“KENAPA aku pula yang
kena hantar ke depan? Hisy mama ni, sengaja nak kenakan akulah tu. Fina kan
ada. Suruh ajelah dia hantar,” bebel Erena geram. Sebaik sahaja dia sampai di ruang tamu, langkahnya
serta-merta mati. Mulut gadis itu ternganga luas. Matanya dapat menangkap satu
figura yang sangat dikenalinya. Hah…. biar tembikai? Betul ke apa yang aku
nampak ni? Aku belum rabun lagi, kan? desis hatinya.
Erena melopong. “Dr. Qasyiful?” tuturnya tanpa sedar.
Berulang kali gadis itu menenyeh matanya, hendak memastikan apa yang dilihatnya
adalah benar. Namun, sangkaannya tidak meleset. Figura itu ternyata adalah
milik Dr. Qasyiful. ‘Pelik bin ajaib! Apa yang Dr. serioustu buat kat sini? Angin tak ada, ribut pun tak ada,
taufan jauhlah sekali… tapi, dia boleh ada kat sini? Apa, nak joinsama melihat bakal suami aku tu
ke?’ gerutunya kehairanan.
‘Takkanlah dia juga sama-sama nak melihat bakal suami
aku? Jangan… jangan…’
Tiba-tiba, sesuatu menyinggah ke kotak fikirannya. Huhh!
Erena ternganga luas, namun segera gadis cantik itu menekup mulutnya. Matanya
terbeliak luas. “Oh my Allah!Jangan-jangan…
dialah bakal suami aku? Jangan-jangan… papa nak kahwinkan aku dengan dia?” ucap
Erena mula kaget. Kahwin dengan Dr
Serious? Oh, tidak! Aku tak nak! Hati Erena membentak keras.
Erena mula jadi gelabah tidak tentu hala. Kalau betullah
tekaan aku, maka malanglah nasibku. Hisy. tak naklah aku kahwin dengan Dr. Serioustu. Dahlah asyik serius 24
jam aja, langsung tak ada segaris senyuman di bibir pula tu. Gerutu hatinya.
Kalau benarlah Dr. Qasyiful bakal suaminya, hancuss
semuanya! Alamatnya, akan huru-haralah hidupnya selepas ini. Pasti seribu satu
jenis masalah akan menimpa hubungan mereka.
Erena menayang muka resah gelisah. “Huhh, tak boleh jadi
ni! Walau apapun yang berlaku, aku tak nak berkahwin dengan Dr. Serioustu. Aku tak nak jadi isteri
dia. Hisy, tolonglah… tak teringin aku nak bersuamikan mamat serius 24 jam tu,”
omel Erena lagi.
Erena terdiam sebentar. Memikirkan cara yang berkesan
bagi membuat Dr. Qasyiful mematikan niat untuk mengahwininya. Pokok pangkalnya,
dia tetap tidak mahu berkahwin dengan Dr.
Seriousitu. Noktah!
Tiba-tiba, bibirnya terukir senyuman penuh makna. Satu
rancangan nakal mula terbayang di minda. Ha ha ha…. gerenti lepas ni kau tak
nak kahwin dengan aku punyalah.
Tanpa menunggu lama, Erena berjalan ke ruang tamu. Lalu,
dia duduk melutut bak gadis Melayu terakhir di bucu meja. Satu per satu cawan
diangkat lalu diletakkan di hadapan papa dan Dr. Qasyiful. Piring kecil yang
terhidang dengan popia basah diangkat lalu diletakkan di sudut tengah meja.
Erena sengaja menayang senyuman sinis pada Dr. Qasyiful.
Siap menayang muka sepuluh sennya buat lelaki kacak itu. “Enjoy your drink.”
Datuk Harris tersenyum lebar sambil matanya melirik
memandang anak gadisnya. “Hah Rena, nilah bakal encik tunang kamu, merangkap
bakal suami.”
Erena pura-pura terkejut. Gadis itu memandang wajah Dr.
Qasyiful. Mereka saling berpandangan.
Dr. Qasyiful tersenyum nipis. “Assalamualaikum, Rena…”
Erena tersenyum. “Waalaikumusalam…” Dia memandang
papanya. “Papa, Rena pergi dapur dululah.” Cepat-cepat dia berjalan menuju ke
dapur. Tidak betah dia mahu berlama-lama di situ. Hatinya sakit apabila
memandang wajah serius Dr. Qasyiful.
Kau tunggulah, Dr.
Serious.Aku akan pastikan segalanya berjalan dengan tidak lancar.
NAFAS Erena turun dan
naik tanda marah. “Kenapa harus dia? Kenapa Dr.
Serioustu yang harus jadi suami aku? Kenapa? Hisy, dahlah muka sentiasa
serius 24 jam, mengalahkan Perdana Menteri. Then,
aku nak kena kahwin dengan Dr.
Serioustu? Hah, memang taklah! Sorry
naik lorilah,” bebelnya dengan suara perlahan.
“Hisy… dalam banyak-banyak lelaki kat dunia ni, kenapa
mamat serius 24 jam tu juga yang jadi pilihan? Apa yang hebatnya dia? Muka
sentiasa serius 24 jam tu ada la!” Geram Erena apabila memikirkannya.
“Kalau kahwinkan
aku dengan pelakon Korea tu, tak apalah juga. Dahlah handsome,pandai menari pula tu. Dapatlah aku tumpang glamour. Ni tak, nak kahwinkan aku
dengan mamat serius 24 jam tu. Apa yang dia ada? Hisy, geramnya!”
Fina ternganga besar apabila melihat Erena yang sedang
membebel seorang diri, mengalahkan cikgu disiplin. Dahinya berkerut. “Kau ni
dah kenapa, Rena? Dari tadi asyik membebel aje. Mulut kau tak reti penat ke?”
Erena menjeling tajam. Hisy minah ni, sibuk ajelah.
Kepala aku dahlah tengah berserabut.
Erena yang ternampak kelibat mama, spontan menarik lengan
wanita itu. Membuat langkah wanita itu terhenti.
Datin Katrina memandang wajah Erena. Geram dengan sikap
kebudak-budakan anak manjanya itu. “Yang kamu tarik tangan mama macam budak
kecil tu, kenapa? Mama nak ke depan, nak panggil Qasy dengan papa kamu. Sejuk
pula makanan tu nanti,” marahnya.
Erena memandang mamanya dengan tajam. “Mama tahu kan
pasal Dr. Qasyiful tu?”
Fina
berkerut dahi tanda hairan. Hah… Dr. Qasyiful? Eh, kenapa tiba-tiba nama doktor
kacak tu boleh terkeluar dari mulut Rena? Setahu akulah, Rena tak suka doktor
tu. Almaklumlah, sentiasa serius 24 jam. Tapi… tiba-tiba aje nama itu disebut.
Ada apa-apa ke ni? gerutu hatinya.
Datin
Katrina tidak menjawab. Sebaliknya, wanita itu hanya tersenyum penuh makna.
Tanpa menunggu lama, dia terus melangkah, meninggalkan anak gadisnya yang sudah
ternganga luas.
Erena
semakin geram. “Hisy, tak guna betullah! Aku aje yang tak tahu, kan? Bencilah!”
Fina menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Siap
menayang muka hairan lagi. “Oit nenek, kau ni kenapa? Terjerit-jerit macam
orang gila aje,” soalnya.
Erena menjeling tajam. “Hisy, diamlah! Bising aje kau
ni!” marahnya. Dia segera ke dapur.
Fina tergamam. Aik, angin puting beliung mana pula yang
dah merasuk kawan baik aku ni?