Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
168,994
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5
ANEESA mengeluh perlahan. Pandangannya kini sudah terarah pada seorang wanita yang berjalan di hadapan rumahnya. Setiap langkah wanita itu diamati lama. 

Hatinya benar-benar terusik. Tiba-tiba sahaja dia terasa rindu pada seraut wajah milik ibunya.

Kenapa ibu pergi tinggalkan Neesa dengan papa? Kenapa mesti wasiatkan begitu? Neesa tak nak hidup dengan papa! Neesa benci dia! Rintih Aneesa perlahan. 

Tanpa disedari, air mata hangat mula membasahi wajahnya. Rindu pada ibunya, Puan Zaleha semakin membuak-buak.

Sudah seminggu dia tidak bertegur sapa dengan Datuk Zaman gara-gara kejadian yang berlaku tempoh hari. Hatinya sudah sebal untuk menegur insan itu. Walaupun dia sedar, sebagai anak dia seharusnya beralah. Tapi dia tetap berdegil. 

Aneesa tersentak. Segala kenangan bersama ibunya hilang entah ke mana saat telinganya menangkap bunyi muzik yang terlalu kuat. 

Dia yakin itu semua mestilah angkara adik tirinya. Sudah beberapa kali mereka bergaduh gara-gara sikap Kartini yang sangat menyakitkan hatinya. 

Bukan dia tidak pernah melarang Kartini agar tidak memasang lagu sekuat itu. Sudah terlalu kerap. Tetapi langsung tidak diendahkan Kartini.

Dia ni memang saja nak cari fasal. Tak tenang agaknya, kalau dalam satu hari tak cari fasal dengan aku. Mak dengan anak, sama aje! Dua-dua suka menyakitkan hati aku! Bentak Aneesa dalam hati.

Tanpa membuang masa, Aneesa menuju ke bilik adik tirinya yang hanya bersebelahan saja dengan biliknya.

Tangannya sudah berada di tombol pintu itu tapi usahanya gagal. Pintu bilik itu dikunci dari dalam. Seolah-olah Kartini sudah menduga yang Aneesa akan menyerbu ke biliknya.

Aneesa mengetap bibir geram. Pintu bilik Kartini diketuk kuat. Namun tiada balasan daripada Kartini. Sebaliknya rentak muzik itu semakin dikuatkan.

“Tini! Tini! Wei, bukak pintu ni! Tak ada kerja lain keyang kau nak buat, hah? Tahu memekak aje!” jerit Aneesa geram sambil tangannya tidak henti-henti mengetuk pintu bilik Kartini.

Kartini yang berada di dalam bilik hanya tersenyum.Bukan dia tidak dengar jeritan Aneesa yang memanggil dirinya. Tapi sengaja dia pekakkan telinga. Biar terbakar hati Aneesa di luar sana. 

Rasa cemburunya pada Aneesa meluap-luap. Dia tidak tahu di mana lebihnya Aneesa sehinggakan kakak tirinya itu menjadi kegilaan pelajar lelaki di sekolah mereka. 

Nak kata kakaknya itu cantik, rasanya dia pun tidak kurang cantiknya juga.Tak cukup dengan itu, guru-guru di sekolah mereka juga tidak terkecuali. 

Sebaris nama milik Aneesa sentiasa menghiasi bibir mereka. Walaupun Aneesa sering kali dipanggil guru disiplin, tetapi masih ramai guru yang memuji Aneesa.

“Oh, awak ni adik Neesa ke? Kakak awak tu pandai orangnya. Awak kena banyak belajar daripada dia,” ujar Cikgu Azman tempoh hari.

“Awak tu jangan ikut perangai kakak awak yang suka memonteng. Dia dengan awak tak sama. Walaupun dia suka memonteng, tapi dia tak pernah abai pelajaran dia. Tengok ajelah keputusan peperiksaan dia. Tapi awak? Dahlah memonteng, pelajaran pun terabai. Apa nak jadi dengan awak ni?” omel Cikgu Salmah, selaku guru disiplin di sekolahnya.

“Awak adik Neesa ke? Kenapa awak tak pandai macam dia? Mesti awak ni malas belajar, kan?” kata Cikgu Suria pula.

“Eh, kau ni adik Neesa, kan? Kakak kau tu cantik betullah, geram betul tengok dia. Kirim salam sayang pada dia ya. Cakap Abang Kamal nak berkenalan dengannya. Cakap dengan dia jangan sombong sangat dengan Abang Kamal.”

Malah, tidak terkecuali Abang Kamal yang sangat diminatinya itu. Lelaki itu juga turut memasang minat terhadap kakaknya. 

Patutlah sebelum ini layanan Abang Kamal begitu baik padanya. Rupa-rupanya ada niat lain.Ya, dia hanya dikenali sebagai ‘adik Neesa’ dan bukan dengan namanya, Kartini.

Dia sedar yang dia tidak sebijak Aneesa. Tapi dia tidaklah terlalu bodoh sehinggakan cikgu-cikgu terlupa akan namanya itu. 

Malah, dia selalu saja dibandingkan dengan Aneesa daripada pelbagai aspek. Sudah tentulah pemenangnya ialah Aneesa.

Dia sudah penat. Penat kerana hidupnya sentiasa dibayangi dengan Aneesa. Kenapa semuanya mesti Aneesa? 

Dia pasti hidupnya lebih gembira sekiranya Aneesa tidak hadir dalam hidup mereka sekeluarga dua tahun yang lalu. Sudah tentu dia tidak dikenali dengan gelaran ‘adik Neesa’. 

Kepala Datin Fatimah bergegar akibat rentak muzik yang dipasang Kartini itu. Baru saja dia hendak melelapkan mata, sudah dikejutkan dengan bunyi muzik kuat sebegitu.

Tambahan pula kepalanya sekarang benar-benar sakit. Anak gadisnya itu memang sengaja mahu menambahkan bebannya lagi. 

Datin Fatimah tidak jadi melangkah keluar apabila dilihatnya Aneesa sedang mengetap bibir di hadapan bilik Kartini. Beberapa kali Aneesa menjerit memanggil nama Kartini namun masih tiada sahutan daripada anaknya itu. 

Dia pasti Aneesa naik berang dengan bunyi muzik yang begitu kuat.Seketika kemudian dia melihat Aneesa melangkah ke biliknya dengan menghentak-hentak kaki. 

Pastinya marahkan Tini, fikir Datin Fatimah. Tidak lama kemudian Aneesa keluar semula dengan pakaian yang sudah berganti. Mungkin mahu keluar kerana tak tahan dengan bunyi bising dari bilik Tini, duga Datin Fatimah.

Hilang saja kelibat Aneesa, Datin Fatimah memandang pintu bilik Kartini. Seketika kemudian dia menggeleng-geleng. 

Kalau hari-hari macam ni rasanya boleh pecah kepala aku dibuatnya, getus Datin Fatimah.





ANEESA tersentak apabila terasa ada tangan yang menyentuh bahunya. Bibirnya menghadiahkan senyuman buat insan yang sangat disayanginya itu. Insan itulah yang selalu berada di sisinya saat dia begitu tertekan dengan keluarganya.

“Dah lama tunggu Am?” soal Amsyar sambil tersenyum senang pada Aneesa.

Aneesa tidak menjawab sebaliknya hanya menggeleng-geleng. Tangan Amsyar yang berada di bahunya perlahan-lahan dialihkannya. Tidak selesa dengan Amsyar yang kadangkala ‘terbabas’.

Amsyar yang faham benar dengan reaksi Aneesa itu tidak berkata apa-apa. Malah, dia langsung tidak berkecil hati dengan tindakan gadis itu tadi. Seketika kemudian dia melabuhkan punggung di sebelah Aneesa.

“Maaf lambat,” sambung Amsyar lagi. 

Masih seperti tadi, Aneesa tidak menjawab. Sebaliknya hanya membuang pandang pada tasik yang begitu tenang di hadapannya. 

Kalaulah hatinya setenang itu, alangkah bahagianya dia. Tapi mana mungkin? Setiap insan yang hidup di dunia ini tidak boleh lari daripada sebarang masalah.

“Kenapa ni? Diam aje. Ada masalah lagi?” duga Amsyar setelah dilihat Aneesa seakan-akan hanyut di dalam dunianya sendiri.

“Tak ada apalah,” balas Aneesa perlahan. 

Malas hendak menceritakan masalah yang sama pada Amsyar. Dia takut andai suatu hari nanti dirinya ditinggalkan lelaki itu gara-gara sudah muak dengan masalah yang dihadapinya.

“Gaduh dengan uncle lagi ke? Atau auntie? Tini mungkin?”soal Amsyar seakan-akan dapat menduga apa yang sedang bermain di benak Aneesa.

Sejak dia mengenali gadis itu dua tahun yang lalu, itulah yang selalu menjadi penyebab Aneesa bermuram seperti itu.

Aneesa hanya tersenyum hambar. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan pada Amsyar kerana tekaan Amsyar tadi adalah tepat semuanya.

“Oh, awak dah hafal semuanya ya?” soal Aneesa cuba berseloroh. 

Dia mahu melupakan masalahnya, cukuplah walaupun untuk seketika. Hanya Amsyar sahaja yang mampu membuatkan dia lupa akan masalahnya. 

Lelaki itu hanya tergelak perlahan sambil menarik hidung Aneesa.

“Nakal. Orang bimbangkan dia tapi dia boleh pulak melawak.”

Aneesa pantas menepis tangan Amsyar. Senyuman yang terukir di wajahnya turut mati. 

Belum pun sempat Aneesa bersuara, Amsyar terlebih dahulu mengangkat kedua-dua belah tangannya.

“Sorry...sorry...tak sengaja.” 

Memang itu sikap Aneesa. Nampak saja liar tapi jangan harap boleh disentuh sesuka hati. Itu yang membuatkan Amsyar semakin suka mendekati gadis yang bernama Aneesa. 

Lagaknya tak ubah seperti burung merpati yang jinak, tetapi sukar didekati. Dan dia pula menganggap semua itu sebagai cabaran.

Tiba-tiba Aneesa terkenangkan arwah ibunya. Dia tidak faham kenapa ibunya sanggup menambahkan luka pada dirinya hanya disebabkan kecewa dengan sikap papanya.

Malah, pasangan ibunya itu bertukar hampir setiap minggu. Dan dia juga nyaris menjadi mangsa nafsu ganas pasangan ibunya itu. 

Mujur dia berjaya menyelamatkan maruah dirinya.Dia benar-benar kecewa dengan jalan yang dipilih ibunya itu. 

Tapi semua itu bukanlah alasan untuk dia membenci apatah lagi menyalahkan semuanya pada ibunya. Kerana dia tahu papalah puncanya. 

Kalaulah papanya tidak mengkhianati cinta ibunya, pasti ibunya tidak akan memilih cara hidup sebegitu.

“Hei, kenapa ni? Am kan dah mintak maaf,” ujar Amsyar. Terkejut dia apabila melihat Aneesa yang tiba-tiba menangis. 

Sangkanya gadis itu menangis kerana tindakannya sebentar tadi. Dia cuba menyapu air mata Aneesa namun sempat dihalang gadis itu. 

Seketika kemudian Aneesa tersenyum sambil menggeleng-geleng.

“Tak ada apalah. Cuma rindu kat arwah ibu.”

Amsyar menarik nafas lega. Setidak-tidaknya dia tahu gadis itu menangis bukan kerana tindakannya sebentar tadi.

Kadangkala Amsyar turut berasa kasihan pada Aneesa. Entah apa silap gadis itu sehingga dilayan dingin oleh Datuk Zaman. Sudahlah usia mudanya tidak seindah insan lain. 

Malah, dia berasa kagum dengan sikap cekal Aneesa yang tidak pernah berputus asa. Aneesa pula langsung tidak menyedari yang kasih Amsyar pada dirinya hanyalah sekadar lakonan. 

Kalau tidak kerana terpaksa, sudah lama Amsyar angkat kaki meninggalkan gadis itu sendirian. Huh, dia tidak tega jika duit belanja hidupnya ditarik. Itulah sumber kewangannya untuk berfoya-foya. 

Pada Amsyar, setakat terpaksa melayan seorang gadis bukanlah masalah besar kerana dia memang terkenal dengan gelaran ‘kasanova’. Perempuan mana yang tidak terpikat dengan ayatnya yang ‘power’? Ditambah pula dengan latar belakang dan rupa parasnya yang dimiliki. 

Pendek kata, pakejnya memang lengkap. Itulah pendapatnya sebelum bertemu dengan Aneesa dahulu. Tapi semuanya berubah apabila dia bertemu dengan Aneesa. Gadis itu terlalu berbeza dengan mana-mana gadis yang selalu mendampingi dirinya. 

Nampak saja liar tapi begitu sukar untuk didekati. Tidak ubah seperti jinak-jinak merpati yang pastinya akan terbang jauh jika didekati. 

Amsyar tidak tahu sampai bila dia harus menipu gadis itu. Kalau diikutkan hatinya, dia sudah terlalu penat. Penat kerana terpaksa menahan nafsunya setiap kali dia bersama dengan Aneesa.

Padanya, Aneesa terlalu cantik. Dan dia pula sering saja tergoda dengan sikap Aneesa yang bersahaja. Walhal gadis itu tidak pernah menggodanya.

“Awak cintakan saya?” soal Aneesa tiba-tiba.

Amsyar segera menoleh pada gadis itu. Seketika kemudian dia mengangguk sambil tersenyum hambar.

Cinta? Huh, apa ertinya cinta? Soal Amsyar dalam hati. 

Dia tidak pernah mengambil tahu makna cinta itu. Tapi bibirnya tidak pernah kering daripada mengatakan cinta kepada hampir setiap gadis yang dijumpainya. 

Dia sendiri hairan, dengan hanya sepatah perkataan cinta, rata-rata gadis menyerah diri padanya. Itukah yang dimaksudkan dengancinta?

Aneesa menarik nafas lega dengan anggukan Amsyar itu. Meskipun Amsyar tidak menjawab pertanyaannya dengan kata-kata yang meyakinkan, tetapi anggukan kepala lelaki itu sudah pun memberikan jawapan padanya. Dan dia yakin dengan Amsyar. 

Yakin yang lelaki itu tercipta hanyalah untuknya dan begitu juga sebaliknya.




ps: Terima kasih sbb baca "DIA TUNANG AKU!". Harap sukakan DTA macam yg anda sukakan PA.
Kasih berganda2x diucapkan klau tinggalkan komen sekali...hehe.
Mana tau kot2x terasa nak up bab baru dalam waktu yang singkat ^___^v
Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.