Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 28

BAB 28: Menantikan Kucing Bertanduk di Telefon


Nadirah termenung melihat televisyen yang terbuka. Walaupun seakan akan sedang menonton televisyen, tetapi sebenarnya fikirannya melayang memikirkan hal lain. Nadirah memikirkan panggilan terakhirnya dengan Daniel sewaktu dua hari malam semalam.


‘ “Assalamualaikum”.

“Awak dekat mana?”.

“Ooooh”.

“Emm saya takbalik hari ini”.

“Saya adahal”.

“Okay assalamualaikum”.’


Kata-kata pendek dan berbunyi keras daripada suaminya terngiang-ngiang di fikiran Nadirah. Suara keras Daniel...


Nadirah memandang telefon. Daniel juga tidak menelefonnya semalam dan hari ini. Sudah tiga hari Daniel tidak bermalam di rumah. Daniel hanya memberi pesanan di Whatsapp sahaja semalam.


Hubby Danny: Hari ini dan esok saya tak balik jugak… Ada hal.


Saya: Hal apa?


Hubby Danny: Adalah hal saya.


Saya: Ohh… okay.


Walaupun mesej itu sudah sehari yang lalu, Nadirah asyik melihat-lihat telefonnya. Nadirah menantikan kalau-kalau Daniel bermesej dengannya lagi. Tetapi umpama menantikan kucing bertanduk, semakin kuat perasaannya untuk menunggu semakin rasa sia-sia. Nadirah mengeluh. Bagi mengelakkan perasaan yang asyik menanti bagai menunggu putih gagak hitam ini, Nadirah mematikan telefonnya.


Nadirah meninggalkan telefonnya di sofa ruang tamu, lalu bergerak ke dapur untuk membancuh minuman coklat panas. Setelah itu, Nadirah menikmati minumannya di atas meja makan. Nadirah meniup-niup sedikit lalu menghirup perlahan.


Suasana rumah terasa sunyi walaupun televisyen masih terbuka tidak ditonton. Nadirah tidak boleh tipu dirinya sendiri, rasa sunyi ini pasti dengan ketiadaan Daniel di rumah. Nadirah mengakui hal itu. Ada rasa rindu pada lelakinya. Walau bergaduh macam mana sekalipun, kalau dah sayang…sayang juga. Tetapi apa yang perlu dia buat? Dia juga bingung.


Kalau dahulu semasa bujang, duduk berseorangan sudah biasa dengan rasa-rasa sunyi. Kalau rindu pun dia hanya akan menelefon keluarga atau adik lelakinya di kampung. Tapi apabila sudah berkahwin dan tinggal lama bersama pasangan, sekali sahaja pasangan tiada di rumah terasa sunyi sahaja. Rasa macam tak ada kawan.


Adakah awal-awal saja rasa rindu? Kalau dah biasa begini, sudah tidak rasa rindu?

Nadirah berfikir.


Tidak lama kemudian, Nadirah mengeluh. Jiwanya rasa tidak keruan kerana asyik memikirkan hal suami. Dia tidak mahu memikirkannya, tapi asyik terfikir juga. Dalam kesibukan bekerja, fikirannya masih memberi ruang untuk memikirkan tentang suami.


Apabila menyedarkan perasaannya yang masih tidak keruan, Nadirah berdoa di dalam hati.


‘Ya Allah… kenapa aku rasa macam ni? Aku tak suka jiwa yang macam ni Ya Allah… Perasaan tidak keruan, jiwa rasa gundah… dek kerana memikirkan sunyinya diri aku tanpa Danny. Aku percaya Kau lah yang seharusnya ku berikan cinta pertama-tamanya. Oleh itu, Ya Allah bantulah hamba Mu yang serba serbi lemah ini... kuatkanlah jiwaku Ya Allah. Berikanlah ketetapan yang sebenar-benarnya untuk rumah tanggaku… ketetapan yang jelas dan tak ada keraguan agar aku tidak mencintai manusia lebih dari aku mencintai Mu tanpa aku sedar’.


Cintakan bunga, Bunga akan layu.


Cintakan manusia, Manusia akan mati.


Cintakan Allah kekal abadi, Itulah yang hakiki.


Mata Nadirah sudah berair. Dia terkenang kembali kata-kata Daniel yang paling menyakitkan saat itu.


‘ “Awak ni kenapa?! Masa awal-awal kita kahwin dulu elok saja awak buatkan semua kerja rumah… tak ada pun nak mengungkit ke?!bahagi-bahagi housechores macam sekarang ni. Apa?! Jijik sangat ke nak basuh pinggan mangkuk sisa saya makan?!! Hahh?!! Awak tak boleh ke jadi macam isteri yang lain-lain?! Yang tak bergantung dekat suami untuk hal-hal kerja rumah ni?!Awak tu dah berubah Nadirah!... Awak ni dikira mengabaikan tanggungjawab awak tahu tak?! Pentingkan sangat profesion tu sampai rumah terabai!,,, Bila rumah terabai, salahkan saya pula”’.


Nadirah melepaskan keluhan tegas lalu berkata pada dirinya dengan keyakinan, “baik!! Kalau itu yang Danny nak kan?!!”.


Satu azam baru disuntik dalam diri Nadirah. Dia tahu syurga nerakanya pada suami. Jika dia sabar dengan karenah suaminya, dia tahu Allah pasti akan adil dengannya. Dia tidak mahu diungkit apa-apa di Sana oleh suaminya. Biarlah bagaimanapun perangai suaminya, dia sudah tidak peduli. Yang penting dia melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri.


Perkahwinan bukan setakat berkasih sayang atau bercintan cintun semata-mata. Perkahwinan yang diuji juga adalah perkahwinan yang masing-masing, suami isteri berlumba-lumba untuk mengumpul kebaikan. Jika dengan kesabaran adalah cara perlumbaan untuk mengumpul kebaikan antara dirinya terhadap suaminya, maka Nadirah akan cuba melakukannya semampu boleh.


Jika suaminya malas untuk melakukan kerja rumah dan menyuruhnya membuat semua kerja rumah…baik! Nadirah akan lakukannya. Dia ingin menguji dirinya sendiri sejauh mana perkara ini boleh berlanjutan dan tahap maksima mana kesabaran hatinya boleh diuji. Dia percaya Allah akan adil terhadapnya walaupun kuasa besar rumah tangga itu ada pada suami.


**


Sementara menunggu Rais pulang dari tandas, Daniel membuat kerja kursus bahagiannya sambil berhenti-berhenti asyik melihat telefon.


Jai yang melihat situasi itu rasa terganggu.

‘Ini kejap buat assignment, kejap-kejap nak tengok telefon. Mana satu ni?’, getus hati Jai.


“Kau kenapa macam ini gaya? Pasal bini lagi ke?”, tanya Jai.


Daniel muncung mendengar pertanyaan Jai lalu menjawab dengan malas, “hmm bini aku ni…”.


“Hah! Kenapa lagi dengan bini kau?”, Jai tertanya-tanya.


“Tak ada apapun”,Daniel masih memuncung.


“Dah tu kalau tak ada apa-apa… kenapa gaya resah-resah patah hati ni?”, tanya Jai mula tersenyum dengan minat untuk tahu.


“Bini aku tak call aku…”.


“Hahaha…”, Jai ketawa mendengar gaya Daniel menjawab.


“Kalau dia tak call… kau lah call. Lagipun bini kau nak call untuk apa? Bukan ke kau dah hantar whatsapp kata kau tak balik semalam dan hari ini? Atau kau nak dia call sebab nak dengar dia merayu-rayu suruh kau balik? Atau kau nak dengar perkataan I miss you… daripada isteri kau? Hahaha comel je kau ni”, sambung Jai terhibur.


Daniel memandang tajam ke arah Jai. Berani Jai bergurau-gurau dengan perasaannya. Daniel makin memuncung seakan merajuk.


Ketawa Jai semakin reda lalu berkata, “Aku sorry okay…Aku cuma rasa kau comel je dalam bab bab perasaan ni. Kau sayang bini tapi acah-acah kebal besi… acah-acah jiwa kental gangster begitu. Ish… aku pun tak faham dah haha”.


“Alah!! Kenapanya pun?!! Aku nak isteri aku yang call aku!! Aku suami dia kan?!!”, tegas Daniel.


“Ya ya… kau ada betulnya. Normal je kalau kau rasa macam tu”, Jai memujuk Daniel. Manakala, Daniel masih memuncung.




Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.