Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
157,759
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14
DZAQUAN menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Kemudian dia melangkah ke arah tingkap. Buat seketika, dia membuang pandang di luar sana. Satu keluhan berat sekali lagi dilepaskan. 

Pesanan Datuk Zaman, masih lagi terngiang-ngiang di telinga. Seperti baru sahaja dia mendengarnya. Bolehkah dia melaksanakannya? Permintaan Datuk Zaman itu terlalu berat buatnya. Rasanya lagi berat daripada permintaan untuk menerima Aneesa sebagai tunangannya. 

Ini soal hati dan perasaan Aneesa. Siapa dia untuk mengubah perasaan Aneesa? Sedangkan dia tahu, di hati gadis itu sudah pun terukir nama Amsyar. Dia akui walaupun dia belum pernah melihat wajah Amsyar, tapi tak mungkin dia akan lupakan sebaris nama yang selalu meniti di bibir Aneesa.

Tawan hati Aneesa? Macam mana dia nak tawan hati Aneesa jika dia sendiri tidak pasti akan perasaannya sendiri? Bolehkah dia menerima Aneesa dalam hidupnya? Apatah lagi dengan dia yang langsung tiada pengalaman, jika bercakap tentang soal hati dan perasaan. 

Kemudian ingatannya melayang pula pada Aneesa yang baru sahaja menjadi tunangannya. Pandangan dan kata-kata gadis itu sudah membuktikan yang kehadirannya benar-benar tidak dialu-alukan. Usahkan nak tawan hati, nak pandang muka aku pun dia tak sudi, keluh Dzaquan lagi. 

Dzaquan berasa serba salah. Kalau tidak diikutkan permintaan Datuk Zaman, bimbang dia akan dipisahkan dengan adik-adiknya. Tapi kalau ditunaikan permintaan itu, Aneesa pasti akan bertambah membenci dirinya. 

Tak! Aku tak sanggup berpisah dengan adik-adikku! Aku akan lakukan apa aje asalkan aku tak dipisahkan dengan adik-adikku. Meskipun aku terpaksa melukakan hati banyak hati. Terutamanya Aneesa. Maafkan aku Neesa, bisik Dzaquan perlahan. 

Tapi macam mana nak pikat dia? Huh, ada hati nak pikat hati gadis? Hati cikgu dan penduduk kampung pun aku tak mampu nak pikat. Apatah lagi dengan hati Neesa?

Dzaquan tersentak seketika apabila melihat Aneesa berada di halaman banglo mewah milik papanya. Dilihatnya Aneesa hanya bersendirian di situ. Inilah peluangnya. Peluang untuk cuba mendekati Aneesa meskipun dia sudah dapat menduga reaksi yang akan diberikan gadis itu. 

Tanpa berfikir panjang, dia terus melangkah ke arah pintu bilik. Langkahnya terus diatur menuju ke arah Aneesa tanpa teragak-agak. Namun langkahnya terhenti betul-betul di belakang Aneesa. Dia mula berasa teragak-agak untuk terus melangkah dan menyapa gadis itu. Dadanya mula berasa berdebar-debar .

Apa yang harus mereka bualkan? Ah! Bodoh! Kenapa aku tak fikirkan tadi? Ini tak, main redah aje.

“Err... hai, Neesa,” sapa Dzaquan teragak-agak.

Aneesa yang terkejut dengan sapaan itu terus menoleh. Pandangan mereka bersatu buat seketika sebelum Aneesa mengalihkan pandangannya kembali. 

Dzaquan yang melihat reaksi dingin Aneesa hanya mampu tersenyum kelat. Dia langsung tidak terkejut dengan reaksi yang ditunjukkan Aneesa sebentar tadi kerana dia sudah menjangkakannya.

Dzaquan menyentuh dadanya dengan tangan kanan. Kemudian dia menarik nafas buat seketika. Cuba mencari kekuatan. Bukan kekuatan untuk berhadapan dengan Aneesa. Tetapi dia mahukan kekuatan pada kesabaran yang pastinya akan diduga Aneesa sebentar lagi. 

Sekarang bukan waktunya untuk bergaduh. Meskipun reaksi dingin yang diberikan Aneesa, Dzaquan tetap memberanikan diri untuk melabuhkan punggung di hadapan gadis itu.

Aneesa terus mendengus kasar. Tidak suka dengan Dzaquan yang turut melabuhkan punggung di situ.

“Rasa segar dapat sedut udara pagi ni,” ujar Dzaquan perlahan. 

Dipandang wajah Aneesa sekilas sebelum membuang pandang pada pokok-pokok yang menghijau. Meskipun dia sudah mendengar dengusan Aneesa sebentar tadi, tetap jua memberanikan diri untuk mengajak Aneesa bersembang dengannya.

“Kau buat apa kat sini? Pagi-pagi pulak tu. Sedut udara pagi jugak ke? Hah, sebut fasal pagi kan, awal pulak kau bangun hari ni? Biasanya matahari dah menegak baru kau bangun,” komen Dzaquan selamba. Langsung dia tidak menyedari perubahan pada wajah Aneesa.

Aneesa yang mendengar kata-kata Dzaquan yang agaksinis itu terus mengetap giginya kuat.

“Kau apa hal, hah? Saja nak sakitkan hati aku, kan?” bentak Aneesa geram.

Pada ketika itu dia merasakan Dzaquan begitu kecil di matanya. Mahu saja dia memijak-mijak lelaki itu. Entah apa yang dimahukan lelaki itu. Pantang melihat dia senang, pasti mahu mengganggu ketenangannya.

Dzaquan terkulat-kulat dengan perubahan Aneesa yang begitu ketara.

“Kau kenapa?” soal Dzaquan pula. Dia benar-benar terkejut dengan perubahan yang ditunjukkan Aneesa dalam waktu yang singkat.

Itu aku baru tegur. Dah kena marah. Kalau aku cakap ‘papa kau suruh kita kahwin’, agaknya mahu kena belasah sampai mati ni.

“Aku benci kau!” jerit Aneesa kuat sebelum melangkah meninggalkan Dzaquan sendirian di situ.

Lidah Dzaquan kelu dengan kata-kata Aneesa sebentar tadi. Dia hanya mampu memandang pada Aneesa yang semakin jauh meninggalkan dirinya. Entah mengapa dia berasa sedikit terluka dengan pengakuan Aneesa itu. Sedangkan itu bukan kali pertama dia mendengarnya.

Hmm... cubaan pertama untuk memikat Aneesa, gagal! Keluh Dzaquan perlahan. 

Seraya dengan itu dia menyandarkan badan pada kerusi. Seketika kemudian dia tegak kembali. Anak matanya terus terarah pada telefon yang ditinggalkan Aneesa di tempat duduknya sebentar tadi. Terus tangannya dihulurkan untuk mengambil telefon itu. Baru sahaja tangannya menyentuh telefon itu, dia sudah dikejutkan dengan suara Aneesa yang menjerit ke arahnya.

“Kau buat apa dengan telefon aku?” Wajah tegang Aneesa dipandang sekilas.

“Tak! Aku...aku...” Kata-kata Dzaquan mati di situ. Secara tak sengaja tangannya tersentuh pada skrin telefon Aneesa dan kemudian telefon itu kelihatan cerah dengan cahaya telefon. Dapat dilihat dengan jelas gambar Aneesa dengan seorang lelaki di dada skrin telefon itu. 

Itu ke Amsyar yang selalu disebut-sebutkan Neesa? Gumam Dzaquan.

“Aku, apa? Kau nak geledah telefon aku, kan?” tuduh Aneesa pula. Ditambah pula dengan sikap Dzaquan yang teragak-agak untuk menjawab pertanyaannya sebentar tadi. Membuatkan dia benar-benar yakin dengan tuduhannya itu. 

Terus sahaja Aneesa menghulurkan tangan untuk mengambil telefonnya. Berkerut keningnya apabila melihat skrin telefonnya yang bercahaya. Tertanya-tanya sendirian, mengapa telefonnya bercahaya sebegitu. Ada panggilan ke? Mesej? Pandangannya teralih pula pada Dzaquan.

“Maaf,” ujar Dzaquan perlahan sebelum dia melangkah untuk beredar dari situ.

Dia tidak mahu terus berlama-lama di situ. Apatah pula dengan tuduhan yang baru dilempar Aneesa. Sedangkan niatnya sebentar tadi mahu memulangkan telefon itu kepada Aneesa.

Tiba-tiba sahaja hatinya dijentik perasaan resah. Gambar Aneesa yang kelihatan gembira di sisi lelaki itu membuatkan dia turut berasa bersalah. 

Tegarkah dia untuk melukakan hati Aneesa semata-mata untuk kepentingannya sendiri? Ya ALLAH...
Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.