DAHI Dr. Aiman berkerut
seribu. “Oii, yang kau macam orang baru lepas putus cinta tu, kenapa? Termenung
aje. Kau ada masalah ke?” Dia mengatur langkah ke sofa, lalu melabuhkan duduk
di sebelah sahabatnya itu.
Dr. Qasyiful mengeluh. Dia tersenyum kelat. “Ini bukan
masalah orang baru lepas putus cinta, Man. Masalah ni lagi besar dari masalah
tu,” jawabnya lemah. Macam orang hilang semangat untuk meneruskan hidup sahaja.
Mulut Dr. Aiman ternganga besar. Aik, apa hal pula ni?
Macam serius aje ni… kenapa, ya? “Apa pula masalah kau kali ni, Qasy?” tanyanya
ingin tahu.
Sekali lagi Dr. Qasyiful mengeluh. Spontan, permintaan
mak sebentar tadi menyinggah ke cuping telinganya. Permintaan itu membuat
kepala dia semakin pening. Aduh! Dalam banyak-banyak benda, kenapalah benda tu
yang mak nak? Nak ke Rena ikut aku balik kampung? keluh hatinya.
Dr. Aiman semakin pelik. “Qasy?” Dahinya berkerut sejuta
apabila melihat tingkah laku kawan baiknya itu. Aik, kenapa pula ni? Pelik!
Dr. Qasyiful tidak menjawab, sebaliknya lelaki itu tetap
termenung panjang.
Dr. Aiman menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Qasy?” panggilnya sedikit kuat. Siap memetik jari di hadapan kawan baiknya
lagi.
Dr. Qasyiful tersentak. Spontan, lamunannya segera
menghilang. Sekali lagi keluhan panjang terluah di bibirnya. Lalu, dia meraup
wajahnya.
Kening Dr. Aiman semakin berkerut. “Kau okey ke ni, Qasy?
Masalah apa ni sampaikan kau termenung panjang macam ni?” tanyanya ingin tahu.
Dr. Qasyiful tersenyum kelat. Dia menggaru-garu kepalanya
yang tidak gatal. “Mak aku, Man. Dia nak aku bawa Erena balik kampung,”
beritahunya resah.
Mulut Dr. Aiman ternganga besar. Dia agak terkejut
apabila mendengar jawapan itu. “Ya ke?” tanyanya sukar hendak percaya. Biar tembikai?
Dr. Qasyiful mengeluh. Entah untuk kali yang ke berapa,
tidak terkira rasanya. Dia mengangguk.
Dr. Aiman ternganga lagi. “Laa… kenapa pula?”
Dr. Qasyiful menggusap rambutnya. Ah, dia semakin pening
apabila memikirkan masalahnya itu. “Mereka nak berkenalan dengan Erena dengan
lebih rapat lagi,” beritahunya lemah.
Dr. Aiman tersenyum. “Eh… baguslah kalau macam tu.
Lagipun, dia orang kan belum kenal Erena lagi. Yalah, kau orang kan tunang
ekspress. Mana sempat dia orang nak berkenalan dengan Erena.”
Dr. Qasyiful tersenyum kelat. “Memanglah, aku pun setuju
dengan permintaan mak aku tu, Man. Tapi, ada masalahnya,” balasnya perlahan.
Kening Dr. Aiman terjungkit sebelah. “Masalah apa pula?
Kau risau ke kalau-kalau Datuk Harris tak izinkan kau bawa Erena balik ke
kampung? Kalau Datuk Harris tu, aku rasa dia mesti izinkan,” tanyanya ingin
tahu. Siap menayang muka hairan lagi.
Sekali lagi Dr. Qasyiful mengeluh. “Bukan itu masalahnya,
Man. Insya-ALLAH, mungkin Datuk Harris akan izinkan. Masalahnya sekarang ni
Erena. Nak ke budak bandar macam dia tu ikut aku balik kampung?” balasnya
resah.
Dr. Aiman tergelak. “Ooo… jadi, tu aje ke masalahnya?”
perlinya selamba.
Dr. Qasyiful memuncung panjang, lalu dia mengangguk
sebagai jawapan.
Dr. Aiman menggeleng apabila melihat telatah Dr.
Qasyiful. Apalah kawan baik aku ni? Alahai, lemahnya… “Aku rasa tak ada
masalahlah, Qasy. Just tell her the
truth,”cadangnya.
Dr. Qasyiful tersenyum kelat. “Kau cakap senanglah, Man.
Kau sendiri tahukan Rena tu macam mana orangnya? Rena tu keras kepala tau!
Kalau A katanya, A la jadinya. Tak ada nak jadi B dah.”
Dr. Aiman tergelak. Keningnya terjungkit sebelah. “Kau
gunakanlah Datuk Harris sebagai orang tengah, Qasy. Mesti dia tak boleh
mengelak kalau Datuk Harris yang suruh,” balasnya beria-ia. Siap tersenyum
penuh makna lagi.
Dr. Qasyiful terdiam. Datuk Harris? Serentak dengan itu,
bibirnya terukir senyuman penuh makna. Hmm… kenapalah dia tidak terfikirkan
cara itu? Kalau dia berjaya memujuk Erena untuk menjadi tunangnya, mungkin
lelaki itu dapat membantunya.
“Tak terfikir pula aku cara tu, Man. By the way, thank you very much.Kau dah banyak tolong aku, Man,”
balas Dr. Qasyiful. Senyuman penuh makna masih lagi terukir di bibirnya.
Dr. Aiman tersenyum lebar. “No hal!Lagipun, kau kan kawan baik aku. Takkanlah aku tak tolong
pula? Hmm… tak payah nak tayang muka masam lagi.
Tak elok pun!” perlinya selamba.
Mereka ketawa.