Air mata Aneesa laju membasahi wajahnya. Dia terlalu penat. Penat dalam usaha mempertahankan hubungan dengan kekasih hati dan dengan mudah ia dihancurkan orang tuanya sendiri.
Seingat Aneesa, itulah kali pertama dia melihat papanya naik berang. Meskipun sebelum ini dia selalu bersikap acuh tak acuh dengan papanya. Tapi papanya tidak pernah ambil peduli.
Apatah lagi untuk melarang dia. Malah papanya langsung tidak kisah sewaktu dia menghabiskan masanya dengan merayau sepanjang hari. Sehinggakan dia juga tidak terkecuali daripada dipanggil guru disiplin gara-gara memonteng sekolah.
Aneesa menggeleng-geleng. Tidak percaya dengan kata- kata papanya itu. Baginya, kata-kata papanya itu tidak boleh dipercayai. Mana mungkin dia percaya pada insan yang telah menyebabkan ibunya merana gara-gara cintanya dikhianati.
“Tak! Papa tipu Neesa. Am bukan orang yang macam tu. Neesa...” Aneesa mula menggeleng-geleng. Terasa tidak percaya dengan kata-kata papanya itu.
Aneesa sendiri hairan dari mana dia mendapat kekuatan sebegitu untuk melawan papanya. Malah begitu nekad untuk berkahwin dengan Amsyar. Meskipun umurnya baru sahaja menginjak 16 tahun.
Gila? Ya! Dia memang gilakan insan yang bernama Amsyar. Gila sehingga sanggup melawan papanya sendiri.
Bibir Aneesa mengukir senyuman. Terasa puas dengan kata-kata terakhir papanya itu. Seolah-olah dia sudah menang dalam pertengkaran ini.
“Ya, papa akan kahwinkan Neesa. Tapi bukan dengan budak tak guna tu. Neesa akan kahwin dengan menantu pilihan papa!” sambung Datuk Zaman lagi sambil melangkah meninggalkan Aneesa sendirian. Dia tidak sanggup melihat Aneesa yang terlalu mudah percayakan Amsyar.
“Papa!” jerit Aneesa kuat.
Kecewa dengan sikap papanya itu. Sangka Aneesa,cintanya pada Amsyar akan bersatu. Bukan ini pintanya. Sungguh, bukan ini yang dimahukannya.
Dia tidak mahu dikahwinkan dengan orang yang tidak dikenalinya, malah dalam usia yang masih muda. Dia masih belum puas menikmati keseronokan dunia.
Aneesa mendengus kuat saat anak matanya melihat wajah insan yang tidak dinantinya itu. Insan yang sentiasa mencabar kesabarannya. Dengan pantas dia menyapu air matanya yang sedari tadi hangat membasahi wajahnya. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan insan itu.
Kartini menghadiahkan senyuman sinis pada Aneesa yang sedang menyapu air mata. Jauh di sudut hati, dia benar-benar berterima kasih pada papanya kerana membuat satu keputusan yang begitu tepat.
Tindakan papanya untuk menyatukan Aneesa dengan budak kampung itu merupakan satu berita yang paling menggembirakan hatinya. Secara tak langsung tindakan papanya itu membantunya untuk mendapatkan Amsyar.
“Kau buat apa kat sini?” bentak Aneesa kuat.
Dia yakin kehadiran Kartini di biliknya itu semata- mata untuk terus menyakitkan hatinya seperti yang selalu dilakukan gadis itu.
“Aik? Marah nampak?” balas Kartini pula.
Seraya dengan itu dia menyentuh dada, buat-buat terkejut dengan bentakan Aneesa sebentar tadi. Seketika kemudian dia tertawa kecil apabila melihat wajah Aneesa yang mula kelihatan tegang. Malah, pandangan tajam turut diberikan gadis itu.
“Akak sayang, tak elok tau marah-marah macam ni. Nanti rosak semua majlis yang papa buat khas untuk kau ni,” ujar Kartini lagi. Sengaja mahu menaikkan rasa marah Aneesa.
“Diam! Aku tak nak tengok muka kau kat sini. Keluar!” bentak Aneesa kuat.
Seraya dengan itu dia bangkit untuk menerkam ke arah Kartini. Tetapi Kartini lebih pantas bertindak. Terus saja dia meloloskan diri apabila melihat Aneesa yang mahu menerkam ke arahnya.
“Tak guna! Saja nak sakitkan hati aku lagi!” bentak Aneesa dari dalam bilik.
Malah, telinganya dapat mendengar dengan jelas ketawa sinis Kartini dari luar biliknya. Tentu adik tirinya itu berasa gembira dengan apa yang sudah dilakukan papanya.
Kedua-dua tangannya sudah menggenggam erat. Cuba melawan rasa sakit hati dengan tindakan papanya yang dirasakan tidak adil.
Tanpa sedar air matanya sekali lagi membasahi wajahnya. Perlahan-lahan dia melabuhkan punggung pada permaidani lembut yang terhampar di biliknya itu. Dan kemudian dia memeluk erat lututnya. Air matanya semakin laju membasahi wajahnya.
“Ya ALLAH, Neesa,” tegur satu suara yang terkejut dengan keadaan Aneesa.
Aneesa terus berkeadaan begitu. Langsung tidak tergerak di hatinya untuk mengangkat wajah.
Alangkah baiknya jika itu adalah suara ibu, bisik hati Aneesa.
Tiba-tiba sahaja dia jadi rindu pada arwah ibunya yang telah lama meninggalkan dirinya. Kalau ibu masih ada, sudah tentu semua ini tak akan berlaku. Dan pastinya tiada sesiapa yang akan menyakitkan hatinya termasuk papanya. Kerana dia yakin ibunya pasti akan membela nasibnya.
“Kenapa ni?” tanya Mak Ani yang mula berasa bimbang apabila melihat Aneesa menangis sebegitu.
Terus dia duduk di sisi Aneesa. Bahu gadis itu disentuh perlahan. Dia turut bersimpati dengan nasib malang Aneesa. Tapi apa yang boleh dilakukannya? Dia hanyalah pembantu saja di rumah itu. Bagaimana untuk membela nasib Aneesa jika nasibnya sendiri pun dia tidak pasti?
“Kenapa papa buat Neesa macam ni? Neesa ni bukan anak papa ke?” soal Aneesa yang berasa begitu kesal dengan tindakan papanya itu.
Sehinggakan Mak Ani berasa serba salah dibuatnya. Jawapan apa yang harus diberikan pada anak gadis itu? Kerana dia sendiri tidak pasti, kenapa Datuk Zaman mengambil tindakan seperti itu? Apatah lagi dengan usia Aneesa yang masih mentah.
“Kenapa cakap macam tu? Neesa kan anak gadis Datuk.”Seboleh yang mungkin, Mak Ani cuba memujuk Aneesa.
“Anak? Kalau benar Neesa ni anak papa, kenapa papa hancurkan hati Neesa? Dan majlis yang papa buat ni untuk apa? Neesa tak perlukan majlis ni! Neesa dah ada kekasih!” bentak Aneesa lagi.
Perkataan ‘anak’ benar-benar membuatkan Aneesa naik angin. Dia tidak bodoh dan dia juga tidak buta untuk memahami maksud di sebalik sikap dingin Datuk Zaman terhadapnya.
Layanan Datuk Zaman padanya begitu berbeza jika dibandingkan dengan layanan papanya pada Kartini. Dia sedar yang Datuk Zaman terpaksa menerima hanya disebabkan wasiat yang ditinggalkan ibunya. Jika tidak disebabkan wasiat itu, kewujudannya juga pasti tidak diketahui papanya.
Mak Ani yang terkejut dengan bentakan Aneesa segera menyentuh dadanya. Kencang degupan jantungnya. Dia tidak sangka kata-katanya itu akan membuatkan Aneesa berubah seperti itu.
“Mak Ani kena tolong Neesa,” rayu Aneesa dengan tiba- tiba. Terus saja dia memegang lengan pembantu rumahnya itu.
Mak Ani jadi kaget. Langsung tidak menyangka yang gadis itu akan merayunya pula. Tebal kerutan yang terbentuk di wajah Mak Ani.
“Tolong apa, Neesa? Kalau boleh Mak Ani tolong,” ujar Mak Ani teragak-agak.
Entah mengapa dia berasa tidak sedap hati dengan pertolongan yang dipinta Aneesa itu. Seolah-olah dia sudah dapat mengagak apa yang dimahukan gadis itu.
“Neesa nak lari dari rumah ni. Mak Ani kena tolong Neesa.”
“Ya ALLAH, Neesa! Neesa cakap apa ni? Kalau Neesa lari dari sini, mana Neesa nak tinggal?”
Benar seperti apa yang diduga Mak Ani sebentar tadi. Anak gadis itu mahu melarikan diri gara-gara terlalu ikutkan rasa kecewa yang dirasainya itu.
“Neesa tak peduli! Neesa ada ramai kawan. Neesa boleh tinggal dengan mereka,” balas Aneesa lagi. Nekad benar dia dengan apa yang baru diluahkannya itu.
“Kawan Neesa yang mana? Yang kutu rayau tu?” sindir Mak Ani pantas.
“Mak Ani!” jerit Aneesa kuat. Tidak disangka yang niatnya sebentar tadi membuatkan dirinya disindir sebegitu oleh Mak Ani.
“Neesa nak jadi anak derhaka? Dah lupa janji Neesa pada ibu Neesa?” soal Mak Ani lagi.
Nadanya juga sudah tidak sekeras tadi lagi.
Sengaja dia menyebut perihal ibu Aneesa. Kerana dia yakin yang dia dapat mengubah keinginan gadis itu. Hanya itu sahaja kelemahan Aneesa.
Lambat-lambat Aneesa menggeleng-geleng.
Mana mungkin dia melupakan janji yang dilafazkan pada ibunya dulu? Tapi bagaimana untuk dia tunaikan janji itu kalau dia sudah tidak sanggup hidup di bawah bumbung yang sama dengan papanya?
“Habis tu. Kenapa nak lari? Sedangkan Neesa dah janji dengan ibu Neesa yang Neesa akan tinggal dengan papa Neesa, kan? Neesa tahu tak yang tindakan Neesa tu boleh buatkan ibu Neesa tak tenang?” sambung Mak Ani lagi.
Dia memandang wajah Aneesa lama. Semakin menebal rasa simpatinya buat Aneesa. Perlahan-lahan dia menyentuh jari-jemari Aneesa. Digenggam erat tangan gadis itu. Cuba memberi kekuatan pada Aneesa.
“Tapi Neesa tak boleh terima apa yang papa buat pada Neesa. Neesa tak boleh terima, Mak Ani! Papa tak boleh buat Neesa macam ni!” luah Aneesa lagi.
Kalau sebelum ini dia masih boleh bersabar dengan sikap dingin papa terhadapnya. Tetapi bukan dengan berita yang mengejutkan ini.
Untuk apa papanya buat majlis ini? Sedangkan dia sudah mempunyai kekasih. Dan dia tak ingin dijodohkan dengan orang yang langsung tidak dikenalinya.
Mak Ani mengeluh perlahan. Dia benar-benar mati akal. Tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan agar Aneesa mengubah keputusannya. Masa sudah semakin suntuk. Sekejap lagi majlis akan berlangsung.
Dia sendiri pelik dengan sikap Datuk Zaman yang tiba-tiba sahaja mahu melangsungkan majlis ini. Sedangkan anak itu masih lagi bersekolah. Dah gila agaknya!
“Alah, papa Neesa kan cuma suruh tunang aje, bukan kena kahwin pun. Neesa ni pulak, menangis macam dah kena paksa kahwin aje,” komen Mak Ani selamba. Dia benar-benar tiada alasan lain yang mahu diberikan pada gadis itu.
Terus anak mata Aneesa membulat. Terasa seperti tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya itu. Dia terdiam seketika. Sedikit sebanyak kata-kata Mak Ani itu melekat di kepalanya. Secara tak langsung, air matanya turut terhenti.
Eh eh? Aku ke yang keterlaluan?
“Tunang tak semestinya kena kahwin. Kalau ada jodoh kau orang, kahwin. Kalau tak ada, nak buat macam mana, kan?” sambung Mak Ani lagi apabila melihatkan Aneesa yang sudah pun berhenti menangis.
Seolah-olah anak gadis itu terpujuk dengan kata-katanya sebentar tadi. Air mata Aneesa disapu dengan jari-jemari tuanya.
Tidak sangka yang dia berjaya memujuk Aneesa. Tapi mati aku kalau Datuk tahu apa yang aku cakapkan pada anak dia.
Betul juga kata Mak Ani. Dia cuma kena paksa tunang saja, bukannya kena kahwin. Kenapalah dia bodoh sangat sampai menangis macam tu sekali? Menangis bagai nak rak. Hisy, buat malu saja.
Mak Ani menggeleng-geleng. Seketika kemudian senyuman lebar terukir di wajahnya apabila melihat wajah Aneesa yang kelihatan merah. Mungkin berasa malu padanya kerana baru sebentar tadi gadis itu menangis teresak-esak.
ps: Terima kasih sbb baca "DIA TUNANG AKU!". Kasih berganda2x diucapkan klau tinggalkan komen sekali...hehe. Mana tau kot2x terasa nak up bab baru dalam waktu yang singkat ^___^v