BAB 21: Kehidupan Pelajar III
Fauzi asyik memerhati Laila dari jauh. Perasaannya terhadap gadis itu makin kuat tetapi terpaksa ditahan dek kerana masa sudah hampir dengan peperiksaan akhir. Baru sahaja hendak kembali memandang gadis itu, Laila sudah hilang. Fauzi bangun dari kerusinya. Dia melihat keadaan perpustakaan di sekelilingnya. Laila hilang di pandangan matanya.
Sementara Laila menyorok di belakang almari buku melihat Fauzi yang sedang tercari-cari sesuatu.
Mungkinkah dirinya? Fikir Laila.
Setibanya di hostel, Laila rebah di katil. Fikirannya terbayang akan mata Fauzi yang sering memerhatikannya. Laila berkerut lalu menggeleng-geleng. Dia asyik memikirkan hal itu dan memerlukan seseorang sebagai tempat luahan.
“Hana…”,kata Laila.
Hana yang sedang membelek telefon terhenti seketika memandang rakannya yang sedang berwajah kegusaran.
“Kenapa ni?”, tanya Hana.
“Kau tahu kan Fauzi?”.
“Hah tahu sangat. Kenapa?”, Hana semakin tertarik untuk mendengar.
“Aku rasa tak selesalah… aku rasa dia macam asyik perhatikan aku. Aku tak tahulah aku yang perasan ke? Tapi aku dapat rasa tau”.
“Hmmni mesti kes hari tu”, keluh Hana.
“Kes apa?!”, Laila menjadi tertarik.
“Ohh aku tak cerita dekat kau sebab aku terlupa… Tapi benda ni dah lama. Ingat tak masa yang kau kata kau nampak dia hantar perempuan ke KLIA tu?”.
“Hah kenapa?”, tanya Laila.
“Dia kata perempuan tu keluarga ipar dia… tapi cara dia jawab tu macam entahlah?Hahaha”, Hana tiba-tiba ketawa.
“Kenapa? Cerita!”.
“Tak adalah… aku beritahu Fauzi yang kau cakap kau nampak dia hantar kekasih.Lepastu dia macam resah semacam dan cakap dengan aku bersungguh-sungguh. Dia nafikan gila yang perempuan itu kekasih dia. Hahaha aku rasa dia syok dekat kaulah Laila…”.
Laila terdiam.
Sejak dari itu, dia juga memerhatikan Fauzi tetapi sejak akhir-akhir ini Fauzi juga sudah tidak memandangnya.
**
“Betullah macam itu Fauzi. Bila kita suka seseorang, jangan pandang lama-lama. Nanti syaitan tembak hati kau.Turunkan pandangan. Itukan ajaran nabi”, kata rakan Fauzi yang merupakan seorang ahli kelab dakwah.
“Hmm betullah tu”, kata Fauzi perlahan.
Memang lumrah seorang lelaki yang masih bujang, apabila masuk ke tempat belajar. Pasti akan ada yang menarik minat mereka. Hanya sendiri yang dapat mengawal hati masing-masing.
Minggu peperiksaan sudah bermula. Pelajar tahun akhir sememangnya berusaha bersungguh-sungguh agar tidak mengulang. Fauzi juga tidak lepas dari hal yang sama. Masing-masing berusaha yang terbaik.
“Assalamualaikum kak? Akak sihat?”,Fauzi menelefon Nadirah.
“Alhamdulillah sihat… Fauzi periksa okay?”, tanya Nadirah.
“Setakat ni okay… lusa kertas akhir.Akak kerja macam mana? Makin sibuk ke?”, kata Fauzi.
“Hmm nampaknya macam itulah. Makin sibuk tapi alhamdulillah… tuhan lapangkan masa yang ada”.
“Ohh Danny? Dia okay?”, tanya Fauzi.
“Okay je… nak final juga dia tu. Sekejap saja dah nak second year. Nak cakap dengan Danny?”.
“Ohh tak apa”, belum sempat Fauzimenghabiskan perbualan Daniel menjawab.
“Assalamualaikum abang ipar!...Macam mana? Sihat?”, Daniel teruja.
Apabila mendengarkan suara Danielyang teruja bercakap dengannya, Fauzi juga menjadi seronok untuk bersembang. Memandangkan hari kertas akhirnya hamper menjelang tiba, dia ingin berbicara dengan seseorang yang boleh membuatkannya hilang rasa debaran.
Pada hari lusanya, peperiksaan Fauzi sudah tamat. Masing-masing keluar dari dewan peperiksaan. Kelihatannya ramai yang bergambar memandangkan peperiksaan tahun akhir sudah tamat.
Baru sahaja berjalan beberapa langkah, matanya tertancap pada Laila yang sedang berdiri. Laila juga memandangnya.
Rakan-rakan Fauzi yang mengetahui rahsia Fauzi menolak-nolak Fauzi ke arah Laila.
“Laila… Fauzi nak cakap sikit”, kata seorang lagi rakannya.
Laila memandang Fauzi seraya bertanya, “ya?”.
Fauzi tergagap. Dia tersengih dan ketwa kecil.
“Boleh tak saya nak kawan denganLaila?”.
Laila mengerutkan keningnya lalu berkata, “bukan ke kita dah kira kawan? Kawan sekelas… Kawan satu kos”.
“Emm…”, Fauzi sudah mati akal.
“Hahaha….”, Laila ketawa kecil.
‘Macam budak darjah satu saja aku ni… Nak minta izin berkawan bagai’, getus hati Fauzi tersengih memandang Laila sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
**
Daniel sedang asyik menonton televisyen sambil mengunyah keropok disertai dengan gelak tawanya memandangkan cerita itu lucu. Tiba-tiba Nadirah berdiri di hadapan televisyen. Daniel menggerakkan kepalanya untuk melihat televisyen dan mengabaikan Nadirah yang sedang berdiri. Daniel sememangnya khusyuk.
“Danny… nak cakap sikit boleh?”,kata Nadirah memandang suaminya yang bersenang lenang.
“Sekarang ke?”, tanya Daniel dengan wajah yang hampa.
“Sekarang!”, kata Nadirah sambil merenung mata Daniel.
“Hmmm… okaylah”, kata Daniel lalu menutup televisyen dengan alat kawalan yang dipegangnya.
Nadirah kelihatannya mempunyai sehelai kertas dan beberapa batang pen.
Daniel tertanya-tanya.
“Saya nak tanya awak beberapa soalan”, kata Nadirah.
Daniel hanya mengangguk.
“Ini rumah saya… dan hampir kesemuanya barang saya. Betul tak?”, tanya Nadirah.
“Ya… Cuma saya ada topup kan barang dapur dan barang-barang lain juga”, Daniel mula takut. Ada sesuatu yang Nadirah tidak puas hati kah?
“Itu saya tahu. Maksud saya barang-barang besar... macam televisyen, mesin basuh semua tu”.
“Ya betul… kenapa? Nad ada yang Danny nak belikan lagi apa-apa? Beritahu Danny. Danny akan belikan”, Daniel semakin takut. Adakah Nadirah hendak mengungkit isu nafkah? Maklumlah, Nadirah lebih bergaji dari dirinya.
Bukannya dia tidak mahu memberi lebih, cuma Nadirah sahaja yang tidak pernah meminta apa-apa. Sebagai lelaki, dia juga tidak berapa mahir hal-hal rumah. Dia hanya membeli barang untuk rumah jika ada yang sudah habis tatkala dia hendak gunakan sahaja. Lagipula, mereka ada perjanjian tentang isu kewangan sejak awal perkahwinan lagi. Nadirah pernah beritahu yang dia tidak kisah beberapa pun yang Daniel hendak memberi, asalkan Mak Esah lebih diutamakan.
“Bukan… saya nak bincang tentang kerja rumah”, senyum Nadirah.
“Kerja rumah?”, Daniel keliru.
“Ya isu kerja rumah”.
Nadirah mula memberitahu tentang jadual kerja rumah yang akan mula dibahagikan. Hal ini kerana, Nadirah sudah letih untuk melakukan semuanya. Kerjanya berlambak di pejabat. Dia amat mengharapkan bantuan suaminya untuk menguruskan sedikit hal rumah memandangkan Daniel masih tidak bekerja tetap. Mereka mula berbincang. Daniel tidak banyak membantah. Dia hanya ikut sahaja keputusan Nadirah. Walaupun begitu, dia juga sebenarnya tidak begitu reti untuk menguruskan hal rumah. Namun, jika dibantah keputusan Nadirah nanti lain pula jadinya. Biar dia setuju dahulu. Buat atau tidak buat, belakang kira. Fikir Daniel.
“Jadi macam ni ya… Saya buat kerja rumah pagi dan terus siapkan makanan tengahari kalau Danny balik kelas awal. Sabtu dan Ahad pun saya buat juga cuma kalau saya minta tolong Danny kena tolong ya. Tugasan untuk Danny cuma uruskan rumah dari petang hingga malam.Kalau penat petang baru balik kelas, setidaknya malam”, terang Nadirah.
Daniel hanya diam.
“Atau Daniel nak buat pagi-pagi?”,tanya Nadirah.
“Hah yang mula-mula tadi… yang malam tu”, pantas Daniel menjawab.
‘Memang taklah nak buat kerja rumah pagi-pagi’, getus hati Daniel.
**
“Jadi kau ikut jugalah cadangan aku yang buat jadual tu?”, sengih Liza.
“Ya… Ini bagi membuang perasaan geram menyampah aku. Sebelum ni kalau aku geram rumah bersepah, aku tak boleh nak salahkan suami aku 100 peratus sebab dia tu memang jenis kena ketuk dulu. Sekarang… kalau bersepah juga rumah, memang dialah yang pemalas. Mana tidaknya, jadual dah buatkan. Tinggal ikut saja. Lagipun aku terfikir. Macam mana mak mertua aku jaga anak lelaki dia ni? Takkanlah Daniel tak ada tolong mak dia buat kerja rumah langsung?”, kata Nadirah.
“Hmm… kau tak boleh samakan diri kau dengan mak mertua kau. Kau wanita bekerjaya. Mak mertua kau suri rumah sepenuh masa dan hasil dapatan tanah arwah ayah mertua kau cukup nak sara hidup dia. Jadi, Daniel tolong ke tak tolong ke buat kerja rumah... tak ada apa kesan pun dekat mak mertua kau… sebab itu memang kerja penuh dia. Lainlah macam kau… kau kan bekerja makan gaji. Penat kerja bawah orang, balik rumah lagi nak kena buat kerja rumah… Memang penat. Itu kalau suami yang tak memahami, dia paksa-paksa kita buat semua… memang tahap penat boleh pendek umur jawabnya”, asyik Liza memberi pandangan.
“Daniel ada suruh kau jadi suri rumah sepenuh masa?”, tanya Liza.
“Ada masa awal-awal kahwin dulu…tapi aku tak nak”, kata Nadirah.
“Kenapa? Kalau kau jadi suri rumah sepenuh masa… tak adalah membebankan macam sekarang nak fikir pasal tugasan rumah. Setidaknya, boleh rehat-rehat di rumah kalau habis buat kerja rumah tu”,kata Liza.
“Hmm susah aku nak terangkan. Masa awal-awal tu Daniel memang bersungguh-sungguh kerja… rupa-rupanya motif dia nak suruh aku berhenti supaya dia dapat tanggung aku secara full. Tapi pekerjaan dia buat aku tak yakin…”.
“Tak yakin?”, tanya Liza.
“Yalah pekerjaan dia ni tak berapa secure tau. Gaji lepasan SPM kan sikit…takkanlah dia kerja tak sampai setahun, aku kena terus berhenti. Setidaknya bagi stabil dulu, bagilah aku kerja lagi 3 ke 4 tahun. Andai kata masa kecemasan masalah kewangan, setidaknya aku ada boleh tolong. Tak adalah nak mengharapkan gaji dia saja”.
“Ohh”, angguk Liza.
“Sebenarnya banyak faktor lainlah Liza…”, sambung Nadirah.
Liza mendengar.
“Aku ada janji dengan kakak Danny, si Sarah untuk tengokkan mak dia. Yalah aku pun tak ada masalah dengan hal itu. Sementara aku kerja ni… aku harap dia boleh sumbang untuk mak dia sepenuhnya. Aku tak nak bulat-bulat ambil duit gaji dia. Aku tahu mak dia tak perlukan duit sebab dah ada harta peninggalan kan… tapi itulah sebagai anak, aku ada perasaan nak menyumbang untuk orang tua tu… Kau faham tak? Jadi aku tak naklah… aku jadi penghalang untuk dia menyumbang dekat mak dia”.
“Lagipun… aku suka dengan kerja aku yang sekarang. Penat-penat dapat dekan masa belajar dulu takkanlah akhirnya jadi suri rumah saja? Penat mak ayah aku hantar belajar. Kalau Daniel nak juga aku jadi suri rumah… dia kena bayar segala kos pengajian aku dari kecil sampai besar dekat mak ayah aku. Barulah aku dengan rela hatinya jadi suri rumah”,sengih Nadirah.
“Ohh macam itu ya? Hahaha tak terfikir pula aku”, kata Liza.
“Yalah… walaupun orang perempuan ni tanggungjawabnya suami, jasa ibu bapa jangan dilupa. Sementara kita wanita bekerja, memberilah juga pada orang tua kita”, senyum Nadirah.