Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 27

BAB 27: Maghrib Sebagai Pelajar


Usai sahaja Rais,Daniel dan Jai solat Maghrib berjemaah di surau berdekatan asrama, kelihatannya siswa dan siswi masing-masing duduk membuat kerja sendiri untuk menanti penceramah buat kuliah Maghrib. Ada yang membelek telefon, bersembang, pergi tandas, bermain PUBG dan ada yang langsung keluar dari surau untuk pulang ke asrama. Suasana surau agak gamat.


Satu bunyi desingan mic kedengaran, “Subhanallah subhanallah test test mic satu dua tiga…”. Zali kelihatannya sedang menguji mic. Pelajar-pelajar terdiam dan melihat ke depan.


“Okay subhanallah alhamdulillah. Emm muslimin dan muslimat harap dapat diam dan memberi sepenuh perhatian sewaktu ustaz beri ceramah nanti. Kumpul sebanyak ilmu yang boleh didapati dari ceramah hari ini. Mic juga akan di pas-paskan kalau pelajar-pelajar semua ada yang nak bertanyakan soalan kepada ustaz. Amat diharapkan juga pelajar-pelajar kawal suara masing-masing. Jangan bising. Hormat pada penceramah. Beliau akan sampai lagi beberapa minit”,sambung Zali lagi panjang lebar.


“Zali handle ke ceramah hari ini? Tak tahu pula aku”, tanya Jai kepada Rais.


“Hah? Hah haah hari ini team Jai”, jawab Rais sambil matanya melihat-lihat ke belakang seakan mencari kelibat seseorang.


Apabila melihat gaya Rais sebegitu, Jai mengeluh dan tersenyum lalu menepuk peha Rais,“menyempat kau nak mengusya orang time time macam ni!”.


Rais terkejut dengan tepukan di peha dan cepat-cepat cuba berselindung, “usya apa? Tak ada apa”. Wajah Rais seakan-akan meng-control macho. Rais juga berwajah agak gembira, mungkin ada sesuatu yang menggembirakan hatinya ataupun orang yang ingin dipandangnya turut memandangnya juga. Siapa tahu?


Jai ketawa kecilmelihat gaya Rais lalu berkata, “tak reti menipu betul kau ni…”.


Wajah Rais yang asalnya mengawal macho kembali kepada kebiasaannya dan sedikit masam lalu Rais berbunyi, “cett!... baru saja nak fe feeling ke… menganggu je kau ni”.


Jai ketawa kecil lagi. Pasti Rais memandang gadis kesukaannya lagi. Fikir Jai. Malas Jai hendak memikirkan jiwa jiwang Rais lalu dia kembali bertanya, “giliran kau bila? Handle handle ceramah ni?”.


“Ohh aku tak handle urusan jemputan penceramah ni…aku cuma uruskan keceriaan surau saja”, jawab Rais.


Melihatkan Jai dan Rais berbual kecil, Daniel hanya diam duduk bersebelahan dengan mereka. Diam dan diam. Ada beberapa perkara yang difikirkannya. Telefon juga asyik dibuka lalu ditutup seakan menanti sesuatu. Lalu dia kembali termenung memandang hadapan dan di luar tanpa menyedari ada yang memerhatinya dari belakang.


Walaupun ada pelbagai bunyi di situ seperti mengaji, bisikan perbualan dan sebagainya, Daniel terasa kosong. Perasaannya seakan mengikuti apa saja yang terjadi di surau. Daniel tidak ada rasa nak bersembang, bermain game di telefon atau lain-lain. Daniel mengeluh. Dia juga tak tahu apa yang dirinya inginkan sebenarnya sekarang. Wajah Nadirah ada sedikit terbayang tapi Daniel hanya memandang bawah sahaja. Dia sedar yang dia membuat keputusan untuk mengikut cadangan Rais, jadi jiwa kelelakiannya tidak seharusnya teringatkan isteri. You bear what you decide! Daniel hanya diam sambil bermain jari kakinya.


“Hoi! Sunyi ke di situ?”, usik Jai.

Daniel memandang Jai dan masih lagi dalam keadaan terawang-awang, “hah apa?”.

“Aku tanya asal kau macam lonely ni? Hah! Kenapa? Tunggu seseorang call ke?”, tanya Jai dengan sengihan.


“Tch…”, Daniel tersenyum kecil memandang tepi. Tahu-tahu sahaja Jai mengorek isi hatinya yang paling dalam. Fikirannya yang terfikirkan Nadirah dan menanti Nadirah bertanya di mana dia. Kenapa tak ada dekat rumah? Daniel agak berharap cadangan Rais berjaya. Perkara itu seakan dapat dibaca oleh Jai.


Tapi Daniel sendiri cuba menolak perasaan itu. Dia memaksa jiwa kelelakiannya untuk menahan diri dari memikirkan tentang Nadirah. Daniel tidak mahu kalah dengan permainan hati. Dia yang membuat keputusan untuk berjauhan daripada Nadirah. Mengapa dia pula yang semakin memikirkan Nadirah? Sepatutnya Nadirah tertanya-tanya kenapa dirinya masih tidak balik rumah. Itu semua sebenarnya mengganggu Daniel tetapi Daniel tidak mahu mengaku.


Apabila Jai melihat wajah Daniel yang seakan sedang berfikir sesuatu dengan serius, Jai tersenyum dan menepuk bahu Daniel seraya berkata, “dah dah lah tu Danny. Cuba relaks… anggap hari ini hari cuti kau. Don’t think of anything… tonight you are just a youngster and need to do a lot of assignments”.


Daniel memandang Jai dengan senyuman dan mengangguk. Setelah melihat reaksi Daniel, Jai tahu bukan ucapan itu yang dinantikan oleh Daniel. Jai tersenyum mengeluh.


“Pergi sajalah call isteri kau kalau susah hati… tak payah nak ikutkan sangat perasaan tu… mengalahlah pada diri. Beri peluang pada hati kau. Just call! Simple as ABC”,perlahan kata Jai kepada Daniel. Daniel terdiam apabila Jai berkata demikian.


“Kau bisik apa dekat Danny?”, tanya Rais kepada Jai.

“Tak ada apalah…aku cuma beritahu Danny yang surau ni rumah ibadat. Sepatutnya surau ni tempat untuk ingat tuhan bukan ingatkan orang lain”, sengih saja Jai kepada Rais.


Daniel melirikkan matanya ke arah Jai. Sengihan terukir di bibir Daniel. Sememangnya kata-kata yang menusuk hati. Daniel tahu Jai bergurau.


“Ingat orang? Apa ni? Aku tak fahamlah!”, Rais mengerutkan kening.


Daniel mula rasa terhibur dengan situasi itu. Lebih-lebih lagi wajah Rais kebingungan. Jai kembali memandang Daniel dengan senyuman.


Daniel ketawa kecil lalu menepuk Jai dan Rais perlahan seraya berkata, “aku pergi belakang sekejap”.


“Alah tak payah fahamlah… ingat assignment assignment”,kata Jai kepada Rais mengubah topik. Dia malas hendak menjawab persoalan kepada kebingungan Rais.


“Ha yelah kalau begitu”, Rais juga malas hendak mengambil tahu dengan lebih lanjut. Fikirannya lebih mengutamakan hal gadis idamannya dan dia kembali melihat-lihat belakang. Maklumlah jiwa bujang muda masih membara dan menggelodak. Rasa bahagia jika dapat selalu melihat orang yang kita suka.


Mata Rais tertancap kepada Lina yang berada di bahagian belakang saf perempuan. Namun, Rais dapat melihat pandangan pemerhatian Lina ke arah tempat lain. Rais tertanya-tanya dan turut melihat ke arah kawasan yang dipandang Lina. Rais terkesima. Lina sedang memandang Daniel yang sedang berjalan untuk keluar dari surau. Rais memandang Lina kembali dan kemudian memandang Daniel, berkali-kali. Rais dapat melihat pandangan Lina yang tidak putus sehinggalah Daniel keluar dari surau dan hilang dari bayangan mata. Apabila melihatkan keadaan sedemikian, Rais berwajah sedih. Jadi dari tadi Lina hanya melihat Daniel? Bukan mencari kelibat dirinya?


Dia sudah tidak memandang Lina dan menundukkan kepala sambil bermain jari kaki. Fikirannya memikirkan sesuatu. Mungkin Lina memang betul suka kepada Daniel?


Daniel di luar surau sambil membelek telefonnya. Pantas dia menelefon Nadirah dengan gaya berdiri sambil bercekak pinggang sebelah tangan.


Beberapa saat Nadirah menjawab panggilan.


“Assalamualaikum”, Daniel memulakan perbualan.


“Ya waalaikumsalam”.


“Awak dekat mana?”.


“Saya masih dalam perjalanan nak balik ni. Jalam jam hari ini. Jadi masih dalam kereta. Masa isya’ baru sampai kot. Insyaallah”, jawab Nadirah.


“Ooooh”, panjang anggukan Daniel. Dia terasa sedikit lega. Dia menyangka Nadirah tidak menghubunginya kerana malas hendak ambil tahu tentang dirinya. Daniel juga membayangkan Nadirah sudah pulang ke rumah dan tidak risau kenapa dirinya masih tidak pulang. Adakah Nadirah tidak mengambil berat tentangnya? Dan tidak ada rasa apa-apa jika suami masih tidak pulang ke rumah tanpa khabar.


Rupa-rupanya semua tanggapannya salah. Nadirah bukan tidak ambil berat. Dia hanya belum sampai rumah lagi. Jadi Nadirah tidak tahu yang dirinya tiada di rumah.


“Emm saya tak balik hari ini”,kata Daniel dengan nada tegas dibuat-buat.


Nadirah terdiam sebentar.


“Oh… emm kenapa awak tak balik rumah? Awak pergi mana?”,Nadirah tertanya-tanya. Sesuatu membelenggu fikirannya apabila Daniel berkata demikian. Maklumlah mereka tidaklah dalam keadaan sangat baik sekarang dan baru sahaja bertikam lidah beberapa hari lalu. Malah, perbualan mereka hanya setakat cakap A dan balas A sahaja. Tiada panjang lebar seperti sebelum-sebelumnya. Jiwa Nadirah agak terganggu.


“Saya ada hal”, kata Daniel lagi.


Nadirah terdiam lagi. Jawapan Daniel seakan dingin. Jawapan Daniel juga tidak memuaskan hatinya. Mungkinkah Daniel masih terasa hati dengannya? Nadirah juga tidak tahu hendak bereaksi apa.


“Em okay”, balas Nadirah dengan suara kecil. Ada sedikit kesedihan terselit.


“Okay assalamualaikum”, kata Daniel.


“Waalaikumsalam”, balas Nadirah. Daniel pantas mematikan panggilan. Nadirah yang sedang memegang telefon terkesima apabila suaminya pantas sahaja mematikan panggilan.

‘Kejap nya dah matikan telefon dah’, getus hati Nadirah. Nadirah meletakkan telefon di tepi dan kembali fokus di jalan raya saatlampu hijau kelihatan.


Yes!! You did it!”, senyum Daniel. Tangannya juga membuat penumbuk dan digerakkan kedepan seakan menang sesuatu pingat. Hatinya mula terasa lega apabila dapat mendengar suara isteri. Lalu dia kembali masuk ke dalam surau.


“Hari ini ustaz nak ceramah sesuatu yang sinonimdengan pelajar-pelajar semua. Tentang hubungan lelaki dan perempuan. Kalau pelajar kos agama tahulah kan… ikhtilat orang panggil. Sebagai seorang yang difitrahkan ada perasaan cinta, sayang itu adalah sesuatu yang sangat normal.Tapi cara kita kendalikan perasaan kita sangat penting sebab pelajar-pelajar masih muda, ada perasaan yang melonjak-lonjak nak rasai pengalaman macam tu. Ustaz nak ingatkan yang pelajar-pelajar masih teruna-teruna dan anak-anak dara.Jadi kejarlah cinta Allah terlebih dahulu. Carilah cinta sesama manusia itu secara halal….. jangan ada hubungan yang tidak jelas macam couple couple contohnya begitu….”, ceramah ustaz lagi panjang lebar.


Topik mengenai perasaan cinta sememangnya sangat digemari belia di dalam surau itu. Rata-ratanya diam dan mengambil perhatian sepenuhnya. Rais dan Jai tidak berkedip melihat penceramah. Malah mereka turut bersungguh-sungguh mencatat di buku nota. Daniel tersengih melihat gaya rakannya.


Daniel sudah semakin tidak berminat dengan ceramah yang disampaikan memandangkan isinya untuk orang yang masih bujang. Sementara dirinya telah berkahwin dan sudah biasa biasa dalam bab bab perasaan. Perasaannya menggelodak dasyat sewaktu sekolah dahulu, sewaktu masih meminati Nadirah. Sekarang dah dapat, dia sudah lega. Walaupun begitu, dia hanya mendengar sahajalah ceramah yang disampaikan ustaz berkenaan.


Setelah selesai ceramah dan solat isya’ berjemaah, Jai dan Daniel bangun untuk pulang ke asrama.


“Kau tak balik Rais?”, tanya Jai.


“Aku ada perjumpaan surau…”, jawab Rais sambil mencuri-curi pandang Daniel.


“Ohh huhu good luck oii!”, usik Jai yang tahu Rais pasti akan berjumpa dengan gadis idaman.


“Hah? Ohhh oh! Hahaha hah! Rais ingat pesan ustaz tadi…happy happy juga tapi kawal ya”,usik Daniel yang sudah memahami situasi. Maklumlah Rais dan gadis idaman itu sama bahagian organisasi.


Rais hanya mengangguk memandang Daniel.


Bye kitorang balik bilik dulu”, kata Daniel dan Jai lalu beredar pergi. Rais masih berdiri di situ, memerhatikan Daniel yang beredar pergi.


“Dah jomlah Rais”, Zali pula mengajak Rais.


Apabila tersedarkan kewujudan Zali, Rais pantas membalas. “Hah ya ya jom”.



Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.