Home Novel Seram/Misteri Sumpah Sundal Sutinah
Sumpah Sundal Sutinah
Dhieya Adlynna
8/9/2015 18:17:55
115,486
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 21

BAB 21



“Kau dengar?”

“Dengar apa?”

“Cerita yang tengah kecoh kat hospital sekarang nilah!”

Gerakan tangan Nabila terus terhenti. Dia mengangkat kepala. Wajah tegang Tina dipandang sekilas sebelum anak matanya kembali tertumpu pada kerja dibuatnya tadi.

“Oh...”

“Oh? Kau ni! Macam tak ada perasaan saja aku dengar!” nada suara Tina sudah kedengaran tinggi di situ.

“Shh...perlahan sikit suara tu. Kita tengah bekerja ni.” Nabila mengingatkan.

Tina sudah mendengus di situ. Hatinya makin sakit melihatkan sikap acuh tak acuh rakannya itu.

“Dah tu kau nak aku buat apa?” soal Nabila pula.

Bukan dia tak tahu cerita apa dimaksudkan oleh Tina. Tapi, pihak pengurusan sendiri sudah mengeluarkan amaran berbaur ugutan.

Tidak mahu perihal yang berlaku di dalam hospital heboh sampai pengetahuan orang luar. Terutamanya buat pesakit dan keluarga pesakit yang sering keluar masuk kawasan hospital ketika ini.

Alasannya, tidak mahu mereka mengalami serangan ‘panik’. Yang pastinya akan memberi kesan pada pihak pengurusan hospital sekiranya perkara itu berlaku.

Huh! Pihak pengurusan fikir, keadaan boleh terkawal kalau rahsiakan semuanya daripada mereka?

Pendapat itu silap. Pesakit ni ada mata dan telinga. Kalau kami semua tak ceritakan pun, lambat laun cerita itu tetap akan sampai pada pengetahuan mereka jugak. Ingat kawasan hospital ni besar sangat ke?

“Siasat!”

“Hah?”

Spontan, Nabila mengangkat kepala dan mencari anak mata Tina. Sangkanya Tina main-main saja.

“Kau tak tertanya-tanya ke kenapa pihak pengurusan buat keputusan karut macam ni? Mahu sembunyikan perkara sebenar pada warga Hospital Prima. Huh, kononnya mengaku staf hospital sebagai keluarga. Tapi ini ke layanan yang kita dapat?” luah Tina panjang lebar.

Sebenarnya sudah lama dia perhatikan dan beralah saja dengan keputusan berat sebelah pihak pengurusan.

Ini bukan kejadian pertama. Tapi, sudah masuk kejadian ketiga. Tindakan diambil oleh pihak pengurusan tetap juga sama. Dan rasanya sudah sampai masanya untuk dia bertindak.

“Gila kau! Tak naklah aku buat kerja gila macam tu.”

“Sampai bila kita nak biarkan mereka buat kita macam ni? Tertanya-tanya perkara apa sebenarnya yang sedang berlaku. Kau kena ingat, yang jadi taruhan di sini nyawa kita. Dan bukannya nyawa mereka. Jadi, apa hak mereka untuk rahsiakan semua tu daripada kita?” hujah Tina lagi.

Nabila sudah terdiam di situ.

Jujurnya, dia sudah terpengaruh dengan kata-kata Tina. Apa yang dikatakan oleh Tina tu betul. Sampai bila mereka semua dibiarkan tertanya-tanya begitu? Sedangkan sudah ada tiga nyawa melayang.

Dan sampai sekarang, tiada sebarang pengumuman ataupun tindakan dilakukan oleh pihak pengurusan.

“Aku ada dengar...”

Dan kata-kata Tina terhenti di situ.

Anak matanya meliar memandang sekeliling. Lagaknya, seperti mencari sesuatu sahaja.

Wajah Nabila sudah berkerut tebal. Pelik melihatkan tingkah laku Tina sebegitu. Spontan, anak matanya juga ikut meliar memandang sekeliling. Walau dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya dicari oleh Tina.

Tina sudah merapati Nabila. Seperti ada sesuatu yang sangat sulit mahu disampaikan pada rakannya itu.

“Aku ada dengar...kononnya semua yang berlaku ini ada kaitan dengan ‘dia’,” bisik Tina. Betul-betul di tepi telinga Nabila.

“Dia? Siapa?” tanya Nabila bingung.

Wajahnya semakin berkerut tebal di situ. Tidak mengerti gerangan siapa pula meniti di bibir Tina itu.

“Dia!” tekan Tina lagi. Sudah tidak kedengaran berbisik seperti tadi lagi dah.

“Iyalah. Dia tu siapa?”

“Sutinah!”

“Shhh...”

Cepat-cepat Nabila menekup tapak tangannya pada mulut Tina. Dek terkejut bila sepatah nama itu meniti di bibir rakannya pula.

“Jangan diseru nama itu.”

“Aku pulak! Salah kaulah. Siapa suruh tak faham siapa aku maksudkan.”

Nabila sudah tidak berminat untuk ambil peduli perasaan Tina pada ketika itu. Tapi, dia lebih berminat untuk mengetahui cerita yang baru didengari daripada Tina.

“Kejap! Kau cakap apa tadi? Semua kejadian yang berlaku dalam hospital ni ada kaitan dengan ‘dia’. Mana kau dengar?”

“Semua orang duk bercakap fasal ni. Kata mereka, sebab itulah pihak pengurusan rahsiakan daripada kita.”

“Yang aku tak faham...kenapa tiba-tiba saja nama ‘dia’ pula dikaitkan dengan kejadian yang berlaku dalam hospital ni?”

“Nyawa sebagai galang ganti.”

“Maksud kau...”

“Ya! Ada orang sudah langgar pantang larang tu. Ada orang yang sudah menyeru nama dia. Dan disebabkan itulah, nyawa sebagai galang gantinya,” pintas Tina pantas.

Seakan dapat mengagak apa yang hendak dikatakan oleh rakannya itu.

Dan serentak dengan itu juga, Nabila merasakan kakinya lemah dengan tiba-tiba. Tenaganya hilang bagaikan disedut keluar dari tubuhnya saja.

Tina ikut melabuhkan punggungnya di sisi Nabila yang sudah terdiam seribu bahasa di situ.

Reaksi rakannya itu sudah dijangka. Semalam pun dia memberikan reaksi sama bila pertama kali dengar cerita-cerita dari rakan sekerja yang lain. Masing-masing sudah berada dalam ketakutan.

“Aku bukan apa Bella. Aku takut...aku takut! Kalau-kalau nanti aku pula yang akan menjadi mangsa seterusnya...”

“Hish! Kau jangan merepek bukan-bukan boleh tak?” larang Nabila pula.

Nada suaranya sudah meninggi. Tidak dipedulikan lagi jika suaranya itu akan mengganggu tidur pesakit di hospital itu.

“Tapi semua tu tak mustahil, kan? Kita tak tahu bila pula giliran kita.”

“Diamlah, Tina! Aku tak suka tau dengar kau cakap macam tu.”

“Aku cakap benda betul, Bella. Mungkin esok ataupun lusa...giliran aku pula...”

“Tak! Tak akan ada lagi yang akan menjadi mangsa seterusnya. Bukan kau. Bukan aku. Dan bukan jugak orang lain.”

“Tapi...”

“Aku akan pastikan tiada nyawa lagi yang akan menjadi taruhan!” putus Nabila pula.

“Maksud, kau?”

“Aku akan siasat perkara ni. Apa sebenarnya yang cuba disembunyikan oleh pihak pengurusan hospital? Dan apa benar ia ada kaitan dengan ‘dia’.”

“Kau...tak takut?”

“Takut!”

“Dah tu?”

“Takut atau tak penamatnya tetap mati, bukan? Jadi, daripada aku mati katak. Baik aku siasat perkara ini.”

Tina sudah mengangguk. Setuju dengan pendapat Nabila yang tiba-tiba sahaja beraninya lain macam. Dah macam bukan Nabila dikenalinya lagi.

“Bukan kau,” beritahu Tina dengan tiba-tiba.

“Hah?”

“Tapi, kita. Kita akan siasat perkara ni bersama.”

“Kau tak takut?”

“Kau kan, ada? Kau kan, kawan aku. Jadi, buat apa aku nak takut?”

Bibir Nabila turut mengukir senyuman di situ.

Lega, bila satu-satunya rakan yang selalu bersama waktu susah dan senang di Hospital Prima sudah bersedia untuk bersama-sama dalam melakukan kerja gila.

Semua ini, demi mendapatkan sebuah jawapan disembunyikan oleh pihak pengurusan.

Apa benar ada rahsia disembunyikan oleh pihak pengurusan? Dan betul ke semua itu berpunca daripada ‘dia’? Yang mahukan nyawa sebagai galang ganti kerana menyeru namanya?

Gila! Ini memang kerja gila! Boleh ke dia cuba siasat sesuatu yang diluar bidang kuasanya?

Paling penting, boleh ke dia menyiasat kewujudan di sebalik nama yang sudah sebati dengan hospital ini sejak 20 tahun lalu. Siapa sebenarnya Sutinah? Dan apa kaitan dia dengan Hospital Prima?

Sampai sekarang, tak ada seorang pun yang boleh menjawab soalan itu.







ps: Macam biasa ya korang. Rajin-rajinkan tinggalkan komen. Jangan pulak marah saya sebab update slow....huhuuh..

Berita tak best, #sutinah mungkin ada update beberapa bab lagi sebelum dihentikan siarannya. Bagi memberi peluang pada editor untuk menilai manuskrip ini. Mohon rakan-rakan semua doakan moga karya ini berjaya dibukukan.

Nebes! Sebab ini karya pertama saya genre seram. Mungkin jugak, ini karya terakhir saya genre seram. sobs!!!!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.