Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
239,336
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 26
"KAMU cakap apa, Neesa? Luar negara? Tak! Papa tak izinkan!” ujar Datuk Zaman tegas. Kepalanya turut digeleng-gelengkan beberapa kali.

Seperti tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya itu. Semuanya berlaku dengan mengejut. Sedangkan sebelum ini Aneesa tidak pernah memberitahu yang dia mahu belajar ke luar negara. Kenapa mesti sekarang?

Sedangkan dia belum bersedia untuk berjauhan dengan Aneesa buat kali kedua. Masih terlalu banyak perihal anaknya itu yang belum diketahuinya. Maklum sajalah hubungan mereka terlalu dingin.

Ah, mungkin itu semua berpunca daripadanya juga yang tidak pandai memulakan hubungan dengan anak gadisnya itu.

Aneesa terdiam. Lidahnya kelu. Hilang sudah kekuatan yang dikumpulkannya sebentar tadi. Gara-gara terkejut dengan kata-kata papanya yang begitu tegas. Terasa seperti harapannya yang satu itu semakin sukar untuk ditunaikan.

Tiba-tiba sahaja dia teringatkan rayuannya untuk tidak dipisahkan dengan Amsyar. Papanya langsung tidak mengendahkan dirinya. Sebaliknya papanya nekad untuk menyatukan dia dan Dzaquan.

Aneesa menarik nafas lama. Matanya dipejam rapat. Cuba mencari saki-baki kekuatan yang tinggal untuk terus berdepan dengan papanya itu. Manakala Dzaquan pula sudah lama beredar dari situ. Mungkin mahu memberi peluang untuk dia bersemuka dengan papanya.

Perlahan-lahan matanya dibuka. Dipandang lama wajah papanya. Kedut-kedut halus mula kelihatan di wajah itu. Malah, tidak sekali pun dia berpeluang untuk menyentuh wajah papanya itu. Apatah lagi untuk mengucup wajah itu.

“Please papa, cuma ni aje yang Neesa pinta,” rayu Aneesa pula. Wajah tegang Datuk Zaman membuatkan dia tidak berani untuk turut berkeras.

Keras lawannya lembut dan sebab itulah dia cuba berlembut dengan papanya. Jika terpaksa merayu, dia sanggup melakukannya. Walaupun dia sendiri tidak pasti sama ada rancangannya itu akan berhasil ataupun tidak.

“Tapi kenapa mesti luar negara? Dalam negara ni dah tak ada tempat untuk belajar ke?” suara Datuk Zaman turut sama mengendur.

Rasa kesal kerana terlalu ikutkan rasa hati sehinggakan Aneesa kelihatan takut- takut untuk berdepan dengannya. Terlalu tegaskah dia pada Aneesa? Entah! Rasanya dia tidak pernah marah-marah dengan anaknya itu. Kecuali sewaktu Aneesa membuat keputusan untuk berkahwin dengan Amsyar, itu sahaja.

“Sebab Neesa...” Teragak-agak Aneesa untuk meneruskan kata-katanya. Dipandang sekilas wajah Datuk Zaman yang masih menanti dengan sabar.

Dia jadi berat hati untuk menyuarakan alasannya yang sebenar. Perlukah dia memberitahu papanya yang dia takut untuk tinggal sebumbung dengan Dzaquan? Meskipun mereka tidak ditinggalkan berdua, dia tetap berasa takut dan gementar.

“Sebab apa?” tanya Datuk Zaman tidak sabar.

Aneesa mengeluh perlahan. Terasa berat untuk memberitahu alasannya yang sebenar. Mahukah papanya mengizinkan dia pergi jika itu alasannya?

“Neesa...Neesa terlalu penat, papa.”Akhirnya berjaya juga Aneesa meluahkan rasa hatinya itu.

Memang dia penat. Terlalu penat untuk mengikuti semua perubahan yang berlaku dalam waktu yang singkat. Bertunang? Langsung dia tidak menduga yang dia akan bertunang sedangkan dia masih lagi bersekolah. Apa kata rakan-rakannya jika mereka tahu yang dia dipaksa bertunang dengan orang lain dan bukannya dengan Amsyar?

“Penat? Penat dengan apa?”

“Neesa penat dengan semuanya, pa. Neesa penat dengan diri Neesa. Penat dengan masalah Neesa. Penat dengan pertunangan Neesa.”

Rasanya tidak perlu lagi dia berselindung dengan papanya. Dan hari ini dia akan meluahkan semuanya pada papanya. Kata pepatah, ‘alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’. Jadi itulah yang dia mahu lakukan. Alang-alang sudah terlepas kata, mengapa tidak dia teruskan semuanya?

Jelaskan semuanya pada papanya. Mungkin papa akan memahami rasa hati aku. Mungkin, bisik hati Aneesa sendirian. Sedangkan dia sendiri tidak pasti jika papanya benar-benar memahami rasa hatinya itu.

“Penat dengan Amsyar?” celah Datuk Zaman sinis. Dia langsung tidak faham kata-kata Aneesa.

Apa yang menyebabkan anak gadisnya penat sehinggakan mahu melarikan diri ke luar negara?

Aneesa terdiam apabila mendengar sindiran papanya itu.

“Ya! Neesa penat dengan Amsyar. Neesa penat merayu pada dia.” Mata Aneesa mula berkaca. Tiba-tiba sahaja dia jadi rindu pada Amsyar. Rindu pada saat mereka menghabiskan masa bersama.

“Buat apa Neesa rayu pada budak tak guna tu lagi?” Kemarahan Datuk Zaman kembali memuncak apabila nama Amsyar mula meniti di bibir Aneesa. Seingatnya, lepas majlis pertunangan tempoh hari Aneesa sudah tidak menyebut sebaris nama itu lagi.

“Sebab Neesa dah langgar janji yang kami lafazkan dulu. Sebab Neesa tak dapat pertahankan janji kami,” akui Aneesa jujur. Rasa malu dan segan pada papanya sudah dicampak jauh-jauh.

“Do you really love him?”

Aneesa tergelak perlahan dengan pertanyaan papanya itu. Terasa lucu pula dengan soalan itu.

“Baru sekarang papa tanya Neesa soalan ni? Kenapa dulu papa tak pernah tanya Neesa? Sekarang dah terlambat, papa. Dah terlambat sebab Neesa dah bertunang dan Am pulak dah menghilang entah ke mana. Papa dah lupa?”

Aneesa cuba menyembunyikan perasaan sedih dan kecewanya dengan ketawa kecil. Namun mata tidak pernah berbohong. Pantas dia menyapu matanya yang mula berkaca dengan belakang tangan. Tidak mahu terus terbuai dengan perasaan sedihnya itu.

Giliran Datuk Zaman pula yang terdiam. Diamnya bukan disebabkan perasaan bersalah kerana mahu menjodohkan Aneesa dengan Dzaquan. Tapi dia kasihan pada Aneesa. Kerana anak gadisnya itu tidak tahu yang dia mencintai orang yang salah.

Sedangkan dirinya langsung tidak dicintai Amsyar. Malah, Aneesa didekati pun hanya disebabkan statusnya yang merupakan anak tunggal Datuk Zaman. Itu saja!

“Neesa masih muda, pa. Tapi Neesa dah terikat dengan ikatan pertunangan ni. Dalam waktu terdekat papa nak langsungkan perkahwinan Neesa. Berkahwin dengan orang yang langsung Neesa tak kenal. Papa boleh bayang tak macam mana perasaan Neesa? Takut, kecewa, sedih, semua ada, pa.”

Aneesa memberanikan dirinya. Dia melangkah mendekati papanya yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Malah, kepala papanya pula ditundukkan dan memandang pada lantai. Menyesalkah papanya dengan tindakannya itu?

“Neesa tak bantah tindakan papa untuk tunangkan Neesa dengan Wan. Tapi sekarang Neesa harap papa dapat tunaikan permintaan Neesa. Neesa cuma mintak sedikit waktu untuk Neesa bersendirian buat seketika sebelum kami dikahwinkan. Itu aje, pa. Izinkan Neesa ke luar negara pa, jauh daripada semua masalah ni.”

Dalam teragak-agak, Aneesa cuba menyentuh tangan papanya. Meskipun dalam teragak-agak, dia berjaya juga menyentuh tangan papanya. Lama dia menggenggam tangan papanya itu. Dia benar-benar mengharapkan yang papanya akan mengizinkan dia pergi untuk seketika.

“Papa...” ujar Datuk Zaman terhenti.

“Neesa rayu pada papa, please let me go and I promise, Neesa pergi tak lama. Nanti Neesa balik,” rayu Aneesa. Genggaman tangan papanya semakin dieratkan.

Dzaquan yang sedari tadi mencuri dengar perbualan di antara Aneesa dan Datuk Zaman hanya mampu memandang seraut wajah milik Aneesa. Gadis itu kelihatan bersungguh benar dengan permintaannya itu.

Malah, kata-kata Aneesa itu membuatkan dia berasa bersalah. Kerana dialah gadis itu terluka seperti itu. Dia terlalu mementingkan diri sendiri hinggakan dia sanggup melukakan hati Aneesa.

Maafkan aku, Neesa. Bukan niatnya untuk mencuri dengar luahan hati Aneesa. Tapi dia tak sengaja mendengar kata- kata Aneesa yang mengaku sudah terlalu penat dengan percaturan hidupnya oleh Datuk Zaman. Itu yang membuatkan dia tertarik untuk terus memasang telinga.

Mungkin dengan cara itu dia dapat memahami perasaan sebenar yang cuba disembunyikan Aneesa. Kerana dia tidak dapat membaca dan memahami riak wajah itu. Yang dia tahu tindakannya selalu saja melukakan hati Aneesa. Walhal dia langsung tidak berniat untuk membuatkan gadis itu terluka.

Datuk Zaman mengeluh perlahan. Sukar untuk dia membuat keputusan. Sedikit sebanyak dia turut termakan dengan kata-kata Aneesa. Tapi dia tidak mahu anaknya itu semakin jauh dengannya. Mengizinkan Aneesa pergi, bermakna anaknya itu semakin jauh daripadanya.

“Neesa kena ingat yang Neesa dah bertunang. Neesa dah ada tunang dan Neesa kena berbincang dulu dengan Wan,” ujar Datuk Zaman setelah lama mendiamkan diri.

Sengaja dia berkata begitu kerana jauh di sudut hati, dia tidak mahu melepaskan Aneesa pergi jauh daripadanya. Tapi tak mungkin dia akan berterus terang dengan anak itu. Disebabkan itulah dia menggunakan nama Dzaquan.

Berharap agar anak muda itu akan menghalang niat Aneesa. Maafkan papa kerana terpaksa melukakan hati Neesa lagi, bisik Datuk Zaman dalam hati.

Anak mata Aneesa membulat. Dia benar-benar tidak menduga yang papanya akan berkata begitu. Sangkanya, papanya sudah berasa menyesal kerana keputusannya dulu. Tapi lain pula yang berlaku.

Berbincang dengan Wan? Kenapa aku perlu berbincang dengan dia? Sedangkan dah terang-terangan yang lelaki itu tak nak sambung pengajiannya gara-gara tak sanggup berpisah denganku, gumam Aneesa.

“Apa ni, pa? Please don’t do this to me! Papa tahu kan hubungan kami macam mana? Lagipun kami cuma bertunang. Bukannya berkahwin. Dan dia tak berhak untuk tentukan hidup Neesa!” Aneesa bersuara cemas. Dia tidak mahu berbincang dengan Dzaquan kerana dia sudah dapat menduga jawapan yang akan diberikan lelaki itu.

“Tapi Wan tetap tunang Neesa. Tak boleh nak sisihkan dia dari masa depan Neesa.”

“Papa! Neesa ni anak papa! Masih lagi tanggungjawab papa. Kenapa kita mesti libatkan orang luar?”

“Orang luar? Wan tu dah jadi tunang Neesa. Tak lama lagi kau orang akan kahwin jugak.”

“Dia pasti tak kan izinkan Neesa pergi.”

Dan itulah yang papa mahukan. Papa tak nak Neesa pergi tinggalkan papa lagi. Bukan untuk kali kedua. Cukuplah papa dah kehilangan Neesa dulu, bisik Datuk Zaman perlahan.

“Maafkan papa. Tapi Neesa kena ingat apa yang papa buat semuanya hanya untuk Neesa.”

Kerana papa sayang Neesa...Namun kata-kata yang terakhir itu hanya mampu diluah di dalam hati. Dia tidak mampu meluahkan pada Aneesa. Sudah terlalu banyak dia melukakan hati Aneesa. Seketika kemudian Datuk Zaman melangkah meninggalkan Aneesa sendirian di ruang tamu itu. Biarlah masa yang akan memulihkan rasa kecewa anaknya itu.





ANEESA mengeluh perlahan. Sudah seminggu berlalu. Namun payah untuk dia bersemuka dengan Dzaquan. Jika berjaya bersemuka dengan Dzaquan pasti ada insan ketiga di sisi mereka. Sedangkan dia cuma mahu bersemuka dengan Dzaquan berdua saja. Dia tidak mahu ada insan lain yang akan cuba mempengaruhi fikiran lelaki itu.

Aneesa benar-benar tidak menyangka yang Datuk Zaman meletakkan Dzaquan sebagai pemutus masa depannya. Papanya benar-benar kejam!

Aneesa menarik nafas panjang. Pintu bilik Dzaquan dipandang lama. Ingatannya kembali terusik dengan kejadian yang berlaku tempoh hari. Rasa gementar mula dirasainya.

Tapi dia sudah tidak ada cara lain. Ini sahaja caranya yang ada kerana Dzaquan selalu sahaja mengelak daripada berjumpa dengannya. Dengan perasaan yang berbelah bahagi, dia tetap memulas tombol pintu bilik Dzaquan.

“Aku nak cakap dengan kau!” ujar Aneesa dengan tiba-tiba. Dia pasti ini sajalah peluang yang dia ada.

Tuala yang berada di tangan Dzaquan terjatuh ke lantai. Segera Dzaquan menyentuh dadanya. Terkejut dengan suara Aneesa yang muncul dengan tiba-tiba. Pantas dia menoleh pada pintu bilik. Dilihatnya Aneesa berdiri di situ. Rasa kesal mula dirasai kerana terlupa mengunci pintu bilik. Jika tidak sudah tentu dia tidak perlu bersemuka dengan gadis itu.

“Nak cakap apa? Aku nak mandi,” balas Dzaquan ringkas. Tanpa mempedulikan Aneesa, dia tunduk mengambil tualanya sebelum terus melangkah memasuki bilik air.

Mulut Aneesa melopong apabila melihat reaksi Dzaquan itu yang selamba meninggalkan dia sendirian di situ.

“Be... berani dia buat aku macam ni. Dasar jantan tak guna!”

Aneesa yang berada di dalam bilik Dzaquan mula berasa resah gara-gara menantikan kemunculan Dzaquan yang tengah asyik bersiram. Dia menjeling pada jarum jam yang berada pada dinding bilik Dzaquan. Sudah 20 minit masa berlalu.

“Amboi! Bersiram mengalahkan tuan puteri pulak!” rungut Aneesa geram.

Tidak lama kemudian pintu bilik air terbuka. Langkah kaki Dzaquan kaku di situ apabila melihat Aneesa setia menantinya di pintu bilik air.

Segera tangannya disilangkan pada bahagian dadanya yang terdedah. Sangkanya Aneesa sudah keluar gara-gara penat menanti. Rupa-rupanya tidak. Aneesa masih lagi setia menantinya di situ. Dia nampak kesungguhan yang cuba ditunjukkan Aneesa.

“Hai! Sejak bila pulak suka intai orang?” sindir Dzaquan.


Perangai Aneesa yang terlebih ‘berani’ itu benar-benar membuatkan dia marah. Tapi, ‘berani’ Aneesa itu tak kena pada tempatnya dan dia takut andai suatu hari nanti gadis itu akan ditimpa sesuatu kerana sifatnya yang terlalu ‘berani’.

Aneesa berdeham perlahan. Wajahnya mula terasa panas dengan kata-kata Dzaquan sebentar tadi. Segera dia memalingkan badan apabila menyedari Dzaquan yang tidak berbaju. Dia terpaksa menanti Dzaquan di situ kerana bimbang Dzaquan pasti akan menggelakkan diri daripadanya.

“Ce...cepatlah siap! Aku nak cakap dengan kau ni,” arah Aneesa lagi. Cuba menyembunyikan perasaan gementarnya itu.

Dzaquan yang melihat reaksi gugup Aneesa itu hanya tersenyum. Terasa lucu dengan reaksi yang ditunjukkan Aneesa itu. Tadi nampak macam berani sangat.

Dia sedar sudah seminggu Aneesa memburunya hanya kerana mahukan persetujuannya seperti yang diberitahu Datuk Zaman tempoh hari. Padanya, tugas itu terlalu berat untuk dilaksanakan.

Siapalah dia untuk menghalang kemahuan Aneesa? Seperti kata Aneesa, dia cuma orang luar. Itu sahaja. Hatinya berbelah bahagi. Separuh untuk Datuk Zaman yang telah banyak membantunya dan separuh lagi untuk Aneesa yang sudah banyak kali terluka dengan tindakannya.

Aneesa pasti akan terluka lagi jika dia menghalangnya. Sedangkan dia dapat melihat dengan jelas kesungguhan Aneesa yang mahukan masa untuk bersendirian.

“Betul ke papa cakap kau nak ke luar negara?” Akhirnya terluah juga persoalan itu daripada mulut Dzaquan.

Perlahan-lahan Aneesa menoleh. Dia menatap wajah Dzaquan yang tampak segar setelah usai mandi. Patutlah Dzaquan selalu mengelak daripada bersemuka dengannya. Rupa-rupanya lelaki itu telah mengetahui tujuannya yang sebenar.


“Hmm...” jawab Aneesa ringkas. Debar dalam menanti jawapan daripada Dzaquan.

“Kalau aku tak izinkan?” duga Dzaquan.

“Tolong jangan buat aku macam ni. Aku rayu pada kau, izinkan aku pergi.” Cepat-cepat Aneesa merayu.

Dia benar-benar cemas dengan pertanyaan Dzaquan tadi. Dia tidak boleh kalah sebelum berjuang. Dia sudah tidak sanggup untuk tinggal sebumbung dengan lelaki itu.

“Papa cakap kau nak pergi sebab penat. Penat dengan kerenah aku, penat dengan pertunangan kita, penat dengan semuanya. Betul ke?” soal Dzaquan lagi. Sengaja dia menggunakan nama Datuk Zaman sedangkan dia sendiri telah mendengar semuanya dengan jelas.

“Ya! Betul. Semuanya betul. Aku terlalu penat,” balas Aneesa pantas.

Dia tidak mahu berlama-lama di situ. Dia sudah tidak betah menahan pandangan Dzaquan yang sedari tadi terarah padanya. Dia takut jika dia terus melawan pandangan Dzaquan dan akhirnya dia juga yang tewas. Seperti yang berlaku tempoh hari.

“Jadi tolonglah izinkan aku pergi.”

“Aku izinkan kau pergi. Tapi aku takkan lepaskan kau,”potong Dzaquan pantas. Dia benar-benar terkejut dengan kata-kata Aneesa itu.Seperti mahu dilepaskan daripada ikatan yang sudah wujud di antara mereka.

“Janji dengan aku yang kau akan balik semula sebab kau tetap tunang aku dan bakal isteri aku.”

Betulkah itu katanya? Untuk mengambil Aneesa sebagai isterinya? Bolehkah dia menerima gadis itu dalam hidupnya?

Lama Dzaquan memandang Aneesa. Dia mahukan kepastian daripada gadis itu sebelum dia memutuskan untuk mengizinkan Aneesa ke luar negara ataupun tidak. Meskipun dengan hati yang berat, dia terpaksa melepaskan Aneesa buat seketika. Dia yakin suatu hari nanti Aneesa pasti akan kembali padanya.

Pandangan mereka bersatu buat seketika sebelum Aneesa mengangguk perlahan. Aneesa tidak peduli jika dia terpaksa kembali pada Dzaquan. Apa yang dia tahu, dia sudah bebas. Meskipun untuk sementara waktu.





ps: DUKACITA dimaklumkan, DTA! tak sempat masuk pbakl 2013. Apa-apa berita mengenai DTA akan dimaklumkan kemudian. Yang pastinya, DTA untuk terbitan bulan JUN 2013

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.