Home Novel Cinta PILIHLAH AKU!
PILIHLAH AKU!
Dhieya Adlynna
5/9/2014 09:51:35
40,122
Kategori: Novel
Genre: Cinta
[Bab 7]

BAB 7

“Apa dia? Macam mana kau buat kerja ni?” jerkah Muhammad Fattah kuat. Seraya dengan itu, dia membaling gelas yang berada di hadapannya.

Prang!

Bunyi gelas yang pecah jelas sekali kedengaran. Seketika kemudian, tangannya mula meraba-raba barang yang berada berhampirannya. Lagaknya seperti mahu melemparkan barang buat kali kedua. Tapi, hampa apabila tiada apa yang boleh dijadikan sebagai ‘bola’ untuk membaling kepada pembantunya itu.

Kepala Mazlan juga sudah ditundukkan. Dia lebih rela memandang kakinya sendiri daripada memandang wajah tegang Muhammad Fattah. Tambahan pula, dia sedar yang anak mata majikannya itu masih lagi terarah tepat kepadanya.

“Sa...saya dah buat macam yang Tuan Muda suruh....” dalam takut-takut, Mazlan bersuara. Bimbang jika dia terus membisu, amukkan majikannya itu semakin mengganas.

“Habis tu, mana dia?” soal Muhammad Fattah pantas.

Suruh buat kerja yang mudah pun tak boleh nak uruskan. Pemalas! Gaji mahu tapi kerja tak nak buat, bebel Muhammad Fattah.

“Dia cakap, dia tak nak jumpa dengan Tuan Muda,” jawab Mazlan spontan, gara-gara terkejut dengan suara Muhammad Fattah yang kuat itu.

“Tak nak jumpa?” soal Muhammad Fattah.

Keningnya juga sudah bertaut. Seakan tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya itu. Seingatnya, inilah kali pertama dia menerima penolakan daripada seseorang. Tak sangka, dalam Malaysia ni masih ada yang tidak kenal dengan sebaris nama yang dimilikinya itu.

Mazlan pantas menganggukkan kepalanya.

“Kenapa?”

“Tak tahu, tapi...” kata-kata Mazlan terhenti di situ.

“Tapi apa?” desak Muhammad Fattah yang semakin tidak sabar untuk mendengar kata-kata Mazlan yang selanjutnya.

“Dia nampak marah sangat. Siap halau saya dengan penyapu,” sambung Mazlan lagi.

Mulut Muhammad Fattah sudah melopong. Tak kan suruh dia jumpa dengan aku pun, naik angin macam tu sekali? Siap pakai penyapu pulak tu.

“Apa yang kau cakap, sampai dia marah macam tu?”

Mazlan tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Seketika kemudian, dia menggelengkan kepalanya. Tanda dia sendiri tidak tahu apa yang sudah dibuatnya.

“Err...saya pun dah lupa apa yang saya cakap pada dia,” kata Mazlan pula sambil tersengih seperti kerang busuk.

“Tapi, saya dah buat macam yang Tuan Muda suruh. Saya desak dia untuk jumpa dengan Tuan Muda...” ujar Mazlan dengan tiba-tiba. Dia tidak mahu Tuan Muda terus menyalahkan dirinya, sedangkan dia sudah bertindak mengikut arahan yang diberikan.

Muhammad Fattah terus menampar wajahnya dengan tangan kirinya yang masih lagi berbalut. Seketika kemudian, dia meraup wajahnya pula. Apalah nasibnya, dapat pembantu yang langsung tak membantu.

“Kau desak dia buat apa? Dah sah-sah dia tak akan ikut kau. Nak lagi, dia bukannya kenal kau. Tentu dia ingat kau ni nak culik dia, bodoh!”

Sengihan yang terukir di wajah Mazlan, terus mati dengan kata-kata majikannya itu. Sedar, ini bukanlah waktu yang sesuai untuk tayang reaksi sebegitu. Takut nanti, ada lagi barang yang melayang.

“Kau pasti ke dia penyelamat aku?”

Pertanyaan Muhammad Fattah itu, dijawabnya dengan anggukkan kepala saja. Sudah tidak berani untuk bersuara setelah dipanggil ‘bodoh’ sebentar tadi.

“Tahu namanya? Tempat tinggalnya? Di mana dia kerja?” bertubi-tubi soalan itu terpacul dari mulut Muhammad Fattah.

“Tau Tuan Muda,” balas Mazlan sambil menganggukkan kepalanya.

Nasib baik dia dah siasat semuanya. Kalau tidak, sah kena marah lagi. Seketika kemudian, Mazlan mengeluarkan telefon pintarnya dan terus menghantar maklumat mengenai Ainul Husna kepada Tuan Muda.

“Namanya Ainul Husna....” ujar Muhammad Fattah sambil membaca maklumat yang diberikan oleh Mazlan sebentar tadi.

“Kerja di...kedai kek?” tanyanya pada Mazlan. Nadanya itu seakan terkejut dengan maklumat itu.

“Ya, Tuan Muda.”

“Boleh tahan samsengnya, siap halau kau pakai penyapu,” komen Muhammad Fattah pula. Sambil anak matanya terarah pada maklumat yang seterusnya. Beberapa keping gambar pula yang kelihatan.

“Ini ke dia?” soal Muhammad Fattah lagi sambil memandang pada Mazlan sekilas.

“Ya, itulah Ainul Husna,” balas Mazlan sambil menganggukkan kepalanya.

Seketika kemudian, anak mata Muhammad Fattah kembali terarah gambar seorang gadis yang bertudung. Kemudian, pandangannya terarah pula pada anak mata gadis itu. Cantik, bisik hatinya lagi. Anak matanya terus menatap hidung dan seraut wajah gadis itu yang kelihatan begitu cantik dan ayu. Walaupun gambar itu diambil secara curi-curi, kecantikan yang dimiliki oleh gadis itu masih lagi terserlah.

Ternyata, gadis di dalam gambar itu berbeza sekali dengan cerita yang disampaikan oleh Mazlan sebentar tadi. Seolah-olah ia merupakan dua orang yang berbeza sahaja. Dari gambar itu, Muhammad Fattah langsung tidak dapat mengagak yang gadis itu seorang yang garang dan berlagak seperti samseng.

“Cantiknya,” ujar satu suara. Betul-betul di tepi telinga Muhammad Fattah yang sedari tadi begitu asyik menatap gambar itu.

Muhammad Fattah tersentak. Lantas, telefon yang berada di tangannya turut terlepas dari pegangannya. Tanpa membuang masa, dia terus menoleh di sisinya.

Uncle?” soal Muhammad Fattah yang terkejut apabila melihat Uncle Lim berada di sisinya.

Uncle Lim yang menyedari Muhammad Fattah yang terkejut itu, hanya tersenyum tipis. Seketika kemudian, dia tunduk untuk mengambil telefon Muhammad Fattah yang terjatuh sebentar tadi. Buat seketika, anak matanya terarah pada gambar seorang gadis yang lengkap bertudung di dada skrin telefon itu.

“Cantik,” ujar Uncle Lim lagi sambil menyerahkan telefon itu kepada Muhammad Fattah.

“Tapi....dia bukan cita rasa Tuan Muda,” sambung Uncle Lim lagi.

Anak mata Muhammad Fattah sudah pun membulat dengan kata-kata Uncle Lim itu. Hai, sejak bila pulak UncleLim ni ambil tahu gadis ini cita rasa aku ke tak?

“Cita rasa Tuan Muda kan seksi, pisau cukur dan yang paling penting mesti pandai menggoda,” komen Uncle Lim lagi apabila perasan riak wajah Muhammad Fattah yang seakan terkejut dengan kata-katanya sebentar tadi.

“Eh, uncle ni? Saya diam makin sedap mengata ya?”

“Tak betul apa yang unclecakap?”

Muhammad Fattah terdiam. Malas hendak berbalas kata dengan orang tua tu kerana sudah tentunya dia yang kalah. Apa yang dikatakan oleh Uncle Lim sebentar tadi, memang ada benarnya juga. Tapi, hairan...kenapa dia masih mahu menghabiskan masanya dengan mereka jika dia sudah mengetahui yang semua gadis itu hanya inginkan kemewahannya saja?

“Ini penyelamat sayalah,” beritahu Muhammad Fattah yang mahu mengelak dari menjawab soalan yang diajukan oleh Uncle Lim itu.

Giliran Uncle Lim pula yang terkejut dengan kata-kata Tuan Mudanya itu.

“Itu gadis yang menyelamatkan Tuan Muda?” tanya Uncle Lim sambil menunjukkan pada telefon Muhammad Fattah.

“Ya.”

“Bila Tuan Muda nak jumpa dengan dia?” soal Uncle Lim lagi.

Wajah Muhammad Fattah sudah berkerut tebal. Terus dia mengalihkan pandangannya pada Uncle Lim.

“Mana uncle tahu yang saya nak jumpa dengan dia?”

Seingatnya, hanya Mazlan sahaja yang tahu perihal itu.

“Tuan Muda kan tak suka terhutang budi, sudah tentulah Tuan Muda arahkan orang untuk mencari penyelamat tu kan? Kalau tidak, mustahil Tuan Muda berjaya dapatkan gambar dan maklumat dia ni.”

Muhammad Fattah tergelak dengan kata-kata Uncle Lim itu. Ternyata, dalam dunia ni hanya Uncle Lim sahajalah yang memahami dirinya itu.

“Saya tak pasti dapat jumpa dengan dia ke tak.”

“Kenapa? Ada juga orang yang tak mahu berjumpa dengan Muhammad Fattah?” soal Uncle Lim yang seakan tidak percaya dengan jawapan yang diberikan oleh Tuan Mudanya itu.

Biar betul? Tak mahu berjumpa dengan Tuan Mudanya, umpama orang itu juga menolak tuah.

Muhammad Fattah tidak terus menjawab pertanyaan Uncle Lim itu. Sebaliknya, dia terus menatap seraut wajah yang berada di dada telefonnya itu.

“Macam tak percaya kan, uncle? Tapi, itulah hakikatnya.”

Satu keluhan berat dilepaskan. Seketika kemudian, dia mengalihkan pandangannya pada Mazlan.

“Saya tak tahulah apa yang Mazlan ni cakapkan, sampai dia halau si Lan ni dengan penyapu,” ujar Muhammad Fattah dengan tiba-tiba. Sedikit sebanyak, dia menyalahkan pembantunya itu.

Mazlan yang mendengar kata-kata majikannya itu hanya mampu membisu. Tidak berani untuk melawan bersuara, meskipun dia merasakan tuduhan itu tidak berasas sama sekali.

“Uncle ada idea. Tapi, tak tahulah Tuan Muda setuju atau tidak,” ujar Uncle Lim secara tiba-tiba. Senyuman juga sudah mula terukir di wajah tua itu.

Anak mata Muhammad Fattah dan Mazlan terus terarah pada Uncle Lim itu. Hati mereka sudah mula digaru dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak. Entah idea apalah yang dikatakan oleh Uncle Lim itu sehinggakan dia sudah tersenyum lebar seperti itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.