QISYA mengatur langkah laju meninggalkan abangnya jauh di belakang. Panggilan Dzaquan juga tidak diendahkan.
Qisya terpaksa mengukir senyuman lebar apabila melihat kelibat Umi dan Azwa yang sedang melambai padanya. Sedaya upaya dia cuba menyembunyikan perasaan marah pada Dzaquan. Tidak mahu keadaan itu diketahui rakan-rakannya.
Langkah Dzaquan pula terpaksa diperlahankan apabila Qisya sudah pun menghampiri rakan-rakannya. Dia mengeluh perlahan. Masuk hari ni sudah seminggu Qisya lancarkan perang dingin dengannya.
Semuanya disebabkan tindakannya yang bersetuju dengan ‘pinangan’ daripada Datuk Zaman. Jauh di sudut hati, dia berharap sangat yang Qisya akan memahami niatnya yang sebenar. Dia melakukan semua itu demi kepentingan adik-adiknya juga.
“Kau ni kenapa, Qis? Diam aje. Dah seminggu aku tengok kau macam ni,” tanya Umi. Tidak betah dia melihat Qisya yang hanya tersenyum. Kadangkala seakan-akan hanyut dalam dunianya sendiri.
Qisya yang dikenalinya tidak begitu. Qisya seorang yang ceria dan ada saja cerita yang mahu dikongsi dengan dia dan Azwa.
“Jangan-jangan kau gaduh dengan Abang Wan tak?” usik Azwa pula. Seketika kemudian dia menoleh pada Dzaquan yang berada di belakang mereka.
Aneh, lelaki itu juga dilihatnya berbeza dari kebiasaannya. Jangan-jangan betul telahannya. Sebelum ini pun sudah banyak kali dia dan Umi bertanya status hubungan Qisya dan Dzaquan. Namun rakannya itu hanya tersenyum sambil menggeleng-geleng.
“Sebut fasal Abang Wan, kau tak nampak yang dia tu dah lain dari dulu?” soal Umi pula.
Azwa mengangguk.
“Dia dah tak lama tak bergaduh, kan? Tapi masalah ponteng sekolah tu semakin menjadi-jadi. Dalam seminggu cuma dua hari aje dia datang sekolah. Abang Wan...”
“Yang kau nak sibuk-sibukkan dia tu buat apa? Banyak benda lain yang kita boleh buat daripada sibukkan samseng macam tu!” bentak Qisya dengan tiba-tiba. Belum pun sempat Umi menghabiskan kata-katanya. Qisya terlebih dulu memotongnya. Nadanya begitu tinggi hinggakan beberapa orang pelajar lain turut memandang kehairanan pada mereka.
Dalam diam Qisya menyumpah memarahi dirinya sendiri. Gara-gara perasaan geram dan marah pada Dzaquan, akhirnya kawan-kawannya pula yang terkena tempiasnya. Qisya mengeluh kecil. Kebisuan kawannya membuatkan dia tersedar. Dia mula rasa bersalah.
“Maafkan aku. Aku tak sengaja. Dalam kepala aku ni ada banyak benda yang aku kena fikirkan. Maafkan aku ya.” Cepat-cepat Qisya meminta maaf pada Umi dan Azwa. Tahu yang rakannya itu pasti berkecil hati dengan sikapnya sebentar tadi.
“Ya, kami pun mintak maaf kalau kata-kata kami sebentar tadi buat kau susah hati,” kata Umi walaupun dia tidak faham dengan perubahan sikap Qisya itu yang tiba-tiba saja melenting apabila nama Dzaquan disebut.
PAK Mat mengeluh perlahan. Terpaksa akur dengan kedegilan Aneesa, anak majikannya itu. Sudah beberapa alasan yang diberikannya.
Tapi Aneesa tetap tidak mahu beralah selagi tidak mendapat apa yang dimahukannya. Perangainya saling tak tumpah dengan Datuk Zaman, getus Pak Mat.
“Kita dah sampai, Neesa,” ujar Pak Mat pada Aneesa yang terlelap di sebelahnya.
Tapi satu perangai Aneesa yang disukainya. Meskipun anak itu merupakan anak tunggal Datuk Zaman, tetapi dia tak pernah angkuh dengannya meskipun dia sekadar pemandu sahaja.
Malah, Aneesa juga tidak suka berada di tempat duduk belakang dan tidak suka dipanggil ‘Cik Muda’. Berbeza benar dengan anak tiri Datuk Zaman yang diwajibkan memanggilnya dengan pangkal nama ‘Cik Muda’. Berlagak tak ingat dunia, gumam Pak Mat.
Aneesa menggeliat malas. Matanya digosok beberapa kali. Kemudian dia mengurut lehernya yang terasa lenguh.
Ah, jauh betul Kelantan ni. Dah tu, rumahnya terletak dihujung kampung pula.
Matanya mula meliar memandang kiri dan kanan. Dilihatnya ada sebuah rumah yang berada tidak jauh dari keretanya. Dan rumah itu pula dikelilingi dengan pokok-pokok yang agak besar.
Budak kampung manalah yang dikutip papa untuk dijadikan suami aku ni? Bisik Aneesa. Seketika kemudian dia berasa geli-geleman. Suami? Erk, loya pulak tekak aku.
Aneesa teringat lagi pertelingkahan di antara dia dan Datuk Zaman tempoh hari. Papanya kelihatan benar-benar marah dengan rancangannya yang mahu menemukan papanya dengan keluarga Amsyar.
Malah, Datuk Zaman juga beria-ria mahu dia memutuskan hubungan dengan Amsyar. Tanpa sedar dia mengusulkan cerita yang kononnya dia mahu berkahwin dengan Amsyar.
Bodoh! Disebabkan tindakannya itulah papanya muncul dengan rancangan ini yang mahu dia berkahwin dengan insan yang tidak dikenalinya.Tapi apa hak Datuk Zaman untuk bertindak sebegitu kejam padanya? Sedangkan Datuk Zaman tidak berhak ke atas dirinya.
Hadirnya dia di dalam hidup Datuk Zaman pun bukan di atas kemahuannya. Tapi disebabkan wasiat daripada ibunya. Aneesa teringat berita yang dibawakan Datuk Zaman padanya tiga hari yang lalu.
“Mulai hari ni papa tak nak tengok Neesa keluar dengan Am lagi,” arah Datuk Zaman yang tiba-tiba masuk ke dalam biliknya.
“Apa papa ni? Itu kan hak Neesa. Papa tak berhak halang Neesa!” Bengang betul Aneesa dengan sikap Datuk Zaman yang tiba-tiba berubah sebegitu. Jika sebelum ini lelaki itu tidak pernah mengambil tahu akan kisah hidupnya, mengapa sekarang mesti begini jadinya?
“Selagi Neesa bergelar anak papa dan di bawah tanggungjawab papa, papa berhak buat keputusan untuk Neesa. Lagipun...”
Aneesa berdebar-debar menanti kata-kata seterusnya. Bimbang jika papanya akan mengusulkan perkara yang sama lagi.
“Papa dah jumpa bakal menantu papa. Bakal suami Neesa, Dzaquan namanya,” sambung Datuk Zaman sambil tersenyum.
Aneesa tersentak dengan berita itu. Dia benar-benar tidak menyangka yang papanya akan mengotakan kata-katanya dulu. Dalam diam dia menyumpah diri sendiri. Kalau tak disebabkan dirinya yang gatal mulut mengusulkan soal kahwin, sudah tentu perkara ini tidak akan berlaku.
“Tak nak! Neesa takkan kahwin kalau bukan dengan Am! Neesa cuma nak Am sebagai suami Neesa!” bentak Aneesa dengan berani.
Dia sendiri hairan kenapa papanya terlalu bencikan Amsyar? Sedangkan lelaki itulah yang selalu berdiri di belakangnya saat dia rasa terasing di rumahnya sendiri.
“Neesa jangan degil. Papa tahu apa yang terbaik untuk Neesa. Dan Am bukan yang terbaik untuk Neesa. Budak tu tak pernah cintai Neesa. Dia cuma mahu gunakan Neesa untuk dapatkan harta papa aje.”
Aneesa menggeleng-geleng. Entah kali ke berapa papanya mengatakan benda yang sama. Dia tahu Amsyar bukan seperti yang dikatakan papanya. Buat apa Amsyar gilakan harta papanya kerana dia sudah memiliki semuanya.
Amsyar bukan calang-calang orang. Dia merupakan anak tunggal Datuk Fatah dan Datin Murni. Masakan orang yang berpangkat ‘Datuk’ seperti itu masih gilakan harta papanya? Tak masuk akal.
“Habis tu calon pilihan papa cintakan Neesa? Begitu maksud papa? Cinta apa kalau kami tak pernah kenal antara satu sama lain? Tahu-tahu aje kena kahwin,” bantah Aneesa lagi.
Jauh di sudut hati, Aneesa sudah terlalu penat bertengkar perkara yang sama dengan papanya. Hebat sangatkah budak yang dipilih papanya? Hinggakan papanya langsung tidak melihat kebaikan yang ada pada Amsyar.
“Memang Dzaquan tak cintakan Neesa. Tapi cinta boleh dipupuk. Dan papa tahu dia seorang yang bertanggungjawab. Dia akan jaga Neesa dengan sepenuh hatinya,” ujar Datuk Zaman perlahan.
Dia tidak mahu terlalu berkasar dengan Aneesa. Seboleh-bolehnya dia mahu memujuk anak gadisnya itu. Andai kata Aneesa tetap tidak bersetuju, dia tetap akan langsungkan perkahwinan di antara Aneesa dan Dzaquan. Dengan cara itu sahaja dia dapat pisahkan Amsyar daripada terus mendekati anaknya itu.
Itu nekadnya, dia tidak peduli andai dirinya dibenci Aneesa. Dia yakin suatu hari nanti anaknya itu akan berterima kasih padanya. Walaupun dia tidak mengenali Dzaquan, tetapi dia yakin yang anak muda itu boleh menjaga Aneesa dengan baik. Dan bukannya lelaki seperti Amsyar!
“Berapa yang papa bayar dia untuk kahwin dengan Neesa?” soal Aneesa tiba-tiba.
Dia tahu papanya akan lakukan apa saja untuk dapatkan apa yang diinginkan. Tak mustahil jika papanya membayar lelaki itu untuk berkahwin dengannya. Kerana wang bukan masalah baginya. Disebabkan wang jugalah dia dan ibunya disingkir daripada hidup papanya dulu.
“Neesa!”
“Papa kata Am bersama Neesa kerana mahukan harta papa. Tapi apa bezanya Am dengan lelaki tu? Dia pun kahwin dengan Neesa kerana mahukan harta papa, kan?”
Datuk Zaman terdiam apabila mendengar tuduhan Aneesa itu. Padanya, Dzaquan tak bersalah dalam hal ini.Tapi dia yang bersalah. Dia yang perangkap Dzaquan dengan cara yang begitu keji agar anak muda itu bersetuju untuk berkahwin dengan Aneesa.
“Papa tak nak dengar apa-apa lagi, Neesa. Neesa akan papa kahwinkan dengan Dzaquan. Muktamad! Dan papa tak benarkan Neesa berjumpa dengan Am lagi,” ujar Datuk Zaman tegas sebelum melangkah keluar meninggalkan Aneesa sendirian.
Pak Mat berasa hairan apabila Aneesa tiba-tiba sahaja mendiamkan diri. Seolah-olah hanyut dalam dunianya sendiri.
Seketika kemudian dia tersenyum. Mungkinkah dia gementar untuk bertemu dengan anak muda pilihan Datuk Zaman? Tadi cakap besar sangat.
“Neesa, kenapa diam aje ni? Gementar ya?” usik Pak Mat. Seraya dengan itu satu senyuman terukir di wajahnya.
Aneesa segera menoleh. Kemudian dia mendengus geram dengan usikan Pak Mat itu.
“Ke situ pulak Pak Mat ni. Ingat Neesa suka sangat fasal kahwin-kahwin ni? SPM pun belum lagi tau,” balas Aneesa pantas. Marah benar dia dengan usikan pemandunya itu.
Pak Mat yang mendengar jawapan daripada mulut Aneesa hanya tergelak kecil. Tahu pun yang diri tu masih muda, tapi berani pulak cakap fasal nak kahwin. Kan dah kena kahwin betul. Diri sendiri jugak yang cari susah.
Aneesa menjeling tajam pada Pak Mat. Ketawa pemandunya itu masih lagi bersisa. Sedar kerana semua yang berlaku adalah salahnya juga. Terlalu berani mengusulkan soal perkahwinan pada Datuk Zaman. Akhirnya dia juga yang akan merana.
“Itu ke rumahnya?” soal Aneesa sambil anak matanya memandang pada rumah yang agak usang itu.
“Ya. Tapi rasanya dia tak ada kat rumah lagi,” balas Pak Mat sambil anak matanya merenung jam tangan.
Berkerut kening Aneesa yang mendengar kata-kata Pak Mat itu.
“Apa Pak Mat ni? Neesa datang sini bukan nak tengok rumah dia. Neesa nak jumpa dengan dialah!” bentak Aneesa geram. Terasa dirinya sudah dipermainkan Pak Mat.
“Hai, tak menyabar pulak ya. Dah kahwin nanti tataplah puas-puas,” usik Pak Mat lagi.
“Pak Mat ni!” Aneesa ketap bibir. Dia tidak suka usikan sebegitu. Dia tidak suka dipadan-padankan dengan lelaki yang langsung tidak dikenalinya itu. Dan yang penting dia tidak mahu dikahwinkan dengan lelaki asing.
Kalau benar dia perlu dikahwinkan, dia cuma mahu menerima Amsyar sebagai suami. Bukannya dengan lelaki yang bernama Dzaquan itu.
Pak Mat sebenarnya tidak bersetuju dengan rancangan Datuk Zaman itu. Rasanya Aneesa terlalu muda untuk dikahwinkan. Apatah lagi dikahwinkan dengan insan yang langsung tidak dikenalinya itu. Tapi apakan daya, dia sekadar pemandu kepada Datuk Zaman. Dia tidak berupaya menghalang niat majikannya itu.
“Kan tak habis sekolah lagi, macam mana nak jumpa dengan dia? Ingat sikit yang Neesa tu ponteng sekolah hari ni,” ujar Pak Mat.
Seraya dengan itu Aneesa menepuk dahi. Terlupa akan waktu persekolahan masih belum tamat dan terlupa dia sebenarnya telah menipu papanya. Kononnya dia terpaksa bermalam di sekolah kerana terlibat aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah.
Malah, dia menyuruh Pak Mat meminta cuti. Semuanya gara-gara untuk bersemuka dengan Dzaquan. Calon suami pilihan papanya kerana hanya Pak Mat yang pernah berjumpa dengan lelaki itu.
“Habis tu Pak Mat, takkan kita nak tunggu kat sini? Seramlah tengok kawasan ni,” ujar Aneesa. Meliar anak matanya memandang kiri dan kanan.
“Pak Mat tahu sekolah dia?” Tiba-tiba sahaja soalan itu terpacul daripada mulut Aneesa.
Pak Mat terus mengangguk. Memang dia tahu semuanya. Di mana Dzaquan bersekolah dan apa yang dilakukan anak muda itu setelah tamat waktu persekolahan. Selama seminggu, dia dan Datuk Zaman mengintip gerak-geri Dzaquan.
Malah, dia pernah melihat dengan mata kepalanya sendiri. Dalam satu hari, pelbagai jenis kerja dilakukan anak muda itu. Begitu besar tanggungjawab yang terpaksa digalas anak muda itu. Sebab itulah dia tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan Datuk Zaman.
Tindakan Datuk Zaman benar-benar kejam. Sanggup Datuk Zaman mengugut untuk memisahkan mereka adik-beradik jika Dzaquan tidak bersetuju dengan rancangannya.
Langkah Dzaquan terhenti apabila ada sebuah kereta berhenti di sebelahnya. Seketika kemudian cermin kereta diturunkan. Dilihatnya seorang gadis yang tidak dikenali berada di dalam kereta itu.
Namun Dzaquan langsung tidak berminat untuk mengetahui gerangan gadis itu. Dalam kepalanya sekarang hanya ada Qisya.
Bagaimana caranya untuk dia memujuk Qisya agar bersetuju dengan keputusannya itu? Tanpa membuang masa dia terus mengatur langkah. Qisya pula semakin jauh meninggalkan dirinya. Ternyata marah adiknya itu belum reda lagi.
“Eh, nanti kejap!” panggil Aneesa apabila menyedari Dzaquan ingin beredar. Kelam-kabut dia melangkah keluar dari kereta.
Dzaquan menoleh pada Aneesa. Dipandang wajah gadis yang langsung tidak dikenali itu. Kemudian dipandang pula pada Qisya yang semakin jauh meninggalkan dirinya. Dia mengeluh kecil sebelum pandangannya kembali terarah pada gadis itu.
Dipandangnya atas dan bawah gadis itu. Tiba-tiba anak matanya terpaku di situ. Agak lama anak matanya melekat di situ sebelum dia mengalihkan pandangan. Dzaquan berdeham kecil sebelum bersuara.
“Kau siapa?” soal Dzaquan sambil memandang wajah gadis itu. Cantiknya boleh tahan. Tapi cantik Qisya lagi, gumam Dzaquan sendirian.
Seboleh mungkin dia cuba mengawal anak matanya daripada singgah pada tubuh gadis itu. Fuh, pakaiannya agak keterlaluan. Dia tidak tahu fesyen apa yang digayakan gadis itu. Apa yang dia tahu anak matanya selalu singgah pada tempat yang agak terdedah itu.
Mulanya Dzaquan agak terkejut dengan penampilan berani gadis itu. Dari situ dia dapat mengagak yang gadis itu bukan berasal dari kampung ini. Pastinya orang bandar. Dalam kampung macam ni mana ada orang pakai skirt pendek seperti itu, bisik Dzaquan.
Aneesa mula cuak dengan pandangan lelaki itu. Apatah lagi apabila sepasang mata itu melekat pada pahanya yang putih melepak.
“Aku Aneesa,” jawab Aneesa pendek.
“Habis tu, apa kena-mengena dengan aku?” soal Dzaquan acuh tak acuh. Langsung akalnya tidak dapat mengingati sebaris nama itu.
Peluh yang mula membasahi wajahnya itu dilap dengan belakang tangan. Entah mengapa terasa panas pula hari tu. Mungkin juga bertambah panas apabila melihat pakaian gadis di hadapannya itu.
Aneesa mendengus geram dengan jawapan lelaki itu. Kalau tak disebabkan rancangan gila papanya, dia pun tak ingin terhegeh-hegeh mencari lelaki itu. Dan demi menghalang rancangan papanya itulah dia membuat keputusan untuk bersemuka dengan Dzaquan. Kalau perlu merayu, dia akan rayu. Agar perkahwinan di antara mereka berdua tidak akan dilaksanakan.
“Aku tak pernah tahu berapa yang papa bayar kau, tapi aku harap kau tolak rancangan papa untuk kahwinkan kita.”
Berkerut dahi Dzaquan. Kata-kata Aneesa membuatkan dia tertanya-tanya sendirian. Bayar? Kahwin? Getus Dzaquan lagi. Dia tidak pernah ambil tahu dengan siapa dia akan dikahwinkan. Apatah lagi sebaris nama bakal isterinya itu. Mungkin...inilah dia anak Datuk Zaman.
“Maaf, aku tak tahu apa yang kau cakap,” ujar Dzaquan cuba beralasan. Dia benar-benar tidak selesa untuk terus bersemuka dengan Aneesa.
Dapat dirasakan yang gadis itu tidak bersetuju dengan rancangan Datuk Zaman. Kalau tidak, masakan gadis itu sanggup menjejaki dia di sini. Salah dia ke kerana bersetuju dengan rancangan Datuk Zaman tanpa mempersoalkan keinginan gadis itu?
“Aku tak tahu, kau benar-benar tak tahu atau sengaja buat-buat tak tahu. Berapa papa bayar kau, hah?” soal Aneesa mula panas hati melihat Dzaquan yang buat-buat tidak faham akan butir bicaranya itu.
“Cik Aneesa, cakap tu biar beralas.”
“Aku tak nak kahwin dengan kau!” jerit Aneesa dengan tiba-tiba.
Dzaquan terdiam seketika. Nah, memang benar apa yang disangkanya sebentar tadi.
“Habis tu?” soal Dzaquan lagi. Tidak faham apa yang dimahukan Aneesa.
Aneesa tergelak perlahan. Sebenarnya dia terlalu geram dengan nada bersahaja lelaki itu. Seolah-olah apa yang diberitahunya sebentar tadi tidak memberi kesan pada lelaki itu.
“Aku tak tahu kau ni bodoh atau buat-buat bodoh. Kan aku dah cakap tadi yang aku tak nak kahwin dengan kau. Faham tak? Tak nak!”
Sengaja dia menekankan perkataan ‘tak nak’ itu. Biar jelas pada pendengaran lelaki itu yang dia tidak ingin dikahwinkan dengan budak kampung itu.
“Aku tahu. Habis tu kau ingat aku nak sangat kahwin dengan orang macam kau ke? Langsung tak ada budi bahasa. Ini semua rancangan Datuk Zaman, dia yang masuk pinang aku. Bukannya aku terhegeh-hegeh nak kahwin dengan kau,”balas Dzaquan yang mula berasa geram dengan sikap angkuh yang ditunjukkan Aneesa.
Ingat dia tu kaya, boleh cakap sesuka hati aje ke? Aku pun ada perasaan jugak. Dah lah pakai baju tak cukup kain. Kata orang kaya, macam ni ke cara orang kaya berpakaian? Apa jenis fesyen ni? Dzaquan memandang lagi Aneesa atas dan bawah.
Aneesa yang menyedari anak mata Dzaquan yang meliar pada batang tubuhnya segera menarik skirtnya yang singkat. Menyesal pula kerana memakai pakaian begitu. Berbakul-bakul dia menyumpah Dzaquan.
Ini ke calon terbaik yang dikatakan papa? Kalau dengan Am, lelaki tu pasti takkan memandang dia seperti yang dilakukan lelaki ni, getus Aneesa.
“Habis tu kau ingat aku yang terhegeh-hegeh?”
Dzaquan angkat bahu.
“Itu aku tak tahu,” jawab Dzaquan ringkas.
“For your information, aku dah ada kekasih dan aku cuma akan kahwin dengan dia. Bukan dengan budak kampung macam kau ni,” terang Aneesa lagi. Kalau boleh dia mahu segera beredar. Tak sanggup lagi untuk menjadi bahan tatapan sepasang mata milik Dzaquan itu.
“Baguslah. Tak perlu aku kahwin dengan kau, kan?” soal Dzaquan ringkas sebelum pusing untuk beredar. Tak sanggup dia menambah dosa dengan melihat pakaian gadis itu. Terseksa jiwanya.
“Eh, nak ke mana tu? Aku tak habis cakap lagilah!” jerit Aneesa. Seraya dengan itu tangan Dzaquan dipegang. Mahu menghalang lelaki itu daripada beredar.
“Apa ni? Tadi cakap tak nak kahwin, lepas tu main pegang-pegang tangan pulak,” dengus Dzaquan. Cuak pula dia dengan sikap Aneesa yang cakap lain, tapi buat lain.
Segera Aneesa melepaskan tangan Dzaquan yang dipegang secara tak sengaja. Geram pula dia dengan sikap Dzaquan yang jelas tidak mahu membantunya. Tidak! Dia tidak boleh mengalah. Ini sajalah cara yang tinggal. Dia tidak mahu dipisahkan dengan Amsyar.
“Please...help me. Aku cuma nak kahwin dengan Amsyar,” rayu Aneesa pula. Kali ini dia bertukar rentak. Mungkin dengan merayu, Dzaquan akan membantunya. Dia benar-benar mati akal.
Apa yang dia tahu hanya Dzaquan sahaja yang boleh menghalang hasrat papanya itu. Kalau Dzaquan tidak bersetuju untuk berkahwin dengannya, sudah tentu papanya tidak boleh memaksa.
Dzaquan mengeluh perlahan. Kasihan pula dia melihat gadis itu yang bersungguh-sungguh tidak mahu mengahwini dirinya.
Daripada ekor matanya dia dapat melihat Aneesa menarik skirtnya yang singkat. Dah tahu pakaian tu tak selesa, dipakai juga kenapa? Tanpa membuang masa Dzaquan menanggalkan baju sekolah yang tersarung di badannya.
Aneesa yang melihatnya tergamam. Kepalanya mula berfikiran yang bukan-bukan. Perlahan-lahan dia melangkah menjauhi Dzaquan. Bimbang jika dirinya diapa-apakan. Sehinggakan dia terlupa Pak Mat ada bersama mereka.
“Kau nak buat apa?” soal Aneesa apabila melihat Dzaquan yang ingin tunduk. Dan jarak lelaki itu begitu dekat dengannya.
Pertanyaan Aneesa membuatkan Dzaquan tidak jadi untuk tunduk. Sebaliknya dia menghulurkan baju sekolahnya pada gadis itu.
“Nak buat apa dengan baju sekolah kau yang busuk ni?” soal Aneesa spontan sambil tangannya terus menolak huluran Dzaquan itu. Tidak rela dia menerima baju busuk lelaki itu.
Hisy, banyak ragam betullah dia ni.
“Memanglah busuk, tapi setidak-tidaknya boleh tutup apa yang terdedah,” balas Dzaquan lagi.
Segera dia meletakkan baju sekolahnya pada paha Aneesa. Aneesa cuba menolak namun Dzaquan tetap bekeras. Sempat menjeling reaksi yang terukir di wajah gadis itu. Resah. Seolah-olah takutkan dirinya.
“Eh, apa ni?” Tangannya cuba menolak tangan Dzaquan yang sudah pun melekap pada pinggangnya.
Tanpa mempedulikan Aneesa yang terus-menerus menghalangnya, Dzaquan tetap berkeras. Kemudian Dzaquan mengikat lengan baju sekolahnya itu pada pinggang Aneesa yang masih lagi cuba menghalang perbuatannya.
“Adui, sakitlah!” jerit Aneesa apabila ikatan Dzaquan terlalu kuat pada pinggangnya.
Dzaquan hanya tersengih. Dia benar-benar tidak sengaja. Itulah, meronta lagi.
Aneesa menepis tangan Dzaquan yang cuba membetulkan ‘pakaian baru’ yang berada di badannya itu. Hisy, liar pulak tangan dia ni, getus Aneesa geram sambil cuba menepis tangan Dzaquan yang seolah-olah tidak mengerti atau buat-buat tidak mengerti.
“Kenapa tak cakap sendiri dengan Datuk?” soal Dzaquan. Dapat dilihat dengan jelas Aneesa yang sudah pun menarik muncung panjang. Mungkin marah dengan tindakannya sebentar tadi.
Seketika kemudian dia menggosok-gosok tangannya yang menjadi mangsa tamparan Aneesa sebentar tadi. Pedih!
“Dah. Tapi dia tak layan. Cuma kau aje yang boleh tolong aku. I really love Amsyar, please help me.”
Dzaquan mengeluh perlahan. Memang dia bersimpati pada gadis itu. Kalau boleh dia memang mahu menolong gadis itu. Tapi keadaannya sekarang yang tidak mengizinkan.
Kalau dia tolong Aneesa, siapa pula yang akan menolongnya? Siapa pula yang mahu bersimpati dengan dia? Kalau dia tolak permintaan Datuk Zaman, bermakna dia terpaksa berpisah dengan adik-adiknya.
Janjinya pada arwah ayahnya juga tidak dapat ditunaikan. Dia tidak sanggup mengecewakan perasaan adik-adiknya. Meskipun dia terpaksa kecewakan sekeping hati milik Aneesa.
“Maafkan aku. Aku tak boleh tolong kau.”
Hampir rebah Aneesa dengan jawapan yang terluah daripada mulut Dzaquan itu. Inilah peluangnya yang terakhir. Namun peluangnya yang terakhir itu dimusnahkan lelaki yang bernama Dzaquan.
“Apa maksud kau? Ke...kenapa tak boleh tolong aku?”Air matanya mula bergenang.
Kejamnya Dzaquan sehinggakan langsung tidak mahu menolongnya. Permintaannya itu tidak sebesar mana. Dia cuma mahukan Dzaquan menolak permintaan papanya, itu saja. Besar sangatkah permintaannya itu?
“Maaf, aku tak boleh.”
Itu saja yang mampu diluahkan Dzaquan. Tanpa membuang masa, dia segera melangkah meninggalkanAneesa. Tidak sanggup melihat wajah itu yang mula dibasahi air mata. Namun telinganya sempat mendengar kata-kata terakhir Aneesa.
“Aku tak sangka orang macam kau hanya pentingkan diri sendiri! Yang boleh dibeli dengan wang ringgit! Aku benci kau! Aku benci kau!”
Aneesa jatuh terduduk. Wajahnya mula dibasahi air mata. Sangkanya, dia boleh menghalang niat papanya dengan bersemuka dengan Dzaquan sendiri. Tapi lain pula yang berlaku.
Dia sama sekali tidak menyangka yang Dzaquan sebenarnya sudah dibeli papanya. Lelaki itu benar-benar mementingkan diri sendiri sehingga sanggup memusnahkan impiannya untuk bersama dengan Amsyar.
Harapannya sekarang hanya tinggal harapan. Dipandang langkah Dzaquan yang semakin jauh meninggalkan dirinya. Sedikit pun lelaki itu tidak teragak dan menoleh ke arahnya. Dia benar-benar benci lelaki itu. Kerana lelaki itulah yang menjadi penghalang untuk dia bersama-sama dengan Amsyar.
ps: Terima kasih sbb baca "DIA TUNANG AKU!". Harap sukakan DTA macam yg anda sukakan PA.
Kasih berganda2x diucapkan klau tinggalkan komen sekali...hehe.
Mana tau kot2x terasa nak up bab baru dalam waktu yang singkat ^___^v