Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 58

BAB 58: Trimester Pertama


               “Doakan ya…”, kata Daniel kepada orang yang berada di rumahnya.

               “Ya…buat elok-elok Danny”, kata Mak Esah.

               “Baca doa, Surah Insyirah sebelum mula tu… biar terang hati”, nasihat Puan Kiah pula.

               Nadirah pergi ke arah suaminya lalu mencium pipi memeluk suaminya, lalu diusap belakang suaminya perlahan, “buat baik-baik ya…”.

               “Baik…”,senyum Daniel.

               “Doakan daddy…”, kata suaminya perlahan sambil mengusap perut isterinya.

               Senyuman Nadirah makin melebar.

               Setelah Daniel pergi dengan motornya, Nadirah pula bersiap untuk pergi ke tempat kerja.

               Begitulah hari-hari mereka setiap hari. Semenjak Mak Esah dan Puan Kiah tinggal di rumah Nadirah dan Daniel, lauk-pauk bermacam-macam jenis. Tidak ada istilah kelaparan. Balang-balang kuih bertambah-tambah dek kerana para mak asyik mengguna dapur. Apabila tak ada kerja rumah nak dibuat, mereka menunjukkan kepakaran masing-masing di dapur.  Bila ada banyak kuih, mereka beri kepada jiran tetangga pula. Kini, jiran-jiran Nadirah dan Daniel tahu juga tentang Puan Kiah dan Mak Esah.

               Apabila hari cuti, rumah seakan ada kenduri. Maklumlah, anak-anak ada di rumah, masaknya lebih banyak. Selera Nadirah makin bertambah. Ibu dan mak mertuanya masak masakan yang lazat tetapi berkhasiat juga. Kadangkala, Nadirah menyalin kalau ada-ada resepi atau tips memasak yang tidak diketahuinya. Nadirah dan Daniel juga membantu apa yang patut. Kadangkala mereka keluar rumah sebentar. Mereka sekeluarga beriadah, bercucuk tanam di laman rumah atau pergi ke pasar raya besar. Rambang mata para mak bila melihat perkakas-perkakas di pasar raya. Begitulah rutin harian mereka sehari-hari.

               Daniel pula habis sahaja peperiksaan akhir, dia menjalani latihan industri. Pejam celik-pejam celik, sudah sebulan dia menjalani latihan industri. Rais dan Jai mendapat latihan industri di tempat yang sama. Daniel pula keseorangan di MARDI, dia tidak kisah asalkan dekat dengan rumah. Dia menjalani latihan dipusat kultur mikrobial. Pada awalnya memang susah, maklumlah peralatan mesin saintifik yang digunakan di situ agak berbeza di kelas. Ada yang sama seperti mikroskop, mikrotom, petri dish filler tetapi ada juga mesin agak besar yang tidak diketahuinya. Entah kenapa perasaannya, apa yang dipelajarinya sebelum ini seakan tidak pernah belajar langsung. Dunia industri dan dunia teori sangat berbeza. Sudahlah dia seorang sahaja pelajar latihan industri di situ.

               Mujur ada beberapa pekerja senior yang membantu menerangkan skop pekerjaan. Marah atau teguran tegas itu sudah menjadi kebiasaan buat Daniel. Walau marah atau setegas mana pun pekerja senior itu, waktu rehat mereka makan bersama juga. Orang lelaki ini mudah. Kalau orang perempuan bergaduh, pendam dalam hati sampai mati. Sampai ke anak cucu mereka bercerita pengalaman buruk mereka menjalani apa-apa pengalaman. Bukanlah sesuatu yang burukpun, hanya ingin orang yang mendengar berhati-hati dengan sikap manusia.

               2 bulan Daniel berlatihan industri, sudah 3 bulan jugalah kandungan Nadirah. Nadirah dapat melihat perutnya makin membesar. Mak mertuanya juga kata besarnya lain macam. Penat pun makin penat, tetapi masih gagah jugalah untuk bekerja.

               “Sayang tengok perut saya…”, Nadirah menunjukkan perutnya saat dia duduk di kereta bahagian tempat pemandu.

               Daniel mengerutkan kening risau, “ehh besar… ini kalau 5 bulan ke 6 bulan dah sampai stereng dah perut awak ni.”. Sudahlah isterinya berbadan kecil, memang lagi nampaklah perutnya besar walupun kandungan baru usia 3 bulan.

               Nadirah senyum, “tulah… ini bersalin ni berapa berat baby ni? Larat ke saya?”.

               Daniel terasa sayu. Pengorbanan isterinya mengandung menyentuh jiwanya. Anaknya juga yang berada di dalam perut Nadirah itu.

               “Saya rasa awak buat surat berhentilah dekat pejabat awak… Bukan berhenti… Apa tu,surat cuti untuk mengandung. Tak boleh ke?”, tanya Daniel dengan risau.

               Nadirah ketawa kecil, “kalau doktor suruh cuti saya cutilah… lagipun saya masih larat lagi”.

               “Nad dah cek dengan doktor ke?”, tanya Daniel.

               “Belum lagi… Nanti kita pergi dengan mak dengan ibulah”, kata Nadirah.

               “Okaylah kalau macam itu… hati-hati sayang bawa kereta tu”, kata Daniel lalu mencium dan memeluk isterinya yang berada di dalam kereka. Lalu masing-masing melambai tangan untuk pergi.

               Pada malamnya, Daniel membaca Quran di atas katil setelah selesai solat Isyak berjemaah dengan ditemani Nadirah yang sedang berbaring ditepi. Nadirah kelihatannya letih. Telekungnya pun masih tidak dibukanya. Daniel mengusap-ngusap Nadirah yang kepenatan itu. Dia mengusap kepala isterinya, wajah isterinya serta perut isterinya juga. Nadirah senyum tipis, perasaannya lebih tenang dengan mendengar bacaan-bacaan Quran dari pada suaminya.

               Usai sahaja membaca Quran, Nadirah bertanya kepada Daniel.

               “Makin gemuk kan saya?”.

               “Haah…comel macam kuih pau”, sengih Daniel.

               “Ishhh…”,sebek Nadirah.

               Daniel ketawa, “saya pujilah…”.

               “Bukan tak cantik ke? Saya selalu tengok dengar cerita-cerita, bila isteri mengandung ni, badan dia berisi. Bila berisi, dah tak cantik… Bila dah tak cantik, lelaki menjamu mata tengok perempuan lain”, muncung bibir Nadirah saja berbicara.

               “Well… I guess that woman marry a wrong guy”,jawab Daniel dengan spontan.

               “Ohh awak ni the right guy lah kiranya”,ketawa Nadirah.

               “Yes! The most suitable specially made for Nurul Nadirah binti Hamid”, sengih Daniel.

               “Ehh perasannya. Tengok ni daddy perasan”,ketawa Nadirah sambil memandang perut dan mengusap-usapnya.

               Daniel ketawa melihat gaya isterinya. Wajah dan perut isterinya sekali lagi diusap.

               “Comel…”,kata Daniel lagi kepada Nadirah.

               “Apa?”,Nadirah tidak mendengar kata-kata Daniel.

               “Saya cakap awak comel… Tak gemuk pun cantik, gemuk pun comel… Comellah kiranya. Petit je…”, puji Daniel lagi.

               “Ya ya je…”, Nadirah tersenyum malu. Kembang perasaannya dipuji oleh suami.

               “Ya…”,Daniel mendekatkan dirinya dengan isterinya lalu dia mengusap perut isterinya.

               “Awak rasa apa jantina dia?”, tanya Daniel.

               “Saya tak pasti lagi… nanti cek doktor harap dah boleh tahu jantina”, kata Nadirah.

               “Saya nak baby girl…”, senyum Daniel.

               “Kenapa?”.

               “Sebab orang tua-tua kata, kalau anak pertama baby girl… lepastu muka dia ikut bapaknya. Jodoh panjang”.

               “Ye ke?”,tanya Nadirah.

               “Hahaha entahlah… saya pun tak tahu sebenarnya. Tapi kan orang kata anak perempuan ni first love dia ayah dia. Haa kiranya rasa banggalah disitu…”, terang Daniel.

               “Ehh macam tu eh? Hahahha”, ketawa Nadirah.


**

               “Kakak nak balik? Tak cakap awal-awal… Lusa nak balik, hari ini baru beritahu?”, kata Mak Esah di telefon.

               “Itulah nak beritahu awal-awal tak confirm lagi. Ini dapat balik ni pun mengejut mak”, kata Sarah.

               “Haa…yelah kalau begitu. Ini mak nak beritahu, mak tak ada dekat rumah. Kamu nak ambil kunci rumah, singgah rumah baru Nad dulu… nanti mak bagi alamat”, kata Mak Esah.

               “Mak duduk rumah Danny dengan Nad ya?”.

               “Haah…dengan Acik Kiah pun ada dekat sini”.

               “Ohh emm mak… nak tanya boleh?”.

               “Kenapa?”.

               “Balik Malaysia nanti, kakak nak bawa kawan kakak datang sini… Nak kenalkan dekat mak…”, takut-takut sahaja kata Sarah.

               “Kawan lelaki ke? Dari Australia sana?”, Mak Esah membulatkan mata. Dia tertarik.

               “Haah…kitorang kenal lama dah. Dia banyak tolong Sarah dekat sana. Tak tahu bila lagi ada masa free, dia pun nak berkenalan dengan mak”, kata Sarah.

               Mak Esah terdiam sebentar. Kalau anak perempuannya berbunyi begitu, ini bukan kawan-kawan biasa ini. Sudah pasti hendak ke arah lebih serius. Tapi tak apa, lelaki itu harus bersesi kenalan dengannya dulu jika inginkan anaknya.

               ‘Tapikan… hush Sarah dapat lelaki mat salleh’, getus hati Mak Esah ada sedikit kagum. Fikirannya terbayangkan cucu-cucu bermata biru. Maklumlah Nadirah sedang mengandung. Anak-anak kecil saja yang terngiang di fikirannya sekarang.

               “Boleh…datanglah. Tapi dia duduk mana ni?”, tanya Mak Esah.

               “Dia ada saudara jauh dekat sini… Dia duduk dekat rumah saudara jauh dia tu”, jawab Sarah.

               “Ohh dia ada saudara jauh dekat Malaysia?”, tanya Mak Esah.

               “Haah…nanti kalau nak tanya apa-apa, mak tanya direct daripada dia jelah”, sengih Sarah.

               “Hah yalah kalau macam tu. Assalamualaikum… hati-hati balik”, pesan Mak Esah.

               “Waalaikumsalam mak…”.

               Mak Esah menutup panggilan.

               “Kak Sarah ke mak?”, tanya Daniel yang sedang duduk di ruang tamu.

               “Haah…kakak kamu nak balik lusa”.

               “Sekejap sangat dahlah tu…”, kata Daniel.

               “Kak Sarah kata nak bawa kawan dari Australia jumpa mak”, cerita Mak Esah lagi.

               Daniel yang membelek telefon terhenti, “Fuyoooo mat salleh tu!”, teruja Daniel.

               “Jadi juga Kak Sarah dengan mat salleh hahaha…”, kata Daniel.

               “Kamu kenal ke orangnya? Rupanya macam mana? Orangnya macam mana?”, tanya Mak Esah.

               “Kenaltu taklah… Kadang-kadang Kak Sarah post story dekat Instagram. Itu yang nampak mat salleh tu. Kejap eh mak…”, Daniel mencari Instagram milik James.

               “Haa ini mak… James Caesar nama dia tak silap. Kak Sarah kalau post kenalan orang putih dia… Danny selalu nampak yang ini”, Daniel memberikan telefonnya kepada maknya.

               Mak Esah mengambil dan melihat Instagram James.

               “Ohh macam artis Hollywood…”, kata Mak Esah.

               ‘Mak je yang jarang tengok mat salleh in real life’, fikir Daniel.

               “Apa yang kau tengok tu Esah?”, sampuk Puan Kiah dari belakang.

               “Ini anak aku nak bawa mat salleh datang jumpa aku untuk kenal-kenal. Yalah belajar dekat Australia tu dah bertahun-tahun, itu yang sangkut dengan mat salleh dekat sana”, sengih Mak Esah.               

               “Wah bakal menantu mat salleh pulalah kali ini. Hahaha”, ketawa Puan Kiah.

               “Tak tahu lagilah macam mana… tengok agama dia dulu macam mana. Kalau bersungguh-sungguh nak belajar Islam ya, aku bagi je. Kalau masuk Islam setakat nak kahwin aje, risau pula akidah anak cucu aku nanti”, kata Mak Esah.

               “Betul tu!...”, setuju Puan Kiah. Daniel juga mengangguk setuju dengan pendapat maknya.

               “Rambut hitam pekat… tapi mata dia hijau ya”, kata Puan Kiah turut melihat telefon yang dihulurkan Mak Esah kepadanya.

               Setelah Mak Esah dan Puan Kiah selesai membelek telefonnya, Daniel kembali membelek Instagram. Dia melihat dan menarik feed yang ada. Tiba-tiba satu ciapan menarik perhatiannya. Satu ciapan daripada Instafamous yang pernah bawa isteri naik kapal layar itu.

               “Ohh dah bersalin dah bini dia ni”, bicara Daniel sendiri apabila melihat instafamous itu bergambar dengan isterinya yang sedang berbaring. Nama tag bayi juga ada didalam gambar.

               Daniel membaca apa yang ditulis Instafamous itu.

               ‘Demi isteriku yang tercinta saya berikan dia servis bersalin yang terbaik di hospital yang terbaik. Layanan para doktor dan jururawat sangat baik. Suasana bilik juga sangat selesa. Isteri kata rasa sakit bersalin kurang bila dapat berehat di wad yang selesa. Makan juga diberikan yang berkhasiat dan sedap untuk si ibu. Apa saja untukmu sayang. Segala yang abang beri kepada sayang tak terbalas dengan pengorbanan sayang yang melahirkan zuriat untuk abang’.

               “Hush… untunglah kaya”, Daniel berwajah sedih. Apabila melihatkan kegembiraan wajah isteri lelaki itu, dia ingin juga isterinya gembira seperti itu. Dia juga ada rasa hendak memberi Nadirah bersalin di hospital swasta. Maklumlah servisnya mewah dan lebih selesa.

               Tetapi apakan daya, dia berasa tidak mampu. Kalau dia memberi Nadirah bersalin di hospital swasta, segala duit simpanannya selama bertahun-tahun akan habis tinggal kosong. Nak mengumpul balik itu yang sakit. Fikir Daniel.

               Namun,dia nekad untuk memberikan yang terbaik untuk isterinya. Dia mula mencari di internet, jikalau ada servis hospital swasta yang mewah tetapi harga berpatutan. Mungkin ada diskaun atau potongan. Fikir Daniel. Daniel jumpa ada yang berharga separuh dari simpanannya.

               ‘Bolehlah…’,fikirnya sambil membaca info servis itu.

               “Hmm bagus juga ni… Wad pun not bad. ”,kata Daniel lagi.

               Selain mencari senarai hospital, Daniel juga terfikir untuk menambahkan lagi produk untuk jualan online secara sambilan. Sebelum ini, sambil belajar dia menjual jersey copy ori secara sambilan. Hasil itu tak banyak, seperti 5 baju jualan untuk2 bulan. Asalkan ada hasil dari tak ada langsung. Tetapi kali ini dia ingin menambah lagi produk untuk dijual. Kalau jual baju sahaja hasil tidak banyak.

               ‘Makanan apa ye yang trend sekarang?’, fikir Daniel sambil mencari-cari.

               ‘Ke kerja kedai runcit?’, fikir Daniel lagi.

               ‘Aduh…’,Daniel serabut.



Previous: Bab 57
Next: Bab 59

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.