Selesai solat Zuhur, Aliya melabuhkan punggungnya disisi katil. Pandangannya tertancap pada beg kertas yang terdapat di sebelah meja solek, serentak senyuman terukir di bibir. Beg yang berisi hadiah pemberian dari seorang mak kepada anak yang diterimanya semalam, dicapai dan diteliti semula sebelum jubah bewarna biru lembut itu didakap erat.
Aliya menghampiri Pn.Hayati yang sedang bersendirian sebelum duduk di sebelahnya. Tangan Pn.Hayati diraih dan digenggam erat untuk memberi semangat. Dia tahu mak tidak mahu dia berada bersama semasa doktor memberi penerangan tadi. Dia dapat membaca melalui riak wajahnya. Aliya hanya menurut segala arahan yang diberikan kerana dia tak mahu menambahkan tekanan. Perasaan mak perlu dijaga.
“Macam mana mak? Doktor cakap apa?” ucap Aliya seketika kemudian. Pn.Hayati membalas dengan senyuman.
“Macam biasa. Doktor suruh makan ubat yang baru. Liya jangan risau, mak okey. Rasa lapar pulak perut ni. Liya teman mak makan dulu boleh? Lepastu temankan mak pergi beli barang sikit. Dah lama mak tak keluar jalan-jalan, tak ada siapa yang nak teman. Mak tak nak susahkan Taufik.” balasnya. Aliya tidak mahu terlalu mendesak. Ibu mertuanya itu dilihat tidak mahu berkongsi masalahnya bersama. Dia lebih rela memendam rasa sendiri.
“Mestilah boleh. Mak cakap je kat mana, nanti Liya bawakan. Tapi janji, janganlah lama-lama sangat, Liya takut mak letih.” ucap Aliya prihatin.
“Okey mak janji tak lama. Dekat-dekat sini je.” balas Pn.Hayati sebelum mereka bergerak ke kereta.
Aliya memimpin tangan Pn.Hayati sambil memerhatikan kawasan sekeliling. Keadaan di dalam bangunan Shopping Complex tersebut agak lengang. Kebetulan bukan waktu hujung minggu, dapatlah bernafas sikit. Kalau tak, nak berjalan pun payah. Pasti penuh dengan pengunjung terutamanya pelajar-pelajar dari universiti tempatan yang terletak berhampiran.
Mereka melintasi sebuah butik pakaian muslimah, menjual pelbagai keperluan wanita Islam yang mementingkan kesempurnaan, tak lupa juga penggayaan. Tangan Aliya ditarik menuju ke dalam butik tersebut dan dia hanya mampu menurut. Mak kelihatan sangat gembira malah lebih bersemangat dari sebelumnya. Aliya lega kerana dapat menunaikan permintaan ibu mertuanya itu. Baju jubah yang bergayutan dibelek-balek penuh minat sebelum sehelai diambil dan digayakan di hadapan Aliya. Senyuman puas terukir di bibirnya.
“Liya tengok ni, cantik tak?” ucapnya inginkan pendapat. Jubah berwarna biru laut lembut dengan tema floral di bahagian penjuru bawah kelihatan menyerlah.
“Cantik. Mak nak beli ke?” balasnya.
“Ya la. Mak nak beli. Mak nak belikan untuk Liya. Liya pakai tau. Hadiah mak untuk Liya. Mak tak pernah belikan apa-apa pun untuk Liya selama ni. Beri mak peluang ya, kali ni je.” ucapnya perlahan. Aliya serba-salah untuk menolaknya. Akhirnya baju tersebut beralih tangan.
“Liya cuba boleh? Mak nak tengok. Mesti cantik. Mak takut mak tak dapat nak tengok lain kali.” baris terakhir kata-katanya sengaja diperlahankan. Aliya tak dapat menangkap kata-kata ibu mertuanya itu.
“Mak cakap apa tadi?” Soalnya mencari kepastian.
“Mak kata mesti cantik kan baju ni kat Liya. Sesuai dengan warna kulit Liya yang cerah tu.” balas Pn.Hayati sambil tersenyum. Aliya segera menuju ke bilik persalinan yang terdapat di bahagian belakang butik. Dia tidak mahu terlalu berlama-lama di situ. Kesihatan mak perlu diambil kira. Dia tak mak keletihan.
Seketika kemudian, Aliya keluar untuk mengayakan pakaian tersebut. Jubah yang diberinya tadi nampak sangat padan dan sesuai.
“Macam mana mak?” soalnya sambil merapikan jubah yang tersarung di badan. Dia perlukan pengesahan.
“Cantik. Memang padan dengan Liya. Mak suka.” balas Pn.Hayati gembira. Senyumannya tak lekang dari bibir lantas sehelai tudung shawl satin berwarna meroon dicapai dan digayakan ke arah Aliya, sesuai bisiknya dalam hati.
Sudah lama dia mengimpikan untuk keluar bersama begitu. Namun rezekinya belum tiba, tapi hari ini hasratnya itu akhirnya tercapai. Dia tidak dikurniakan anak perempuan yang dapat menemaninya membeli-belah seperti kenalan-kenalannya yang lain. Dulu dia sentiasa berharap untuk menumpang tuah anak menantu bila Taufik bernikah satu masa nanti. Berkongsi citarasa dan pendapat tentang banyak perkara terutamanya berkaitan fasyen, makanan dan banyak lagi perkara-perkara kegemaran seperti ibu-ibu lain.
Dia hanya ada seorang anak lelaki yang sentiasa sibuk dengan misi membina empayer perniagaan sendiri. Namun dia bangga dengan sikap Taufik yang berdedikasi dalam segala urusan yang dikerjakan. Taufik sanggup bermula dari bawah. Perniagaan hartanah milik keluarga arwah ayahnya tidak mahu diambil alih biarpun disaran oleh pak long dan pak sunya. Dia lebih selesa dengan hasil usahanya sendiri. Lebih mencabar katanya.
Zulaikha sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Dia sangat berkenan dengan Zulaikha anak pak long Taufik, rakan sepermainan anaknya itu sejak kecil lagi. Kedua-dua keluarga telah merancang untuk menyatukan mereka selesai saja pengajian Zulaikha di UK. Hancur hatinya bila Taufik memperkenalkan Aliya sebagai isteri yang dinikahi tanpa pengetahuan keluarga. Dia menyalahkan Aliya atas segala yang berlaku. Rancangan untuk bermenantukan Zulaikha sejak sekian lama punah sekelip mata. Taufik pula dilihat menyayangi Aliya sepenuh hati, itu yang membuatkan Pn.Hayati lebih sakit hati.
Wajah Aliya dihadapannya ditatap. Kenangan lama bermain difikirannya. Pn.Hayati mengakui pilihan yang dibuat Taufik memang tepat. Hanya dia yang membutakan matanya untuk melihat kebaikan Aliya selama ini. Bukannya Aliya tak berusaha untuk menambat hatinya, tapi dia yang menutup pintu hati serapat-rapatnya untuk menerima kehadiran Aliya.
“Mak. Kenapa?” pertanyaan Aliya membawa Pn.Hayati ke alam nyata.
“Tak da apalah. Kita bayar, lepas tu Liya temankan mak makan boleh?” soalnya.
Aliya mengangguk tanda setuju. Semasa membuat pembayaran di kaunter, Pn.Hayati terpandang deretan telekung yang kemas bergantungan. Kakinya laju menuju ke bahagian tersebut. Sehelai telekung putih di capai dan dibawa ke kaunter. Mereka berbalas pandang. Mak masih dengan senyuman yang tak lekang di bibir. Terdetik rasa yang lain macam di hati Aliya melihatkan gelagatnya itu. Cepat-cepat dia mengusir perasaan itu jauh, tak mahu membuat andaian.
Pn.Hayati kelihatan sedang sibuk mundar-mandir di dapur. Hari ini dia bercadang mahu memasak masakan kegemaran Taufik, asam pedas ikan parang bersama sambal tumis udang. Sudah terlalu lama dia tidak ke dapur, seingatnya semenjak dia disahkan menghidap kanser dulu, itulah kali yang terakhir. Sejak daripada itu, hari-harinya sibuk dengan urusan rawatan yang terpaksa dijalankan.
Mak Jah hanya melihat gelagat majikannya itu. Apabila dia mahu membantu, Pn.Hayati segera menegahnya. Akhirnya dia mati kutu. Melihat perubahan Pn.Hayati Mak Jah rasa gembira kerana sudah agak lama dia tidak begitu. Mak Jah memerhatikan saja gelagat puan besarnya dengan tekun, manalah tahu kalau-kalau bantuannya diperlukan nanti.
Selesai membersihkan diri Taufik menyusuri anak tangga menuju ke dapur. Semua telah sedia menanti di meja. Ibunya juga turut serta hari ini. Taufik rasa lengkap keluarganya sejak sekian lama. Kecur air liurnya tadkala terpandangkan asam pedas ikan parang serta sambal tumis udang kegemarannya yang sedia terhidang. Tak lupa juga rendang daging istimewa maknya yang nampak sangat lazat dan menyelerakan. Pantas tangannya mencapai seekor udang lalu memasukkannya ke mulut.
“Emm…sedapnya. Dah lama Fik tak rasa masakan mak.” ujarnya manja.
“Nanti kalau mak tak ada, Fik bolehlah mintak Liya tolong masakkan. Mak dah turunkan resepi ni pada Liya.” balas Pn.Hayati sebelum memasukkan seketul ikan parang ke dalam pinggan Taufik.
“Mak nak pergi mana pulak. Janganlah cakap yang bukan-bukan. Dah lama kita tak makan sama-sama macam ni. Fik rasa happy sangat.” tuturnya gembira.
Babak sejenak di antara Taufik dan ibunya diamati penuh sayu. Aliya mengakui kelebihan yang ada pada suaminya itu. Kasihnya pada ibu tercinta tiada galang gantinya. Hati Aliya sebak bila memikirkan perpisahan yang bakal terjadi nanti. Taufik patut tahu segalanya. Merahsiakan perkara sebenar hanya akan membuatkan perasaan suaminya itu lebih terluka. Aliya bimbang Taufik tidak dapat menerima kenyataan apabila mengetahui yang mereka sengaja menyembunyikan kebenaran.
Pernah perkara itu dibangkitkannya, malah sudah acap kali semasa mereka berbual-bual bersama, tapi mak memberitahu yang dia akan menguruskannya nanti kerana dia masih perlukan masa. Dia belum cukup bersedia untuk memberitahu Taufik. Dia takut Taufik tak dapat menerima keadaan penyakitnya itu. Tambahan pula mak yakin emosi Taufik pasti akan terganggu nanti. Mak tak sanggup lagi melihat kesedihan di wajah Taufik, cukuplah kesedihan yang ditanggungnya selama ini akibat pemergian Aliya yang berpunca daripada kesilapannya sendiri. Bila mak dah cakap macam tu, dia sendiri tak tahu nak buat apa dah.
“Im pun. Im pun happy jugak. Papa hari ni kan nenek belikan kereta mainan baru untuk Im. Dah la besar cantik pulak tu. Warna merah, sama macam kereta mama. Im suka sangat.” ucap Zaim penuh keterujaan. Mereka ketawa melihat Zaim yang beriya-iya benar bercerita panjang lebar. Pandangan Taufik terarah pada Aliya di hadapannya. Senyumannya mati di situ. Aliya mengeluh. Taufik masih tidak berubah. Pendiriannya seteguh karang. Perang dingin mereka seperti tidak akan ada titik noktahnya. Aliya betul-betul sudah putus asa. Kalau dipaksa pasti akibatnya nanti dia yang akan lebih sengsara. Dia tak sanggup mendengar sindiran dan makian suaminya itu. Dia tak mahu merosakkan hati sendiri.
“Ma…nak suap.” pinta Zaim sambil menyandarkan kepalanya di bahu Aliya minta dimanja. Aliya tersenyum bahagia. Hanya itu yang menjadi penguat semangatnya untuk terus berada di rumah tersebut.
Pn.Hayati dilihat sedang asyik melayan kerenah Zaim. Jam sudah melebihi angka 11 malam namun Zaim masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu tidur. Matanya masih bulat melekat di skrin televisyen yang sedang menyiarkan rancangan kartun(siaran ulangan), sambil baring di ribaan neneknya. Pn.Hayati masih setia menemani Zaim sambil menepuk-nepuk bahu cucu tunggalnya itu.
Sesekali terdengar kekehan keduanya menyaksikan aksi kembar Upin & Ipin yang mampu membuat penonton tak kering gusi.
“Mak dah lewat ni. Mak tak mengantuk lagi ke?” Aliya menghampiri mereka yang masih leka menonton.
“Kejap-kejap lagi la. Mak nak tengok cerita ni, sikit lagi nak habis.” balas Pn.Hayati seraya meneruskan penumpuan ke kaca telivisyen. Aliya geli hati melihat gelagat mak. Pn.Hayati agak berbeza hari ini. Penuh semangat dan lebih ceria tidak seperti hari-hari sebelumnya. Aliya duduk bersimpuh di sebelah Pn.Hayati sebelum memicit-micit kaki ibu mertuanya itu. Kepala Aliya diusap, sebelum satu kucupan hinggap di ubun-ubun Aliya, menghargai keperihatinan yang diberikan.
“Mak nak Liya tahu yang mak sayang Liya. Terima kasih kerana dapat terima mak semula. Hanya Allah yang dapat membalas segala kebaikan yang dah Liya beri pada Mak. Mak nak minta maaf sekali lagi. Mak doakan kebahagiaan Liya, di dunia dan di akhirat.” tutur Pn.Hayati lembut sebelum tubuh Aliya hilang dalam dakapannya. Perasaan aneh yang dirasakan ketika berada di butik tempoh hari, datang lagi. Kelakuan ibu mertuanya itu membimbangkan hatinya.
“Im pun nak jugak.” pinta Zaim yang curi-curi melihat kelakuan nenek dan mamanya sejak tadi. Pecah ketawa keduanya mendengarkan permintaan Zaim itu.
“Esok pagi Liya tolong kejutkan Mak boleh? Kalau boleh mak nak jemaah sekali.” kata Pn.Hayati. Aliya resah kembali. Perubahan drastik yang berlaku kepada ibu mertuanya itu menimbulkan tanda tanya. Dia beristigfar mengusir pergi jauh-jauh sangkaan yang sedang berlegar-legar di kotak fikirannya.
Suara Azan subuh mengejutkan Aliya dari lena. Dia menuju ke bilik Pn.Hayati. Seperti yang dijanjikan semalam, dia pergi mendapatkan mak untuk sama-sama berjemaah pagi ini. Pintu bilik diketuk perlahan sebelum dibuka, serentak dia merapati Pn.Hayati yang masih setia di perbaringan.
“Mak.” panggil Aliya menghampiri Pn.Hayati yang masih terlena. Tiada sahutan.
“Mak. Bangun mak.” panggil Aliya lagi sambil tangannya menyentuh bahu mak, serentak tubuh itu memberi respon.
“Mak dah subuh. Semalam mak kata nak jemaah sama. Liya dah bagitahu Abang Taufik. Abang Taufik dah tunggu tu.” suara Aliya jelas di pendengarannya. Pn.Hayati terjaga dari lena.
“Boleh Liya tolong mak ambil wuduk. Kaki mak rasa tak kuat sangat ni.” pintanya perlahan. Aliya menurut.
Taufik dilihat sedang menunggu mereka. Aliya memimpin mak dengan berhati-hati menuju ke ruang solat. Pn.Hayati tak ketinggalan memakai telekung yang baru dibelinya semalam. Dia mahu menggunakannya selagi masih berpeluang berbuat begitu.
Taufik mengimamkan solat subuh dengan tenang. Suara Taufik mengalunkan bacaan kalam suci menimbulkan suasana syahdu di dalam ruangan solat. Selesai solat Taufik membacakan doa sambil di amimkan bersama. Selesai berdoa dia menyalami mak sebelum diikuti oleh Aliya.
Belum sempat Taufik bangun melipat sejadah dia terasa bahunya dipegang dari belakang. Dia tidak jadi bangun, serentak dia kembali mengadap Pn.Hayati. Wajah maknya ditatap sebelum sebuah senyuman terukir di wajah keduanya.
“Fik maafkan mak ya.” Taufik hairan mendengar kata-kata ibunya itu. Ditenung wajah ibunya lama. Dia hairan. Tak pernah ibunya berkelakuan begitu. Lagipun tak ada sebabnya dia mahu memohon maaf. Tak pernah sekalipun ibu bersalah kepadanya.
“Kenapa mak cakap macam ni. Sepatutnya Fik yang kena minta maaf dengan mak sebab Fik gagal jadi anak yang baik pada mak.” balas Taufik menyesali kekurangan diri. Dia tahu mereka tidak ada banyak kenangan bersama. Dia sedar selama ini dia terlalu sibuk dengan urusan di pejabat. Masa yang terluang di rumah juga turut diisi dengan urusan kerja yang tak pernah kurang.
“Fik tahu Fik terlalu sibuk dengan urusan sendiri sehingga tak ada masa terluang untuk mak.” Taufik mengumpul kata-kata. Selama ini dia terlalu berperang dengan masa. Masa yang dilihat sentiasa mencemburuinya. Kini dia baru sedar dia perlu mengorbankan sebahagian masa yang dirasakan sangat berharga itu untuk mendapat kelapangan. Tak ada gunanya mengejar masa, yang paling penting cara kita membahagikannya supaya kita ada lebih masa bersama dengan orang yang tersayang.
“Tapi Fik janji. Selesai projek ni kita pergi holiday. Mak cakap je mak nak ke mana nanti Fik bawak.” ujarnya bersungguh. Pn.Hayati menggeleng-gelengkan kepala.
“Mak bersyukur ada anak macam Fik. Fik tak pernah mengecewakan mak. Mak bangga dengan Fik. Fik dah carikan mak menantu yang baik macam Liya. Mak tak layak nak minta apa-apa dari Fik lagi.” balas Pn.Hayati lemah. Badannya terasa di awang-awangan. Kepalanya semakin berat. Penglihatannya sudah mula kabur.
“Fik, mak harap kalau mak dah tak ada Fik boleh teruskan hidup dengan baik. Bahagiakan Liya dan sayangilah satu sama lain. Mak nak Fik ingat, walaupun apa yang terjadi Fik kena kuat. Restu mak sentiasa ada bersama Fik. Mak sayang Fik.” Taufik dan Aliya saling berpandangan. Mereka terkedu mendengar nasihat mak.
“Ingat dalam hidup berumahtangga kalau ada masalah bawa berbincang. Jangan pendam dalam hati lama-lama, nanti melarat. Sejak akhir-akhir ni mak asyik teringatkan arwah ayah Fik. Mak rindu nak jumpa dengan dia.” tambah Pn.Hayati sambil tersenyum penuh makna. Taufik mula merasa kurang selesa mendengar kata-kata yang baru ditutur ibunya itu. Fikirannya mula melencong ke lain.
“Liya, mak harap Liya akan berbahagia selamanya. Mak juga nak minta maaf atas semua yang terjadi. Mak sayang Liya.” tuturnya perlahan sebelum tubuh Aliya didakap lama. Taufik memandang ke arah keduanya tak berkelip.
Tubuh mak yang berada dalam dakapan dirasakan mula memberat dan semakin kaku. Aliya cuba untuk meleraikan pelukannya serentak tubuh ibu mertuanya itu longlai. Mereka jelas terkejut melihat keadaan itu.
“Mak, kenapa ni mak. Mak bangun mak. Mak.” tutur Taufik cemas, namun tiada balasan. Taufik kaget. Tubuh ibunya didukung dan diletakkan di atas katil.
“Mak, bangun mak. Mak, kenapa ni mak? Mak, bangunlah mak.” pinta Taufik dengan linangan air mata. Aliya turut serta. Tubuh mak digoncang bertalu namun keadaannya tetap sama. Akhirnya dia membuat keputusan untuk membawa mak ke hospital. Taufik menggendong tubuh ibunya ke bawah. Aliya pantas menurut langkah Taufik dari belakang.
“Kunci.” kata Taufik semasa melintasi ruang tamu. Aliya segera mencapai kunci kereta yang terdampar di atas meja. Mak perlu segera di bawa ke hospital. Tanpa berlengah-lengah lagi, tubuh maknya dibaringkan di kerusi tempat duduk belakang sebelum kunci kereta di tangan Aliya di sambar.
“Abang tunggu Liya kunci pintu dulu.” ucap Aliya sambil berlari menuju ke pintu utama. Namun bunyi ngauman enjin kereta yang kuat, mematikan langkahnya. Taufik telah berlalu pergi tanpa menunggunya. Aliya jatuh terjelopok ke lantai ditemani air mata yang berderaian.