Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
157,746
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2
DZAQUAN menyentuh luka di bibirnya. Tak cukup dengan itu, betisnya juga turut berasa pedih kerana hukuman yang dijatuhkan Cikgu Salleh pagi tadi.

“Aduh, pedih betul. Gilalah Misai Tebal tu. Rotan aku macam nak membunuh. Ingat tak sakit ke?” keluh Azri. Yang anehnya, sudah diketahui luka tu amat menyakitkan, tapi entah mengapa tangannya masih juga terasa untuk menyentuh luka itu.

“Dah tahu pedih yang kau nak sentuh jugak tu kenapa?” soal Dzaquan. Bosan betul telinganya dengan Azri yang tak sudah-sudah mengomel.

“Entah,” jawab Azri ringkas. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia berbuat begitu.

“Memang pedihlah hari ni. Agaknya Misai Tebal tu bengang dengan Munir kut. Sebab tu sakan dia merotan kita,” sahut Md.Nor pula.

“Alah, anak sepupu dia. Takkan dia nak rotan jugak kut? Jomlah balik, tak tahan dah aku ni,” sahut Wern pula.

“Jom!” sahut rakan-rakannya yang lain. Tapi tidak Dzaquan.

“Tak nak balik lagi ke, Wan?”

“Nak tunggu buah hati lagi ke?” usik Md.Nor pula sambil tersengih nakal.

Dzaquan hanya menggeleng-geleng sambil tersenyum.

“Aku hairanlah. Apa hubungan kau dengan Qisya sebenarnya?” soal Azri kehairanan.

“Haahlah. Nak kata bercinta, aku tak pernah nampak kau orang bersembang. Ke main utus-utus surat belakang kami ni?” sampuk Wern tiba-tiba.

Belum pun sempat Dzaquan membuka mulut, lalu pula sekumpulan pelajar perempuan di hadapan mereka.

Gelak ketawa mereka tiba-tiba sahaja terhenti apabila menyedari ‘4 kepala samseng’ berada di wakaf usang.

Qisya segera menoleh. Hairan dengan kebisuan rakan-rakannya itu. Tadi bukan main lagi bergelak ketawa. Mengalahkan hantu puntianak yang menang loteri saja gayanya.

Abang, bisik Qisya dalam hati apabila melihat Dzaquan dan rakannya berada di wakaf usang yang tidak jauh daripada mereka. Itu sebabnya kenapa rakan-rakannya itu tiba-tiba menjadi bisu.

Seketika kemudian mereka berpecah mengikut hala tuju masing-masing. Tinggallah Qisya sendirian bersama Umi dan Azwa.

“Okey, geng. Aku balik dulu,” ujar Dzaquan pada rakannya. Tanpa menanti balasan daripada rakannya, terus dia menapak mengekori tiga orang gadis di hadapannya itu.

“Aku hairanlah. Apasal Abang Wan tu selalu ikut kita, hah? Kita ada buat salah ke?” bisik Umi perlahan. Takut didengari Dzaquan yang mengekori mereka dari belakang.

“Haahlah. Seram sejuk aje aku bila nampak muka dia. Memanglah handsome, tapi muka dia garang semacam aje. Dah tu kaki gaduh pulak. Tengok baju dia yang kotor tu. Bertumbuk lagilah tu. Sia-sia aje jadi ‘Top 4’ kat sekolah kita. Tapi asyik duk bertumbuk jugak,” sahut Azwa pula.

Sama juga seperti Umi, dia juga hanya mampu berbisik. Takut jika kata-katanya sebentar tadi didengari Dzaquan. Walaupun setakat ini tak ada lagi cerita tentang lelaki itu menumbuk muka pelajar perempuan. Tetapi tak salah kalau mereka mengambil langkah berjaga-jaga.

Seraya dengan itu, Qisya menoleh pada Dzaquan. Dapat dilihat dengan jelas baju Dzaquan yang sudah pun dipenuhi dengan koyak dan kesan kotor. Malah, di wajahnya juga ada kesan luka. Jalan lelaki itu juga dilihatnya tidak teratur.

Kena rotan lagilah tu, duga Qisya sendirian.

“Jangan-jangan dia syok kat kau tak, Qis?” tebak Umi pula.

Apa tidaknya, lelaki yang bernama Dzaquan itu sejak dulu lagi selalu mengekori langkah Qisya yang berulang-alik ke sekolah. Tapi yang anehnya dia tidak pernah melihat mereka berdua bersembang ataupun bertegur sapa.

Sebaliknya, lelaki itu hanya mengekori langkah Qisya sahaja. Bertahun-tahun lelaki itu menjalankan rutin harian yang sama. Tidak bosankah Dzaquan? Tidak mahukah lelaki itu cuba mendekati Qisya?

Qisya juga bukan calang-calang orangnya. Rakannya itu merupakan pelajar cemerlang di sekolah. Malah, disebabkan kecantikan yang dimilikinya, dia turut menjadi rebutan pelajar-pelajar lelaki.

Kalau aku ni lelaki, dah lama aku usha si Qis ni. Apalah Abang Wan ni, itu pun tak berani buat ke? Getus Umi.

“Hisy! Mengarutlah kau, Umi,” tepis Qisya sambil tersenyum sendirian apabila mengenangkan kata-kata Umi sebentar tadi.Terasa lucu pula pada pendengarannya.

“Kau orang rasa orang macam Abang Wan tu tahu bercinta ke?” soal Qisya pula.

Umi dan Azwa terdiam. Cuba memikirkan kata-kata Qisya sebentar tadi. Ada benarnya juga. Yalah, ‘kaki pukul’ macam tu tahu ke erti cinta? Kemudian mereka tergelak sendirian.

“Bye, Qis!” jerit Umi dan Azwa pada Qisya.

Sampai sini saja langkah mereka bersama kerana Qisya dan Dzaquan akan mengambil simpang lain. Sudah tidak bersama mereka lagi.

“Hati-hati, Qis.” Sempat lagi Azwa berbisik pada Qisya.

Terbit rasa bimbang di hatinya apabila terpaksa meninggalkan Qisya berdua-duaan dengan Dzaquan.Tetapi, Qisya selalu mengatakan yang dia selamat bersama Dzaquan. Tidak perlu bimbangkannya.

“Gaduh lagi, bang?” tanya Qisya apabila yakin yang Umi dan Azwa sudah jauh melangkah meninggalkan mereka.

Manakala Qisya pula memperlahankan langkah agar seiring langkahnya dengan Dzaquan. 
Dzaquan yang mendengar hanya tersenyum kecil.

“Macam biasa. Lagi nak tanya,” balas Dzaquan ringkas. Itulah soalan yang selalu dilemparkan Qisya hampir setiap hari.

“Gaduh aje kerja abang, Qis penat tau dengar ayah hari-hari duk membebel benda sama. Telinga Qis ni dah tak boleh nak tahan dah. Tapi abang tetap jugak macam tu. Langsung tak makan saman,” komen Qisya panjang lebar.

“Ingat Qis aje ke? Abang pun sama tau. Tak larat dah dengar benda sama aje,” balas Dzaquan malas.

“Kalau dah tahu macam tu, janganlah bertumbuk lagi. Tengok baju tu, habis koyak. Kotor plak tu. Nanti Qis jugak yang kena menyental baju abang tu. Kena tampal mana yang koyak,” bebel Qisya sambil menunjukkan kesan koyak dan kotor pada Dzaquan.

Pantas Dzaquan menepis tangan Qisya itu.

“Eh, bisingnya! Kalau tak nak buat, sudahlah. Tak payah nak bising-bising. Bukan abang paksa pun,” dengus Dzaquan geram. Petah pula mulut adiknya itu.

Kang melayan penampar kang...

“Hah, tamparlah kalau berani. Qis report kat ayah, baru tau,” balas Qisya yang seakan-akan dapat membaca fikiran abangnya itu.

Dia tahu yang abangnya tidak pernah berkasar dengan dia dan adik-adik. Sekadar cakapnya sahaja yang agak kasar dan tidak mesra.

Terdiam Dzaquan apabila mendengar kata-kata Qisya yang nyata dapat menduga apa yang bermain di fikirannya sebentar tadi.

Dalam diam Qisya tersenyum puas. Setidak-tidaknya hari ini dia dapat mendengar abangnya itu membalas hujah. Tidaklah seperti selalu yang banyak mendiamkan diri. 
Bila ditanya hanya sepatah saja jawapannya. 

Qisya sedar yang perubahan yang berlaku pada abangnya, disebabkan emaknya yang lari meninggalkan mereka empat beradik. Dia yakin, ada sesuatu yang cuba disembunyikan abangnya. Sejak itu hubungan abang dan mereka adik-beradik berubah menjadi dingin. 

Tetapi dia yakin dalam kedinginan abangnya itu, kasih abangnya masih ada untuk mereka adik-beradik. Jika tidak masakan abangnya itu akan mengekori langkahnya yang berulang-alik ke sekolah semata-mata bimbang keselamatan dirinya.

Malah, Dzaquan juga sanggup merahsiakan hubungan mereka sebagai adik-beradik. Gara-gara tidak mahu Qisya diganggu musuhnya. Maklum sajalah dia sering saja terlibat dalam pergaduhan.

Aneh? Tapi itulah cara abangnya menunjukkan rasa kasih pada dirinya. Kerana abangnya itu memang tidak pandai meluahkan melalui kata-katanya.

“Hah! Tu senyum-senyum kenapa? Dah buang tebiat ke?” soal Dzaquan tiba-tiba.
Pelik pula melihat Qisya yang tiba-tiba sahaja tersenyum sendirian.

“Hai, sejak bila pulak tak boleh senyum ni? Senyum tu kan sedekah.”

Hisy! Banyak cakap betullah dia ni. Orang tengah sakit ni. Kang ada yang kena, rungut Dzaquan.

Malas melayan kerenah Qisya, Dzaquan terus mendiamkan diri dan kemudian semakin laju dia mengatur langkahnya. Biar cepat sampai rumah, fikirnya lagi.

“Abang! Nantilah dulu. Jalan laju-laju tu tak sakit ke?” jerit Qisya sambil mengejar Dzaquan.

Pertanyaan Qisya itu dijawab dengan dengusan kuat Dzaquan. Qisya pula yang ketawa senang melihat reaksi abangnya itu.

Makin terbakar Dzaquan dibuatnya, tapi dia tetap mendiamkan diri. Jauh di sudut hati dia gembira melihat Qisya ketawa riang seperti itu. Tapi sayangnya dia tidak pandai berceloteh dengan adiknya itu. Dan dia pula lebih selesa menjadi pendengar setia Qisya yang rajin berceloteh dengannya.

Hanya Qisya sahaja yang masih boleh berceloteh dengannya. Tidak Aniq ataupun adik bongsunya, Zafrul. Mereka berdua memang takut pada dirinya.

Ah, memang wajar adik-adiknya berasa takut. Kerana dia tidak pernah cuba berceloteh atau bergurau dengan mereka.

Dia juga sedar, perangai adik-adiknya semakin hari semakin nakal. Atau lebih tepat lagi, mereka seperti mahu mengikut perangai buruknya yang tidak sepatutnya diikuti.Sebab itulah dia selalu memarahi mereka.

Dia tidak mahu mereka mengikut perangainya. Biarlah dia seorang yang dicaci dan dibenci orang kampung.

Sungguh! Bukan niatnya untuk menjadi kaki pukul atau samseng di sekolah. Tetapi keadaan yang membuatkan dia terpaksa bertindak sepertiitu. Tanpa disedarinya, sedikit sebanyak tingkah lakunya itu turut terkena pada keluarganya.

Kononnya ayah tidak pandai mendidik anak sehingga dia menjadi kaki pukul. Tidak cukup dengan itu, orang kampung turut menyalahkan ayahnya apabila emaknya melarikan diri yang kononnya sudah tidak sanggup hidup terseksa kerana menjadi mangsa pukul ayahnya.

Tidak wajarlah jika mereka menyalahkan ayah kerana sikap buruknya.

“Abang! Duduk diam-diam boleh tak? Susahlah Qis nak sapukan ubat,” ngomel Qisya geram apabila Dzaquan banyak bergerak dan menyukarkan tugasnya sebagai jururawat yang tak bertauliah untuk abangnya itu.

Sesekali terdengar suara Dzaquan mengaduh. Nama saja kaki pukul, baru kena ubat sikit sudah menjerit.

“Pedihlah,” balas Dzaquan geram dengan omelan Qisya sebentar tadi.

Bukan dia sengaja mahu menyukarkan tugas Qisya, tapi dia benar-benar berasa pedih pada lukanya itu. Entah ubat apa yang digunakan adiknya itu. Biasanya tidaklah rasa pedih sebegini.

“Ubat apa ni, Qis? Kenapa pedih semacam? Biasanya tak pedih pun,” rungut Dzaquan lagi.

Qisya hanya mencebik dengan rungutan abangnya itu.

“Ini ubat khas yang ayah beli. Dia pesan pada Qis suruh sapukan ubat ni.”

Dzaquan terdiam apabila Qisya memberitahu yang ubat itu dibeli khas ayahnya. Gara-gara dirinya selalu saja terlibat dalam pergaduhan dan selalu luka sana-sini.

“Tengok, abang nakal macam mana pun ayah tetap sayang abang. Siap beli ubat khas lagi untuk abang. Tapi abang tak kesian ke tengok ayah macam tu? Orang kampung kata ayah macam-macam sebab abang selalu bergaduh,” luah Qisya perlahan.

Dia berharap sangat yang abangnya itu akan termakan kata-katanya. Dia sudah penat hendak mendengar orang kampung yang mengata mereka sekeluarga.

Bukan apa, dia cuma kasihan pada ayahnya itu. Cakaplah apa pun ayahnya hanya mendiamkan diri. Sekalipun ayahnya tidak pernah melawan kata-kata orang kampung.

Tapi ayahnya pantang kalau orang kampung mahu menggunakan kekerasan pada Dzaquan atau pada Aniq dan Zafrul.

Baginya, dalam soal mendidik anak-anak itu tugasnya. Dan orang luar tidak berhak campur tangan. Disebabkan itu jugalah dia selalu merotan Dzaquan sekiranya terlibat dalam pergaduhan.

“Abang tahulah,” balas Dzaquan lambat-lambat.

Bukan dia tidak kasihan ayahnya. Tapi entah mengapa pantang benar dia melihat orang dibuli di hadapan matanya. Dan itulah punca utama dia terlibat dalam pergaduhan.

Biarlah orang mahu panggil dia kaki pukul atau samseng, yang dia tahu dia tidak mahu melihat sesiapa pun dibuli.

“Cakap aje pandai. Esok-esok abang gaduh lagi,” sindir Qisya pula.

Memang itulah yang selalu dikatakan abangnya. Esoknya, pasti gaduh lagi. Langsung tak makan saman, komen Qisya sendirian.

Bukan dia tidak kenal dengan sikap abangnya itu. Sudah banyak kali abangnya berjanji, tapi tidak ada satu pun yang pernah dilakukan Dzaquan.

Besar sangatkah permintaannya itu? Lagipun dia minta semua itu bukan untuk dirinya. Tetapi untuk abang dan juga ayahnya.



ps: Terima kasih sbb baca "DIA TUNANG AKU!". Harap sukakan DTA macam yg anda sukakan PA.
Kasih berganda2x diucapkan klau tinggalkan komen sekali...hehe.
Mana tau kot2x terasa nak up bab baru dalam waktu yang singkat ^___^v
Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.