Home Cerpen Cinta Cerpen Aduhai Sotong...
Cerpen Aduhai Sotong...
Dhieya Adlynna
3/11/2012 21:12:44
7,462
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

“Nah!”Aizul menghulurkan barang-barang yang dipesan oleh sekumpulan lelaki yang tidak di kenali. Niatnya ikhlas untuk membantu sesiapa sahaja, jika khidmatnya diperlukan.

“Mana bakinya?” tanya salah seorang dari mereka. Mungkin ketua kumpulan itu, fikir Aizul.

“Baki apa?”

“Kan aku bagi kau duit, suruh kau beli barang-barang ni. Harga barang-barang ni, tak sampai RM 60.00 tau. Tapi aku bagi duit kat kau lebih dari seratus. Oi, Sotong! Cepatlah bagi baki tu,” ujar lelaki itu dengan panjang lebar. Seraya dengan itu dia menadah tangan kanannya. Mahu Aizul memulangkan baki seperti yang dikatakannya itu.

Aizul merenung tajam pada lelaki itu. Dia tidak suka jika orang memanggilnya dengan panggilan sotong. Dia sedar, kebanyakan orang memanggilnya dengan panggilan sebegitu kerana sifatnya yang agak lembut.

“Awak dah lupa ke yang awak tak pernah bagi duit pada saya? Barang-barang tu saya beli dengan duit saya sendiri. Sepatutnya saya yang menuntut duit dari awak. Dan bukannya awak. Satu perkara lagi, nama saya Aizul dan bukannya sotong.”

“Oi,Roy! Sotong tu dah marah la. Hati-hati, aku takut dia sembur kau dengan ‘air hitam’ tu….naya kau,”sampuk kawan Roy. Usikan lelaki itu disambut oleh tawa dan sorakan oleh kawan-kawan mereka. Sorakan mereka terhenti bila lelaki yang bernama Roy mengangkat tangan. Menyuruh mereka agar mendiamkan diri.

“Eleh, kalau takat sotong macam ni aku tak heranlah. Aku tiup aje, dia dah tumbang,”ujar Roy dengan angkuhnya. Dia mula melompat turun dari motosikalnya. Aizul dirapatinya.

“Kau tak kenal dengan siapa kau berhadapan. Jadi, jangan nak tunjuk lagak depan aku. Dah bagi cepat baki aku!”gertak Roy. Dia menjadi bengang bila Aizul masih berkeras dengannya. Dia menggangkat buku limanya dan menunggu masa untuk dilepaskan pada bila-bila masa.

“Roy!”

Roy tersenyum bila matanya bertaut pada wajah gadis yang memanggilnya. Dia menghadiahkan senyuman pada gadis itu. Namun, tidak dibalas. Gadis itu terus meletakkan dirinya di antara dua orang lelaki.

“Hai, sayang!”sapanya pula pada gadis itu. Setelah senyumannya tidak dibalas oleh gadis itu.

“Hai!”Gadis itu membalas. Tapi bukan pada Roy. Sebaliknya pada Aizul yang kelihatan terpinga-pinga. Roy cuba berlagak tenang seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Walhal, jauh disudut hatinya sudah berbuku sumpah dan marahnya dilemparkan pada si gadis yang sengaja memalukan dirinya.

“Miera, you dari mana? I tahu you datang sini sebab rindukan I, betul tak?”Roy cuba menyentuh pipi Miera. Tetapi, pantas ditepis oleh Miera.

“Perasan! Siapa pulak yang rindu kat you?”

“Habis, you datang sini nak buat apa? Nak ajak I tengok wayang? Jom!”tukas Roy pula. Kemudian, dengan selamba dia menarik tangan Miera agar gadis itu mengekori langkahnya. Miera pantas menarik tangannya dari pegangan Roy.

“You dah gila ke? Ada ke I cakap yang I nak ajak you tengok wayang? I agak, telinga you ni ada masalah tak? Sebab tu lain yang I cakap, lain yang you dengar,”sinis sekali kata-kata Miera. Kata-kata Miera itu disambut dengan sorakan pelajar-pelajar lain yang berada berhampiran dengan mereka. Membuatkan keadaan bertukar tegang.

“I rasa kecewa dengan you, Roy. I tak sangka orang yang selama ini hidup mewah rupanya poket kosong. Ada habuk aje. Tak malu ke you nak buli orang yang lemah macam dia,”luah Miera yang berbaur kesal. Seraya dengan itu, Miera mengalihkan pandangan matanya pada Aizul yang hanya menundukkan wajahnya.

Roy turut mengalihkan pandangannya pada Aizul. Kemudian, dia tergelak besar. Langkah diatur menuju pada Aizul.

“Dia?” tanya Roy pada Miera. Seraya dengan itu jari telunjuknya diarahkan pada Aizul.

“Sotong macam dia memanglah lemah. Lembik!”Miera mula mati akal untuk membalas kata-kata daripada Roy. Lalu, tangan Aizul diraihnya dan mula mengatur langkah untuk meninggalkan Roy. Tidak mahu terus-terusan berhadapan dengan Roy yang memang suka membuli orang.

“Sotong! Kenapa kau diam aje bila mereka ganggu kau?”marah Miera akhirnya terluah pada Aizul pula. Belum pernah dia melihat kejadian yang memalukan seperti ini.

“Oi, sotong! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?”Aizul menoleh pada gadis yang bernama Miera. Dia mendengus kuat.

“Nama saya Aizullah bukan sotong. Awak dengan lelaki tadi sama aje. Suka panggil orang dengan gelaran yang bukan-bukan.”

Miera terkedu. Saya? Awak? Ah, formallah pulak. Aku gunakan bahasa yang kasar tapi dia hanya balas dengan bahasa yang sedap didengar. Malunya...

“Ma…maaf saya ingat nama awak Sotong, sebab Roy panggil awak sebegitu. Saya tak berniat pun nak panggil awak yang bukan-bukan Er…nama saya Miera.”

Dengan sekelip mata sahaja mereka mula berkawan. Sedang mereka asyik berborak, sekumpulan gadis yang sebaya dengan mereka melintasi di hadapan mereka. Dan salah seorang daripada mereka mengenyitkan mata pada Miera.

                          ***********************************************************

“Sotong macam mana kita nak balik ni?” rungut Miera apabila keretanya tiba-tiba sahaja meragam. Sudahlah keadaan disekelilingnya gelap dan senyap. Kemudian dia menoleh pada Aizul yang berada di sebelahnya. Lelaki itu kelihatan begitu gelisah. Sekejap dia menoleh di kiri dan kanannya.

Miera lebih suka memanggil Aizul dengan panggilan sebegitu. Dan, perbuatannya itu langsung tidak dimarahi oleh Aizul. Entah mengapa dia merasa suka dipanggil begitu oleh gadis itu meskipun sebelum ini dia tidak suka dipanggil dengan nama itu. Aneh bukan?

“Aizul! Kenapa awak duduk dalam kereta tu lagi? Marilah keluar. Tolong betulkan apa yang patut,” jerit Miera yang sudahpun berada di luar kereta.

“Saya takut Miera. Tempat ni, gelap sangat. Tambahan pula, saya rasa tak sedap hati aje. Kita tunggu kat dalam ajelah. Bahaya kalau duduk kat luar tu.”Aizul menggosok lengannya beberapa kali. Ada kalanya bulu romanya meremang.

“Lelaki apa awak ni? Macam ni, pun nak takut. Cepatlah Zul.” Kalau dah sotong tu, sotong jugak gerutu Miera geram.

“Hai, sayang! Dah lama tunggu?” tegur Roy yang muncul dengan tiba-tiba.

“Roy? Apa you buat kat sini?” soal Miera yang agak terperanjat dengan kemunculan lelaki itu. Begitu juga dengan Aizul, pantas dia melompat keluar daripada kereta. Walhal, sebentar tadi dia juga yang berkeras tidak mahu keluar daripada kereta.

“Nak temankan youlah sayang. I tahu you takut. Sotong tu tak berguna. Penakut!”Roy semakin menghampiri Miera.

“Roy! Jangan apa-apa kan Miera,” jerit Aizul. Pantas tumbukan dilepaskan tepat pada wajah Roy.

“Sotong! Berani kau pukul aku. Binatang!!!”Roy membalas tumbukan Aizul. Berkali-kali dia membelasah Aizul.

“Roy! Cukup Roy!”jerit Miera. Dia cuba menghalang, namun tenaganya tidak mampu untuk menghalang tindakan Roy itu.

                          ***********************************************************

“Zul….kenapa awak sanggup gadaikan nyawa awak sendiri. Sedangkan awak tahu yang awak bukan lawan Roy.”

“Sebab awak… ikhlas berkawan dengan saya.”

Tanpa disedari air mata Miera menitis lagi. Terharu dengan segala yang dilakukan oleh Aizul ke atas dirinya. Sedangkan dia…..

“Jangan menangis Miera.”Aizul cuba memujuk. Pantas tubuh Aizul yang terlantar dipeluk erat oleh Miera. Tidak lagi mempedulikan orang ramai yang berada di hospital itu.

                     ***********************************************************

“Ira! Kau ada nampak Aizul?”

“Kau tak tahu ke?” Pertanyaan Miera tidak dijawab. Sebaliknya dia melontar pertanyaan semula pada Miera.

“Tahu apa pulak ni? Aku tak faham.”

Ira mengeluh kecil. “Zul baru aje berlepas ke Jepun. Dia cakap nak sambung belajar kat sana.”

“Hah! Jepun? Tapi..tapi kenapa dia tak cakap dengan aku yang dia nak ke Jepun?”ucap Miera dengan nada yang kecewa.

“Itu aku tak tahu. Tapi..aku agak dia marah kat kau...” teragak-agak Ira untuk meluahkannya.

“Marah ?Kenapa dia nak marah kat aku?Apa yang aku dah buat?”

“Hei, kau dah lupa pasal pertaruhan kita?” bentak Ira kuat. Marah dengan sikap Miera yang seakan lupa apa sebenarnya yang sudah berlaku.

Miera terus terdiam. Pertaruhan? Ya! Bagaimana dia boleh melupakan perkara itu? Sedangkan dialah yang beria-ria menyahut cabaran yang dilontarkan oleh rakannya itu.

Terus sahaja ingatannya mengingati pertaruhan yang dibuatnya dulu. Pertaruhan yang pastinya telah melukakan hati Aizul sehinggakan lelaki sanggup meninggalkan dirinya tanpa sebarang kata. Tiba-tiba sahaja dia menjadi sebak apabila memikirkan yang dirinya ditinggalkan oleh Aizul.

“Tapi, macam mana dia boleh tahu? Aku..aku tak pernah bagi tahu pada dia. Jangan-jangan kau tak?”

“Jangan tuduh sebarangan Miera. Aku tak akan menghianati kawan aku.”

“Tapi…tapi macam mana dia boleh tahu. Ya! Memang silap aku. Memang dulu aku ingat nak permainkan dia. Tapi sekarang...aku dah mula sayangkan dia.”akui Miera jujur.

Langsung dia tidak peduli jika Ira mengetawakan dirinya yang sebelum ini bercakap besar. Yang dia tahu, dia sayangkan Aizul. Miera mula menangis teresak-esak. Kemudian dia bergegas masuk ke dalam keretanya.

“Miera kau nak kemana?” tanya Ira. Terkejut dia dengan perbuatan Miera tadi.

“Aku..aku nak cari dia.”

“Dia dah berlepas. Aku sendiri yang hantar dia ke airport.”

“Aku nak pergi Jepun,”beritahu Miera dengan nekad. Belum sempat dia menghidupkan enjin kereta, telefonnya berdering.

“Hello…”suara Miera kedengaran agak lemah. “Miera! Aizul sini.”

“Zul!! Betul ke awak ni? Betul awak pergi Jepun? Kenapa tak bagi tau pada saya?” bertalu-talu soalan itu terluah dari mulut Miera. Hilang sudah rasa sedihnya sebentar tadi gara-gara ditinggalkan oleh Aizul.

“Bagi tau pada awak? Kenapa saya mesti bagi tau pada awak? Apa hubungan kita?” Miera terkedu. Bahasa Aizul kedengarannya agak kasar daripada biasa meskipun lelaki itu masih lagi membahasakan 'saya' dan 'awak'.

“Kitakan kawan,” balas Miera pantas. Langsung tidak menyangka yang jawapannya itu akan membuatkan Aizul semakin berkecil hati dengan tindakannya sebelum ini.

“Kawan? Sudahlah Miera. Tak payah nak perbodohkan saya lagi. Saya dah tahu semuanya.”

“Zul…maafkan saya, okay. Saya tahu silap saya. Tapi...saya dah menyesal. Berapa lama awak tinggal kat sana?”

“Mungkin tiga atau empat tahun...”

“Saya tunggu awak. Itu janji saya pada awak. Saya….”

TUT!!!

“…..cintakan awak.”

                       ***********************************************************

“Kenapa dengan kamu ni Miera? Masuk ni dah empat kali pinangan orang kamu tolak. Kamu nak tunggu siapa? Takuya Kimura?” perli mama Miera. Dia sudah penat melayan kerenah anak gadisnya yang selalu menolak pinangan orang tanpa alasan yang munasabah.

“Mama…kan Miera dah cakap pada mama dulu. Miera dah janji dengan orang, jadi Miera kena tepati janji Miera,” balas Miera perlahan. Rasanya, sudah banyak kali dia menjelaskan pada Mamanya. Tapi masih juga tidak mengerti.

“Itu cerita lima tahun dulu, Miera. Lima tahun dah berlalu, tapi batang hidung budak tu mama tak nampak pun. Mama tak nak dengar apa-apa alasan lagi yang keluar dari mulut Miera. Mama tak peduli, siapa yang masuk mintak kamu. Mama akan setuju. Mama dah tak nak dengar orang kampung mengata yang bukan-bukan fasal kamu lagi,” tekad sekali mama Miera itu.

“Mama....!”

                      ***********************************************************

Miera mendengus kuat. Di pandang wajah suaminya yang baru dinikahi petang tadi. Nasib baik muda. Macam mana agaknya kalau yang masuk meminang dulu adalah orang tua, tak ke haru dirinya? Dan yang membuatkan dia merasa benar-benar terkilan adalah tindakan mama. Yang betul-betul menerima pinangan dari orang yang langsung tidak dikenalinya.

Mama benar-benar kejam! Kenapa mesti paksa Miera menerima orang lain sedangkan di hati Miera hanya untuk Aizul. Miera dah janji yang Miera akan tunggu dia ma...Bagaimana dengan janji Miera? Apa yang harus Miera katakan pada Aizul andai satu hari nanti dia pulang semula?

“Kenapa awak pandang saya macam tu? Dah tak sabar ke?” usik Zafran. 

Merona wajah Miera bila diusik begitu. Gila! Ada ke patut dia cakap aku macam tu? Cakap benda yang bukan-bukan.

“Kenapa awak lakukannya?”tanya Miera. 

Siang tadi dia ingatkan rombongan meminang yang datang. Tapi, sangkaannya meleset. Dia dipaksa kahwin. Patutlah mamanya beria-ria menyuruhnya mengambil kursus kahwin dahulu. Menyesal pula dia kerana mendengar kata-kata mama.

“Maafkan saya. Hati saya memberitahu agar ia diteruskan. Ditambah pula awak pernah merayu pada saya agar tidak menghantar rombongan meminang. Saya semakin tertanya-tanya akan alasan awak untuk tidak menerima pinangan saya. Boleh bagi tahu pada saya apa sebabnya?” balas Zafran dengan tenang meskipun dia sedar riak wajah isterinya berubah.

“Saya dah ada pilihan saya sendiri.”

“Habis tu, kenapa awak bersetuju untuk berkahwin dengan saya?”

“Saya dipaksa.”Miera tidak mengangkat wajahnya.Dia lebih selesa jika begitu. Tambahan pula, mata Zafran selalu merenungnya.

“Siapa orangnya?” soal Zafran pula. 

“Awak tak ada hak untuk tahu.”

“Biar saya teka. Awak sanggup menanti untuk tempoh lima tahun. Sedangkan awak sendiri tidak tahu yang dia akan pulang atau tidak. Betul tak? Awak tak rasa ke yang penantian awak tu sia-sia aje, sebab dia tak pernah cari awak?”

Miera terus mengangkat wajahnya. Anak mata Zafran di pandang lama. Dia tidak sangka lelaki itu mengetahui kisah hidupnya.

“Macam mana awak tahu?”

“Sebab saya cintakan awak. Sukakan awak. Saya sanggup lakukan apa-apa saja untuk awak, Miera.” tiba-tiba sahaja kata-kata itu diluahkan oleh Zafran, sedangkan lain yang ditanya oleh Miera.

"Awak merepek apa ni?" soal Miera pantas. Hatinya mula berdebar-debar apabila mendengar luahan lelaki itu sebentar tadi. Renungan Zafran menambahkan debaran di hatinya. 

Miera tersentak apabila jemarinya tiba-tiba disentuh oleh Zafran. Dan dengan pantas, Miera menarik tangannnya kembali.

“Abang…abang akan membahagiakan Miera. Itu janji abang pada Miera.”

Miera hampir-hampir tersedak apabila Zafran tiba-tiba sahaja membahasakan dirinya sebagai 'abang'.

"Awak...awak jangan nak mengarut ya....Saya tak cintakan awak. Saya cintakan orang lain!"

"Abang tahu. Dan abang pun cintakan Miera juga."

"Saya tak cintakan awak!!!" bentak Miera geram dengan kedegilan Zafran yang seakan tidak mendengar kata-katanya itu. 

Dia cintakan Aizul dan bukannya lelaki yang baru sahaja bergelar suaminya. Terus sahaja dia bangkit dari tempat duduknya.


Miera dipaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenalinya, sedangkan hatinya setia pada Aizul 'si sotong' yang telah meninggalkan dirinya. Bagaimana Zafran mengetahui kisah cinta isterinya, Miera? Dan kenapa Zafran beria-ria mahu menjadikan Miera sebagai isterinya, jika dia mengetahui hati isterinya itu untuk orang lain? Nak tahu kesudahan cerita ini? Jangan lupa dapatkan "Antalogi Cerpen" yang bakal terbit tak lama lagi, untuk mengetahui pengakhiran cerita ini. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.