Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 20

Aliya masih setia menunggu kepulangan Taufik. Sudah lama dia duduk berteleku seorang diri di muka pintu. Kesunyian malam rasa mendamaikan. Semua yang lain sudah nyenak tidur, tapi dia masih kekal di situ. Bunyi pintu pagar automatik diikuti deruan enjin kereta kuat kedengaran di perkarangan rumah menandakan kepulangan suami yang dinanti. Serentak kakinya pantas melangkah menuju ke arah pakir kereta.

Taufik masih tak berganjak dari tempat duduk. Dia mahu berlama-lama di situ, sengaja mahu mengelak untuk berhadapan dengan Aliya. Hatinya masih sakit, marahnya masih ada. Kemunculan Aliya di muka pintu mengganggu ketenteramannya. Taufik mendengus sebelum wajah Aliya dipandang geram.

Aliya masih tercegat menanti. Dia sedar dia pasti akan dimarahi nanti tapi dia perlu bersabar kerana dia tahu dia yang bersalah. Dia perlu berjuang untuk mengekalkan hubungan yang tercipta. Dia perlu berusaha untuk menjernihkan keadaan, biar pergi mendung yang sentiasa menyelubungi perhubungan mereka selama ini. Dia tak rela mendung kelabu itu berarak menemani mereka sepanjang masa. Paling membimbangkan mendung yang berarak, bertukar menjadi ribut taufan, lantas menghancurkan kesucian sebuah ikatan.

Dia tak mahu berpisah lagi kerana dia yakin Taufik juga mencintainya. Penolakan suaminya itu semata-mata kerana terkilan dengan perbuatannya dahulu, datang dan pergi sesuka hati tanpa pernah memikirkan perasaan mereka. Jika dia di tempat Taufik mungkin dia juga akan bertindak sedemikian rupa.

“Maafkan Liya bang. Liya terpaksa. Tolonglah faham Liya. Liya dah tak ada jalan lain. Liya fikir itulah cara yang terbaik untuk kita semua, tapi ternyata Liya silap, Liya takut pada bayang-bayang sendiri. Liya bersalah pada abang. Abang maafkan Liya ya. Liya sayang abang.” bisiknya dalam hati sambil wajah Taufik ditenung minta simpati.

Taufik buat-buat tak mengerti. Dia tahu Aliya mendambarkan sebuah kemaafan darinya. Tapi hatinya masih panas, egonya kuat menguasai fikiran malah dia belum bersedia untuk merelakan. Dia tak mahu jadi hipokrit. Dia belum dapat ikhlas untuk memaafkan. Dia takkan mudah kalah pada rayuan Aliya lagi. Isterinya itu perlu mendapat sedikit pengajaran, supaya dia tetap pendirian.  

Ketukan di tingkap menyedarkan Taufik dari suara-suara halus yang mula terdetik di benaknya. Fikiran dan bisikan pendajjal yang mengipas, mengeraskan hati yang sudah mula goyah. Keyakinannya pada Aliya semakin menipis. Dia semakin sangsi pada kesetiaan yang dipamer Aliya selama ini. Serentak pintu kereta dibuka luas, nyaris terkena pada Aliya yang berdiri di luarnya. Mujurkah Aliya sempat mengelak. Wajah Aliya berubah. Dia tahu tugasnya akan menjadi semakin sukar. Taufik langsung tak menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk berdamai. Kemarahannya masih belum kendur.

“Biar Liya tolong bawakan beg abang.” tuturnya sebelum mencapai beg di tangan Taufik. Taufik mendengus lagi. Dia tak suka Aliya masuk campur dalam urusannya buat masa sekarang.  

“Tak payah!” tuturnya lalu melangkah meninggalkan Aliya sendirian. Aliya kuatkan semangat. Langkah Taufik dituruti sehingga ke ruang tamu.

“Abang dah makan? Liya tunggu abang. Liya baru je siap panaskan lauk tadi. Kita makan sama-sama ya.” tuturnya tanpa mengenal putus asa.

“Aku tak ada selera. Kau makanlah sendiri.” balas Taufik sebelum menuju ke bilik kerjanya. Aliya menghantar pergi kelibat Taufik dengan perasaan yang dia sendiri tak dapat tafsirkan. Benar dia terkilan, tapi dia tahu layanan suaminya itu adalah kesan kesilapan dirinya sendiri. Perasaan bersalah tak pernah jauh dari hati.

“Liya kau yang bersalah. Hatinya dah terlalu teruk disakiti. Kau tak layak untuk sedih.” bisiknya pada diri sendiri.

Azan Subuh sudah agak lama berkumandang. Aliya sudah lengkap mengenakan telekung di badan. Dia sudah bersedia namun yang dinanti tetap tak kunjung tiba. Taufik masih tidak menunjukkan muka sama seperti semalam. Aliya makin hampa. Air matanya mula bergenangan setiap kali memikirkan layanan Taufik yang semakin dingin padanya. Sampai bilakah kemelut rumahtangga mereka akan berterusan? Apa lagi yang harus dia lakukan untuk meraih kepercayaan Taufik semula?

Tindakan Taufik yang sentiasa menolaknya membuatkan keadaan menjadi semakin sukar. Perlukah dia putus asa saja dan membiarkan segalanya berlaku mengikut aturan yang sudah ditetapkan? Aliya beristigfar berkali-kali untuk memujuk hati sebelum tikar sejadah dihampar.

“Ya-Allah kurniakan lah aku hati yang tenang.” tuturnya sebelum menunaikan kewajipan sebagai makhluk ciptaan yang Esa.

Taufik menyelongkar laci-laci di almari pakaian. Satu demi satu diteroka namun dia tetap hampa. Apa yang dicari masih tak dapat dijumpai. Aliya yang baru tiba segera menghampirinya.

“Abang cari apa? Abang cari ni ya.” tuturnya sambil membuka pintu almari. Sepasang stokin segera disuakan ke arah Taufik.

“Abang nak Liya tolong pakaikan?” soalnya lagi. Menawarkan diri. Taufik tetap sunyi tapi jelingannya sudah menjawap segalanya. Aliya pantas menundukkan muka, dia masih tak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku Taufik yang bengis dan sinis. Suaminya itu betul-betul sudah berubah. Serentak stokin ditangan disambar kasar. Langkah diatur meninggalkan Aliya yang masih dijeruk rasa.

“Abang.” tuturnya sayu, sedar yang hubungan mereka telah menjadi semakin renggang. Serentak satu keluhan berat dilepaskan.

Aliya berjalan berpimpinan tangan dengan Zaim menuju ke kereta.  Senyuman anak kesayangannya itu mampu untuk mengubati kekecewaan di hati. Layanan buruk Taufik tak dapat mengalahkan kebahagian yang dirasa ketika ada bersama permata hatinya itu. Bila bersama Zaim segala kerunsingannya lenyap.

“Mama, Im pergi dulu. Mama tunggu Im tau. Nanti Im balik ya.” tutur Zaim sambil menyalami tangan Aliya. Aliya tersenyum bahagia. Keletah Zaim betul-betul menggembirakannya.

“Ok. Mama tunggu Im. Balik cepat ya sayang.” balas Aliya. Tubuh kecil itu didakap erat. Senyuman tak pernah lekang di bibir. Hanya mereka yang pernah merasai peritnya perpisahan dengan yang tersayang dapat mengerti manisnya sebuah pertemuan. Aliya mahu membalas segala kerinduan yang tersimpan selama ini.

“Im nak makan apa hari ni? Im nak mama masak apa?” soal Aliya sambil tangannya mengemaskan pakaian anaknya itu.

“Im tak kisah. Mama masaklah apa-apa pun sebab Im suka makan semua yang mama masak. Mama masak sedap.” balasnya pula. Memuji-muji kehebatan mamanya itu. Kembang-kuncup hati Aliya mendengarnya.

“Okey kalau macam tu nanti mama masakkan ayam bakar madu untuk Im.” kata Aliya pula. Senyuman Zaim sampai ke telinga. Matanya bulat seperti tak percaya.

“Betul ke ma? Seronoknya. Mama buat banyak-banyak tau. Im nak makan banyak.” balasnya sebelum memeluk tubuh Aliya erat.

Bunyi hon kereta mengejutkan keduanya yang masih belum selesai dengan urusan masing-masing, melepas rindu.

“Ish, papa ni. Kacau betullah.” tuturnya kecewa. Dia masih belum puas bermesra dengan mama. Aliya ketawa melihat perubahan wajah anaknya itu. Mukanya masam, bibirnya dimuncungkan.

“Dah lambat ni sayang. Nanti balik kita sambung lagi. Im belajar rajin-rajin ya.” ucap Aliya. Satu kucupan dihadiahkan ke dahi Zaim tanda perpisahan sebelum dia menyuakan pipinya ke arah anaknya itu. Jari telunjuknya diletakkan di pipi, minta kiss. Sepantas kilat Zaim bertindak. Biarpun mama tak meminta dia tetap akan memberikannya. Sayangnya pada mama tak dapat nak digambar.

“Im sayang mama.” ucapnya. Aliya ketawa. Dia tahu Zaim takkan pernah menghampakannya.

“Mama pun. Mama pun sayang Im jugak.” balasnya. Hatinya ceria. Lukanya terubat. Hanya Zaim yang dia perlukan dan dia berjanji akan terus bertahan untuk membahagiakan belahan hatinya itu. Walaupun sukar, namun tetap akan gagahi, demi Zaim!

Bunyi hon yang bertalu-talu mematikan suasana damai yang menyelubungi mereka. Aliya tahu Taufik sudah mula hilang sabar. Segera dia mendukung Zaim dan meletakkannya di atas kerusi. Wajah Taufik yang masam mencuka sempat dipandang tapi Taufik langsung tak menandang ke arahnya. “Betul ke abang dah bencikan Liya.” bisiknya dalam hati. Walaupun dia cuba menafikan, namun hatinya tetap terasa sakit dan pedih. Dia sedar yang hatinya sudah mula terguris.

Kereta dipandu laju meninggalkan Aliya yang masih setia menghantar pemergian mereka. Wajah Zaim yang penuh ceria dipandang sekilas sebelum dia terus fokus pada pemanduan. Taufik tumpang gembira kerana paling tidak Zaim telah mendapat mamanya semula malah kegembiraanya juga berganda kerana mereka tidak perlu berahsia lagi.

Taufik mula memikirkan kewajaran untuk memaafkan isterinya itu. Sudah terlalu lama dia melayan Aliya dengan buruk. Mungkin telah tiba masanya mereka berdamai. Kesungguhan Aliya sedikit-sebanyak mampu mengoyahkan hatinya juga. Taufik mula menyalahkan diri sendiri kerana dirasakan dia telah bertindak keterlaluan. Merajuk mengalahkan perempuan, memalukan.

“Dah, sampai. Terima kasih papa.” tutur Zaim. Serentak Taufik tersedar. Dia nyaris terlepas tadi, mujurlah ada Zaim. Kalau tak makin lambatlah dia nanti. Cepat-cepat dia menghentikan keretanya di sisi jalan. Nak cari U-turn bukannya dekat, tambahan pula ketika waktu puncak seperti itu, pasti waktu perjalanan akan menjadi semakin panjang nanti. Paling merunsingkan dia perlu menghadiri musyuarat dengan pegawai-pegawai daripada pihak berkuasa tempatan pagi ini. Dia mahu cepat, tak mahu dilihat sebagai individu yang tak profesional.

“Ok. Belajar elok-elok.” balasnya. Zaim segera mencapai tangan papanya sebelum dikucup, sama macam yang dilakukan pada mama sebelum bergegas menuju ke dalam tadika. Bunyi hon kereta dari arah belakang membuatkannya tersedar. Dengan pantas, dia meneruskan perjalanannya ke Klang. Dia perlu menenangkan hati kerana ada perkara yang lebih penting untuk dilalui. Aliya? Letak tepi. Tanpa sedar, akhirnya dia bertangguh lagi.

 

Pintu bilik Pn.Hayati diketuk perlahan. Bunyi batukan yang panjang dari dalam bilik membuatkan Aliya bergegas untuk mendapatkan ibu mertuanya itu. Wajah pucat Pn.Hayati ditatap sayu. Semangkuk bubur ayam yang telah disediakan awal tadi turut di bawa bersama.

“Mak. Makan mak. Liya ada sediakan bubur nasi ni untuk mak. Mak makan ya.” tuturnya sebelum menghulurkan mangkuk tersebut kepada Pn.Hayati. Pn.Hayati menggeleng-gelengkan kepala, dia memang tak ada selera. Setiap kali selepas rawatan begitulah keadaannya. Bukan dia tak mencuba, tapi semuanya dilihat sia-sia. Bila makan dia akan muntah semula.

“Bukannya mak tak nak. Tapi mak tak boleh. Mak tak ada selera. Tekak mak ni tak mampu nak menelan.” balasnya perlahan. Sejak pertemuan di kilang tempoh hari, keadaan ibu mertuanya itu dilihat semakin hari semakin lemah. Aliya mula bimbang. Dia takut sesuatu yang tak diingini berlaku. Taufik juga perlu diberitahu.

“Biar Liya suapkan mak ya. Mak kena makan sikit. Kalau tak makan, macam mana nak makan ubat.” pujuknya. Aliya masih tak putus asa. Pn. Hayati menguatkan semangatnya. Perlahan-lahan dia menurut. Tak mahu megecewakan Aliya yang sudah bersusah-payah.

“Macam tu lah. Mak kena kuat. Lepas ni kita makan ubat.” tuturnya memberi galakan.

“Sedap.” balas Pn.Hayati.

“Kalau sedap mak makan lebih sikit. Biar cepat sembuh. Im dah rindu nak main dengan mak.” kata Aliya lagi. Pn.Hayati sedar sudah agak lama dia tidak bermesra dengan cucunya itu. Bukanya dia tak mahu tapi kesihatannya yang mengganggu. Serentak dia menggangguk.

“Terima kasih Liya. Terima kasih kerana sanggup bantu mak. Biarpun selepas apa yang mak dah buat, Liya tetap boleh terima mak semula. Maafkan mak ya. Maafkan mak kerana lambat sedar.” ucapnya sayu.

“Mak dahlah. Benda dah lepas janganlah diungkit lagi. Liya dah maafkan mak dan Liya harap mak pun dapat maaf kan Liya. Liya sayang mak, hormat mak macam mak kandung Liya sendiri. Liya sentiasa berdoa yang mak akan cepat sembuh. Lagipun pokok-pokok bunga kat taman tu pun dah mula rindukan mak.” ucapnya dengan senyuman.  

“InsyaAllah. Mak pun dah rindu nak ke sana. Bila mak dah sihat sikit nanti Liya temankan mak ya.” balasnya sambil meraih tangan Aliya dan menggenggamnya erat. Aliya membalas penuh syukur. Dia tahu, ibu mertuanya itu bukanlah seorang yang mudah putus asa.

Rawatan kanser memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi. Tak boleh cepat mengalah. Ramalan doktor tak semestinya tepat. Masih terdapat sesetengah kes yang berakhir dengan kejayaan. Ajal maut di tangan tuhan, siapa kita untuk menentukan dan seandainya masanya telah tiba, tempuhilah dengan hati terbuka. Hidup atau mati hanya Allah yang mengetahui yang mana lebih bermakna kerana cepat atau lambat kita semua akan tetap kembali padaNya.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati