Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
239,285
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 27
Empat tahun kemudian...



LAMA Dzaquan membuang pandang pada pemandangan yang berada di hadapannya itu. Hatinya terasa tenang dengan kehijauan alam. Dan jauh di sana dia dapat melihat laut biru yang terbentang luas. 

Ditambah pula dengan Jambatan Pulau Pinang yang tidak pernah kosong dengan kenderaan. Membuatkan pemandangan di hadapannya itu benar-benar indah meskipun dia sekarang berada di dalam kampus Universiti Sains Malaysia. Dan di sinilah dia banyak menghabiskan masanya jika tiada kelas atau aktiviti lain.

Kemudian Dzaquan mengeluarkan telefon bimbit. Fail gambar dibuka. Satu-satunya gambar yang menjadi penemannya selama ini dibuka. Senyuman mekar jelas kelihatan pada wajah Aneesa yang kelihatan gembira bermain salji. 

Itulah gambar pertama dan terakhir yang dikirimkan Aneesa hampir empat tahun dulu sebelum gadis itu senyap tanpa khabar berita. Itu pun dikirimkan pada Qisya dan bukan padanya. 

Meskipun sedikit rasa kesal terdetik di hatinya kerana mengizinkan Aneesa pergi dulu, tapi setidak-tidaknya dia telah membuat keputusan yang membuatkan Aneesa boleh tersenyum gembira sebegitu. Dia tidak pasti boleh membuatkan Aneesa tersenyum seperti itu andai gadis itu bersama dengannya.

“Oi Wan! Kau buat apa tu?” jerit satu suara dari arah belakang.

Dzaquan segera menoleh. Dilihatnya Ammar, Ikhsan dan Fendi yang berada di atas motosikal sambil Fendi melambai tangan ke arahnya.

“Alah San, kau macam tak kenal dengan dia tu. Jiwang tak habis-habis,” balas Fendi sambil tangannya masih lagi dilambaikan pada Dzaquan. Menyuruh rakannya itu mendekati mereka. 

Namun Dzaquan yang hanya memandang ke arah mereka bertiga tidak ada langsung tanda-tanda yang rakan mereka itu akan bangkit daripada tempat duduknya. Fendi mula terasa cuak.

“Oi! Sinilah!” jerit Fendi pula. Geram dengan Dzaquan yang seolah-olah tidak mengerti isyaratnya sebentar tadi.

Dzaquan tersenyum kelat. Sedar yang rakannya itu menyampah dengan reaksi yang ditunjukkannya sebentar tadi. Bukan dia tidak faham isyarat lambaian yang diberikan Fendi. Tetapi dia sengaja buat-buat tidak faham. 

Kalau diikutkan rasa hatinya, dia malas mengikut langkah kawan-kawannya itu kerana dia belum puas bersendirian. Dia memandang wajah rakannya itu satu per satu. 

Seketika kemudian dia mengeluh kecil. Telefon yang berada di tangan segera disimpan di dalam kocek seluar. Dzaquan segera bangkit dari tempat duduknya dan kemudian mengatur langkah ke arah rakan-rakannya.

“Nak ke mana?” soal Dzaquan. 

“Isi perutlah. Kau duk bertenggek kat situ tak lapar ke?” sahut Ammar yang sudah pun menyentuh perut yang sedari tadi minta diisi.

“Macam tau-tau aje aku lepak sini,” balas Dzaquan sambil melabuhkan punggung di belakang Fendi.

“Macamlah kau selalu lepak kat tempat lain.”

“Eh, kau tak pernah lepak tengah-tengah malam ke? Manalah tahu kut-kut Cik Pun nak tumpang sekali,” usik Ikhsan pula sambil tangannya diangkat dan membuat gaya hantu puntianak. Sengaja dia mengusik Dzaquan yang memang diketahui banyak menghabiskan masanya di situ. 

“Kaulah Cik Pun tu,” balas Dzaquan pantas. Selamba dengan itu Dzaquan menampar dahi Ikhsan. Berkerut kening Ikhsan gara-gara menahan kesakitan.

“Sakitlah!” balas Ikhsan geram. Niatnya tadi mahu mengusik Dzaquan, tetapi dia pula yang kena.

Baru saja Dzaquan dan rakan-rakannya melabuhkan punggung, Zara dan Tieqa datang menghampiri mereka. Senyuman di wajah Zara semakin melebar apabila melihat Dzaquan turut berada di situ. Sudah terlalu lama dia tidak menatap wajah itu. Wajah itulah yang selalu dirindukannya. 

Dia tidak peduli jika rakan-rakannya sering saja mengutuk Dzaquan kerana pemakaiannya yang agak selekeh. Ditambah pula dengan rambutnya yang panjang dan tidak diikat kemas. Tidak cukup dengan itu wajahnya juga telah dihiasi dengan janggut yang tumbuh meliar di wajahnya. 

Pada Zara, Dzaquan tetap di hatinya. Dzaquan tetap menarik daripada kaca matanya. Cuma lelaki itu menyembunyikan tarikannya di sebalik pakaian yang selekeh dan rambut yang panjang. Biarlah Dzaquan low profile seperti itu. 

Setidak-tidaknya lelaki itu tidak akan menjadi rebutan pelajar-pelajar perempuan seperti yang berlaku pada Dhamiri Isyfal. Sehinggakan ada yang sanggup bergaduh sesama sendiri, semata-mata mahu mendapat perhatian daripada Dhamiri Isyfal. Akhirnya semua putih mata apabila lelaki itu selalu dilihat bersama Alya Maisara.

“Hai, Wan! Lama tak nampak you? Mana pergi?” sapa Zara mesra, seraya dengan itu dia melabuhkan punggung disisi Dzaquan.

Senyuman lebar terukir di wajahnya. Perasaan gembiranya kerana dapat bertemu dengan Dzaquan sukar untuk disembunyikan. Meskipun dia tidak dapat duduk berdua-duaan dengan Dzaquan, itu sudah cukup buatnya. 

Belum pun sempat Dzaquan bersuara, Ikhsan yang berada di hadapan Dzaquan lebih dulu bersuara.

“Ya ALLAH, sampai hati kau panggil member aku ‘haiwan’? Dia ni nampak aje macam haiwan tapi manusia tau,” ujar Ikhsan yang cuba membuat lawak. Kemudian dia tergelak dengan kata-katanya sendiri. 

Fendi dan Ammar turut sama tergelak. Bagaikan menyokong kata-kata Ikhsan sebentar tadi.

“Sibuk aje! Orang tak tanya dia,” rungut Zara tarik muka dengan kata-kata Ikhsan yang buat lawak bodoh itu. Lain yang diharapkan, lain pula yang menyampuk.

Dzaquan yang perasan perubahan wajah Zara segera menampar dahi Ikhsan buat kali kedua dalam hari yang sama.

“Aduh! Sakitlah, mangkuk!” jerit Ikhsan sambil menggosok-gosok dahinya yang terasa pedih dengan tamparan Dzaquan buat kali kedua di tempat yang sama.

“Kalau mengata orang, dialah juara,” balas Dzaquan selamba.

Fendi dan Ammar pula segera menutup dahi mereka dengan kedua-dua belah tangan apabila pandangan Dzaquan tertumpu ke arah mereka pula.

“Ops! Kami tak cakap apa pun ya. Kami cuma tumpang gelak aje.”

Dzaquan yang melihat reaksi Fendi dan Ammar itu, hanya tersenyum kecil. Seketika kemudian dia mengalihkan pandangan pada Zara dan Tieqa yang turut berada di meja mereka.

“Kami baru aje sampai, tak sempat nak order pun lagi. Kau orang datang dari mana?” jawab Dzaquan akan pertanyaanZara sebentar tadi.

“Baru habis kelas,” balas Zara dengan riang. Baru melihat senyuman Dzaquan, tentulah dia gembira.

“Aik? Kelas BI tak habis lagi ke?” sindir Ammar. Maklum sajalah Zara sudah masuk tahun kedua. Sepatutnya subjek itu sudah tidak sepatutnya diambil. 

“Please! You ingat I ni apa? Lainlah kalau budak kampung macam you.” Sinis sekali kata-kata yang dilemparkan Zara buat Ammar. Air muka lelaki itu terus berubah.

“Sebenarnya, I ambil foreign language,” sambung Zara lagi. 

“Ambil bahasa apa?” sampuk Dzaquan dengan tiba-tiba. Mahu mengurangkan ketegangan di antara Zara dan Ammar.

“Kita orang ambil Mandarin. Susah tau sampai terbelit-belit lidah ni,” sahut Tieqa pula.

“Dah lidah tu pendek, memanglah,” ulas Fendi perlahan. Namun sempat didengar Zara dan Tieqa. Terus mereka menjeling tajam pada lelaki itu. 

Fendi selamba menyedut minumannya itu, sengaja buat tak nampak akan jelingan tajam itu.

“Adatlah tu. Aku dulu ambik France. Lagilah semput, terus kami drop paper tu. Sekarang cuba ambil Jepun pulak. Alang-alang dah minat layan ‘anime’, lagi elok kalau faham. Tak payah nak tunggu subtitle,” balas Dzaquan pula.

Ikhsan dan Ammar segera mengangguk. Setuju benar dengan kata-kata Dzaquan itu. Seperti Dzaquan, mereka juga peminat setia ‘anime’. Anime yang merupakan animasi keluaran negara Jepun.

“You all ambil Jepun jugak ke?” soal Zara dengan nada tidak puas hati pada Ikhsan dan Ammar. Apatah lagi melihat mereka yang mengangguk sebentar tadi.

“Yalah, tapi Fendi aje yang ambik Korea. Gila sangat dengan K-Pop tu,” sindir Ammar. Fendi memang terkenal dengan kegilaan terhadap K-Pop. 

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang turut terkena ‘Hallyu Wave’ dek kerana pengaruh K-pop yang begitu kuat. Artis-artis Korea yang menjadi teraju K-Pop dikenali ramai kerana memiliki kekuatan vokal, kebolehan menari dan mempunyai raut wajah yang menarik. 

Lihat sajalah konsert Super Junior atau Wonder Girls yang dianjurkan di sini, tiket konsert itu laku bagaikan goreng pisang panas. Orang ramai berebut-rebut untuk mendapatkannya meskipun harga tiket konsert itu agak mahal.

Seketika kemudian Ammar menggeleng-geleng. Itu baru penangan K-Pop, tak masuk lagi dengan kegilaan pada drama yang dihasilkan negara itu. Agak-agaknya bilalah dia dapat melihat buah tangan dari Malaysia pula yang laku bagaikan pisang goreng panas.

“Alah, cakap aku pulak. Kau pun minat jugak dengan Girl’s Generation tu. Semua lagu dia orang kau ada,” balas Fendi tidak mahu mengalah.

Ammar segera berdeham. Cuba menutup rasa malunya apabila ditempelak begitu oleh Fendi. Dia hairan bagaimana Fendi mengetahui koleksi lagunya itu.

“Dah lagu dia orang best. Rentak dia orang menarik, buat kita melekat. Nak-nak lagi tengok dia orang menari. Pergh!” akui Ammar pula. 

Mulanya memang dia tidak meminati lagu-lagu dari negara itu, apatah lagi liriknya langsung tidak difahami. Tapi sekali dia terdengar lagu Gee nyanyian Girls’ Generation, terus sangkut dengan kumpulan itu. Apatah lagi kumpulan itu dianggotai dengan sembilan orang gadis yang semuanya cantik-cantik.

“Kenapa tak cakap kat I yang you nak ambil bahasa Jepun?” tanya Zara pada Dzaquan. 

Matanya dilirik pada Dzaquan. Perbualan rakan-rakan Dzaquan langsung tidak diambil tahu. Padanya, Dzaquan lebih penting daripada mereka.

“Kenapa?” soal Dzaquan malas.

“Yalah, I pun nak join sama kalau I tahu you join. Menyesal pulak I ambil Mandarin tu,” luah Zara dengan nada tidak puas hati. Kalau tidak sudah tentu mereka dapat menghabiskan banyak masa bersama.

“Tak rancang sebenarnya. Itu pun sebab dia orang yang beria ajak. Jadi aku ikut ajelah,” ulas Dzaquan lagi. 

Walaupun Zara ber‘I’ ber‘U’ dengannya, dia pula lebih selesa ber‘aku’ ber‘kau’. Seketika kemudian berkerut keningnya. 

Kenapa pula dia harus menjelaskan semuanya pada Zara? Sedangkan hubungan mereka tak lebih daripada seorang kawan. Tambahan pula dia sendiri sudah terikat dengan janji yang pernah dilafazkan dahulu. 

Seraya dengan itu anak matanya terus terarah pada cincin yang melilit kemas pada jari manisnya itu. Lama anak matanya merenung cincin itu sebelum tangannya menyentuh cincin itu.

Apa khabar dia di sana? Sihat ke dia? Bisik Dzaquan.

Mata Zara turut melurut pada cincin yang berada di jari Dzaquan. Sudah lama dia mengenali lelaki itu dan sudah lama juga dia melihat cincin itu setia di jari Dzaquan. Malah, tidak sekalipun dia menyoal Dzaquan perihal cincin itu. Kerana dia tidak sanggup mendengar jawapan yang akan diberikan lelaki itu yang mungkin melukakan hatinya.

“Hah, Wan! Aku sebenarnya dah lama nak tanya. Tapi asyik lupa. Cincin apa ni?” Tiba-tiba Fendi bersuara. Gerak-geri Dzaquan itu membuatkan dia tergerak hati untuk bertanya perihal cincin yang selama ini setia di jari rakannya itu. 

Ikhsan yang mendengar hanya tersenyum. Kerana dia sudah dapat mengagak jawapan yang akan diberikan Dzaquan. Sama seperti Fendi, dia juga teringin tahu cerita di sebalik cincin itu. 

Sebaliknya Dzaquan hanya menjawab dengan senyuman sahaja. Itu yang membuatkan dia semakin tertanya-tanya akan cincin itu.

Zara dan Tieqa turut memasang telinga. Mereka menanti dengan penuh rasa sabar. Kerana seperti Fendi, mereka juga tertanya-tanya akan cincin itu. Tetapi tidak berani untuk bertanya terus pada Dzaquan.

“Aku tengok macam cincin tunang aje. Ke cincin kahwin?” Selamba Ammar memberi komen sambil anak matanya turut melekat pada cincin di jari Dzaquan.

Zara yang mendengar komen Ammar sebentar tadi terus menjadi resah. Kerana itu jugalah yang difikirkannya apabila dia melihat cincin itu tiga tahun yang lalu. Untuk tanyakan terus pada Dzaquan, dia jadi takut. Takut dengan jawapan yang akan diberikan lelaki itu.

“Hisy, kau ni! Ada pulak cincin kahwin?” sanggah Fendi pula. Rasa tak masuk akal dengan jawapan Ammar sebentar tadi.

Cincin kahwin? Takkanlah kawan mereka tu sudah kahwin? Walhal Dzaquan tidak pernah sekalipun memberitahu yang dia sudah berkahwin. Dan takkan Dzaquan kahwin senyap-senyap pula?

Dzaquan yang mendengar perdebatan di antara Ammar dan Fendi tersenyum lebar. Terasa lucu pula apabila cincin yang sudah lama setia di jarinya tiba-tiba sahaja menjadi topik perdebatan mereka. 

Sedangkan sebelum ini dia sudah pun memberikan jawapannya. Namun tiada seorang pun yang percaya kata-katanya itu. Akhirnya dia hanya mendiamkan diri. Buat apa dia beria-ria apabila tiada seorang pun percaya dengan ceritanya.

“Betullah tu kata Ammar. Cincin tunang,” balas Dzaquan ringkas.

Segera pandangan Ammar dan Fendi terarah padanya. Begitu juga dengan Ikhsan, Zara dan Tieqa. Semua terarah padanya.

“Apasal pandang aku macam tu?” tanya Dzaquan kehairanan. Pelik sangatkah jawapannya itu? Sedangkan sebelum ini dia sudah memberitahu perkara yang sama.

“You cakap apa ni? Please don’t make jokes.” Tiba-tiba Zara bersuara.

Rasanya dia sudah tidak sanggup untuk terus mendengar gurauan yang menyakitkan hati seperti itu. Kenyataan itu terlalu perit untuk didengarnya. Mana mungkin dia menaruh hati pada tunang orang?

“Cincin tunang? Kau punya?” soal Ikhsan pula.

“Aku tak buat lawaklah. Ni cincin aku dan ya! Aku dah bertunang,” akui Dzaquan dengan jujur. Setidak-tidaknya dia tidak memberi harapan palsu kepada insan lain. Terutamanya Zara. 

Bukan dia tidak faham akan isyarat-isyarat yang cuba disampaikan gadis itu. Tapi dia yang sengaja menutup mata. Kerana dia masih sedar status dirinya yang merupakan tunang kepada Aneesa. Meskipun, dia sendiri sudah lama tidak mengetahui khabar berita gadis itu.

“Pelik sangat ke bila aku cakap aku dah bertunang?” soal Dzaquan pula. Apatah lagi melihat reaksi terkejut rakannya itu. 

Wajah rakan-rakannya itu dipandang satu per satu dan akhirnya terhenti pada wajah yang sudah pun bertukar kelat. Bukan dia sengaja untuk melukakan hati gadis itu. Malah, sudah banyak kali dia berterus terang, namun tidak diendahkanZara. Kononnya dia hanya bergurau.

“Memanglah pelik sebab kau tak pernah cakap. Kita berkawan bukan baru semalam tau, tapi dah tiga tahun lebih,” ujar Ikhsan sedikit terasa hati dengan tindakan Dzaquan yang bertunang senyap-senyap tanpa memberitahu mereka sedangkan mereka berkawan sudah lama.

“Kau tak main-main ke, Wan? Bila kau tunang? Kenapa tak pernah cakap dengan kami? Bila nak kahwin?” Bertalu-talu soalan itu keluar daripada mulut Fendi. Berita pertunangan Dzaquan benar-benar membuatkan dia tersentak buat seketika. 

Dzaquan bertunang? Memang sukar untuk dia mempercayai berita itu. Patutlah rakannya itu endah tak endah saja dengan perempuan, rupa-rupanya dalam diam sudah mempunyai tunang.

“Aku tak main-mainlah. Aku tunang dah lama. Dan untuk pengetahuan kau orang, aku tak pernah sorok hal ni,” balas Dzaquan lagi. 

Sedikit sebanyak dia mula terasa rimas dengan soalan yang sama dilemparkan padanya. Main-main? Bergurau? Dia tak pernah bergurau dalam soal ini. Apa untungnya dia jika berbuat begitu?

“Maksud kau?”

“Ingat tak dulu aku ada cakap yang aku dah bertunang, kan?”

Berkerut kening Fendi, Ikhsan dan Ammar. Cuba mengingati kata-kata Dzaquan itu. Mereka berpandangan sesama sendiri. Mereka cuba mengingati kembali kenangan silam. Betulkah Dzaquan pernah memberitahu mereka? Tapi bila?

“Hah! Betul! Kau pernah cakap yang kau dah bertunang. Tapi bukan kau bergurau ke waktu tu?”

“Apa untungnya kalau aku bergurau soal ni?” Soalan berbalas soalan.Terus rakan-rakannya terdiam buat seketika.

“Tapi...”

DUM!!!

Tiba-tiba sahaja Zara menghentak meja makan dengan kuat. Mereka semua terdiam. Hati mereka tertanya-tanya dengan perubahan gadis itu. Malah, tindakan Zara itu turut mengundang beberapa pasang mata pelajar lain yang sedang menjamu selera di Anjung Budi itu.

“You kejam, Wan! I tak sangka you sanggup buat I macam ni,” ujar Zara sebelum bangkit dan berlari meninggalkan mereka di Anjung Budi itu.

Tieqa pantas mengekori langkah Zara sambil beberapa kali memanggil nama rakannya itu. Dalam diam dia turut menyumpahi sikap Zara yang tiba-tiba sahaja lari meninggalkan dirinya sendirian di situ.

Dzaquan terkedu dengan kata-kata Zara. Dia langsung tidak menyangka yang Zara akan menuduhnya sebegitu. Kejam? Salah diakah jika gadis itu menaruh hati padanya? Bukan dia tidak pernah berterus terang dengan Zara tetapi gadis itu yang tidak mahu mempercayainya.

Seraya dengan itu dia menoleh ke arah rakan-rakannya itu. Mereka hanya mengangkat bahu tanda terkejut dan tidak memahami tindakan Zara sebentar tadi. 

Tanpa membuang masa Zara terus memecut laju keretanya. Wajahnya juga cukup tegang. Siapa sangka orang selekeh dan tidak menarik seperti Dzaquan, rupa-rupanya sudah mempunyai tunang. Dia benar-benar terluka dengan sikap Dzaquan.

Selama tiga tahun! Selama tiga tahun dia menaruh hati pada tunang orang? Dzaquan benar-benar kejam! Kenapa sebelum ini lelaki itu tidak pernah memberitahu padanya? Apakah lelaki itu sengaja mencipta cerita yang tidak wujud itu semata-mata mahu melepaskan diri daripadanya?

Tak! Katalah apa pun, dia tetap tidak akan mempercayainya. Selagi dia tidak melihat tunang Dzaquan dengan mata kepalanya sendiri, dia tidak akan mempercayainya. Dan selagi itulah dia akan menagih kasih daripada lelaki itu. Itu nekadnya.

Padanya, Dzaquan terlalu penting dalam hidupnya dan dia tidak boleh menerima hakikat yang lelaki itu sudah dimiliki. Dzaquan miliknya yang satu dan bukannya orang lain. Malah, kata-kata Dzaquan sebentar tadi bagaikan terus terngiang-ngiang di tepi telinganya. 

Bertunang? Giginya terus diketap kuat apabila teringatkan kata-kata Dzaquan itu yang bagaikan menyentap jantungnya. 

Pedal minyak keretanya terus ditekan kuat. Tieqa yang berada di sisinya hanya mampu mendiamkan diri. Tidak berani bersuara meskipun dirinya sudah kecut dengan kelajuan kereta yang dibawa Zara. Dalam diam dia cuma mampu berdoa agar perjalanan mereka berdua selamat daripada ditimpa sebarang kecelakaan jalan raya.
Previous: Bab 26
Next: Sinopsis

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.