Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
169,015
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17
DUM! Aneesa menghempas pintu bilik dengan kuat. Dia tidak tahu pada siapa rasa marahnya itu patut dilepaskan. Pada Dzaquan atau pada dirinya sendiri? Atau kedua-duanya sekali? Mungkin.

Marah pada Dzaquan mungkin disebabkan lelaki itulah yang menyebabkan rancangannya untuk melarikan diri tergendala. Semuanya kerana kemunculan lelaki itu secara mengejut. 

Rasa marah pada dirinya sendiri pula mungkin disebabkan dia yang memberi peluang pada Dzaquan untuk menolongnya. Secara tak langsung dia sudah terhutang budi dengan lelaki itu. 

Ah, aku tak mahu kerana budinya yang kecil itu akhirnya body aku yang tergadai! Bentak Aneesa pula.

Aneesa tersentak apabila terasa ada sesuatu mengalir daripada hidung ke bibirnya. Perlahan-lahan jarinya menyentuh cecair itu. Terus anak matanya membulat apabila melihat cecair itu berwarna merah. 

Darah? Hah? Hidung akuberdarah lagi! Aneesa terus lompat daripada katil. Terus dia berjalan ke arah meja tulis, almari dan kemudiannya melangkah pula pada meja solek. Mana tisu? Tak kan dalam bilik ni tak ada tisu? Aneesa tertanya-tanya sendirian. Sebelah tangannya lagi sudah melekat pada hidungnya. 

Aneesa tergopoh-gapah pula ke arah pintu bilik. Baru sahaja pintu bilik dibuka, dia sudah dikejutkan dengan tubuh Dzaquan yang berdiri betul-betul di hadapannya.

“Dzaquan! Kau buat aku terperanjat ajelah,” jerit Aneesa sambil tangannya menyentuh dada yang sudah pun berombak laju.

Masuk ini sudah dua kali dia dikejutkan dengan orang yang sama. Semuanya pada malam yang sama. Kalau hari-hari macam ni, boleh mati terkejut gamaknya nanti. 

Seketika kemudian dia memandang tajam pada seraut wajah yang berada di hadapannya itu.

“Aku tak berniat nak buat kau terkejut. Aku cuma...”

“Cuma apa?” tukas Aneesa pantas.

“Hidung kau berdarah lagi ya?” soal Dzaquan pula setelah melihat darah merah sekali lagi kelihatan pada hidung Aneesa. 

Belum pun sempat Aneesa membuka mulut, sekali lagi soalan terluah daripada mulut Dzaquan.

“Kenapa tak buat macam aku buat tadi? Bukan susah. Kau buat aje macam ni,” ujar Dzaquan seraya meletakkan tangan di belakang leher Aneesa. Kemudian dia menundukkan sedikit wajah Aneesa ke hadapan.

“Lepas tu kau picit perlahan kat hidung kau, yang penting kau jangan panik,” sambung Dzaquan lagi sambil sebelah tangannya menggapai tangan Aneesa lalu diletak pada hidung Aneesa. 

Tindakan Dzaquan yang selamba menyentuh leher dan tangannya itu membuatkan Aneesa menahan rasa geram. Namun dia langsung tidak membantah. Sebaliknya mengikuti semua arahan Dzaquan. Cuma pandangan tajam sahaja, diberikan pada lelaki itu.

Dzaquan yang baru sedar pandangan tajam Aneesa itu segera melepaskan tangannya. Bimbang jika gadis itu menjerit lagi pada dirinya. 

Seketika kemudian dia menghulurkan tuala yang berada di tangan. Niatnya ke bilik Aneesa sebentar tadi mahu memberikan tuala itu. Tapi lain pula yang berlaku.

“Nak buat apa pulak dengan tuala ni?” tanya Aneesa yang mula berasa cuak dengan sikap Dzaquan yang ‘terlalu baik’ malam ini.

“Untuk kau lapkan darah tulah,” balas Dzaquan pantas. Seketika kemudian dia membuang pandang pada Aneesa.

“Atau kau nak aku yang lap kan?” soalnya pula. Seraya dengan itu satu senyuman nakal terlukis di wajahnya.

Aneesa terus mendengus geram.

“Tak payah! Aku boleh buat sendiri,” balas Aneesa angkuh. Kemudian dia menghempas pintu kuat. Mujur pintu itu tidak ‘tercium’ hidung Dzaquan yang berada begitu dekat dengan muka pintu bilik Aneesa.

“Sama-sama!” jerit Dzaquan dari luar sana setelah Aneesa menghempaskan pintu dengan kuat ke arahnya.

“Orang dah tolong dia, dah kira baik. Nak cakap terima kasih pun payah,” omel Dzaquan sambil memandang tajam pada pintu Aneesa. 

Seketika kemudian dia mengangkat tangan kanan seolah-olah cuba melempang Aneesa. Hmm... tak dapat diluahkan pada empunya diri, lepaskan pada pintu pun jadilah, gumam Dzaquan lagi. 

Namun setiap butir bicaranya dapat didengari dengan jelas oleh Aneesa yang sedang menyandarkan diri pada pintu bilik itu. Bukan niatnya untuk membalas budi Dzaquan dengan cara begitu tapi dia cuma tidak mahu berasa terhutang budi dengan apa yang sudah dilakukan Dzaquan.

Dzaquan terus menoleh. Mahu kembali ke bilik. Seketika kemudian dia menoleh dan memandang pada pintu bilik Aneesa. Agak lama dia berkeadaan begitu. Hatinya tertanya-tanya akan beg pakaian yang dilihatnya sebentar tadi. Entah mengapa dia berasa tidak sedap hati meninggalkan gadis itu sendirian. Bimbang jika apa yang ditakutinya benar-benar berlaku. 

Secara tidak sengaja ingatan pada emaknya datang mengetuk kotak ingatannya. Mungkinkah Aneesa juga akan melarikan diri daripadanya juga? Seperti yang pernah dilakukan emaknya dulu? 

Dzaquan tersentak. Telinganya terdengar bunyi sesuatu jatuh pada lantai. Pantas anak matanya meliar mencari arah datangnya bunyi itu. 

Anak matanya membulat apabila wajah Qisya menyapa pandangannya. Adiknya itu hanya kelihatan berdiri di hujung tangga. Sangkanya tadi adiknya sedang enak dibuai mimpi.

“Qis? Tak tidur lagi?” soal Dzaquan. Terus dia melangkah ke arah Qisya. Dia langsung tidak sedar kehadiran Qisya di situ sehinggalah dia dikejutkan dengan bunyi sesuatu terjatuh tadi. 

“Err... Qis haus...tadi ke dapur...” balas Qisya teragak-agak. Seraya dengan itu Qisya tunduk untuk mengambil botol airnya yang terjatuh sebentar tadi. 

Dalam diam dia menyumpah dirinya sendiri kerana secara tak sengaja menarik perhatian abangnya itu. Sedangkan dia sebenarnya sudah lama berada di situ. 

Secara tak sengaja dia melihat sendiri apa yang telah berlaku di antara abangnya dan Aneesa. Jujur dia akui, dia berasa tidak senang melihat kemesraan yang mula terjalin di antara kedua-duanya.

“Qis, jom teman abang borak-borak. Abang...”

“Qis nak tidur,” potong Qisya pantas. Tanpa menunggu jawapan daripada Dzaquan, dia terus melangkah dan meninggalkan abangnya sendirian.

Sungguh! Bukan dia sengaja untuk bersikap dingin begitu dengan abangnya. Tetapi dia tidak boleh menerima hakikat yang kemesraan di antara mereka berdua yang mula terjalin. Buktinya dia sendiri sudah melihatnya dengan mata kepalanya sendiri.

Kenapa abang boleh berubah dengan sekelip mata? Sebelum ni abang tak pernah melayan sesiapa dengan baik macam tu. Apatah lagi dengan perempuan. Tapi kenapa abang berubah sebegitu dengan Neesa? Kerana Neesa ke? Gumam Qisya.

Dzaquan terpinga-pinga dengan tindakan Qisya yang dirasakan agak dingin dari kebiasaannya. Tapi kenapa? Apa puncanya Qisya berubah laku seperti itu? Tadi Aneesa dan sekarang Qisya pula. Penyakit perempuan ke?
Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.