KERETA Dr. Qasyiful
meluncur laju memasuki perkarangan rumah Ustaz Kamarul yang tersergam indah
itu. Lalu, kereta itu diparkir di halaman rumah yang luas dan bersih milik
keluarganya.
Enjen kereta dimatikan. Lalu, dia menarik nafas lega.
“Syukur alhamdulillah, akhirnya dah sampai pun,” ucapnya perlahan.
Dikerlingnya sekilas jam di dashboard.Jam tersebut sudah pun menunjukkan pukul 8.45 malam.
Dr. Qasyiful mengeluh panjang. Kalau tak disebabkan
tunang manja aku ni, mesti sampai lebih awal lagi. Tapi tak apalah, yang
penting dah pun sampai dengan selamat, desis hatinya sendirian.
Dr. Qasyiful memandang tunangnya di sebelah. “Erena?”
panggilnya lembut.
Dia mengeluh. Senyuman nipis terukir di bibir lelaki itu.
“Laa… tidur rupanya. Patutlah senyap aje dari tadi. Rupa-rupanya, lena dibuai
mimpi. Rena… Rena… entah-entah dah sampai ke Paris kot, tengah berseronok shoppingkat sana.”
Dr. Qasyiful merenung wajah cantik Erena. Senyuman nipis
masih lagi terukir di bibirnya. “Tak sampai hati pula nak kejut dia. Nyenyak
betul dia lena,” ucapnya lagi.
Dia menongkat dagu. Senyuman terukir di bibirnya. Ya
ALLAH… alangkah indahnya ciptaan-MU. Mata… muka… bibir… hidung… semuanya
terletak dengan begitu sempurna sekali, pujinya dalam hati. “Cantiknya kau,
Erena Amani.”
Sungguh dia tidak menyangka. Hubungan yang pada awalnya
tidak dipersetujui Erena, akhirnya berkembang hingga ke saat ini. Barangkali,
sudah tertulis dalam suratan takdir bahawa mereka memang telah dijodohkan
bersama.
Dia tersenyum. Ya ALLAH… sesungguhnya aku dah mula jatuh
sayang pada dia. Walaupun jarak umur kami berbeza, namun KAU tetap menyatukan
hubungan kami sebagai tunangan. Ya ALLAH… KAU satukanlah hubungan yang terbina
ini sebagai satu ikatan perkahwinan yang sah. KAU bukakanlah pintu hati Erena
untuk mencintai dan menerima aku dengan seadanya. Amin! Doanya di dalam hati
penuh berharap.
Tiba-tiba, Erena tersedar dari lenanya. Matanya
berkedip-kedip. Sebaik sahaja melihat Dr. Qasyiful yang sedang leka
merenungnya, dia membetulkan duduknya.
Wajah Erena merah.
Agak malu dengan tindakan encik tunangnya itu. “Err… awak buat apa ni, Qasy?”
tanyanya agak gugup.
Entah mengapa hatinya terasa berdebar. Ah, sudah! Stop it ok! Kau jangan nak buat hal,
Erena Amani! Ingat, Dr. Qasyiful adalah Dr.
serious.Jangan terfikir untuk jatuh cinta pada dia, Erena. Hatinya segera
memberi peringatan.
Dr. Qasyiful berdehem membetulkan duduknya. Wajahnya
bertukar serius. “Buat apa?” soalnya sedikit gugup, namun tetap cuba berlagak
selamba.
Erena mencebik. Dia menjeling tajam. “Yalah... awak
tenung saya semacam aje. Gaya macam nak telan saya hidup-hidup,” balasnya.
Tiba-tiba, mulut Erena ternganga luas. Dia terfikirkan
sesuatu. Pandangannya menikam wajah kacak encik tunangnya. “Haa… jangan-jangan,
awak nak….” tuduhnya yang bukan-bukan. Bola matanya dikecilkan. Mukanya
kelihatan serius. Siap menuding jari pada wajah Dr. Qasyiful lagi.
Dr. Qasyiful mendengus. “Awak jangan nak buat tuduhan
melulu, Erena. Saya tahu bezakan apa yang halal dan apa yang haram. Saya masih
waras lagi. Saya bukan macam lelaki lain, suka mengambil kesempatan ke atas
wanita. Jadi, awak tak perlu risau!”
Erena menghela nafas panjang. Agak lega apabila mendengar
jawapan itu. “Yalah tu? Manalah tahukan, kot-kot awak terfikir untuk…” Sengaja
dia mematikan ayatnya di situ sahaja. Mahu melihat reaksi encik tunangnya itu.
Dr. Qasyiful menggeleng. “Awak jangan risau, Erena. Saya
tahu batas-batas hubungan kita,” katanya tegas.
Erena tersenyum. Lega hatinya apabila mendengar jawapan
Dr. Qasyiful. Syukurlah…
Mata Erena meliar-liar, memandang suasana sekeliling.
“Kita kat mana ni, Qasy?” Matanya tertancap pada sebuah rumah separuh kayu dah
separuh batu. Ya ALLAH… cantiknya rumah ni, pujinya di dalam hati.
Dr. Qasyiful menguntum senyuman. “Kita dah sampai kampung
saya.”
Erena mengangguk. Ooo… dah sampai rupanya kampung mamat
serius 24 jam ni. Tulah Erena, sibuk sangat nak melayan mimpi bershopping kat Paris. Dah sampai pun,
kau tak sedar, omel hatinya. “Apa nama kampung ni?”
“Sungai Korok, Kedah,” jawab Dr. Qasyiful ringkas.
Hah? Sungai Korok? Erena tergelak sendirian. Geli hatinya
apabila mendengar nama kampung ini.
Kening Dr. Qasyiful terjungkit sebelah. “Kenapa awak
ketawa? Apa yang kelakar?” tanyanya hairan.
Erena tersenyum. “Kelakarlah nama kampung ni. Sungai
Korok? Tak komersial langsung nama kampung awak ni, Qasy. Kalau Sungai Lui ke…
Sungai Sarawak ke.. tak apalah juga. Ni, Sungai Korok?”
Dr. Qasyiful menggeleng. “Tok sah nak gelak sangat aih.
Memang la nama kampung ni Sungai Korok. Dah komersial sangatlah tu,” balas Dr.
Qasyiful dengan dialog utaranya.
Erena tercengang. Aik? Inilah kali pertama Dr. Qasyiful
berdialog Kedah dengannya. Habislah… tercenganglah kau lepas ni, Erena Amani.
Seisi rumah ini bercakap menggunakan bahasa utara. Haa… kenalah belajar bahasa
utaralah lepas ni. Eh, perlu ke aku belajar? Rasanya… tak perlu, kan? monolog
hatinya lagi.
“Dahlah, jom kita masuk ke dalam. Keluarga saya dah
tunggu tu,” ajak Dr. Qasyiful lalu dia membuka pintu kereta.
Erena mengangguk.
Boot kereta
dibuka. Dr. Qasyiful mengeluarkan begnya dan Erena. Lalu, dia melangkah masuk
ke dalam rumah.
Erena membuntuti langkah encik tunangnya itu dari
belakang. Dia mengeluh. Apakah yang bakal terjadi selepas ni, ya? Hmm….
keluhnya di dalam hati.
ERENA bersalaman dan
mencium tangan Hajah Kamariah sebagai tanda hormat. Tanpa diduga, Hajah
Kamariah menarik tubuh Erena ke dalam pelukannya.
Erena tergamam. Dia agak terkedu dengan tindakan itu.
“Mak cik… peluk saya?” Dia seakan tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku
sekarang. Aku bermimpikah?
Dia mendengus halus. Eh, kenapa tiba-tiba aje mak mamat
serius 24 jam ni peluk aku? Ah, sudah! Takkanlah awal-awal lagi hati mak dia
dah berkenan kat aku? Hisy… tak boleh jadi ni! Argh, hancuss pelan B aku! desis
hati Erena geram.
Hajah Kamariah menguntum senyuman manis. Dia menyentuh
lembut pipi Erena. “Mak cik seronok sangat, Amani. Akhirnya, Amani datang juga
ke teratak mak cik yang tidak seberapa ni.” Nada suaranya kedengaran gembira.
Erena tersenyum hambar. “Err… mestilah saya datang ke
rumah mak cik ni. Lagipun, mak cik kan… err, ibu Qasy.” Erk… Tak naklah aku cakap
yang mak cik ni ibu kepada tunang aku. Aku kan tak sukakan anak dia, gerutunya
dalam hati.
Kening Dr. Qasyiful terjungkit sebelah. Dia menghadiahkan
senyuman sinis buat tunangnya. Kenapa kau tak cakap aje yang mak aku ni bakal
mentua kau? Sejuk sikit hati aku ni bila
mendengarnya, sindirnya di dalam hati.
Erena menjeling geram. Senyum… senyum… mengutuk akulah
tu! gerutu hatinya geram. Dia memandang Hajah Kamariah. “Err… rumah mak cik ni cantik sangat. Damai aje rasanya.” Dia
sedikit gugup.
Erk? Alamak! Asal kau boleh berlakon baik depan Mak Cik
Kamariah ni? Mana pelan B kau, Erena? Ingat rancangan kau! Kau nak buat Mak Cik
Kamariah tak sukakan kau! Ingat! Hati Erena bermonolog lagi.
Ustaz Kamarul yang baru sahaja pulang dari surau
menguntum senyuman lebar. “Haa… kamu berdua dah sampai pun.” Tiba-tiba dia
bersuara, membuatkan seisi rumah mengalihkan pandangan ke arahnya.
Dr. Qasyiful tersenyum. “Ayah?” tegurnya sopan. Tangan
ayahnya dicapai lalu dia menyalami tangan ayahnya. “Ayah apa khabar? Sihat?”
Ustaz Kamarul menyentuh bahu anaknya. “Ayah sihat Qasy,
terlebih sihat.” Dia tersenyum.
Erena tersenyum hambar. “Pak cik sihat?”
Ustaz Kamarul tersenyum manis. “Alhamdulillah… sihat.
Amani sihat?” tegurnya.
Erena menguntum senyuman manis. “Err… alhamdulillah pak
cik, saya sihat.”
Sedang asyik berbual-bual sambil bergurau senda,
tiba-tiba kedengaran bunyi enjin kereta dari luar rumah.
“Assalamualaikum!” teriak seorang gadis dari luar.
Serentak itu, mereka menjawab serentak.
“Waalaikumussalam…”
Shukri dan seorang gadis melangkah masuk ke dalam rumah.
“Eh, akak dah sampai?” sapa gadis itu riang.
Erena tersenyum nipis. Dia memandang Dr. Qasyiful. “Siapa
ni?” tanyanya dengan menggunakan isyarat mulut.
Dr. Qasyiful tersenyum. “Ni adik saya, Diana. Dia masih
belajar lagi. Dia bersekolah di MRSM JB. Kebetulan cuti sekolah minggu ini. So,dia baliklah ke rumah,” jelasnya
panjang lebar.
Erena mengangguk tanda memahami penjelasan encik
tunangnya itu. Panjangnya jawapan dia. Sepatah aku tanya, sepuluh patah dia
jawab. Aik, sejak bila pula dia berubah? Selalunya, sepatah aku tanya, sepatah
jugalah dia jawab. Dia buang tabiat ke hari ni? Hisy, pelik! gerutu hatinya
hairan.
Diana menguntum senyuman lebar. Dia menyuakan tangannya
untuk bersalaman dengan Erena. “Diana, akak boleh panggil Ana aje.”
Erena membalas senyuman Diana. “Erena Amani.” Lalu dia
membalas salam Diana.
“Amani, saya abang sulung Qasy dan Diana, Adam Shukri.
Panggil aje Abang Shuk,” celah Shukri pula.
Erena tersenyum nipis, sebagai tanda perkenalan.
“Eh, jomlah kita ke dapur. Mesti Qasy dengan Amani dah
lapar, kan? Jomlah! Mak dah masak makanan kegemaran Qasy, ayam masak lemak cili
api.” Tiba-tiba Hajah Kamariah mencelah.
Senyuman Dr. Qasyiful melebar sebaik sahaja mendengar
kata-kata emaknya. “Ayam masak lemak cili api? Hmm… sedapnya. Dah lama Qasy tak
merasa masakan mak. Mesti sedap sehingga menjilat jari.”
Kening Erena terjungkit sebelah. Oh… makanan kegemarannya
dia, ayam masak lemak cili api rupanya. Patutlah kat RnR Tapah tadi, dia makan
nasi dengan lauk tu, getus hatinya sendirian. Eh? Kalau itu makanan kegemaran
dia pun, kau peduli apa? Tak ada kena-mengena dengan kau, kan? Cepat-cepat
hatinya tersedar.
Lalu, mereka sekeluarga melangkah menuju ke dapur.
Tinggal Dr. Qasyiful dan Erena sendirian di situ.
Erena bersedia untuk melangkah ke dapur, namun langkahnya
mati apabila terdengar namanya dipanggil. Dia berpaling, memandang wajah encik
tunangnya. “Apa dia?” tanyanya kasar. Tetap dengan sikap dinginnya.
Dr. Qasyiful menayang memek muka serius. “Apa yang ada di
dalam fikiran awak sekalipun, jangan terfikir untuk melaksanakannya. Saya tahu,
awak ada merancang sesuatu, Erena Amani.”
Kening Erena terjungkit sebelah. Bibirnya terukir
senyuman sinis. “Apa maksud awak?” duganya. Siap menayang muka selamba badak
lagi.
Dr. Qasyiful tersenyum sinis. “You know what I mean, Rena,”sindirnya.
Erena semakin bengang. “Kalau saya buat juga, apa yang
awak akan lakukan pada saya?” duganya sebelum sempat Dr. Qasyiful melangkah ke
dapur.
Langkah Dr. Qasyiful mati. Bibirnya terukir senyuman
sinis. “Takkanlah awak nak malukan Uncle Harris dan Auntie Katrina, kan? Takkan
awak nak jatuhkan maruah awak depan keluarga saya, kan? Thinking about that, Rena.”Dia segera melangkah pergi meninggalkan
Erena di situ.
Erena menghentak kaki. “Hisy, macam tahu-tahu aje
rancangan aku. Bencilah!” bentaknya. Dengan wajah tidak puas hati, dia berjalan
menuju ke arah dapur.