiba-tiba mempersoalkan sistem ini? Adakah pendirianku sudah tergugat?

 

Hamada bermonolog lagi. Dia bimbang, amat. Keshogunan Tetsugawa di Edo sudah menyerah kalah kepada tentera Maharaja beberapa bulan lepas. Peperangan masih berlangsung di utara negara, diteruskan oleh pengikut-pengikut Tetsugawa yang masih setia. Meskipun seluruh Jepun terutama rakyat biasa yang bukan samurai masih menyangka Tetsugawa memegang tampuk kuasa, namun dia sudah mengetahui perkara sebenar. Bila-bila masa sahaja tanah sawah dan padi yang dimiliki di seluruh Shinagawa ini akan dikembalikan semula kepada Maharaja dan dia dilucutkan jawatan daimyo. Segala kemewahan yang dimiliki akan lenyap sekelip mata. Meskipun Maharaja mungkin akan mengambilnya kembali berkhidmat sebagai gabenor dan diberikan pencen, dia tidak akan memiliki hartanah-hartanahnya. Dia hanya akan hidup sebagai pemakan pencen sehinggalah ke hari kematiannya.

 

Maka tidak ada gunanya dia menahan Ryouji dan Hisamiko. Kerana tujuan utamanya adalah untuk meraih pengetahuan penanaman padi moden dari mereka yang mewarisinya dari Miura, dengan paksaan. Mereka aset berharga buatku. Dengan pengetahuan mereka aku akan dapat menaikkan hasil sawah padiku kepada koku yang lebih besar. Bahkan padiku juga akan meningkat kualitinya berbanding padi-padi lain di pasaran. Maharaja pasti akan menyukaiku dan mengekalkan aku sebagai pemerintah di sini.

 

Namun jika Maharaja bertindak mengambil kembali tanah-tanahku, semua ini tidak akan berhasil apa-apa. 

 

Perlukah aku menyertai pertubuhan Takasaki, memberontak menentang Maharaja? Menguatkan lagi sangkaan ramai daimyo lain bahawa aku bersekongkol dengan Takasaki menentang Maharaja?

 

Sebentar, pertubuhan Takasaki bukanlah mahu menentang Maharaja seperti yang aku dengari. Dia hanya mahu membuka negara ini kepada orang gasar dari Barat sahaja, dan hanya itu sahaja persamaan dia dengan Tetsugawa. Memiliki persamaan dengan Tetsugawa, tidak semestinya bermakna mereka menyokong Tetsugawa atau menentang Maharaja. Bahkan, pertubuhan itu juga pasti akan menyokong Maharaja jika baginda mengubah fikiran dan membuka negara ini kepada Barat.

 

Namun adakah Takasaki mahu mempertahankan sistem feudal dan samurai? Bukankah dia sendiri meletak jawatan dari berkhidmat kepadaku? Apakah tujuan sebenar pertubuhan Takasaki?

 

Kemudian dia menyedari sesuatu. Sesuatu yang amat bodoh yang telah dilakukannya. Iaitu membunuh Miura dengan fukiya. Ya, dialah orangnya! Pembunuh Miura. Yang telah bersekongkol dengan petani di sekitar bendang Miura yang dengki dengan hasil dan kualiti padinya. Petani-petani yang dengki itu telah didekatinya, diupahnya. Kemudian mereka mengupah penyumpit fukiya, menentukan agar hari yang sama dipilih dengan Hamada untuk membunuh Miura. Hamada pula akan menghantar Sairenji dan Genji, dua samurai picisannya sebagai pengalih perhatian, dan jika mereka berjaya membunuh Miura, mereka akan menangkap anak-anaknya pula. Dia tahu Miura amat sukar untuk dikalahkan meskipun dia menghantar Saitou, samurai terbaiknya. Kepantasan kaminari-no-kaze Miura mampu mengelak peluru tanegashima, maka apalah sangat sumpit fukiya yang jauh lebih lembab.

 

Matlamatku mahu melemahkan pertubuhan Takasaki dan Miura dengan menghapuskan Miura yang menjadi sumber kewangan mereka. Namun aku sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Sayang, sayang, sayang! 


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov