Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
239,274
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

TERCUNGAP-CUNGAP Latif yang selaku pengawas, berlari mendapatkan cikgu disiplin, iaitu Cikgu Salleh atau lebih dikenali dengan gelaran Misai Tebal.

“Cikgu! Cikgu! Cikgu!” jerit Latif kuat.

Cikgu Salleh yang baru saja melabuhkan punggung segera bangkit setelah namanya dijerit kuat oleh Latif. Cikgu Zaki dan Cikgu Amin turut sama bangkit. Pasti perkara yang sama berlaku lagi.

“Kenapa, Latif?”

“Cikgu...cikgu...” ujar Latif terputus-putus.

Semputnya belum hilang, Cikgu Salleh dah mula menyoal. Kalau lambat nanti aku jugak yang kena, rungut Latif perlahan.

“Dia orang gaduh lagi ke?” soal Cikgu Zaki yang seakan-akan dapat membaca berita yang mahu disampaikan Latif.

Pantas Latif mengangguk bagaikan burung belatuk saja gayanya. Mujur Cikgu Zaki memahaminya. Kalau tidak percuma saja dia dimarahi Misai Tebal itu yang memang terkenal dengan kegarangannya.

“Budak tak guna! Tak serik-serik jugak! Tak habis-habis bergaduh aje kerjanya,” bebel Cikgu Salleh sambil mula melipat kedua-dua belah lengan bajunya. Bagaikan sedang bersiap sedia untuk ke medan perang.

“Kat mana Latif?” soal Cikgu Zaki lagi.

Kalau budak tu lagi, biar aku aje yang selesaikan. Dalam bulan ni aje dah lima kes melibatkan mereka. Mati mereka kalau Cikgu Salleh yang pergi, fikir Cikgu Zaki.

“Kat pintu belakang.”

“Cikgu, biar saya dengan Cikgu Amin aje yang pergi. Kami rasa kami boleh leraikan mereka,” usul Cikgu Zaki tiba-tiba.

Terbeliak anak mata Cikgu Amin apabila Cikgu Zaki mengusulkan namanya agar turut serta dalam meleraikan pergaduhan pelajarnya itu. Jantungnya mula berdegup kencang.

“Eh, cikgu? Biar betul ni. Cikgu tahu kan saya ni...” soal Cikgu Amin lemah.

Cikgu Zaki menoleh sekilas pada rakannya itu. Dia mengerti apa yang dimaksudkan Cikgu Amin sebentar tadi. Rakannya itu memang tidak sama seperti lelaki lain. Gaya jalan dan cara percakapannya agak lembut sedikit daripada lelaki lain.

“Jom!” potong Cikgu Zaki sambil menarik tangan Cikgu Amin untuk beredar. Dia mahu beredar cepat sebelum Cikgu Salleh membuka mulut untuk melarang mereka.

Dzaquan yang mahu mengangkat penumbuknya terhenti saat anak matanya melihat Cikgu Zaki melangkah laju ke arahnya. Kolar baju pelajar yang dipegangnya tadi turut dilepaskan.

Seakan-akan memahami tindakan yang dilakukan Dzaquan, rakan-rakannya yang lain, iaitu Wern, Azri dan Md.Nor turut melepaskan mangsa mereka. Seperti Dzaquan, mereka hanya berdiri berhadapan dengan Cikgu Zaki dan Cikgu Amin sambil membetulkan pakaian mereka yang sudah pun kotor akibat pergaduhan sebentar tadi.

Munir mengambil peluang ini dengan melepaskan tumbukan kuat pada wajah Dzaquan. Hampir rebah Dzaquan dibuatnya. Mujur dia sempat berpaut pada Md.Nor yang berada tidak jauh daripadanya. Kalau tidak sudah tentu dia jatuh tersungkur.

Dzaquan tidak menyangka yang Munir akan mengambil kesempatan itu untuk membalas pukulannya tadi. Azri cuba membalas tumbukan Munir tetapi pantas dihalang Dzaquan.

Dzaquan sempat memegang lengan rakannya itu dan dia menggeleng-geleng. Tidak mahu Azri meneruskan niatnya itu.

Azri mendengus geram. Bertambah geram apabila melihat Munir yang ketawa mengejek padanya.

Dzaquan memang begitu. Baginya, kalau nak bertumbuk sekalipun biarlah tiada guru di situ. Rasa hormatnya pada guru-guru masih menebal walaupun sebilangan besar guru sudah mula memandang sinis terhadapnya kerana sering saja terlibat dalam pergaduhan.

“Ikut saya ke bilik disiplin,” arah Cikgu Zaki pada Dzaquan dan pelajar-pelajar yang terlibat dalam pergaduhan sebentar tadi.

“Kenapa bergaduh?” soal Cikgu Salleh pada Dzaquan.

Seketika kemudian pandangannya terarah pula pada rakan-rakan Dzaquan. Satu per satu wajah pelajarnya itu dipandang.

Mereka berempat hanya mendiamkan diri. Malas hendak menjawab pertanyaan sama yang dilempar pada mereka setiap kali terlibat dengan pergaduhan. Kerana mereka sedar cikgu disiplin itu pasti tidak akan mempercayai alasan mereka.

“Munir? Ali?” soal Cikgu Salleh pada Munir.

Kali ini wajah Munir dan rakan-rakannya pula dipandang satu per satu. Inilah dia wajah-wajah yang selalu terlibat dalam pergaduhan di sekolah mereka.

Lagak mereka macam pergaduhan dua buah kumpulan samseng yang sedang berebutkan sebuah kawasan pemerintahan aje, fikir Cikgu Salleh.

Apa nak jadi dengan budak-budak sekarang? Umur masih lagi mentah tetapi selalu saja terlibat dalam pergaduhan.

“Macam biasalah cikgu. Dia orang yang cari fasal dengan kami,” ujar Munir seperti biasa, cuba menegakkan benang yang basah. Walhal dialah punca tercetusnya pergaduhan diantara mereka.

“Mana ada cikgu, mereka yang mulakan. Kami cuma...” ujar Wern cuba mempertahankan diri dan rakan-rakannya meskipun dia sudah dapat menjangkakan jawapan daripada Cikgu Salleh yang pastinya tidak akan memihak kepada mereka walaupun mereka berkata benar.

“Alasan lapuk lagi?” pintas Cikgu Salleh sambil mengambil rotan.

“Tapi cikgu...” Md.Nor pula cuba bersuara. Tapi Cikgu Salleh lebih pantas bertindak.

“Lipat seluar kamu,” arah Cikgu Salleh tegas.

Kerana terpaksa, Dzaquan, Md.Nor, Wern dan Azri segera melipat seluar mereka. Mereka sedar memang itulah yang menanti mereka sebaik sahaja mereka melangkah ke bilik disiplin. Dan kemudian mereka membelakangkan Cikgu Salleh. Bersiap sedia untuk menerima hukuman.

Munir dan rakan-rakannya tersenyum puas apabila melihat Dzaquan dan rakan-rakannya bersiap sedia untuk menerima hukuman.

Belum pun sempat Cikgu Salleh melepaskan hukuman pertama pada betis Dzaquan, Cikgu Zaki tiba-tiba bersuara.

“Sepatutnya cikgu tanya dulu kenapa mereka bergaduh. Siasat dulu, jangan tahu jatuhkan hukuman aje,” ujar Cikgu Zaki perlahan.

“Tak adil kalau cikgu hanya jatuhkan hukuman pada mereka aje. Patutnya Munir dan pelajar lain yang terlibat dalam pergaduhan tu turut sama dikenakan hukuman. Itu yang sepatutnya,” sambung Cikgu Zaki lagi.

Seboleh mungkin dia cuba menggunakan bahasa yang lembut dengan Cikgu Salleh yang merupakan guru disiplin dan juga yang berpengalaman dalam bidang ini.

“Cikgu nak ajar saya pulak?”

“Saya tak berani nak ajar cikgu. Tapi saya cuma nak ingatkan cikgu, kut-kut cikgu terlupa. Kita sebagai guru, seharusnya bersikap adil dan saksama dengan semua pelajar,” balas Cikgu Zaki perlahan.

Seketika kemudian dia menarik nafas sebelum meneruskan kata-katanya.

“Saya tahu cikgu seorang yang adil. Sebab cikgu tetap jatuhkan hukuman pada Dzaquan, Wern, Azri dan Md.Nor sekiranya mereka didapati bersalah. Apatah lagi mereka ni merupakan ‘Top 4’ kat sekolah kita. Pelajar yang selalu naikkan nama sekolah daripada segi akademik dan jugak ko-kurikulum. Tapi dalam waktu yang sama mereka jugaklah yang terlibat dengan pergaduhan dan ponteng kelas? Tak gitu, cikgu?”

Cikgu Salleh terdiam. Dia sedar yang cikgu muda itu menyindirnya dalam diam. Dalam kegugupan dia mengarahkan Munir dan pelajar lain untuk bersiap sedia menerima hukuman.

“Kenapa dengan cikgu ni? Kami tak salah! Takkan kami pun kena sama?” bentak Munir kuat. Marah benar dia apabila diarahkan Cikgu Salleh agar turut bersiap sedia menerima hukuman.

“Ini sebagai pengajaran pada kamu agar tak bertumbuk lagi. Tak kira dalam kawasan sekolah atau luar,” ujar Cikgu Salleh.

Tapi Munir pantas menolak Cikgu Salleh dan berlalu keluar dari bilik itu.

“Munir! Munir!” panggil Cikgu Salleh. Geram kerana Munir berani bertindak sebegitu dengannya.

“Aku takkan lepaskan kau, bedebah!” jerit Munir dari luar bilik disiplin.

Dzaquan yang mendengar hanya membuang pandang pada rakannya. Dia yakin kata-kata itu ditujukan padanya kerana dialah yang selalu menjadi penghalang Munir dan rakan-rakannya itu.

Dalam diam dia berterima kasih pada Cikgu Zaki yang memang adil dan saksama dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.

Berbeza dengan Cikgu Salleh yang hanya tahu menggunakan rotan setiap kali pelajar melakukan kesalahan di dalam kawasan sekolah. Malah langsung tidak diselidik terlebih dahulu.

Baru saja mereka melangkah untukmeninggalkan bilik disiplin, Cikgu Salleh bersuara keras.

“Hah! Nak ke mana pulak tu? Jangan ingat saya akan lepaskan kamu sebab bergaduh tadi.”

Wern mendengus keras. Apahal dengan Misai Tebal ni? Munir tu boleh pulak blah macam tu aje. Mentang-mentanglah Munir tu anak sepupunya, boleh pulak lepas tangan macam tu aje. Ini betul-betul tak adil!

“Apa ni, cikgu? Munir tu...”

“Nanti dia pun kena sama. Ingat boleh lari ke? Saya dah kenal muka kamu semua,” pintas Cikgu Salleh sebelum Wern menghabiskan kata-kata.

Wern hanya mampu berbalas pandang dengan rakannya. Dalam terpaksa mereka tetap juga dijatuhi hukuman oleh Cikgu Salleh. Pada mereka, ini bukan kali pertama dan yang pastinya ini bukan kali terakhir.




ps: Terima kasih sbb baca "DIA TUNANG AKU!". Harap sukakan DTA macam yg anda sukakan PA. Kasih berganda2x diucapkan klau tinggalkan komen sekali...hehe.
Mana tau kot2x terasa nak up bab baru dalam waktu yang singkat ^___^v

Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.