Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
239,266
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 22
LAMBAT-LAMBAT Aneesa mengemas alat tulisnya. Malah, buku-buku juga masih tersusun di atas meja. Kemudian dia mengeluh perlahan. Kalau ikutkan rasa hati, dia tidak mahu pulang. Dia lebih suka menghabiskan masa di sekolah. 

Dulunya, itulah satu-satunya perkara yang tidak digemari. Rakan-rakannya yang menghadiri kelas tambahan sudah pun beredar seorang demi seorang. Maklum sajalah sudah sepuluh minit kelas ditamatkan. 

Namun Aneesa masih lagi di bangkunya. Sengaja dia melambat-lambatkan masa. Masih mahu berada di situ kerana dia tidak sanggup berhadapan dengan ‘bodyguard’ tak bertauliah yang telah di amanahkan Datuk Zaman buatnya. Terasa langkahnya sudah tidak bebas seperti dulu.

Jaja mencuit bahu Fatin sambil mulutnya dimuncungkan ke arah Aneesa yang terlebih mengeluh daripada mengemas alat tulis dan bukunya. Sedari tadi dia memerhatikan rakannya itu. Sehinggakan dia tertanya-tanya dengan keadaan Aneesa itu. Lagaknya seperti tidak mahu pulang.

Fatin yang turut menoleh ke arah Aneesa hanya mengangkat bahu. Tanda dia tidak tahu apa yang tidak kena dengan rakannya itu. Tanpa membuang masa mereka terus menghampiri Aneesa.

“Kau ni kenapa? Tak nak balik ke?” soal Jaja sambil melabuhkan punggung di hadapan Aneesa.

Rakannya itu hanya panggungkan kepala sebelum tersenyum hambar. Seketika kemudian dia membuang pandang pada buku-buku yang menunggu masa untuk dimasukkan ke dalam beg. Dia mengeluh lagi.

Memang itulah yang dirasakannya. Dia tidak mahu pulang lagi ke rumah itu. Buat apa dia pulang jika hatinya tidak tenang berada di situ? Apatah lagi terpaksa menghadap muka Dzaquan 24 jam.

“Hai, termenung pulak dia. Soalan aku tak jawab lagi,” sahut Jaja lagi. Geram pula dia dengan Aneesa yang seolah-olah hanyut dalam dunianya sendiri. 

Apa sudah jadi dengan Aneesa yang dulunya seorang yang ceria? 

Sama seperti Jaja, Fatin juga menantikan jawapan daripada Aneesa. Entah mengapa dia merasakan Aneesa sekarang sudah jauh berbeza dengan Aneesa yang dulu. 

Malah, sudah tidak melepak bersama rakan-rakannya yang lain. Setiap ajakan untuk keluar pantas ditolak Aneesa. Gadis itu seperti mahu menjauhkan diri daripada mereka. Aneh. Seingatnya dulu, Aneesalah yang selalu mengajak mereka untuk keluar melepak. 

Belum pun sempat Aneesa membuka mulut, mereka disapa satu suara pula.

“Girls! What are you waiting for? Jomlah blah. Tak bosan ke duk menghadap buku tu lagi?” sapa seorang gadis lain. Pakaian seragam sekolahnya sudah diganti dengan pakaian yang agak sendat dan skirt yang pendek.

Aneesa, Jaja dan Fatin menoleh pada Ana yang menyapa mereka sebentar tadi. Lena di sisi Ana hanya tersenyum. Seperti Ana, pakaian sekolahnya juga sudah lama diganti dengan pakaian lain. 

Jaja dan Fatin berpandangan sesama sendiri sebelum tersenyum lebar. Rasanya sudah terlalu lama mereka tidak mencari hiburan. Sebaliknya mereka begitu tekun membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan SPM yang akan menjelma. Inilah waktu yang sesuai untuk melapangkan kepala mereka.

“Apa lagi, Neesa? Jomlah. Lagipun kau dah lama tak join kami. Tak bestlah kalau kau tak ada,” ajak Fatin pula.

Ajakan Fatin tidak segera dijawab Aneesa. Sebaliknya, dia hanya mendiamkan diri. Seketika kemudian dia menoleh pada Qisya yang kelihatan begitu tekun menghadap bukunya. Seolah-olah tidak langsung terganggu dengan perbualannya bersama rakan-rakan.

Kalau diikutkan rasa hatinya, dia mahu ikut sama. Tapi kehadiran Qisya yang merupakan rakan sekelas barunya membuatkan dia berasa serba salah. Mahukah gadis itu membantunya dengan mencipta alasan untuk Dzaquan yang menanti mereka di pintu pagar? Alasan apa yang mahu diberikan pada lelaki itu? Mahukah Dzaquan percaya akan alasan itu nanti?

Seraya dengan itu, pandangan rakan-rakan Aneesa segera terarah pada Qisya yang merupakan pelajar baru di kelas mereka. Disebabkan mereka berbeza taraf, pelajar baru itu langsung tidak diendahkan.

“Kenapa pandang dia? Nak ajak budak kampung tu sekali ke?” bisik Lena perlahan pada telinga Aneesa.

Qisya mula gelisah apabila menyedari beberapa pasang mata sedang terarah padanya. Beberapa kali dia cuba mengubah posisi duduknya. Namun semuanya tidak memberikan keselesaan padanya.

Kalau diikutkan rasa hatinya, dia mahu cepat-cepat beredar dari situ. Tapi disebabkan perjanjiannya dengan Aneesa, terpaksa juga dia kaku di situ gara-gara tidak mahu dilihat mereka berdua berkongsi kereta yang sama, Aneesa menyuruh dia keluar lewat lima atau sepuluh minit daripadanya.

Dengan cara itu tiada siapa yang akan melihat mereka berdua menaiki kereta yang sama. Dia sendiri berasa pelik dengan permintaan Aneesa itu.

Malu sangatkah jika berkongsi kereta dengan budak kampung sepertinya? Ataupun Aneesa cuba merahsiakan pertunangannya dengan abangnya? Kerana pertunangan mereka berdua masih lagi menjadi rahsia di sekolah itu. Kecuali pengetua sekolah yang merupakan rakan baik Datuk Zaman.

Seketika kemudian Qisya cepat-cepat bangkit. Begnya disandang di bahu. Manakala buku yang dibacanya tadi dipeluk erat. Kemudian dia memandang Aneesa dan rakan-rakannya sebelum tersenyum.

“Saya balik dulu,” ujar Qisya sebelum melangkah meninggalkan mereka.

Rasanya biarlah dia saja yang beredar dari situ. Meninggalkan Aneesa sendirian dengan rakan-rakannya. Mungkin itu juga yang dimahukan Aneesa dan sebab itulah Aneesa memandang ke arahnya sebentar tadi.

Malah, setiap perbualan Aneesa dan rakan-rakannya didengari dengan jelas. Ditambah pula dengan penampilan Ana dan Lena yang agak keterlaluan pada fikirannya. Hatinya tiba-tiba sahaja digaru dengan perasaan ingin tahu. Disebabkan itulah dia masih lagi kaku di bangkunya kerana dia cuba memasang telinga.

“Err... maaf kau orang. Aku tak boleh ikut,” ujar Aneesa sambil kelam-kabut memasukkan alat tulis dan buku-bukunya ke dalam beg sekolah.

Dia juga perasan pandangan rakannya yang terarah padanya. Pastinya berasa hairan dengan jawapan yang diberikan sebentar tadi.

Apa boleh buat, hidupnya sekarang sudah tidak seperti dulu. Dulu dia bebas untuk ke mana saja kerana papanya tidak pernah mengambil tahu ke mana dan di mana dia menghabiskan masanya.

Tetapi semenjak bertunang dengan Dzaquan, langkahnya agak terbatas. Apatah lagi pergi dan balik dari sekolah pun dijemput lelaki itu dan bukannya Pak Mat seperti kebiasaannya.

Tidak cukup dengan itu, dia terpaksa pula menghadap bakal adik iparnya itu di sekolah yang merupakan sekelas dengannya. Kalau ikutkan rasa hati, mahu saja dilancarkan mogok. Tapi apabila diingatkan Dzaquan yang mengamuk tempoh hari, dia jadi gentar.

Pandangan lelaki itu pula membuatkan dia tidak selesa dan kadangkala membuatkan dia terasa lemas. Adui, lama-lama boleh jadi gila dibuatnya!

Kata-kata Aneesa itu membuatkan rakan-rakannya hanya berpandangan sesama sendiri. Mereka sudah mula berasa pelik dengan sikap Aneesa. Ajakan mereka pasti akan ditolak Aneesa.

“Alah, tak seronoklah kalau kau tak boleh ikut sama,” kata Jaja pula.

Dia mahu memujuk Aneesa agar mengikuti mereka. Dia tidak mahu gadis itu menghabiskan banyak masa dengan buku, sedangkan dia pula menghabiskan masa dengan berseronok. Keputusan SPM Aneesa nanti pasti akan lebih baik daripadanya. Kalau dia jatuh, Aneesa mesti jatuh sama, fikir Jaja lagi.

“Sorry, aku betul-betul tak boleh. Err... papa aku sekarang banyak habiskan masa kat rumah. Setiap gerak-geri aku dia nak tahu,” ujar Aneesa beralasan. Mujur akalnya begitu pantas mencipta alasan yang tidak wujud itu.

“Eh Neesa, ada benda aku nak tanya dengan kau,” sahut Ana pula. Rasanya sudah banyak kali dia mahu bertanyakan hal itu pada Aneesa tetapi asyik terlupa saja.

“Apa dia?” soal Aneesa malas. Dalam kepalanya sekarang, dia harus segera beredar dari situ. Takut nanti terserempak dengan rakan-rakannya pula.

Alasan apa pula yang hendak diberitahu jika bertanyakan perihal Dzaquan? Berterus terang? Hisy! Buat malu saja. SPM pun belum tapi dah ada tunang. Dah tu bertunang pun senyap-senyap saja. Nanti lain pula yang mereka fikir.

“Siapa lelaki yang selalu jemput kau tu?”

Aneesa yang mendengar soalan itu hampir jatuh terduduk. Terasa seperti batu besar menghempap kepalanya. Pandangannya terasa gelap. Itulah soalan yang mahu dielakkan kerana dia tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan.

Dipandang rakan-rakannya itu bersilih ganti. Dapat dilihat dengan jelas riak wajah rakan-rakannya itu. Masing-masing menagih jawapan daripadanya. Apa pilihan yang dia ada?

“Err...lelaki mana? Kan Pak Mat, driver aku,” jawab Aneesa beralasan.

“Hisy! Bukanlah! Aku tengok muda aje. Dah tu handsome pulak tu. Siapa tu? Nak kata abang kau, seingat aku, kau dua beradik aje. Kau dengan Tini,” sanggah Lena pula.

Jaja dan Fatin hanya mendengar. Tidak pasti lelaki mana yang dimaksudkan Ana dan Lena. Setahu mereka cuma dua orang lelaki saja yang biasa menjemput Aneesa. Pak Mat, pemandunya ataupun Amsyar, buah hati Aneesa. Tapi sejak akhir-akhir ini sudah lama Amsyar tidak datang menjemput Aneesa. Bergaduhkah mereka?

“Oh, yang tu. Dia...dia...anak Pak Mat,” balas Aneesa tergagap-gagap. Spontan alasan itu pula keluar daripada mulutnya.

Harap-harap alasannya itu berjaya menutup mulut mereka dan tidak lagi bertanya soalan yang bukan-bukan kerana dia tiada jawapan itu. Bercinta bagai nak rak dengan Amsyar, tetapi bertunang pula dengan lelaki yang langsung tidak dikenalinya.

Ketawa kuat daripada Ana dan Lena akhirnya meletus apabila mendengar jawapan yang langsung tidak diduga itu.

Sangka Ana, lelaki itu kekasih baru Aneesa kerana rakannya itu sudah tidak dilihat bersama dengan Amsyar lagi. Mungkin benar khabar angin yang didengarinya yang mengatakan hubungan di antara Aneesa dan Amsyar sudah terputus.

“Yang kau orang berdua ketawa ni kenapa? Aku tak nampak apa-apa yang lucu pun,” soal Fatin dengan keningnya yang sudah berkerut tebal.

Sudahlah dia tidak mengenali gerangan lelaki yang dimaksudkan Ana dan Lena itu. Ditambah pula dengan ketawa daripada mereka berdua itu benar-benar membuatkan dia tertanya-tanya sendiri. Rasanya jawapan Aneesa itu tidak melucukan pun.

Begitu juga dengan Jaja dan Aneesa. Mereka juga kebingungan, sama seperti Fatin. Tangan Jaja mula tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Bukan apa, aku ingatkan itu kekasih baru Neesa. Rupa-rupanya anak driver,” jawab Lena setelah ketawanya reda.

“Hisy! Kau orang ingat aku ni tak ada taste ke? Orang kampung macam dia tak layak bergandingan dengan akulah,” sahut Aneesa dengan angkuh dan kemudian dia turut ketawa bersama Ana dan Lena.

Perasaannya yang gusar sebentar tadi kembali tenang. Rahsia pertunangannya dengan Dzaquan masih lagi selamat.

Dia tidak peduli jika perasaan Dzaquan terluka andai terpaksa dikenalkan dengan rakan-rakannya sebagai anak pemandunya. Asalkan rahsia di antara mereka masih lagi kekal menjadi rahsia. Padanya, itu yang lebih penting dan bukannya perasaan lelaki itu.

Ketawa mereka terhenti apabila telinga mereka menangkap bunyi benda jatuh. Seraya dengan itu mereka menoleh ke arah pintu kelas.

Ketawa Aneesa terus mati saat anak matanya memandang seraut wajah milik Dzaquan yang berdiri di situ. Lidahnya kelu apabila melihat Dzaquan tersenyum kelat padanya.

Seketika kemudian lelaki itu tunduk untuk mengambil telefon bimbitnya yang jatuh sebentar tadi. Dia perasan redup mata Dzaquan yang merenung ke arahnya. Namun di abaikannya. Tidak mahu rakan-rakannya mengesyaki adasesuatu di antara mereka.

Qisya yang berdiri di belakang abangnya hanya mampu memandang pada Dzaquan yang tunduk mengutip telefonnya. Perasaan kesal mula dirasainya kerana gagal menghalang Dzaquan daripada menghampiri kelas mereka. Jika tidak, pasti perbualan di antara Aneesa dan rakan-rakannya itu tidak didengari abangnya.

“Anak driver kau ada kat sinilah,” bisik Jaja perlahan. Tidak mahu didengari Dzaquan.

“Budak kampung tu tak balik lagi? Kenapa dia ada bersama dengan anak pemandu kau?” sahut Fatin pula yang mula berasa pelik apabila melihatkan Qisya bersama dengan anak pemandu Aneesa.

Ana, Jaja dan Lena terus memandang ke arah Aneesa. Seketika kemudian membuang pandang pada Qisya.

Qisya panggungkan kepalanya. Anak matanya bertentang dengan sepasang mata milik Aneesa. Hilang sudah rasa hormatnya pada gadis itu. Sangkanya Aneesa baik dan berbeza dengan Datin Fatimah yang membencinya.

Sebaliknya perangai Aneesa lebih teruk daripada itu. Setidak-tidaknya Datin Fatimah tidak berselindung dan tidak bermuka-muka seperti yang dilakukan Aneesa.

“Abang, jom balik,” ajak Qisya. Tidak mahu berlama di situ.

Dia tidak betah menahan pandangan-pandangan yang tidak enak ke arah mereka berdua. Dan ditambah pula dengan rasa kecewanya dengan sikap Aneesa. Tak sangka yang dia tersalah menilai siapa Aneesa yang sebenar.

“Abang? Hei, apa hubungan dia dengan anak pemandu kau? Abang atau pakwe?” sahut Lena pula dengan tidak sabar.

Pertanyaan yang bertalu-talu daripada rakannya itu langsung tidak dijawab Aneesa. Sebaliknya dia hanya memandang ke arah Dzaquan dan bersilih ganti dengan Qisya.

Kepalanya ligat membuat andaian, apakah yang akan berlaku selepas ini? Terbongkarkah rahsia pertunangannya?

“Kelas dah lama habis. Tak nak balik lagi?” soal Dzaquan setelah lama dia mendiamkan diri. Sebaliknya hanya memandang ke arah Aneesa dan rakan-rakannya.

Dada Aneesa berdebar-debar apabila Dzaquan bersuara. Bimbang jika rahsianya terbongkar. Mana dia nak sorokkan mukanya nanti? Orang yang dikatakan sebagai anak pemandunya ialah tunangnya sendiri.

“Cik Muda Neesa?” Kata-kata Dzaquan itu membuatkan mulut Aneesa terlopong. Namun apabila menyedari anak mata rakannya terarah pada Dzaquan, dia cuba mengawal rasa terkejutnya itu. Takut terlihat rakannya itu.

Cik Muda Neesa? Apa dah jadi dengan dia ni? Tersilap makan ke? Biar betul? Ke aku tersilap dengar?

Cepat-cepat Aneesa mengorek telinga. Cuba memastikan apa yang didengarnya sebentar tadi adalah realiti dan bukannya fantasi yang direka akalnya sendiri. Buat seketika dia berbalas pandang dengan Dzquan.

“Ah, ya, ya, nak balik dah ni,” jawab Aneesa dalam getarnya. Dia tidak pasti kenapa Dzaquan bertindak sebegitu. Seolah-olah lelaki itu cuba menjayakan alasan yang direkanya sebentar tadi.

Sehinggakan dia terlupa kata-kata yang diucapkan sebentar tadi telah melukakan sekeping hati milikt unangnya sendiri. Juga telah mengubah pandangan Qisya terhadapnya gara-gara ucapannya sebentar tadi.

“Aku balik dulu. See you tomorrow, girls,” ujar Aneesa pada rakan-rakannya sebelum mengatur langkah menuju ke arah Dzaquan dan Qisya yang sedang menantinya. Beg sekolahnya terpaksa dihulurkan pada Dzaquan apabila lelaki itu berkeras mahu membawanya.

“Handsomenya anak driver dia,” ujar Fatin setelah lama mendiamkan diri. Kata-kata Fatin itu membuatkan rakan-rakan mereka yang lain turut mengangguk.

Sepanjang perjalanan, mereka lebih banyak mendiamkan diri. Suasana sunyi di dalam kereta membuatkan Aneesa yang berada di tempat duduk belakang menjadi rimas. Tambahan pula apabila dia menyedari sepasang mata Dzaquan lebih banyak memandang ke arahnya.

“Bosan ke, Cik Muda? Nak saya pasangkan radio?” usul Dzaquan dengan tiba-tiba.

Segera Aneesa mengalihkan pandangan pada Dzaquan yang masih memandangnya di cermin kereta. Pandangan mereka bersatu buat seketika sebelum Aneesa mengalihkan pandangannya.

Aneesa sedar yang Dzaquan sengaja mencari gaduh dengannya. Adakah kerana hal Zafrul tempoh hari masih belum reda? Ataupun kerana kata-katanya sebentar tadi? Sejauh mana perbualannya didengari Dzaquan?

Qisya yang mendengar soalan sinis Dzaquan hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu melibatkan diri di dalam perang dingin pasangan itu. Daripada ekor matanya, dia dapat melihat yang abangnya selalu membuang pandang ke arah Aneesa meskipun dia tidak memahami maksud disebalik pandangan abangnya itu. Apa yang pasti, dia benar-benar tidak suka dengan apa yang dilihatnya itu.

“Kau jangan cari gaduh dengan aku boleh tak?” soal Aneesa dengan sedikit kasar. 

Perasaan bersalahnya sebentar tadi sudah dicampak jauh-jauh. Rasanya dia sudah banyak beralah dengan Dzaquan sejak kejadian yang menimpa Zafrul tempoh hari. Tetapi perangai Dzaquan pula semakin menjadi-jadi.

Sengaja mencari salahnya. Sudah lupakah lelaki itu tentang pertunangan mereka? Kalau Dzaquan tidak dibeli papanya, belum tentu ikatan pertunangan di antara mereka akan terjadi.

Ketawa Dzaquan pula tiba-tiba meletus. Aneesa yang mendengar bertambah berang.

“Yang kau ketawa kenapa? Tak luculah!”

“Hai, marah ke Cik Muda?” soal Dzaquan.

Panggilan ‘Cik Muda’ masih lagi meniti di bibirnya. Biarlah dia terus memanggil gadis itu dengan gelaran itu kerana itulah yang diingini gadis itu. Dia sedar yang dirinya tidak layak bergandingan dengan Aneesa. Apatah lagi untuk menjadi tunang gadis itu.

“Dahlah! Jangan sindir aku lagi. Aku tahu aku salah. Sorry, okay...” bentak Aneesa geram. Geram kerana Dzaquan tidak henti-henti memanggilnya dengan gelaran ‘Cik Muda’.

Walhal mereka sudah lama meninggalkan rakan-rakannya. Dia yakin lelaki itu sengaja memanggilnya sebegitu semata-mata mahu menyakitkan hatinya.

Kata-kata Aneesa itu membuatkan Dzaquan tersenyum. Kagum dengan sikap yang ditunjukkan gadis itu yang tidak malu mengakui silapnya sendiri.

Qisya yang berada di sebelah Dzaquan menjeling sekilas ke arah abangnya itu. Hatinya tertanya-tanya apabila melihat Dzaquan mengusik Aneesa. Dapat dilihat dengan jelas senyuman lebar yang terukir di wajah itu.

Inilah sikap abang yang sangat dirindunya. Dzaquan yang suka mengusik dan selalu tersenyum. Dzaquan sebelum mereka ditinggalkan emaknya.

Seketika kemudian dia mengalihkan pandangan pada Aneesa. Mungkinkah perubahan abangnya itu disebabkan Aneesa? Gembirakah abangnya di sisi Aneesa yang hanya tahu mementingkan dirinya sendiri?

Jika itulah yang membuatkan abangnya gembira, dia seharusnya mengucapkan terima kasih kepada Aneesa. Kerana Aneesa telah mengembalikan kegembiraan abangnya.

Dia juga seharusnya menerima pertunangan di antara Dzaquan dan Aneesa dengan reda meskipun hatinya terasa berat untuk menerimanya.




ps: InsyaALLAH, kalau sempat DTA bakal berada di PBAKL 27 april-5 mei. Kalau tak sabar untuk mengetahui penghujung kisah Dzaquan dan Aneesa bolehlah dapatkannya nanti.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.