Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 19

BAB 19: Keterangan


              Setelah habis kelas, Daniel melepak seperti kebiasaannya di bilik Jai dan Rais. Lepas selesai menumpang Solat Asar di bilik mereka, Daniel bergegas untuk pulang.


              Sepanjang ketiadaan Nadirah, Daniel selalu sahaja melihat-lihat tempat kerja Nadirah sewaktu hendak pulang untuk melihat sama ada Nadirah ada atau tidak. Tapi Nadirah sememangnya tiada. Daniel berhenti melakukan sedemikian untuk sementara waktu.


              Tetapi kali ini hatinya terdetik sekali lagi untuk melihat tempat kerja Nadirah. Daniel menyorok di balik-balik kenderaan. Hampir 20 minit, Daniel mula berputus asa. Baru sahaja hendak pulang, mata Daniel terlihat kelibat Nadirah. Daniel membulatkan mata. Jantungnya berdegup laju memerhatikan isterinya.


              Nadirah keluar dari tempat kerjanya bersama Farid dan Liza dengan gelak ketawa.


              Daniel berkerut menahan amarah apabila melihat gelak tawa mereka bertiga. Perasaan cemburu tak menentu menyelubungi diri. Namun, dia tidak boleh terus menyerang. Dia harus bersabar dan memerhatikan keadaan. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.


              Setelah kenderaan Nadirah bergerak, Daniel turut mengikuti Nadirah. Daniel melalui jalan yang asing dan tidak pernah dilaluinya.


              ‘Nad nak pergi mana? Ini bukan jalan nak balik rumah?’.


              Semakin lama dia mengikuti Nadirah jiwanya semakin tidak sedap kerana kenderaan Farid juga mengikuti Nadirah. Bermacam perkara yang berlegar di fikirannya. Perasaan takut akan kebenaran jika mimpi Nadirah curang menjadi kenyataan. Tapi jauh disudut hatinya, masih ada lagi kepercayaan terhadap isteri.


              Daniel terdiam apabila kereta Nadirah dan Farid memasuki sebuah taman perumahan yang lain. Fikiran Daniel juga semakin bingung apabila Nadirah memakirkan kenderaannya di dalam sebuah rumah. Manakala Farid hanya memakir di luar rumah Nadirah.


              Daniel memberhentikan motornya berhampiran dengan rumah Nadirah.


              ‘Apa mereka buat dekat rumah ni?’, perasaan tertanya-tanya yang menggunung mendesak perasaan. Fikiran yang bukan-bukan berleluasa. Entah kenapa hati Daniel semakin sakit. Dia rasa hendak mengeluarkan air mata tetapi dia cuba menahannya. Daniel masih cuba senyum kerana masih ada kepercayaan terhadap isteri yang sangat disayanginya.


              ‘Baik! Kalau dalam 15 minit mereka tak keluar kau kena berbuat sesuatu!’, kata Daniel terhadap dirinya sendiri. Daniel menunggu.


              Perasaannya tidak tertahan. Bukan 15 minit ditunggunya, tetapi sudah hampir 20 minit. Daniel bangun dari motornya dan masuk ke dalam rumah Nadirah. Loceng rumah ditekan berkali-kali. Pintu rumah juga diketuk dengan ganas.


**


              Nadirah,Liza dan Farid sedang berbincang di ruang tamu rumah Nadirah tentang pekerjaan mereka. Nadirah berasa lega kerana pekerjaan auditnya sudah siap berkat kerjasama Farid dan Liza. Pembentangan audit syarikat berkenaan akan diserahkan kepada Farid sepenuhnya.


              “Aku nak pergi dapur kejap ya”, kata Liza.


              “Aah”,angguk Nadirah lalu sambung berbincang dengan Farid.


              Tidak lama kemudian, Nadirah dan Farid terkejut kerana terdapat ketukan yang kuat di pintu dan bunyi loceng yang ditekan berkali-kali secara tiba-tiba. Mereka mula berdebar dan memandang antara satu sama lain.


              “Perompak ke Nad?”, Farid berkerut.


              “Tak tahu…”, Nadirah menggeleng.


              Farid dan Nadirah bersama-sama pergi ke arah pintu rumah dan membuka pintu berkenaan. Nadirah terdiam melihat Daniel dengan wajah menahan marah di hadapan pintu rumah barunya. Dia juga tidak tahu hendak berkata apa.


              Daniel langsung masuk ke dalam rumah itu seraya berkata, “oh… dekat sini rupanya Nad menghilang”.


              “Macam mana…”, Nadirah baru saja hendak berbicara Daniel mencelah lagi.


              “Tinggal serumah dengan jantan yang bukan mahram! Isteri jenis apa Nad ni!”, jerkah Daniel.


              “Encik salah faham ni…”, Farid rasa bersalah.


              Daniel langsung menumbuk muka Farid lalu menjerkah, “Kau jangan nak salah faham sangat! Ingat aku bodoh ke?! Ini bini aku kau nak kacau!! Jantan tak ada maruah!!”.


              “Danny!!!!”,Nadirah menampar Daniel.


              Daniel terdiam apabila Nadirah menamparnya. Perasaannya semakin sakit. Kenapa Nadirah menamparnya? Sudah jelas mereka yang berbuat salah. Kenapa dia yang ditampar Nadirah? Adakah mereka sudah bercinta dan menyayangi antara satu sama lain? Cukuplah isterinya berduaan dengan lelaki lain, ditambah pula tamparan oleh isteri sendiri. Hatinya tidak tertahan.


              Daniel merenung tajam ke dalam mata Nadirah.


              “Walau apa sekalipun aku takkan lepaskan kau. Aku akan hukum kau sebab kau tak jadi isteri yang baik”, kata Daniel perlahan tetapi masih boleh didengari Nadirah.


              “Kenapa ni??!!”, kata Liza yang tiba-tiba keluar dari dapur dengan secangkir cawan berisi minuman.


              Daniel terkejut melihat keberadaan Liza dan dia terdiam seribu bahasa. Daniel mengerutkan kening. Wajah bingungnya jelas kelihatan.

              ‘Eh?!!!’,fikir Daniel. Adakah tanggapannya salah? Nadirah tidak berdua-duaan pun dengan Farid di rumah. Sebenarnya masih ada Liza. Kenapa dia boleh tidak menyedari Liza? Daniel berasa sedikit lega.


              “Puas hati Danny! Malaslah Nad macam ni!”, marah Nadirah. Rasa penat baru balik kerja bertambah-tambah. Nadirah pergi ke arah Farid untuk melihat keadaan Farid. Liza juga pergi ke arah Farid untuk melihat keadaan Farid.


              Daniel mula rasa bersalah. Jadi Farid ini memang tidak ada apa-apa dengan isterinya.


              Farid bangun perlahan dan berkata kepada Daniel dengan nada biasa, “aku tahu kau sayang isteri kau. Aku faham kalau kau cemburu tak tentu hala sebab aku pun pernah rasa apa yang kau rasa… Tapi tolong kawal perasaan tu… dahlah aku tak ada apa-apa pun. Pipi aku ni yang kau tumbuk”.


              “Encik Farid… mari saya hantar ke hospital”, risau Nadirah.


              “Tak apa Nad… sikit saja ni. Saya pergi klinik saja. Liza teman aku…”, kata Farid.


              Liza mengangguk. Dia turut risau akan keadaan Farid.


              “Jadi ke kau tidur sini?”, tanya Nadirah sempat memegang lengan Liza.


              Liza menggeleng seraya berkata, “tidak kot Nad… aku temankan Encik Farid lepas tu aku terus minta Encik Farid hantar aku balik”.

              “Lagipun suami kau ada dekat sini”, bisik Liza kepada Nadirah.


              Setelah Liza dan Farid keluar, Nadirah memandang Daniel supaya dia juga keluar dari rumah berkenaan. Daniel hanya memandang bawah dan duduk di ruang tamu,menandakan dia tidak mahu keluar. Nadirah mengeluh. Dia malas hendak melayan karenah suaminya dan pergi ke dapur.


              Baru sahaja hendak ke dapur, Daniel mendakapnya dari belakang lalu berkata, “sayang…saya minta maaf sekali lagi dan minta maaf sangat-sangat. Saya fikir yang bukan-bukan… tapi itu semua sebab saya sayang Nad…”.


              “Sayang? Nad patut tampar Danny beratus kali tadi! Biar hilang perasaan tak waras Danny tu! Danny ingat Nad ni perempuan jenis apa?! Nad tahu kedudukan Nad! Nad ni masih isteri orang! Hina sangat ke Nad… nak buat perkara yang memalukan keluarga?!! Nad kecewa dengan Danny!”, kata Nadirah sambil cuba untuk melepaskan dakapan Daniel.


              “Nad…saya cuma”, Daniel hendak menjelaskan tetapi Nadirah mengabaikannya dan melepaskan dakapan Daniel lalu pergi ke arah dapur.


              Daniel mengeluh. Dari petang hinggalah malam, Daniel diabaikan Nadirah. Apa saja yang Daniel lakukan agar Nadirah melihatnya tidak menjadi. 


Daniel memangil Nadirah berkali-kali, Nadirah hanya buat tak tahu. Daniel mengganggu Nadirah menonton televisyen dengan berdiri di hadapan televisyen, Nadirah hanya beredar. Daniel mencuri-curi makanan yang dimakan Nadirah, Nadirah berhenti makan. Daniel menutup lampu ketika Nadirah sedang mandi, tiada jeritan. Nadirah seakan redha dengan keadaan itu. Daniel membuat muka kelakar di hadapan muka Nadirah, Nadirah berdiri dan menjauhkan diri daripada Daniel.


Akhirnya, Daniel berbaring di sofa. Dia sudah penat. Nadirah memang sangat marah kepadanya sehingga langsung tidak melayaninya seakan-akan dirinya tidak wujud.


Jarum jam sudah menunjukkan 11 malam. Daniel bergegas bangun apabila melihat Nadirah hendak naik ke atas. Dia mengikuti Nadirah sehingga ke bilik tidur. Nadirah memandang tajam apabila Daniel hendak memasuki bilik tidurnya.


“Tidur tempat lain!”, tegas Nadirah.


Kening Daniel berkerut dengan muka kasihannya, “dekat mana Nad? Sini saja yang ada katil empuk. Bilik lain tak ada katil”.


“Tidur jelah dekat sofa ruang tamu tu! Itupun Nad nak kena ajar?!”, tegas Nadirah lalu menutup pintu bilik dengan keras.


              “Nad…”,panggilan Daniel tidak dilayan. Daniel mengeluh dan turun kembali ke ruang tamu. Dia berbaring di sofa sambil merenung siling. Daniel mengenang hal yang dilakukannya. Keningnya berkerut disertakan dengan keluhan lagi.

              ‘Kenapalah aku macam ni?’.


              Daniel mula rasa beban. Dia terkenangkan rakan-rakan yang sebaya dengannya yang masih lagi bergembira kerana tiada masalah rumah tangga sepertinya. Rakannya yang bujang ada yang mengembara, ada yang masih ditanggung keluarga dan sebagainya. Daniel ingat lagi sewaktu perkahwinannya dengan Nadirah. Rakan-rakan sebayanya ramai yang hadir ke majlisnya dan memberi ucapan tahniah. Gelaran ‘orang pertama kahwin’ diberikan oleh rakan-rakan. Daniel berasa saat itu adalah hari yang paling bahagia bagi dirinya.


              Tetapi kini, dia sudah tidak tahu hala tuju pernikahannya. Daniel menarik nafas dalam dan cuba berfikir apa yang harus diperbaikinya. Dia pernah terfikirkan penceraian jika Nadirah sudah tidak mahu dengannya, tetapi jika difikirkan secara mendalam dia tidak mahu menambah lagi bilangan penceraian dikalangan orang muda yang sudah sedia banyaknya di Malaysia. Lagipula, masalah rumah tangganya masih boleh diselesaikan secara baik. Dia sememangnya amat menyayangi isterinya. Keluarga dua belah pihak juga mempunyai hubungan yang akrab.


              Daniel mengeluh lagi seraya berkata kepada diri sendiri, “aku patut tanya pengalaman mak kahwin awal”.


              Nadirah pula terbaring di katil masih tidak boleh tidur. Dia terkenangkan perbuatan suaminya. Dia berasa sangat marah dan malu. Baginya, itu adalah satu keaiban rumah tangganya yang telah didedahkan kepada orang luar. Nadirah menggeleng. Dia cuba untuk menjauhkan diri daripada Daniel agar dia dapat mengosongkan pemikirannya. Dia ingin bertenang, tetapi bagaimana pula Daniel boleh menjumpai rumah barunya. Nadirah baru sahaja bercadang untuk menjadikan rumah barunya sebagai tempat mengasingkan diri dari segala masalah peribadi.


              Nadirah tahu dia tidak sepatutnya menjauhkan diri daripada suami sendiri, tetapi suaminya adalah Daniel. Jika saat pergaduhan mereka Nadirah masih tinggal bersama Daniel, Nadirah mungkin akan menjadi gila melayan karenah suaminya. Baginya, Daniel masih tidak matang untuk dibawa bincang hal-hal yang dewasa.


              Nadirah memandang siling. Semua salah seakan dilepaskan kepada Daniel. Mungkinkah ada kesalahan yang datang daripada dirinya sendiri? Nadirah berfikir. Dia sememangnya tawar hati dengan suaminya, tetapi dia tidaklah menginginkan penceraian. Lagipula, dia tidak menyukai mana-mana lelaki pun memandangkan dia sudah bersuami. Nadirah menarik nafas dalam dan berfikir bahawa mereka perlu berbincang dengan serius. Walau apa sekali tindak balas suaminya yang tidak matang itu, Nadirah perlu bersabar.


              Nadirah keluar dari biliknya selepas satu jam mengenang masalah. Dia menuruni tangga sambil melihat suaminya yang sedang mengerekot menahan sejuk di sofa. Perasaan simpati timbul di hati Nadirah kerana telah menghalau suami sendiri untuk tidur di bilik. Dia juga merasa bersalah apabila mengenangkan wajah kasihan Daniel disaat dia memaksa suaminya tidur di ruang tamu.


              Nadirah kembali ke bilik mengambil selimut apabila melihat suaminya menggigil-gigil disofa. Apabila dia menuruni tangga ke ruang tamu, dia mula perasaan akan suhu pendingin hawa yang dipasang Daniel.


              ’16 darjah celcius’, senyuman kecil diberikan Nadirah. Nadirah menutup pendingin hawa lalu menyelimuti suaminya seraya berkata perlahan, “dah tahu tak tahan sejuk… pergi pasang aircond sampai suhu 16 tu kenapa?”.


              Nadirah melihat Daniel yang tidur, ‘esok sajalah bincang’, fikir Nadirah.


              Baru sahaja hendak beredar, tangan Nadirah dipegang Daniel. Nadirah terkejut dan kembali memandang suaminya.


              “Teman saya”, pinta Daniel.


              Nadirah memandang tepi dan berfikir.


              “Kita kena bincang”, kata Nadirah lalu duduk di sebelah Daniel. Daniel yang terbaring membetulkan kedudukannya.


              “Nad…sebelum kita bincang apa-apa, saya nak minta maaf sangat-sangat sebab dah bersangka yang bukan-bukan. Saya sepatutnya dengar penjelasan Nad secara menyeluruh. Saya sepatutnya percaya kepada Nad”, kata Daniel.


              “Tak apa… saya pun minta maaf atas kesalahan saya juga. Saya buat Danny ragu-ragu, tak cerita hal sebenar… saya hilangkan diri, tak balik rumah… Tapi yang saya beritahu mak tu betul tau!”, terang Nadirah bersungguh-sungguh.


              “Masa awak nampak saya dekat mall dengan Farid tu pun saya minta maaf. Saya sepatutnya tegas tak nak ikut Farid… saya ambil endah hal-hal macam itu. Saya sebenarnya malas nak teman Farid beli barang pejabat sebab nak cepat-cepat balik rumah, tapi dia paksa saya pergi sebab saya keluar pejabat agak lambat dan tiada siapa yang tolong Farid untuk angkat barang-barang. Masa awak telefon itupun, memang kebetulan bateri saya habis. Bukan saya tak angkat… Lagipun Farid pun dah minta maaf dekat saya yang pasal kejadian dekat mall tu”,kata Nadirah lagi panjang lebar.


              Daniel langsung memeluk Nadirah seerat yang mungkin seraya berkata, “saya minta maaf sekali lagi Nad… Saya dah malukan Nad dan diri saya sendiri hari itu. Masa itu saya memang tak dapat kawal perasaan saya, semuanya sebab saya sayangkan Nad. Saya tak boleh tengok Nad diambil orang lain, bilamana Nad ni saya punya… Saya cuma…”. Daniel tidak menghabiskan kata-katanya dan mengeluh.


              Nadirah terkesima. Keningnya berkerut kebingungan. Dia cuba melepaskan pelukan Daniel dan memegang-megang lehernya.


              “Saya tahu saya tak matang… tapi selagi saya hidup, selagi saya jadi suami Nad. Tolong jangan abaikan saya macam tadi. It hurts me a lot”, kata Daniel lembut merenung mata isterinya.


              ‘Oh My… How can I resist this kind of looks?!’,Nadirah terdiam seribu bahasa.


              “Mmm okay sayang”, kata Nadirah hanya memandang bawah.




Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.