Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
239,255
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18
ANEESA yang sedang menghayati keindahan pagi seorang diri tersentak apabila ada sesuatu menghentam kepalanya.

“Aduh! Sakitnya!” jerit Aneesa. 

Terus sahaja tangannya menyentuh belakang kepala yang menjadi sasaran sebentar tadi. Anak matanya membulat. Kelihatan sebiji bola jatuh tergolek dekat dengan kakinya. Bibirnya diketap kuat. 

Dia pasti itu semua angkara Dzaquan. Hanya lelaki itu saja yang suka mengganggu ketenteramannya. Anak matanya mula meliar, memandang kiri dan kanan. Mahu mencari bayang Dzaquan. 

Tapi anehnya, langsung dia tidak melihat kelibat lelaki itu. Bukan Dzaquan ke? Habis tu, siapa? Tini? Bertalu-talu soalan itu terbit di benaknya sehinggalah dia dikejutkan dengan bunyi batuk seseorang. 

Terus dia bangkit dari tempat duduknya sambil anak matanya masih lagi mencari-cari dari arah mana datang suara yang didengarnya sebentar tadi. Dadanya juga mula terasa berdebar-debar. Kepalanya juga sudah memikirkan yang bukan-bukan. Tambahan lagi, kadar jenayah di Malaysia semakin menjadi-jadi. Di rumah sendiri pun belum tentu menjamin keselamatan.

“Siapa tu?” soal Aneesa.

Secara rambang, dia mula mengatur langkah ke arah beberapa pasu bunga yang berada di taman itu. Keningnya semakin berkerut, matanya seperti melihat sesuatu berselindung di situ.

“Siapa tu? Keluar sekarang atau aku panggil polis,” ugut Aneesa pula.

Dadanya juga sudah semakin hebat berdebar. Malah, kakinya tiba-tiba sahaja melangkah menjauhi pasu itu. Bimbang jika dirinya pula akan diapa-apakan.

Zafrul yang sedari tadi menyorok di sebalik pasu bunga itu mula menggigil ketakutan. Perkataan ‘polis’ itu memang ditakutinya. Tanpa membuang masa, dia terus bangkit untuk keluar dari tempat persembunyiannya.

“Mak!” Gara-gara terkejut dengan kemunculan Zafrul yang tiba-tiba membuatkan Aneesa terjerit kuat. Seketika kemudian, dia jatuh terduduk.

Aduh, sakitnya! Terus dia menepuk punggungnya yang terasa sakit kesan terjatuh sebentar tadi. Gara-gara terpijak bola yang menghentam kepalanya sebentar tadi.

Zafrul yang melihat Aneesa yang sudah pun jatuh terduduk, terus kaku di situ. Tidak berani untuk menghampiri Aneesa. Bimbang jika Aneesa benar-benar memanggil polis hanya kerana bola yang ditendangnya tadi mengenai kepalanya.

Aneesa menjeling tajam pada bola yang menyebabkan dia jatuh terduduk sebegitu. Malang betul nasib aku. Bola pun tahu nak kenakan aku, dengus Aneesa geram. Kerana marahkan pada bola, terus dia terlupa akan kelibat yang dilihatnya sebentar tadi. Malah, dia juga tidak sedar akan Zafrul yang berdiri tidak jauh daripadanya.

“Akak.” Teragak-agak Zafrul untuk bersuara.

Terus Aneesa dongakkan kepalanya. Tercari-cari suara yang baru didengarinya. Sehinggalah anak matanya melihat Zafrul yang berdiri tidak jauh daripadanya.

Anak siapa pulak yang sesat kat dalam rumah aku ni? Getus hati Aneesa. Seingatnya dia tidak pernah melihat anak kecil itu sebelum ini. Anak Mak Ani ke? Hisy! Bila pulak dia beranak?

“Oi budak kecik! Kau siapa, hah? Kau buat apa kat rumah aku?” tanya Aneesa selamba pada Zafrul yang langsung tidak berkelip memandang ke arahnya.

Apabila pertanyaannya itu tidak dijawab, Aneesa segera bangkit. Kemudian dia duduk mencangkung. Betul-betul bertentangan dengan anak kecil yang tidak diketahui namanya itu.

“Tak dengar ke? Aku tanya kau siapa?” Sekali lagi Aneesa mengajukan soalan yang sama pada si kecil. Nadanya yang digunakan agak kasar untuk si kecil itu. Namun seperti tadi, Zafrul tidak menjawab pertanyaan Aneesa.

Hisy budak ni! Orang tanya tak nak jawab pulak dia. Degil! Tapi cara dia pandang tu sebijik macam...Dzaquan? Ah! Jangan-jangan ni adik dia tak?

Seingatnya, Dzaquan mempunyai tiga orang adik. Adik Dzaquan yang bernama Qisya sudah dikenalinya dan dia belum sempat untuk mengenali dua orang lagi adik Dzaquan. Huh! Tak ada faedah langsung kalau dia mengenali adik-adik lelaki tak guna tu.

“Oi budak! Meh sini!” panggil Aneesa sambil mengisyaratkan Zafrul agar mendekati dirinya.

Terus saja Zafrul terkedek-kedek menghampirinya. Namun kanak-kanak itu berhenti dua langkah daripadanya. Seolah-olah takut untuk merapatinya. Tiba-tiba sahaja senyuman melebar di wajah Aneesa.

Tak dapat buli abang, buli adik pun jadilah, bisik Aneesa nakal.

“Aku tak makan oranglah.” Kata-kata Aneesa terhenti di situ. Dipandang sekilas wajah takut Zafrul. Seketika kemudian dia berdeham beberapa kali.

“Aaa...akak...tak makan oranglah. Akak Neesa ni baik tau. Jadi jangan takut dengan akak,” ujar Aneesa lagi. Kali ini dia menggantikan kata ganti nama ‘aku’ dengan panggilan ‘akak’. Dan nadanya juga sudah tidak sekasar tadi.

Buat seketika hatinya digaru dengan perasaan janggal apabila pertama kali membahasakan ‘akak’.

“Siapa nama?” tanya Aneesa lagi. Teringin juga dia untuk mengetahui nama si kecil itu.

“Zafrul.”

“Adik Dzaquan?” tanya Aneesa lagi.

Terus sahaja Zafrul mengangguk.

Aneesa yang baru mengetahui status kanak-kanak itu terus mengangguk beberapa kali sambil jarinya mula mengusap-usap dagu. Ada sesuatu yang sedang bermain difikirannya.

Seketika kemudian dia mengalihkan pandangan pada wajah kanak-kanak yang berada di hadapannya itu. Seraut wajah yang polos dan comel itu membuatkan dia teragak-agak untuk membuli si kecil itu.

Hanya kerana marahkan pada si abang, takkan adiknya pula yang menjadi mangsa? Dahlah comel saja si Zafrul ni. Hati Aneesa berkira-kira sambil anak matanya masih lagi terarah pada Zafrul.

Tapi kenapa wajah mereka tak seiras? Tiba-tiba soalan itu terpacul di benaknya. Terus sahaja dia cuba membuat perbandingan di antara Dzaquan, Qisya dan juga Zafrul. Walaupun sudah banyak kali dia membuat perbandingan, dia gagal mencari persamaan pada wajah mereka. Pelik!

“Akak tak panggil polis, kan?” soal Zafrul tiba-tiba bersuara.

Aneesa yang mendengar terus berkerut kening. Polis? Kenapa nak panggil polis pulak?

“Tadi Zaf tendang bola. Lepas tu terkena kepala akak. Akak tak kan panggil polis, kan?” Teragak-agak Zafrul meluahkan kata-katanya.

Takut benar dia jika Aneesa benar-benar memanggil polis. Dia tahu tugas polis yang menangkap orang jahat. Tapi dia tak jahat. Dia tak sengaja tendang bola tu sampai terkena kepala kakak ini.

Dalam diam Aneesa tersenyum. Barulah dia mengerti kenapa perihal polis tiba-tiba terbit daripada mulut si kecil itu. Rupa-rupanya dialah yang menendang bola ke arahnya sebentar tadi.

“Zaf buat salah ke?” soal Aneesa pula sambil memandang ke arah Zafrul yang kelihatan takut-takut.

Cepat-cepat Zafrul menggeleng-geleng. Tanda dia tidak melakukan apa-apa kesalahan. Meskipun baru sebentar tadi dia menendang bola dan terkena kepala Aneesa.

“Jadi kalau Zaf tak buat salah, kenapa akak nak panggil polis pulak?”

“Betul ni?” soal Zafrul seakan-akan tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya. Matanya juga bercahaya.

Aneesa tersenyum dengan gelagat Zafrul, seraya dengan itu dia mengangguk.

“Betul?” soal Zafrul sekali lagi.

“Ya, betul.”

“Horey! Tak kena panggil polis! Tak kena panggil polis!” jerit Zafrul pula sambil mula melompat-lompat.

Aneesa yang melihat gelagat Zafrul yang bersorak gembira turut ketawa sambil menggeleng-geleng beberapa kali.

Seketika kemudian Zafrul berhenti melompat. Sebaliknya dia terus memandang tepat ke arah Aneesa. Sehinggakan Aneesa tertanya-tanya sendiri, mengapa Zafrul berubah laku seperti itu.

“Akak nanti nak kahwin dengan abang? Akak suka abang? Sayang abang?”

Aneesa tersedak. Langsung dia tidak menyangka soalan itu akan ditanya Zafrul yang begitu mentah usianya. Dadanya yang mula terasa sakit terus digosok-gosok dengan tapak tangan. Tanpa disedari, air jernih mula kelihatan pada anak matanya.

Wah! Soalan jenis apakah ini? Sungguh berbisa sekali! Memang sah, ni adik Dzaquan. Mulutnya berbisa, sama macam abangnya jugak!

“Siapa cakap aku nak kahwin dengan abang kau?” Nada Aneesa kembali kasar. Hilang sudah panggilan ‘akak’ yang digunakannya sebentar tadi.

“Kak Qis cakap. Dah tunang mesti kahwin,” balas Zafrul petah. Langsung tidak menyedari riak wajah Aneesa yang sudah pun berubah menjadi kelat.

“Tapi tunang tu apa? Kahwin pulak apa?” soal Zafrul lagi. Tangannya juga sudah menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

Melopong mulut Aneesa yang mendengarnya. Soalan yang baru diajukan Zafrul membuatkan giliran Aneesa pula yang menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Apa jenis soalan ni? Macam mana dia nak terangkan maksud semua tu,pada budak kecil ni?

“Erk, kau...kau tanya abang kaulah.” Sengaja Aneesa mengambil jalan mudah. Biar Dzaquan yang pening kepala untuk jelaskan maksud-maksud itu pada Zafrul.

Dengar sahaja perkataan abang, terus Zafrul menggeleng-geleng.

“Tak naklah.”

“Kenapa?”

“Takut.”

Takut? Hai, dengan abang sendiri pun takut. Jangan-jangan memang betul apa yang dia kata semalam. Samseng?

Perlahan-lahan Zafrul mendekati Aneesa. Seketika kemudian dia tunduk, mahu mengambil bola yang berada di kaki Aneesa. Namun cepat-cepat Aneesa tunduk untuk mendapatkan bola. Tidak mahu bola itu jatuh ke tangan Zafrul.

“Nak bola,” pinta Zafrul pada Aneesa sambil menghulurkan kedua-dua tangannya pada Aneesa.

Segera Aneesa melarikan bola itu di belakangnya. Tidak mahu diberikan pada Zafrul. Seraya dengan itu dia menarik pipi comel Zafrul. Kemudian dia tersengih nakal.

Hisy,memang comellah budak ni. Berbeza betul dengan abangnya. Buat panas hati aje bila terfikir budak kampung tu.

“Bola ni, Zaf main dengan siapa?” soal Aneesa. Terasa mahu mengusik anak kecil itu. Terlupa dia akan kemarahannya pada Dzaquan.

Zafrul tidak segera menjawab. Sebaliknya tangannya ditunjuk pada sebelah sana. Segera anak mata Aneesa menurut apa yang ditunjukkan Zafrul. Kosong! Dia tidak melihat sesiapa pun di situ.

“Siapa?” soal Aneesa lagi apabila tidak melihat sesiapa di situ. Dzaquan ke?

“Abang.”

“Zaf! Kau kat mana?”

Aneesa yang terkejut dengan suara Dzaquan yang tiba-tiba itu secara tidak sengaja telah menjatuhkan bola yang dipegangnya sebentar. Perlahan-lahan bola itu tergolek lalu terjatuh ke dalam kolam mandi yang berada tidak jauh daripadanya.

“Ah, bola...”

Zafrul yang melihat bola yang tergolek segera mengejar bola itu. Apabila bola terjatuh ke dalam kolam mandi, Zafrul tetap juga melangkah. Akhirnya dia turut terjatuh ke dalam kolam itu.

Aneesa yang berada tidak jauh dari situ hanya mampu memandang. Lidahnya kelu. Terkejut dengan kejadian yang berlaku dengan sepantas kilat. Dilihatnya Zafrul mula tenggelam timbul.

“Zafrul?”

Bunyi seperti ada sesuatu yang terjatuh ke dalam kolam menyebabkan Dzaquan mula berlari dengan sepenuh hati. Dadanya mula berdebar-debar. Bimbang jika adik yang dicari sebentar tadi terjatuh ke dalam kolam.

Dia benar-benar terkejut apabila melihat Zafrul yang berada di dalam kolam mula tenggelam timbul. Bertambah terkejut apabila menyedari Aneesa turut berada di situ. Tapi gadis itu kelihatan kaku di situ dan hanya memandang ke arah Zafrul yang hampir lemas itu.

“Ya ALLAH, Zaf!” Tanpa membuang masa Dzaquan segera terjun untuk mendapatkan adiknya. Tubuh Zafrul digapai dan dia terus berenang ke tepi.

Dzaquan cuba memberi pertolongan cemas pada adiknya. Dada Zafrul ditekan beberapa kali.

“Zaf! Bukak mata kau, Zaf! Jangan tinggalkan abang!”jerit Dzaquan sambil cuba memberi bantuan pemulihan pernafasan pada adiknya yang kelihatan kaku. Tidak lama kemudian Zafrul mula batuk-batuk dan mengeluarkan sejumlah air yang ditelan sebentar tadi.

Dzaquan mula menarik nafas lega.

“Alhamdulillah, ya ALLAH! Terima kasih...terima kasih...” ujar Dzaquan sambil memeluk erat badan Zafrul yang masih lemah.

Seketika kemudian anak matanya merenung tajam pada Aneesa yang sedari tadi hanya memandang ke arah Zafrul. Walaupun sudah dilihat dengan jelas yang adiknya itu sedang bergelumang dengan maut, Aneesa tetap kaku. Langsung tidak bertindak untuk menyelamatkan adiknya.

Dia tidak dapat bayangkan apa yang akan terjadi pada Zafrul sekiranya dia terlambat sebentar tadi. Perasaan marahnya begitu membara pada Aneesa. Tidak sangka yang Aneesa begitu kejam pada adiknya.

Kalau pun bencikan dirinya, janganlah lemparkan tempias pada adik-adiknya pula. Tanpa mempedulikan Aneesa, Dzaquan segera mendukung Zafrul. Mahu membawa adiknya itu ke hospital. Dia mahu adiknya itu terus mendapatkan rawatan yang selanjutnya.

Hilang saja Dzaquan dan Zafrul daripada pandangan, Aneesa yang sedari tadi hanya kaku memandang jatuh terduduk. Dia masih lagi terkejut dengan kejadian yang baru berlaku itu.

Seketika kemudian air mata hangat mula membasahi wajahnya. Bukan dia tidak mahu menyelamatkan Zafrul. Tapi dia tidak boleh. Dia tidak mampu. Kakinya lemah. Masih terbayang arwah ibunya yang kelihatan tenggelam timbul di hadapannya. Seolah-olah kejadian itu baru saja berlaku.

“Zaf, maafkan akak,” rintih Aneesa perlahan.

Jauh di sudut hati, dia berasa gembira kerana Zafrul berjaya diselamatkan Dzaquan. Mujur tindakan lelaki itu pantas. Tindakan lelaki itu benar-benar berbeza dengan dirinya yang tidak mampu menyelamatkan arwah ibunya daripada lemas di hadapannya sendiri.
Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.