"WAN! Mari join papa,” ajak Datuk Zaman saat anak matanya melihat Dzaquan yang sedang melangkah menuruni anak tangga.
Dzaquan yang terperanjat dengan suara Datuk Zaman yang tiba-tiba itu terhenti seketika. Seketika kemudian barulah dia meneruskan langkahannya.
“Bila papa balik?” sapa Dzaquan mesra sambil tangannya menarik kerusi.
Manakala anak matanya pula meliar memandang sekeliling. Mencari-cari kelibat Datin Fatimah dan yang lain-lain kerana dia cuma melihat Datuk Zaman sahaja yang berada di meja makan pada ketika itu. Seketika kemudian dia melabuhkan punggungnya.
“Baru sampai. Kamu cari siapa?” soal Datuk Zaman apabila perasan anak mata Dzaquan meliar seperti mencari sesuatu.
“Err... mana yang lain, pa? Tak makan sama ke?” Kaget Dzaquan menjawab pertanyaan Datuk Zaman.
Tidak sangka yang Datuk Zaman perasan anak matanya yang meliar sana sini. Sangkanya tadi Datuk Zaman begitu ralit membaca Surat Khabar Sinar Harian.
“Tidurlah. Macam kamu tak tahu,” balas Datuk Zaman sambil tersenyum senang. Sudah hampir dua minggu dia tiada di rumah kerana terpaksa mengurus projek di Singapura. Selesai sahaja urusan di Singapura, dia terus kembali ke Malaysia.
“Abang dah bangun?” sapa Qisya yang baru melangkah keluar dari dapur dengan membawa semangkuk nasi goreng.
“Hmm...” jawab Dzaquan ringkas. Dalam diam hatinya tertanya-tanya sendirian. Agak-agaknya Qisya dengar ke pertengkaran dia dengan Aneesa semalam?
Dia pasti suara mereka menjerit semalam agak kuat kedengarannya. Tapi yang anehnya Qisya langsung tidak mengulas apa-apa. Ataupun mungkin juga Qisya hanya berpura-pura sedangkan dia sudah mendengarnya dengan jelas? Ah, buat sakit kepala saja memikirkannya.
“Hmm... sedapnya bau nasi goreng ni,” sahut Datuk Zaman sambil menghulur pinggan. Tiba-tiba saja dia jadi berselera untuk bersarapan pada pagi ini.
Qisya yang mendengar ucapan Datuk Zaman hanya tersenyum senang. Setidak-tidaknya dia rasa dihargai dengan hasil masakannya yang tidak seberapa itu.
“Abang! Abang!” panggil Qisya berulang kali. Hairan juga dia melihat Dzaquan yang tiba-tiba termenung jauh sehinggakan langsung tidak menyahut panggilannya. Bahu Dzaquan disentuh perlahan.
Dzaquan yang terasa bahunya disentuh seseorang terus menoleh. Dia terpinga- pinga dan kemudian memandang ke arah Qisya. Seketika kemudian dia hanya mampu tersengih apabila pandangan pelik Datuk Zaman singgah di matanya. Pastinya berasa pelik dengan tingkah lakunya itu.
“Abang dengar tak Qis panggil tadi?” tanya Qisya lagi.
“Qis panggil abang ke? Kenapa?” soal Dzaquan bodoh. Sungguh! Dia langsung tidak mendengar suara Qisya yang memanggilnya.
“Qis tanya abang nak makan nasi goreng ke roti jala?” ulang Qisya lagi. Pelik betul dengan sikap abangnya itu. Seperti sedang memikirkan sesuatu.
Adakah disebabkan pertengkaran semalam? Mujurlah semalam hanya mereka bertiga sahaja yang berada di rumah. Nasib baik Kartini tidak ada di rumah. Jika tidak pasti mulut gadis itu kecoh bertanya macam-macam pada abangnya itu.
“Bagi abang nasi goreng,” jawab Dzaquan ringkas. Sesekali anak matanya singgah pada wajah tenang yang dipamerkan Qisya. Mungkin Qisya tidak mendengarnya. Aku saja yang fikir yang bukan-bukan, putusnya pula.
Suasana bertukar sunyi seketika apabila mereka bertiga menikmati sarapan masing-masing. Seketika kemudian Datuk Zaman bersuara.
“Kamu dah tahu keputusan Matrikulasi? Dapat kat mana?” soal Datuk Zaman.
Sedikit sebanyak Datuk Zaman dapat menumpang rasa bangga dengan semangat juang yang telah ditunjukkan Dzaquan.
Walaupun pelbagai masalah datang menimpa, ia tidak menjadi halangan buat Dzaquan untuk terus belajar dengan bersungguh-sungguh. Sehinggakan mendapat 10A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.
Suapan Dzaquan terhenti. Pertanyaan Datuk Zaman itu membuatkan dia kembali resah. Itulah salah satu perkara yang sedang bermain di fikirannya sejak akhir- akhir ini.
Walhal Datuk Zaman sudah memberi kebenaran untuk dia menyambung pelajaran. Malah, kos pengajian juga akan ditanggung lelaki itu.
Tetapi yang menjadi masalahnya sekarang ialah adik-adiknya. Dia berasa bimbang pula mahu meninggalkan mereka bersama keluarga angkatnya itu. Terutamanya Datin Fatimah dan Kartini. Takut jika perkara yang berlaku pada Zafrul dan Qisya akan berulang lagi.
“Err... belum lagi, pa,” jawab Dzaquan teragak-agak.
“Kenapa belum lagi? Kena semak cepat, nanti kena buat persiapan pulak,” ujar Datuk Zaman sedikit terkejut dengan jawapan yang diberikan anak angkatnya itu.
Seingatnya dulu, Dzaquan awal-awal lagi sudah memberitahu rancangannya untuk meneruskan pengajian sehingga dapat menggenggam segulung ijazah. Tapi lain pula yang terjadi pada hari ini. Seperti semangat untuk belajar anak muda itu sudah hilang.
“Kamu tak nak sambung belajar ke?” teka Datuk Zaman pula.
Qisya yang berada di situ hanya mendiamkan diri. Meskipun dia tidak menyampuk, telinganya tetap dibuka besar-besar. Hatinya tertanya-tanya akan jawapan yang akan diberikan abangnya itu.
Betul ke abang dah tak berminat untuk belajar? Ataupun abang tak sanggup berpisah dengan Neesa? Gumam Qisya.
“Err... sebenarnya pa, Wan...” ujar Dzaquan teragak-agak untuk meneruskan kata-katanya. Bimbang jika ia akan melukakan hati papa angkatnya itu.
Ditoleh sekilas pada Qisya yang langsung tidak bersuara. Kelihatan Qisya begitu khusyuk menikmati sarapan dan lagaknya seperti tidak mengambil endah akan perbualan mereka berdua itu.
“Atau kamu tak sanggup berpisah dengan Neesa? Gitu? Maklum ajelah kau orang kan baru bertunang. Dalam proses nak kenal hati budi lagi,” ujar Datuk Zaman terus menduga.
Seraya dengan itu bibirnya mengukir senyuman lebar. Terasa tindakannya untuk mengikat tali pertunangan di antara Dzaquan dan Aneesa adalah tepat.
Dzaquan yang mendengar terus terbatuk-batuk. Cepat-cepat dia menggapai gelas minuman yang berada tidak jauh daripadanya. Mahu segera menghilangkan rasa pedih pada tekaknya itu.
Ditambah pula dengan senyuman lebar yang terukir di wajah Datuk Zaman itu membuatkan dia terasa segan. Entah apalah yang difikirkan orang tua tu.
Suapan Qisya turut terhenti. Jangan-jangan betul tekaan Datuk Zaman? Abang tak nak sambung pengajian hanya kerana Neesa? Bagaimana pulak dengan janji abang pada arwah ayah? Tergamak ke abang mengecewakan janji yang telah dilafazkan dulu? Gumam Qisya.
Hisy! Sampai ke situ pulak orang tua ni fikir? Dia tak tahu ke yang aku dengan Neesa ni hari-hari bergaduh. Kalau dengan Neesa, bukan aku tak sanggup berpisah. Tapi aku sanggup berpisah lama-lama. Buat sakit kepala aje kalau aku menghadap muka Neesa lama-lama, gumam Dzaquan.
Langkah Aneesa yang sedang menuruni anak tangga terhenti dengan tiba-tiba apabila telinganya mendengar dengan jelas kata-kata papanya sebentar tadi. Dadanya tiba-tiba terasa berdebar. Debarannya semakin kuat dirasakan apabila Dzaquan tidak terus menjawab persoalan papanya itu.
Sebaliknya lelaki itu hanya mendiamkan diri. Dia sudah tidak betah untuk bersemuka dengan Dzaquan lagi. Tindakan lelaki itu memang sukar dijangka. Sekejap Dzaquan begitu dingin dan selamba dengannya. Kemudian dia jadi gentar dengan Dzaquan yang tiba-tiba berubah bertukar menjadi garang dan tegas.
Pantang ada tersilap sikit, pasti dia dimarahi dan sekarang layanan lelaki itu begitu baik padanya. Sehinggakan dia tidak dapat menduga apa sebenarnya yang sedang bermain di fikiran lelaki itu. Siapa aku di mata dia? Dan apa pulak perasaan dia terhadapku?
Ah, sudah gilakah aku? Kenapa itu pulak yang aku sibukkan? Sepatutnya aku fikirkan cara untuk pulihkan hubungan aku dengan Am. Bukannya menyemakkan kepala dengan lelaki tak guna tu! Kerana lelaki itulah yang telah memisahkan aku dan Am.
Sehinggakan Am merajuk dan tak nak menjawab panggilan telefon daripada aku lagi. Sudah tentu Am berasa begitu kecewa dengan apa yang berlaku. Seketika kemudian Aneesa mengeluh perlahan apabila memikirkan Amsyar.
Maafkan saya, Am. Saya tak berdaya untuk mempertahankan cinta kita. Apatah lagi untuk berdepan dengan papa yang tiba-tiba sahaja berubah laku. Hingga sanggup mencari lelaki lain hanya kerana mahukan kita berdua berpisah. Papa benar-benar kejam! Getus Aneesa.
Aneesa yang sedang mengelamun tersentak apabila terdengar suara papanya yang batuk. Cepat-cepat dia memusingkan badan. Arah kakinya sudah bertukar. Mahu kembali ke bilik. Dia sudah tidak sanggup untuk terus menanti di situ.
Apatah lagi dengan dirinya yang menjadi topik perbualan di antara Dzaquan dan papanya. Takut? Ya! Itulah yang dirasainya ketika ini. Dia benar-benar takut dengan jawapan yang akan diberikan Dzaquan sebentar nanti.
“Err... nampak ketara sangat ke, pa?” soal Dzaquan ringkas dan padat. Namun cukup memberikan pelbagai reaksi pada insan yang mendengar.
Dzaquan hanya tersengih pada Datuk Zaman. Terasa malu pula mengaku begitu.
Aneesa yang mendengar terasa seperti mahu rebah. Jawapan yang ditakutinya benar-benar menjadi kenyataan apabila telinganya mendengar dengan jelas jawapan yang diberikan Dzaquan.
Sebab dia ke lelaki itu tidak mahu menyambung pelajarannya? Sedangkan dia mendapat keputusan yang begitu cemerlang. Dan sebab itu ke layanan Dzaquan berubah mesra padanya? Sayang ke Dzaquan pada dirinya? Dan bagaimana pulak dengan aku? Gembira ke dengan jawapan itu?
Tidak! Cinta aku hanya untuk Amsyar! Hanya Amsyar! Jerit hati Aneesa sebelum berlari ke arah biliknya. Dia sudah tidak sanggup untuk mendengar apa-apa lagi.
Bulat anak mata Datuk Zaman dengan kata-kata Dzaquan itu. Seraya dengan itu dia tersenyum lebar. Bahu kanan Dzaquan ditepuk mesra. Tidak disangka yang tekaannya sebentar tadi tepat pada sasarannya.
Dia benar-benar gembira dengan perkembangan terbaru itu. Setidak-tidaknya dia tahu hubungan Dzaquan dan Aneesa menampakkan sedikit kemajuan. Dia juga sudah boleh menarik nafas lega. Dia yakin sedikit masa lagi Amsyar pasti akan disingkirkan daripada hati Aneesa.
“Betul ke macam tu?”
Belum pun sempat Dzaquan membuka mulut, Qisya tiba-tiba bangkit. Jawapan daripada abangnya sudah diketahui. Dia benar-benar rasa kecewa dengan sikap abangnya itu. Rasanya tidak perlu lagi dia menadah telinga untuk mendengar perbualan kedua-dua lelaki itu. Hatinya pasti akan lebih terluka jika dia terus berada di situ.
“Qis dah siap makan. Qis naik dulu,” ujar Qisya perlahan. Sekadar menunjukkan rasa hormat pada Datuk Zaman dan abangnya itu.
Dzaquan dan Datuk Zaman hanya mampu bertukar pandangan sambil melihat Qisya melangkah pergi meninggalkan mereka berdua.
“Tak adalah, pa. Wan gurau aje. Sebenarnya Wan risaukan adik-adik. Kalau Wan sambung belajar nanti, macam mana dengan mereka?” ujar Dzaquan sambil tersenyum kelat.
Dapat dilihat senyuman lebar yang terukir di wajah tua itu apabila mendengar kata-katanya sebentar tadi. Walhal dia hanya bergurau sahaja. Dia langsung tidak menyangka yang Datuk Zaman akan mempercayai kata-katanya. Perasaan bersalah mula membalut tangkai hatinya kerana telah mempermainkan harapan Datuk Zaman.
Maafkan Wan, papa. Harapan papa pada Wan terlalu besar. Mustahil untuk Wan tawan hati Neesa yang dah dimiliki insan lain, bisik Dazquan dalam hati.
Datuk Zaman mengeluh perlahan. Sangkanya tadi hubungan Dzaquan dan Aneesa semakin pulih. Rupa- rupanya, masalah lain yang difikirkan Dzaquan.
“Papa kan ada?”
“Tapi...”
“Kamu bimbangkan auntie kamu?” soal Datuk Zaman seolah-olah dapat meneka apa sebenarnya yang membimbangkan anak muda itu.
Siapa lagi kalau bukan isterinya itu? Di hadapan dia pun Datin Fatimah selalu mencari salah dan silap mereka empat beradik. Dia tak boleh bayangkan jika di belakangnya, sudah tentu teruk empat beradik tu dikerjakan isterinya. Keadaan pasti akan bertambah teruk dengan ketiadaan Dzaquan nanti.
Perlahan-lahan Dzaquan mengangguk.
“Papa pun sebenarnya risau jugak. Auntie kamu tu bukan boleh dipakai sangat. Dia cuma ikut kepala dia aje, perasaan orang langsung dia tak kisah,” keluh Datuk Zaman perlahan.
Tambahan pula dia banyak menghabiskan masa di luar rumah dan pasti sukar untuk dia mengawal isterinya itu daripada mencari salah anak-anak angkatnya. Tugasnya sebagai ahli perniagaan menyebabkan dia banyak menghabiskan masa bertemu pelanggan di luar sana.
“Ataupun papa cari rumah sewa lain dan biar Mak Ani dan Pak Mat yang jaga mereka,” cadang Datuk Zaman dengan tiba-tiba. Lagipun Pak Mat dan Mak Ani adik-beradik. Rasanya, tiada masalah untuk mereka jadi penjaga kepada Qisya, Aniq dan Zafrul.
“Maksud papa?”
“Kita asingkan mereka daripada auntie kamu. Hmm...kamu kena faham, papa tak bermaksud nak singkirkan mereka daripada rumah ni. Tapi papa risaukan keselamatan mereka bertiga. Papa rasa biar aje Mak Ani dan Pak Mat yang jadi penjaga mereka. Lagipun mereka berdua tu adik-beradik dan orang yang papa paling percaya. Kamu macam mana? Setuju dengan cadangan papa? Kamu jangan risau, rumah ni sentiasa terbuka untuk kamu empat beradik,” terang Datuk Zaman panjang lebar.
Cadangan Datuk Zaman itu benar-benar membuatkan Dzaquan tersenyum gembira. Setidak-tidaknya dia tidak perlu berasa bimbang untuk meninggalkan adik-adiknya. Dalam waktu yang sama masih boleh melaksanakan janjinya pada arwah ayahnya.
“Terima kasih, papa. Terima kasih banyak-banyak. Wan tak tahu nak cakap apa.” Berkali-kali Dzaquan mengucapkannya.
Dia benar-benar bersyukur kerana ditemukan dengan insan sebaik Datuk Zaman yang sanggup menolongnya walaupun dia tidak mempunyai apa-apa untuk membalas budi baik Datuk Zaman melainkan janji yang telah dilafazkannya dulu.
“Papa tak nak apa-apa. Papa cuma nak Wan ingat janji Wan untuk jaga Neesa. Itu aje pinta papa pada Wan,” ujar Datuk Zaman mengingatkan.
Dia tidak mahu bakal menantunya itu terlupa akan janji yang pernah mereka lafazkan dulu. Janjinya untuk menyara dan menanggung pembelajaran mereka empat beradik dan janji Dzaquan untuk menjaga dan mengambil Aneesa sebagai isteri.
Di dalam bilik, Aneesa gelisah sendirian. Sekejap-kejap dia menukar posisi duduknya. Seolah-olah duduknya itu sudah tidak memberi keselesaan padanya lagi. Semuanya kerana kata-kata yang diucap Dzaquan sebentar tadi.
“Tak sanggup berpisah dengannya? Ah, benar-benar gila!” jerit Aneesa lagi. Kata-kata Dzaquan itu benar-benar membuatkan dia resah.
Tiba-tiba dia terasa wajahnya membahang. Segera dia bangkit untuk mencari alat kawalan jauh untuk menguatkan suhu sejuk di biliknya. Entah mengapa dia terasa panas pula sedangkan matahari belum tegak. Dia melangkah ke arah meja solek. Tiada! Kemudian dia melangkah ke arah meja tulis. Juga tiada!
“Hisy! Mana pulak perginya remote bodoh ni?” bentak Aneesa geram. Geram kerana apa yang dicari tidak juga dijumpainya.
Sedangkan alat kawalan jauh itu terletak di atas meja. Bersebelahan dengan tempat dia melabuhkan punggungnya sebentar tadi. Sudahnya dia mengambil sehelai kertas yang terletak di atas meja untuk dijadikan kipas. Baru saja suhu hangat mula menghilang, tiba-tiba dia teringat kembali perbualan di antara papanya dan Dzaquan sebentar tadi.
“Jangan cakap pada papa yang kamu tak nak sambung belajar?” duga papanya.
“Atau kamu tak sanggup berpisah dengan Neesa? Gitu? Maklum sajalah kau orang kan baru bertunang. Masih dalam proses untuk kenal hati budi lagi.”
“Err... nampak ketara sangat ke, pa?” soal Dzaquan ringkas dan padat.
Aku ke yang menjadi penyebabnya? Soal Aneesa sendirian. Seketika kemudian dia terbayang pula perubahan aneh Dzaquan tempoh hari yang tiba-tiba melayannya dengan begitu ‘baik’. Yang tiba-tiba merenungnya dengan pandangan yang sukar dimengerti.
Disebabkan renungan redup itulah yang membuatkan dia terbuai buat seketika. Malah, dia juga turut hanyut dalam dunianya apabila tangan Dzaquan mengelus lembut wajahnya. Tiba-tiba Aneesa tersentak. Bagaikan terkena kejutan, segera dia bangkit. Kertas yang berada di tangan sudah jatuh entah ke mana.
Sebab itu dia tidak mahu belajar? Tidak sanggup berpisah dengan aku? Betul ke disebabkan kejadian tu? Kalau itulah yang menjadi punca Dzaquan tidak mahu menyambung pengajian, dia juga tidak sanggup untuk terus tinggal di bawah bumbung yang sama dengan lelaki itu.
Bukan tak sanggup! Tapi Aneesa benar-benar takut. Takut andai dia terus digoda Dzaquan. Takut jika mereka terus tinggal di bawah bumbung yang sama. Suatu hari nanti dia pasti akan menyerah pada lelaki itu.
Tidak! Dia tidak mahu itu yang terjadi, sedangkan cintanya hanya untuk Amsyar dan bukannya Dzaquan! Kerana lelaki itulah yang menjadi punca hubungannya dan Amsyar terputus. Pantas Aneesa mengatur langkah keluar dari bilik. Satu per satu anak tangga dipijak dengan rakus. Dia mahu segera sampai ke bawah. Dia mahu segera bersemuka dengan papanya.
Datuk Zaman dan Dzaquan hampir terkejut dengan kemunculan Aneesa yang tiba-tiba. Malah, Aneesa dilihatnya termengah-mengah. Seolah-olah baru saja menghabiskan larian 100 meter.
“Neesa nak sambung belajar kat luar negara!” ujar Aneesa dengan kuat.
Dia mahu Dzaquan dengar dengan jelas apa yang dimahukannya. Dia sudah tidak sanggup untuk hidup sebumbung dengan lelaki itu. Dia sedar, untuk menyingkirkan lelaki itu dari rumah adalah perkara yang mustahil. Kalau dia tak boleh singkirkan Dzaquan keluar dari rumah ini, bermakna dia yang harus melangkah keluar dari rumah.
Hanya ini sahaja caranya yang dia ada. Dia yakin keinginannya itu pasti akan ditentang papanya. Meskipun begitu dia tetap mengusulkannya. Dia yakin yang dia boleh mengubah keputusan papanya. Itu nekadnya.
ps: DUKACITA dimaklumkan, DTA! tak sempat masuk pbakl 2013. Apa-apa
berita mengenai DTA akan dimaklumkan kemudian. Yang pastinya, DTA untuk
terbitan bulan JUN 2013