NAFASDatin Katrina turun dan naik,
menandakan kemarahan sedang menguasai dirinya. Wanita itu kelihatan sedang
berdiri di hadapan anaknya yang sedang leka membaca novel. “Haa… puaslah hati
Rena sekarang, kan? Malu tau mama dengan papa bila Rena buat perangai gila
macam tu,” jerkahnya. Siap bercekak pinggang lagi. Erena yang sedang membaca buku novel Bicara Cinta
Tertangguh karya Lynn Dayana terkejut besar. Spontan, novelnya terjatuh ke
lantai. Oii, nenek! Latah Erena dalam hati. Dia mendengus geram. Mukanya
cemberut. Hisy… mama ni, hampir melayang jantungnya apabila mendengar jerkahan
itu.
“Mana ni… hisy,
buat Rena terkejut aje tau. Kenapa mama tak pakai mikrofon aje? Jerit
puas-puas, biar satu dunia dengar,” marah Erena sambil menggosok dadanya
gara-gara terkejut dengan jerkahan itu. Huhh, semput jadinya dek jerkahan mama.
Datin Katrina menayang senyuman sinis. Keningnya
terjungkit sebelah. “Jawab! Rena sengaja buat peragai gila macam tu, kan?”
Dengan selamba badaknya, Erena menjungkit sebelah
keningnya. “Apa maksud mama? Apa yang Rena dah buat?” soalnya sambil menayang
muka selamba katak lagi. Seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan. Aku
buat salah ke? Aku cuma nak ajar Dr.
serioustu aje. Tu pun salah ke?
“Apa yang Rena dah
buat? Rena, tolong jangan buat-buat tak tahulah! Jangan tanya soalan bodoh,
okey. Rena sendiri tahu apa salah Rena. Kenapa masih nak bertanya lagi?” bidas
Datin Katrina.
Erena menayang muka tidak bersalah. Dia mengangkat
bahunya tanda tidak tahu. “Rena rasa, Rena tak buat salah apa-apa pun. Mama aje
yang suka fikir bukan-bukan,” nafinya.
Datin Katrina menggeleng kepala berulang kali.
Subhanallah… sakitnya hati aku dengan budak ni. Merana jiwa aku. Huhh! Sepuluh
patah aku bersuara, sepuluh patah jugalah dia menjawab. Masya-ALLAH, sampai bilalah Rena nak berperangai macam ni?
Dah nak bergelar isteri pun, tapi perangai mengalahkan budak enam tahun,
bebelnya dalam hati.
“Tak buat salah? Dengan pakai baju Tom and Jerry, seluar
bunga-bunga pink, ikat tocang dua...
kamu kata tak salah? Kamu sedar tak apa yang kamu dah lakukan, Rena? Tu bukan
diri kamu yang sebenar tau! Kamu buat semua tu untuk mengelak daripada
berkahwin dengan Qasy, kan?”
Erena tergamam. Wajahnya terasa membahang. Terkedu dengan
sindiran mama yang umpama pisau tajam itu. Eh, mama ni… macam tau-tau aje. Tak
boleh jadi ni! Jangan terkantoi dahlah…
Erena berlagak tenang. Menayang muka tidak bersalahnya.
“Kenapa mama cakap macam tu pula? Apa yang Rena buat semalam tu, diri Rena yang
sebenarlah. Apalah mama ni, tak pasal-pasal tuduh Rena yang bukan-bukan,”
balasnya tidak mengaku kalah.
Datin Katrina mengeluh. “Hisy, mama dah tak tahu nak cakap apa lagi. Pening kepala mama tau!
Sakit hati mama dengan perangai kamu ni. Satu mama kata, sepuluh kamu balas.
Berperang mulut dengan kamu, memang sentiasa tak menang. Buat sakit hati lagi
adalah.”
Erena tersenyum kelat. Serba salah jadinya apabila
mendengar kata-kata mama. Sorrylah,
mama… bukan Rena sengaja nak melawan cakap mama. Rena tahu, bersalah bila
melawan cakap orang tua kita. Tapi, Rena tetap berkeras dengan keputusan ni.
Rena tak nak kahwin dengan Dr. serioustu!
“Tapi…” Tiba-tiba Datin Katrina bersuara. Bibirnya
terukir senyuman penuh makna.
Kening Erena terangkat sebelah. Tapi apa? Serta-merta,
jantungnya dipalu rasa resah.
Datin Katrina masih lagi tersenyum penuh makna. “Walaupun
Rena buat perangai gila masa makan malam tadi, jangan fikir mama dengan papa
akan tarik balik keputusan kami untuk kahwinkan Rena dengan Qasy. Kami tetap
dengan keputusan, Rena akan kahwin dengan Qasy! Titik!” tegasnya. Dia terus
berjalan meninggalkan Erena sendirian.
Erena tergamam. Apa? Argh, aku gagal!
DR. QASYIFUL memarkir
kereta Toyota Viosnya di halaman rumah. Serentak itu, enjen kereta itu
dimatikan. Dia membolos keluar dari perut kereta. Setelah pintu keretanya
dikunci, dia terus melangkah menuju ke muka pintu. Kocek seluarnya diseluk,
lalu dia membawa keluar segugus kunci. Daun pintu dikuak dari luar. Dia
membolos masuk ke dalam.
Dia melabuhkan duduk di atas sofa. Dia memejam matanya
seketika untuk menghilangkan rasa penat. Tidak semena-mena, bayangan Erena
menerpa. Serentak itu, dia mengeluh.
“Erena Amani…” Dr. Qasyiful menyeru sebaris nama yang
bakal menjadi tunangnya itu. Serta-merta, kata-kata Erena menerjah kembali ke
layar ingatannya.
“Tak pernah terdetik
walau sedikit pun dalam hati saya untuk berkahwin dengan awak, Dr. Qasyiful. Saya
tak teringin nak jadi isteri awak tau. Hisy! Saya tak tahu kenapa papa boleh terfikir
untuk kahwinkan saya dengan awak? Punya banyak lelaki yang ada dalam dunia ni, mamat
serius macam awak juga yang papa mahukan. Hei, apa yang awak dah buat pada papa
saya, hah?”
Dia tersenyum. “Habis tu, awak fikir saya nak sangat ke
beristerikan awak, Erena? Kalau bukan disebabkan Uncle Harris dan Auntie
Katrina, jawabnya hi hi bye byeajelah.”
Sekali lagi kata-kata Erena menyinggah ke gegendang
telinganya. “Saya tak nak kahwin dengan awak!
Jadi, awak nak buat apa kat saya? Hei, sikit pun saya tak ada perasaan kat awak
tau! Iyyuuu… siapalah nak bersuamikan lelaki serius macam awak? Tak hinginlah!”
Dr. Qasyiful tergelak kecil. Geli hati dengan telatah
Erena. Tercuit pula hatinya. “Erena… Erena… awak ni kelakarlah,” gerutunya
sendirian.
Senyuman penuh makna terukir di bibir Dr. Qasyiful. “Awak
buatlah macam mana sekalipun, saya tak kisah. Awak nak terjun bangunan ke, nak
menangis air mata darah ke, nak tergolek-golek ke, it’s up to you. Saya tetap akan teruskan niat suci untuk menikahi
awak, Erena. Titik, noktah!”
Tidak semena-mena, kata-kata Datuk Hafsyam menyerbu ke
kepala otaknya. “Uncle harap, Qasy tak batalkan
niat untuk menikahi Erena. Uncle betul-betul berharap supaya Qasy menjadi suami
Erena, menantu kami.”
Sebuah keluhan kecil terhembus keluar dari bibir Dr.
Qasyiful. “Tak apalah Qasy, redhakan ajelah. Mungkin, Erena memang sudah
tertulis di Luth Mahfuz untuk kau.” Berulang kali dia memujuk hatinya supaya
redha dengan suratan yang tertulis buat dirinya.