TELEFON BIMBIT Dr.
Qasyiful berdering menandakan ada panggilan masuk. Dia yang sedang menonton
televisyen tersentak. Spontan, matanya merenung skrin telefon. Senyuman manis
terukir di bibirnya. Serentak dengan itu, punat hijau ditekan.
“Assalamualaikum, Qasy…” sapa satu suara di hujung
talian.
Senyuman manis tergaris di bibir Dr. Qasyiful.
“Waalaikumussalam, mak. Err… mak sihat?”
Hajah Kamariah tergelak. “Alhamdulillah Qasy, mak sihat
walafiat. Qasy pula, macam mana? Mesti semakin gembira, kan? Tambah-tambah
lagi, bila dah bergelar tunang orang ni. Mesti muka Qasy semakin berseri-seri,”
usiknya selamba. Gurau-gurau manjalah katakan!
Dr. Qasyiful tersenyum. Gembira? Huhh, semakin pening
lagi ada la! “Alhamdulillah mak, Qasy sihat-sihat aje. Haa… ada apa mak telefon
Qasy ni?” tanyanya ingin tahu.
Hajah Kamariah tersenyum. “Hai Qasy, takkanlah nak
telefon anak sendiri pun kena buat appointment
dulu? Mak tahulah Qasy tu doktor. Kalau nak jumpa pun, kena buat appointmentdulu. Tapi, takkanlah mak
sendiri nak telefon anaknya pun tak boleh?” usiknya lagi.
Dr. Qasyiful tergelak. “Mak ni… hisy, ke situ pula. Kalau
mak nak datang jumpa Qasy kat klinik atau hospital pun, tak apa. Qasy lagi
suka! Lagipun, Qasy rindu sangat-sangat kat mak tau.”
Hajah Kamariah tersenyum lebar. “Mak pun rindukan kamu,
Qasy. Haa… nak tunggu kamu telefon, jangan haraplah. Jadi, maklah yang kena
telefon kamu,” balasnya. Seolah-olah berjauh hati dengan anaknya itu.
Dr. Qasyiful mengeluh. “Err… maafkan Qasy sebab jarang
menelefon ke rumah. Qasy bukan apa mak, asyik busyaje kat klinik dan hospital. Kadang-kadang, masa untuk diri
sendiri pun tak ada,” katanya dengan riak serba salah.
Hajah Kamariah tersenyum manis. “Tak apalah Qasy, mak
faham. Kamukan doktor, sama sibuknya macam Abang Shukri kamu tu. Polislah
katakan, sibuk memanjang. Tapi, mak tetap berbangga dengan anak-anak mak.
Seorang pegawai polis, seorang lagi doktor. Alhamdulillah…”
Dr. Qasyiful tersenyum simpul. “Alhamdulillah, mak.
Berkat doa dan didikan mak dan ayah,” balasnya. “Haa mak... ada apa telefon
Qasy ni?”
Hajah Kamariah tersenyum penuh makna. Keningnya
terjungkit sebelah. “Mak ada satu permintaan, Qasy.”
Berkerut dahi Dr. Qasyiful. “Permintaan? Apa dia?”
soalnya ingin tahu.
“Mak dah bincang
dengan ayah. Ayah pun dah setuju dengan mak. Mak harap, Qasy boleh penuhi
permintaan kami,” balas Hajah Kamariah, masih lagi berkias.
Dr. Qasyiful tersenyum. “Berkenaan apa tu, mak?” ulangnya
lagi.
Hajah Kamariah tersenyum penuh makna. “Mak nak Qasy bawa
Amani balik kampung. Kami nak berkenalan dengan dia secara lebih rapat lagi.”
Dr. Qasyiful terkejut besar. Mulutnya ternganga besar.
“Apa dia, mak? Bawa balik Erena ke kampung?” tanyanya untuk kepastian. Dia agak
terkejut apabila mendengar permintaan itu.
Nak bawa cik manja ke kampung aku? Oh… nak ke tunang aku
tu ikut aku balik kampung? Lagipun, budak bandar macam tu boleh tahan ke hidup
dalam suasana kampung?
Hajah Kamariah tergelak. “Mak tahu, Qasy mesti terkejut.
Tapi Qasy sendiri pun tahu, kan? Kami belum kenal Amani lagi. Mungkin dengan
cara ni, mak boleh kenal hati budi Amani. Qasy, bawa balik Amani ke kampung,
ya?” tegasnya lagi.
Dr. Qasyiful tersenyum kelat. “Insya-ALLAH, mak. Minggu
depan Qasy balik, Qasy bawa Erena sekali,” janjinya bersungguh-sungguh.
Hajah Kamariah tersenyum. Gembira hatinya apabila
mendengar jawapan itu. “Alhamdulillah… Qasy, mak letak telefon dulu. Ayah kamu
dah panggil tu. Dia nak ke masjid, ada kenduri tahlil. Assalamualaikum…”
Dr. Qasyiful masih lagi tersenyum kelat. “Err… kirim
salam kat ayah. Waalaikumussalam…” balasnya perlahan.
Tutt! Talian diputuskan!
Kelihatan Dr. Qasyiful meletak kembali telefon bimbitnya
ke atas meja. Lalu, keluhan panjang terluah dari bibirnya. Pemuda kacak itu
memicit kepalanya.
“Nak bawa balik Erena ke kampung? Nak ke dia ikut aku?
Aduh! Macam mana nak cakap dengan dia ni? Gerenti dia terkejut biawak punya,
silap hari bulan, boleh pengsan! Hurm…” keluh Dr. Qasyiful resah. Aduh,
kalut!