DZAQUAN hanya mampu mendiamkan diri. Leteran panjang yang keluar daripada mulut Zulkifli langsung tidak melekat dalam kepalanya.
Apa yang dia tahu, perutnya yang tengah lapar dan mahu segera diisi. Sudahlah satu hari suntuk dia menebas semak-samun di kebun lelaki itu. Dan sekarang terpaksa mendengar leteran daripada mulut lelaki itu pula.
Gara-gara ter‘cantas’ anak pokok durian yang ditanam lelaki itu. Lagipun dia bukan sengaja hendak melakukannya.
“Hei, Wan! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” soal Zulkifli. Geram benar dia dengan reaksi selamba yang ditunjukkan anak muda itu.
Kata-katanya langsung tidak dibalas Dzaquan. Tak cukup dengan itu, tangan anak muda itu sesekali mengorek-ngorek telinga. Seperti kata-katanya sebentar tadi langsung tidak melekat dalam kepala Dzaquan.
Dzaquan tersentak dengan soalan Zulkifli yang tiba-tiba. Terkebil-kebil dia memandang ke arah Zulkifli. Entah soalan apa yang ditanyakan lelaki itu sebentar tadi. Ternyata tidak ada satu pun kata-kata lelaki itu yang berjaya melekat dibenaknya.
“Err... macam ni, Abang Zul. Abang potong ajelah duit upah saya tu. Lagipun itu memang salah saya. Maafkan saya. Saya benar-benar tak sengaja tadi,” usul Dzaquan pula.
Lebih baik dia mengalah saja. Lagipun memang salahnya juga kerana langsung tidak perasan anak pokok durian tu. Tambahan pula telinganya sudah terlalu penat untuk mendengar leteran panjang daripada lelaki itu. Ingatkan perempuan saja yang tahu meleter.
Zulkifli terdiam buat seketika. Kemudian dia memandang tubuh anak muda yang berada di hadapannya itu. Jelas pada pengamatannya tubuh itu kelihatan sedikit kurus berbanding dulu.
Apa tidaknya, sejak Encik Ramli meninggal dunia, tulang empat kerat itulah yang menyara adik-adiknya. Sudah pelbagai kerja yang dilakukan semata-mata untuk mencari duit buat keluarganya.
Tidak cukup dengan itu, dia hanya pekakkan telinga apabila ada suara-suara yang mengatanya yang bukan-bukan. Langsung tidak dibalasnya. Kalau dulu, pantang ada yang mengata, terus saja dia membalasnya.
“Tak apalah, Wan. Abang Zul maafkan kamu. Lagipun silap Abang Zul jugak sebab tak pesan pada kamu tadi,” ujar Zulkifli.
Kesian pula dia melihatkan anak yatim itu. Apa salahnya jika dia memberi peluang pada Dzaquan yang kelihatan seperti mahu berubah itu?
“Betul ni, Abang Zul? Terima kasih...terima kasih...” Dzaquan benar-benar bersyukur.
Untung juga kerana masih ada penduduk kampung yang berhati mulia masih mahu membantunya meskipun sebelum ini sudah terlalu banyak masalah yang dibuatnya.
Walaupun dia sedar dirinya dibantu pun hanya kerana mereka kasihan adik-adiknya saja.Tetapi pada Dzaquan, itu sudah cukup. Setidak-tidaknya dia tahu, adik-adiknya tidak dibenci kerana kesilapan yang pernah dilakukannya.
“Kamu dah makan?”
Dzaquan tersengih sambil memegang perutnya yang sesekali diselangi dengan bunyi ‘krok krok’. Tanda dia memang lapar. Tapi kalau dia sendiri berasa lapar bermakna adik-adiknya turut berasa lapar.
“Err...belum...” Terus saja dia menggeleng-geleng.
“Marilah makan dulu,” pelawa Zulkifli. Pelawaan Zulkifli segera ditolak Dzaquan.
“Tak apalah bang, adik-adik pun tak makan lagi tu. Saya ingat nak balik ajelah.”
“Kalau macam tu kau tunggu sekejap. Abang Zul ambilkan upah kau hari ni.”
Tanpa membuang masa, Zulkifli segera berlalu masuk ke dalam rumah. Segera diambil upah untuk Dzaquan seperti yang telah dijanjikan tempoh hari.
“Nah upahnya,” ujar Zulkifli sekembalinya pada Dzaquan. Seraya dengan itu dia menghulurkan plastik yang berisi makanan untuk disedekahkan pada Dzaquan.
Kelu lidah Dzaquan dibuatnya. Huluran daripada Zulkifli itu langsung tidak disambut. Sebaliknya dia hanya memandang plastik itu. Lama.
“Ambillah. Abang Zul sedekah untuk kamu adik-beradik,” kata Zulkifli lagi setelah dilihatnya Dzaquan teragak-agak untuk menyambut hulurannya.
“Terima kasih, bang.” Lebar senyuman terukir di wajah Dzaquan. Alhamdulillah,ada rezeki lebih untuk adik-adik, bisiknya perlahan.
Jeritan suara Qisya membuatkan Dzaquan tersentak. Tanpa membuang masa, dia terus melajukan langkah. Dia mahu segera sampai ke rumah. Hatinya tertanya-tanya, apa yang membuatkan adiknya naik angin sebegitu rupa.
“Baliklah, Encik Azmi. Saya takkan benarkan Encik Azmi pisahkan kami adik-beradik.” Suara Qisya kedengaran lagi. Nadanya tetap seperti tadi.
Qisya mengetap gigi kuat. Geram betul dengan kedegilan lelaki itu. Sudahlah datangnya dengan tiba-tiba dan sekarang mahu menghantar adik-adiknya ke rumah anak-anak yatim.
“Tapi Qisya, awak tu masih lagi bersekolah. Macam mana awak nak jaga mereka berdua ni? Diri awak sendiri pun belum tentu terurus.” Suara Jimmy yang menyamar sebagai Encik Azmi kedengaran lagi.
Masih lagi mahu cuba memujuk anak gadis itu. Bukan niatnya mahu pisahkan mereka adik-beradik. Niatnya hanya untuk membantu mereka yang sudah pun bergelar anak yatim itu.
“Tak! Saya takkan benarkan Encik Azmi pisahkan kami!” Sekali lagi Qisya menggeleng-geleng.
“Kami cuma nak tolong...”
“Tolong apa? Tolong untuk pisahkan kami adik-beradik. Macam tu?” bentak Qisya lagi.
Rasa sabarnya juga sudah semakin menipis. Lagi lama dia berhadapan dengan lelaki itu lagi cepat rasa sabarnya menghilang.
Jimmy segera menggeleng-geleng.
“Bukan macam tu. Saya harap awak fikirkan masa depan adik-adik awak. Saya tak nak awak buat keputusan, berdasarkan emosi semata-mata. Sebaliknya awak kena berfikir secara rasional. Apa yang awak boleh beri pada mereka? Pendidikan? Kehidupan yang lebih baik? Awak yakin yang mereka mempunyai masa depan yang cerah jika tinggal bersama dengan awak?” soal Jimmy bertalu-talu.
Sehinggakan Qisya yang tadinya beria-ria membantah diam membisu. Sedikit sebanyak kata-kata lelaki itu melekat di kepalanya.
“Mereka masih muda. Mereka patut dapat kehidupan yang lebih baik. Lagipun mereka bukan adik kandung awak dan langsung tak ada pertalian darah. Buat apa awak nak susahkan diri awak untuk sara mereka berdua?” sambung Jimmy lagi. Kali ini kata-katanya kedengaran agak sinis.
Berdesing telinga Qisya yang mendengarnya. Berani betul lelaki itu hendak memisahkan mereka adik-beradik.
Dia akui, kata-kata lelaki itu memang betul. Aniq dan Zafrul bukan adik kandungnya. Lalu kenapa dia dan Dzaquan pula mahu menyusahkan diri untuk menyara mereka berdua? Sepatutnya mereka berdua dihantar saja ke rumah anak-anak yatim. Ya! Itulah yang sepatutnya dilakukan.
“Itu kata encik, tapi bagi saya, mereka adik-adik saya. Adik-adik saya!” jerit Qisya kuat. Tapi tidak bagi dia dan abangnya.
Tidak sama sekali! Biar apa yang berlaku sekalipun, Aniq dan Zafrul tetap adik-adiknya. Malah, arwah ayahnya sanggup ditinggalkan isterinya gara-gara mahu membela Aniq dan Zafrul yang ditinggalkan di hadapan rumah mereka. Dan itulah juga yang akan dilakukannya. Dia akan pastikan yang Aniq dan Zafrul tidak akan dipisahkan daripadanya.
Aniq dan Zafrul hanya menyorok di belakang Qisya. Bimbang pula mendengar kata-kata lelaki itu yang mahu memisahkan mereka dengan kakak dan abangnya. Malah,pelukannya pada batang tubuh Qisya juga semakin dieratkan.
“Kenapa ni, Qis?” soal Dzaquan sambil memandang pada lelaki yang tidak dikenalinya itu. Seketika kemudian dia mengalihkan pandangan pada Qisya yang sedang dipeluk erat adik-adik mereka. Semakin tebal kerutan yang terukir di wajah Dzaquan.
“Siapa nak pisahkan Aniq dan Zaf daripada kita?” soal Dzaquan lagi.
Anak mata Qisya pula semakin merah apabila suara Dzaquan menyapa telinganya. Kekuatan yang ada dalam dirinya sebentar tadi juga sudah menghilang entah ke mana.
“Saya Azmi, dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kami terpaksa ambil Aniq dan Zafrul untuk diletakkan di rumah anak-anak yatim,” terang Jimmy apabila melihat Qisya tidak mahu menjawab pertanyaan lelaki yang baru muncul itu.
Pasti ini anak sulung Encik Ramli, bisik Jimmy yang diarah Datuk Zaman untuk menyamar sebagai pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Kenapa nak pisahkan kami adik-beradik? Saya abangnya dan saya akan jaga adik-adik saya. Tak ada siapa boleh pisahkan kami,” ujar Dzaquan dengan tegas.
“Kami tak nak berpisah daripada abang dengan akak,” rintih Aniq perlahan. Sedari tadi dia menyorok di belakang Qisya. Takut dengan berita yang baru didengarinya itu.
Manakala Zafrul yang masih kecil dan sememangnya tidak memahami situasi yang sebenarnya turut mengikut tindakan Aniq dan menyorok sama di belakang Qisya.
Seketika kemudian Dzaquan melihat lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Azmi itu membelek-belek dokumen yang dibawanya bersama. Wajahnya mula berkerut tebal. Sesekali pandangannya terarah pada Qisya yang turut tertanya-tanya akan perbuatan lelaki itu. Entah dokumen apa pula yang dipegangnya itu.
“Awak Dzaquan, kan?” soal Jimmy yang memperkenalkan diri sebagai Azmi sebentar tadi. Dipandang Dzaquan yang berada di hadapannya itu.
“Ya saya,” balas Dzaquan yang langsung tidak menyangka apa yang sedang menantinya.
Azmi terus mengangguk.
“Kalau diikutkan maklumat yang kami ada, awak baru berumur 17 tahun. Awak masih lagi di bawah umur dan awak tak layak untuk menjaga adik-adik awak. Tambahan pulak, awak jugak masih lagi bersekolah...”
“Tapi saya boleh jaga adik-adik saya,” potong Dzaquan. Geram pula dia apabila ada orang luar yang mahu memisahkan mereka adik-beradik.
“Mengikut maklumat ni lagi, awak jugak mempunyai masalah-masalah disiplin. Bukan satu tetapi agak banyak jugak. Bergaduh, ponteng sekolah dan sebagainya,” sambung lelaki itu lagi.
Dzaquan hanya mampu mendiamkan diri apabila masalah disiplinnya mula disebut satu per satu oleh lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Azmi itu. Dipandang wajah Qisya lemah. Adiknya itu sudah menggeleng-geleng.Terasa harapannya untuk mempertahankan adik-adiknya semakin menipis.
Ya! Itulah silapnya. Kerana masalah-masalah yang pernah dilakukan dahulu, dia akan kehilangan adik-adiknya pula. Inikah balasan di atas perbuatannya dulu?
“Semua maklumat yang saya sebutkan tadi betul, kan?” soal lelaki itu lagi apabila dilihat Dzaquan diam membatukan diri.
Perlahan-lahan Dzaquan mengangguk. Tiba-tiba saja kepalanya terasa berat.
“Kalau ikutkan maklumat awak seperti ini, awak tak layak jadi ketua keluarga untuk mereka. Kerana awak dah menunjukkan contoh yang tak baik pada mereka. Saya tak nak masa depan mereka rosak disebabkan awak. Dan saya terpaksa hantar adik-adik awak ke rumah anak-anak yatim.”Tegas sekali kata-kata yang diluahkan Jimmy.
Dzaquan menggeleng-geleng.
“Tapi...tapi saya dah berubah. Saya akan sara mereka,” balas Dzaquan perlahan. Kekuatannya sudah melayang entah ke mana.
“Mungkin betul awak dah berubah. Tapi rekod awak tetap tak dapat diubah. Maafkan saya, saya hanya menjalankan tugas,” ujar Jimmy sambil menulis sesuatu pada dokumen yang berada di tangannya itu.
Terus saja Qisya memeluk Dzaquan. Kakinya terasa lemah apabila diberitahu yang mereka terpaksa berpisah dengan Aniq dan Zafrul. Begitu juga dengan adik-adiknya. Mereka memeluk erat kaki Dzaquan, tanda tidak mahu dipisahkan dengan Dzaquan.
“Abang, Aniq tak nak pergi! Aniq nak tinggal dengan abang! Aniq janji Aniq akan jadi budak baik. Aniq janji, bang! Aniq takkan nakal lagi!” teriak Aniq di kaki Dzaquan. Air matanya juga sudah semakin laju membasahi wajahnya.
Malah, dia turut menggoncang-goncang kaki Dzaquan. Aniq sudah tidak peduli jika dia akan dimarahi abangnya itu yang dia tahu, dia tidak mahu dihantar ke rumah anak-anak yatim.
Di tempat yang asing. Tempat yang dipenuhi orang-orang yang kehilangan keluarga. Sudah cukup pengalamannya sekali dibuang keluarga dan dia tidak mahu dibuang buat kali kedua. Dia sudah mempunyai kakak dan abang. Dia tidak mahu jadi anak terbuang. Dia tidak peduli jika mereka bukan keluarga kandungnya. Yang dia tahu, dia tidak mahu berpisah dengan mereka. Kenapa mahu dihantarnya ke sana?
Zafrul, si kecil yang langsung tidak mengerti apa-apa turut sama menangis dan berteriak sama apabila melihatkan abang dan kakaknya sudah dibasahi dengan air mata.
“Zaf pun janji tak nak nakal lagi!” teriak Zafrul juga yang mengikut kata-kata Aniq sebentar tadi.
Air mata Dzaquan turut gugur apabila mendengar teriakan adik-adiknya itu. Lantas dia tunduk dan terus dipeluk adik-adiknya.
Maafkan abang, abang tak mampu untuk halang mereka. Abang tak berdaya. Maafkan abang...
“Syy...jangan nangis. Siapa cakap adik abang nakal? Adika bang tak nakal,” pujuk Dzaquan. Pelukan pada adik-adiknya juga dieratkan. Hatinya benar-benar sebak apabila memikirkan yang dia terpaksa berpisah dengan adik-adiknya.
Walaupun mereka tiada hubungan darah, namun Encik Ramli sudah menjaga mereka berdua sejak kecil lagi. Dia pun sudah menganggap Aniq dan Zafrul seperti adik kandung sendiri. Seperti sayangnya dia pada Qisya. Begitulah sayangnya pada Aniq dan Zafrul.
“Apa yang akan berlaku kalau saya ambil mereka berempat jadi anak angkat saya?” usul Datuk Zaman, yang sedari tadi hanya memerhati mereka dari jauh.
Pelukan di antara mereka terlerai dengan kedatangan insan itu. Dzaquan dan Qisya saling berpandangan. Ternyata mereka tidak pernah melihat insan itu, yang kelihatan kemas dengan pakaian yang berjenama tersarung pada badannya.
Jimmy yang sedang menulis sesuatu panggungkan kepala apabila mendengar suara yang tiba-tiba muncul. Lama dia memandang insan yang baru muncul itu. Kemudian dia memandang pula pada Dzaquan dan Qisya. Daripada reaksi yang ditunjukkan pada wajah mereka, dia yakin yang insan itu cukup asing buat mereka.
“Maaf, encik ni siapa?” soal Jimmy pura-pura kehairanan. Dipandang pula pada Qisya dan Dzaquan bersilih ganti.
“Saya Datuk Zaman. Kawan baik ayah mereka, Encik Ramli,” jawab Datuk Zaman segera memperkenalkan diri. Tangannya dihulurkan pada Jimmy.
Dzaquan dan Qisya hanya mampu berpandangan sesama sendiri. Mereka tidak kenal insan itu. Terasa aneh apabila insan itu menyebut nama ayah mereka. Seolah-olah memang mengenali ayah mereka.
Qisya yang berada di dapur sesekali mencuri pandang pada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Zaman. Entah apa yang sedang dibincangkan dengan Jimmy, hingga lelaki itu terus beredar. Begitu mudah. Agaknya kerana lelaki itu bukan orang sembarangan dan sebab itulah Jimmy terpaksa akur akan kehendaknya.
Dzaquan tidak betah ditinggalkan berdua dengan Datuk Zaman. Manakala Qisya pula sudah berlalu ke dapur untuk menghidangkan minuman buat tetamunya itu.
“Siapa nama kau?” soal Datuk Zaman pada Dzaquan. Walhal dia sudah mengetahui nama anak muda itu. Dapat dilihat riak gelisah di wajah anak muda itu.
Tugas Jimmy yang memperdayakan Dzaquan dengan menyamar sebagai wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah pun selesai. Dan sekarang semuanya terserah padanya.
“Dzaquan,” jawab Dzaquan ringkas.
Kata kawan baik ayah. Tapi tak kan nama aku pun tak tahu? Tapi kenapa sebelum ni dia tak pernah datang? Aku tak pernah nampak dia. Sewaktu ayah meninggal dunia pun aku tak nampak dia, bisik Dzaquan dalam hati. Hatinya berasa curiga pada lelaki itu. Mana mungkin ayahnya mempunyaikawan yang berpangkat ‘Datuk’.
“Kenapa pandang aku macam tu? Tak percaya apa yang aku cakap?” duga Datuk Zaman. Seraya dengan itu dia mengeluarkan kad nama dan sekeping gambar lama lalu dihulurkan pada Dzaquan.
“Ayah,” ujar Dzaquan perlahan sambil anak matanya tertumpu pada gambar itu.
“Kenapa Datuk nak tolong kami?” soal Dzaquan setelah lama merenung gambar lama itu.
Datuk Zaman tersenyum mendengar soalan daripada Dzaquan. Sejak seminggu yang lalu dia memerhatikan gerak-geri anak sulung Encik Ramli itu. Dia kagum dengan semangat gigih, rajin dan bertanggungjawab yang ditunjukkan Dzaquan.
Walaupun usianya masih muda tapi dia begitu matang. Begitu juga dengan Qisya. Mereka berdua benar-benar berbeza dengan Aneesa. Walhal Qisya dan Aneesa adalah sebaya dan hanya muda setahun daripada Dzaquan. Perbezaan antara mereka begitu ketara.
“Aku tak tolong kau dengan percuma.”
Kening Dzaquan mula berkerut seribu. Sepatutnya dia sudah menduga jawapan sebegini yang akan keluar daripada mulut Datuk Zaman. Memang aneh kerana lelaki itu tiba-tiba muncul dan mahu mengambil mereka berempat sebagai anak angkat.
Mana ada insan yang begitu berhati mulia di dalam dunia ini?
"Apa maksud Datuk?” soal Dzaquan mula cuak melihat senyuman yang tiba-tiba terukir di wajah Datuk Zaman.
“Aku nak kau terima pinangan aku.”
Dzaquan tersentak. Dilihat senyuman Datuk Zaman semakin melebar. Sesekali wajah tua itu menjeling Qisya yang berada di dapur.
Dasar tua tak sedar diri, gumam Dzaquan geram. Tangannya digenggam erat. Cuba menahan rasa yang semakin membahang itu.
“Tak! Saya takkan terima pinangan Datuk. Adik saya tu masih muda. Masih bersekolah. Lagipun kami ni orang miskin, tak padan dengan Datuk,” ujar Dzaquan. Nadanya kedengaran agak kuat.
Qisya yang berada di dapur segera menoleh pada abangnya. Hairan melihat perubahan yang ditunjukkan abangnya itu. Seolah-olah sedang menahan marah.
Senyuman yang terukir di wajah Datuk Zaman tadi mati. Kemudian dipandang pula pada Qisya yang memandang ke arah mereka. Pasti gadis itu terkejut dengan perubahan yang ditunjukkan Dzaquan.
Datuk Zaman kemudiannya tergelak perlahan. Yakin benar yang Dzaquan sudah tersalah faham akan tujuannya yang sebenar.
“Memang kami miskin, tapi Datuk tak patut permainkan kami,” ujar Dzaquan lagi.
Geram benar dia melihat gelagat Datuk Zaman yang tiba-tiba sahaja ketawakannya. Rasanya dia tidak membuat sebarang jenaka untuk diketawakan.
“Aku rasa kau dah salah faham,” balas Datuk Zaman setelah ketawanya semakin reda.
“Maksud Datuk?” soal Dzaquan tidak sabar.
“Aku ni dah tua, dah malas nak fikir fasal kahwin.”
Dzaquan terpinga-pinga dengan jawapan yang baru keluar daripada mulut Datuk Zaman itu. Apa maksud Datuk ni? Kalau bukan Qisya, habis siapa lagi? Hanya Qisya seorang saja perempuan dan mereka bertiga pula lelaki. Gila ke orang tua ni?
"Maksud aku tadi aku nak pinangkan kau. Untuk anak gadis aku,” terang Datuk Zaman setelah dilihat Dzaquan yang kebingungan itu.
Giliran Dzaquan pula yang ketawa mendengar jawapan Datuk Zaman. Terasa lucu dengan jawapan yang baru lahir daripada mulut Datuk Zaman. Perempuan pinang lelaki? Tak pernah dibuat orang. Sah, dia ni gila!
“Datuk ni bergurau, kan?” soal Dzaquan. Tak pernah dibuat orang, fikirnya lagi.
“Tak, aku tak bergurau. Asal kau setuju, aku akan tanggung semuanya. Termasuk kos majlis nanti, pelajaran kau dan adik-adik kau. Aku akan tanggung semuanya,” balas Datuk Zaman lagi.
Dia tidak peduli andai Dzaquan mengatakannya gila. Apa yang dia tahu, dia akan lakukan apa saja untuk pisahkan Aneesa dengan Amsyar.
Dzaquan terdiam. Renungan mata Datuk Zaman membuatkan dia percaya yang kata-kata lelaki itu tidak bergurau dengan apa yang dicakapkannya sebentar tadi.
“Tapi kenapa mesti saya, Datuk?”
Dzaquan tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. Semua ini berlaku dengan waktu yang singkat.
“Sebab aku percaya kau akan jaga anak aku dengan baik. Aku tak nak serahkan anak aku pada orang lain selain kau, Dzaquan.”
“Tapi Datuk...” Dzaquan cuba beralasan. Usianya masih terlalu muda dan masih banyak yang belum dilakukannya. Tanggungjawab itu terlalu besar untuk dipikulnya.
“Aku tahu kau seorang yang bertanggungjawab. Buktinya aku dah lihat daripada cara kau mempertahankan adik-adikkau tadi,” ujar Datuk Zaman masih lagi cuba memujuk Dzaquan.
Dia tidak mahu kehilangan anak muda itu. Dia sanggup menggunakan apa cara sekalipun untuk pastikan Dzaquan menjadi menantunya.
“Datuk tak kenal saya. Saya gagal, gagal untuk mempertahankan adik-adik saya.”
Memang benar dia berusaha untuk mempertahankan adik-adiknya tapi dia gagal. Mujur Datuk Zaman muncul tepat pada masanya. Kalau tidak sudah tentu dia kehilangan adik-adiknya itu.
“Tapi aku tahu kau dah cuba pertahankan. Aku yakin dengan didikan Ramli. Sebab tu aku tak teragak-agak untuk ambil kau sebagai menantu.”
Dzaquan menarik nafas. Dipandang Qisya yang berada di dapur. Manakala Aniq dan Zafrul pula sibuk bermain.
“Apa akan jadi kalau saya tolak pinangan Datuk?” Teragak-agak Dzaquan untuk bersuara.
Datuk Zaman mengangguk perlahan. Kemudian dia menepuk bahu Dzaquan, perlahan.
“Kalau itu yang kau mahu, maafkan aku kerana aku tak dapat mempertahankan adik-adik kau daripada dihantar ke rumah anak yatim.” Datuk Zaman perlahan-lahan bangkit dari tempat duduknya.
Ya ALLAH, bukan ini yang hendak dilakukannya. Kenapa dia sanggup menggunakan Aniq dan Zafrul sebagai umpan untuk memerangkap Dzaquan?
Namun terlajak perahu boleh diundur, tapi terlajak kata, badan binasa. Dan dia sanggup menerima apa saja jawapan yang keluar daripada mulut Dzaquan.
Baru saja Datuk Zaman membuka pintu kereta, namanya sudah dipanggil Dzaquan. Perlahan-lahan anak muda itu melangkah menghampirinya.
Dzaquan menarik nafas panjang, sebelum membuka mulut.
“Saya terima pinangan Datuk dengan syarat jangan pisahkan kami adik-beradik,” ujar Dzaquan lemah.
Dzaquan segera bersetuju. Langsung dia terlupa untuk mengambil kira akan perasaan gadis yang akan dikahwinkan dengannya itu.
Tahukah anak gadis Datuk Zaman itu? Bersetujukah anak gadis itu dengan tindakan orang tuanya itu? Dan bolehkah dia menerima gadis yang langsung tidak dikenalinya sebagai isterinya? Bolehkah dia memikul tanggungjawab itu? Bolehkah mereka hidup seperti suami isteri yang lain?
Dzaquan benar-benar terlupa akan masalah-masalah yang akan datang. Apa yang dia tahu, dia harus bersetuju. Demi kebahagiaan adik-adiknya, dia sanggup melakukan apa saja.
Walaupun dia pasti Qisya sudah tentu tidak akan bersetuju dengan tindakannya itu. Tapi dia terpaksa. Itu saja cara yang ada untuk mempertahankan mereka adik-beradik. Hanya Datuk Zaman sahaja yang boleh menolongnya. Malah, lelaki itu berjanji untuk menyara mereka berempat sekiranya dia bersetuju untuk berkahwin dengan anak Datuk Zaman.
Padanya, syarat sebegitu amat menguntungkan dirinya. Walaupun dia terpaksa ‘menjual’ dirinya sendiri. Tapi demi adik-adiknya, dia sanggup. Kerana dia sudah berjanji dengan arwah ayah untuk menjaga adik-adiknya itu.
ps: Terima kasih sbb baca "DIA TUNANG AKU!". Harap sukakan DTA macam yg anda sukakan PA.
Kasih berganda2x diucapkan klau tinggalkan komen sekali...hehe.
Mana tau kot2x terasa nak up bab baru dalam waktu yang singkat ^___^v