Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 11

Selesai solat Subuh, Taufik bergegas ke bilik Laila untuk melihat keadaan Zaim. Ketika melintasi kawasan dapur Taufik nampak kelibat Mak Jah dan Laila yang sedang menyediakan sarapan, pantas langkah diatur laju menuju ke bilik Laila. Zaim masih nyenyak tidur. Sesekali anaknya itu dilihat terbatuk-batuk.

Tangan diletakkan di dahi Zaim untuk memeriksa suhu badannya. Taufik lega suhu badan Zaim sudah kembali seperti biasa, demamnya sudah reda cuma wajahnya kelihatan agak lesu. Dikucup lembut kening anaknya itu sebelum dia berhati-hati meninggalkan Zaim untuk berehat. Taufik sudah berkira-kira untuk membawa Zaim membuat pemeriksaan nanti. Anaknya itu perlu mendapat rawatan lebih lanjut.

Jam di tangan dijeling. Sudah pukul 11 pagi. Taufik masih lagi sibuk memeriksa laporan-laporan penilaian yang tersusun dia atas meja. Tiba-tiba dia teringatkan janjinya dengan Laila sebelum meninggalkan rumah pagi tadi.

“Dalam pukul 11 macam tu, awak tolong siapkan Zaim, boleh? Saya nak bawak dia ke klinik buat check-up.” arah Taufik ketika Laila sedang menungkan air kopi ke dalam cawan minumannya. Laila mengangguk. Sesenduk nasi goreng diletakkan dalam pinggan Taufik.

“Tapi saya nak minta awak tolong temankan Zaim nanti, sebab saya ada meeting penting dengan client dekat-dekat kawasan tu, selesai je meeting saya datang jemput awak semula.” tambahnya lagi.

“Baik tuan.” balas Aliya.

Selesai menyiapkan Zaim, Aliya menuju ke biliknya untuk bersiap. Aliya memakai sepasang baju kurung biru lembut dijodohkan dengan tudung biru gelap. Dia melihat penampilannya di cermin. Dia mengakui bakat yang ada pada Azie itu. Wajah Laila memang jauh berbeza dengan Aliya yang sebenar. Patutlah setelah sekian lama Taufik masih tidak dapat mengenali siapa dirinya yang sebenar.

“Kalaulah Taufik tahu siapa kau yang sebenarnya Laila, pasti kita dah dihalau dari sini kan? Tapi kau memang bersalah. Kau yang tinggalkan mereka dulu. Kau memang layak dihukum.” Aliya mengeluh, menyesali perbuatan sendiri.

Memikirkan tindakan yang bakal dilakukan oleh Taufik bila kebenaran terdedah membuatkan hati Aliya resah. Dia takut untuk kehilangan Zaim lagi buat masa sekarang. Dia masih belum bersedia. Malah dia sudah berjanji pada Zaim untuk tidak akan meninggalkannya lagi. Seandainya sejarah yang sama berulang dia pasti Zaim akan lebih disakiti. Kepalanya pening. Pening memikirkan masalah yang bakal menanti. Dia masih belum puas bermanja dengan anak kesayangannya itu. Masih banyak perkara yang ingin dilakukan bersama.

Kedengaran deruan enjin kereta di perkarangan rumah diikuti dengan bunyi hon yang agak kuat. Aliya tersedar dari lamunan. Dia kenal benar dengan bunyi kereta itu serentak dia bergegas mendapatkan Zaim yang sedang menonton telivisyen di ruang tamu.

“Sayang, papa dah sampai.” ujarnya sebelum sama-sama bergerak ke pakir. Zaim menggenggam tangan Aliya kemas tak mahu dilepaskan. Terdetik rasa gembira di hatinya, kerana hari ini merupakan hari pertama dalam hidupnya dia dapat meluangkan masa bersama kedua orang tuanya. Selama ini dia hanya dapat mengimpikannya saja. Tapi hari ini, impiannya bakal menjadi kenyataan.

“Terima kasih ma. Terima kasih sebab datang cari Im. Im sayang mama.” tuturnya perlahan. Aliya membalas dengan senyuman.

“Mama pun. Mama pun sayang Im. Sayang sangat-sangat.” balasnya dengan senyuman sebelum keduanya bergegas mendapatkan Taufik. Taufik hanya memerhatikan gelagat mereka dari jauh tanpa mencurigai apa-apa.

 

“Ok, hari ni Im boleh mintak ape je, papa akan tunaikan.” tutur Taufik gembira. Dia gembira setelah mengetahui Zaim tidak mengalami sebarang masalah yang serius, malah demamnya juga sudah sembuh. Doktor hanya menasihatkan supaya Zaim lebih banyak berehat. Dia juga gembira apabila mengetahui jerih perihnya selama ini telah membuahkan hasil. Syarikatnya telah berjaya mendapat tander penilaian semula yang diusahakannya selama ini. Syukur pada Illahi, usaha yang dicurahkan selama ini akhirnya diberkati.

“Nal, kita dah berjaya dapat tander tu.” lapor Taufik selesai musyuarat dengan pegawai-pegawai dari Majlis Perbandaran Klang tadi.

 “Alhamdulillah, tak sia-sia usaha kita selama ni.” balasnya. Masih terasa kepenatan yang terpaksa ditanggung demi menjayakan paperwork tersebut. Tidur malam pun sampai termimpi-mimpi. Kini berkat usaha dan tawakal akhirnya mereka berjaya.

“Hang kat mana? Kita kena celebrate berita baik ni sama-sama. Jom lunch dengan semua staff hari ni. Boss belanja.” selorohnya.

“Memang aku niat nak belanja semua. Tapi hari ni tak boleh rasanya Nal. Aku ada dengan Zaim dan Laila sekarang. Zaim demam, aku bawak dia pergi check-up, mujur takde apa-apa yang serius. Cuma doktor nasihat dia kena rehat lebih sikit.” balasnya.

“Dah tu plan kita macam mana?” soal Zainal.

“Jadi! Kau bagitau semua staff, ganjaran akan diberi esok. Hari ni aku nak manjakan anak aku yang sorang ni. Lagipun aku dah janji nak tunaikan permintaan dia hari ni.” balas Taufik.

“Kalau macam tu aku belanja yang ringan-ringan je hari ni. Esok kau bersedialah dengan yang berat-berat pulak.” ujar Zainal keriangan. Taufik tersenyum mendengarnya.

“Satu lagi aku nak pesan ni. Hang jangan nak feeling lebih-lebih pulak dengan Laila tu. Kang tangkap cintan aku tak tau. Ke sebenarnya hang memang rancang nak dating dengan dia haa…” Zainal sempat mengusik. Taufik ketawa mendengar lawak tahap cipan Zainal itu.

“Kau ni memang tak pernah berubah kan. Asyik nak mengenakan orang je kerjanya. Takpa la aku reda. Aku tak masuk ofis dah hari ni. Kalau ada apa-apa kita discuss esok.” ujarnya sebelum menghentikan perbualan.

 

“Awsome!” jawab Zaim setelah mendengar tawaran yang diberikan oleh Taufik. Kegembiraan jelas terbayang di wajahnya. Senyumnya sampai ke telinga. Wajah Aliya di sebelahnya ditatap penuh ceria.

“Hari ni aku nak seronok dengan papa dan mama puas-puas.” bisiknya dalam hati sambil otaknya ligat memikirkan aktiviti-aktiviti yang ingin dilakukan nanti.

“Im dah fikir ke Im nak minta apa?” soal Taufik ingin mengotakan janji.

“Im nak pergi taman.” jawabnya ringkas. Taufik mengangkat kening. Dia tak sangka permintaan Zaim seringkas itu.

“Im nak main buaian, main basikal pastu makan aiskrim.” tuturnya bersungguh.

“Untie, Im nak untie ajar Im main basikal macam kawan-kawan Im boleh? Sampai sekarang Im masih tak pandai lagi bawak basikal sendiri.” sayu kedengaran suara Zaim. Selama ini dia rasa sangat mengimpikan untuk mempunyai mama seperti rakan-rakan yang lain.

Rakan-rakannya di tadika sering bertanyakan perihal mama. Mereka hairan kerana tidak pernah melihat mamanya menghantar atau menjemput dari tadika seperti mama-mama mereka. Setiap kali mereka menceritakan tentang perkara-perkara yang dilakukan bersama dengan mama masing-masing, dia jadi jauh hati. Setiap kali itu jugalah dia jadi sangat teringin untuk berjumpa dengan mama.

Aliya membalas dengan senyuman yang penuh pengertian. Genggaman tangan Zaim takkan pernah dilepaskan. Sesungguhnya hanya tuhan yang tahu betapa berbunga hatinya bila mendapat peluang bermain-main dengan anaknya itu. Terasa usahanya selama ini terbalas. Akhirnya dia dapat meluangkan masa dengan anak kesayangannya itu. Serentak pipi gebu Zaim dikucup lembut.

Taufik memerhatikan gelagat Laila dan Zaim dengan senyuman. Gembira rasa hati melihat keadaan Zaim yang sudah mula ceria. Taufik tahu Zaim adalah seorang anak yang kuat semangat. Kehadiran Zaim setidak-tidaknya dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Aliya selama ini. Kereta dipandu menuju ke taman tasik yang berdekatan. Destinasi percutian sepetang mereka.

Aliya mencuri pandang ke arah Taufik menerusi cermin pandang sisi. Wajah yang sentiasa dirinduinya selama ini jelas di matanya. Wajah Taufik yang bersih, dengan rambut yang disisir kemas dan di hiasi kumis yang nipis melengkapkan penampilannya sebagai seorang lelaki yang bekerjaya. Senyuman Taufik mampu memikat hati mana-mana gadis yang mendekatinya. Dengan statusnya kini pasti ramai gadis yang ingin mendampinginya. Aliya hairan kenapa setelah sekian lama Taufik masih sendiri. Kenapa Taufik tidak mencari penggantinya. Bukankah itu kehendan ibu mertuanya dulu yang beria-ia hendak menjodohkan Taufik dengan menantu pilihannya? Zulaikha? Di mana Zulaikha?

Melihatkan keadaan Taufik yang semakin berjaya membuatkan Aliya lega. Dia lega kerana walaupun setelah ketiadaannya Taufik tetap dapat meneruskan kehidupan dengan baik malah lebih baik dari sebelumnya. Terasa panas kelopak matanya tiba-tiba. Aliya bergelut menahan perasaan yang sedang bergolak. Pandangannya dialihkan semula ke arah Taufik, serentak mata mereka bertemu. Taufik membalas dengan senyuman ceria. Aliya terkesima.

Setibanya di taman yang dijanjikan, Taufik terlebih dahulu membawa Aliya dan Zaim untuk menjamu selera di sebuah kedai makanan segera yang terdapat di dalam shoppnig complex yang betul-betul terletak berhadapan dengan taman berkenaan. Selesai makan barulah mereka ke tempat yang dijanjikan. Keceriaan jelas terpancar di wajah Zaim. Dia berlari-lari keriangan. Aliya mengikuti rapat di belakang.

Sesekali dia menoleh ke arah Aliya dan Taufik yang jauh ketinggalan. Senyumannya sampai ke telinga. Tanpa Zaim sedari terdapat sebuah kerusi di belakangnya. Aliya terkejut melihatkan keadaan itu, dia pantas menerpa ke arah Zaim yang tidak menyedari bahaya yang bakal menanti. Tubuh Zaim pantas dipaut. Akibat daripada momentum pertembungan itu tubuh mereka berdua terdorong ke belakang. Taufik yang mengekori cuba untuk memberikan bantuan. Akhirnya seperti kata pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga dan dihempap bata. Tubuh Aliya dan Zaim kini berada di atas ribaan Taufik. Merah muka mereka berdua menahan malu. Zaim hanya ketawa riang melihatnya.

Aliya lega. Zaim memang seorang budak yang cepat belajar. Dalam masa yang singkat dia sudah mampu untuk membawa basikalnya sendiri. Aliya tersenyum puas kerana dapat menunaikan permintaan anaknya itu. Macam budak baru dapat kaki, Zaim berbasikal dengan gembiranya ke sana-sini. Pergerakan Zaim dipantau dari jauh tak mahu sesuatu yang tak diingini terjadi.

“Im, main sampai kat hujung sana je tau, pastu pusing balik kat sini. Untie tunggu Im kat bangku ni.” pesannya pada Zaim yang semakin jauh dari pandangan. Aliya teragak-agak sebelum melabuhkan punggungnya di sebelah Taufik yang telah duduk di bangku terlebih dahulu. Buat seketika mereka sunyi tanpa bicara.

“Awak nak apa-apa tak? Saya nak pergi beli aiskrim kat sana tu?” tiba-tiba suara Taufik memecah kesunyian.

“Takpa saya ok lagi. Tuan pergilah, saya tunggu Zaim kat sini.” balas Aliya mukanya ditundukkan. Taufik melangkah menuju ke arah penjual aiskrim di hujung taman. Tidak lama selepas pemergian Taufik, Aliya didatangi dengan sekawan budak-budak lelaki yang seusia dengan Zaim. Mereka mencebik seraya terlihatkan wajah Aliya yang tidak sempurna itu sambil menjeling ke arah Aliya dengan perasaan mengejek. Aliya faham maksud tersirat jelingan itu.

“Agaknya mereka jijik tengok aku macam ni.” bisik hati kecilnya. Aliya cuba mengawal keadaan. Dilemparkan satu senyuman ke arah mereka.

“Apa senyum-senyum.” balas salah seorang dari padanya. Aliya terkejut dibuatnya. Tak disangka dia akan dilayan seteruk itu. Niatnya hanya untuk berbahasa, tapi dia tak sangka mereka tak menghargainya.

 Salah seorang daripada mereka mengutip batu-batu kecil yang berada berdekatan lalu melemparkannya kearah Aliya. Tindakannya itu diikuti oleh rakan-rakannya yang lain. Aliya merapatkan kedua-dua tangannya untuk menghalang lontaran yang diarahkan kepadanya itu.

Zaim melihat keadaan itu dari jauh. Serentak kakinya mengayuh pedal basikal semahunya menuju ke arah Aliya yang sedang diganggu.

“Hei, jangan ganggu untie saya.” teriaknya dari atas basikal yang dibawa laju. Kanak-kanak itu menghentikan tindakan mereka setelah terpandangkan basikal Zaim yang memecut laju ke arah mereka.

Zaim memberhentikan basikalnya betul-betul di hadapan Aliya. Basikalnya dibiarkan terdampar sebelum dia berdiri tegak di hadapan kanak-kanak yang mengganggu mamanya tadi. Tangannya didepangkan untuk mempertahankan mamanya itu. Ia dibalas dengan kekehan daripada mereka.

“La…untie kau ke? Aku ingat nenek kebayan.” balas salah seorang daripada mereka, semakin galak mereka mengejek. Kata-katanya itu disahut dengan kekehan dari kawan-kawannya yang lain.

“Kenapa tu?” kedengaran suara Taufik dari jauh. Zaim tersenyum lega. Mujirlah papa ada. Serentak mereka menghalakan pandangan ke arah Taufik yang semakin lama semakin menghampiri. Di tangannya menjinjing beg plastik berisi aiskrim yang baru dibelinya tadi. Melihat kehadiran Taufik membuatkan kumpulan kanak-kanak itu lari bertempiaran meninggalkan kawasan kejadian.

“Tahu takut.” pekik Zaim, sepantas kilat tubuh mamanya itu didakap. Aliya rasa sangat bahagia saat itu. Tidak pernah terduga di hatinya begitu dalam kasih anaknya itu kepadanya. Dia rasa selamat dan dilindungi.

Taufik perasan perubahan ketara yang berlaku terhadap Zaim sejak kebelakangan ini. Zaim dilihat sangat menyayangi Laila tak kurang juga Laila. Mungkin inilah yang dinamakan sebagai naluri keibuan, desis hatinya. Tapi kenapa Aliya tidak dikurniakan naluri itu, kenangan tentang Aliya muncul di fikiran. “Kau kejam Liya,” bisiknya. Taufik bungkam.

 

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati