BAB 25: Jadual Rumah Tangga III
Sejak akhir-akhir ini, Nadirah dapat memerhatikan hasil kerja rumah Daniel yang sudah semakin menurun efisiennya. Pinggan mangkuk yang dibasuh tidak terlalu bersih sehingga menyebabkan Nadirah terpaksa membasuhnya kembali. Ada juga ditinggalkan sedikit pinggan mangkuk yang tidak berbasuh. Baju yang diangkat dicampurkan sahaja dengan baju yang masih lembap. Nadirah berkerut. Dia hendak menegur, tetapi hal kerja rumah pun bukanlah sesuatu yang besar.
‘Orang lelaki buat kerja rumah… biasalah lack dekat mana-mana’, bisik hati Nadirah.
‘Asalkan mereka ada buat kerja rumah sikit-sikit pun jadilah’, bisik hatinya lagi.
Nadirah menghela nafas panjang. Jiwanya berkata ‘ya! Benda kecil je ni… biar sajalah’.
Setelah seminggu lebih, fikiran Nadirah jadi tidak keruan. Daniel sudah tidak buat apa-apa selama 5 hari. Dua tiga hari boleh lagi Nadirah bertimbang rasa, tetapi 5 hari?!
Nadirah yang baru pulang mengeluh apabila melihat singki yang bertimbun dengan periuk tak dibasuh. Kain baju yang disidai diluar tidak diambil. Pinggan mangkuk juga berlambak di singki tidak di basuh. Cawan-cawan juga banyak di atas meja ruang tamu dan meja makan. Dia menggeleng. Daniel kelihatan tidur nyenyak lagi di sofa dengan kopiah menutup wajahnya.
‘Berapa banyak kali Danny ni minum asyik nak ambil cawan baru?’, Nadirah panas hati.
Sudah 4 hari berturut-turut dia lakukan kerja rumah dari pagi sampai malam. Takkanlah hari ini pun sama?!
Nadirah sememangnya sangat letih pada hari itu. Memandangkan Daniel sudah tidur, dia pun malas hendak mengejutkan suaminya semata-mata untuk menegur soal kerja rumah. Malah dia juga tidak rasa hendak mengutip baju di luar rumah mahupun membasuh pinggan ataupun mengutip cawan-cawan Daniel. Hari ini dia mahu tenang sahaja. Esok-esok sahajalah dia mengingatkan suaminya. Rancangannya hendak berehat sebentar, membersihkan diri, solat Isya’ lalu tidur. Biarlah baju yang disidai diluar tidak diambil. Esok baju-baju itu akan dibasuh sekali lagi. Hari pun sudah malam. Pasti kain-kain baju menjadi sejuk kembali. Nadirah juga sudah malas hendak berfikir.
Setelah baring selama beberapa minit, Nadirah bersiap masuk ke tandas. Satu bau ‘semerbak’ menusuk lubang hidungnya. Keningnya mula berkerut. Matanya dikecilkan. Nadirah memerhati tandas yang dimasukinya, kot-kot ada sesuatu kotoran di lantai. Tapi tak ada pun. Nadirah membuka mangkuk tandas. Nadirah terkesima. Perasaan geram amarah menyelubungi diri.
“Arghh!...Daniel!...”, geram Nadirah. Dia mengeluh.
‘What the heck is wrong with that guy?!! Sisa makan sendiri tidak dibasuhnya. Baju-baju di ampaian pun langsung dibiar sejuk diluar sampai malam. Tak ada nak tolong ambilkan pun. Takkanlah sisa buang air besar sendiri pun nak aku flush kan?!!’,getus hati Nadirah yang sedang marah.
Malas hendak pening-pening stress kepala, Nadirah mengambil botol berisi sabun mandian lalu ditekannya berkali-kali ke dalam lubang jamban. Dia juga merengus sewaktu memicit-micit botol sabun mandian berkenaan. Setelah itu, Nadirah langsung menarik flush jamban dengan perasaan geram. Maka surutlah segala sisa kumbahan yang ada di situ.
Usai membersihkan diri, Nadirah langsung tidur di katil. Tidur dalam keadaan tidak puas hati. Sememangnya pengakhiran hari yang tidak menyenangkan.
**
Daniel terjaga dari tidurnya. Dia menggosok-gosok matanya lalu menggeliat sedikit. Dia melihat jam di dinding ruang tamu.
6.30 a.m.
‘Eh? Nadirah tak kejut aku pun suruh tidur bilik…’, getus hati Daniel. Dia melihat sekeliling ruang tamu yang masih gelap. Namun, bilik dobi di belakang sudah menyala lampunya. Mungkin Nadirah sedang menggosok baju untuk pergi ke kerja. Fikir Daniel. Malas hendak memikirkan kenapa Nadirah tidak mengejutnya, Daniel langsung bangun dan naik ke bilik. Lalu dia mengambil air wudhu’ dan menunaikan Solat Subuh.
Sepanjang Daniel bersiap untuk ke kuliah, Nadirah tidak ada menegurnya langsung.
Baru bangun ke?
Nak minum air apa?
Kenapa tidur mati semalam?
Atau soalan-soalan lain yang boleh sahaja menjadi permulaan perbualan mereka pada pagi itu. Malah Daniel dapat melihat wajah Nadirah yang keningnya asyik berkerut sahaja, seakan sedang memendam sesuatu. Mungkinkah mood baru bangun pagi belum hilang? Daniel juga tidak mahu bertanya kerana takut untuk mengetahui jika mood swing Nadirah sebenarnya berpunca daripadanya. Maklumlah dia sedar sahaja yang dia sudah lama tak membuat kerja rumah. Perasaan malasnya memang menyelubungi dirinya sekarang. Suruhlah macam mana pun, Daniel tidak rajin untuk melakukannya sekarang. Fikir perasaannya.
Seperti biasa,Daniel bersarapan air teh o panas dan mencicah roti. Nadirah pula sibuk menyusun pinggan mangkuk dari almari pengering ke kabinet biasa.
Suasana senyap. Hanya bunyi-bunyi pinggan mangkuk dialihkan saja kedengaran. Itupun bunyinya keras, seakan sengaja dihentak-hentak Nadirah dengan perasaan geram. Daniel sudah tidak sedap dengan situasi itu. Dia lantas bangun dari kerusi.
“Emm saya gerak kuliah dulu ya sayang?”, kata Daniel lalu melangkah pergi.
Nadirah berpaling dari kerjanya, “Kejap Danny…”.
Langkah Daniel juga terhenti. Dia hanya berfikiran baik-baik sahaja, ‘mungkinkah Nadirah mahu beri ciuman di pipi seperti biasanya?’. Daniel berpaling. Dia hanya diam menanti isterinya.
“Kenapa Danny sejak akhir-akhir ni tak buat housechores duty yang kita dah sepakat? Saya ni dah berapa hari berturut-turut kemas rumah dari pagi sampai malam. Basuh pinggan sisa makanan awak… angkat baju yang dah sejuk dekat ampaian tu. Tapi malam tadi saya dah tak boleh tahan tau! Saya penat kerja… saya balik tengok baju masih tidak diangkat, cawan-cawan bersepah merata-rata. Sisa makanan awak dekat singki berlonggok tak basuh! Itu saya dah malas nak fikir dah! Tapi yang buat saya lagi geramnya bila sisa kumbahan awak dekat jamban pun nak saya flush kan ke?!”, Nadirah berbunyi.
Daniel terdiam. Dia pun tidak tahu jika dia terlupa flush jamban yang telah dia gunakan. Daniel mengerutkan keningnya memandang bawah dan mengeluh. Apabila melihatkan wajah Nadirah yang serius, dia juga malas hendak ada mood untuk bergurau senda saat ini.
“Okay saya minta maaf pasal flush jamban tu. Saya lupa kot nak flush. Terima kasihlah tolong flush kan”, kata Daniel dengan keluhan tegang.
Daniel tahu dia yang salah kerana tidak flush jamban, tetapi adakah itu suatu isu yang perlu diperbesarkan? Jika nampak sisa kumbahan, tak bolehkah sekadar flush kan saja? Manusia bukannya selalu sempurna. Kadangkala ada saja sesetangah perkara dan waktu yang mereka terlupa termasuklah hal flush jamban. Jika kita seorang yang steady, kita hanya memaki di dalam hati sedikit dan flush kan sajalah. Tidak perlu diperbahaskan lebih lanjut. Fikir Daniel.
“Kalau macam itu, hari ni awak tolong jangan skip kerja rumah. Apalah sangat setakat ambil kain dekat luar dengan basuh pinggan mangkuk sendiri yang kita dah ambil? Bukannya saya suruh awak basuh baju, sidai baju,masakkan makanan pun”, tegur Nadirah.
“Haarrhh!...”,Daniel mengeluh keras sehingga boleh didengari Nadirah. Dia sudah mula rasa Nadirah seakan membebel dan hal itu sangat membebankan fikirannya. Keningnya berkerut.
Pain in the ass…
Nadirah terdiam apabila mendengur keluhan panjang dan keras daripada Daniel. Sememangnya itu nada memberontak, nada seolah-olah dirinya berleter panjang dan apa yang dikatakannya membingitkan telinga suaminya.
“Awak ni kenapa?!Masa awal-awal kita kahwin dulu elok saja awak buatkan semua kerja rumah… tak ada pun nak mengungkit ke?! bahagi-bahagi housechores macam sekarang ni. Apa?! Jijik sangat ke nak basuh pinggan mangkuk sisa saya makan?!! Hahh?!! Awak tak boleh ke jadi macam isteri yang lain-lain?! Yang tak bergantung dekat suami untuk hal-hal kerja rumah ni?! Awak tu dah berubah Nadirah!... Awak ni dikira mengabaikan tanggungjawab awak tahu tak?! Pentingkan sangat profesion tu sampai rumah terabai!,,, Bila rumah terabai, salahkan saya pula”, kata Daniel dengan nada yang sangat tegang.
Nadirah terdiam.Kata-kata Daniel sememangnya membuat dia terdiam seribu bahasa. Kata-kata yang sukar untuk ditafsir dan diterima. Perasaannya seakan ditikam dari belakang. Dia cuba lebih mendalami bait-bait kata Daniel yang pahit itu, tapi dia juga semakin bingung. Ada juga perasaan amarah yang timbul. Perasaan kecewa terhadap kata-kata Daniel. Dirinya yang salah?!
“Dahlah!... saya balik lewat! Malam baru balik!…ada kerja kursus penting untuk dibincangkan dengan member”, kata Daniel acuh tak acuh lalu beredar pergi.
Apabila mendengarkan Daniel balik lewat, Nadirah terfikirkan dua perkara. Sama ada Daniel memang ada perbincangan penting ataupun Daniel ingin lari dari situasi sekarang.