WAN! Wan!” jerit Encik Ramli kuat sambil menolak daun pintu dengan kuat. Qisya yang sedang menampal baju sekolah Dzaquan tersentak.
Lain macam saja ayahnya hari ni. Tidak pernah dia melihat ayahnya marah sebegitu.
“Qis! Mana abang kau?” jerit Encik Ramli lagi. Kali ini pada anak gadisnya setelah tiada sahutan daripada Dzaquan.
Dzaquan yang sedang lena, terkejut apabila namanya dijerit berkali-kali oleh ayahnya.
“Ayah? Kenapa ni?” tanya Dzaquan sambil menggosok-gosok mata.
Mamainya masih ada. Hairan melihat wajah ayahnya yang begitu tegang. Malah, dadanya pula berombak laju seolah-olah menahan kemarahan.
Apa pulak kali ni? Cerita aku bertumbuk kat sekolah tadi dah sampai ke telinga ayah ke? Tapi lain macam aje ayah hari ni, bisik Dzaquan.
“Kau tanya aku kenapa? Dasar anak tak guna!” jerit Encik Ramli sambil tangannya membuka tali pinggang yang melilit kemas di pinggangnya.
Membulat anak mata Qisya melihat reaksi ayahnya itu. Malah, dia tidak menyangka yang ayahnya itu akan menggunakan tali pinggang bagi menggantikan rotan yang sudah patah dua hari yang lepas.
Dzaquan telan liur. Takkan sebab bertumbuk tadi ayah berang macam ni sekali?
“Ayah, Wan...”
Belum pun sempat Dzaquan menghabiskan kata-katanya, Encik Ramli sudah melibas pada badan Dzaquan. Bukan sekali tapi dua kali berturut-turut.
Dzaquan pula tidak sempat mengelak. Terjerit kuat anak sulungnya itu.
Qisya yang berada tidak jauh dari situ hanya mampu mengalirkan air mata. Tidak tahu apa yang harus dilakukan.
“Sakit, ayah...sakit...” rintih Dzaquan sambil cuba mengelak libasan seterusnya.
Tendangan pula singgah pada perut Dzaquan apabila libasannya tadi tidak mengenai sasaran. Tidak cukup dengan itu, tumbukan juga dilepaskan tepat pada badan dan wajah Dzaquan.
“Ayah...sakit, yah...”
“Sakit? Hati ayah lagi sakit dengan perangai kau ni!” bentak Encik Ramli kuat sambil tangan dan kakinya tidak henti membelasah Dzaquan.
“Ayah!” jerit Qisya kuat. Dia benar-benar terkejut dengan tindakan ayahnya yang sedang menggila itu.
Kemudian dia mengalihkan pula pandangannya pada Dzaquan yang menjerit kesakitan.
“Abang, mintak ampun dengan ayah, bang! Janji dengan ayah yang abang takkan buat lagi, takkan gaduh lagi!” teriak Qisya yang sudah pun basah dengan air mata.
Dia sudah tidak sanggup melihat Dzaquan dibelasah sebegitu teruk oleh ayahnya. Keadaan itu benar-benar membuatkan dia berasa tersepit.
“Bukan sebab bergaduh yang buat ayah kecewa,” ujar Encik Ramli sambil membuang tali pinggangnya itu.
Dia benar-benar kecewa dengan perangai Dzaquan.Tidak tahu cara apa lagi yang harus digunakan agar anaknya itu berubah. Berubah menjadi insan yang berguna dan dihormati masyarakat dan bukannya dikeji setiap hari.
Perlahan-lahan Dzaquan mengengsot menjauhi ayahnya. Takut untuk berada dekat dengan ayahnya. Dia benar-benar kesakitan. Sudahlah tadi dia bergaduh dan kemudiannya dia dirotan pula oleh guru disiplin. Dan sekarang dibelasah pula oleh ayahnya.
Kalau bukan sebab bergaduh yang ayah marahkan, habis tu sebab apa? Sebab apa sehingga dia dibelasah sebegitu? Encik Ramli biasa merotannya dan inilah kali pertama dia dibelasah ayahnya sendiri.
Encik Ramli terduduk sambil memandang lemah pada Dzaquan yang dibelasahnya sebentar tadi. Dia benar-benar kecewa dengan perangai Dzaquan yang sudah melampau itu.
“Ayah tak sangka yang Wan akan belasah Cikgu Salleh, sampai dia koma macam tu sekali,” ujar Encik Ramli lemah.
Dzaquan tergamam.
Bila masa pula dia belasah Cikgu Salleh? Dia sedar yang dia bukan pelajar yang baik. Tetapi dia tidak pernah melawan guru-gurunya kerana dia tahu, tidak berkat ilmu yang diterima jika melawan kata-kata guru.
Begitu juga dengan Qisya. Dia turut terkejut dengan kata-kata ayahnya sebentar tadi.
Tak! Tak mungkin! Selepas balik dari sekolah tadi, Dzaquan memang berada di hadapannya. Dia pasti itu bukan kerja Dzaquan.
Dzaquan bangun dan menghampiri ayahnya. Dipegang kaki ayahnya itu.
“Bukan Wan, ayah. Ayah kenal dengan Wan, kan? Wan tak kan lawan cikgu Wan. Apatah lagi untuk belasah cikgu Wan sendiri,” ujar Dzaquan bersungguh-sungguh.
“Bila, ayah? Tadi lepas sekolah, kami balik sama-sama. Abang tak ke mana pun, yah. Qis tahu sebab dari tadi abang tidur kat situ,” sahut Qisya pula.
Tidak sanggup dia melihat abangnya dibelasah sebegitu gara-gara tindakan orang lain.
“Habis tu, kalau bukan Wan siapa lagi? Siapa yang belasah Cikgu Salleh? Kalau tak ada angin tak mungkin pokok bergoyang, Wan,” balas Encik Ramli sambil memandang anak mata Dzaquan.
Dia percaya kata-kata anaknya itu. Tapi dia benar-benar kecewa kerana orang kampung menuduh itu semua angkara anaknya.
Semua itu disebabkan anaknya yang selalu sahaja terlibat dalam pergaduhan. Kalau tidak mesti orang kampung tidak akan menuduh Dzaquan dengan semudah itu.
“Wan tak tahu, ayah. Nanti Wan cuba tanyakan kawan-kawan Wan.”
“Tak! Ayah tak izinkan.”
“Tapi ayah...”
“Ayah tak nak lain pulak yang jadinya. Biar ayah yang selesaikan,” tegas Encik Ramli.
Dzaquan hanya mampu mendiamkan diri. Cukuplah yang ayahnya percaya dengan dirinya.
Dzaquan mendengus keras. Rasa pedih akibat luka siang tadi benar-benar menggigit badannya. Apalah malang nasibnya hingga dituduh sebegitu rupa.
Sedangkan dia tidak pernah sekalipun melawan guru-gurunya. Rasa hormatnya pada insan itu tetap tinggi walaupun dia selalu dimarahi dan diherdik gara-gara terlibat dalam pergaduhan dan ponteng sekolah.
Menyesal pula dia kerana menolak pelawaan Qisya yang mahu menyapu ubat pada belakangnya itu.
Dah tengah malam, pasti Qis dah lena diulit mimpi, gumam Dzaquan perlahan.
Kononnya tadi mahu tunjuk mogok di hadapan ayahnya. Kecewa kerana ayahnya tidak menyoalnya terlebih dahulu, sebaliknya terus saja dirinya dibelasah. Tapi Qisya buat tidak faham dan terus berlalu untuk tidur.
Hisy, ada adik pun tak guna, rungut Dzaquan yang panas dengan reaksi Qisya sebentar tadi.
“Tak tidur lagi?” soal Encik Ramli yang muncul dengan tiba-tiba.
Dzaquan terus mendiamkan diri. Gara-gara tidak berani bersemuka dengan ayahnya, dia terus buat-buat tidur.
Siapa sangka Encik Ramli boleh mengamuk sebegitu sekali. Itulah kali pertama dia melihat Encik Ramli naik berang sehingga dia dibelasah.
Alah, salah diri aku jugak sebab terlalu nakal, gumam Dzaquan.
“Dah sapu ubat?” soal Encik Ramli lagi setelah tiada jawapan daripada Dzaquan.
Langkah kaki Encik Ramli semakin hampir dengannya. Dzaquan makin tak keruan. Sudah serik rasanya dibelasah orang tuanya sendiri.
“Ayah tahu, Wan marahkan ayah. Ayah mintak maaf sebab tak tanya Wan dulu,” ujar Encik Ramli lagi.
Dia benar-benar kesal dengan tindakannya siang tadi. Sampai makan malam tadi pun semua anaknya diam. Seorang pun tak berani buka mulut gara-gara dia membelasah Dzaquan. Malah, Dzaquan pula awal-awal lagi melancarkan mogok lapar.
Encik Ramli menuangkan ubat pada tangannya lalu disapukan pada luka Dzaquan.
Dzaquan tersentak, terasa amat pedih apabila ubat itu disapukan pada lukanya.
“Alah, pedih sikit aje,” kata Encik Ramli sambil tersenyum melihat Dzaquan yang terkerut-kerut cuba menahan kepedihan.
“Kata samseng kat sekolah. Takkan pedih sikit tak boleh tahan,” sambung Encik Ramli lagi. Dalam diam dia menyindir anak lelakinya itu.
Dzaquan yang mendengar mengeluh perlahan, selamba pula dirinya disindir ayahnya itu.
Selesai menyapu belakang Dzaquan, Encik Ramli beralih pada kaki pula. Kata Qisya, kaki abangnya dirotan cikgu gara-gara bertumbuk di sekolah.
Sedih hati tuanya melihat luka-luka di badan Dzaquan. Jauh di lubuk hati, dia bimbang apa yang akan berlaku pada anaknya sekiranya dia terpaksa ‘meninggalkan’ mereka suatu hari nanti.
Pasti hidup anak mereka melarat lebih-lebih lagi anaknya yang sulung, iaitu Dzaquan. Anak yang sangat dibenci orang-orang kampung dengan segala masalah yang dibawanya.
Tetapi rasa bimbangnya kurang sedikit apabila teringatkan Qisya. Anak gadisnya itu begitu matang dan banyak membantunya dalam melakukan kerja-kerja rumah yang terpaksa digalas dalam usianya yang muda setelah isterinya melarikan diri. Mungkin kerana tidak tahan dengan kemiskinan mereka sekeluarga.
“Sampai bila Wan nak bertumbuk macam ni? Tak kesian kat ayah ke? Kalau Wan tak kesian kat ayah sekalipun, Wan kesiankanlah diri Wan. Takkan hari-hari Wan nak luka macam ni? Ayah tak nak orang kutuk anak ayah. Sebab ayah tahu, Wan budak baik. Pandai belajar,” rintih Encik Ramli perlahan. Dia tahu anaknya itu tidak tidur lagi.
Air mata Dzaquan menitis saat dia mendengar ayahnya merintih begitu. Bukan dia tidak kasihan ayahnya, tapi dia tidak tahu di mana silapnya. Sehinggakan dia sering kali terlibat dengan pergaduhan.
Mungkin kerana panas barannya yang sukar dikawal hinggakan dia mengambil jalan singkat dengan membelasah pembuli.
Namun Dzaquan tetap mendiamkan diri. Langsung tidak membalas setiap kata-kata yang diluahkan ayahnya itu.
“Ayah nak Wan janji dengan ayah. Janji dengan ayah yang Wan takkan bertumbuk lagi. Janji dengan ayah yang Wan takkan gunakan ‘buku lima’ untuk selesaikan masalah,”ujar Encik Ramli perlahan dan kemudian mengusap kepala Dzaquan.
Dzaquan tidak dapat menahan perasaannya lagi. Lalu bangkit dan menggapai tangan ayahnya. Berkali-kali dikucup tangan tua itu sambil meminta maaf.
“Maafkan Wan, ayah. Maafkan Wan sebab buat ayah susah hati. Wan janji yang Wan akan berubah. Wan janji, ayah.Wan janji...”
Encik Ramli hanya mampu tersenyum sambil menepuk bahu anak sulungnya itu.
“Dah, ayah dah maafkan Wan. Tidurlah, esok sekolah. Nanti lambat pulak ke sekolah.”
Air mata Qisya menitis perlahan saat telinga mendengar kata-kata yang lahir daripada mulut ayahnya. Entah kenapa dia berasa sebak. Seolah-olah ia adalah amanat terakhir daripada ayahnya. Rasanya begitu berbeza sekali.
Ya ALLAH, apa yang aku fikirkan ni? Insya-ALLAH, tiada apa-apa yang akan berlaku pada ayah, bisik Qisya perlahan.
Cuba menguatkan semangat dirinya sendiri. Niatnya tadi mahu menyapu ubat pada Dzaquan tapi dia melihat ayahnya menuju pada Dzaquan sambil membawa ubat di tangannya. Dan secara tak sengaja dia terdengar perbualan di antara ayah dan abangnya.
ps: Terima kasih sbb baca "DIA TUNANG AKU!". Harap sukakan DTA macam yg anda sukakan PA.
Kasih berganda2x diucapkan klau tinggalkan komen sekali...hehe.
Mana tau kot2x terasa nak up bab baru dalam waktu yang singkat ^___^v