Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
169,003
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11
WERN, Azri dan Md.Nor saling berpandangan antara satu sama lain. Apabila melihatkan Dzaquan yang tidak putus-putus bertanyakan soalan mengenai perkahwinan pada Ustaz Nawi. Sedangkan tajuk pada hari itu adalah ‘Talak’.

Ustaz Nawi yang mendengar soalan Dzaquan hanya mengangguk. Kemudian dia tersenyum.

“Awak dah tak sabar nak kahwin ke, Dzaquan?”

Dzaquan hanya tersengih mendengar usikan Ustaz Nawi itu. Segera dia menggeleng-geleng. Segan pula dia bila diusik begitu di hadapan kawan-kawannya.

“Tak, ustaz. Saya cuma tanya. Nak tambahkan ilmu,” jawab Dzaquan sambil menjeling ke arah rakan-rakannya yang sedang memandang pelik ke arahnya. Salahkah dia kalau bertanya? Lagipun setiap orang pasti akan berkahwin. 

Tiba-tiba ingatannya melayang pada pertemuan pertama dengan Aneesa. Kerana dia, gadis itu terluka. Tapi apa boleh buat, dia terpaksa mementingkan kebahagiaan sendiri dahulu.

“Okey, fasal soalan Dzaquan tadi. Umur minimum untuk kahwin...hmm... bagus soalan tu. Kalau ikutkan apa yang tertulis di dalam al-Quran, Surah An-Nisaa’ sebahagian daripada ayat 6 yang membawa maksud, ‘Dan ujilah anak-anak yatim itu sehingga mereka cukup umur (mencapai umur perkahwinan). Kemudian jika kamu nampak daripada keadaan mereka tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya maka serahkanlah kepada mereka hartanya’. Tapi di dalam undang-undang Islam, cukup umur ataupun baligh mengikut pendapat Mazhab Syafie ialah apabila seorang budak lelaki bermimpi keluar mani dan perempuan telah didatangi haid ataupun apabila mereka cukup berusia 12 tahun, maka mereka boleh dianggap dewasa.”

Dzaquan dan rakan sekelasnya hanya mengangguk dengan penjelasan Ustaz Nawi yang panjang lebar itu.

“Jadi tak ada umur spesifik yang ditetapkan sebagai umur minimum perkahwinan. Bermakna tak salah sekiranya berkahwin pada usia muda. Tetapi kita di Malaysia ada undang-undang kita sendiri. Di bawah undang-undang syariah, telah ditetapkan had umur minimum untuk berkahwin, iaitu pada usia 18 tahun untuk lelaki. Manakala 16 tahun bagi perempuan. Jadi Dzaquan, kalau awak ada niat untuk kahwin awak kena tunggu tahun depanlah ya.” Sempat lagi Ustaz Nawi mengusik Dzaquan. Anak muda itu hanya mampu tersengih. 

Md.Nor segera menoleh pada Dzaquan apabila Ustaz Nawi keluar dari kelas. Dzaquan buat-buat tidak mengerti akan reaksi yang terukir di wajah Md.Nor, Azri dan Wern.

“Kau nak kahwin? Biar betul,” luah Md.Nor seakan-akan tidak percaya dengan berita itu.

Siapa tidak kenal dengan Dzaquan? Anti perempuan. Kalau Dzaquan tak anti perempuan pun belum tentu ada perempuan yang suka akan Dzaquan yang sememangnya baran dan kaki samseng yang sangat terkenal di sekolah.

“Habis tu, kau tak nak kahwin?” soal Dzaquan pula. Soalan berbalas soalan. Belum pun sempat Md.Nor menjawab, Dzaquan bersuara lagi.

“Nabi tak mengaku umat tau kalau tak nak kahwin.” 

Md.Nor hanya mencebik. Tahu yang Dzaquan mahu mengenakannya balik kerana bertanyakan soalan itu padanya.

Wern dan Azri hanya ketawa. Lucu pula melihat wajah Md.Nor itu.

“Hisy kau ni! Kahwin? Siapa tak nak kahwin?” sanggah Md.Nor.

Dzaquan ketawa lagi. Lucu melihat Md.Nor yang menggelabah begitu. Pasti takut terdengar dek buah hati yang duduknya selang dua meja dari mereka.

“Tahu pun.”

“Tak adalah. Sebab macam tiba-tiba aje. Yalah, sebelum ni kau kan macam tak...suka...” Teragak-agak Md.Nor untuk meneruskan kata-katanya itu.

Dzaquan membulatkan matanya. Seakan-akan dapat meneka apa yang mahu dikatakan Md. Nor.

“Tak suka perempuan? Kau ingat aku ni gay ke?”

Md.Nor hanya tersengih.

“Kau gay ke?” soal Md.Nor lagi. Perlahan saja suaranya. Hampir dengar tak dengar saja butir bicaranya. Bimbang jika Dzaquan berkecil hati. Malah, sempat dia mengengsot menjauhi Dzaquan. Bimbang juga jika rakannya itu sukakan golongan sejenis. Tak ke haru dirinya.

“Gila kau!”

“Fuh, lega,” ujar Md.Nor sambil membetulkan duduknya. Kemudian dia tersengih pada Dzaquan yang sedang bengang dengannya.

“Kenapa tiba-tiba tanya umur minimum kahwin? Macam nak kahwin dalam waktu terdekat aje?” soal Wern pula.

Md.Nor dan Azri mengangguk. Tanda setuju dengan soalan yang dikemukakan Wern. Pelik benar rasanya gelagat yang ditunjukkan Dzaquan itu. 

“Ada pulak macam tu. Aku cuma tanya bagi pihak Md.Nor aje. Nampak dah kemaruk sangat dengan Auni tu,” balas Dzaquan sambil menunjukkan Md.Nor dan Auni. Sengaja dia menggunakan rakannya itu untuk melepaskan diri daripada soalan Wern.

“Eh? Aku pulak yang kena.”Terkejut Md.Nor dengan jawapan Dzaquan itu. Sempat pula dia menjeling pada Auni yang kebetulan memandang ke arahnya. Kemudian dia tersenyum pada buah hatinya itu.

“Hah, kan aku dah cakap. Tengah angau,” sambung Dzaquan lagi. Md.Nor yang terkantoi hanya mampu tersengih. 

Namun jauh di sudut hati Dzaquan, dia bersyukur kerana rakan-rakannya itu belum mengetahui akan ‘pinangan’ yang telah diterimanya itu. Dia tidak pasti reaksi yang akan diberikan rakannya itu jika mereka mengetahui perkara ini. Tentu masak dia disindir mereka.



QISYA mengeluh sendirian. Rasa bersalah menyelubungi hatinya kerana melancarkan ‘perang’ dengan abangnya. Semua disebabkan persetujuan yang dibuat Dzaquan. Entah mengapa dia tidak sanggup melepaskan Dzaquan. Apatah lagi untuk berkongsi abangnya itu dengan perempuan lain.

Padanya, Dzaquan hak miliknya dan tiada siapa berhak ke atas abangnya itu. Tapi sampai bila harus dia bersikap sedemikian? Kalau dia tidak lepaskan Dzaquan sekarang, suatu hari nanti dia terpaksa juga lepaskan abangnya itu.

“Qis...”

Qisya menoleh apabila Dzaquan memanggil namanya. Dilihatnya Dzaquan teragak-agak untuk melabuhkan punggung di hadapannya.

“Duduklah, bang,” pelawa Qisya.

Dzaquan tersenyum. Tidak sangka yang Qisya akan mempelawanya. Sudah sejukkah hati adiknya itu?

“Qis tak marahkan abang lagi?” duga Dzaquan. Dia berharap benar yang marah adiknya itu sudah reda. Sudah terlalu lama dia tidak mendengar celoteh daripada mulut adiknya itu. 

Kebiasaannya ada sahaja cerita yang mahu dikongsi Qisya. Tapi tidak lagi selepas dia setuju untuk berkahwin dengan Aneesa. Qisya terus membisu dan langsung tidak melayan segala pertanyaannya.

“Abang, betul ke nak kahwin dengan anak Datuk tu?”Qisya tidak menjawab pertanyaan Dzaquan, sebaliknya mengajukan soalan kepada abangnya itu. 

Lama Dzaquan mendiamkan diri. Wajah Qisya dipandang sekilas. Kemudian dia menarik nafas.Tidak tahu ke Qisya yang dia terpaksa membuat pilihan itu? Kerana tidak sanggup untuk berpisah dengan Aniq dan Zafrul. Dan itulah pilihan yang sukar buatnya. Terpaksa mengorbankan perasaannya sendiri demi kepentingan adik-adiknya.

“Qis tahu kan itu aje caranya untuk pertahankan keluarga kita. Kalau abang tak buat pilihan tu, Qis sanggup ke berpisah dengan Aniq, Zaf dan mungkin jugak terpaksa berpisah dengan abang?”

Qisya segera menggeleng-geleng. Itulah keluarga yang dimilikinya, mana mungkin dia sanggup berpisah dengan mereka. Meskipun dia tidak sanggup berpisah dengan adik-adiknya, tetapi dia juga tidak mahu menerima perkahwinan di antara abangnya dengan anak Datuk Zaman itu.

“Sebab tulah abang terima cadangan Datuk Zaman. Qis kena faham, dengan cara tu aje abang boleh satukan kita adik-beradik.”

Dzaquan cuba memujuk adiknya agar memahami kenapa dia terpaksa memilih pilihan itu. Itu semua disebabkan dia terlalu sayangkan adik-adiknya dan tidak sanggup berpisah dengan mereka.

Qisya mula menangis. Tidak dapat menerima hakikat yang abangnya itu terpaksa ‘menjual’ diri kerana mereka adik-beradik. Kehadiran mereka telah memberikan satu bebanan kepada Dzaquan.

“Maafkan Qis, bang. Sebab kami abang terpaksa berkorban. Kami dah susahkan abang.”Tangisan Qisya semakin kuat kedengaran.

Dzaquan segera bangkit mendekati adiknya itu. Dipeluk Qisya yang sedang menangis. Tangan kanannya mengusap-usap kepala Qisya. Cuba memujuk adiknya itu.

Kalau Qisya merasakan pilihan yang ada itu terlalu kejam, apatah lagi dia yang terpaksa memikulnya? Tapi apa lagi pilihan yang dia ada? Meskipun terpaksa, dia tetap akur dengan pilihan itu.

“Syy... bukan salah Qis. Adik abang tak ada salah apa-apa dengan abang. Abang buat semua ni sebab abang sayang adik-adik abang.”

Pelukan Qisya pada Dzaquan semakin erat. Namun tiada tanda yang dia akan berhenti menangis.

“Dahlah tu, abang tak nak arwah ayah marah abang sebab buat Qis menangis macam ni,” pujuk Dzaquan lagi. Menggelabah juga dia melihat Qisya menangis sebegitu rupa.

Pelukan pada Dzaquan dilepaskan. Dia menyapu air matanya dengan belakang tangan. Wajah Dzaquan dipandang seketika.

“Kita rayu pada Datuk ya, bang? Cakap dengan dia yang abang tak boleh terima cadangan dia, tapi abang perlukan dia untuk dapatkan Aniq dan Zaf. Bolehkan, bang? Kita rayu pada Datuk,” ujar Qisya dengan tiba-tiba. Suaranya kedengaran tenggelam timbul kerana menangis sebentar tadi.

Dzaquan yang mendengar kata-kata Qisya hanya mampu tersenyum hambar. Seketika kemudian dia menggeleng-geleng.

“Tak boleh dik, abang dah cuba.”

Dzaquan sedar yang dirinya memang tidak mempunyai cara lain lagi. Hanya itu sahaja jalan yang dia ada untuk mempertahankan adik-adiknya. 

Perkahwinannya dengan Aneesa sudah pasti terjadi meskipun dia terpaksa mengecewakan Qisya dan Aneesa dengan pilihan yang dibuatnya itu. Dia akur dengan fitrah hidupnya. Meskipun dia merasakan dunia ini terlalu kejam buatnya.




ps: Terima kasih sbb baca "DIA TUNANG AKU!". Harap sukakan DTA macam yg anda sukakan PA.
Kasih berganda2x diucapkan klau tinggalkan komen sekali...hehe.
Mana tau kot2x terasa nak up bab baru dalam waktu yang singkat ^___^v
Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.