Tia yang
sedang menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarahnya, benar-benar terleka.
Sehinggakan dia langsung tidak menyedari angka yang sedang ditunjukkan oleh
jarum jam pada ketika itu. Yang dia tahu, dia perlu menyiapkan tugasan itu pada
malam ini juga.
Malam itu, dia melakukan tugasannya sambil ditemani dengan
lagu-lagu yang dimainkan oleh pemain mp3 miliknya. Sesekali, kepalanya bergerak
ke kiri dan kanan sambil mengikuti rentak lagu yang sedang dimainkan. Dengan
cara itu sahaja, dia dapat menghilangkan rasa mengantuknya.
“Sikit
lagi, siaplah ni,” ujarnya pula.
Tia yang
mahu menyambung tugasannya, tersentak apabila pemain mp3 yang disumbat pada
telinganya tiba-tiba saja ada bunyi pelik. Terus tangannya membetulkan earphone yang digunakannya. Mana tau,
kot-kot earphone tu tidak disambung
pada pemain mp3 dengan elok.
Lagu yang
dimainkan oleh mp3nya kembali dimainkan dengan elok. Tiada lagi bunyi pelik
yang didengarnya buat seketika tadi. Pelik! Gumamnya sendiri.
Baru saja
Tia mahu menyambung kerjanya, sekali lagi telinganya terdengar bunyi pelik.
Sekali dengar, macam bunyi ada gangguan frekuensi. Frekuensi?
Pelik!
Dia bukannya mendengar radio, jadi kenapa pula ada gangguan frekuensi? Terus
anak matanya terarah pada pemain mp3nya. Mahu memastikan yang dia memang mendengar
koleksi lagu yang ada di dalam pemain mp3 dan bukannya radio.
Kenapa
pula dengan mp3 ni? Dah rosak ke?
Malas
berfikir panjang, anak mata Tia terus terarah pada skrin komputer ribanya
kembali. Mahu menyambung tugasannya yang terhenti buat seketika tadi. Dia mahu
cepat-cepat siap sebelum tibanya waktu itu.
Seketika
kemudian, Tia terdiam. Waktu itu? Bunyi pelik? Jangan-jangan...
Tanpa
membuang masa, anak mata Tia terus mencari jam yang berada di skrin komputer
ribanya. Ti..tiga pagi? Anak matanya membulat. Sungguh! Dia langsung tidak
menyangka waktu sekarang sudah hampir pada waktu itu. Dia telan liurnya dengan
begitu payah sekali. Tanpa dia sedar, peluh dingin juga sudah mula kelihatan
pada wajahnya.
Baru
sekarang dia terasa menyesal kerana terlalu asyik dalam menyiapkan tugasannya
sebentar tadi. Bertambah menyesal apabila bayang teman serumahnya langsung
tidak kelihatan pada waktu ini.
Mana
pulak perginya si Mimi ni? Tak kan waktu macam ni tak balik lagi?
Terus Tia
menggapai telefon tangannya yang berada di sebelah komputer ribanya. Dengan
tangan yang mula menggigil, dia mula mencari nama Mimi dan tidak lupa untuk
menekan butang hijau.
“Mimi!”
jerit Tia saat telinganya mendengar suara Mimi bersambut di hujung sana.
“Tia! Apa
ni? Sakitlah telinga aku!” jerit Mimi pula dari hujung sana. Telefon yang
berada di telinganya sebentar tadi, sempat dijarakkan. Spontan jarinya mula
mengorek lubang telinganya.
“Mimi!
Kau kat mana ni?” suara Tia kedengaran lagi.
“Dalam
bas.”
“Bas?”
soal Tia yang agak terkejut dengan jawapan yang baru diberikan oleh rakannya
itu.
“Yalah!
Kenapa?”
“Kau jauh
lagi ke? Bila nak sampai umah ni?”
Wajah
Mimi mula berkerut tebal. “Kau cakap apa ni? Lupa ke yang aku ada kem 3 hari
ni?”
“Kau...kau
cakap apa ni Mimi? Jangan mainkan aku!”
“Betullah.
Kan minggu lepas lagi aku cakap kat kau yang aku ada kem 3 hari.”
“Tapi...bukan
esok ke kem kau tu mula?”
“Esok
apanya? Hari ni lah.”
Jawapan
yang baru diberikan oleh Mimi itu, bagaikan satu batu besar yang jatuh di atas
kepalanya. Tiba-tiba sahaja dia terasa lemah. Peluh yang tadinya kelihatan pada
wajahnya, sudah semakin banyak. Jantungnya juga sudah berdegup laju. Seketika
kemudian, dia terasa bulu romanya tegak berdiri. Dalam kepayahan, Tia telan
liurnya.
“Ke..kenapa
kau tak ingatkan aku?” soal Tia dalam suara yang terketar-ketar. Perasaan
takutnya semakin kuat dirasai apabila mengenangkan yang dia terpaksa
mengharungi malam ini seorang diri. Tiada Mimi di sisinya untuk malam ini.
“Kau ni
kenapa?” soal Mimi yang mula merasa pelik dengan gelagat Tia itu. Seketika
kemudian, dia teringat sesuatu. Terus anak matanya melihat jam yang tertera
pada telefon tangannya itu. 3 pagi? Ya ALLAH, Tia....
“Tia!
Jangan cakap pada aku yang kau sekarang ada kat rumah tu?” tanya Mimi.
“Mimi....”
panggil Tia pula. Hanya itu sahaja yang mampu dilakukannya. Dia sudah tidak
berani untuk mengangkat wajahnya
“Ya
ALLAH, Tia! Kau buat apa kat sana sorang-sorang? Dah tu, kenapa kau tak tidur
awal?” Bebel Mimi apabila yakin yang Tia memang berada di rumah sewa mereka
yang disewa tiga minggu yang lalu.
“Manalah
aku tau yang kau tak ada kat rumah malam ni. Aku ingatkan kem kau mula esok,”
bela Tia pula.
Kalau dia
tahu yang Mimi tiada di rumah, awal-awal lagi dia sudah cabut ke rumah sewa
kawannya yang lain. Biarlah sesak macam sardin daripada terpaksa tinggal
seorang diri di sini.
“Dah! Tak
payah cakap banyak. Paksa diri kau untuk tidur,” arah Mimi pula.
Paksa
diri untuk tidur?
“Ingat
senang ke nak paksa tidur dalam keadaan macam ni?” soal Tia. Suaranya masih
lagi terketar-ketar. Tangannya juga sudah menggigil apabila bunyi gangguan
frekuensi yang didengarinya sebentar pada mp3, kedengaran lagi.
Mimi
terus menampar dahinya. Kalau dia pun, tentu payah nak paksa diri tidur dalam
keadaan diganggu begitu.
“Ya tak
ya jugak kan? Kau...kat mana ni?”
Tengok
saja bulu romanya yang tegak berdiri, Tia yakin yang malam penuh mencabarnya
sudah pun bermula. Ya ALLAH! Boleh ke aku mengharungi malam ini seorang diri?
“Aku..kat
ruang tamu, tadi tengah buat tugasan.”
Mulut
Mimi melopong.
“Ruang
tamu? Kau dah gila?” tekannya kuat.
“Aku tak
sedar yang waktu berlalu dengan pantas. Tengok-tengok saja, dah pukul tiga...”
“Dah tu! Kau
buat apa kat situ? Cepatlah lari masuk dalam bilik. Duk diam-diam kat sana.
Tutup mata! Tutup telinga!” suara Mimi yang memberi arahan kedengaran lagi.
“Aku
takut...”
“Dia...dia
dah ada kat situ?”
Tia diam.
Langsung tidak menjawab pertanyaan rakannya itu. Wajahnya masih lagi
ditundukkan. Langsung dia tidak berani untuk memandang kiri dan kanan. Lihat
sahaja bulu romanya yang tegak berdiri dan ditambah dengan rasa sejuk dengan
tiba-tiba pun, dia sudah dapat agak. Dia sudah tahu yang dirinya sekarang tidak
keseorangan.
Tiga minggu sebelumnya
Kak Ton
yang terdengar bunyi bising di sebelah rumahnya, terus membuka pintu rumahnya.
“Penyewa baru?”
soal Kak Ton saat anak matanya bersatu dengan anak mata seorang perempuan muda
yang mungkin sebaya dengan anaknya.
Mimi yang
sedang mengangkat kotak tersentak. Dia menoleh untuk melihat empunya suara yang
menegurnya. Dia menghadiahkan senyuman pada wanita itu. Terus dia meletakkan
kotak yang berada di tangannya. Langkahnya terus di atur ke arah wanita itu.
“Ya saya.
Baru masuk hari ni. Nama saya Mimi dan itu kawan serumah saya, Tia.” Terus Mimi
memperkenalkan dirinya dan Tia yang akan menyewa di situ. Pesan mak, dengan
jiran haruslah berbuat baik. Jangan sombong.
Tia yang
dengar namanya disebut oleh Mimi, turut merapati jiran baru mereka. Salam
perkenalan turut diberikan pada wanita itu.
Kak Ton
hanya mengangguk. Dia tahu, rumah itu pasti akan mendapat penyewa baru. Maklum
sajalah, di dalam kota sebegini mana ada orang mahu tolak bayar sewanya yang
murah. Tapi, mereka tak tahu. Rumah itu punya ceritanya sendiri dan disebabkan
itulah penyewa di rumah itu hanya mampu bertahan tiga bulan sahaja. Dan
kemudian, keluar dan diganti pula dengan penyewa lain.
“Panggil
Kak Ton saja,” beritahu Kak Ton sambil anak matanya terarah pada nombor rumah
333.
“Kak Ton
dah lama tinggal kat sini?” tanya Tia sekadar berbasa basi.
“Boleh
tahanlah. Kamu...menyewa berdua saja?”
“Haah,
berdua saja. Kami ni belajar lagi kak. Tak selesa tinggal kat rumah sewa lama
sebab tu carik rumah sewa lain,” cerita Mimi dengan panjang lebar tanpa dipinta
oleh Kak Ton.
Kak Ton
terdiam. Dalam diam, dia cuba memikirkan cara yang sesuai untuk memberitahu
penyewa tersebut akan rahsia yang ada di rumah sewa itu. Bimbang jika tersilap
cakap, akan membuatkan mereka takut tak tentu hala pula. Ataupun, mungkin juga
tidak dipercayai. Kalau tidak diberitahu, bimbang ada perkara lain pula yang
berlaku pada mereka.
“Kak Ton cuma
nak pesan. Sembahyang jangan tinggal. Amalkan mengaji selalu, kalau malam Jumaat,
lagi elok kalau baca surah Yassin,” pesan Kak Ton.
Mimi dan
Tia yang mendengarnya, sudah saling berbalas pandangan. Itu baru hari pertama,
dah kena ceramah free, gumam Mimi
pula.
“Kak Ton
masuk dulu. Oh, ya! Kalau boleh tidur awal. Tak elok kalau amalkan tidur lewat
selalu. Terutamanya, sebelum jam 3 pagi,” sempat lagi Kak Ton memberi pesanan
terakhir sebelum dia melangkah memasuki rumahnya kembali.
Semakin
tebal kerutan di wajah Mimi dan Tia yang langsung tidak kata-kata Kak Ton. Tidur
awal? Mustahillah! Assignment
melambak!
“Jomlah
masuk!” ajak Tia pula. Sudah tidak betah berada di situ. Ditambah pula dengan
perangai pelik yang ditunjukkan oleh jiran mereka.
Senja
pada hari itu, Tia yang sedang asyik membasahkan tubuhnya setelah penat
mengemas rumah sewa mereka tersentak. Terus dia menutup paip air hujan.
Tuk! Tuk!
Tuk! Bunyi ketukan pada bilik air itu kedengaran lagi.
“Kejaplah
Mimi! Tengah mandi ni,” sahut Tia pula. Tanpa menantikan balasan daripada Mimi,
dia terus membuka kembali paip hujan itu.
Apalah
Mimi ni, tak menyempat langsung. Orang nak mandi pun tak senang, omel Tia.
Tuk! Tuk!
Tuk! Bunyi yang sama kedengaran lagi. Tia mendengus geram.
“Kejaplah
Mimi!” jeritnya lagi. Tanpa mempedulikan Mimi yang mengetuk pintu, Tia
meneruskan urusannya untuk mandi setelah penat mengemas rumah sewa mereka pada
hari itu.
Usai
mandi, Tia melangkah keluar dari bilik. Terus anak matanya meliar mencari Mimi.
“Mimi!
Bangunlah! Tadi beria sangat nak masuk tandas sampaikan aku nak mandi pun tak
senang,” kejut Tia lagi diikuti dengan omelannya saat anak matanya melihat Mimi
yang sedang lena itu.
Mimi
menggeliat malas.
“Tak ada
kerjanya aku nak kacau kau mandi. Membuta lagi baik,” sahut Mimi sebelum
bangkit dan menggapai tualanya. Lalu, langkahnya diatur menuju ke arah tandas.
Tanpa
Mimi sedar, kata-katanya sebentar tadi membuatkan Tia diam membisu. Akalnya
mula memikirkan bunyi ketukan yang dia dengar sebentar tadi.
Bukan
Mimi yang ketuk pintu? Dah tu, siapa? Tiba-tiba sahaja dia terasa seram sejuk
apabila memikirkan akalnya mula memikirkan yang bukan-bukan. Seketika kemudian,
dia menggelengkan kepalanya.
Hish! Aku
salah dengar kot, bisik hatinya lagi. Sengaja dia berkata begitu. Tidak mahu
akalnya terus membuat kesimpulan yang bukan-bukan.
Malam
itu, mereka berdua mengambil keputusan untuk membuat tugasan yang diberikan
oleh pensyarah mereka di ruang tamu sahaja. Maklum sajalah, bilik mereka kecil saja.
Mana ada ruang lagi untuk membuat kerja mereka. Telinga masing-masing disumbat
dengan earphone. Hanya dendangan lagu
dan secawan air nescafe yang mampu membuatkan mereka berdua mampu untuk berjaga
pada malam itu.
Seketika
kemudian, Mimi menggeliat malas sambil kedua-dua tangannya di angkat ke atas.
Pinggangnya mula terasa sakit gara-gara terlalu lama menghadap skrin komputer
ribanya. Terus dia merebahkan badannya, bantal kecil yang berada tidak jauh
darinya terus ditarik agar dapat membuat alas kepalanya. Seketika kemudian,
matanya juga di pejam rapat.
Rehatlah
kejap. Kejap lagi, sambung balik, bisik Mimi.
Seketika
kemudian, anak mata Mimi terbuka luas. Bunyi pelik yang didengarinya dari earphone mengganggunya.
Pelik!
Bunyinya macam frekuensi radio yang teralih, sedangkan dia tidak mendengar
radio tetapi lagi yang dimainkan di komputer ribanya. Spontan tangannya menarik
earphone dari terus menyumbat
telinganya.
“Kenapa?”
tanya Tia yang seakan melihat gerak-gerinya sebentar tadi.
“Entah! Earphone aku rosak kot.”
“Aku
punya pun sama,” sahut Tia pula. Entah kenapa, ada bunyi gangguan frekuensi
pula.
“Rosak
macam mana?” spontan soalan itu terpacul dari mulut kedua-duanya.
“Entah!
Ada bunyi pelik. Macam gangguan frekuensi yang kita dengar kat radio,” balas Tia.
“Samalah
dengan aku punya. Padahal, aku dengar lagu dari laptop kot.”
Seketika
kemudian, mereka berdua mendiamkan diri. Sangka mereka, semuanya kebetulan
sahaja. Malas berfikir panjang, Tia meneruskan tugasan yang terhenti sebentar
tadi. Manakala Mimi, masih lagi terbaring di situ.
Mimi yang
baru sahaja memejamkan matanya, terus membuka anak matanya buat kali kedua. Dia
yang terbaring, mengangkat sedikit kepala dan lehernya. Gayanya itu, tak ubah
seperti aksi gimnastik. Bezanya, badannya tidaklah terlalu lembut seperti
mereka. Entah kenapa, dia terasa seperti nampak ada sesuatu yang melintasi belakangnya
sebentar tadi. Kosong! Tiada apa-apa di situ.
“Kau
kenapa? Tak sakit leher ke?” tegur Tia pula. Pelik melihat aksi rakannya itu.
Mimi
tersengih. Seketika kemudian, dia bangkit dari perbaringannya. Dia mahu
meneruskan tugasannya pula. Sempat dia menjeling jam yang sudah pun menunjukkan
pukul 3 pagi.
Satu
keluhan dilepaskan. Agaknya, pukul berapa baru siap ni? Keluhnya lagi.
Hari ke-3
Mimi
mendengus kuat. Dia belum puas mandi, si Tia ni sudah mengetuk pintu. Kot ya
pun, tak boleh sabar kejap ke?
Tuk! Tuk!
Tuk! Bunyi ketukan pada pintu tandasnya kedengaran lagi.
“Tia!
Sabarlah kejap! Aku nak mandi ni!” jerit Mimi pula. Naik geram dia dengan
kerenah Tia yang tak henti-henti mengetuk pintu tandasnya.
“Hah!
Pergilah masuk! Tadi kemain lagi nak masuk. Macam dah tak boleh tahan,” omel
Mimi saat melihat wajah Tia yang sedang melayan cerita di komputer ribanya.
Tia
memandang Mimi dengan terkebil-kebil. “Masuk mana?” soalnya bodoh.
“Tandaslah!
Tadi kau ketuk pintu rasa macam nak pecah pintu tu.”
“Mimi..bukan
aku yang ketuk pintu tu,” ujar Tia teragak-agak. Dia sudah mula rasa lain
macam.
“Kau
jangan nak kelentong akulah Tia. Dalam rumah ni mana ada orang lain? Kau dengan
aku saja yang tinggal sini,” balas Mimi pula. Terus dia meninggalkan Tia
sendirian di ruang tamu.
Betul ke
dalam rumah ni ada kita dua, Mimi? Aku...aku tak rasa macam tu...bisik hati Tia
pula.
Mimi yang
mahu bersiap, mendengus kuat. Tadi si Tia yang mengganggunya mandi. Sekarang
jiran kat atas pulak. Tak habis-habis dengan main gulinya. Langsung tak fikir
akan jirannya kat bawah ni, komen Mimi geram.
Ting!
Ting! Ting....! Bunyi yang sama kedengaran buat kali kedua. Mimi melangkah
keluar, mahu mencari si Tia.
“Kau
dengar tak?” tanya pada Tia.
“Dengar
apa?”
“Orang
atas tu dah melampau betul. Asyik main guli je,” omel Mimi pula. Geram betul
dia dengan sikap selamba jirannya itu. Yang nak buat kacau tak kira waktu. Itu
tak masuk yang main guli pukul 1 pagi. Waktu orang nak tidur, waktu tulah jugak
dia nak mainnya.
“Oh,
bunyi guli tu pernahlah dengar. Kuatkan bunyi tu? Nak-nak lagi kalau malam
macam ni. Lagi jelas bunyi guli tu,” sahut Tia pula.
“Aku tak
kira! Kalau dia main lagi, esok aku nak jumpa dengan tuan rumah tu. Nak cakap
dengan dia,” putus Mimi yang geram. Sudahlah tadi mandinya diganggu Tia dan
sekarang jirannya di atas pula turut mengganggunya. Memang tak boleh tengok
orang senanglah!
Hari ke 13
Mimi yang
tadinya lena, mula bergerak perlahan-lahan. Entah mengapa dia merasakan suhu di
dalam biliknya itu sejuk lain macam. Terus saja tangannya tercari-cari selimut
yang biasanya dicampak ke tepi. Maklum sajalah, malam sentiasa rasa panas jadi
selimut memang tak guna langsunglah.
Mimi tersentak. Tiba-tiba sahaja dia terasa
ada sesuatu yang meniup-niup di tepi telinga kirinya. Terus dia membuka
matanya. Kosong! Tidak ada Tia di situ. Segera dia menoleh ke kanannya pula.
Dilihatnya, Tia lena di situ.
Tadi tu
apa? Sedangkan Tia lena di sebelah kanannya. Argh! Perasaan aku saja kot, putus
hati Mimi pula. Sudah malas berteka-teki dalam waktu macam ni. Seketika
kemudian, dia menjeling pada tingkap di biliknya. Tak hujan? Tapi, kenapa rasa
sejuk lain macam?
Sempat
pula Mimi menjeling pada jam yang berada di telefon tangannya. Emm, baru pukul
3 pagi. Lambat lagi paginya, keluhnya perlahan. Seketika kemudian, dia bangkit
lalu mengatur langkah menuju ke arah pintu bilik. Niatnya untuk ke tandas.
Baru
sahaja pintu biliknya, dibuka dia sudah tergamam. Matanya yang tadinya separuh
terbuka, sudah dibukanya seluas yang mungkin. Dengan payah, dia telan liur. Tadi..tadi
tu...bayang apa? Tak! Dia tak salah lihat! Dia memang nampak bayang. Seperti orang...?
Dengan
perasaan berbelah bagi, Mimi kuatkan semangatnya untuk melihat bayang apakah
yang dilihatnya sebentar tadi. Nak kata si Tia, memang tak masuk akallah! Sebab
baru sekejap tadi dia melihat rakannya itu lena di sebelahnya.
Berbekalkan
sisa semangat yang dia ada, dia mengatur langkah ke arah ruang tamu. Pantas
suis lampu ditekan. Kosong! Tiada apa-apa. Tapi, bayang apa yang dilihatnya
tadi? Dia yakin yang bayang dilihatnya sebentar tadi melangkah ke arah ruang
tamu itu.
Tadi tu...aku salah silap ke? Pantas, dia menggosok kedua-dua
matanya. Mungkin disebabkan mamainya yang masih ada, sehinggakan melihat benda yang
langsung tidak ada di situ. Yakin yang ruang tamu itu kosong, dia kembali
mengatur langkah menuju tandas.
Kaki Mimi
terhenti di hadapan biliknya. Telinganya seperti terdengar sesuatu.
Ting!
Ting! Ting....!
Bunyi
guli yang didengarinya tempoh hari kembali kedengaran. Diikuti pula dengan bunyi
guli yang sedang bergolek jauh. Puk! Ada sesuatu menyentuh kakinya. Jantungnya
mula berdegup dengan kencang. Peluh mula kelihatan di gigi rambutnya. Bulu
romanya juga sudah tegak berdiri. Tanpa Mimi sedari, tubuhnya sudah menggigil.
Dengan teragak-agak, dia turut mengalihkan pandangannya di kakinya. Mahu
melihat benda apa yang terkena kakinya itu.
Gu...guli?
Mimi telan liur. Bunyi guli yang dia dengar tadi...datang dari..ruang
tamu..ruang tamu rumah sewanya sendiri? Bukan jiran di atas? Dengan berbekalkan
sisa kekuatan yang dimilikinya, dia mengalihkan pandangannya pada ruang tamu.
Anak mata
Mimi membulat apabila melihat lembaga yang duduk mencangkung di ruang tamu.
Kelihatan jelas sekali kerana dia terlupa untuk menekan suis lampu sebentar
tadi. Tubuh Mimi semakin kuat menggigil. Mahu menjerit memanggil nama Tia,
suaranya seperti tersekat pada kerongkong.
Seketika kemudian, lembaga itu
perlahan-lahan bangun dan berdiri tegak. Namun, wajahnya ditundukkan dan
rambutnya yang panjang menutup raut wajahnya.
Jantung
Mimi semakin berdegup kencang. Dia nak lari, tapi tubuhnya bagaikan kaku di
situ. Mahu menjerit, suaranya tidak keluar. Mimi buntu! Saat itu, mahu sahaja
dia pitam tak sedarkan diri. Setidaknya, dia langsung tidak perlu berhadapan
dengan lembaga itu.
“Mimi?
Kau buat apa berdiri kat situ?” tegur Tia yang mahu ke bilik air, terkejut
melihat rakannya itu berdiri di hadapan bilik. Wajahnya pula, sudah basah
lencun dengan peluh.
Dengar
sahaja suara Tia, lembaga tadi sudah menghilang entah ke mana. Saat itulah
juga, Mimi terasa yang dia baru dapat bernafas. Seketika kemudian, dia jatuh
terduduk di situ. Lembaga dan guli yang dilihatnya sebentar tadi sudah hilang
entah ke mana.
“Mimi?
Kau kenapa?” soal Tia yang sudah pun mendapatkan Mimi yang jatuh terduduk di
situ.
***************
Apakah nasib Mimi dan Tia? Bunyi apa yang selalu menganggu mereka berdua? Jangan lupa untuk dapatkan "Antalogi Jiwa Kacau : Gaun Berdarah" yang sudah terbit di pasaran untuk mengetahui kesudahan cerita ini.
http://mall.karangkraf.com/webshaper/store/viewProd.asp?pkProductItem=3781