Bab 26
"KAMU cakap apa, Neesa? Luar negara? Tak! Papa tak
izinkan!” ujar Datuk Zaman tegas. Kepalanya turut digeleng-gelengkan
beberapa kali.
Seperti tidak percaya dengan apa yang baru
didengarinya itu. Semuanya berlaku dengan mengejut. Sedangkan sebelum
ini Aneesa tidak pernah memberitahu yang dia mahu belajar ke luar
negara. Kenapa mesti sekarang?
Sedangkan dia belum bersedia
untuk berjauhan dengan Aneesa buat kali kedua. Masih terlalu banyak
perihal anaknya itu yang belum diketahuinya. Maklum sajalah hubungan
mereka terlalu dingin.
Ah, mungkin itu semua berpunca daripadanya juga
yang tidak pandai memulakan hubungan dengan anak gadisnya itu.
Aneesa
terdiam. Lidahnya kelu. Hilang sudah kekuatan yang dikumpulkannya
sebentar tadi. Gara-gara terkejut dengan kata-kata papanya yang begitu
tegas. Terasa seperti harapannya yang satu itu semakin sukar untuk
ditunaikan.
Tiba-tiba sahaja dia teringatkan rayuannya untuk
tidak dipisahkan dengan Amsyar. Papanya langsung tidak mengendahkan
dirinya. Sebaliknya papanya nekad untuk menyatukan dia dan Dzaquan.
Aneesa
menarik nafas lama. Matanya dipejam rapat. Cuba mencari saki-baki
kekuatan yang tinggal untuk terus berdepan dengan papanya itu. Manakala
Dzaquan pula sudah lama beredar dari situ. Mungkin mahu memberi peluang
untuk dia bersemuka dengan papanya.
Perlahan-lahan matanya
dibuka. Dipandang lama wajah papanya. Kedut-kedut halus mula kelihatan
di wajah itu. Malah, tidak sekali pun dia berpeluang untuk menyentuh
wajah papanya itu. Apatah lagi untuk mengucup wajah itu.
“Please
papa, cuma ni aje yang Neesa pinta,” rayu Aneesa pula. Wajah tegang
Datuk Zaman membuatkan dia tidak berani untuk turut berkeras.
Keras
lawannya lembut dan sebab itulah dia cuba berlembut dengan papanya.
Jika terpaksa merayu, dia sanggup melakukannya. Walaupun dia sendiri
tidak pasti sama ada rancangannya itu akan berhasil ataupun tidak.
“Tapi kenapa mesti luar negara? Dalam negara ni dah tak ada tempat untuk belajar ke?” suara Datuk Zaman turut sama mengendur.
Rasa
kesal kerana terlalu ikutkan rasa hati sehinggakan Aneesa kelihatan takut- takut untuk berdepan dengannya. Terlalu tegaskah dia pada Aneesa?
Entah! Rasanya dia tidak pernah marah-marah dengan anaknya itu. Kecuali
sewaktu Aneesa membuat keputusan untuk berkahwin dengan Amsyar, itu
sahaja.
“Sebab Neesa...” Teragak-agak Aneesa untuk meneruskan
kata-katanya. Dipandang sekilas wajah Datuk Zaman yang masih menanti
dengan sabar.
Dia jadi berat hati untuk menyuarakan alasannya
yang sebenar. Perlukah dia memberitahu papanya yang dia takut untuk
tinggal sebumbung dengan Dzaquan? Meskipun mereka tidak ditinggalkan
berdua, dia tetap berasa takut dan gementar.
“Sebab apa?” tanya Datuk Zaman tidak sabar.
Aneesa
mengeluh perlahan. Terasa berat untuk memberitahu alasannya yang
sebenar. Mahukah papanya mengizinkan dia pergi jika itu alasannya?
“Neesa...Neesa terlalu penat, papa.”Akhirnya berjaya juga Aneesa meluahkan rasa hatinya itu.
Memang
dia penat. Terlalu penat untuk mengikuti semua perubahan yang berlaku
dalam waktu yang singkat. Bertunang? Langsung dia tidak menduga yang dia
akan bertunang sedangkan dia masih lagi bersekolah. Apa kata
rakan-rakannya jika mereka tahu yang dia dipaksa bertunang dengan orang
lain dan bukannya dengan Amsyar?
“Penat? Penat dengan apa?”
“Neesa penat dengan semuanya, pa. Neesa penat dengan diri Neesa. Penat dengan masalah Neesa. Penat dengan pertunangan Neesa.”
Rasanya
tidak perlu lagi dia berselindung dengan papanya. Dan hari ini dia akan
meluahkan semuanya pada papanya. Kata pepatah, ‘alang-alang menyeluk
pekasam biar sampai ke pangkal lengan’. Jadi itulah yang dia mahu
lakukan. Alang-alang sudah terlepas kata, mengapa tidak dia teruskan
semuanya?
Jelaskan semuanya pada papanya. Mungkin papa akan
memahami rasa hati aku. Mungkin, bisik hati Aneesa sendirian. Sedangkan
dia sendiri tidak pasti jika papanya benar-benar memahami rasa hatinya
itu.
“Penat dengan Amsyar?” celah Datuk Zaman sinis. Dia langsung tidak faham kata-kata Aneesa.
Apa yang menyebabkan anak gadisnya penat sehinggakan mahu melarikan diri ke luar negara?
Aneesa terdiam apabila mendengar sindiran papanya itu.
“Ya!
Neesa penat dengan Amsyar. Neesa penat merayu pada dia.” Mata Aneesa
mula berkaca. Tiba-tiba sahaja dia jadi rindu pada Amsyar. Rindu pada
saat mereka menghabiskan masa bersama.
“Buat apa Neesa rayu pada
budak tak guna tu lagi?” Kemarahan Datuk Zaman kembali memuncak apabila
nama Amsyar mula meniti di bibir Aneesa. Seingatnya, lepas majlis
pertunangan tempoh hari Aneesa sudah tidak menyebut sebaris nama itu
lagi.
“Sebab Neesa dah langgar janji yang kami lafazkan dulu.
Sebab Neesa tak dapat pertahankan janji kami,” akui Aneesa jujur. Rasa
malu dan segan pada papanya sudah dicampak jauh-jauh.
“Do you really love him?”
Aneesa tergelak perlahan dengan pertanyaan papanya itu. Terasa lucu pula dengan soalan itu.
“Baru
sekarang papa tanya Neesa soalan ni? Kenapa dulu papa tak pernah tanya
Neesa? Sekarang dah terlambat, papa. Dah terlambat sebab Neesa dah
bertunang dan Am pulak dah menghilang entah ke mana. Papa dah lupa?”
Aneesa
cuba menyembunyikan perasaan sedih dan kecewanya dengan ketawa kecil.
Namun mata tidak pernah berbohong. Pantas dia menyapu matanya yang mula
berkaca dengan belakang tangan. Tidak mahu terus terbuai dengan perasaan
sedihnya itu.
Giliran Datuk Zaman pula yang terdiam. Diamnya
bukan disebabkan perasaan bersalah kerana mahu menjodohkan Aneesa dengan
Dzaquan. Tapi dia kasihan pada Aneesa. Kerana anak gadisnya itu tidak
tahu yang dia mencintai orang yang salah.
Sedangkan dirinya
langsung tidak dicintai Amsyar. Malah, Aneesa didekati pun hanya
disebabkan statusnya yang merupakan anak tunggal Datuk Zaman. Itu saja!
“Neesa
masih muda, pa. Tapi Neesa dah terikat dengan ikatan pertunangan ni.
Dalam waktu terdekat papa nak langsungkan perkahwinan Neesa. Berkahwin
dengan orang yang langsung Neesa tak kenal. Papa boleh bayang tak macam
mana perasaan Neesa? Takut, kecewa, sedih, semua ada, pa.”
Aneesa
memberanikan dirinya. Dia melangkah mendekati papanya yang sedari tadi
hanya mendiamkan diri. Malah, kepala papanya pula ditundukkan dan
memandang pada lantai. Menyesalkah papanya dengan tindakannya itu?
“Neesa
tak bantah tindakan papa untuk tunangkan Neesa dengan Wan. Tapi
sekarang Neesa harap papa dapat tunaikan permintaan Neesa. Neesa cuma
mintak sedikit waktu untuk Neesa bersendirian buat seketika sebelum kami
dikahwinkan. Itu aje, pa. Izinkan Neesa ke luar negara pa, jauh
daripada semua masalah ni.”
Dalam teragak-agak, Aneesa cuba
menyentuh tangan papanya. Meskipun dalam teragak-agak, dia berjaya juga
menyentuh tangan papanya. Lama dia menggenggam tangan papanya itu. Dia
benar-benar mengharapkan yang papanya akan mengizinkan dia pergi untuk
seketika.
“Papa...” ujar Datuk Zaman terhenti.
“Neesa rayu
pada papa, please let me go and I promise, Neesa pergi tak lama. Nanti
Neesa balik,” rayu Aneesa. Genggaman tangan papanya semakin dieratkan.
Dzaquan
yang sedari tadi mencuri dengar perbualan di antara Aneesa dan Datuk
Zaman hanya mampu memandang seraut wajah milik Aneesa. Gadis itu
kelihatan bersungguh benar dengan permintaannya itu.
Malah,
kata-kata Aneesa itu membuatkan dia berasa bersalah. Kerana dialah gadis
itu terluka seperti itu. Dia terlalu mementingkan diri sendiri
hinggakan dia sanggup melukakan hati Aneesa.
Maafkan aku, Neesa.
Bukan niatnya untuk mencuri dengar luahan hati Aneesa. Tapi dia tak
sengaja mendengar kata- kata Aneesa yang mengaku sudah terlalu penat
dengan percaturan hidupnya oleh Datuk Zaman. Itu yang membuatkan dia
tertarik untuk terus memasang telinga.
Mungkin dengan cara itu
dia dapat memahami perasaan sebenar yang cuba disembunyikan Aneesa.
Kerana dia tidak dapat membaca dan memahami riak wajah itu. Yang dia
tahu tindakannya selalu saja melukakan hati Aneesa. Walhal dia langsung
tidak berniat untuk membuatkan gadis itu terluka.
Datuk Zaman
mengeluh perlahan. Sukar untuk dia membuat keputusan. Sedikit sebanyak
dia turut termakan dengan kata-kata Aneesa. Tapi dia tidak mahu anaknya
itu semakin jauh dengannya. Mengizinkan Aneesa pergi, bermakna anaknya
itu semakin jauh daripadanya.
“Neesa kena ingat yang Neesa dah
bertunang. Neesa dah ada tunang dan Neesa kena berbincang dulu dengan
Wan,” ujar Datuk Zaman setelah lama mendiamkan diri.
Sengaja dia
berkata begitu kerana jauh di sudut hati, dia tidak mahu melepaskan
Aneesa pergi jauh daripadanya. Tapi tak mungkin dia akan berterus terang
dengan anak itu. Disebabkan itulah dia menggunakan nama Dzaquan.
Berharap
agar anak muda itu akan menghalang niat Aneesa. Maafkan papa kerana
terpaksa melukakan hati Neesa lagi, bisik Datuk Zaman dalam hati.
Anak
mata Aneesa membulat. Dia benar-benar tidak menduga yang papanya akan
berkata begitu. Sangkanya, papanya sudah berasa menyesal kerana
keputusannya dulu. Tapi lain pula yang berlaku.
Berbincang
dengan Wan? Kenapa aku perlu berbincang dengan dia? Sedangkan dah
terang-terangan yang lelaki itu tak nak sambung pengajiannya gara-gara
tak sanggup berpisah denganku, gumam Aneesa.
“Apa ni, pa? Please
don’t do this to me! Papa tahu kan hubungan kami macam mana? Lagipun
kami cuma bertunang. Bukannya berkahwin. Dan dia tak berhak untuk
tentukan hidup Neesa!” Aneesa bersuara cemas. Dia tidak mahu berbincang
dengan Dzaquan kerana dia sudah dapat menduga jawapan yang akan
diberikan lelaki itu.
“Tapi Wan tetap tunang Neesa. Tak boleh nak sisihkan dia dari masa depan Neesa.”
“Papa! Neesa ni anak papa! Masih lagi tanggungjawab papa. Kenapa kita mesti libatkan orang luar?”
“Orang luar? Wan tu dah jadi tunang Neesa. Tak lama lagi kau orang akan kahwin jugak.”
“Dia pasti tak kan izinkan Neesa pergi.”
Dan
itulah yang papa mahukan. Papa tak nak Neesa pergi tinggalkan papa
lagi. Bukan untuk kali kedua. Cukuplah papa dah kehilangan Neesa dulu,
bisik Datuk Zaman perlahan.
“Maafkan papa. Tapi Neesa kena ingat apa yang papa buat semuanya hanya untuk Neesa.”
Kerana
papa sayang Neesa...Namun kata-kata yang terakhir itu hanya mampu
diluah di dalam hati. Dia tidak mampu meluahkan pada Aneesa. Sudah
terlalu banyak dia melukakan hati Aneesa. Seketika kemudian Datuk Zaman
melangkah meninggalkan Aneesa sendirian di ruang tamu itu. Biarlah masa
yang akan memulihkan rasa kecewa anaknya itu.
ANEESA mengeluh perlahan. Sudah seminggu berlalu. Namun
payah untuk dia bersemuka dengan Dzaquan. Jika berjaya bersemuka dengan
Dzaquan pasti ada insan ketiga di sisi mereka. Sedangkan dia cuma mahu
bersemuka dengan Dzaquan berdua saja. Dia tidak mahu ada insan lain yang
akan cuba mempengaruhi fikiran lelaki itu.
Aneesa benar-benar
tidak menyangka yang Datuk Zaman meletakkan Dzaquan sebagai pemutus masa
depannya. Papanya benar-benar kejam!
Aneesa menarik nafas
panjang. Pintu bilik Dzaquan dipandang lama. Ingatannya kembali terusik
dengan kejadian yang berlaku tempoh hari. Rasa gementar mula dirasainya.
Tapi dia sudah tidak ada cara lain. Ini sahaja caranya yang ada kerana
Dzaquan selalu sahaja mengelak daripada berjumpa dengannya. Dengan
perasaan yang berbelah bahagi, dia tetap memulas tombol pintu bilik
Dzaquan.
“Aku nak cakap dengan kau!” ujar Aneesa dengan tiba-tiba. Dia pasti ini sajalah peluang yang dia ada.
Tuala
yang berada di tangan Dzaquan terjatuh ke lantai. Segera Dzaquan
menyentuh dadanya. Terkejut dengan suara Aneesa yang muncul dengan
tiba-tiba. Pantas dia menoleh pada pintu bilik. Dilihatnya Aneesa
berdiri di situ. Rasa kesal mula dirasai kerana terlupa mengunci pintu
bilik. Jika tidak sudah tentu dia tidak perlu bersemuka dengan gadis
itu.
“Nak cakap apa? Aku nak mandi,” balas Dzaquan ringkas. Tanpa
mempedulikan Aneesa, dia tunduk mengambil tualanya sebelum terus
melangkah memasuki bilik air.
Mulut Aneesa melopong apabila melihat reaksi Dzaquan itu yang selamba meninggalkan dia sendirian di situ.
“Be... berani dia buat aku macam ni. Dasar jantan tak guna!”
Aneesa
yang berada di dalam bilik Dzaquan mula berasa resah gara-gara menantikan kemunculan Dzaquan yang tengah asyik bersiram. Dia menjeling
pada jarum jam yang berada pada dinding bilik Dzaquan. Sudah 20 minit
masa berlalu.
“Amboi! Bersiram mengalahkan tuan puteri pulak!”
rungut Aneesa geram.
Tidak lama kemudian pintu bilik air terbuka. Langkah
kaki Dzaquan kaku di situ apabila melihat Aneesa setia menantinya di
pintu bilik air.
Segera tangannya disilangkan pada bahagian
dadanya yang terdedah. Sangkanya Aneesa sudah keluar gara-gara penat
menanti. Rupa-rupanya tidak. Aneesa masih lagi setia menantinya di situ.
Dia nampak kesungguhan yang cuba ditunjukkan Aneesa.
“Hai! Sejak bila pulak suka intai orang?” sindir Dzaquan.
Perangai Aneesa yang terlebih ‘berani’ itu benar-benar membuatkan
dia marah. Tapi, ‘berani’ Aneesa itu tak kena pada tempatnya dan dia
takut andai suatu hari nanti gadis itu akan ditimpa sesuatu kerana
sifatnya yang terlalu ‘berani’.
Aneesa berdeham perlahan.
Wajahnya mula terasa panas dengan kata-kata Dzaquan sebentar tadi.
Segera dia memalingkan badan apabila menyedari Dzaquan yang tidak
berbaju. Dia terpaksa menanti Dzaquan di situ kerana bimbang Dzaquan
pasti akan menggelakkan diri daripadanya.
“Ce...cepatlah siap! Aku nak cakap dengan kau ni,” arah Aneesa lagi. Cuba menyembunyikan perasaan gementarnya itu.
Dzaquan
yang melihat reaksi gugup Aneesa itu hanya tersenyum. Terasa lucu
dengan reaksi yang ditunjukkan Aneesa itu. Tadi nampak macam berani
sangat.
Dia sedar sudah seminggu Aneesa memburunya hanya kerana
mahukan persetujuannya seperti yang diberitahu Datuk Zaman tempoh hari.
Padanya, tugas itu terlalu berat untuk dilaksanakan.
Siapalah
dia untuk menghalang kemahuan Aneesa? Seperti kata Aneesa, dia cuma
orang luar. Itu sahaja. Hatinya berbelah bahagi. Separuh untuk Datuk
Zaman yang telah banyak membantunya dan separuh lagi untuk Aneesa yang
sudah banyak kali terluka dengan tindakannya.
Aneesa pasti akan
terluka lagi jika dia menghalangnya. Sedangkan dia dapat melihat dengan
jelas kesungguhan Aneesa yang mahukan masa untuk bersendirian.
“Betul ke papa cakap kau nak ke luar negara?” Akhirnya terluah juga persoalan itu daripada mulut Dzaquan.
Perlahan-lahan
Aneesa menoleh. Dia menatap wajah Dzaquan yang tampak segar setelah
usai mandi. Patutlah Dzaquan selalu mengelak daripada bersemuka
dengannya. Rupa-rupanya lelaki itu telah mengetahui tujuannya
yang sebenar.
“Hmm...” jawab Aneesa ringkas. Debar dalam menanti jawapan
daripada Dzaquan.
“Kalau aku tak izinkan?” duga Dzaquan.
“Tolong jangan
buat aku macam ni. Aku rayu pada kau, izinkan aku pergi.” Cepat-cepat
Aneesa merayu.
Dia benar-benar cemas dengan pertanyaan Dzaquan tadi. Dia
tidak boleh kalah sebelum berjuang. Dia sudah tidak sanggup untuk tinggal
sebumbung dengan lelaki itu.
“Papa cakap kau nak pergi sebab penat.
Penat dengan kerenah aku, penat dengan pertunangan kita, penat
dengan semuanya. Betul ke?” soal Dzaquan lagi. Sengaja dia menggunakan
nama Datuk Zaman sedangkan dia sendiri telah mendengar semuanya dengan
jelas.
“Ya! Betul. Semuanya betul. Aku terlalu penat,” balas Aneesa
pantas.
Dia tidak mahu berlama-lama di situ. Dia sudah tidak betah menahan
pandangan Dzaquan yang sedari tadi terarah padanya. Dia takut jika dia
terus melawan pandangan Dzaquan dan akhirnya dia juga yang tewas. Seperti
yang berlaku tempoh hari.
“Jadi tolonglah izinkan aku pergi.”
“Aku izinkan
kau pergi. Tapi aku takkan lepaskan kau,”potong Dzaquan pantas. Dia
benar-benar terkejut dengan kata-kata Aneesa itu.Seperti mahu dilepaskan
daripada ikatan yang sudah wujud di antara mereka.
“Janji dengan aku yang
kau akan balik semula sebab kau tetap tunang aku dan bakal isteri
aku.”
Betulkah itu katanya? Untuk mengambil Aneesa sebagai isterinya?
Bolehkah dia menerima gadis itu dalam hidupnya?
Lama Dzaquan memandang
Aneesa. Dia mahukan kepastian daripada gadis itu sebelum dia memutuskan
untuk mengizinkan Aneesa ke luar negara ataupun tidak. Meskipun dengan
hati yang berat, dia terpaksa melepaskan Aneesa buat seketika. Dia yakin
suatu hari nanti Aneesa pasti akan kembali padanya.
Pandangan mereka
bersatu buat seketika sebelum Aneesa mengangguk perlahan. Aneesa tidak
peduli jika dia terpaksa kembali pada Dzaquan. Apa yang dia tahu, dia
sudah bebas. Meskipun untuk sementara waktu.
ps: DUKACITA dimaklumkan, DTA! tak sempat masuk pbakl 2013. Apa-apa
berita mengenai DTA akan dimaklumkan kemudian. Yang pastinya, DTA untuk
terbitan bulan JUN 2013
Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.
Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.