Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
239,256
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6
MATA Qisya masih lagi merah dan basah. Tangisannya juga sudah tidak serancak tadi saat berita buruk itu dikhabarkan padanya.

Dzaquan pula jatuh terduduk sebelum berlari keluar dari rumah. Manakala Aniq dan Zafrul pula sudah memeluk Qisya dengan erat. Mereka benar-benar tidak percaya dengan berita yang baru disampaikan Pak Daud.

Mana mungkin ayahnya pergi meninggalkan mereka. Masih terasa lagi ciuman hangat daripada ayahnya sebelum keluar untuk menoreh pada pagi itu.

“Pak Daud tipu, kan? Tak mungkin ayah Qis dah tak ada.”

Berita itu terlalu sukar untuk diterima Qisya. Malah, dia juga mengharapkan kata-kata Pak Daud yang selaku Penghulu kampung itu sekadar berjenaka. 

Namun matanya sudah pun dibasahi dengan air mata yang terus mengalir. Rasanya dia belum bersedia untuk melepaskan ayahnya pergi. Masih terlalu banyak yang mahu dikongsi dengan ayahnya.

“Maafkan Pak Daud. Pak Daud tak sedar ada dahan yang patah kerana terkena panahan kilat. Dan ia menimpa ayah kamu.”

“Tak! Ayah Qis tak mati lagi!” jerit Qisya, cuba menangkis
kata-kata yang baru disampaikan Pak Daud.

Manakala Dzaquan pula sudah menghilang entah ke mana.

“Jangan macam ni, Qis,” pujuk Pak Daud sambil menyentuh bahu Qisya.

Anak matanya jatuh pada adik-adik Qisya yang sudah pun memeluk kakaknya dengan erat saat berita buruk itu disampaikan. 

Kemudian anak matanya tercari-cari bayang Dzaquan. Rasanya anak muda itu ada bersama saat dia menyampaikan berita buruk sebentar tadi. 

Entah ke manapula dia pergi. Sepatutnya dalam waktu sebegini Dzaquan menenangkan adik-adiknya itu dan bukannya angkat kaki begitu saja.

Jauh di sudut hati, dia berasa kasihan pada anak-anak ini yang baru sahaja kehilangan tempat bergantung. Usia mereka terlalu muda untuk merasai semua ini. 

Pada siapa lagi harus mereka mengadu nasib? Dzaquan pula langsung tak boleh diharap. Kaki samseng, bertumbuk sana sini. Puan Faizah pula entah ke mana dia menghilang. Sanggup meninggalkan anak-anaknya sendiri.

“Sabarlah, Qis. Terimalah, berita ni dengan reda. Jangan seksa arwah. Tentang urusan menguruskan arwah, Pak Daud akan uruskan semuanya,” sambung Pak Daud lagi.

“Abang Wan kamu mana?” soal Pak Daud.

Qisya tidak mampu menjawab pertanyaan itu. Cuma gelengan saja sebagai jawapannya. Tanda dia tidak tahu ke mana abangnya itu pergi.

Seketika kemudian mereka dikejutkan dengan jeritan Ali yang memanggil kuat nama Pak Daud. 

Termengah-mengah anak muda itu dibuatnya. Entah apa yang sudah berlaku sehinggakan Ali kelihatan cemas sebegitu.

“Ada apa, Ali?” soal Pak Daud yang hairan melihat wajah cemas Ali itu.

“Cepatlah, Pak Daud! Budak Wan tu tak kasi kami sentuh ayahnya. Dia kata ayahnya tengah tidur.”

Pak Daud beristighfar panjang. Tak sangka berita buruk itu memberi kesan sebegitu pada Dzaquan. 

Perlahan-lahan Qisya mengangkat wajah. Hanya mampu memandang Pak Daud dengan wajah yang sudah dibasahi dengan air mata. 

Seketika kemudian Qisya memeluk Aniq dan Zafrul erat. Dia berdoa agar tiada apa yang menimpa abangnya. Cukup sajalah dengan berita pemergian ayahnya itu. Dia tidak sanggup jika dia turut kehilangan abangnya juga.






QISYA memandang abangnya yang sedang termenung jauh. Dia tidak tahu apa yang sedang bermain di fikiran abangnya itu. 

Sejak arwah Encik Ramli meninggal, abangnya banyak menghabiskan masa seorang diri. Seakan-akan sengaja menjauhkan diri daripada dia dan adik-adiknya.

Mujur ada jiran-jiran yang banyak membantu mereka untuk menguruskan arwah ayahnya tempoh hari kerana abangnya itu langsung tidak boleh diharapkan.

Sedar tak sedar, sudah sebulan arwah ayahnya meninggalkan mereka. Selama itu jugalah Dzaquan kerap tidak ke sekolah. 

Kalau dia pergi ke sekolah pun pastinya akan terlelap. Semuanya disebabkan tugas baru yang terpaksa digalasnya. Dialah yang terpaksa menyara makan, minum dan persekolahan adik-beradiknya. 

Sesekali ada juga jiran yang turut menghulurkan bantuan kepada mereka. Tapi sampai bila dia perlu mengharapkan belas ihsan daripada orang?

“Abang,” panggil Qisya perlahan. Ada sesuatu yang ingin disampaikan pada abangnya itu. Dia berharap sangat yang abangnya itu akan bersetuju dengan cadangannya itu. 

Lama dia menarik nafas. Cuba mencari kekuatan untuk dirinya sendiri. Namun tiada sahutan daripada Dzaquan.

“Abang!” panggil Qisya lagi. Kali ini dikuatkan sedikit suaranya. 

Sempat dia menjeling pada adik-adiknya yang terlena tidak jauh daripada mereka. Takut jika tidur Aniq dan Zafrul akan terganggu dengan perbualan mereka nanti.

“Kenapa?” soal Dzaquan. 

Dia menoleh Qisya seketika sebelum anak matanya diarahkan kembali pada kerja sekolah yang sedang dibuatnya. Dia mengeluh perlahan. Rasanya sudah terlalu lama dia menghadap kerja sekolah itu. Tapi baru dua soalan yang selesai dijawabnya. 

Ternyata yang dia sebenarnya banyak menghabiskan masanya dengan termenung jauh daripada menyiapkan kerja sekolahnya itu. Sehinggalah suara Qisya membuatkan dia tersedar daripada lamunan.

“Abang, Qis ada cadangan. Harap abang setuju,” ujar Qisya yang kelihatan takut-takut untuk meneruskan kata-kata.

Dzaquan mula menutup kerja sekolahnya. Badannya dipusingkan agar bertentangan dengan Qisya. 

Sebaliknya,Qisya pula hanya mendiamkan diri. Langsung tidak meneruskan kata-katanya sebentar tadi. Kening Dzaquan mula berkerut seribu. Pelik dengan sikap adiknya itu. 

Jangan-jangan masalah duit lagi tak? Dah tengah tahun ni, mesti nak pakai banyak duit. Mana nak bayar yuran, mana nak beli buku? Kasut sekolah Aniq pun dah teruk sangat. Mana aku nak cari duit dalam waktu yang singkat macam ni?

Dzaquan mula berkira-kira. Dia pasti itulah tujuan Qisya mahu berbicara dengannya. Sebagai anak sulung, dialah yang terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. 

Masanya juga banyak dihabiskan dengan kerja separuh masa yang dibuatnya. Malah, dia juga terpaksa ponteng sekolah semata-mata tidak mahu melepaskan peluang untuk mencari duit buat keperluan mereka sekeluarga.

“Setuju apa? Abang tak faham,” soal Dzaquan apabila adiknya itu masih lagi mendiamkan diri.

“Qis kesian tengok abang macam ni. Terpaksa kerja untuk cari duit.” Lambat-lambat Qisya bersuara. Wajahnya ditundukkan.Tidak berani menatap anak mata abangnya. 

Dzaquan hanya tersenyum mendengar kata-kata adiknya itu.

“Itu kan tanggungjawab abang sebagai anak sulung.” Ringkas sekali jawapan daripada Dzaquan.

“Tapi Qis tak nak sebab kami, abang korbankan diri abang. Sampaikan abang terpaksa ponteng sekolah semata-mata untuk bekerja cari duit untuk sara kami,” balas Qisya pula.

Dia sudah tidak sanggup melihat abangnya yang terpaksa membanting tulang empat kerat semata-mata mahu mencari duit untuk mereka sekeluarga.

“Hisy, Qis ni. Mana ada abang berkorban? Siapa cakap abang berkorban untuk kau orang? Ingat abang sayang sangat dengan kau orang tu?” ujar Dzaquan cuba berseloroh.

Qisya menarik muka masam. Geram benar dia dengan abangnya itu. Dia benar-benar risaukan abangnya tapi abangnya melawak pula.

“Alah, Qis tak payahlah risaukan abang. Qis dah lupa ke?Abang kan budak pandai. Kalau ponteng sekolah sekalipun,abang boleh kejar lagi tau,” sambung Dzaquan lagi. 

Dia sedar yang Qisya mula risaukan dirinya kerana sudah terlalu kerap memonteng sekolah.

“Tapi bang, Qis tak suka tau dengar cikgu-cikgu kat sekolah cakap yang bukan-bukan fasal abang. Sedangkan mereka tak tahu yang abang dah banyak berkorban untuk kami adik-beradik.”

Dzaquan tidak membalas kata-kata Qisya. Sebaliknya dia hanya tersenyum. Perasaan bimbang adiknya itu sudah cukup buatnya. Dia tidak mengharapkan apa-apa daripada Qisya. Dia yakin yang dia boleh laksanakan tugas sebagai abang dan ketua keluarga dengan baik. 

“Abang kan pandai. Sepatutnya abang layak dapat biasiswa. Dia orang tak sepatutnya nilai prestasi abang berdasarkan masalah disiplin yang abang buat,” luah Qisya yang kesal dengan tindakan yang dilakukan gurunya.

“Cukuplah Qis seorang yang dapat biasiswa tu.”

Perlahan-lahan Dzaquan menarik kembali kerja sekolah yang ditolaknya sebentar tadi. Kemudian dia menyelak helaian itu satu demi satu. Sehinggalah dia menjumpai helaian yang dibuatnya sebentar tadi. 

Kalau dia terus melayan perasaan bimbang Qisya itu, sudah tentu kerja sekolahnya itu tidak siap.

“Lagipun memang betulkan yang abang ada banyak masalah disiplin,” sambung Dzaquan lagi. Matanya sudah pun beralih pada kerja sekolahnya.

“Keputusan peperiksaan abang yang teruk hari tu pun disebabkan ayah baru meninggal. Kalau tak, pasti abang akan dapat keputusan yang cemerlang,” sambung Qisya lagi. Wajahnya juga mula dibasahi dengan air mata. Tiba-tiba sahaja dia jadi rindu pada arwah ayahnya.

Dzaquan yang baru saja menyambung kerja sekolahnya terhenti. Telinganya dapat mendengar dengan jelas suara Qisya yang sudah pun teresak-esak menangis. 

Dia menarik nafasnya lama. Seboleh yang mungkin dia cuba menahan perasaan sedih yang turut dirasainya itu. Apatah lagi apabila melihat Qisya yang sudah pun menangis teresak-esak.

Aku tak boleh menangis depan Qis. Aku harus kuat. Kalau aku lemah, adik-adik aku pasti lemah sama, bisik Dzaquan dalam hati.

“Dahlah. Tak tenang arwah ayah nanti,” pujuk Dzaquan perlahan. 

Namun anak matanya masih lagi tertumpu pada kerja sekolah yang terbentang di hadapannya. Dia tidak sanggup melihat adiknya yang menangis sebegitu. Dia takut andai tembok yang dibinanya akan musnah apabila melihat air mata Qisya.

“Qis rindukan ayah.” 

Suara Qisya kedengaran tenggelam timbul dengan esakannya itu. Perlahan-lahan dia menyapu air matanya. Namun air matanya tetap laju membasahi wajahnya.

“Kalau rindukan ayah, Qis sedekahkan bacaan Yasin. Tak elok menangis macam tu,” pujuk Dzaquan lagi. Risau pula dia melihat adiknya menangis sebegitu. Wajah sebak Qisya menyapa pandangannya.

Qisya mengangguk. Ada benarnya juga kata-kata abangnya itu. Dia sendiri tidak mengerti kenapa dia begitu beremosi. Sehinggakan menangis teresak-esak seperti itu.

Niatnya tadi mahu mengusulkan sesuatu. Dia mahu berkongsi susah senang dengan abangnya itu. Dia tidak mahu melihat Dzaquan berkorban untuk mereka adik-beradik lagi.

“Abang, Qis nak tolong abang. Qis pun nak kerja jugak.”

Dzaquan tersentak. Pen yang berada di tangan pantas diletakkan.

Tak! Dia tak akan benarkan adiknya berasa penat membanting tulang empat kerat. Dia cuma mahu adik-adiknya itu menumpukan perhatian pada pelajaran dan bukan pada perkara lain. 

Tugas itu biar dia saja yang menggalasnya. Dosanya terhadap arwah ayah terlalu besar. Pada Dzaquan, ini sahaja cara yang dia ada untuk melunaskan rasa bersalahnya pada arwah ayahnya.

“Tak! Abang tak benarkan!” bentak Dzaquan kuat.

Qisya terkesima buat seketika. Dia tidak sangka yang kata-katanya sebentar tadi membuatkan abangnya berubah seperti itu. Seolah-olah dia telah melakukan satu kesalahan yang sangat besar.

“Tapi bang, Qis cuba nak tolong abang. Qis nak...” ujar Qisya lagi. 

Dia tidak peduli jika perkara itu membuatkan abangnya mengamuk. Dia sedar, ini sahajalah jalan yang ada jika dia mahu membantu abangnya.

“Abang cakap, jangan! Abang tak benarkan!” larang Dzaquan lagi. 

Anak matanya juga sudah mencerlang ke arah Qisya yang begitu degil dan tidak mahu mendengar kata-katanya.

“Tapi bang...”

“Qis!” jerit Dzaquan kuat. Geram benar dia dengan kedegilan yang ditunjukkan Qisya itu. 

Sudah dikatakan tidak, maknanya tidak. Kenapa Qisya begitu degil untuk mendesaknya? Dia tahu adiknya itu risaukan dirinya. 

Tapi sebagai abang, dia tidak mahu menyusahkan adik-adiknya. Dia tahu pelajaran Qisya pasti akan terjejas sekiranya dia membenarkan Qisya bekerja. Lihat sajalah apa yang sudah berlaku padanya.

“Aniq pun nak kerja jugak.” Tiba-tiba Aniq yang disangka tidur turut bersuara. 

Sebenarnya sejak tadi dia mengikuti perbualan abang dengan kakaknya. Dia bukan budak-budak lagi, umurnya sudah pun 12 tahun. Dia sedar yang dia sekarang sudah tidak mempunyai ayah dan emak. 

Malah, wang perbelanjaan mereka juga ditanggung abangnya yang terpaksa memonteng sekolah kerana mahu bekerja.

Dzaquan dan Qisya segera menoleh pada Aniq yang sudah pun bangkit daripada perbaringannya.

“Aniq, kau ni kenapa? Mengigau ke?” soal Dzaquan geram.

Sudahlah dia terpaksa berdepan dengan Qisya yang keras kepala dan sekarang giliran Aniq pula yang mahu membantu dengan bekerja. Dia tak akan benarkan.

“Tak! Aniq tak tidur. Aniq dengar apa yang abang dan akak cakap tadi. Aniq tahu kita tak ada duit untuk bayar yuran Aniq. Jadi Aniq tak nak susahkan abang. Aniq tak nak sekolah. Aniq nak kerja jugak,” ujar Aniq dengan begitu lancar. Seperti dia sudah lama merancangnya.

Dzaquan mengeluh perlahan. Geram betul dia dengan kedegilan Qisya dan Aniq. Kenapa mereka beria-ria benar untuk membantu dirinya? Dia tidak pernah meminta bantuan daripada sesiapa.

“Kau orang ni kenapa? Siapa cakap kau orang susahkan abang? Abang kan anak sulung. Masalah duit tu semua biar abang yang fikirkan.”

“Abang...”

Dzaquan menarik nafas dalam-dalam. Dipandang wajah Qisya dan Aniq bersilih ganti. Kemudian anak matanya teralih pula pada Zafrul yang sedang lena diulit mimpi.

“Kau orang ingat tak janji kau orang pada arwah ayah?Belajar sungguh-sungguh, kan?” tanya Dzaquan tiba-tiba. Nadanya juga sudah semakin kendur. Rasanya tiada guna jika dia menggunakan kekerasan. 

Qisya dan Aniq mengangguk serentak. Janji mereka pada ayah, sudah tentulah mereka ingat.

“Kalau Aniq berhenti sekolah, macam mana nak tunaikan janji ayah? Abang cuma mintak kau orang jangan hampakan harapan arwah ayah. Fasal masalah duit, biar abang yang uruskan,” terang Dzaquan lagi. 

Berharap benar yang adik-adiknya itu terpujuk dengan kata-katanya sebentar tadi.

“Dan arwah ayah pernah cakap yang dia nak kita semua belajar sungguh-sungguh dan tolong...” balas Qisya pula.

“Tolong-menolong antara satu sama lain,” sambung Qisya yang serentak dengan Aniq.

“Ayah tak pernah cakap yang abang kena berkorban untuk kami. Dan abang pun tak terkecuali,” ujar Qisya lagi.

Bukan niatnya untuk membantah cakap Dzaquan, tapi niatnya baik. Dia mahu turut sama membantu abangnya dalam mencari kerja untuk menyara mereka empat beradik.

“Siapa cakap abang berkorban? Siapa cakap abang abaikan pelajaran abang? Abang masih lagi bersekolah,” dalih Dzaquan pula.

“Tapi dalam seminggu abang cuma pergi ke sekolah dua hari aje. Qis tahu abang seorang yang pandai. Tapi kalau perkara ni berterusan, abang pasti akan ketinggalan,” ujar Qisya.

Dzaquan mengeluh perlahan. Dia mati akal. Tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan agar adik-adiknya memahami pengorbanan yang dilakukannya itu. 

“Dah. Abang tak nak bincangkan fasal ni lagi. Pergi tidur, dah lewat ni. Abang tak nak kau orang lambat ke sekolah pulak,” putus Dzaquan dengan tiba-tiba.

Dia tidak mahu terus membincangkan perkara ini kerana dia sedar Qisya dan Aniq tetap dengan kedegilan mereka untuk membantunya.

“Abang...”

“Tidurlah Qis, abang nak siapkan kerja sekolah,” potong Dzaquan yang sudah pun memegang pen untuk menyambung kerja sekolah yang tertangguh.

Qisya diam seribu bahasa. Kecewa dengan kata putus abangnya. Niatnya baik, untuk membantu abangnya juga. Kerana dia sudah tidak sanggup melihat tugas berat itu dipikul abangnya seorang diri. 

Sedangkan dia? Langsung tidak berbuat apa-apa. Walaupun dia perempuan, tapi dia yakin ada banyak kerja yang boleh dilakukan dengan kudratnya. 

Abang benar-benar keras kepala! 

Sebaik sahaja Qisya melangkah meninggalkan dirinya, perlahan-lahan Dzaquan meletakkan kembali pen yang berada di tangan. 

Tanpa disedari, setitis air matanya turut gugur walaupun sudah puas ditahan. Cepat-cepat dia menyapu air mata pada wajahnya. 

Tidak mahu dilihat adik-adiknya yang pasti akan berasa lemah jika melihat dia berkeadaan begitu. Kehilangan arwah ayah benar-benar mengubah dirinya agar menjadi seorang insan yang lebih matang dan bertanggungjawab.





ps: Terima kasih sbb baca "DIA TUNANG AKU!". Harap sukakan DTA macam yg anda sukakan PA.
Kasih berganda2x diucapkan klau tinggalkan komen sekali...hehe.
Mana tau kot2x terasa nak up bab baru dalam waktu yang singkat ^___^v
Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.